View Categories

(22) Surah Al-Anfal: Ayat 60-63

11 min read

Persiapan Alat Perang, Galakan Infaq, Bantuan Allah & Satukan Hati.

Full video : https://youtu.be/GTzlfwunUtU?si=wh47QkKTIsSXksLj

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 60 sehingga ayat 63 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT perintahkan Nabi SAW & umat Islam supaya menyediakan persiapan alat perang untuk menghadapi ancaman musuh.
    Setiap peperangan pasti ada senjata khas yang mesti dimiliki oleh orang Islam, mengikut kesesuaian masa & keadaan perang itu.
  1. Nak ada senjata kena ada kewangan; maka Allah bawa juga galakan infaq, bersedekah dan menderma fi-sabilillah untuk perbelanjaan kaum muslimin.
  1. Kemudian Allah nyatakan manusia ini sentiasa berbalah & berpecah!
    Mereka hanya dapat berdamai & disatukan hanya dengan bantuan Allah yang dapat satukan hati.
    Sebagaimana keadaan orang kafir yang kamu nampak seolah bersatu sedangkan hati mereka berpecah sebenarnya!!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan jika mereka musuh melawan, maka lawan balik mereka serta keraskan tindakan ke atas mereka yang khianat & cabul perjanjian.
    Nak lawan & berperang kena ada senjata & kelengkapan.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa kita orang Islam kena ada kekuatan & persiapan.
    Ini kerana setiap sesuatu itu kena ada sebabnya.
    Sebab kemenangan kita pertamanya adalah kerana pertolongan dari Allah, kemudian strategi & senjata yang mantap, gabungan ini amat penting untuk kejayaan!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 60- {DAN SEDIAKANLAH UNTUK MENENTANG MEREKA (MUSUH YANG MENCEROBOH) SEGALA JENIS KEKUATAN YANG DAPAT KAMU SEDIAKAN DAN DARI PASUKAN-PASUKAN BERKUDA YANG LENGKAP SEDIA, UNTUK MENGGERUNKAN DENGAN PERSEDIAAN ITU MUSUH ALLAH DAN MUSUH KAMU SERTA MUSUH-MUSUH YANG LAIN DARI MEREKA YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA; SEDANG ALLAH MENGETAHUINYA. DAN APA SAHAJA YANG KAMU BELANJAKAN PADA JALAN ALLAH AKAN DISEMPURNAKAN BALASANNYA KEPADA KAMU, DAN KAMU TIDAK AKAN DIANIAYA.} (AL-ANFAL 8:60)

  1. Ayat ini adalah perintah Allah SWT supaya kita membuat persiapan dalam menghadapi musuh & serangan.
    Kena ada kekuatan tentera, perancangan dan strategi yang rapi serta senjata yang mantap! Ini kerana bagi setiap sesuatu itu ada sebab. (لكل شيء سببا).
  1. سَمِعْتُ رَسولَ اللهِ ﷺ وَهو على المِنْبَرِ يقولُ: ﴿وَأَعِدُّوا لَهُمْ ما اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ﴾ [الأنفال: ٦٠]، أَلا إنَّ القُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلا إنَّ القُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلا إنَّ القُوَّةَ الرَّمْيُ.
    الراوي: عقبة بن عامر • مسلم،

    Uqbah bin Amir RA berkata dia mendengar Rasulullah SAW berkhutbah di atas minbar:
    Buatlah persiapan setakat yang kamu mampu. Ingat, kekuatan itu ialah lontaran (sama ada panah, tombak dan seumpamanya), Nabi SAW ulangnya sebanyak 3 kali.” [HR Muslim].
  1. Terbukti sekali hadis Nabi SAW yang 1400 tahun dulu adalah hakikat hari ini, semua senjata hari ini berasaskan lontaran, bom, peluru berpandu, drone, missile, rudal dan sebagainya!
  1. Kemudian Allah nyatakan antara persiapan peperangan pada masa itu ialah dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia tujuannya adalah untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh orang Islam semuanya!
  1. Jika hari ini pastilah kenderaan perang yang canggih sesuai dengan zamannya, bukan yang sudah buruk atau lama, yang ketinggalan zaman yang boleh melemah & memudharatkan tentera kita sendiri!
    Strategi itu mesti ada!
    Musuh itu sama ada yang zahir, jelas nampak atau musuh yang kita tidak tahu & tidak nampak, seperti musuh dalam selimut iaitu munafiq yang berpura & menyamar!

