Allah Tegur Isu Tawanan Badar, Halal Tebusan & Niat Mesti Baik.
Full video : https://youtu.be/wDeUv4n6H_s?si=EMZBMnCqLFHQH3aN
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 67 sehingga 71, dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan isu ambil tebusan daripada tawanan Perang Badar, di mana sepatutnya tidak perlu ambil tebusan tetapi dipancung bunuh semuanya.
- Tetapi rahmatnya Rasulullah SAW dengan disokong oleh Sayyidina Abu Bakar RA, mengambil keputusan yang lebih lunak iaitu membebaskan tawanan perang itu dengan menerima bayaran tebusan!
Manakala Sayyidina Umar RA lebih suka jika semua mereka dibunuh sebagai balasan kejahatan mereka terhadap orang Islam di Makkah dahulu.
- Maka turun ayat ini lebih memihak kepada pandangan Sayyidina Umar.
Namun begitu Allah turunkan ayat beri kemaaafan & menghalalkan tebusan tawanan Badar.
Rasulullah SAW & Abu Bakar RA menangis mendengar teguran Allah SWT ini.
Kemudian Allah tegur tawanan Badar yang dibebaskan itu agar jujur & berniat baik, beriman & masuk Islam, jangan terus hanyut dalam dendam kesumat nanti Allah akan ambil tindakan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT akhiri perbincangan tentang peperangan Badar dalam surah ini dengan menyatakan hukuman yang berkait dengan tawanan perang.
ii- Maka dalam ayat ini menjelaskan lagi hukumnya.
Ini kerana apabila ada peperangan pasti ada tawanan perang & harta rampasan perang (ghanimah).
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 67- {TIDAKLAH PATUT BAGI SESEORANG NABI MEMPUNYAI ORANG-ORANG TAWANAN SEBELUM IA DAPAT MEMBUNUH SEBANYAK-BANYAKNYA DI MUKA BUMI. KAMU MENGHENDAKI HARTA BENDA DUNIA (YANG TIDAK KEKAL), SEDANG ALLAH MENGHENDAKI (UNTUK KAMU PAHALA) AKHIRAT. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-ANFAL 8:67)
- Sebab turun ayat ini adalah begitu panjang, di mana Ibnu Abbas meriwayatkan apa yang dia dengar daripada Khalifah Umar RA:
i- Asbabun nuzul (sebab turun) ayat 67 surah al-Anfal berkaitan dengan peristiwa Perang Badar, di mana kaum Muslimin menawan beberapa orang musyrikin.
Rasulullah SAW bermusyawarah dengan para sahabat mengenai apa yang harus dilakukan terhadap tawanan tersebut.
Sebagian sahabat, termasuk Abu Bakar RA, berpendapat untuk menerima tebusan dari mereka, sementara Umar bin Khattab RA berpendapat untuk membunuh mereka.
ii- Allah menurunkan ayat 67 Surah Al-Anfal untuk menegur pilihan yang diambil (menerima tebusan), dianggap kurang tepat, kerana seharusnya yang lebih utama adalah menumpas musuh hingga ke akar-akarnya dan bukan mencari keuntungan duniawi dari tebusan. [HR Muslim].
- Terdapat beberapa lagi cadangan Umar al-Khattab RA yang bertepatan dengan hukum & ayat al-Quran yang Allah turunkan selepasnya:
i- Riwayat daripada Anas bin Malik, katanya: Umar bin al-Khattab RA berkata:
وَافَقْتُ رَبِّي فِي ثَلاَثٍ: فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللهِ، لَوِ اتَّخَذْنَا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى، فَنَزَلَتْ: {وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى} وَآيَةُ الحِجَابِ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، لَوْ أَمَرْتَ نِسَاءَكَ أَنْ يَحْتَجِبْنَ، فَإِنَّهُ يُكَلِّمُهُنَّ البَرُّ وَالفَاجِرُ، فَنَزَلَتْ آيَةُ الحِجَابِ، وَاجْتَمَعَ نِسَاءُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الغَيْرَةِ عَلَيْهِ، فَقُلْتُ لَهُنَّ: عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبَدِّلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ، فَنَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ.
Maksudnya: “Pendapat aku seiring dengan perintah Tuhanku dalam tiga perkara.
