Kaifiyat Membahagi Harta Ghanimah, Lokasi Ghazwah Badar & Ketetapan Allah Pasti Berlaku.
Full video : https://youtu.be/qiYiPcN28PU?si=SCo8MNXQ5OH2Prdh
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 41 & 42 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT sebut cara atau kaifiyat membahagi harta ghanimah (الغنيمة), iaitu harta rampasan perang yang didapati secara pertempuran antara dua pihak tentera & musuh dikalahkan.
Jika harta yang mudah didapati tanpa peperangan dipanggil al-Fai’ (الفيء).
- Kemudian Allah nyatakan lokasi kedudukan tentera Islam & tentera musyrikin di lembah Badar, dalam ghazwah Badar.
- Allah nyatakan rahsia & hikmah kenapa tentera Muslimim bertemu dengan tentera pimpinan Abu Jahal bukan kafilah dagangan Abu Sufyan.
Kerana Allah nak nyatakan kuasa-Nya bahawa ketetapan Allah pasti berlaku, kamu jangan bimbang.
Kita hanya berusaha manakala yang memberi kemenangan & kejayaan adalah Allah!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan agar orang Islam perangi puak kafir sehingga tidak ada lagi syirik atas dunia ini.
Maka bila ada peperangan pastilah akan ada harta rampasan perang dari pihak musuh.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan hukum harta itu bagaimana cara pembahagiannya, siapa yang dapat siapa yang tidak dapat!
Ini supaya umat Islam pada waktu itu menerimanya dengan penuh redha dan puas hati kerana Allah sendiri yang membahagikannya.
Kata ulama’ : Ayat ini merupakan ayat pendidikan dari Allah, kamu datang berperang kerana Allah atau nafsu?
Jika kerana Allah; maka ikutlah peraturan yang diperintahkan Allah, jangan tamakkan harta pula!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 41- {DAN KETAHUILAH, BAHAWA APA SAHAJA YANG KAMU DAPATI SEBAGAI HARTA RAMPASAN PERANG, MAKA SESUNGGUHNYA SATU PERLIMANYA (DIBAHAGIKAN) UNTUK (JALAN) ALLAH, DAN UNTUK RASULNYA, DAN UNTUK KERABAT (RASULULLAH), DAN ANAK-ANAK YATIM, DAN ORANG-ORANG MISKIN, SERTA IBNUS-SABIL (ORANG MUSAFIR YANG KEPUTUSAN), JIKA KAMU BERIMAN KEPADA ALLAH DAN KEPADA APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH KAMI (ALLAH) KEPADA HAMBA KAMI (MUHAMMAD) PADA “HARI AL-FURQAN”, IAITU HARI BERTEMUNYA DUA ANGKATAN TENTERA (ISLAM DAN KAFIR, DI MEDAN PERANG BADAR). DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-ANFAL 8:41)
- Ketahuilah, ambil perhatianlah, yakni dalam ayat ini Allah mengajar cara pembahagian harta rampasan perang yang didapati dengan cara menggunakan kekerasan dan menggunakan kekuatan, iaitu berlaku pertempuran antara dua pihak sehingga berlaku kemenangan & kekalahan.
- Allah perintahkan agar harta itu dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu:
i- Satu perlimanya 1/5 diambil dan dibahagikan kepada 5 kumpulan ini:
untuk Allah, iaitu dibelanjakan pada jalan Allah dan untuk RasulNya, iaitu jalan yang ditetapkan & diredhai Allah! Kemudian untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan).
- Hadis Nabi SAW tentang pembahagian ghanimah ini:
i- Hadis, riwayat dari Abdullah bin Syaqiq bahawa seorang lelaki dari Bulqain bertanya kepada Nabi SAW di Wadi al-Qura (di kawasan al-Ula) tentang harta rampasan perang.
Nabi SAW bersabda: Serahkan pada jalan Allah satu perlima manakala empat perlima dibahagikan kepada para tentera.
kemudian lelaki itu bertanya apakah sama antara semua tentera?
Nabi SAW menjawab: Sama sahaja.
ii- Hadis, Nabi hanya ambil satu perlima sahaja tetapi itu pun bukan Baginda sendiri tetapi dikembalikan untuk maslahah untuk negara!
Iaitu 1/5 daripada harta ghamnimah itu dibahagikan kepada:
i- Bahagian satu perlima pertama adalah untuk Allah & Rasulullah SAW
{لِلَّهِ خُمُسَهُۥ وَلِلرَّسُولِ}
dan bahagian tersebut Baginda gunakan untuk kemaslahatan umum Islam juga!
ii- Bahagian seperlima kedua adalah untuk kaum kerabat {وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ} Rasulullah SAW dari Bani Hasyim dan Bani al-Muthalib
Kata ulama’ : Ini hanya khas untuk Bani Hasyim dan Bani Muthalib kerana dua Bani inilah yang bergabung dengan keluarga Rasulullah SAW semasa Baginda diboikot oleh kaum Quraisy pada zaman Jahiliyyah selama 3 tahun di Syia’ab Abi Talib.