    Ada ulama’ kata : Jin adalah termasuk musuh yang kita tidak nampak!
  1. Ayat ini dalil bahawa wajib kita membuat persediaan untuk menghadapi ancaman musuh.
    Senjata & kelengkapan itu mestilah lengkap dan seiring dengan zaman dan keperluan semasa.
    Jangan orang guna bom kita masih guna senapang patah!
  1. Tetapi semua itu memerlukan belnja dan dana yang besar.
    Maka Allah beri juga galakan untuk berderma & infaq.

Allah juga beri jaminan bahawa apa saja yang kamu sedekah, infaq fi-sabilillah itu, Allah akan sempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

AYAT 61- {DAN JIKA MEREKA (PIHAK MUSUH) CENDERUNG KEPADA PERDAMAIAN, MAKA ENGKAU JUGA HENDAKLAH CENDERUNG KEPADANYA SERTA BERTAWAKALAH KEPADA ALLAH. SESUNGGUHNYA IA MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-ANFAL 8:61)

  1. Dalam ayat ini Allah ajar pula jika kita nampak musuh ada kecenderungan untuk berdamai & berbaik; maka kita terimalah tawaran damai dan nak berbaik mereka itu!
  1. Kemudian bertawakkal-lah kepada Allah kerana kita tidak tahu apakah niat mereka yang sebenar.
    Apakah betul mereka mahu berdamai atau hanya nak ambil peluang dan menyelamatkan diri.
    Yang penting kita jangan khianat & berserahlah kepada Allah!
  1. Begitulah sifat orang yang bertaqwa, terima perdamaian mereka serta dakwahlah mereka kepada Islam, kenalkan mereka akan kebaikan & keindahan Islam yang, sehingga dia dengar kalimah Allah & tahu apa itu Islam, al-Quran dan lain-lain.
  1. Jika mereka ada agenda lain, mahu khianat kepada orang Islam; maka kita serahkan kepada Allah kerana: Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

AYAT 62- {DAN JIKA MEREKA BERTUJUAN HENDAK MENIPUMU, MAKA SESUNGGUHNYA CUKUPLAH ALLAH (MENJAGA DAN MEMBERIKAN PERLINDUNGAN) KEPADAMU. DIA LAH YANG MENGUATKANMU DENGAN PERTOLONGANNYA DAN DENGAN (SOKONGAN) ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-ANFAL 8:62)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang sebelumnya Allah kata jika mereka nak berdamai terimalah!

    ii- Datang ayat ini menyatakan; tetapi jika tujuan perdamaian mereka itu kerana nak tipu & perdaya orang Islam; kamu jangan balas & khianat kepada mereka.
    Cukuplah Allah sebagai saksi dan kita serahkan urusan mereka kepada Allah, Allah yang akan hisab & hukum mereka!
  1. Dalam ayat ini Allah beri nasihat & tunjuk ajar, bimbingan kepada orang Islam, apabila orang kafir itu mahu khianat dan ada tipu daya dalam tawaran perdamaian mereka, jangan kita balas dengan kejahatan & khianat juga.
    Kita bertawakkal dan serahkan urusan itu kepada Allah!
  1. Yakni apabila kita benar dalam perjanjian kita kerana Allah, maka Allah akan bantu kita.
    Orang Islam lain juga akan tolong kita.
    Kerana itu Allah ajar apabila berlaku perkara yang pelik kepada kita, berdoa dan ucapkanlah:
    حَسْبِيَ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
    Cukuplah hanya Allah sebagai Tuhanku, tidak ada tuhan melainkan Dia, kepada-Nya lah aku bertawakkal, dan Dia-lah Tuhan pemiliki Arasy yang agung.”

