View Categories

(17) Surah Al-Anfal: Ayat 45-47

12 min read

Tetap Pendirian Ketika Bertemu Musuh, Sentiasa Berzikir, Sabar Dan Taat Jangan Berpecah & Tidak Sombong.

Full video : https://youtu.be/UtPMNLmC3OA?si=Gh_s0Ju5GMoSA2qZ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 45 sehingga 47 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan 5 keadaan atau adab peperangan disampaing adab-adab Islam lain, Iaitu:

    i- Allah perintahkan agar tetap pendirian ketika bertemu musuh, 

    ii- Sentiasa berzikir 

    iii- Sabar  

    iv- Taat 

    v- Dan jangan berpecah.
  1. Allah juga memerintahkan agar tidak sombong; ini semua untuk meraih pertolongan dari Allah SWT.  
    Jika tidak beradab & berdisiplin, bagaimana kita mahu mendapat pertolongan Allah & kemenangan.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang banyak nikmat yang dianugerahkan kepada tentera Islam, iaitu tentera Badar. 
    Allah dedahkan beberapa rahsia kenapa Allah beri pertolongan kepada mereka.

    ii- Maka datang ayat ini Allah ajar, Allah peringatkan 5 adab, 5 tips atau kaedah; untuk menang dalam peperangan & mendapat pertolongan Allah;
    Ini caranya!
  1. Kita semua hari ini jangan lupa jangan lalai walaupun kita seolah tiada senjata di tangan, tetapi hakikatnya kita masih di medan peperangan. 
    Berperang dengan geng liberal, puak sekular, berperang dengan mereka yang tidak mahu pakai al-Quran & hadis, yang kafir sudah pastiah tetapi juga dengan kelompok yang mengaku Islam.
    Yakni kita masih dalam medan peperangan- walaupun bukan guna senjata tajam, kita kena berperang guna dalil & hujjah-hujjah yang mebuktikan keagungan Allah dengan mereka yang menentang & mempermain-mainkan Islam.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 45- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! APABILA KAMU BERTEMU DENGAN SESUATU PASUKAN (MUSUH) MAKA HENDAKLAH KAMU TETAP TEGUH MENGHADAPINYA, DAN SEBUTLAH SERTA INGATILAH ALLAH (DENGAN DOA) BANYAK-BANYAK, SUPAYA KAMU BERJAYA (MENCAPAI KEMENANGAN).} (AL-ANFAL 8:45)

  1. Allah menyeru orang yang beriman,
    pertama; jika kamu berhadapan dengan pasukan musuh, jangan kamu goyah, lemah, jangan lari & undur, hendaklah kamu tetap pendirian {فَٱثْبُتُوا۟ }. 
  1. Hadis Nabi SAW:
    i- Musuh Jangan Dicari, Jika Bertemu Jangan Lari: 

    Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW bersabda:
    Janganlah kamu berharap untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka bertahanlah.”
    [HR Bukhari dan Muslim].

    ii- Rasulullah SAW bersabda :
    Wahai manusia, janganlah kamu bercita-cita untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka jangan lari (bertahanlah). 
    Berdoalah meminta kesihatan dan apabila bertemu dengan mereka, maka bersabarlah. Dan ketahuilah oleh kamu bahawa syurga itu terletak di bawah bayangan pedang. 
    Wahai Allah Tuhan yang menurunkan Al-Quran, dan yang mengiringi awan serta yang menghancurkan golongan yang bersekutu (Ahzab), kalahkanlah mereka dan tolonglah kami dalam menghadapi mereka.”

    [HR Bukhari dan Muslim].
  1. Kaedah kedua: Hendaklah sentiasa berzikir {وَٱذْكُرُوا} mengingati Allah dengan banyak dengan lidah & hati kamu, berdoa agar kamu mendapat pertolongan Allah & kemenangan.
  1. Kata Syeikh Ibnu Athiyah RHM : Ini adalah zikir secara perlahan kerana mengangkat suara dalam peperangan adalah makruh kerana dapat membuat hingar-bingar.
    Ini dalam pertempuran tersembunyi- supaya musuh tidak perasan akan kehadiran kita.  
    Tetapi jika bertempuran berhadapan secara beramai-ramai boleh mengangkat suara bertakbir untuk menguatkan semangat!
    Strategi kena ada, bila boleh kuat bila kena perlahan.