Aku berkata: (Pertama) ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya kalau kita jadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.’ Maka turunlah ayat ini (yang bermaksud): ‘Dan jadikanlah Maqam Ibrahim itu sebagai tempat solat.’ [Surah Al-Baqarah: 125]
(Kedua) Berhubung dengan ayat hijab, aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau suruh isteri-isteri engkau berhijab, kerana orang baik dan orang jahat semuanya boleh bercakap dengan mereka.’ Maka turunlah ayat hijab.
Dan (ketiga) para isteri Nabi SAW berkumpul kerana cemburu kepada Baginda.
Aku pun berkata kepada mereka: ‘Mungkin jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu.’ Maka turunlah ayat ini.” [HR al-Bukhari (402)].
ii- Al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani menyebutkan bahawa hadith ini tidak menunjukkan ia hanya terhad kepada tiga perkara itu sahaja, bahkan terdapat banyak lagi pendapatnya yang lain yang selari dengan wahyu.
Di antara yang terkenal seperti kisah tawanan Badar dan kisah solat ke atas orang Munafik, dan kedua-dua kisah ini terdapat dalam kitab al-Sahih.
- Nota (278)-
i- Setelah Rasulullah SAW & orang Islam yang dipimpinya berjaya mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sebagai peperangan pertama selepas hijrah ke Madinah.
Nabi SAW meminta pandangan para sahabat tentang apa yang harus dilakukan terhadap tawanan perang yang mereka dapat dari kalangan musyrikin Makkah.
ii- Beberapa orang sahabat memberi pandangan seperti Sayyidina Abu Bakar RA yang mencadangkan untuk membebaskan mereka dengan diambil tebusan, manakala Sayyidina Umar RA pula mahu mereka semua dibunuh dengan dipancung dek kerana kejahatan mereka terhadap Rasulullah & orang Islam di Makkah dulu.
iii- Di mana akhirnya Rasulullah SAW mengambil mendapat Abu Bakar dan membebaskan mereka dengan tebusan.
iv- Lalu turun ayat al-Quran ini di mana Allah SWT menegur Nabi SAW kerana memilih pandangan yang pertama.
Allah kata jangan kamu ambil tawanan lagi sehingga kamu kuat atas muka bumi & digeruni, ditakuti oleh orang kafir!
Jika kamu benarkan tebusan maka mereka tidak takutlah kerana duit & harta mereka ada banyak!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Maksudnya: {Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang memimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.} (Muhammad 47:4)
Allah SWT menegur dengan tegas & jelas sekali.
AYAT 68- {KALAULAH TIDAK (KERANA) ADANYA KETETAPAN DARI ALLAH YANG TELAH TERDAHULU, TENTULAH KAMU DITIMPA AZAB SEKSA YANG BESAR DISEBABKAN (PENEBUS DIRI) YANG KAMU AMBIL (DARI ORANG-ORANG TAWANAN) ITU.} (AL-ANFAL 8:68)
- Kemudian Allah nyatakan kalaulah tidak kerana telah ada hukum dari Allah yang dari azali lagi sebelum ini bahawa harta ghanimah adalah halal & dibolehkan untuk umat Nabi Muhammad SAW ; tentulah kamu akan ditimpa azab seksa yang besar.
- Tetapi kerana ada sudah ada ketetapan sedemikian; maka tebusan yang kamu ambil tadi adalah halal!
- Juga kerana kelebihan ahli Badar, di mana Allah telah nyatakan sesiapa yang keluar berperang ke Badar bersama Rasulullah SAW, Allah akan ampunkan dosa mereka!
Besar sekali kelebihan mereka di sisi Allah.
- Tetapi jangan melampaui sehingga buat tangkal azimat pula menggunakan nama-nama ahli perang Badar!
Ini adalah satu kesesatan & khurafat!
AYAT 69- {MAKA MAKANLAH DARI APA YANG KAMU TELAH DAPAT (DALAM PEPERANGAN) ITU, SEBAGAI BENDA YANG HALAL LAGI BAIK, SERTA BERTAQWALAH KEPADA ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-ANFAL 8:69)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang sebelumnya Allah nyatakan jika tidak kerana ketetapan Allah yang awal kamu akan dikenakan azab.
