View Categories

(19) Surah Al-Anfal: Ayat 50-51

9 min read

Dahsyat Kematian Si Kafir, Dipukul Oleh Malaikat & Kesan Dari Dosa Mereka.

Full video : https://youtu.be/FKvdaioonj8?si=dfeU7nZldmGP5o98

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 50 & 51 dalam juzuk kesepuluh.
    Setelah sebulan kita bercuti untuk rehlah Haji AAM.
  1. Dalam siri ini Allah SWT dedahkan bagaimana dahsyatnya kematian si kafir yang digambarkan Allah dalam al-Quran jika kita dapat melihatnya.
  1. Bagaimana kesan dipukul oleh malaikat ke atas mereka.
    Tetapi kerana Allah sembunyikan kematian manusia itu kita tidak nampaknya!
  1. Semua azab ini adalah kesan dari dosa mereka yang mereka buat sendiri, kerana kamu sendiri cari penyakit maka terimalah akibatnya!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa siksa Allah amat berat dan dahsyat

    ii- Maka datanglah ayat ini Allah nyatakan apakah azab & akibat itu!
    Ia bermula dari bila kamu nak mati lagi, hatta kita orang beriman takut akan sakaratul maut ini
    Jika kamu nampak apa berlaku apabila malaikat nak tarik dan sentap nyawa orang kafir yang amat dahsyat!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 50- {DAN (AMATLAH NGERINYA) KALAU ENGKAU MELIHAT (WAHAI ORANG YANG MEMANDANG), KETIKA MALAIKAT MENGAMBIL NYAWA ORANG-ORANG KAFIR DENGAN MEMUKUL MUKA DAN BELAKANG MEREKA (SAMBIL BERKATA): “RASALAH KAMU AZAB SEKSA NERAKA YANG MEMBAKAR”.} (AL-ANFAL 8:50)

  1. Allah nyatakan betapa azab orang kafir itu bermula dari mereka mula nak mati.
    Walaupun atas dunia sebelum itu mereka sihat wal afiat, kaya raya tetapi penyiksaan ke atas mereka akan bermula dari saat kematian mereka!
  1. Betapa dahsyat dan ngeri siksaan itu, malaikat memukul mereka dari depan & belakang, serta dipukul dengan pukulan berapi yang membakar.
    Serta malaikat berkata dengan mulut mereka: Rasakanlah azab neraka di Akhirat kelak!!
  1. Ada ulama’ kata : Ayat ini {Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat… وَلَوْ تَرَىٰٓ} ditujukan khas kepada Nabi Muhammad SAW.
    Tetapi ulama’ juga kata : Ia ditujukan kepada seluruh orang Islam seluruhnya, nabi, para sahabat dan semua orang beriman!
  1. Kata Ibnu Kathir RHM : Walaupun ayat ini awalnya turun kerana sebab perang Badar tetapi ia ditujukan kepada semua kafir semasa atau selepas perang Badar seluruhnya!
    Kematian mereka semua amat dahsyat & menakutkan, Allah tidak khususkan kepada kafir di Badar saja!
  1. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    i- {Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya”.} (Al-An’am 6:93)

    ii- {(Kalaulah mereka terlepas sekarang dari bencana kejahatan mereka) maka bagaimanakah (mereka dapat menolak azab seksa) apabila malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggung mereka?} (Muhammad 47:27)
  1. Kita dapat ambil iktibar pengajaran betapa mati itu amat dahsyat siksaannya bagi mereka yang kafir & derhaka kepada Allah!
  1. Tetapi timbul persoalan kenapa orang yang mati tidak berbunyi atau bertempik dan meraung kesakitan seperti orang yang sakit lain.
    Kata ulama’ : Ini kerana kesakitan maut yang amat dahsyat sehingga mereka tidak dapat berbunyi menyatakan kesakitan itu!
    Yang berbunyi itu hanya kerana kesakitan biasa yang tidak dapat dibandingkan dengan sakaratul maut!!!
  1. Maka kita perbanyakkan doa agar dimatikan dalam husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik:

    اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة!
    Maksudnya: Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.

