Orang Mukmin Nampak Kafir Sedikit, Kafirpun Sama Juga & Semoga Terjadi Pertempuran Yang Allah Tetapkan.
Full video : https://youtu.be/uBsRDHKL2YQ?si=0aUJNOTshQRO3xI5
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 43 & 44 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa antara nikmat Allah ke atas tentera Badar ialah Allah beri mimpi kepada Rasulullah SAW nampak tentera kafir sedikit sahaja.
Lalu Baginda memberitahu kepada para sahabat untuk memberi semangat agar mereka berani & tidak gerun.
- Allah menjadikan pandangan orang kafir pun sama juga, nampak tentera Islam sedikit yang membuatkan mereka tidak bersungguh dan main-main bertempur dari awalnya.
Jadi semua kumpulan berasa konfiden untuk berlawan.
- Walaupun sebenarnya Nabi SAW sudah tahu bahawa tentera Abu Jahal adalah ramai tiga kali ganda daripada mereka.
Tetapi apabila mula peperangan Allah hantar bantuan tentera malaikat yang ramai.
Semua itu adalah pertolongan awal dari Allah untuk menaikkan semangat & keyakinan tentera Islam.
Semua ini semoga terjadi pertempuran yang telah Allah tetapkan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hukum & cara pembahagian harta rampasan perang, serta Allah telah letak dua kumpulan pada lokasinya masing-masing!
ii- Maka datang ayat ini antara nikmat yang Allah beri lagi kepada Rasulullah SAW, & tenteranya; mereka nampak sedikit & kecil tentera musuh dalam peperangan Badar.
Ini menjadikan mereka yakin & konfiden untuk berlawan dan akan menang.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 43- { (INGATLAH WAHAI MUHAMMAD) KETIKA ALLAH MEMPERLIHATKAN MEREKA KEPADAMU DALAM MIMPIMU SEDIKIT BILANGANNYA; DAN KALAULAH IA PERLIHATKAN MEREKA KEPADAMU RAMAI BILANGANNYA, TENTULAH KAMU AKAN MERASA GERUN DAN TENTULAH KAMU AKAN BERBANTAH-BANTAHAN DALAM URUSAN (PERANG) ITU. AKAN TETAPI ALLAH TELAH MENYELAMATKAN KAMU. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG ADA DI DALAM DADA.} (AL-ANFAL 8:43)
- Allah ingatkan Rasulullah SAW ketika Allah tunjukkan kepada Baginda tentera kafir pimpinan Abu Jahal adalah tidak ramai, yang menjadikan mereka tenang & yakin untuk berlawan tanpa takut & bimbang!
- Kata Ibnu Athiyah RHM : Banyak riwayat yang menyatakan bahawa ayat ini turun menceritakan tentang mimpi Nabi SAW yang mana Baginda lihat bilangan tentera kafir sedikit menjadikan para sahabat bertambah tenang, yakin & konfiden, naik semangat untuk berlawan.
- Jika Allah tunjukkan sebaliknya sama ada dalam mimpi atau secara hakiki akan bilangan tenterar kafir yang ramai, sudah tentu mereka akan mula goyah & berbeza pandangan, mungkin ada yang lemah semangat dan berniat nak tarik diri daripada peperangan.
- Tetapi Allah selamatkan tentera Islam daripada lemah & saling berbantah!
Kerana itu pada awal sebelum keluar berperang; Rasulullah SAW minta para sahabat bercakap.
Semua para pemimpin sama ada dari kalangan Ansar & Muhajirin tidak ada yang lemah atau kecut perut- semuanya bangkit berucap menyatakan sokongan kepada Rasulullah dengan penuh semangat!
Allah selamatkan hati para sahabat daripada berpecah & berbantah-bantah!
- Ini kerana Allah Maha Mengetahui akan segala isi hati yang ada di dalam dada, apa yang kamu zahirkan & apa yang kamu sembunyikan- apa yang ada dalam hati kamu, Allah tahu orang yang benar
- benar beriman atau orang yang kufur, segala waswas yang ada dalam hati Allah tahu semuanya!
- Allah tahu apa yang ada dalam hati tentera Badar, iman yang mantap lagi solid, patuh, akur & taat perintah Allah & Rasulullah SAW!
Kerana itulah ahli Badar mendapat kemuliaan yang besar di sisi Allah Azza wa Jalla.
- Contoh, hadis sebelum ini tentang seorang sahabat yang bernama Hatib bin Abu Balta’ah yang menghantar surat kepada musyrikin Makkah membocorkan rancangan Nabi SAW.
Ini membuatkan Umar bin Khattab RA geram dan meminta agar diizinkan membunuh Hatib yang dianggapnya pengkhianat.
Namun permintaan ini dilarang oleh Rasulullah SAW dan perkataan Umar RA diingkari oleh Baginda.
