View Categories

(14) Surah Al-Ma’idah: Ayat 27-32

11 min read

KISAH QABIL DAN HABIL, PEMBUNUHAN PERTAMA DI DUNIA & HAIWAN MENGAJAR MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/mT1TGZi_6fA?si=g8BAFiC4cLaGJpOn

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 27 sehingga 32.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang kisah Qabil dan Habil, dua orang anak Nabi Adam AS.
  1. Iaitu kisah jenayah pembunuhan yang pertama di dunia di kalangan manusia.
  1. Kemudian Allah nak tunjukkan bahawa ilmu ini boleh diambil dari mana-mana sumber yang bermanfaat. 
    Lalu Allah hantar haiwan untuk mengajar manusia dengan datangnya burung gagak dekat Qabil dan menunjukkannya cara menanam mayat saudaranya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang puak bani Israil yang degil keras kepala lawan perintah Allah & arahan Nabi Musa. Yang tidak hormat & beradab kepada Nabi Musa, lagi pengecut serta penakut tetapi sombong & angkuh mencabar Nabi Musa & Tuhan.

    ii- Lalu Allah bawa kisah dua orang adik beradik ini yang seorang kalah & seorang menang; lalu yang kalah mahu membunuh yang menang kerana perasaan hasad dengki! 
    Ini adalah pembunuhan yang pertama dalam sejarah dunia & manusia!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 27- {DAN BACAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA MEREKA KISAH (MENGENAI) DUA ORANG ANAK ADAM (HABIL DAN QABIL) YANG BERLAKU DENGAN SEBENARNYA, IAITU KETIKA MEREKA BERDUA MEMPERSEMBAHKAN SATU PERSEMBAHAN KORBAN (UNTUK MENDAMPINGKAN DIRI KEPADA ALLAH). LALU DITERIMA KORBAN SALAH SEORANG DI ANTARANYA (HABIL), DAN TIDAK DITERIMA (KORBAN) DARI YANG LAIN (QABIL). BERKATA (QABIL):” SESUNGGUHNYA AKU AKAN MEMBUNUHMU!”. (HABIL) MENJAWAB: “HANYASANYA ALLAH MENERIMA (KORBAN) DARI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA;} (AL-MAAIDAH 5:27)

  1. Ini adalah kisah benar yang Allah kisahkan dari al-Quran yang Allah suruh Rasulullah SAW ceritakan kepada ahli kitab yahudi ada pada zamannya & semuanya.
    Iaitu tentang dua beradik anak-anak kandung Nabi Adam AS yang bernama Habil & Qabil. 
    Inilah kisah yang sabit benar & tiada sebarang keraguan kerana ia datang dari al-Quran!
  1. Ketika mereka buat persembahan korban. Iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah.

    Beberapa pandangan ulama’ tentang korban ini:
    i- Kata Imam Ibnu Kathir RHM : Telah masyhur di kalangan ulama’ sejarah; Habil korban seekor kambing gemuk manakala Qabil persembahkan makanan yang tidak elok. 
    Tetapi Allah SWT tidak perincikan dalam al-Quran, hatta tiada dalam hadis Nabi SAW. cara terima juga tidak disebut.

    ii- Kata Ibnu Abbas RA : Itulah kibasy (kambing) yang malaikat bawa untuk menggantikan sembelihan korban Nabi Ismail AS.
  1. Lalu Allah terima korban dari Habil tetapi tidak dari Qabil. 
    Syaitan pun terus muncul dan masukkan perasaan hasad dalam hati Qabil sambil terus berkata kepada Habil: Sesungguhnya aku akan membunuhmu!
  1. Habil menjawab dengan tenang: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertaqwa, yang buat amalan kerana Allah & ikut Syari’ah-Nya.
    Jadi bukan salah aku jika Allah tidak terima korbanmu!
  1. Mengikut analisa para ulama’, kata Ibnu Asyur RHM :
    Mengikut Syari’ah orang terdahulu : Allah hanya akan menerima amalan baik dari orang yang bertaqwa sahaja. 

