View Categories

(21) Surah Al-Anfal: Ayat 55-59

13 min read

Haiwan Tak Baik Ialah Si Kafir, Mereka Batal Perjanjian & Tidak Ada Yang Terlepas Dari Hukuman.

Full video : https://youtu.be/uWqDCTtWonI?si=OvluFWpGMid6RnXp

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 55 sehingga ayat 59 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa haiwan ialah makhluk yang melata atas muka bumi ini dan sejahat-jahat haiwan yang tak baik manusia yang menentang Allah Azza wa Jalla iaitu manusia yang kafir.
  1. Kemudian Allah ceritakan tentang mereka yang suka membatalkan perjanjian.
    Dia berjanji dia yang batalkan, dia berjanji dia yang khianat dan tipu serta tak tunaikan!
  1. Akhirnya Allah nyatakan tidak ada manusia yang terlepas dari hukuman Allah.
    Mungkin dia akan terlepas hukuman atas dunia ini tetapi di Akhirat kelak tidak sesekali! Kerana itu jangan sesekali kita berani menjadi manusia yang zalim kerana Allah tidak biarkannya tanpa kena hukuman yang setimpal!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bahawa semua mereka itu kafir sama ada Fir’aun, Quraisy dan umat terdahulu yang menentang rasul mereka, semua mereka adalah kafir!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan sebahagian daripada mereka dengan ciri-ciri kejahatan yang sangat dahsyat iaitu kufur & syirik terhadap Allah SWT!
    Allah nyatakan juga mereka ini kufur setelah melihat nikmat Allah yang begitu banyak yang telah diberikan kepada mereka!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 55- {SESUNGGUHNYA SEJAHAT-JAHAT (MAKHLUK) YANG MELATA DI SISI (HUKUM DAN KETETAPAN) ALLAH IALAH ORANG-ORANG YANG KAFIR (YANG DEGIL DENGAN KEKUFURANNYA). SEBAB ITU MEREKA TIDAK (MAHU) BERIMAN.} (AL-ANFAL 8:55)

  1. Allah nyatakan bahawa dalam banyak-banyak haiwan yang melata bergerak atas muka bumi ini, pada penilaian Allah SWT; yang sejahat-jahatnya adalah manusia yang kufur kepada Allah.
  1. Mereka degil tidak mahu beriman kepada Allah & tetap berada di dalam kekufuran!
    Sifat kafir itu sebati dalam diri mereka!
    Mereka berterusan kufur walaupun menerima nikmat dari Allah SWT yang begitu banyak!

    Kufur ada dua:
    i- Pertama kufur dari sudut Aqidah, keluar dari agama, kufur yang besar.

    ii- Kufur nikmat iaitu tidak bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan.
    Inilah yang kita takut, setelah menerima nikmat Allah yang begitu banyak kita kufur pula kepada Allah!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).
    Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri.} (Al-Anfal 8: Ayat 22-23)
  1. Inilah sifat pertama manusia yang jahat iaitu kufur kepada Allah!

AYAT 56- { (IAITU) ORANG-ORANG YANG ENGKAU TELAH MENGIKAT PERJANJIAN SETIA DENGAN MEREKA, KEMUDIAN MEREKA MENCABULI PERJANJIAN SETIANYA PADA TIAP-TIAP KALI, SEDANG MEREKA TIDAK MAHU MEMELIHARA DIRINYA (DARI KEAIBAN MENCABULI PERJANJIAN ITU).} (AL-ANFAL 8:56)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT bawa sifat jahat yang kedua iaitu: Orang kafir yang telah buat perjanjian elok-elok untuk duduk di bawah pentadbiran Rasulullah SAW, nak ikut duduk di bawah negara Islam, berdamai dengan muslim & berjanji untuk turut membela Islam jika ada orang luar mahu menyerang Madinah.
  1. Tetapi apa boleh buat, mereka jahat & belot, mereka melanggar perjanjian itu.
    Siapakah mereka yang dimaksdukan ini???
  1. Kata Syeikh Ibnu Athiyah RHM :

    i- Sepakat ulama’ tafsir bahawa : Ayat ini turun menceritakan tentang kejahatan yahudi bani Quraizah yang telah membatalkan perjanjian mereka dan belot dengan membantu tentera musyrikin dalam peperangan Ahzab pada tahun ke-5H.
    Yang mana Quraisy Makkah mengumpulkan semua kafir yang ada atas muka bumi ini untuk menyerang Islam di Madinah.
    Kisah penuh tentang peperangan Ahzab ini boleh lihat dalam buku Madinah juga!

