View Categories

(9) Surah Al-Anfal: Ayat 24-26

12 min read

Sahutlah Seruan Allah Dan Rasul SAW, Allah SWT Bolak-Balikkan Hati & Fitnah Akan Menimpa Semua.

Full video : https://youtu.be/RAU_3kIEXBM?si=caWmjn3PLjE6aHaH

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah al-Anfal ini dengan ayat 24 sehingga 26 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT perintahkan orang beriman agar segera sahut seruan Allah & Rasul-Nya SAW, apabila dengar seruan yang memanggil untuk hidup abadi & kebahagiaan hakiki iaitu syurga, maka jangan tangguh lagi terus jawab.
  1. Allah SWT meletakkan hati manusia di bawah kuasa Allah SWT.
    Allah boleh membolak-balikkan hati manusia, pagi lain petang lain.

    Maka menjadi kewajipan kita untuk berusaha dan sentiasa berdoa agar Allah hanya bolak-balik & tetapkan hati kita atas kebaikan yang Allah redhai.
  1. Kemudian Allah SWT ingatkan orang yang baik-baik supaya:
    i- Bertugas melaksanakan tugas amar ma’ruf nahi munkar.

    ii- Ini kerana jika bala atau fitnah turun; ia akan menimpa semua orang tidak kira orang baik atau jahat.

    iii- Cuma bezanya selepas mati orang baik kuburnya adalah taman syurga manakala orang jahat kuburnya lubang neraka!

    iv- Selepas itu pada hari Kiamat; orang baik pastilah ke syurga & orang jahat sebaliknya akan ke neraka!
    Di akhir ayat Allah nyatakan supaya kita sentiasa bersyukur kepada Allah kemenangan dalam Perang Badar, dalam banyak peperangan lain serta semua keadaan.
    Allah sentiasa memberi rezeki yang baik kepada kita maka wajib seorang hamba Allah itu bersyukur apabila dapat anugerah nikmat itu!
    1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
      i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan supaya kita taat kepada Allah & Rasul dalam bab jihad dan mengeluarkan harta fi-sabilillah.
      Serta jangan kamu menjadi seperti haiwan yang ada telinga tapi seolah tak dengar kerana tak ikut.

      ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan jadikanlah hati kamu sebagai hati yang beriman, telinga kamu sebagai telinga yang beriman; maka bila hati & telinga beriman ia akan dengar apa yang diajar oleh Nabi SAW.

      Ayat ini sekaligus menjawab kenapa kita kena dengar perintah Allah & Rasul, iaitu untuk menghidupkan hati kita, supaya kita mendapat kebahagiaan yang hakiki & abadi di syurga nanti, insya’ Allah.

    أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

    AYAT 24- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, SAHUT DAN SAMBUTLAH SERUAN ALLAH DAN SERUAN RASULNYA APABILA IA MENYERU KAMU KEPADA PERKARA-PERKARA YANG MENJADIKAN KAMU HIDUP SEMPURNA; DAN KETAHUILAH BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH BERKUASA MENGUBAH ATAU MENYEKAT DI ANTARA SESEORANG ITU DENGAN (PEKERJAAN) HATINYA, DAN SESUNGGUHNYA KEPADANYALAH KAMU AKAN DIHIMPUNKAN.} (AL-ANFAL 8:24)

    1. Sekali lagi Allah menyeru orang beriman supaya menyahut & menyambut seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna.
      Iaitu apabila kita tunaikan perintah Allah, Allah akan balas syurga!
    1. Nota; Yakni segala perintah agama Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu wajib ditaati kerana dengan itu sajalah kamu akan mencapai kehidupan yang mulia; berjaya di dunia & di Akhirat.
    1. Antara seruan itu ialah seruan untuk berjihad (الجهاد). Jihad itu sama ada:
      i- Dengan badan dan nyawa kamu, bawa senjata.

      ii- Dengan harta kamu, hulurkan bantuan.

      iii- Jihad ilmu dengan menyebarkan kebenaran & meruntuhkan kebatilan.