Rasulullah SAW bersabda bahawa:
“Sesungguhnya dia telah ikut serta dalam perang Badar dan kamu tidak tahu barangkali Allah telah melihat kepada para Sahabat yang ikut serta dalam Perang Badar lalu berfirman: {Lakukanlah apa yang kamu semua kehendaki, Aku telah memberi keampunan kepada kamu semua.}. [HR Bukhari].
AYAT 44- {DAN (INGATLAH) KETIKA KAMI MEMPERLIHATKAN MEREKA KEPADA KAMU (WAHAI UMAT ISLAM) SEMASA KAMU BERTEMU DENGAN MEREKA: SEDIKIT BILANGANNYA PADA PANDANGAN MATA KAMU, DAN KAMU PULA DIPERLIHATKANNYA: SEDIKIT BILANGANNYA PADA PANDANGAN MATA MEREKA; KERANA ALLAH HENDAK MELAKUKAN SESUATU PERKARA (KEMENANGAN ISLAM) YANG TELAH DITETAPKAN BERLAKUNYA. DAN (INGATLAH) KEPADA ALLAH JUALAH DIKEMBALIKAN SEGALA URUSAN.} (AL-ANFAL 8:44)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah tunjukkan kepada Nabi SAW melalui mimpinya, bilangan tentera musyrikin Makkah yang nampak sedikit. Baginda kemudian menceritakan hal ini kepada para sahabatnya!
ii- Kemudian dalam ayat ini Allah nyatakan apabila bertemu secara berdepan pun, tentera Islam tetap nampak tentera kafir sedikit, ini makin menguatkan semangat & kekuatan mereka.
Tentera kafir juga melihat tentera Islam pada pandangan mata mereka, tetapi itu membuatkan mereka tidak bersemangat dan tidak mencurahkan segenap tenaga & kekuatan, mereka jadi over konfiden yang membawa kepada kekalahan mereka.
Inilah beza antara ayat 43 & ayat 44.
- Sekali lagi Allah peringatkan apa yang Allah telah Dia lakukan, iaitu:
i- Allah perlihatkan kepada tentera Islam apabila bertemu secara nyata, berdepan pun, tentera kafir kelihatan sedikit pada pandangan mata mereka!
Ini supaya mereka berani & semangat untuk bertempur dengan mereka!
Hadis kisah Ibnu Mas’ud RA salah seorang saksi hidup peperangan Badar:
Dia bersama seorang sahabat dari kalangan tentera Islam, hanya nampak bilangan kafir hanya sekitar tujuh puluh hingga seratus orang sahaja. [HR Ibnu Abi Syaibah & Ibnu Jarir].
ii- Allah juga menjadikan pihak kafir nampak tentera Islam sedikit juga!
Tetapi kesannya adalah terbalik, jika puak Islam tambah semangat- puak kafir sebaliknya. Mereka menganggap remeh dan tidak bersungguh, mengambil ringan kekuatan tentera Islam lalu tidak semangat melawannya.
- Kata Ibnu Kathir : Maksud ayat ini Allah mahu beri semangat kepada kedua pasukan agar berani berlawan.
Tentera Islam tengok kafir yang ramai jadi sedikit, jadi tak takut & berani lawan.
Tentera kafir tengok tentera Islam memang sedikit jadi mereka juga berani lawan & tidak bimbang lansung akan kekalahan!
Akan tetapi apabila berperang apa yang berlaku, kafir nampak Islam ramai!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa, dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).} (A-li’Imran 3:13)
- Allah jadikan setiap kumpulan itu nampak lawan mereka sedikit supaya terjadi sungguh peperangan di Badar itu, tidak ada yang lari & berundur!
Allah sudah sediakan bahawa kemenangan untuk muslim & kekalahan untuk musyrikin!
Allah nak tunaikan apa yang Allah telah tetapkan sejak azali lagi, bahawa Rasulullah SAW & tentera Islam akan menang di Badar!
- Apabila Allah telah tetapkan perkara itu pasti terjadi & tidak ada siapa yang boleh lari!
- Kepada Allah yang Esa-lah kembalinya segala perkara & segala makhluk.
Maka Allah akan berhukum kepada mereka dengan adil.
Segala urusan Allah telah tetapkan iaitu Allah tetapkan sebab-sebab kemenangan kepada tentera Islam & Allah tetapkan kekalahan kepada musyrikin Quraisy.
- Semua penyangak Quraisy yang sangat jahat yang sangat anti kepada Islam telah mati dibunuh serta mayat-mayat mereka dicampakkan ke dalam telaga buruk di Badar!
Allah telah sediakan kubur mereka dalam qalib Badar, nak tak nak Abu Jahal mesti ke Badar untuk dibunuh!