Mereka sama-sama menempuh kesusahan & kepungan bersama Baginda SAW.
Manakala bani-bani Quraisy lain, memilih untuk bersama Abu Lahab & Abu Jahal.
Begitulah ketetapan Allah SWT, kerana itu dalam perjuangan, kita tidak boleh lari tidak kira susah atau senang,
iii- Bahagian seperlima ketiga adalah anak-anak yatim {وَٱلْيَتَـٰمَىٰ}- anak yatim ialah mereka yang kematian bapanya semasa mereka masih kanak-kanak yang belum baligh.
Tidak dikira yatim lagi selepas dia baligh atau kematian ibu sahaja.
Jika haiwan, dikira yatim jika kematian ibu.
Kata ahli syair : Bukanlah yatim itu sekadar kehilangan ibu bapa, tetapi juga anak-anak yang bapanya sibuk- ibunya juga tiada masa!
Kerana itu pada hari ini kita ada ramai anak yatim, dari segi penjagaan & pendidikan!
iv- Bahagian seperlima keempat adalah orang-orang miskin {وَٱلْمَسَـٰكِينِ} yang memerlukan bantuan
v- Bahagian seperlima kelima adalah untuk ibnus sabil {وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ} iaitu orang musafir yang keputusan bekalan dan belanjanya dalam perjalanan itu.
- Allah kata di akhir ayat, bahawa orang yang akur, yang patuh akan perintah Allah ini adalah orang yang beriman kepada Allah & beriman dengan ayat al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW pada hari al-Furqan iaitu hari pemisah antara hak & batil, hari peperangan Badar.
Maka terimalah ketetapan Allah dalam pembahagian harta ghanimah ini!
- Ingatlah sesungguhnya Allah yang Maha Berkuasa yang menolong kamu, walaupun bilangan kamu sedikit; kamu berjaya memerangi golongan yang ramai & lengkap bersenjata! Itulah anugerah Allah kepada orang yang beriman!
AYAT 42- {(IAITU) KETIKA KAMU BERADA DI TEPI LEMBAH YANG DEKAT (KE MADINAH) DAN MEREKA (PIHAK MUSUH) BERADA DI TEPI LEMBAH YANG JAUH (DARI MADINAH), SEDANG KAFILAH (PEMBAWA DAGANGAN MUSUH) BERADA DI TEMPAT YANG RENDAH DARI TEMPAT KAMU (DI TEPI LAUT). DAN KALAULAH KAMU BERJANJI (DENGAN MEREKA MENGENAI PEPERANGAN ITU) NESCAYA KAMU AKAN BERSELISIH PADA MENENTUKAN HARINYA. AKAN TETAPI (PERTEMUAN ANGKATAN KAMU DENGAN ANGKATAN MEREKA YANG TIDAK DISANGKA-SANGKA ITU) IALAH SUPAYA ALLAH MELAKUKAN SUATU PERKARA (KEMENANGAN ISLAM) YANG TELAH DITETAPKAN BERLAKUNYA, IAITU SUPAYA ORANG (KAFIR MUSYRIK) YANG BINASA ITU, BINASA DENGAN KETERANGAN (YANG MEMBUKTIKAN KESALAHANNYA), DAN SUPAYA ORANG (ISLAM) YANG HIDUP ITU, HIDUP DENGAN KETERANGAN (YANG MEMBUKTIKAN KEBENARANNYA); KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-ANFAL 8:42)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini Allah telah sebut tentang (يوم الفرقان) iaitu hari Pertemuan dua pihak, kemudian kamu telah menang dan dapat ghanimah yang banyak.
ii- Maka datang ayat ini Allah ingatkan balik kaum muslim tentang lokasi peperangan Badar yang mereka lalui sebelum ini!
- Rasulullah pada awalnya berhenti untuk berkhemah di belakang telaga terdekat yang menjadi sumber air utama di Badar.
Tetapi seorang sahabat, al-Hubab bin al-Munzir RA, yang berpengalaman dalam strategi perang, mencadangkan agar pasukan Islam mengambil tempat di hadapan telaga yang terjauh.
Cadangan ini bertujuan untuk menghalang tentera Quraisy daripada mendapatkan bekalan air.
Rasulullah menerima pandangan tersebut, dan pasukan Islam segera berpindah ke posisi itu. Mereka membina pertahanan di sekitar telaga, menjadikan ia sebagai kelebihan strategik yang besar.