    Bukan seperti Syari’ah kita : Sesiapa yang buat amalan baik jika dia beriman & ikhlas akan diterima walaupun dia kurang baik atau kurang bertaqwa.

AYAT 28- {“DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA ENGKAU HULURKAN TANGANMU KEPADAKU UNTUK MEMBUNUHKU, AKU TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENGHULURKAN TANGANKU KEPADAMU UNTUK MEMBUNUHMU. KERANA SESUNGGUHNYA AKU TAKUT KEPADA ALLAH, TUHAN YANG MENTADBIRKAN SEKALIAN ALAM;} (AL-MAAIDAH 5:28)

  1. Habil yang baik sifatnya menjawab lagi tenang: 
    i- Demi Allah, jka engkau hulurkan tanganmu untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu.

    ii- Ini kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.
  1. Inilah sifat yang patut ada dalam siri setiap muslim iaitu sifat takut kepada Allah barulah kita ada brake yang mantap, tidak berani untuk membuat kesalahan perkara mungkar & maksiat kepada Allah!  

AYAT 29- {“SESUNGGUHNYA AKU MAHU SUPAYA ENGKAU KEMBALI DENGAN (MEMBAWA) DOSA (MEMBUNUHKU) DAN DOSAMU SENDIRI. MAKA DENGAN ITU MENJADILAH ENGKAU DARI AHLI NERAKA, DAN ITULAH DIA BALASAN ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (AL-MAAIDAH 5:29)

  1. Habil memberi nasihat lagi kepada Qabil:
    i- Jika kamu bunuh aku, kamu tidak ikut peraturan maka kamu akan kembali di sisi Allah dengan membawa dosa membunuhku dan dosamu sendiri yang lain.

    ii- Dan akibat dari dosa-dosa itu kamu akan menjadi ahli neraka dan itulah balasan bagi setiap orang-orang yang zalim.
  1. Begitu juga jika ada peluang berilah tazkirah peringatan kepada orang yang kita nampak nak buat sesuatu yang tidak baik.

AYAT 30- {MAKA NAFSU JAHAT (QABIL) MENDORONGNYA (SEHINGGA IA TERGAMAK) MEMBUNUH SAUDARANYA, LALU IA MEMBUNUHNYA. OLEH ITU MENJADILAH DIA DARI GOLONGAN ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-MAAIDAH 5: 30)

  1. Tetapi malangnya Qabil lansung tidak mendengar nasihat Habil, tidak berbekas dihatinya serta hilang perasaan belas kasihan terhadap saudaranya sendiri!
  1. Dia telah dikuasai nafsu jahat lalu meneruskan niat jahatnya dengan membunuh Habil yang tidak melawannya.
    Lalu jadilah dia orang yang rugi di dunia & celaka di Akhirat kelak!
  1. Hadis tentang menanggung dosa pembunuh: 
    عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا تُقتَل نَفْسٌ ظُلْمًا، إِلَّا كَانَ عَلَى ابْنِ آدَمَ الْأَوَّلِ كِفْلٌ مِنْ دَمِهَا، لِأَنَّهُ كَانَ أَوَّلَ مَنْ سَنَّ الْقَتْلَ”.
    Dari Abdullah ibnu Mas’ud yang telah menceritakan bahwa Rasulullah SAW telah bersabda: Tiada seorang pun yang terbunuh secara aniaya, melainkan atas anak Adam yang pertama tanggungan sebagian dari darahnya, kerana dialah orang yang mula-mula mengadakan pembunuhan.” (HR Ahmad).
  1. Allahu betapa dahsyatnya dosa menjadi pelopor kepada perbuatan jahat, kita boleh bayangkan betapa banyak dosa yang dipikulnya berdasarkan pembununah yang telah terjadi atas dunia ini!
  1. Setakat inilah cerita yang sahih yang Allah SWT ceritakan dalam al-Quran ini! 
    Tetapi jika kita lihat kepada cerita Israiliyyat – banyaklah ceritanya dalam kitab-kitab sejarah bahkan buku cerita kanak-kanak pun. 
    Semua itu tiada sandaran yang sahih sebagaimana hadis Rasulullah SAW tadi.

