View Categories

(20) Surah Al-Anfal: Ayat 52-54

13 min read

Kebinasaan Kaum Kafir Seperti Kaum Fir’aun Dan Lainnya, Mereka Ubah Nikmat Allah SWT & Tenggelam Dalam Laut.

Full video : https://youtu.be/2idNnKCxpoI?si=Z4qqzrzOr_ZvRthF

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 52 & 54 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa kebinasaan kaum kafir musyrik adalah dengan sebab kesyirikan & perangai huduh mereka.
  1. Sebagaimana Allah telah binasakan kaum Fir’aun, Ad, Thamud dan lain-lainnya yang derhaka kepada Allah SWT! Fir’aun dan kaumnya tenggelam dalam laut serta pelbagai balasan kaum lain, mengikut kesesuaian, masa, tempat & jenis amal kejahatan yang mereka buat.
  1. Allah nyatakan antara sebab kebinasaan itu ialah mereka ubah nikmat-nikmat Allah SWT kepada kekufuran terhadap-Nya.
    Maka ayat ini sekaligus menjadi ayat sentap & peringatan kepada kita orang beriman agar jangan melakukan perkara yang sama supaya kita tidak dibinasakan Allah SWT!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya :
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bagaimana siksanya orang kafir ketika nak mati; sama ada mati dalam peperangan Badar, yang mana ada mayat yang terbakar kesan pukulan malaikat atau mati secara umum bagi kafir lain.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan ketetapan Allah bahawa orang kafir sebagaimana umat terdahulu seperti Fir’aun dan kuncunya serta umat lain yang telah dibinasakan Allah SWT, maka kamu hendaklah berhati-hati & ambil iktibar pengajaran!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

AYAT 52- {(KEADAAN ORANG-ORANG KAFIR ITU) SAMALAH SEPERTI KEADAAN FIRAUN DAN KAUMNYA SERTA ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA. MEREKA KUFUR INGKAR AKAN AYAT-AYAT ALLAH, LALU ALLAH MENYEKSA MEREKA DENGAN SEBAB DOSA-DOSA MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUAT, LAGI MAHA BERAT SEKSANYA.} (AL-ANFAL 8:52)

  1. Dalam ayat ini Allah buat perbandingan:
    i- Keadaan orang kafir yang mati itu, sama ada dalam perang Badar atau di mana saja, yang penting mereka mati dalam kekufuran,

    ii- Keadaan mereka sama seperti Fir’aun dan kaum-kaum terdahulu lain yang telah Allah binasakan!
  1. Yakni perbuatan kaum Quraisy dalam perbuatan mereka, dalam penentangan mereka, pembohongan mereka dan menyakit Nabi SAW & para sahabat; adalah seperti Fir’aun yang telah menyakiti Nabi Musa & orang-orang Islam dari kalangan bani Israil pada waktu itu!
  1. Jadi apabila mereka telah menyakiti orang Islam, mengkhianati & mendustakan para nabi, mereka telah kufur & derhaka kepada Allah SWT, maka apa akan terjadi, apakah & akibat balasannya???
  1. Kata Syeikh Ibnu Athiyah : Seperti biasa apa yang Allah lakukan terhadap golongan yang derhaka; Allah hantar rasul, mereka tidak akan dibinasakan tanpa maklumat & bimbingan.
    Tetapi jika mereka tetap ingkar & lawan barulah Allah binasakan mereka.
  1. Allah nyatakan bahawa orang kafir terdahulu yang mengingkari ayat-ayat Allah, nescaya Allah akan binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka!
  1. Maksudnya ayat Allah ada dua kategori:
    i- Ayat Allah yang dibaca (مقروءة)- seperti kitab al-Quran di tangan kita ini, atau Zabur, Injil, Taurat yang ori yang asli sebagaimana wahyu Allah.

    ii- Ayat-ayat Allah yang boleh dilihat (منظورة), seperti mukjizat-mukjizat para nabi AS.
    Yang paling terserlah ialah mukjizat Nabi Musa AS dan mukjizat Nabi kita Muhammad SAW pun ada banyak dan besar.
  1. Kata para ulama’ seperti Syeikh Syanqiti RHM : Allah tidak nyatakan siapakah mereka itu; kaum yang seperti Fir’aun dan orang terdahulu yang lain.
    Maka kata ulama’ : Al-Quran itu ditafsirkan dengan al-Quran juga maka kaum terdahulu itu juga adalah kaum Nuh, kaum Lut, kaum Thamud & kaum Ad dan lain-lain kaum.
  1. Antara dosa mereka yang paling besar ialah:
    i- Syirik & kufur kepada Allah SWT.