Ayat ini lebih kepada satu teguran & peringatan yang besar dari Allah!
ii- Maka datang ayat ini menenangkan pula, makanlah apa yang kamu dapat dapat daripada harta ghanimah & tebusan sebagai benda yang halal lagi baik {حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا}.
- Ayat ini menenangkan perasaan Rasulullah SAW & para sahabat yang telah ditegur sebelum ini kerana silap buat keputusan.
- Ayat ini ditafsirkan dengan hadis Nabi SAW ini:
i- Sabda Nabi SAW : “Halalnya ghanimah bagi kita kerana Allah mengetahui kelemahan dan ketidak-berdayaan kita.” (HR. Bukhari dan Muslim).
ii- Rasulullah SAW bersabda, “Aku diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku. Tetapi, aku tidak mengatakannya sebagai bentuk kesombonganku:
(1) Aku diutus kepada seluruh manusia, baik yang berkulit putih maupun yang berkulit hitam;
(2) Aku ditolong dengan rasa takut yang ditanamkan kepada musuhku sejak sebulan sebelum berperang;
(3) Dihalalkan bagiku harta rampasan perang, dan tidak dihalalkan kepada seorang nabi pun sebelumku;
(4) Dijadikan bagiku tanah ini sebagai masjid dan tempat bersuci;
(5) Aku diberikan hak untuk memberikan syafaat, maka aku pun menangguhkannya untuk umatku pada hari kiamat nanti.
Syafaat itu hanya akan aku berikan kepada siapa saja yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.” [HR Bukahri & Muslim].
- Maka bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
AYAT 70- {WAHAI NABI, KATAKANLAH KEPADA ORANG-ORANG TAWANAN YANG ADA DALAM TANGAN KAMU: “JIKA ALLAH MENGETAHUI ADA KEBAIKAN (IMAN) DALAM HATI KAMU, NESCAYA IA AKAN MEMBERI KEPADA KAMU (BALASAN) YANG LEBIH BAIK DARIPADA (HARTA BENDA PENEBUS DIRI) YANG TELAH DIAMBIL DARI KAMU, DAN IA AKAN MENGAMPUNKAN DOSA KAMU; KERANA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-ANFAL 8:70)
- Munasabah ayat:
i-Apabila para sahabat mengambil tebusan daripada tawanan, mereka menjadi & terasa begitu hina, down perasaannya.
ii- Maka datang ayat ini untuk memujuk hati & menenangkan perasaan puak kafir itu supaya mereka masuk Islam.
- Yakni jika kamu masuk Islam, tidak akan rugi harta yang kamu bayar itu kerana Allah beri kamu peluang untuk hidup & peluang untuk mengenali Rasulullah SAW dari dekat serta beriman kepada dakwah yang dibawanya lalu masuk Islam.
- Jika kamu tidak diberi peluang membayar tebusan, pastilah kamu akan mati dihukum bunuh dan akan terus diazab masuk neraka tanpa sempat bertaubat & beriman!
- Hadis riwayat dari Anas bin Malik RA.
- Ulama’ tafsir berbeza : Pendapat tentang ayat ini diturunkan kepada siapa?
i- Ada yang kata ia turun khas kepada bapa saudara Nabi SAW iaitu al-Abbas bin Abdul Muttalib, yang enggan berhijrah ke Madinah bersama para sahabat lain lalu dia terpaksa menyertai tentera Abu Jahal & menjadi tawanan.
ii- Kepada semua tawanan perang yang ada.
- Jadi Rasulullah SAW menasihati al-Abbas agar jangan runsing & membayar tebusan itu kerana jika kamu beriman nilainya hanya sedikit berbanding dengan keselamatan & iman kamu!
- Rasulullah SAW juga membebaskan beberapa tawanannya tanpa wang tebusan sama sekali.
Rasulullah tidak melakukan itu atas kehendak sendiri, akan tetapi keputusan itu diambil setelah Baginda berbincang dengan para sahabatnya.
Rasulullah adalah orang yang mementingkan musyawarah dalam menyelesaikan suatu hal.
Abul Ash bin Ar-Rabi adalah suami kepada Sayyidah Zainab puteri Rasulullah, salah seorang tawanan perang yang dilepaskan tanpa wang tebusan.