AYAT 63- {DAN (DIA LAH) YANG MENYATU-PADUKAN DI ANTARA HATI MEREKA (YANG BERIMAN ITU). KALAULAH ENGKAU BELANJAKAN SEGALA (HARTA BENDA) YANG ADA DI BUMI, NESCAYA ENGKAU TIDAK DAPAT JUGA MENYATU-PADUKAN DI ANTARA HATI MEREKA, AKAN TETAPI ALLAH TELAH MENYATU-PADUKAN DI ANTARA (HATI) MEREKA. SESUNGGUHNYA IA MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-ANFAL 8:63)

  1. Allah menegaskan bahawa hanya Allah sahaja yang dapat menyatu padukan hati-hati manusia.
    Kamu sesama manusia tidak akan dapat melakukannya walaupun setara mana kuat!
  1. Ini kerana kita nak satukan atas dasar apakah?
    Atas dasar kebangsaan, kebangsaan akan tumbang.
    Atas dasar perniagaan & harta, ia juga akan hilang dan begitulah semuanya!
  1. Jika tidak bersatu dengan ikhlas atas dasar ukhuwwah & Islam kita akan kecewa akhirnya!
    Sebagaimana kecewanya pejuang-pejuang yang lain atas dunia ini.
  1. Dalam ayat ini Allah sebut: { وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ- Allah-lah yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu).},
    Maka ada ulama’ seperti al-Qurtubi berkata : Bahawa ini adalah antara kaum Aus & Khazraj di Madinah selepas kedatangan Rasulullah SAW.
    Boleh baca cerita tentang mereka yang telah berbalah selama 120 tahun sebelum Islam ini:
    Madinah al-Munawwarah https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…
  1. Begitu juga persaudaraan antara kaum Ansar penduduk Madinah dengan kaum Muhajirin dari Makkah, yang sebelum ini tak kenal mata hidung.
    Tetapi apabila Rasulullah SAW mempersaudarakan mereka, ukhuwwah kerana Allah itu amat mengagumkan sehingga sanggup mengutamakan saudaranya lebih daripada diri sendiri & keluarga.
  1. Allah yang satukan hati manusia.
    Atas dunia ini buatlah pakatan atas nama apa sekalipun jika bukan atas dasar Islam atau kerana Allah; tetap akan berpecah kerana hanya Allah yang dapat satukan hati manusia kerana: Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana!
  1. Cukuplah kesatuan ummah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW menjadi garis panduan untuk kita!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 60- {Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan…}-

    Allah SWT perintahkan kita untuk menyediakan kekuatan & kelengkapan untuk melawan musuh dengan apa saja jenis persediaan.
    Walaupun Allah ada kuasa kun-fayakun untuk hancurkan apa saja kekuasaan musuh & kafir; tetapi Allah mahu kita umat Islam menjalani sunnah berlawan & mendapat pahalanya!
    Kamu kena lawan puak kafir, sediakan persiapan, kekuatan & perlawanan.
    Jelas bagi kita untuk wajib melawan puak kafir & jangan bersekongkol dengan mereka yang membenci Islam.
    Umat Islam mesti ada kekuatan & wajib buat persiapan mengikut zaman & kekuatannya.
  1. Ayat 60- {Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia…}-

    Kita kena buat persiapan yang rapi serta sediakan tentera berkuda.
    Kata ulama’ : Harus untuk umat Islam sedekah & waqafkan kenderaan dan alat senjata yang boleh digunakan dalam perang.
    Kita boleh waqafkan kereta dan lain-lain alat untuk kegunaan jihad dan semuanya akan memberi pahala.
    Untuk perlawanan secara fizikal dan berdepan, alat senjata perang menjadi kekuatan.
    Manakala untuk perlawanan secara mental dan alam maya seperti hari ini, alat-alat media yang diperlukan.
    Jadi kita umat Islam hari ini kena up to date, ikut perkembangan zaman & teknologi yang ada.
    Kita wajib pandai & tahu untuk guna, ambil manfaatkan alat-alat canggih ini!
    Unit media amat penting dalam setiap pasukan!

    Sebagaimana kata ulama ‘:
    الناس على دين ملوكهم
    Manusia itu di atas agama pemimpinnya.