      iv- Dakwah untuk baca & tadabbur al-Quran dan beramal dengannya.

      iv- Atau Nabi ajak untuk buat kebaikan kepada orang.
      Yakni semua seruan Nabi SAW sama ada dalam ibadat atau bukan ibadat seperti adab, wajib disahuti & dijawab! Kerana Nabi SAW mahu beri kepada kamu kehidupan yang bahagia dunia & Akhirat.
    1. Hadis, daripada Abu Said bin al-Mu’alla RA berkata:

      Rasulullah SAW telah memanggilku ketika aku sedang solat, maka aku tidak menyahutnya.
      Aku berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! sesungguhnya aku sedang bersolat.
      Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah berkaitan tuntutan menyahut panggilan Allah dan juga rasulnya apabila kamu dipanggil.”
      Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: “Tidakkah kamu menginginkan untuk aku mengajarkan kepada kami surah yang paling agung di dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid ini?”
      Setelah itu, Nabi SAW memegang tanganku.
      Apabila kami ingin keluar, aku berkata: Wahai Rasulullah! Sebentar tadi kamu katakan yang kamu akan mengajarkan kepadaku surah yang paling agung di dalam al-Quran.

      Maka Nabi SAW bersabda:

      الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ.

      Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah) adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” [HR al-Bukhari (5006)]
      Surah paling agung al-Fatihah, manakala ayat teragung ialah ayat al-Kursi.
    1. Kita wajib menyahut seruan Allah & Rasul-Nya, jangan sesekali cuai, lalai lagha dari menyahutnya, jika tidak Allah akan jauhkan hati kamu daripada kebenaran.
      Maka dia tidak apat membezakan mana yang baik mana yang buruk kerana hatinya telah tertutup.
    1. Maka wajib kita kena gilapkan hati kita selalu agar hati cerah, tidak menghalang cahaya iman dapat masuk dan tidak tertutup.
      Cara nak gilap hati ialah dengan baca al-Quran, tadabbur, berzikir & berfikir akan ayat-ayat & keagungan Allah.
    1. Hadis, daripada Anas bin Malik RA berkata: Adalah Nabi SAW banyak membaca:

      يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟
      قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ”.

      Maksudnya: “Wahai Zat yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.”Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?”
      Baginda SAW menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah SWT yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya
      .” [HR at-Tirmizi (2140)]
    1. Di akhir ayat Allah peringatkan bahawa kita semua akan kembali kepada Allah Azza wa Jalla. Tidak kira sama ada hati kamu baik, hati buruk atau hasad!

    AYAT 25- {DAN JAGALAH DIRI KAMU DARIPADA (BERLAKUNYA) DOSA (YANG MEMBAWA BALA BENCANA) YANG BUKAN SAHAJA AKAN MENIMPA ORANG-ORANG YANG ZALIM DI ANTARA KAMU SECARA KHUSUS (TETAPI AKAN MENIMPA KAMU SECARA UMUM). DAN KETAHUILAH BAHAWA ALLAH MAHA BERAT AZAB SEKSANYA.} (AL-ANFAL 8:25)!

    1. Allah peringatkan agar jaga diri daripada dosa yang membawa bala bencana.
      Ini kerana apabila bala turun ia akan lanyak semua sekali orang yang baik atau tidak, soleh atau zalim!
      Kerana itu kamu kena jalankan tugas sebagaimana sepatutnya!
    1. Nota: Membiarkan perbuatan-perbuatan maksiat berkembang dalam masyarakat; akan membawa bencana kepada masyarakat secara umum bukan hanya kepada pelaku maksiat itu sahaja!
      Oleh itu tiap seorang bukan hanya wajib menjauhi diri daripada perbuatan mungkar & maksiat bahkan hendaklah mencegahnya daripada merebak dalam masyarakat!
      Kita kena jadi baik & memperibaiki orang.
      Kita kena jauhi maksiat serta dalam masa yang sama kita kena menyekat maksiat yang derhaka kepada Allah Azza wa Jalla daripada tersebar dalam kalangan orang ramai!
    1. Wahai orang beriman takutlah bala yang datang dari Allah SWT.
      Bala ini apabila ia turun, ia tidak akan cari orang yang buat maksiat saja tetapi kena semua.
      Siapa yang tengok perkara mungkar, maksiat tetapi dia tak larang tak halang maka apabila bala turun dia lanyak semua sekali kerana kamu tak jalankan tugas sebagaimana sepatutnya!
    1. Hadis, dari UM Zainab binti Jahsy RA:

      يقول رسول الله: لا إله إلا الله، ويل للعرب من شر قد اقترب، فتح اليوم من سدِّ يأجوج ومأجوج مثل هذه، وحلق بإصبعه الإبهام والتي تليها.
      قالت له زينب: يا رسول الله أنهلك وفينا الصالحون؟
      قال: نعم إذا كثر الخبث) رواه البخاري والمسلم.

      Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW terjaga dari tidurnya, dengan terkejut baginda bersabda: لا إله إلا الله
      Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
      Celakalah bagi bangsa Arab dari kejahatan yang telah dekat.
      Sesungguhnya hari ini sebahagian dari dinding Yakjuj dan Makjuj terbuka seluas ini, sambil menunjukan keluasan dinding tersebut dengan membulatkan kedua ibu jari dan telunjuk tangannya.
      Zainab berkata: Wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan bersama-sama kami ramai orang-orang yang soleh?
      Baginda bersabda: Ya, jika banyak berlaku kemaksiatan
      .” [HR Bukhari dan Muslim].

      Hadis ini menunjukkan bahawa walaupun kita baik tapi tak cegah kemungkaran, maka bala itu akan datang timpa semua sekali!
    1. Wahai orang beriman, ketahuilah bahawa Tuhan kamu itu amat keras hukuman-Nya apabila kamu melakukan perkara yang dimurkai Allah!
      Maka jangan kamu berani-berani melanggar perintah Allah, kerana siksa Allah itu sangat keras & dahsyat!

    AYAT 26- {DAN INGATLAH KETIKA KAMU SEDIKIT BILANGANNYA SERTA TERTINDAS DI BUMI, KAMU TAKUT ORANG-ORANG MENANGKAP DAN MELARIKAN KAMU, MAKA ALLAH MEMBERI KAMU TEMPAT BERMUSTAUTIN DAN DIPERKUATKANNYA KAMU DENGAN PERTOLONGANNYA, SERTA DIKURNIAKANNYA KAMU DARI REZEKI YANG BAIK-BAIK, SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AL-ANFAL 8:26)

    1. Munasabah ayat:
      i- Dalam ayat yang lepas Allah katakan bahawa siksa-Nya amat berat.

      ii- Maka datang ayat ini Allah tenangkan keadaan, walaupun siksa-nya berat ia hanya untuk orang ingkar derhaka sahaja, manakala orang yang taat & ikut perintah tak kena kecuali jika mereka diam apabila Islam dihina atau ketika maksiat dilakukan mereka akan kena bala umum!
    1. Ayat ini juga peringatkan orang beriman ketika bilangan mereka sedikit semasa di Makkah dulu!
      Musuh lihat mereka sedikit & lemah, golongan hamba & dhaif, yang kuat hanya sedikit, seperti Abu bakar, Umar, Uthman dan beberapa orang lagi.
      Mereka sentiasa dalam ketakutan dan kebimbangan ditindas dan diganyang.
    1. Kemudian selepas 13 tahun Allah pilih dan berikan kepada Rasulullah SAW sebuah negeri tempat tinggal, yang mereka boleh berlindung di dalamnya iaitu bumi Madinah, bumi hijrah!
      Nabi SAW dan semua orang beriman yang lemah berhijrah menuju ke sana!
      Alhamdulillah.
    1. Allah juga menolong mereka dengan memberi kemenangan ke atas orang kafir, khususnya yang paling terserlah adalah dalam peperangan Badar!
    1. Allah juga beri rezeki yang besar kepada kamu, yang dapat dilihat datang bergoleknya ialah ghanimah, tawanan & harta rampasan perang dalam peperangan Badar!
      Yang lain-lain juga menyusul datang selepas itu.
    1. Tujuan Allah memperingatakn orang beriman akan nikmat & ihsan yang Allah berikan ini adalah supaya kamu bersyukur!
      Tengok nikmat ingat kepada pemberi nikmat (المنعم) iaitu Allah SWT!
      Ketika kamu sedikit Allah ramaikan, ketika kamu lemah Allah kuatkan, ketika kamu miskin Allah kayakan, maka ingatlah semua nikmat, maka kamu akan jadi manusia yang bersyukur kepada Allah!
    1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:

      {Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.} (Al-Nahl 16:114)
    1. Begitulah jelas sekali arahan Allah kepada kita dari 3 ayat yang mulia ini!

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 24- {Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya;…}-

      Ayat ini adalah satu perintah Allah yang jelas apabila kamu dengar seruan Allah & Rasul atau perintahnya, teruskan terima & amalkannya!
      Jangan banyak alasan & helah.
      Ini kerana Allah nak hidupkan hati kamu dengan ketaatan.
      Ayat ini menunjukkan bahawa hati & jiwa kita akan hidup dengan melakukan ketaatan & ibadat kepada Allah juga dengan melakukan Sunnah Nabi SAW.
      Ikut perintah ikut Sunnah, hiduplah hati kamu!
      Kehidupan bermanfaat tidak akan terjadi kecuali apabila kamu menyahut seruan Allah & Rasul-Nya SAW.
      Manakala orang kafir yang senang lenang atas dunia itu adalah hidup tak ubah seperti hidup haiwan (حياة البهيمية) yang hanya makan minum berbini kemudian mati dan hanyalah istidraj dari Allah.
      Hidup atas dunia ini hanya hidup yang sementara!
      Hidup yang sebenar ialah apabila kita mati, hidup semula yang kekal abadi (حياة الأبدية) ialah apabila kita dapat masuk syurga!
      Ya Allah jadikan kami, keluarga kami & orang yang kami sayangi sebagai orang yang layak masuk syurga-Mu!
    1. Ayat 24- {Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya….}-

      Allah sebut di sini secara berasing dan ulangnya sekali lagi:
      i- Sambutlah seruan Allah {ٱسْتَجِيبُوا۟ لِلَّهِ},

      ii- Dan seruan Rasul-Nya {وَلِلرَّسُولِ}.
      Sepatutnya boleh saja disebut bersama secara (عطف-dan) iaitu {لِلَّهِ وَالرَّسُولِ} bagi Allah & Rasul.
      Tetapi kenapa Allah ulang balik, bagi Allah & bagi Rasul {لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ} ????
      Maknanya taat & menyahut seruan Allah adalah mutlak DAN taat kepada Rasul juga mutlak!
      Kata ulama’ : Ini menunjukkan bahawa taat kepada Nabi adalah khusus, satu ketaatan yang Allah anugerahkan & berikan kedudukan sebagai kemuliaan Nabi SAW.
      i- Menyahut seruan Allah (استجابة الله) bermakna taat kepada Allah adalah mutlak; apa yang Allah perintah kita wajib buat yang Allah larang wajib kita tinggalkan!

      ii- Adapun menyahut seruan Nabi SAW: (استجابة الرسول) adalah umum dan lebih luas.
      Iaitu menjawab seruan atau panggilan Nabi SAW, bila Nabi panggil kena jawab & datang. Jawapannya ada yang berbentuk wajib ada yang berbentuk sunat.
      Sepertimana Nabi memanggil sahabat yang sedang solat tadi, boleh tak jawab atau boleh juga jawabnya ketika solat.
      Kita kena jawab seruan Nabi untuk kita kerana tidak ada yang Nabi panggil atau seru kecuali untuk menghidupkan hati & memberi kebaikan kepada kita!
      Kata ulama’ : Ayat ini menjadi dalil bahawa wajib kita ikut Nabi SAW.
      Ini kerana apabila kita ikut; Allah akan balas kepada kita dengan anugerahkan syurga yang indah.
    1. Ayat 24- {… dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya,…}-