- Dalam ayat ini Allah ingatkan lokasi mereka para tentera yang berada di perlembahan Badar, iaitu:
i- Tentera Islam berada di sebelah yang lebih dekat (بِٱلْعُدْوَةِ ٱلدُّنْيَا) dengan Madinah.
ii- Dan tentera musyrikin kedudukan mereka lebih jauh (بِٱلْعُدْوَةِ ٱلْقُصْوَىٰ) dari Madinah.
iii- Manakala kafilah unta dagangan Abu Sufyan berada di sebelah bawah (أَسْفَلَ) iaitu berhampiran laut.
Pertemuan & pertempuran itu berlaku di Badar pada hari Jumaat 17 Ramadhan tahun ke2-H itu dengan ketetapan dari Allah Azza wa Jalla.
Allah tegaskan bahawa jika kamu sendiri yang berjanji untuk menetapkan harinya pasti ia tidak akan berlaku dengan mudah, pasti ada perselisihan tentang masa & tempatnya!
- Pertembungan itu berlaku kerana Allah nak menunjukkan kekuasaan-Nya untuk menolong & memenangkan tentera Islam bagi melawan kekufuran.
- Hadis riwayat Ka’ab bin Malik RA:
Bahawa Rasulullah SAW keluar bersama para sahabat untuk menyekat rombongan perdagangan Abu Sufyan.
Tetapi rombongan Abu Sufayan terlepas dan rombongan Abu Jahal yang tiba.
Lalu Allah kumpulkan Nabi SAW & musuhnya tanpa janji awal. [HR Bukahri & Muslim].
Kerana berjanji awal pasti mereka akan lari kerana takut nak bertembung dengan Rasulullah SAW!
- Maka matilah sesiapa yang sudah mati di atas hujjah yang nyata, iaitu mereka lawan orang Islam bukan kerana orang Islam salah tetapi kerana mereka kafir & menentang Nabi SAW.
Begitu juga hiduplah mereka yang hidup atas landasan yang jelas; ini al-Quran dan hadis!
Inilah yang diajar Allah Azza wa Jalla, iaitu kafir itu mati dalam keadaan mereka tahu Islam itu betul & mereka salah!
- Allah SWT yang Maha Mendengar lagi maha mengetahui, mendengar munajat kamu, doa kamu meminta bantuan.
Maka Allah tahu ikhlasnya Rasulullah SAW & para sahabat untuk menentang kafir di Badar.
- Maka Allah turunkan pertolonganya yang datang bertalu-talu!
Kemenangan itu adalah satu pertolongan dari Allah Azza wa Jalla yang wajib diinsafi & disyukurinya!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 41- {Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya,… jika kamu beriman kepada Allah.}-
Allah nyatakan agar kita ketahui tentang hukum pembahagian harta ghanimah.
Harta ghanimah ini 1/5 untuk Allah & Rasul, kamu serahkanlah dengan hati yang tenang, dengan cara yang baik, akurlah dengan keputusan; jika kamu betul-betul beriman kepada Allah!
Yakni jika kamu beriman jangan duduk banyak soal jangan dok fikir kenapa-kenapa, serahkan saja harta.
Ayat ini keras, satu peringatan dari Allah SWT!
Kerana kita yakin & percaya kemenangan kita bukan semata-mata kerana kekuatan & kehebatan kita; tetapi kerana kuasa & pertolongan Allah!
Kerana itu orang beriman AKUR!
Kata ulama’ : Iman itu bukan hanya sekadar angan-angan tetapi iman adalah yang terpahat dalam hati & terpancar dari anggota.
Jangan kata hati baik & beriman tetapi tak taat kepada perintah Allah!
Contoh: Mengaku beriman tetapi tak solat, mengaku beriman tetapi tak tutup aurat!
Jika betul-betul beriman pasti taat perintah Allah dengan solat, tutup aurat & amalkan semua perintah Allah!
Iman itu dengan kepercayaan dan dibenarkan dengan perbuatan & amalan!
Jika mengaku beriman dengan mulut sahaja tetapi tidak buat perintah Allah itu iman liberal & sekular!!!
Yakni jika kamu beriman kepada Allah jangan kamu pertikai kenapa Allah ambil 1/5 daripada harta rampasan untuk Allah & Rasul.
Bukan sedikit baki lagi 4/5 lagi dari harta untuk tentera, tak puas hati lagi???
- Ayat 41- {Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya,….}-
Ayat ini memperincikan soalan yang ditanya tentang hukum harta rampasan perang {Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang..} yang disebut pada awal surah dulu!
Allah jawab dalam ayat pertama itu: {“Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi Rasul-Nya (untuk menentukan pembahagiannya).}
Ayat ini Allah pusing balik untuk menjelaskan hukum al-Anfal yang disebut pada surah dulu!
