Muhajirin Dan Ansar Mantap Iman, Mendapat Maghfirah & Harta Pusaka Untuk Keluarga Kerabat.
Full video : https://youtu.be/8pLDHUam-1s?si=rV6xwMS1YbAygXiN
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam siri yang terakhir bagi tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 74 & 75 dalam juzuk kesepuluh.
- Alhamdulillah kebetulan hari ini hari Asyura iaitu 10 Muharram yang kita disunatkan berpuasa padanya.
Yahudi pun kenal hari ini; malanglah jika kita orang Islam tak tahu & tak ambil peluang untuk berpuasa pada hari ini!
Rugi jika kita lepaskan tawaran pengampunan yang Allah beri ini sebagai pahalanya, tahun ke depan kita tak tahu akan masih hidup atau tidak!
- Hari Asyura ini mengikut pegangan pihak tertentu:
i- Ahli Sunnah yang betul-betul berpegang dengan Sunnah Nabi SAW mereka berpuasa pada hari ini.
ii- Ahli Syi’ah Rafidhah : Pada hari ini mereka memukul & mencederakan badan mereka meratapi kematian Sayyidina Husain bin Ali.
iii- Geng nawasib : Mereka ini bergembira dengan kematian Husain bin Ali, cucu Nabi SAW lalu mereka berpesta pada hari ini!
Allahu al-Musta’an!
- Dalam ayat yang mulia ini Allah SWT nyatakan bahawa Muhajirin dan Ansar adalah golongan yang mantap imannya, Allah puji mereka.
- Allah beri jaminan mereka akan mendapat maghfirah, keampunan & keredhaan Allah SWT.
- Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa harta pusaka dikhususkan untuk keluarga kerabat terdekat, bukan lagi untuk saudara yang dipersaudarakan sebagaimana permulaan hijrah ke Madinah dulu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Muhajirin yang berperang dengan orang kafir & Ansar yang memberi pertolongan kemudian mereka menjadi saudara.
Serta dalam mana-mana golongan pasti ada perbezaan dari sudut darjat masing-masing; orang yang hijrah awal tak sama dengan yang hijrah lewat, orang yang mengorbankan harta bendanya pada peringkat awal tak sama dengan yang mutakhir, begitu juga Ansar yang sanggup berkorban dan berbahagi dengan Muhajirin dari awal.
Sebagaimana kata pepatah:
Bagi yang awal pasti ada kelebihan & keistimewaannya.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan kumpulan yang kedua iaitu, orang mukmin yang berhijrah, menetang puak kafir & golongan Ansar di Madinah yang telah membela, menerima menyambut mereka di Madinah, kedua kumpulan ini Allah kata mempunyai iman yang mantap & sempurna!
Bukan senang orang nak meninggalkan harta & keluarga, berkorban nyawa berjuang demi agama!
Begitu juga golongan Ansar, bukan mudah untuk menerima orang luar, memberi & berbahagi hartanya kepada orang lain, bahkan sanggup menceraikan isteri jika saudaranya mahu, tetapi mereka sangup melakukannya!
Maka Allah beri kepada mereka darjat yang besar, Allah puji mereka sebagai orang yang benar-benar beriman.
Mereka telah mendapat anugerah, jaminan syurga dari Allah!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 74- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERHIJRAH SERTA BERJIHAD PADA JALAN ALLAH (UNTUK MEMBELA ISLAM), DAN ORANG-ORANG (ANSAR) YANG MEMBERI TEMPAT KEDIAMAN DAN PERTOLONGAN (KEPADA ORANG-ORANG ISLAM YANG BERHIJRAH ITU), MEREKALAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN DENGAN SEBENAR-BENARNYA. MEREKA BEROLEH KEAMPUNAN DAN LIMPAH KURNIA YANG MULIA.} (AL-ANFAL 8:74)
- Allah puji dua golongan yang beriman ini sebagai mereka orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, iaitu:
i- Golongan Muhajirin dari Makkah yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam.
Meninggalkan kampung halaman, harta benda & sanggup berpisah dengan keluarga semata-mata untuk menengakkan agama Allah.
ii- Orang Ansar di Madinah yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu.
- Mereka ini Allah puji & beri anugerah:
i- Sebagai orang yang bersifat mukmin yang sebenar (أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ حَقًّۭا)
Kata ulama’ : Ini hukum & anugerah di dunia, mereka orang mukmin yang sebenar.
ii- Mereka juga mendapat keampunan Allah SWT (لَّهُم مَّغْفِرَةٌۭ) ini untuk kebahagiaan Akhirat.