Untuk membaca kisah peperangan Badar ini secara ringkas boleh baca buku Madinah ini:
Madinah Munawwarah https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…
- Begitulah segala urusan ini kembali kepada Allah SWT.
Dunia ini hanya sementara, dunia ini hanyalah wasilah, jalan untuk menyampaikan kita ke syurga.
Maka gunalah pendekatan yang baik, jalan yang benar, ikutlah apa yang diperintahkan oleh Allah, berpeganglah dengan sunnah Rasulullah SAW, jangan lari, jangan koyak dan jangan kita sekali-kali langgar perintah Allah SWT.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 43- { (Ingatlah wahai Muhammad) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya;…}-
Allah beritahu bahawa Allah yang tunjukkan kepada kamu, nampak bilangan mereka sedikit.
Allah beri mimpi kepada Nabi SAW untuk memberi kemenangan kepada para sahabat.
Mimpi para nabi adalah benar, tiada siapa boleh kacau & pertikai!
Sehinggakan mimpi Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya diterima dengan penuh akur & ketaatan oleh anaknya Ismail, kerana mimpi para nabi itu benar!
Tetapi mimpi kita hari ini banyaknya adalah mainan syaitan, maka jangan dok percaya dan ikut sangat!
Contoh: Tular tidak lama dulu,seorang itu bermimpi dunia Kiamat lalu dipost video di media sosial, habis satu dunia kalut dan kelam-kabut dengan sebab mimpinya yang entah benar entah tidak!
Sekali orang bawa keluar mimpi, sekali bertiktok terus orang lain percaya & kalut.
Mimpi manusia biasa ini tidak usah percayalah, dia nak bermimpi, mimpilah!
Kita pun tak tahu, tak ada siapa yang boleh buktikan kebenarannya, bukan boleh kita bawa dia ke hospital scan otaknya untuk buktikan kebenaran!
Kerana itu Nabi SAW melarang keras orang yang tidak bermimpi tetapi berbohong mendakwa dia bermimpi!
Jangan dok buat gurau main dengan mimpi ini.
Manakala mimpi para Nabi adalah benar dan takwilnya juga adalah benar.
Mimpi Rasulullah SAW yang lihat tentera kafir sedikit dalam mimpinya adalah benar serta apabila berdepan pun nampak sedikit juga.
Itulah nikmat yang Allah anugerahkan kepada Nabi SAW & tentera Badar.
- Ayat 43- {… dan kalaulah ia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya, tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan (perang) itu.}-
Allah kata kalau Allah perlihatkan kepada orang Islam bahawa bilanga kafir itu ramai sungguh, kamu akan koyak!
Kamu akan berkelahi berbalah, berselisih pendapat sama ada nak lawan berperang atau nak balik undur diri!
Tetapi Allah selamatkan kamu daripada dua fitnah tadi, hati menjadi tenang & redha.
Allah selamatkan & jaga Rasulullah SAW daripada gagal dalam segala keadaan, terpelihara daripada segala kekurangan dan kesalahan.
Lalu Allah sandarkan kegagalan atau kelemahan {لَّفَشِلْتُمْ وَلَتَنَـٰزَعْتُمْ} itu kepada orang lain, ia tidak pergi kepada Nabi SAW tetapi hanya kepada para sahabat.
Sedangkan dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan bahawa mimpi itu adalah mimpi Nabi seorang sahaja iaitu {dalam mimpimu-
فِى مَنَامِكَ}.
Inilah uslub al-Quran, Yakni Nabi SAW tidak akan masuk dalam golongan orang yang gagal, tidak akan termasuk dalam golongan yang kecewa 7 kecut perut!
Kita kena cuba menghayati & memahami al-Quran, barulah kita akan menjadi manusia yang hebat yang tunduk akur kepada perintah Allah SWT!
- Ayat 44- {… kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. }-
Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa bagi setiap perkara itu ada sebabnya.
Allah nak jadikan & laksanakan apa yang Dia telah tetapkan sejak azali lagi iaitu Rasulullah SAW & tentera Islam akan menang di Badar.
Ayat ini adalah ayat qadha’ & qadar, kita percaya kepada taqdir Allah tetapi kita mesti mengambil sebab, setiap perkara yang berlaku ada sebabnya!
Sebab di sini ada beberapa:-
Allah berikan mimpi kepada Nabi SAW, Allah turunkan hujan ketenangan, Allah jadikan tentera Islam mengantuk dan lain-lain.
Banyak sebab-sebab yang memihak kepada tentera Islam untuk mendapat kemenangan besok, walaupun bilangan tentera adalah 1:3- yang mana tentera kafir tiga kali ganda ramainya daripada tentera Islam.
Kata ulama’ ini : Sesuatu benda itu kena ada sebab {لكُلِّ شَىْءٍۢ سَبَبًۭا}.
Sedangkan boleh saja Allah nak menjadi sesuatu itu tanpa sebab.