    ii- Mendustakan rasul AS.

    iii- Serta pelbagai perbuatan jahat mereka, dalam ayat-ayat lain yang menyatakannya!
  1. Maka Allah ambil tindakan ke atas mereka dengan sebab mereka kufur, dengan sebab maksiat mereka terhadap Allah SWT!
    Inilah punca binasanya manusia adalah kerana derhaka kepada Allah SWT.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:

    Maksudnya: {Dan (ingatkanlah peristiwa kebinasaan) Aad (kaum nabi Hud) dan Thamud (kaum Nabi Soleh); dan telahpun ternyata kepada kamu sebahagian dari bekas-bekas tempat kediaman mereka; dan (kebinasaan mereka yang demikian ialah disebabkan) Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang-orang yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang salah).
    Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah).
    Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.} (Al-‘Ankabut 29: ayat 38-40)
    Allah SWT ambil tindakan dengan sebab dosa & derhaka yang mereka lakukan sendiri!
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan: {Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.}- yakni tiada siapa yang boleh melemahkan Allah SWT, sangat berat tindakan-Nya terhadap mereka yang kufur & mendustakan para rasul Allah!
    Maka mereka ini orang yang amat dahsyat keadaannya.
  1. Dalam al-Quran tiada ayat yang diulang semula, pasti ada perbezaanya, sama ada berbeza dari sudut lafaz, isi point yang hendak disampaikan atau berbeza dari watak manusia yang melakukannya.
    Tiada pengulangan ayat dalam al-Quran kecuali ada hikmah & perbezaan maksudnya! Kerana al-Quran itu adalah Kalamullah yang datang dari Allah!

AYAT 53- { (BALASAN) YANG DEMIKIAN ITU, IALAH KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK AKAN MENGUBAH SESUATU NIKMAT YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA SESUATU KAUM SEHINGGA MEREKA MENGUBAH APA YANG ADA PADA DIRI MEREKA SENDIRI. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-ANFAL 8:53)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Apabila Allah sebut kebinasaan;

    ii- Maka Allah nyatakan sebab kenapa mereka dibinasakan!
    Sama seperti jika pihak sekolah atau guru ambil tindakan disiplin ke atas pelajarnya; kena nyatakan sebab kenapa kepada ibu bapa atau penjaga mereka agar mereka tahu & boleh terima kenyataannya.
  1. Allah nyatakan sebab azab binasanya puak kafir Quraisy dan puak kafir umat terdahulu adalah kerana mereka telah mengubah nikmat Allah Taala yang baik-baik kepada kekufuran!
    Allah tidak akan mengubah nasib (binasakan atau beri nikmat dunia) kepada sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri yang mengubahnya!
  1. Allah hantar nikmat iman & Islam; jika kaum itu beriman, berpegang kepada agama Islam & ikut nabi-nabi mereka pasti mereka tidak akan binasa!
    Tetapi jika mereka ubah & mengingkarinya pastilah mereka akan binasa!
  1. Firman Allah SWT:
    Maksudnya: {Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.} (Ar-Ra’d 13:11)
  1. Yakni maksudnya (Nota 274): Nikmat itu akan berkekalan selagi mereka taat & bersyukur; tetapi jika mereka kufur & derhaka maka buruklah balasannya di dunia & Akhirat!
    Taat selamat, manakala derhaka akan binasa!
  1. Iaitu apabila dalam keadaan taat & beriman akan selamat; tetapi apabila mereka ubah kepada derhaka & maksiat, daripada iman kepada kufur maka ketika itu akan berlakulah perubahan iaitu bala akan turun!
    1. Ayat ini bukan untuk ditafsirkan kepada ubah dalam pegangan politik, tetapi ayat ini tafsirnya yang benar ialah ubah daripada keimanan & taat kepada kesyirikan & maksiat!
    1. Di akhir ayat Allah nyatakan: {… sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.}, yakni Allah dengar segala apa yang kamu cakap, Allah tahu segala apa yang kamu buat!
      Maka berhati-hatilah kamu jangan lakukan maksiat & derhaka kepada Allah SWT!