    ii- Selepas turun ayat ini walaupun turun kepada bani Quraizah ia juga umum kepada semua manusia atas muka bumi ini yang buat perjanjian kemudian khianat & melanggar perjanjiannya!
    Berjanji sana sini, buat manifesto itu ini kemudian tak tunaikan.
  1. Kita orang beriman tidak berbohong & khianat janji.
    Manakala orang tidak beriman & tidak bertaqwa kepada Allah tidak takut untuk berbohong & melanggar perjanjian ini kerana mereka tidak takut kepada Tuhan!
    Janji yang mereka buat adalah semata-mata untuk menyelamatkan diri atau kerana nafsu maka berani buat & langgarnya dengan mudah!
  1. Yakni dalam ayat ini Allah ceritakan kepada kita tentang kejahatan bani Quraizah seperti:
    i- Keras kepala tidak mahu masuk Islam. Tidak mengapa kerana tidak ada paksaan dalam agama.

    ii- Kemudian siafat jahat tidak mahu tunaikan perjanjian yang telah mereka ikat & membatalkannya.

    iii- Mereka juga tidak takut kepada Tuhan & tidak malu kepada orang, buat janji kemudian tidak tunaikannya!
    Pada zaman kita ini juga begitulah; inilah spesis manusia yang celaka & jahat!

AYAT 57- {OLEH ITU, JIKA ENGKAU MENEMUI MEREKA DALAM PEPERANGAN MAKA HANCURKANLAH MEREKA (SUPAYA DENGAN ITU) ORANG-ORANG YANG DI BELAKANG MEREKA (GERUN GENTAR); MUDAH-MUDAHAN ORANG-ORANG ITU PULA BERINGAT (INSAF).} (AL-ANFAL 8:57)

  1. Dalam ayat ini Allah ajar pula kepada Nabi SAW & kita semua orang Islam; jika bertemu, berdepan dan berhadapan dengan puak-puak yang jahat itu dalam peperangan, hentam & lawan mereka habis-habisan, jangan dok sayang dan rasa kasihan belas.
  1. Walaupun dulu mungkin kita berkawan tetapi sekarang ini mereka jahat & khianat!
    Jangan simpan lagi perasaan itu kerana telah batalkan perjanjian & tak tunai janji!
    Setelah tak ada lagi perjanjian boleh ambil tindakan keras terhadap mereka!
  1. Boleh jadi dengan tindakan tegas tersebut menjadikan kafir lain ambil pengajaran, mereka tidak akan berani membatalkan perjanjian dengan orang Islam dengan mudahnya!
  1. Kata ulama’ tafsir :
    i- Dalam kisah ini yahudi bani Quraizah yang mendiami sebelah atas Madinah (al-Awali) telah membatalkan perjanjian dengan Nabi SAW & umat Islam apabila mereka membuat pakatan dan memihak kepada tentera Ahzab yang mahu datang menyerang Madinah.

    ii- Jadi apabila tentera kafir Makkah datang dari bawah Madinah, yahudi ini pula menyerang dari atas maka keadaan umat Islam amat genting & seolah tersepit pada waktu itu dek pengkhianat mereka.

    iii- Setelah selesai peperangan, alhamdulillah kafir tak dapat mengalahkan tentera Islam walaupun setelah hampir sebulan membuat kepungan dan mereka terpaksa berundur keluar dari Madinah dalam keadaan lemah & kalah.

    iv- Malaikat Jibril datang kepada Nabi SAW setelah tentera Islam kembali ke rumah masing-masing dan meletakkan senjata membawa arahan dari Tuhan untuk menyerang & mengepung bani Quraizah yang telah jahat & khianat!