AYAT 31- {KEMUDIAN ALLAH HANTARKAN SEEKOR BURUNG GAGAK (MENYURUHNYA) MENGOREK-NGOREK DI BUMI SUPAYA, DIPERLIHATKAN KEPADA (QABIL) BAGAIMANA CARA MENIMBUS MAYAT SAUDARANYA. (QABIL) BERKATA: “WAHAI CELAKANYA AKU! ALANGKAH LEMAH SERTA BODOHNYA AKU, AKU TIDAK TAHU BERBUAT SEPERTI BURUNG GAGAK INI, SUPAYA AKU DAPAT MENIMBUSKAN MAYAT SAUDARAKU?”. KERANA ITU MENJADILAH IA DARI GOLONGAN ORANG-ORANG YANG MENYESAL.} (AL-MAAIDAH 5:31)

  1. Setelah kejadian itu Qabil menyesal dan tidak tahu nak buat apa dengan mayat saudaranya.
    Lalu Allah hantar seekor burung gagak untuk menolongnya dengan mengorek-ngorek bumi.
  1. Perbuatan gagak itu memberi ilham kepada Qabil cara untuk menanam mayat saudaranya. Lalu digali tanah untuk diletakkan mayat itu dan menimbusnya semula!
  1. Selepas itu Qabil baru menyesal dan berasa amat kesal akan perbuatannya.
    Tetapi apakan daya Habil sudah mati. Penyesalan yang tiada guna lagi!
  1. Banyak dalam cerita dongeng atau kisah pengajaran untuk kanak-kanak yang menunjukkan bahawa Gagak ini seekor burung yang baik & bijak asalnya. 

    Seperti kisah gagak nak minum air yang ada sedikit dalam botol yang sempit mulutnya.
    Lalu dimasukkannya batu sehingga air naik tinggi dan dia dapat meminumnya!

AYAT 32- {DENGAN SEBAB (KISAH PEMBUNUHAN KEJAM) YANG DEMIKIAN ITU KAMI TETAPKAN ATAS BANI ISRAIL, BAHAWASANYA SESIAPA YANG MEMBUNUH SEORANG MANUSIA DENGAN TIADA ALASAN YANG MEMBOLEHKAN MEMBUNUH ORANG ITU, ATAU (KERANA) MELAKUKAN KEROSAKAN DI MUKA BUMI, MAKA SEOLAH-OLAH DIA TELAH MEMBUNUH MANUSIA SEMUANYA; DAN SESIAPA YANG MENJAGA KESELAMATAN HIDUP SEORANG MANUSIA, MAKA SEOLAH-OLAH DIA TELAH MENJAGA KESELAMATAN HIDUP MANUSIA SEMUANYA. DAN DEMI SESUNGGUHNYA, TELAH DATANG KEPADA MEREKA RASUL-RASUL KAMI DENGAN MEMBAWA KETERANGAN YANG CUKUP TERANG; KEMUDIAN, SESUNGGUHNYA KEBANYAKAN DARI MEREKA SESUDAH ITU, SUNGGUH-SUNGGUH MENJADI ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS (MELAKUKAN KEROSAKAN) DI MUKA BUMI.} (AL-MAAIDAH 5:32)

