View Categories

(25) Surah Al-Anfal: Ayat 72-73

13 min read

Fadhilat Hijrah Dan Jihad, Muhajirin Dan Ansar Dipersaudarakan & Kewajipan Menjauhi Si Kafir.

Full video : https://youtu.be/GtEfjG2Bl5I?si=ad-EExOm27U2-gqh

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 72 & 73 dalam juzuk kesepuluh.
    Hari ini hari ke-9 Muharram (Yaum at-Tasu’a’), kita digalakkan berpuasa untuk menyalahi perbuatan yahudi yang hanya berpuasa esok pada hari ke-10 Muharram.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kepada kita sifat-sifat orang yang mulia iaitu beriman, berhijrah, berinfaq dengan harta benda juga dengan jiwa raga.
    Serta besar kedudukannya apabila kita dapat meletakkan kesatuan ummah atas landasan Allah SWT!
  1. Kemudian Rasulullah SAW menjalankan program mempersaudarakan (الإخاء)
    antara Muhajirin dan Ansar di Madinah sehingga pada peringkat awal mereka boleh saling mewarisi jika mati, tetapi di akhir surah hukum ini telah dibatalkan.
    Contoh, Salman al-Farisi dipersaudarakan dengan Abu Darda’, Abdur Rahman bin Auf dengan Saad bin ar-Rabi’.
  1. Di akhir ayat Allah larang orang mukmin berwala’kan orang kafir iaitu kewajipan menjauhi si kafir dan menjadikan mereka ketua.
    Kita orang beriman hati-hati jika nak bergabung dengan kafir atau apa, kena lihat dulu dalam gabungan itu siapa kuat, jika dia kuat jangan, tetapi jika dia lemah mungkn dia boleh berada di bawah pimpinan kita; ini adalah peringatan dari Allah SWT!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    a- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan kepada kita tentang perintah-Nya kepada Nabi SAW untuk bercakap dan memujuk tawanan Badar yang dibebaskan agar beriman kerana ia akan membawa kebaikan kepada mereka.
    Jika tidak mereka mungkin akan ditangkap & menjadi tawanan semula atau terbunuh; maka mereka akan beroleh kerugian yang sangat nyata.
    Beberapa orang tawanan yang telah memeluk Islam ini ialah:

    i- Bapa saudara Nabi SAW al-Abbas bin Abdul Muthalib,

    ii- Abu Al-‘As bin Ar-Rabi’, menantu Nabi SAW, suami kepada Zainab binti Rasulullah SAW,

    iii- Suhail bin Amru salah seorang pemidato Quraisy yang hebat & salah seorang perunding wakil Quraisy di Hudaibiyah.

    iv- Sufyan bin Umayyah,

    v- Abdullah bin Abi Rabi’ah,

    vi- Amru bin Abu Sufayan,

    vii- Aqil bin Abi Talib.
    Kebanyakan mereka ini isytihar Islam mereka selepas Pembukaan Kota Makkah.
    Yakni daripada 70 orang tawanan yang ditebus tadi hanya tujuh atau 10 orang sahaja yang Islam.
    Kerana itulah kata ulama’ : Pandangan Sayyidina Umar untuk membunuh semua mereka itu lebih tepat!

    b- Maka datang ayat ini Allah SWT menyatakan jika kamu betul-betul mahukan kebenaran maka berhijrahlah keluar dari Makkah menuju ke Madinah.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 72- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERHIJRAH SERTA BERJIHAD DENGAN HARTA BENDA DAN JIWA MEREKA PADA JALAN ALLAH, DAN ORANG-ORANG (ANSAR) YANG MEMBERI TEMPAT KEDIAMAN DAN PERTOLONGAN (KEPADA ORANG-ORANG ISLAM YANG BERHIJRAH ITU), MEREKA SEMUANYA MENJADI PENYOKONG DAN PEMBELA ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN. DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG BELUM BERHIJRAH, MAKA KAMU TIDAK BERTANGGUNGJAWAB SEDIKITPUN UNTUK MEMBELA MEREKA SEHINGGA MEREKA BERHIJRAH. DAN JIKA MEREKA MEMINTA PERTOLONGAN KEPADA KAMU DALAM PERKARA (MENENTANG MUSUH UNTUK MEMBELA) AGAMA, MAKA WAJIBLAH KAMU MENOLONGNYA, KECUALI TERHADAP KAUM YANG ADA PERJANJIAN SETIA DI ANTARA KAMU DENGAN MEREKA. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MELIHAT AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-ANFAL 8:72)