    Kisah penuh boleh baca dalam buku Madinah ini:
    Madinah al-Munawwarah
    https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…

AYAT 58- {DAN JIKA ENGKAU MENGETAHUI ADANYA PERBUATAN KHIANAT DARI SESUATU KAUM (YANG MENGIKAT PERJANJIAN SETIA DENGANMU) MAKA CAMPAKKANLAH (PERJANJIAN ITU) KEPADA MEREKA DENGAN CARA TERUS TERANG DAN ADIL. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG KHIANAT.} (AL-ANFAL 8:58)

  1. Kita orang Islam mesti amanah dan menjaga perjanjian yang dibuat.
    Tetapi dalam ayat ini Allah mengajar kepada Rasulullah SAW:
    i- Jika kita dapat melihat ada tanda-tanda, dalil bukti yang jelas bahawa mereka nak khianat kepada kita, buat perjanjian dengan orang lain yang boleh memudharatkan kita, ada bibit-bibit pengkhianatan yang akan berlaku;

    ii- Maka kita boleh batalkan perjanjian sebelum serang mereka!
    Allah ajar untuk campakkan (batalkan, tarik balik) perjanjian itu, sekarang jika nak lawan boleh berlawan secara berdepan, tidak mahu tipu lagi atau menjadi musuh dalam selimut!
  1. Amat berat sekali dosa orang yang menipu & mengkhianati perjanjian sebagaimana hadis Nabi SAW ini:
    {لِكُلِّ غادِرٍ لِواءٌ يَومَ القِيامَةِ يُعْرَفُ به، يُقالُ: هذِه غَدْرَةُ فُلانٍ}.
    الراوي: عبدالله بن مسعود • مسلم
    Setiap pengkhianat nanti pada hari kiamat mempunyai sebuah bendera yang bertuliskan, ‘Inilah pengkhianatan pada si fulan.” [HR Bukhari dan Muslim].

    Semoga Allah jauhi kita daripada sifat yang amat buruk ini.
  1. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada mana-mana pengkhianat.
    Tidak kiralah pengkhianat dalam agama, pemerintahan, pentadbiran atau perjanjian!
    Atas dunia ini sukalah pengkhianat dapat berkuasa; tetapi di Akhirat kelak tunggulah balasan Allah SWT!

AYAT 59- {DAN JANGANLAH ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU MENYANGKA (BAHAWA) MEREKA TELAH TERLEPAS (DARI KEKUASAAN DAN BALASAN KAMI); SESUNGGUHNYA MEREKA TIDAK AKAN DAPAT MELEMAHKAN (KEKUASAAN KAMI).} (AL-ANFAL 8:59)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT peringatkan kita apabila buat perjanjian kena tunaikan janji!
    Bila buat perjanjian, perdamaian kena jaga jangan tipu!
    Tetapi ada juga orang menipu & khianat tetapi dia selamat, contoh dalam peperangan Badar tidak mati & selamat.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah tegaskan bahawa puak kafir, para pengkhianat jangan kamu sangka kamu selamat hari ini kamu akan selamat selama-lamanya!
    Kamu selamat tak kena bunuh selamat dalam Badar, tunggu di Uhud.
    Dalam perang Uhud kamu selamat juga; tunggu dalam Ahzab dan begitulah seterusnya! Kamu tidak akan lepas, selamat di dunia, di Akhirat tidak kan terlepas.
  1. Inilah peringatan kita untuk orang mukmin; kita yakin & percaya jika seseorang yang zalim atas dunia ini tetapi dia hidup selamat & seolah aman atas dunia ini, kita jangan bimbang walaupun selamat di dunia, di Akhirat kelak sesekali mereka tidak lepas!