AYAT 51- {(AZAB SEKSA) YANG DEMIKIAN ITU IALAH DISEBABKAN APA YANG TELAH DILAKUKAN OLEH TANGAN KAMU SENDIRI, KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SEKALI-KALI BERLAKU ZALIM KEPADA HAMBA-HAMBANYA.} (AL-ANFAL 8:51)

  1. Allah nyatakan sebab azab siksa yang Allah jatuhkan ini adalah kerana perbuatan mereka atas dunia dulu, yakni hasil apa yang mereka telah lakukan sendiri!
  1. Kata para ulama’ : Balasan itu adalah mengikut jenis amalan kamu buat.
    (الجزاء من جنس العمل).
    Jika kamu buat jenayah atau dosa maka balasan azab yang kamu dapat & balasan baik bagi kebaikan yang dilakukan!
  1. Allah juga menyatakan bahawa sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.
    Manusia itu yang zalim ke atas dirinya sendiri! Ini kerana Allah telah menghantar para rasul yang bawa kitab, berceramah, kuliah, berdakwah kepada kebenaran & keimanan kepada Allah!
  1. Rasul telah menegakkan hujjahnya ke atas kamu!
    Tetapi apa boleh buat kamu sendiri yang degil keras kepala tidak mahu beriman, tidak mengambil pengajaran dari apa yang dibawa oleh para rasul & Nabi SAW itu!
  1. Hadis riwayat dari Abu Zar RA bahawa Nabi SAW telah bersabda sebagaimana yang diwahyukan Allah SWT (hadis qudsi) bahawasanya Allah berfirman:

    Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi di antara satu sama lain“. [HR muslim]
    Yakni apa jua bentuk kezaliman adalah haram.
  1. Zalim ada dua jenis:
    i- Zalim kepada diri sendiri dengan ingkar kufur, buat dosa & maksiat kepada Allah SWT.

    ii- Zalim kepada orang lain dengan khianat, menyakiti, buat jahat & melanggar hak mereka!
    Biasanya jika kita sebut zalim, adalah dalam jenis yang kedua ini.
  1. Semua kezaliman yang dibuat ini akan membawa kebinasaan ke atas dirinya sendiri dengan mendapat balasan azab dari Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 50- {Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar”.}-

    Allah kata jika kamu lihat keadaan orang kafir yang menghadapi kematian, sakaratul maut yang amat dahsyat & menyakitkan!
    Mereka dipukul muka dari hadapan dan & belakang lalu hangus terbakar.
    Kata ulama’ : Azab ini adalah azab di alam barzakh dan ia bermula dari saat kematian!
    Malaikat mula menjalankan siksaan sebagai balasan ke atas mereka bermula dari atas dunia lagi iaitu sakaratul-maut!
    Kata ulama’ :
    i- Walaupun ayat ini turun sempena perang Badar di mana para sahabat dapat dilihat akibat kesan pukulan malaikat ke atas mayat orang kafir; biasanya ada kesan terbakar!

    Sebagaimana tersebut dalam kitab sejarah (ahlu as-Siyar) :
    Ada seorang lelaki datang memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia melihat atas belakang mayat Abu Jahal ada kesan seperti kena pukul dengan tali yang berbirat.
    Nabi SAW berkata: Itulah kesan daripada pukulan malaikat!
    Sebagaimana dalam kisah sebelum ini kesan hangus terbakar pada mayat yang kena pukulan malaikat, manakala yang kena senjata para sahabat kesa luka & cedera seperti biasa.

    ii- Tetapi ayat ini juga umum untuk orang kafir seluruhnya- mereka akan mendapat azab siksaan begitu juga sewaktu nak mati, mereka juga akan dipukul oleh malaikat cuma kita tak nampak!!
    Begitulah kita lihat orang kafir ini semasa hidupnya hebat, berjaya, kaya raya yang luar biasa, tetapi bila nak mati, bermulalah azab siksaan yang dahsyat ke atas mereka!
    Cuma Allah sembunyikan daripada pandangan mata kasar kita manusia biasa.
    Begitulah kita semua mahu tak mahu akan menghadapi sakaratul maut yang menakutkan ini, hanya amalan soleh masing-masing yang dapat menyelamatkan kita!
  1. Ayat 50- {Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir….}-