  1. Sesungguhnya Allah nyatakan beberapa sifat yang baik & terpuji:
    i- Orang yang beriman,

    ii- Dan berhijrah

    iii- Serta berjihad dengan harta benda

    iv- Dengan jiwa mereka pada jalan Allah,

    v- Dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu),

    vi- Mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain.
  1. Sebab nuzul ayat ini panjang, di mana di akhir ayat Allah kata:

    i- Orang muhajirin & Ansar ini bersaudara sehingga peringkat mereka boleh saling mewarisi (pusaka) satu sama lain.

    ii- Kemudian ayat itu dibatalkan dengan ayat akhir dalam surah ini iaitu ayat 75 iaitu hanya keluarga terdekat yang boleh menerima pusaka.
  1. Kata Ibnu Abbas RA : Pada awal hijrah di Madinah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dari Makkah dengan kaum Ansar di Madinah sehingga mereka boleh saling mempusakai atas dasar persaudaraan.
    Tetapi apabila datang ayat selepas itu, hukum ini telah dibatalkan (mansukh) dari segi pusaka, cuma ukhuwwah persaudaraan itu, bantu membantu, tolong menolong antara satu sama lain tetap kekal.
  1. Perbezaan pendapat ulama’ :
    i- Ada Ulama’ berpendapat : Ayat persaudaraan (الإخاء) ini tidak dibatalkan, tetap kekal.

    ii- Pandangan majoriti yang berpendapat ayat telah dimansukhkan dengan ayat 75,
    {وَأُو۟لُوا۟ ٱلْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍۢ فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ}
    {Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah;).
  1. Orang Muhajirin yang beriman dengan keimanan yang jitu telah sanggup meninggalkan kampung halaman & harta benda mereka berhijrah ke Madinah untuk menegakkan agama, diri sendiri, keluarga & penyebaran Islam yang begitu besar.
    Tetapi apabila nak berjihad mereka perlukan harta!
  1. Maka Allah sebut jihad mula dengan harta untuk menggalakkan berjihad dengan harta benda fi-sabilillah untuk menggerakkan perjalanan dakwah Islam.
    Macamana nak jihad jika tidak ada harta, maka laburkan harta kamu & berilah sumbangan kamu agar tentera Islam yang sanggup mati ini dapat bergerak menjalankan jihad fi-sabilillah.
    Kemudian juga jihad dengan tubuh badan berjuang menentang musuh Islam.
    Yakni tertib dari sudut susunan ayat iaitu: iman, hijrah, jihad dengan harta & jihad dengan badan & nyawa.
  1. Allah SWT juga memuji orang-orang Ansar, penduduk Madinah yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu, yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu, mereka menjemput, menerima & menyambut kedatangan muhajirin dengan hati yang penuh terbuka dan sanggup memberi segala bantuan.
  1. Contoh apabila Nabi SAW tiba di Quba’, Nabi SAW menumpang di rumah Kalthum bin al-Hidm dan Sa’ad ibnu al-Khaithamah RA.
    Alhamdulillah sekarang ini pihak Kerajaan Arab Saudi telah menanda kedudukan tempat-tempat bersejarah ini secara rasmi.
    Cuma jangan silap mengolahnya sehingga menimbulkan perbuatan bid’ah & khuratat pula. Kita menjejak Sirah Nabi SAW untuk mencari ibrah & pengajaran.
  1. Mereka juga semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain atau menerima pusaka dari satu sama lain.
    Maksudnya ayat ini boleh jadi ditafsirkan kepada dua keadaan:

    i- Jika berpendapat ia mansukh, maksudnya mereka boleh saling menerima pusaka.

    ii- Jika berpendapat ia tidak mansukh, maksudnya mereka saling tolong menolong, bantu membantu.
  1. Kemudian Allah nyatakan terdapat juga satu golongan yang beriman tetapi tidak mahu berhijrah dengan sebab-sebab tertentu.

    Bagi golongan ini Allah nyatakan:
    i- Nabi SAW & orang Islam lain tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehinggalah mereka berhijrah.

    ii- Tetapi jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya.

    iii- Kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka.
    Yakni kafir yang ada perjanjian damai dengan kerajaan Islam di Madinah, tidak boleh tolong sewenang-wenangnya.
  1. Allah SWT melarang orang Islam dari berbuat khianat & membatalkan perjanjian walaupun dengan orang kafir tanpa hak & sebab yang perlu, tanpa sebab yang diizinkan Syara’.
    Orang Islam tidak batalkan perjanjian dengan mudah-mudah.
  1. Inilah yang jadi kebimbangan & takut kerana masyarakat kita hari ini diajar, dilatih dan diasuh supaya menghasut orang, buat janji sana sini; tetapi apabila dapat kedudukan mereka lupa janji, kelentong & khianat.
    Kita telah melahirkan satu masyarakat yang tidak berpegang pada janji, amat berbahaya kepada generasi yang ada.
  1. Di akhir ayat Allah beri amaran: Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.
    Maka jangan kamu berani buat perkara yang tidak diizinkan Allah seperti khianat & membatalkan perjanjian tanpa hak!