    Mereka tidak akan dapat melemahkan Allah daripada mencari mereka!
  1. Maka kita hati-hatilah kita orang beriman mahu selamat di dunia & aman juga di Akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 55- {Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya)…}-

    Allah nyatakan sejahat-jahat makhluk atau haiwan melata atas muka bumi ini di sisi Allah ialah orang kafir yang degil.
    Kenapa Allah gunakan perkataan binatang atau haiwan yang melata {ٱلدَّوَآبِّ} di atas muka bumi ini.
    Sedangkan yang dimaksudkan di sini ialah orang, kenapa tidak kata orang atau manusia terus?

    Jawapan:
    Allah sifatkan mereka dengan binatang atau haiwan, yang begitu berat perumpamaannya bagi manusia, kerana dakwah & mukjizat para rasul itu sudah jelas.
    Mereka lihat sendiri dengan mata kepala mereka; tiba-tiba mereka tidak gunakan akal untuk berfikir dan tidak guna ayat-ayat Allah untuk dikaji!

    Apa guna ada akal jika akal tidak berfungsi, apa guna pemikiran jika ia juga tidak diguna, maka manusia seperti itu sudah selayaknya dipanggil sebagai haiwan! Wal ‘yazu billah.

    Maka haiwan yang paling jahat & tidak berguna atas dunia ini ialah manusia yang tidak beriman & tidak menggunakan akal untuk berfikir!
  1. Ayat 56- {(Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya…}-

    Mereka itu setelah mengikat perjanjian dengan kamu, mereka mencabul & mengkhianatinya.
    Walaupun ayat ini asalnya diturunkan kepada bani Quraizah dan tentang peperangan; tetapi ia menjadi peringatan umum kepada semua jenis pengkhianatan & penyelewengan yang dilakukan, ia adalah kejahatan yang dilarang dalam Islam!
    Peristiwa bani Quraizah ini berlaku pada tahun ke-5 H tetapi kenapa Allah gunakan perkataan dengan sirah (مضارع) present tense; iaitu {يَنقُضُونَ} menunjukkan kamu akan membatalkannya sedangkan perjanjian itu sudah terbatal sebelum turunnya ayat al-Quran ini.

    Ulama’ tafsir kata : Untuk menunjukkan bahawa para pengkhianat ini begitulah perangai mereka!
    Peristiwa pengkhianatan ini akan berulang & berlaku lagi sama ada dengan orang kafir atau khianat sesama Islam kita.
    Iaitu seperti geng tali barut yang nampak seolah menyokong orang Islam kemudian senyap-senyap buat perjanjian dengan orang kafir untuk menjatuhkan atau merosakkan orang Islam!
    Inilah kejahatan sebahagian golongan munafiqin yang ada dalam negara Islam, wal ‘iyazu billah.
    Kerana itulah Allah guna perkataan {يَنقُضُونَ} yang menunjukkan perbuatan yang sedang berlaku dan akan terus berlaku, bukan yang telah berlaku!

    Para ulama’ mengatakan : Tiada sebab lain untuk menyatakan bahawa peristiwa & perangai ini akan ini berulang; maka kamu orang yang beriman jauhkan diri daripada sifat yang buruk & tidak baik ini!
  1. Ayat 57- {Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan maka hancurkanlah mereka (supaya dengan itu) orang-orang yang di belakang mereka (gerun gentar);…}-

    Allah ajar jika bertembung dengan mereka ini dalam peperangan, hancurkan mereka dengan sepenuhnya supaya menjadi pengajaran bagi orang kafir selepas mereka!
    Para ulama’ mengatakan : Antara faedah undang-undang hudud ialah semua perbuatan dibalas dengan setimpal seperti undang-undang qisas iaitu bunuh balas & pengkhianat akan diambil tindakan atas pengkhianatannya.
    Maka kita kena keraskan undang-undang ini supaya menjadi pengajaran kepada mereka yang melihatnya!
    Kerana mereka ini telah khianat, maka Allah izinkan untuk diambil tindakan keras ke atas mereka!
    Islam tidak mengajar keganasan & menyokong terrorist tetapi orang yang jahat ada undang-undang dan dibalas setimpal dengan jenayahnya.
    Sebagaimana tujuan hukum hudud ini adalah untuk menjadi satu pencegahan dari Allah; maka penjenayah pasti dihukum dan diambil tindakan keras ke atas mereka agar menjadi pengajaran kepada orang lain!
    Kita lihat dunia ini hari ini betapa jenayah yang kejam dan berat seperti pembunuhan berlaku dengan berleluasa di mana sahaja, di sekolah, kolej university hatta di rumah sendiri!
  1. Ayat 58- {Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil…}-