Contoh: Seperti Allah nak jadikan Maryam lahirkan Nabi Isa tanpa kahwin, boleh aje. Tetapi jika wanita lain beranak tanpa suami boleh dihukum sebat!
Semua benda bersebab tetapi boleh juga Allah jadikan sesuatu itu tanpa sebab kerana Allah SWT Maha Berkuasa!
Kita kena belajar bahawa setiap sesuatu itu akan terhasil dengan sebab, jika kita nak menang kena ada sebab kemenangan.
Para pelajar jika nak cermerlang dalam pelajaran juga kena sebab:
i- niat yang ikhlas dalam belajar.
ii- kena rajin berlajar & muzakarah ulangkaji
iii- kena memahami apa yang kita belajar.
iv- jangan ponteng segala kelas.
Bukan kata aku nak cemerlang tapi malas belajar, asyik tidur, kelas pun ponteng!
- Ayat 44- {… Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.}-
Tak usah cakaplah kita ni kuat, gagah perkasa apa, jika kita tidak bersandar kepada Allah, tak akan berjaya!
Kita buat apa saja perkara atau amal kebaikan; jika tidak kerana Allah, kita akan mudah kecewa, kecundang & koyak!
Bila kita berjuang bertahun-tahun, kemudian tak dapat apa yang kita nak; kita akan rasa rugi!
Tetapi jika kita buat kerana Allah kita tak akan rasa rugi kerana pahala disediakan Allah Azza wa Jalla.
Kerana itu kita kena beriman semua perkara kembali kepada Allah, kita buat kerana Allah (لله) & kita berjuang fi-sabilillah (في سبيل لله) maka kita akan kembali kepada Allah dengan baik, kita akan tenang & redha dengan ketetapan Allah!
- Melalui pemerhatian dalam ayat-ayat yang kita baca ini; terdapat beberapa perkara pelik.
Iaitu beberapa mukjizat yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW & kemuliaan kepada ahli Badar iaitu:
i- Nikmat Allah untuk memisahkan antara yang haq & batil.
Kerana itu Badar ini disebut sebagai
{ يَوْمَ ٱلْفُرْقَانِ يَوْمَ ٱلْتَقَى ٱلْجَمْعَانِ ۗ}
“Hari Al-Furqaan”, iaitu hari pemisah antara hak dan batil, hari bertemunya dua angkatan tentera Islam dan kafir.
Jadi bila kita rasa kita nak hapuskan syirik di atas muka bumi; maka kita berperang semata-mata kerana Allah bukan kerana nak ambil barang atau harta.
ii- Allah nampakkan kepada kamu (dalam mimpi Nabi SAW) tentera kafir itu kelihatan sedikit.
Ini menyebabkan kamu bersemangat, rasa berani, tidak gentar & yakin dengan pertolongan Allah!
iii- Hatta ketika berdepan dan berhadap satu sama lain, kamu masih lagi nampak tentera kafir sedikit, menyebabkan mereka bertambah berani. Ini untuk menjadikan orang muslim yakin dengan Nabi SAW dan membenarkan mimpi Nabi SAW.
iv- Allah juga menjadikan tentera kafir nampak tentera Islam sedikit lalu mereka tak ambil berat dan tak ambil peduli untuk bersungguh melawan tentera Islam.
iv- Allah nak suruh berlaku apa yang Allah telah tetapkan!
Dua kali Allah ulang ayat ini-
{لِّيَقْضِىَ ٱللَّهُ أَمْرًۭا كَانَ مَفْعُولًۭا}
Kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya.} pertama dalam ayat 42- kemudian dalam ayat 44 ini.
Persoalan kenapa Allah ulang dua kali ayat ini???
Jawapan:
i- pertama ayat 42 Allah pilih lokasi yang strategik untuk tentera Islam, kerana Allah nak beri kemenangan kepada orang Islam.
Supaya nampak mukjizat & semangat.
ii- Kedua dalam ayat 44- Allah menjadikan tentera Islam kelihatan sedikit di mata kafir, menyebabkan mereka tidak ambil berat & bersungguh dalam berlawan, relaks-relaks saja.
Maka terjadilah apa yang Allah telah tetapkan iaitu kekalahan yang menghina bagi mereka!
Masya’ Allah, makin dikorek ayat- ayat al-Quran, makin ternampak keindahan dan mukjizatnya!
Seperti buah tamar yang makin dikunyah, makin manis terasa buahnya!
Trivia:
Ada cerita yang mengatakan jika kita berada di medan Badar pada tarikh 17 Ramadhan akan kedengaran gendang perang tentera Islam.
Ini tidak benar kerana Nabi SAW tidak membawa gendang ke Badar, senjata tentera pun tak cukup apatah lagi nak bawa gendang!
Ini cerita yang tidak sahih jangan percaya.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