  1. Oleh kerana perbuatan membunuh itu satu perbuatan yang amat buruk maka Allah SWT menjadikan Syari’ah ke atas Bani Israil:
    i- Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau kerana melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya;

    ii- Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.
  1. Inilah besarnya pahala menyelamatkan manusia. 
    Maka janganlah kita cari bala dan dosa dengan buat pelik-pelik & karut atas dunia ini!
  1. Telah datang kepada bani Israil rasul Allah yang diutus dengan dalil-dalil yang jelas & hujjah yang mantap, tiada alasan lagi untuk mereka membunuh dan berbuat jahat atas muka bumi ini.
  1. Tetapi apa boleh buat, bani Israil telah menjadi satu bangsa yang ganas & zalim, melanggar perintah Allah SWT melakukan kemungkaran dosa & maksiat! 
    Bani Israil antara bangsa yang dikutuk oleh Allah SWT sehingga ke hari Kiamat.
  1. Kita hari ini pun yang telah dengar & belajar semua ini pun ambillah pengajaran jangan ikut perangai bani Israil, derhaka kepada Allah SWT, buat dosa & maksiat, degil tak dengar kata dan seumpamanya! 
    Allahu al-Musta’an, Allah sajalah yang dapat bantu kita dan selesaikan masalah atas dunia ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 27- {Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya,}-

    Allah suruh Rasulullah SAW bacakan kepada bani Israil itu tentang kisah dua anak Adam itu.
    Kata ulama’ : Ini menunjukkan kisah itu penting jika tidak Allah tidak akan suruh Nabi SAW membacanya. 
    Serta wajib kepada kita mempelajari kisah-kisah umat terdahulu untuk mengambil ibrah pengajaran daripada kisah ini!

    Pengajarannya:
    Beringatlah betapa buruknya sifat hasad dengki dalam diri manusia sehingga boleh membawa kepada pembunuhan. 
    Maka jangan kamu ikut nafsu ammarah & hasad dengki!

    Manakala qabul atau tidak amalan itu adalah bergantung kepada Allah SWT kerana Allah telah kata: {Lalu diterima korban salah seorang di antaranya} yakni Allah kata diterima (فَتُقُبِّلَ)!

    Kenapa Allah guna sighah bina maf’ul (الْمَفعُولِ) iaitu ayat pasif = diterima; bukan aktif = menerima, ini kerana dua sebab:
    i- Kamu jangan cari macamana caranya yang penting Allah kata Dia terima satu & tolak satu!

    ii- Orang yang diterima korban itu bukan sebab dia tetapi kerana dia cukup syarat maka kamu jangan dengki, buatlah yang lain pula!
    Allah kata Dia yang terimanya bukan kita boleh buat main-main reka, boleh suruh orang terima yang kita tolak yang orang lain.
    Habil menjawab: {“Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;}
    Maka tidak salah jika kita ceritakan kepada orang perkara yang baik senang motivasi atau pengajaran kepada orang lain untuk buat begitu juga.
    Tetapi ingatlah jika boleh menimbulkan perasaan takabbur & riya’ jangan cerita kepada perang kerana boleh menghilangkan pahala pula!
  1. Ayat 27- { Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”}-

    Qabil terus berkata dengan penuh kesungguhan: Sesungguhnya aku akan membunuhmu!
    Inilah apabila nafsu & hasad menguasai diri, hasad masuk dalam kepala- seseorang itu tidak akan nampak lagi kebenaran, tiada lagi kewarasan, hanya keinginan mahu memuaskan nafsu & perasaan marahnya saja!

    Kerana itu Rasulullah SAW ajar: إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ.
    Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring. [Sunan Abi Daud (4782)]
    Kita kena ingat apabila nak sesuatu kena ingat dosa pahala, syurga neraka dan pelbagai kesannya lagi.
  1. Ayat 30- {Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.}-

    Maka nafsu jahat menguasainya sehingga dia tergamak & sanggup membunuh saudaranya.
    Kerana itu kita berjagalah daripada nafsu yang jahat & ganas ini, jangan terjebak & terpengaruh dengannya. 
    Sebagaimana orang yang dibawah pengaruh dadah sanggup membunuh ibu bapa sendiri untuk memenuhi kehendak nafsunya! 
    Dadah ini lebih dahsyat daripada Qabil.
    Wajib kita berfikir panjang sebelum buat sesuatu, jangan terus ikut nafsu marah hasad dengki dan lain-lain.
    Jika tidak kita akan rugi & menyesal seumur hidup sebagaimana Qabil itu! 
    Maka usahakan agar jangan berlaku perkara yang tidak diingini.