AYAT 73- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR, SETENGAHNYA MENJADI PENYOKONG DAN PEMBELA BAGI SETENGAHNYA YANG LAIN. JIKA KAMU (WAHAI UMAT ISLAM) TIDAK MENJALANKAN (DASAR BANTU-MEMBANTU SESAMA SENDIRI YANG DIPERINTAHKAN OLEH ALLAH) ITU, NESCAYA AKAN BERLAKULAH FITNAH (KEKACAUAN) DI MUKA BUMI DAN KEROSAKAN YANG BESAR.} (AL-ANFAL 8:73)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah sebut bahawa orang mukmin sesama mukmin mesti tolong menolong satu sama lain.

    ii- Maka datang ayat ini Allah perintah supaya jangan tunduk & berwala’kan kepada orang kafir!
  1. Apa boleh buat hari ini jika sesama Islam kita tidak boleh bersatu, bahkan membenci & bermusuh tetapi kita boleh lunak dengan orang kafir, ini adalah satu perbuatan jenayah & kepincangan yang besar dalam negara Islam!
  1. Sesungguhnya orang kafir itu sesama mereka menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain.
    Mereka boleh bersatu, bergabung untuk memerangi, menentang & berbuat khianat kepada Islam.
  1. Firman Allah SWT:
    Maksudnya: {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.} (Al-Maidah 5:51)
  1. Hadis, Daripada Usamah bin Zaid RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
    لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ.

    Maksudnya: Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim. [HR al-Bukhari dan Muslim].
  1. Kemudian Allah beri amaran jika kamu wahai umat Islam tidak dengar nasihat ini iaitu:
    i- Tidak bergabung & menjalankan dasar bantu-membantu sesama orang mukmin seperti yang diperintahkan oleh Allah itu,

    ii- Masih lagi bergabung dan berwala’kan kepada orang kafir; maka apa yang akan berlaku????

    iii- Nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di bumi Islam.
    {تَكُن فِتْنَةٌۭ فِى ٱلْأَرْضِ}
    dan kerosakan yang besar {وَفَسَادٌۭ كَبِيرٌ} dalam perjalanan agama & urusan dunia.
  1. Kata Ibnu Kathir : Maksudnya firman Allah ini ialah: Apabila kamu bercampur dengan orang kafir & berwala’ kepada mereka, maka jadi bercampur antara kafir & Islam tidak dapat dipastikan yang mana betul yang mana salah, akan jadi kesamaran antara yang hak & batil, lalu anak-anak orang Islam akan membesar dalam suasana yang amat gawat ini dan boleh membawa kepada iman yang tidak mantap dan tidak jelas.
  1. Kata Imam Muhammad Amin asy-Syanqiti : Kita boleh lihat kerosakan yang berlaku pada hari ini apabila orang Islam tinggalkan sesama Islam tetapi pergi bergabung & menyokong orang yang bukan Islam!
    Dengan orang kafir mesra & mendokong tetapi dengan orang Islam garang & tegas!
  1. Di akhir ayat Allah berfirman bahawa akan berlaku kerosakan atas muka bumi ini serta lemahnya umat Islam kerana tidak ada kesatuan ummah.
    Kita berdoa kepada Allah agar curahkan kesatuan ummah kepada umat Islam serta berikan kita gabungan yang kuat untuk menghadapi mana-mana kafir atas muka bumi ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 72- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah,…}-

    Kata para ulama’ tadabbur : Dalam ayat ini Allah SWT sebut 4 sifat orang yang hebat:
    i- Beriman dengan sepenuhnya rukun iman yang 6.

    ii- Berhijrah meninggalkan negeri semata-mata kerana nak jaga agama.

    iii- Berjihad dengan harta & jiwa raga.
    Waktu susah kena mula jihad dengan harta kemudian dengan nyawa.

    iv- Para sahabat ini adalah orang yang amat hebat kerana mereka masuk Islam pada awal-awal Islam, kemudian berhijrah pada zaman yang begitu gawat & genting.
    Islam pada waktu itu amat susah dan tidak ramai penolong & penyokong.