Pada waktu itu, menantu Rasulullah itu belum masuk Islam dan ikut bertarung di barisan kaum musyrik Makkah ketika perang Badar.
Natijahnya, kaum musyrik kalah dan dia tertawan.
Lalu Sayyidah Zainab menebus Abul Ash dengan kalung hadiah dari ibundanya Sayyidah Khadijah, namun Rasulullah mengembalikan itu dan membebaskan Abul Ash setelah bermusyawarah dengan para sahabatnya.
- Jadi dalam isu tawanan ini boleh dikatakan kedua-dua pandangan Abu Bakar & Umar RA adalah tepat & bermanfaat.
Dengan dibebaskan secara tebusan ramai kaum keluarga Rasulullah SAW & keluarga sahabat lain yang selamat dan akhirnya memeluk Islam.
- Allah nyatakan bahawa jika kamu orang baik & dalam hati kamu ada iman maka Ia akan mengampunkan dosa kamu; kerana Allah Maha Pengampun, lagi maha Mengasihani.
- Ini adalah tawaran & peluang yang Allah berikan kepada sahabat yang selamat dari terbunuh dalam peperangan Badar kemudian selamat sekali lagi daripada dibunuh sebagai tawanan pula.
Mereka akhirnya menjadi pejuang Islam.
AYAT 71- {DAN JIKA MEREKA (ORANG-ORANG TAWANAN ITU) BERTUJUAN HENDAK MELAKUKAN KHIANAT KEPADAMU, MAKA SESUNGGUHNYA MEREKA TELAHPUN MELAKUKAN KHIANAT KEPADA ALLAH (DENGAN KEKUFURAN MEREKA) SEBELUM ITU, LALU ALLAH MENJADIKAN (ENGKAU) MENGALAHKAN DAN MENUNDUKKAN MEREKA; KERANA ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-ANFAL 8:71)
- Allah nyatakan jika orang tawanan itu nak khianat kepada Nabi SAW menzahirkan Islam untuk selamat, kemudian kembali menyertai musuh untuk memerangi Islam nak balas dendam;
- Kamu (Muhammad SAW) jangan runsing & bimbang, Allah akan ambil tindakan ke atas mereka!
- Yakinlah bahawa Allah akan mengalahkan dan menundukkan mereka kerana:
i- Allah Maha Mengetahui, segala perkara yang mereka buat.
ii-Lagi Maha Bijaksana, untuk menetapkan hukum ke atas kita.
- Maka kita terimalah, akur & yakin bahawa agama ini datang dari Allah maka kita yakinlah akan hukum-hakam & perundangannya yang pasti dengan ilmu, hikmah & kebijaksanaan Allah Azza wa Jalla!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 67- {Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan…}-
Allah kata tidak layak bagi seorang Nabi untuk mengambil tawanan sedangkan dia belum lagi dapat menjatuhkan keegoan orang kafir dengan membunuh mereka seramai mungkin!
Allah tegur Nabi SAW kerana orang kafir itu ada kekuatan- cuma mereka kalah dalam peperangan Badar kerana silap strategi! Sehingga mereka mati 70 orang, ditawan 70 orang!
Maka jika kamu sedar akan kekuatan mereka, maka pancung bunuhlah semua tawanan yang 70 orang itu, jangan simpan sehinggalah kamu betul-betul kuat!
Ulama’ kata : Walaupun teguran itu keras tetapi Allah SWT masih lagi memanggil dan menegur dengan lunak.
Iaitu Allah kata tidak layak bagi seorang Nabi SAW {مَا كَانَ لِنَبِىٍّ}- yakni walaupun Allah menegur Baginda tetapi masih memanggilnya dengan gelaran & jawatannya sebagai seorang nabi yang disayangi.
Kemudian Allah nyatakan bahawa jika 70 orang itu dibunuh pasti orang kafir akan kecut perut & tak berani nak lawan lagi!
Kerana tidak dibunuh itulah Abu Sufyan berani datang lagi menyerang pada tahun hadapannya sehingga berlakunya Perang Uhud.
Serta di akhir ayat Allah nyatakan bahawa, {Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}
Yakni kamu jangan fikir apa lagi, sekarang tebusan itu halal untuk kamu walaupun telah ditegur dengan begitu keras!