    Ayat 28- {“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu..}-

    Kata ulama’ : Ayat ini mengajar kepada kita untuk pertahankan diri, jangan serang (attack) tapi bertahanlah (defense), sama ada dengan lari dari tempat itu atau usahakan untuk pertahankan diri agar selamat!
  1. Ayat 29- {“Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri.}-

    Habil memberi peringatan & nasihat kepada saudaranya yang mahu membunuhnya!
    Beberapa persoalan dari ayat ini:
    i- Kenapa Habil kata kepada Qabil: Kamu tanggung dosaku dan dosamu sendiri. Sedangkan dalam ayat lain Allah SWT telah berfirman:
    {Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.} (Faatir 35:18)

    Jawapannya: 
    Maksud Habil: Qabil, kamu akan tanggung dosa membunuhku dan dosa-dosamu sendiri yang lain, yang telah kamu buat sebelum ini! 
    Bukan tanggung dosa dia yakni Habil.

    ii- Kenapa Habil kata: “Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa { إِنِّىٓ أُرِيدُ أَن تَبُوٓأَ بِإِثْمِى وَإِثْمِكَ}- sedangkan sesama manusia mana boleh kita suruh orang pikul atau bawa dosa kita???
    Jawapannya ada beberapa pendapat ulama’:
    a) yakni jika kamu bunuh aku kamu tanggunglah dosa membunuh yang kamu buat itu. Aku tidak mahu bunuhmu tidak mahu buat maksiat!

    b) yakni kamu akan tanggung dosa menerima hukuman dari Allah SWT dengan sebab kamu membunuhku. 
    Yakni sebagai orang yang dizalimi, kita boleh beritahu, beri peringtan kepada orang yang zalim, kamu jangan buat jika tidak kamu akan menanggung dosa yang besar.

    Kata ulama’ : Orang yang zalim akan mengambil dosa orang yang dizalimi & dikhianatinya atas dunia dulu.
    Inilah orang yang muflis di Akhirat sebagaimana dalam hadis ini: Rasulullah SAW pernah bertanyakan kepada sahabat: “Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?” Lalu sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta.” Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia. Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.” [HR Muslim].
  1. Ayat 31- {Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya.}-

    Dari ayat ini terdapat beberapa hukum & pengajaran.
    Kata ulama’ : Ini adalah asal hukum kepada wajib kita menanam mayat orang mati di dalam tanah/bumi.
    Haiwan itu juga ada perasaan & perbuatannya seperti manusia juga walaupun tidak sepenuhnya! 
    Adakalanya haiwan mengajar kepada manusia erti kebaikan dan cara berbuat baik. 
    Bahkan boleh dikatakan kadang-kadang haiwan itu lebih baik daripada sesetengah manusia yang jahat & kejam!
    Dalam ayat ini Allah tunjukkan bagaimana gagak itu ajar Qabil cara untuk menanam mayat saudaranya dengan menimbusnya dalam tanah.
    Dalam hadis di atas tadi Rasulullah SAW telah nyatakan bahawa setiap dosa pembunuhan manusia akan naik ke atas kepala Qabil anak Adam itu لا حول ولا قوة إلا بالله.
    Allah juga nyatakan dosa orang yang bunuh orang lain seperti dia membunuh manusia kesemuanya & sesiapa yang menyelamatkan nyawa manusia lain seolah dia menyelamatkan nyawa semua manusia! 

Alhamdulillah tamatlah kuliah ini hari ini secara ringkasnya semoga mendapat manfaat dan ibrah pengajaran!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top