      Allah boleh mengubah atau menyekat hati seseorang.
      Ini menunjukkan hati ini sentiasa berbolak-balik yakni berubah-ubah.
      Seolah seperti air yang sedangkan mendidih, begitulah hati manusia tidak pernah tenang!
      Untuk menenangkan hati adalah dengan berzikir mengingati Allah.
      Jika tidak hati akan akan sentiasa berbolak-balik, tidak tenang.
      Apabila Allah menyatakan hati kita ini duduk di bawah kuasa Allah, maka kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah agar tetapkan hati kita atas jalan yang diredhai-Nya!
      Antara doa yang baik untuk dibaca selalu:

      i- يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قلبي عَلَى دِينِكَ “
      “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

      ii- Doa yang Nabi SAW selalu ajar juga:

      اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ!

      “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari terpesong dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah.”
    1. Ayat 25- {Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).}-

      Takutlah kamu akan ujian & fitnah yang akan menimpa.
      Bala itu akan kena semua sama ada orang yang baik atau tidak baik!
      Maknanya, Wajib kita berusaha menjauhi diri segala perkara maksiat & mungkar.
      Wajib kita yang tahu perkara itu mungkar dan menentangnya, melarang & cuba menghapuskannya setakat yang kita mampu!

      Tiga tahap mengingkari maksiat:
      i- Dengan tangan, jika ada kuasa.

      ii- Dengan mulut, tak ada kuasa nasihati dengan mulut.

      iii- Dengan hati! Tak mampu juga, wajib, ingkarilah walaupun hanya di dalam hati.
      Jika tidak tunggu bala datang!
      Fitnah di sini bererti ujian dan segala musibah.
      Allah beri amaran, jika kamu tak jalankan tugas maka tunggulah siksaan-Nya yang berat!
      Kata ulama’ tadabbur : Wajib mencegah sebelum terjadi!
      Pihak Kerajaan & pihak berkuasa wajib sekat perkara yang boleh menyebarkan perkara mungkar & maksiat atau yang membawa kepadanya!
      Jika ada kemampuan dan kuasa jalankan buatlah peraturan yang telah diwartakan itu!
      Jangan kerana sibuk nak melangkah naik ke bulan, yang di kaki habis tersepak!
      Inilah kelemahan kita!
      Mudah-mudahan ada yang buka mata, buka telinga; kita tegur takut fitnah tertimpa!
      Kita tegur ikut topik & suasana semasa.
    1. Ayat 26- {Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi,…}-

      Ingatlah manusia dulu kamu sedikit & lemah!
      Allah ingatkan orang Islam ketika mereka dalam keadaan lemah & susah, sekarang senang.
      Dulu kamu dalam keadaan menderita, sekarang kamu berkuasa.
      Kemudian Allah beri kamu tempat, kamu menjadi pemimpin, menjadi pemerintah dalam kerajaan kamu sendiri- maka sahutlah seruan Allah & Rasulullah SAW dengan menjalankan perintah-Nya!
      Begitulah dunia ini umpama roda, sentiasa bergerak dan berubah!
      Dulu kamu menderita sekarang kamu berkuasa, maka jalankan tanggungjawab & tunaikan tugas yang sepatutnya!
      Ayat ini mahu ingatkan, wajib kita syukur nikmat; nikmat Islam nikmat iman, nikmat kesenangan, kesihatan dan semuanya wajib disyukuri!
      Apabila Allah tarik semua nikmat itu tidak ada guna lagi, menyesal pun tak boleh apa lagi!
      Ya Allah jadikan kami dari kalangan orang yang sentiasa bersyukur kepada Allah dengan melakukan ibadat & ketaatan, mengikut ajaran & Sunnah Nabi SAW serta meninggalkan segala maksiat, mungkar, bid’ah dan segala yang tidak baik!

    Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

    Wallahu A’lam.

    Powered by BetterDocs

    Scroll to Top