    AYAT 54- {(KEADAAN MEREKA) SAMALAH SEPERTI KEADAAN FIRAUN DAN KAUMNYA SERTA ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA. MEREKA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT TUHAN MEREKA, LALU KAMI BINASAKAN MEREKA DENGAN SEBAB DOSA-DOSA MEREKA, DAN KAMI TENGGELAMKAN FIRAUN SERTA PENGIKUT-PENGIKUTNYA (DI LAUT), KERANA KESEMUANYA ADALAH ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-ANFAL 8:54)

    1. Sekali lagi Allah ulang di sini:
      i- {(Keadaan mereka) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka…}

      ii- tetapi berbeza iaitu: {Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka..]
    1. Inilah yang perlu kita perhati, teliti & kaji, walaupun Allah ulang ayat yang nampak seolah sama, tetapi sebenarnya pasti ada perbezaan sebagaimana yang telah kita nyatakan di atas tadi.
    1. Perbezaan yang terdapat dalam dua ayat ini:
      i- Dalam ayat ini Allah nyatakan Fir’aun dan mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah itu tindakan & hukumannya adalah mereka dibinasakan dengan cara tenggelam dalam laut kerana kezaliman mereka.

      ii- Sedangkan dalam ayat 54 sebelumnya Allah tidak nyatakan apakah jenis azab dan bentuk siksaan itu, Allah cuma bagi amaran, Allah akan ambil tindakan atas dosa-dosa mereka!
      Inilah ilmu tadabbur al-Quran yang begitu indah & jelas.
    1. Ayat ini sekaligus memperingatkan bahawa puak Quraisy yang mendustakan, mengkhianati & menyakit Nabi SAW adalah sama seperti perbuatan Fir’aun dan kuncu-kuncunya yang telah melakukan semua itu.
      Iaitu mereka mendustakan ayat Allah maka Allah binasakan mereka, tenggelamkan Fir’aun ke dalam laut bersama kuncu-kucunya!
    1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
      Maksudnya: {Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.} (Al-A’raf 7:136)
    1. Ayat ini menunjukkan kepada kita betapa bahayanya orang yang kufur, tidak beriman, menentang Allah & Rasul-Nya, mengkhianati agama Islam, maka mereka akan dibinasakan Allah SWT.
    1. Allah menyatakan mereka itu dibinasakan, Maksudnya: {kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.}

      Zalim di sini terbahagi kepada dua kategori:
      i- Zalim kepada diri sendiri dengan melakukan derhaka & maksiat.

      ii- Atau zalim kepada orang lain dengan melakukan penindasan, pengkhianatan & kezaliman ke atas orang lain.
      Sebagaimana hadis di atas Allah SWT melarang kezaliman.
    1. Telah jelas juga dalam beberapa ayat lain siapakah umat terdahulu yang melakukan kezaliman ini, firman Allah SWT:
      Maksudnya {Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.} (At-Taubah 9:70)

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 52- {(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka…}-

      Seperti Fir’aun serta kuncu-kuncunya dan umat terdahulu; mereka kufur terhadap ayat-ayat Allah, maka Allah ambil tindakan ke atas mereka
      Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT tidak ambil tindakan ikut suka begitu sahaja.
      Sesungguhnya semua itu berlaku dengan taqdir & ketetapan Allah SWT!
      Setiap perkara yang berlaku ada sebabnya yang melayakkan mereka mendapat balasan & hukuman dari Allah SWT.
      Sebagaimana dalam perang Badar kafir mati seramai 70 orang; kemudian dalam perang Uhud tentera Islam pula terkorban seramai 70 orang!
      Boleh lihat kisah lanjutnya dalam buku Madinah ini kenapa ramai yang mati syahid di Uhud:
      Madinah al-Munawwarah.
      https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…
      Betapa manusia akan hilang banyak perkara, harta nyawa dan semuanya dengan sebab perbuatan dosa yang dilakukan oleh manusia itu sendiri!
    1. Ayat 52- {(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta…} & Ayat 54- { (Keadaan mereka) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta…}-

      Dalam surah ini Allah ulang dua kali ayat yang serupa ini iaitu keadaan mereka sama seperti Fir’aun dan kuncu-kuncunya…!
      {كَدَأْبِ ءَالِ فِرْعَوْنَ ۙ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ}.
      Kenapa masyhur sangat Fir’aun ini sehingga Allah menyebut dan menjadikannya contoh buruk berulang-ulang!
      Allah sebut khas nama Fir’aun sebanyak dua kali ulang & kaum lain yang binasa secara umum kemudian akibat mereka tenggelam dalam laut!
      Jawapan:
      i- Ini kerana Fir’aun itu bukan setakat kafir & tidak beriman tetapi dia mengaku menjadi Tuhan!
      Sungai-sungai yang mengalir di Mesir didakwa adalah dibawah kekuasaannya semua!