AYAT 46- {DAN TAATLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, DAN JANGANLAH KAMU BERBANTAH-BANTAHAN; KALAU TIDAK NESCAYA KAMU MENJADI LEMAH SEMANGAT DAN HILANG KEKUATAN KAMU, DAN SABARLAH (MENGHADAPI SEGALA KESUKARAN DENGAN CEKAL HATI); SESUNGGUHNYA ALLAH BESERTA ORANG-ORANG YANG SABAR.} (AL-ANFAL 8:46)

  1. Kaedah ketiga: Hendaklah taat kepada Allah & Rasulullah SAW dengan mendengar & patuh kepada arahan.
    Ini adalah penting sekali untuk taat kepada Allah & kepada pemimpin; jika tidak akan hancur kesatuan & kekuatan tentera!
  1. Contohnya apa yang berlaku dalam perang Uhud, punca berlakunya huru-hara sehingga berdarah muka Nabi SAW adalah kerana ada sebahagian tentera yang tidak dengar arahan Nabi SAW.
  1. Kaedah keempat: Jangan kamu berpecah dengan berbalah dan berkelahi & berikhtilaf sesama kamu.
    Ini kerana kamu akan menjadi penakut & lemah untuk melawan musuh- kekuatan kamu juga akan hilang! 
  1. Dalam ayat lain Allah berfirman:
    {Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.} (A-li’Imran 3:103)
  1. Hadis riwayat Abu Musa al- Asy’ari : Bahawa Rasulullah SAW berpesan kepadanya & Muaz bin Jabal RA ketika mengutuskan mereka ke Yaman:
    Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari, taat-mentaati dalam arahan & jangan berikhtilaf.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
  1. Kaedah kelima ialah bersabar dan cekal hati dalam menghadapi musuh. 
    Ini kerana pertolongan Allah akan dapat diraih jika kita bersabar! 
  1. Jika tiada 5 sifat ini jangan harap kita nak dapat pertolongan Allah & mendapat kemenangan!

AYAT 47- {DAN JANGANLAH KAMU MENJADI SEPERTI ORANG-ORANG YANG KELUAR DARI NEGERINYA DENGAN BERLAGAK SOMBONG DAN MENUNJUK-NUNJUK (KEKUATAN MEREKA) KEPADA ORANG RAMAI (KERANA HENDAK MEMINTA DIPUJI), SERTA MEREKA PULA MENGHALANG MANUSIA DARI JALAN ALLAH DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MELIPUTI PENGETAHUANNYA AKAN APA YANG MEREKA KERJAKAN.} (AL-ANFAL 8:47)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya”
    i- Dalam ayat yang lepas Allah telah perintahkan kita kepada umat Islam 5 adab 5 tonggak untuk meraih pertolongan Allah SWT.
    Seperti biasa dalam al-Quran apabila ada perintah ada larangan, ada positif akan dibawa yang negatif pula!

    ii- Maka datang ayat ini membawa larangan agar kamu jangan ikut beberapa perangai puak kafir yang buruk! 
  1. Allah perintahkan orang beriman agar jangan jadi, jangan ikut perangai puak kafir Quraisy yang sombong, keras kepala tak dengar kata.
    Yang keluar dari Makkah mencari Nabi SAW semata-mata untuk menolak kebenaran & mepertahankan yang batil! 
    Tidak syukur kepada nikmat Allah tetapi sombong angkuh takabbur, nak tunjuk dia kuat & hebat, kaya, ramai tentera & peralatan!
  1. Kata Ibnu Kathir : Ayat ini datang setelah Allah suruh kita ikhlas dalam perjuangan dengan 5 kaedah tadi. 
    Maka datang ayat ini Allah larang orang beriman daripada menyerupai & mengikut gaya kafir yang keluar dari Makkah dengan:
    i- Menolak kebenaran.

    ii- Sombong & takabbur, agah nak menunjuk kepada manusia. 
  1. Sebagaimana Abu Jahal yang keluar Makkah tujuan asal untuk menyelamatkan harta dagangan mereka. 
    Apabila kafilah dagangan Abu Sufyan dah lepas & selamat, mereka diminta pulang, tetapi Abu Jahal enggan dan berkata:
    Tidak demi Allah!! Kita tidak akan balik kecuali kita pergi minum air di Badar, sembelih unta untuk jamuan. Kita akan berpesta & berhibur dengan minum arak, bergendang & menari, sehinggakan orang Arab sekitar akan kagum dan bercakap tentang kehebatan & kekuatan kita, nanti orang akan gerun, takut & respek kita!!!
  1. Hadis, Rasulullah SAW bersabda:
    لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ.

    Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.”
    Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?”
    Baginda SAW menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
    (HR. Muslim no. 91)
    Maka nak tahu orang itu sombong atau tidak, kita takabbur atau tidak; jika orang bawa sesuatu walaupun kita itu kebenaran tetapi tetap tolak, itulah sifat orang yang sombong!!
    (بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ). 
    Dia bukan nak dengar hujjah yang kita sampaikan tetapi dio kondem & hina orang, buat tuduhan-tuduhan yang dahsyat pula! 
    Moga Allah selamatkan kita di dunia & aman di Akhirat.
  1. Bukan setakat sombong & riya’, mereka juga keluar dengan tujuan untuk meyekat manusia daripada jalan Allah, daripada Islam!
  1. Nota: Orang-orang itu ialah kaum kafir musyrikin Makkah yang dipimpin oleh Abu Jahal dan gengnya yang bertolak ke Badar untuk menunjukkan kehandalan mereka- akhirnya mereka menerima kehancuran setelah bertempur dengan tentera Islam.
  1. Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan. Yakni Allah tahu apa yang dibuat oleh puak kafir itu, dengan sifat riya’ dan sombong, menyekat manusia dari jalan Allah, menghina orang Islam; semuanya dalam pengetahuan Allah Azza wa Jalla, maka mereka hanya akan menunggu kebinasaan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 45- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya,….}-

    Allah perintahkan apabila kamu berdepan dengan puak kafir hendaklah kamu tetap pendirian, jangan koyak & lari.
    Allah ajar kepada kita dalam ayat ini adab yang begitu besar iaitu tetap teguh pendirian dalam perjuangan, jangan lari undur.

    Allah juga ajar 5 kaedah agar para mujahidin agar: 

    i- Tetap pendirian {فَٱثْبُتُوا۟}.

    ii- Banyakkan zikir {وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا}.

    iii- Taat kepada Allah & Rasul {وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ}.

    iv- Jaga kesatuan ummah jangan berbalah 
    {وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟۟}.

    v- Sabar ketika bertemu musuh {وَٱصْبِرُوٓا۟}. 
    Jika ada 5 tonggak ini, pertolongan Allah akan dekat dengan kita insya’ Allah!
  1. Ayat 45- {… dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).}-

    Sentiasalah berzikir kepada Allah.
    Kata ulama’ : Senjata utama dalam medan peperangan ialah berzikir kepada Allah, taat kepada Allah ialah pintu pertolongan!
    Ayat ini mengajar kepada kita, apabila kita rasa tersepit atau susah dalam hidup kita, jangan cari yang pelik dan karut, pergi jumpa bomoh dan seumpamamnya tetapi carilah Allah!
    Inilah yang karut yang berlaku terhadap orang yang mengaku Islam- tetapi bergantung hati dengan tok bomoh dan dukun, dengan tangkal azimat, adalah sesuatu yang tidak patut sama sekali dan bukan itu cara mendapat kemenangan!
    Firman Allah SWT kepada Nabi Musa AS :
    {“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas”.
    Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; “Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; “Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, “Supaya mereka faham perkataanku; “Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. “Iaitu Harun saudaraku; “Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, “Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, “Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, “Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;} 
    (Taha 20: 24- 34)

    Allah ceritakan respon Nabi Musa apabila Allah perintahkannya untuk pergi berjumpa Fir’aun. Nabi Musa lalu menjawab dan meminta beberapa perkara dari Allah untuk menolongnya supaya dapat banyak berzikir, bertasbih & mengingati Allah!!! 
    Bukan Nabi Musa minta senjata atau tongkat baru tetapi untuk berzikir!
    Ini kerana Nabi Musa tahu kunci kemenangan di mana iaitu dengan banyak berzikir & bertasbih kepada Allah! 
    Maka kitapun jika nak menang & nak pertolongan Allah maka ingatlah kepada Allah dengan banyak berzikir! 
    Kata ulama’ : Kenapa jihad ini dikembarkan dengan zikir??
    Jawapan:
    Kerana kita jihad itu kerana Allah, nak menegakkan agama Allah, nak tunaikan tuntutan Allah; maka jika kita buat kerana Allah, kita kena ingat kepada Allah SWT! 
    Ini untuk menunjukkan kuatnya cinta & kasih kita kepada Allah maka kena perbanyakkan zikir & tasbih kepada-Nya.
  1. Ayat 46- {Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu,…}-