Allah ampunkan dosa & kesalahan mereka, kesilapan mereka dihapuskan!
iii- Mereka mendapat rezeki yang baik di sisi Allah (وَرِزْقٌۭ كَرِيمٌۭ) iaitu yang paling besarnya ialah syurga yang luasnya seperti langit & bumi, nikmat syurga rezeki di negeri Akhirat.
Ada ulama’ kata : Boleh jadi juga dua-duanya sekali; nikmat rezeki atas dunia ini juga, kehidupan yang baik, keluarga yang bahagia, mereka dulu hidup susah kemudian dapat ghanimah, daripada penerima zakat kepada pemberi zakat.
Manusia ini berubah rezekinya atas dunia ini, ada yang dulu pengeluar zakat tetapi di akhir dunia menjadi peminta sedekah-
Allahu al-Musta’an.
AYAT 75- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SESUDAH ITU, KEMUDIAN MEREKA BERHIJRAH DAN BERJIHAD BERSAMA-SAMA KAMU, MAKA ADALAH MEREKA DARI GOLONGAN KAMU.} (AL-ANFAL 8:75)
- Kemudian Allah nyatakan kumpulan atau generasi yang kedua, selepas golongan muhajirin yang pertama tadi yang telah berhijrah & berkorban, datang pula generasi hijrah yang kedua.
- Walaupun Islam atau perjuangannya lewat tetapi mereka tetap masuk dalam perjuangan, tetap bersama kamu walaupun dari sudut darjat mereka adalah dalam kelas yang kedua.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan sifat orang mukmin yang benar iaitu golongan Muhajirin & Ansar,
ii- Maka datang ayat terakhir ini menyatakan selepas daripada Muhajirin yang terawal datang juga Muhajirin yang kedua menyertainya.
Mereka ini walaupun datang kemudian; mereka tetap mendapat tempat & kedudukan.
- Kata ulama’ :
i- Tentang Muhajirin yang pertama itu ialah mereka yang berhijrah pertama bersama Rasulullah SAW sehingga kepada Perjanjian (Sulh) Hudaibiyah pada tahun ke-6H.
Hijrah pada waktu ini keadaan begitu gawat & tentangan amat mencabar sekali.
Contoh Kisah hijrah Abu Salamah & Ummu Salamah.
Manakala selepas Perjanjian Hudaibiyah, suasana lebih tenang & lunak, ruang dakwah makin luas, gangguan & penentangan makin kurang; ini kerana sebelum itu tentera kafir yang bersekutu telah kalah kepada orang Islam di Madinah dalam Peperangan Ahzab.
Selepas Ahzab, kita akan perangi mereka dan mereka tidak akan menyerang kita (di Madinah lagi).
قالَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَومَ الأَحْزَابِ: نَغْزُوهُمْ، ولَا يَغْزُونَنَا.
خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
الراوي : سليمان بن صرد | المحدث : البخاري
Rasulullah SAW telah bertegas, menghapuskan yahudi bani Quraizah yang belot & bersekutu dengan mereka.
ii- Manakala hijrah yang kedua ialah mereka yang berhijrah selepas Perjanjian Hidaibiyah. Hijrah mereka masih diterima tetapi darjat mereka tidak sama dengan golongan Muhajirin yang terawal yang penuh dengan tribulasi, mehnah & cabaran yang amat mencabar.
Mereka ini sempat berhijrah sehinggalah Pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8H yang mana tiada lagi hijrah selepas itu!
Nabi SAW bersabda:
لاَ هِجْرَةَ بَعْدَ الفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ
“Tiada lagi hijrah selepas Fath Makkah, tetapi (masih ada) jihad dan niat.” [HR Bukhari & Muslim].
- Allah kata kepada Nabi SAW jika mereka ini berhijrah kamu terimalah mereka & mereka masih lagi dipanggil Muhajirin tetapi darjat mereka tidak sama dengan Muhajirin yang terawal tadi!
- Beberapa firman Allah SWT tentang mereka ini:
i- Maksudnya: {Dan orang-orang yang terdahulu, yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.} (At-Taubah 9:100)
ii- Maksudnya: {Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.} (Al-Hadid 57:10)
Yakni tak sama orang yang hijrah & infaq sebelum Pambukaan Makkah dengan yang selepasnya kerana sebelum itu keadaan amat gawat & memerlukan.