- Ayat 67- { Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat…}-
Allah kata Dia nak beri kepada kamu bahagian Akhirat tetapi kamu pilih untuk ambil dunia!
Ulama’ kata : Mengambil tebusan & membebaskan tawanan itu lebih bersifat keduniaan, kerana:
i- Mereka itu musuh, mereka itu kafir, yang melawan & khianat kemudian mereka jadi tawanan kamu, mengapa kamu berbuat lunak & kasihan balas kepada mereka?
ii- Apakah kerana mereka keluarga & anak beranak kamu, maka kamu nak bebaskan & selamatkan mereka!
iii- Juga untuk mendapatkan harta sebagai dana menguatkan tentera, yakni kamu nak & pilih dunia!
Sedangkan Allah mahu memberi yang Akhirat kepada kamu, tak apalah tak dapat dunia pun, sekurangnya dapat Akhirat, jika mati kamu akan mati syahid!
Allah tegur kita agar dalam perjuangan ini jangan dok nampak dunia saja; kita ambil Akhirat yang sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT.
Ini yang sangat penting dalam peristiwa ini.
- Ayat 68- {Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu,…}-
Jika tidak ada ketetapan awal dari Allah bahawa kamu umat Muhammad ini boleh makan harta rampasan perang, kamu akan ditimpa azab dari Allah!
Kata ulama’ : Ayat ini ini adalah kelebihan atau satu mihnah (tribute) terhadap ahli Badar.
Kamu ahli Badar tidak dikenakan azab kerana Allah telah halalkan bagi kamu!
Ayat ini juga menolak pandangan muktazilah & qadariyah yang menolak taqdir Allah SWT, yakni dalam kes ini; taqdir itu telah berlaku maka Allah menghalalkan bagi kamu harga tebusan itu.
Kemurungan & stress ini datang sama ada kerana hasutan jin atau datang dari tekanan jiwa diri manusia itu sendiri yang terlalu banyak memikirkan sesuatu yang tidak perlu sehingga membawa kepada kemurungan!
Kita balik kepada qadha’ & qadar.
- Ayat 69- {Maka makanlah dari apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik, serta bertaqwalah kepada Allah;…}-
Allah kata makanlah harta ghanimah sebagai sesuatu yang halal & baik.
Walaupun harta itu bukan hanya mengandungi makanan tetapi juga senjata baju besi perisai dan lain-lain, tetapi makan ini adalah sinonim dengan kehidupan manusia.
Paling kuat dalam hidup kita adalah makan! Harta lebih banyak habis digunakan untuk makanan!
Sama seperti orang keluar bekerja mencari rezeki, dikatakan keluar cari makan.
Maka Allah gunakan perkataan, makanlah harta itu {فَكُلُوا۟} walaupun benda itu senjata dan lain-lain kerana makan adalah asas keperluan utama dalam hidup manusia.
Kemudian Allah pesan {serta bertaqwalah kepada Allah;…}- yakni jika kamu dah dapat harta jangan lagha dan lupa untuk bertaqwa kepada Allah dalam hidup kamu.
Walaupun nampak dengan mengambil tebusan seolah mereka mahukan habuan dunia sebenar tidak, mereka juga mahukan Akhirat.
Cuma kelembutan hati mereka yang menjadikan mereka mahu membebaskan tawanan perang itu!
Pandangan itu juga lebih lunak kerana memberi peluanng kepada mereka untuk masuk Islam!
- Ayat 70- {Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang ada dalam tangan kamu: “Jika Allah mengetahui ada kebaikan (iman) dalam hati kamu, nescaya Ia akan memberi kepada kamu (balasan) yang lebih baik…}-
Allah SWT perintahkan kepada Nabi SAW untuk pergi berdakwah kepada tawanan perang yang selamat itu.
Iaitu jika dalam hati mereka ada kebaikan, mahu beriman kepada Allah- maka Allah akan beri & membalas kebaikan yang lebih besar kepada mereka!
Nabi SAW telah selamatkan mereka daripada kecelakaan yang besar iaitu jika mereka dibunuh terus pastilah mereka akan masuk neraka & diazab di Akhirat kelak.
Tetapi dengan menjadi tebusan mereka selamat & masih hidup, mendapat peluang untuk bertaubat & beriman!
Lalu mereka akan selamat di dunia & Akhirat insya’ Allah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