Kerana itulah Allah gunakan perkataan {Ketahuilah! -وَٱعْلَمُوٓا}
Apabila Allah sebut ketahuilah, kita kena buka telinga celik mata & lapang dada, beri perhatian tentang arahan yang disampaikan Allah ini.
Betapa bahasa al-Quran cukup indah, agar kita orang beriman beri perhatian kepada arahan Allah.
Juga agar kita sentiasa ingat, sedar, akur & patuh bahawa ini adalah ketetapan dari Allah SWT, bukan hanya suka-suka Nabi SAW buat pembahagian ini.
- Ayat 41- {… maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan),,….}-
Dalam ayat ini Allah sebut 4 kategori iaitu: untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil.
Yakni dalam ayat ini ada orang kaya ada orang miskin.
Semuanya akan dapat ghanimah jika mereka berada dalam kategori tersebut.
Contoh: Bani Hasyim atau Abdul Muttalib, anak yatim atau musafir yang terkandas, tidak kira mereka asalnya miskin atau kaya, jika mereka termausk dalam golongan ini, mereka berhak dapat bahagiannya!
Begitu juga sama untuk lelaki & perempuan bukan seperti dalam harta pusaka.
Allah sebut harta itu kamu dapat {غَنِمْتُم}.
Kamu berlawan, kamu menang maka kamu dapat harta itu.
Ia bukan lagi milik orang kafir & kamu tak perlu minta izin dari mereka lagi!
Harta itu telah sah menjadi hak milik orang Islam kerana orang kafir telah tewas dalam peperangan- maka itulah kelebihan yang Allah beri kepada orang Islam.
- Ayat 42- {(Iaitu) ketika kamu berada di tepi lembah yang dekat (ke Madinah) dan mereka (pihak musuh) berada di tepi lembah yang jauh (dari Madinah),…}-
Ayat ini mengajar untuk membuat perancangan dan strategi dalam perlawanan.
Inilah pentingnya lokasi & strategi dalam peperangan untuk kita letak tentera kita.
Sebagaimana hadis al-Hubab tadi, dia bertanya kepada Nabi SAW apakah pemilihan tempat itu wahyu atau strategi???
Kata para pengkaji : Ianya adalah sangat ajaib; betapa Baginda Nabi SAW & para sahabat yang tidak pernah berperang & berhadapan dengan musuh, yang tiada ilmu ketenteraan, yang kali pertama keluar secar spontan & tiada persiapan, tetapi Allah berikan kepada Baginda wahyu untuk memilih tempat yang strategik buat tenteranya.
Boleh baca kisah penuh dalam buku ini:
Madinah Munawwarah
https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…
Dari segi feqah juga, untuk kita nak buat masjid, sekolah atau pusat dakwah, lokasi juga penting, kena cari tempat yang strategik agar orang ramai dapat sampai kepadanya dengan mudah.
Moga Allah beri keselesaan & keselamatan kepada kita.
- Ayat 42- {… Dan kalaulah kamu berjanji (dengan mereka mengenai peperangan itu) nescaya kamu akan berselisih pada menentukan harinya..}-
Allah sebut bahawa jika kamu berjanji untuk berperang boleh jadi tak jadi!
Kamu akan masing-masing akan bawa diri!
Yakni mereka ini bertemu dan peperangan berlaku di Badar kerana Allah telah tetapkannya untuk berlaku.
Kata-kata hikmah Arab:
رب صدفة خير من الف ميعاد
Boleh jadi satu kebetulan lebih baik daripada 1000 janji!
Allah menyatakan bahawa pertembungan ini kerana Allah nak binasakan orang kafir dalam keadaan mereka tahu bahawa mereka salah!
Allah sebut di akhir ayat: {Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} & sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha {Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}{Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}
Beberapa ayat lain:
i- Untuk perang Ahzab- firman-Nya:
{Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Ahzab 33:27)
ii- Untuk hari Pembukaan Makkah, Allah berfirman:
{Dan ada lagi harta rampasan lain yang kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah telah memelihara harta itu dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya); dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Fat-h 48:21)
Maknanya jika kamu lemah & tidak kuat, kamu jangan bimbang kerana kamu ada Allah Yang Maha Berkuasa, Yang gagah perkasa, yang tiada siapa boleh lawan & melemahkan-Nya.
Allah akan bantu kamu tetapi dengan syarat kamu beriman, kamu taat & akur kepada perintah Allah & Rasul-Nya.
Kita berdoa kepada Allah semoga Allah beri kepada kita sifat kepatuhan, akur kepada ketetapan Allah, mudah-mudah Allah akan bantu kita melawan mana-mana kafir atas dunia ini yang cuba menyekat perjalanan Islam & juga mana-mana kumpulan yang cuba menyekat perjuangan Sunnah Nabi SAW.
Kita berusaha agar Sunnah Nabi SAW tersebar & diamalkan di sleuruh pelusuk dunia.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