Selepas itu tenang alhamdulillah.
- Hadis Riwayat dari Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:
المرء مع من أحب
“Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya.” (HR Bukhari No: 5702)
- Jadi kita orang beriman mestilah sayang kepada Nabi SAW, sayang kepada Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan sekelian sahabat Nabi yang lain, bukan seperti golongan Syiah yang menghina para sahabat bahkan mengkufur sebahagian daripada sahabat yang besar seperti Sayyidina Abu bakar & UM Aisyah RA ajma’in!
AYAT 75- {DALAM PADA ITU, ORANG-ORANG YANG MEMPUNYAI PERTALIAN KERABAT, SETENGAHNYA LEBIH BERHAK ATAS SETENGAHNYA YANG (LAIN) MENURUT (HUKUM) KITAB ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-ANFAL 8:75)
- Menurut hukum dalam Kitab Allah, dalam bab bantu-membantu dan mewarisi harta pusaka antara satu sama lain; mereka yang mempunyai pertalian kerabat lebih berhak daripada orang lain!
- Kata Abu Hayyan :
i- Dalam ayat ini menasakhkan hukum boleh mewarisi antara saudara Muhajirin & Ansar dalam ayat terdahulu, iaitu di mana hanya kaum kerabat yang terdekat sahaja boleh mewarisi, alhamdulillah itulah ketetapan Allah.
ii- Bagi mereka yang berpendapat ayat ini tidak dimansukhkan, kita kata betul juga kerana masih kekal lagi galakan untuk saling berkasih sayang, bantu-membantu dan tolong menolong sesama saudara seislam!
Tetapi dari sudut hukum itu pusaka ia telah terbatal dengan turunnya ayat mawarith bagi keluarga yang terdekat ini.
- Di akhir ayat Allah tutup surah ini dengan berfirman: {… sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}.
- Iaitu antara ilmu Allah yang kita kena yakin & percaya 100% ialah ilmu tentang pembahagian harta pusaka.
Apabila orang datang bertanya kepada Nabi SAW tentang cara pembahagian harta pusaka ini Allah sendiri yang menjawabnya:
i- Firman Allah SWT:
{يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ ۚ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُهَا إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهَا وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ وَإِنْ كَانُوا إِخْوَةً رِجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۗ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ}
Maksudnya: “Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Nisa’: 176)
ii- Hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلَى رَجُلٍ ذَكَر
Maksudnya: “Hendaklah kamu berikan fardu-fardu (bahagian) kepada ahli-ahlinya, apa yang berbaki maka untuk lelaki yang lebih utama.” (HR al-Bukhari)
- Jelaslah dalam bab hukum pusaka, Allah sendiri yang memberi fatwa tentangnya; Allah tak serahkan kepada Nabi atau malaikat untuk membahagikannya!
Tiba-tiba di akhir zaman ini ada manusia yang pening mempertikaikan undang-undang faraidh, dok sibuk dengan syarikat wasiatnya saja.
- Kita kata jangan sesekali, jangan cuba merendah & merempuh bab pusaka yang Allah telah tetapkan!
Hati-hatilah ejen-ejen wasiat atau hibah, cakap biar berlapik jangan lari daripada Syari’ah, perundangan yang telah ditetapkan Allah SWT!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 74- {Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.}-
Pujian Allah ini adalah kebertuahan & kemenangan yang besar ini dapat dicapai kerana meninggalkan segala nikmat & kelazatan dunia semata-mata untuk Allah & Akhirat.
Mereka sanggup meninggalkan harta, keluarga dan tanah air kerana nak menegakkan agama Allah; manakala Ansar pula sanggup berkorban & melepaskan sebahagian harta milik mereka untuk saudara seislam semata-mata kerana Allah juga; maka semua ini melayakkan mereka untuk menjadi orang beriman yang mantap & mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Azza wa Jalla.
Maka Allah memberi keampunan yang besar kepada mereka yang berjihad & berhijrah itu, seolah Allah beri jaminan kepada mereka:
Maka kamu jangan bimbang jangan takut jika kamu ada tersalah tersilap, kekurangan, Allah akan ampunkan!
- Ayat 74- {Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya…}-
Ayat ini seolah berulang semula kerana Allah telah sebut dalam ayat 72 sebelumnya.
Apakah Allah SWT ulang cerita & perkara yang sama???