    Sebagai contoh dibawa keadaan pada zaman:
    i- Pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz seorang pemimpin yang warak & soleh, maka rakyatnya juga sibut dengan urusan agama & ibadat, menghafaz al-Quran dan lain-lain kebajikan.

    ii- Pada zaman khalifah lain pula kerana dia minat pada kemewahan, rakyatnya juga sibuk bincang pasal perkahwinan, istana besar dan seumpamanya.
    Manakala pada zaman kita sekarang ini; Manusia mengikut gaya medianya!
    Mereka tidak ikut lagi gaya pemimpinnya kerana tidak ada pemimpin yang boleh dibuat idola & ikutan, yang boleh diharapkan hari ini!
    Kita kena ada persiapan & alat-alat media ikut peredaran zaman untuk melawan dakyah musuh & menyampaikan kebenaran Islam kepada masyarakat, tidak boleh kita hanya berdiam diri.
  1. Ayat 60- {… untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu…}-

    Alat-alat senjata itu untuk menakutkan {تُرْهِبُونَ} musuh Allah & musuh kamu.
    Sekarang ini satu istilah yang digunakan oleh pihak kafir barat iaitu istilah pengganas (terrorist- irhabi) ke atas orang Islam.
    Dalam ayat ini Allah sebut kamu mesti menakutkan musuh.
    Maka apakah Islam menggalakkan irhabi (pengganas)??
    Tidak sesekali, tetapi Islam mempertahankan haknya, tidak boleh orang bukan Islam sewenang-wenang pijak kepala kita, khianat kepada kita, tidak boleh orang munafiq main-main memperkotak-katikkan Islam, tidak boleh sama sekali!

    Ulama’ tafsir kata : Maka Allah perintahkan supaya kita sediakan kekuatan supaya orang takut.

    Beberapa faedah kekuatan atau apabila kita kuat:
    i- Apabila orang kafir lihat negara Islam kuat mereka tidak akan berani serang kita.

    ii- Mereka akan sertai negara Islam yang kuat, hatta sanggup membayar jizyah (cukai) seperti pada zaman Nabi SAW dulu.

    iii- Apabila Islam kuat orang yang lemah akan ikut kita.
    Mengikut sejarah pada zaman kegemilangan Islam di Andalus dulu, orang kafir memakai jubah, pakaian Arab Islam dan mereka berbangga dengan pakaian yang hebat itu.

    Kita hari ini sebaliknya, ikut pakaian orang barat yakni kafir, sama ada dalam majlis kahwin, majlis apa bahkan majlis ilmu (agama & al-Quran) suit & kot menjadi pakaian rasmi yang wajib & dibanggakan.
    Yang celaka lagi, lelaki dibungkus manakala wanita pula ditelanjangkan dan anak-anak orang Islam dengan bangga mengikut budaya kafir ini atas nama protokol, budaya & peraturan!
    Sedangkan dalam Islam yang dibungkus dan dijaga auratnya ialah wanita, manakala bagi lelaki lebih ringan, tetapi mereka yang mengikut ajaran syaitan ini menukarnya!
  1. Ayat 61- {Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah…}-

    Islam mengajar kepada kita untuk mengutamakan perdamaian daripada pertikaian.
    Perkara boleh bincang kenapa kita mahu berbalah & berkelahi.
    Netizen sekarang kata: Jika benda boleh berbalah kenapa nak berbaik??!!
    Allah kata jika mereka nak berdamai kita terima & berdamailah!
    Tetapi jangan lupa apabila nak berdamai kita kena banyak bertawakkal kepada Allah!
    Apabila kita bertawakkal kita telah ikat hati & diri kita kepada Allah.
    Kekuatan kita umat Islam adalah tawakkal kepada Allah SWT, jika tidak kita tidak akan berjaya!
  1. Ayat 63- {Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu)…}-

    Allah-lah yang menjinakkan hati manusia semuanya.
    Kita sesama manusia hanya dapat ikat & jinak hati sesama manusia buat sementara sahaja!
    Kerana kita mahu ikat hati manusia atas dasar apa??? Atas dasar harta atau pangkat kedudukan, tidak akan kekal!!
    Ini kerana apabila habis atau hilang yang dikehendaki, hati mereka akan berubah dan tidak akan kekal jinak!
    Para pejuang Islam, pendakwah & pencinta ilmu; kalau kita tidak jadikan matlamat kita kepada Allah, hati kita tidak akan jinak & bersatu!
    Jika kita letak kepentingan Islam di hadapan, insya’ Allah kita akan selamat!
    Masalah ukhuwwah dalam masyarakat sekarang ini amat longgar, masing-masing ikut nafsu dan kepentingan diri masing-masing, nafsi-nafsi orang kata.
    Menyatukan dan menjinakkan hati sesama manusia adalah satu perjuangan yang besar & tidak mudah.
    Semoga Allah satukan hati-hati kita kerana Islam, mudah-mudahan kita selamat di dunia & aman di Akhirat.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top