    Ayat ini Allah guna perkataan sedang berlaku (present tense/ مضارع)- iaitu kamu tengok (تَرَىٰٓ) & apabila nak mati (يَتَوَفَّى).
    Maka ulama’ buat kesimpulan :
    i- Ayat ini untuk Badar, ia adalah peristiwa yang telah berlaku maka pastilah sesuai untuk digunakan kata kerja yang telah lepas (past tense- ماضي), tetapi kenapa Allah gunakan fe’el mudhari’

    ii- Kata ulama’ : Ini supaya manusia nampak, seolah-olah ia berlaku di depan mata kita.
    Di mana para sahabat mendengar suara malaikat;
    أقدم حيزوم!
    Yakni Allah sebut cerita yang lepas dengan lafaz semasa supaya orang yang mendengar dapat membayangkannnya, dapat merasakan seolah sedangkan berlaku.
    Sama seperti semasa kita ziarah ke Medan Uhud, hendaklah dapat kita rasa & bayangkan keadaan genting Rasulullah SAW & para sahabat akibat dari melanggar arahan Baginda SAW.
  1. Ayat 50- {… ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka…}-

    Allah nyatakan bahawa malaikat pukul muka dan belakang mereka.
    Yakni malaikat memukul semua tempat, hanya disebut dua tempat sebagai wakil kepada depan & belakang, tak kira di mana semuanya akan kena azab!
    Apakah rahsianyna???
    Ini kerana orang kafir itu memang jahat & khianat terhadap orang Islam sebelum ini, maka sebelum mereka mati kita boleh lihat apakah balasan azab yang dikenakan terhadap mereka!
    Ini supaya orang Islam rasa besyukur dan puas hati akan balasan yang dikenakan ke atas mereka!
  1. Ayat 51- {(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri,..}-

    Allah nyatakan di sini sebab (علة) kenapa mereka diazab sedemikian rupa.
    Kenapa mereka dipukul, dihentam, diazab dengan begitu dahsyat adalah kerana tangan mereka yang telah melakukan kejahatan terhadap orang Islam ketika mereka berkuasa dulu.
    Manusia ini apabila tahu kesalahan dan sebab hukumannya maka mereka akan boleh terima.
    Allah ajar kepada kita apabila dijatuhkan hukum- mesti kena nyatakan sebabnya!
  1. Ayat 51- {… kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.}-

    Allah tidak menzalimi hamba-Nya sama sekali walaupun sedikit!
    Bahasa kita berinteraksi dalam agama ini kita kata:
    i- Jika Allah beri kepada kita kebaikan maka itu adalah dengan limpah kurnia-Nya (بفضله).

    ii- Manakala jika Allah berikan azab itu adalah dengan sebab keadilan-Nya (بعدله), tetapi kita tidak minta ini bahkan minta jauh & kita minta kebaikan.
    Bukanlah Allah mengazab orang kafir itu di dunia & Akhirat dengan sebab zalim, kerana Allah telah nyatakan Dia haramkan kezaliman ke atas diri-Nya dan ke atas sesama hamba-Nya.
    Maka kerja kita adalah taat, akur & buat ibadat kepada Allah!
    Jangan sesekali kita buat perkara pelik dengan melawan hukum Tuhan.
    Apabila kita lawan hukum Tuhan, Allah akan jatuhkan hukuman.
    Maka jangan pula bila kita kena & orang lain tak kena; kita ingat Allah tak sayang kepada kita dan berbuat zalim kepada kita!
    Bahkan kita sendirilah yang telah menzalimi diri sendiri dengan melanggar hukum Tuhan kenapa nak tuduh orang lain!
    Maka antara faedah yang kita dapat, kematian memisahkan antara yang hak & batil!
    Apabila mati kita akan nampak di manakah pengakhiran bagi orang yang soleh & di mana tempat dudak orang toleh yang derhaka!
    Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
    Hari ini ini juga adalah hari perkahwinan anakanda Amir & pasangannya, semoga Allah memberkati majlis dan perkahwinan mereka.

    اللهم بارك لهما وبارك عليهما واجمع بينهما في خير
    “Ya Allah, berkatilah mereka berdua dan berikanlah barakah kepada mereka serta satukanlah mereka dalam kebaikan.”

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top