    Jika kita nampak mereka yang ada perjanjian dengan kita mula nak khianat & nak batalkan perjanjian, maka kita hendaklah dengan segera menolak & tarik balik perjanjian itu!
    Yakni jika nampak orang nak khianat kepada kita, nak batalkan perjanjian atau nak bersekongkol dengan orang lain terutama musuh kita, maka kita hendaklah segera membatalkan perjanjian itu sebelum kita menjadi mangsa pengkhianatan mereka!
    Dalam isu perjanjian seperti dalam peperangan & politik; kita kena peka dan licik juga, cepat bertindak, jangan jadi terlalu lurus dan betul sehingga dipermainkan dan dikhianati orang.
    Orang kafir & munafiq, semata-mata kerana kepentingan diri nak menyelamatkan diri, harta dan keadaan mereka sanggup buat saja berjanji lain buat lain!
    Dalam ayat ini Allah ajar kepada kita orang mukmin jangan khianat & mula dulu permusuhan; tetapi jika nampak orang nak khianat kepada kita, hendaklah segera tarik diri, hantar balik & batalkan perjanjian itu!
    Ingatlah di akhir ayat Allah kata: {Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.}, maka kita jangan menjadi orang yang dibenci Allah SWT semata-mata kerana nak jaga kepentingan diri & dunia.
    Khianat dalam jual-beli, perniagaan, dalam politik, kerjaya, rumah tangga dan khianat di mana saja!
  1. Ayat 59- {Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka (bahawa) mereka telah terlepas (dari kekuasaan dan balasan Kami);…}-

    Wahai puak kafir yang selamat, terlepas tidak terkena tindakan & hukuman Allah atas muka bumi ini jangan sedap hati.
    Sama ada kafir yang terselamat tidak terbunuh dalam peperangan Badar atau Uhud, juga di mana saja jangan sangka kamu bebas!
    Ingatlah kamu di bawah pemerhatian, penguasaan dan kuasa Allah SWT Bila-bila masa & di mana saja Allah SWT boleh ambil tindakan.
    Kita lihat orang yang bila berkuasa atas dunia ini; dia ambil tindakan ke atas orang itu, atas orang ini, tetapi kita tunggulah kerana hari itu silih berganti, hidup ini umpama roda, sekali di atas sekali di bawah, hari ini kita kuat besok orang lain pula kuat.
    Maka waktu kita kuat janganlah buat perkara yang boleh menyusahkan kita pada masa depan, yang boleh menyusahkan kita di Akhirat. Maka hati-hatilah wahai manusia.

    Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
    إنَّ اللَّهَ لَيُمْلِي لِلظّالِمِ، حتَّى إذا أخَذَهُ لَمْ يُفْلِتْهُ. قالَ: ثُمَّ قَرَأَ {وَكَذَلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَا أَخَذَ الْقُرَى وَهِيَ ظَالِمَةٌ إِنَّ أَخْذَهُ أَلِيمٌ شَدِيدٌ} [هود: 102] .
    الراوي : أبو موسى الأشعري •البخاري •صحيح البخاري.

    Sesungguhnya Allah beri tempoh kepada si zalim tetapi Dia tidak lupa atau lepas.

    Apabila Allah ambil tindakan tidak akan ada sesiapa yang boleh lepas.
    Kita minta perlindungan dari Allah SWT agar kita terselamat daripada melakukan kejahatan atas dunia ini kepada sesiapa sahaja; mudah-mudahan kita selamat di dunia & akhir di Akhirat.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top