    Hadis daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ، ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلاَ نَصِيفَهُ.
    Maksudnya: “Janganlah kamu menghina sahabatku, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfaqkan emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu cupak (pahala) seorang pun daripada mereka dan tidak juga separuh daripadanya.” [HR al-Bukhari (3673)]

    Begitulah orang yang awal pastilah akan ada kelebihan yang besar daripada yang lain
    (السبق موجب للفضيلة).
  1. Ayat 72- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah…}-

    Orang yang beriman & berhijrah besar kelebihannya

    Hijrah ini ada dua:
    i- Hijrah dari Makkah ke Madinah berakhir dengan Pembukaan Kota Makkah iaitu pada bulan Ramadhan Tahun ke-8h.
    Hijrah fizikal dari Makkah ke Madinah telah tiada kerana Nabi SAW telah bersabda:
    “لاَ هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ”
    Maksudnya: “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan (Makkah), tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berjihad“. [HR Bukhari & muslim].
    Iaitu hijrah dengan hati tetap ada sehingga ke hari Kiamat iaitu:
    Iaitu hijrah untuk meninggalkan maksiat, menegakkan agama Allah & kerana meninggalkan negeri yang maksiat dan seumpamanya tetap ada & berterusan sehingga ke hari Kiamat.
  1. Ayat 72- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah,…}-

    Allah nyatakan orang yang beriman & berhijrah mereka juga berjihad dengan harta & tubuh badan mereka pada jalan Allah.
    Dalam ayat ini Allah mulakan jihad dengan harta sebelum jihad dengan nyawa; kenapa?

    Jawapan:
    i- Ini kerana pada peringkat awal harta memang tidak ada dan umat Islam amat susah.
    Kerana itu Rasulullah SAW banyak menyebut nama isterinya yang pertama Ummul Mukminin Khadijah sehingga UM Aisyah cemburu kepadanya yang telah tiada.

    Hadis: “Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW selalu memuji Khadijah sehingga mengundang cemburu sayang padaku, lalu aku berkata kepada baginda SAW: Alangkah kerapnya tuan menyebut perihal wanita tua itu (Khadijah). Ketahuilah bahawa Allah sudah menggantikan kehilangannya (Khadijah) dengan isteri yang lebih baik.

    Rasulullah SAW bersabda:
    Sungguh dia (Khadijah RA) tiada ganti”.
    Dia beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika semua orang mendustaiku, dia membantuku dengan hartanya ketika manusia menghalangku dan Allah menganugerahkan padaku semua anaknya ketika wanita lain tidak memberikanku anak.” [HR Ahmad].
    Ulama’ buat kesimpulan bahawa : Infaq dengan harta di saat kita tidak ada harta yang banyak adalah sangat besar kelebihannya

    ii- Ini kerana jihad dengan harta lebih mudah & murah daripada nyawa.
    Kerana itu Allah sebut harta dan mula yang ringan dulu.

    iii- Harta ini semua manusia sayang & tamakkannya maka Allah beri galakan besar dengan sebut jihad dengan harta dulu, jangan takut untuk berjihad dengan harta!
  1. Ayat 72- {… Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah.}-

    Pada peringkat awal ada orang yang walaupun sudah beriman mereka tidak mahu berhijrah keluar dari Makkah.
    Maka orang Islam tidak perlu tolong mereka ini! Tetapi jika mereka betul-betul beriman kemudian tersepit, diganyang puak kafir, kita orang beriman tetap kena beri bantuan & pertolongan kepada saudara kita yang beriman!.
    Kita sesama orang beriman walau apa terjadi mesti ada sifat tolong menolong jangan dok kata biarkan mereka dalam keadaan bahaya.
  1. Ayat 73- {Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain…}-

    Allah nyatakan bahawa orang kafir itu bergabung sesama dia untuk menentang Islam.
    Kata ulama’tadabbur : Jika kafir boleh bergabung sesama mereka kenapa kita orang Islam tidak boleh bergabung sesama kita?!
    Yang ajaib dalam dunia ini ialah orang kafir bergabung sesama dia kemudian ada orang Islam bergabung juga dengan mereka tetapi dengan orang Islam benci dan celik mata, tidak!

    Bahkan yang lebih ajaibnya sesama Islam benci & tidak sokong bukan pakat nak tolong tetapi cuba menjatuhkan & berbaik menyokong orang kafir!
    Apabila ada kelompok orang Islam mendapat kuasa dalam mana-mana tempat, daerah atau negeri kemudian mereka nak laksanakan undang-undang Islam; sepatutnya semua umat Islam lain pakat tolong, sokong & memberi sokongan fizikal & moral!

    Tetapi sebaliknya pakat perli hina tidak sokong, hina & kutuk inilah negeri yang paling miskin, yang tidak membangun kerana diperintah oleh orang yang Islam yang mahu melaksanakan undang-undang Islam, menghapuskan judi, arak & zina dan lain-lain.
    Bukan pakat nak tolong tetapi pakat cuba serang & menjatuhkkannya pula!
    Kita katakan di manakah dhamir (jati diri) kita sebagai muslim, roh Islamiyyah apabila apabila kita sesama kita berkelahi!
    Allah-lah yang membantu untuk mengembalikan kehormatan & kemuliaan kepada umat Islam!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top