Kata ulama’ ayat : Ini walaupun berulang tetapi tidak sama maksudnya, jika ayat dalam al-Quran diulang sekali lagi pasti tidak sama isu yang hendak disampaikan!
i- Dalam ayat yang pertama
{…إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا}
Allah kata orang Islam mesti tolong menolong bantu membantu antara satu sama lain, tinggalkan orang kafir.
Yakni nak nyatakan mesti ada kesatuan umat Islam.
ii- Tetapi dalam ayat kedua
{…وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟}-
Ayat ini diulang kerana Allah nak menyatakan besarnya kedudukan Muhajirin & Ansar serta tinggi darjat mereka.
Juga dengan iman yang jitu, keampunan Allah dianugerahkan kepada mereka.
Serta apabila diulang sekali menunjukkan besarnya isu hijrah & jihad ini serta ada makna lain yang perlu kita cari & bongkar untuk memahami & mendapat manfaatnya!
- Ayat 74- {Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya…}-
Allah nyatakan Muhajirin & Ansar kedua-duanya orang beriman yang sebenar, yang mendapat keampuanan Allah SWT.
Kata ulama’ : Ini adalah sijil akuan dari Allah SWT & janji balasan yang begitu besar.
Ini semua juga untuk menghentam & memalukan puah Syi’ah Rafidah yang melaknat, mencela & menghina para sahabat Rasulullah SAW ini!
Allah puji sahabat; kamu keji mereka!
Allah redha kepada para sahabat tetapi mereka melaknatnya!
Mereka syiah telah membusukkan mulut mereka dengan celaan terhadap sahabat.
Ayat ini juga untuk menolak & mematahkan hujjah & pegangan puak murji-ah (liberal hari ini) yang mengatakan jika sudah beriman dalam hati, tidak beramal pun tidak mengapa lagi!
Jika sudah mngucap kalimah syahadah, tak solat tak tutup aurat pun tidak mengapa!
Sedangkan Allah sudah katakan iman itu mesti selari & serentak dengan amal tiada pemisahan kerana amal itu termasuk dalam iman.
Allah telah berfirman:
{وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُمْ}-
{… dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu}, iaitu solat kamu, kata ulama’.
- Ayat 75- {Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu.}-
Allah sebut martabat orang Muhajirin yang awal & yang kemudian.
Allah kata siapa yang beriman, kemudian mereka berhijrah & berjihad, selepas kamu hampir mendapat kemenangan; mereka masih diterima sebagai Muhajirin, tetapi darjat mereka tidak sama dengan golongan Muhajirin yang pertama yang berhijrah, yang terawal berjihad & berkorban ketika Islam masih gawat dan ditentang dengan kuatnya.
Daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ، ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلاَ نَصِيفَهُ.
Maksudnya: “Janganlah kamu menghina sahabatku, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfaqkan emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu cupak (pahala) seorang pun daripada mereka dan tidak juga separuh daripadanya.” [HR al-Bukhari (3673)]
Allah juga menyatakan dalam ayat ini bahawa keimanan mereka yang terawal paling tinggi di sisi Allah.
- Ayat 75- {… Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah;..}-
Allah menyatakan orang yang mempunyai pertalian rahim iaitu kaum kerabat & keluarga terdekat itu yang lebih utama & berhak.
Anak-cucu, ibu bapa, adik-beradik semua mereka ini mempunyai hak untuk mendapat harta pusaka; tidak boleh lagi diberi kepada adik beradik/persaudaraan angkat.
Ayat ini juga menjadi dalil bahawa kaum kerabat yang terdekat seperti anak atau bapa lebih aula untuk menjadi imam solat jenazah bagi keluarga yang meninggal berbanding dengan imam masjid.
Inilah keutamaannya, jika mereka pandai; jika tak pandai tak ada gunanya!
Ini dari sudut keutamaan (aulawiyyat).
Yakni ayat ini akhirnya mengembalikan hak harta pusaka kepada kaum keluarga terdekat, wallahu a’lam.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
Segala puji bagi Allah, dengan nikmat dari-Nya menjadi sempurna semua amal kebaikan.
Alhamdulillah tamatlah kita Surah Al-Anfal ini secara ringkas dengan pertolongan Allah SWT semoga mendapat faedah & berkatnya.
Insya’ Allah besok kita akan mulakan dengan surah baru iaitu surah at-Taubah, surah yang ke-9 selepas surah al-Anfal ini.
Wallahu A’lam.