      ii- Maka kata ulama’ : Sesuai sangatlah dia binasa dalam laut & air, kerana dia sombong mengaku sungai Nil adalah di bawah kekuasaannya, kerana balasan itu adalah mengikut jenis amalan yang dilakukan!
    1. Ayat 53- {(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.}–

      Yakni Allah SWT tidak akan ubah (buang) nikmat yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah nikmat yang ada pada mereka dengan melakukan syirik!
      Ini kerana antara kesan dosa yang dilakukan oleh manusia ialah hilangnya nikmat yang Allah sediakan.
      Iaitu seperti daripada nikmat iman kepada kufur, nikmat tauhid kepada syirik, nikmat Sunnah kepada bid’ah, nikmat taat kepada maksiat, semua ini akan mengundang bala dari Allah SWT!
      Ayat ini menunjukkan bahayanya tukar dari kebaikan kepada kejahatan, daripada ketaatan kepada maksiat!
      Ia bukan ayat untuk menukar undi!!
      Allah juga menyatakan jaminan keselamatan itu adalah sehingga kamu kekalkan keimanan kamu kepada Allah SWT! tetapi jika iman sudah bertukar kepada kekufuran maka tunggulah saat kebinasaan yang Allah akan campakkan ke atas kamu!
      Wal-‘iyazu billah.
    1. Ayat 53- {(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.}-

      Allah tidak ubah nikmat kepada mana-mana kaum!

      Kata ulama ‘: Ayat ini umum kepada semua, kepada setiap orang yang diberi nikmat oleh Allah, sama ada:
      i- Orang muslim yang menerima kemenangan tetapi dia tidak menjaganya dengan ketaatan maka Allah akan ubahnya!

      ii- Atau orang kafir yang asal negaranya aman, tetapi jika mereka zalim sesama mereka juga; Allah akan tarik keamanan itu maka orang baik atau orang jahat akan binasa mereka!
      Maka kita semua kena hati-hati & beringat jangan kita berani melakukan maksiat kerana punca kebinasaan & kerosakan adalah maksiat kepada Allah Azza wa Jalla, inilah yang cukup berbahaya!
      Persoalan: Bukankah Fir’aun & puak musyrikin Makkah adalah memang sudah kafir, jadi apakah yang mereka ubah???

      Jawapan:
      Allah SWT ubah manusia ini daripada keadaan yang baik, iaitu:
      i- Sebelum Allah utuskan rasul-rasul seperti Nabi Muhammad SAW atau nabi Musa AS, puak kafir ini duduk dalam kekufuran begitu sahaja mereka tidak
      berlawan dengan sesiapa.

      ii- Tetapi setelah Allah utus dan hantar para rasul kepada mereka; mereka tiada lagi hujjah untuk mengatakan mereka tidak tahu, tiada maklumat!
      Maka inilah perubahan yang berlaku!

      iii- Pada zaman Fir’aun setelah Nabi Musa datang mereka masih kekal dengan kekufuran, zaman Quraisy apabila Rasulullah SAW datang, mereka juga masih kekal dalam kekufuran.

      iv- Maka terjadilah apa yang terjadi, wal-‘iyazu billah, kita minta perlindungan dengan Allah SWT daripada kebinasaan.
    1. Ayat 54- {Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka..}-

      Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan.
      Maka apabila mereka mendustakan ayat-ayat Allah maka layaklah mereka mendapat azab Allah!
      Kafir itu satu dosa tetapi jika melawan & mendustakan ayat-ayat Allah itu satu dosa lain pula yang lebih dahsyat!
      Allah SWT ulang ayat ini dua kali (ayat 52 & 54), tujuannya untuk lebih kuat & manusia beri perhatian bahawa binasa tetap datang!
      Pertama sebab kamu kafir dan yang kedua dengan sebab kamu ingkar!
      Kerana itu dalam ayat yang kedua Allah nyatakan terus apabila kamu ingkar, lawan & dusta maka kamu akan terus dibinasakan, ditenggelamkan dalam laut oleh all Azza wa Jalla.

      Begitulah maksudnya dua ayat ini:
      i- Yang pertama mereka ingkar tak mahu terima ayat-ayat Allah.

      ii- Yang kedua mereka bukan setakat tak mahu terima tetapi mereka lawan!
      Beginilah antara uslub al-Quran, setiap kali ada ulangan pasti di sana ada penambahan & kelebihan yang dibawa datang!
      Akhirnya Allah kata mereka semua itu Fir’aun, Quraisy dan semuanya; mereka binasa dengan sebab mereka zalim.
      Kita minta berlindung dari kemurkaan Allah SWT.

    Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

    Wallahu A’lam.

    Powered by BetterDocs

    Scroll to Top