    Set kita jangan berpecah!!!
    Kata ulama’ : Sebab yang besar untuk mendapat keredhaan & kasih sayang Allah; selain taat kepada Allah & Rasulullah SAW, orang Islam juga jangan berkelahi!
    Kadang-kadang perjuangan kita nak menegakkan al-Quran & menyebarkan Sunnah; tetapi sesama kita berkelahi berbalah, hati tidak bersatu, itu tak akan berhasil, tak akan dapat pertolongan Allah & kemenangan! 
    Punca besar manusia itu berbalah ialah kerana mengutamakan hak diri sendiri, hak individu, utamakan hak kepentingan dunia daripada hak Akhirat.
    Apabila ada perbalahan akan timbul pepecahan, apabila ada perpecahan akan hilangkah kekuatan! 
    Inilah pesanan Allah SWT kepada kita, jangan sesekali berbalah & berpecah; kerana apabila berpecah, tidak ada kekuatan, apabila tidak ada kekuatan kamu tidak akan mendapat pertolong Allah & kamu akan sukar untuk mendapat kemenangan.
  1. Ayat 46- {…. dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.}-

    Hendaklah kamu bersabar & cekal hati dalam menghadapi kesukaran & kesusahan.
    Sebagaimana yang kita tahu sabar ada 3 kategori:
    i- Sabar dalam melakukan ketaatan;

    ii- Sabar dalam meninggalkan maksiat;

    iii- Sabar dalam menghadapi ujian & musibah.
    Dalam kes ini adalah sabar ketika kesusahan bertemu dengan musuh; jangan lari! 
    Jangan berbalah dengan apa yang diperintahkan ketua!
    Kena taat kepada Allah & Rasul, patuh kepada arahan ketua jangan sesekali tak dengar kata & tunjuk keras kepala.
    Kata para ulama’ : Antara sebab pertolong Allah yang besar ialah sabar (الصبر).
    Maka selain daripada taat kena ada sabar kerana jika tidak ada sabar tidak adalah pertolongan Allah! 
    Tuhan tidak akan tolong orang yang tidak sabar.
    Rugi besarlah jika kita tidak sabar dalam perjuangan menegakkan agama ini. 
    Hilang pahala & kita tidak akan dapat apa!
  1. Ayat 47- {Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.}-

    Allah perintahkab agar kamu orang Islam jangan ikut perangai kafir! 
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini adalah larangan daripada kita bertasyabbuh, menyerupai puak kafir semata-mata kerana ikut hawa nafsu, menolak kebenaran & nak menunjuk, riya’ kepada manusia
    Contoh sebagaimana apa yang terjadi kepada Abu Jahal tadi yang mahu ke Badar kerana riya’ nak menunjuk kepada manusia agar kagum kepada mereka. 
    Itu adalah perangai huduh puak kafir yang menolak kebenaran, menunjuk-nunjuk, sombong, keras kepala dan sebagainya semata-mata kerana nak tunjuk diri hebat! Maka kamu orang Islam jangan sesekali ikut perangi buruk mereka ini!
    Di akhir ayat Allah kata: Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.

    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini Allah nak ajar kepada kita agar ikhlas dalam perjuangan. 
    Jika kita buat kerja, letih dan penat tetapi jika tidak ikhlas kepada Allah, rugilah tak dapat apa! Pahala tak dapat hanya dapat penat & letih!
    Bagi orang beriman yang ikhlas; jika kita menang dapat pahala, jika kita kalah pun dapat pahala di sisi Allah.
    Tetapi jika orang yang berjuang bukan kerana Allah, bukan di atas jalan Allah, bila dia tidak dapat apa yang dikehendakinya dia akan kecewa dan sesal, maka sia-sialah kerana pahala tak dapat, habuan dunia pun tidak dapat!
    Kita pejuang Islam kena letakkan ikhlas niat kepada Allah semoga semua yang kita lakukan ini ada pahala di sisi Allah Azza wa Jalla. 

    Sekali lagi kita ulang 5 Qawaid peperangan ialah:
    i- Tetap pendirian {فَٱثْبُتُوا۟}.

    ii- Banyakkan zikir {وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا}.

    iii- Taat kepada Allah & Rasul {وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ}.

    iv- Jaga kesatuan ummah jangan berbalah {وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟۟}.

    v- Sabar ketika bertemu musuh {وَٱصْبِرُوٓا۟}. 

Semoga kita semua mendapat pertolongan Allah SWT.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top