View Categories

(10) Surah At-Taubah: Ayat 23-24

11 min read

Larangan Melantik Kafir Sebagai Ketua, Iman Dan Jihad Mengatasi 8 Perkara & Fasiq Tidak Mendapat Hidayah.

Full video : https://youtu.be/pOEA1T0Qoyc?si=-_1xjtyHEsxO0go7

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini, kita akan sambung tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 23 sehingga 24 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan larangan melantik keluarga terdekat yang masih kafir sebagai ketua.
    Yakni walaupun dia keluarga kita, jika dia masih kufur jangan sesekali beri wala’ kepada mereka.
  1. Allah juga nyatakan bahawa iman dan jihad mengatasi 8 perkara dalam bab kekeluargaan. Yakni walaupun orang itu dekat dengan kita, harta yang kita sayangi; tetapi tidak boleh melebihi kecintaan daripada Allah & Rasul-Nya.
  1. Kemudian Allah tegaskan bahawa orang fasiq tidak mendapat hidayah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT arahkan orang mukmin untuk berlepas diri daripada orang musyrikin serta batalkan perjanjian yang mereka khianat padanya!
    Tetapi bagaimana cara untuk lakukannya (berlepas diri & putuskan hubungan jika mereka itu terdiri dari keluarga yang terdekat???

    ii- Maka datang ayat ini Allah tegaskan walaupun mereka keluarga terdekat seperti bapa, datuk atau adik beradik sendiri- tak kira siapa jika mereka memilih kekufuran daripada iman, putuskan hubungan dari sudut al-wala’/perlantikan (أَوْلِيَآءَ) tetapi penghormatan sebagai keluarga tetap berjalan!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 23- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MENJADIKAN BAPA-BAPA KAMU DAN SAUDARA-SAUDARA KAMU SEBAGAI ORANG-ORANG YANG DIDAMPINGI JIKA MEREKA MEMILIH KUFUR DENGAN MENINGGALKAN IMAN; DAN SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG MENJADIKAN MEREKA ORANG-ORANG YANG DIDAMPINGI, MAKA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AT-TAUBAH 9:23)

  1. Allah menyeru orang beriman dan memerintahkan mereka agar jangan memilih kekufuran daripada keimanan.
    Dalam prinsip keimanan & aqidah perjuangan mesti jelas tak kira siapa kena putuskan hubungan!
  1. Yakni jangan kamu jadikan mereka- kaum keluarga terdekat itu sebagai:
    i- Pendamping, teman rapat, duduk dengan mereka tak mahu hijrah ke negeri Islam atau;

    ii- Menjadikan mereka penolong, wali, ketua atau pengawal yang tidak sepatutnya!
    Apatah lagi wali (ketua) yang boleh memudharatkan Islam.
  1. Dalam ayat ini kita lihat Allah hanya bawa dua contoh saja iaitu bapa-bapa (keturunan atas) dan saudara-saudara {ءَابَآءَكُمْ وَإِخْوَٰنَكُمْ}, kenapa Allah tak sebut anak isteri.
    Ini kerana:
    i- Dalam bab peperangan dan mesyuarat perkara negara atau isu besar, pastilah akan diambil nasihat daripada orang tua ke atas yang dewasa dan matang, yang sudah ada pengalaman dalam perjuangan.

    ii- Kita tak minta nasihat kanak-kanak atau mereka yang belum dewasa & matang. Anak-anak isteri lebih kepada dalam bab kasih sayang & tanggungjawab.

    iii- Ini juga dalam bab melantik sebagai ketua & pemimpin, pastilah orang dewasa seperti bapa datuk, bapa saudara atau adik beradik yang akan dipilih bukan anak atau cucu.
  1. Jadi Allah beri penjelasan bahawa 8 perkara ini akan menjadi kayu-ukur, batu ujian & parameter, kamu sayang kepada siapa?
    Sayang kepada Allah & Rasulullah SAW dengan undang-undang Syari’ah-nya atau sayang kepada anak isteri kaum keluarga sehingga langgar peraturan!
  1. Allahu al-Musta’an, hanya Allah saja yang boleh bantu kita kita untuk meghadapi ujian yang sukar sekali ini, jika ujian dengan orang yang di luar rumah lebih mudah untuk dihadapi!
  1. Jika buat juga, duduk bersama mereka & ambil mereka sebagai wali yang memberi mudharat kepada Islam; maka akan dikira orang yang zalim kerana menyalahi larangan, Allah larang kamu buat juga, maka kamu zalim kepada diri sendiri!

AYAT 24- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “JIKA BAPA-BAPA KAMU, DAN ANAK-ANAK KAMU, DAN SAUDARA-SAUDARA KAMU, DAN ISTERI-ISTERI (ATAU SUAMI-SUAMI) KAMU, DAN KAUM KELUARGA KAMU, DAN HARTA BENDA YANG KAMU USAHAKAN, DAN PERNIAGAAN YANG KAMU BIMBANG AKAN MEROSOT, DAN RUMAH-RUMAH TEMPAT TINGGAL YANG KAMU SUKAI, – (JIKA SEMUANYA ITU) MENJADI PERKARA-PERKARA YANG KAMU CINTAI LEBIH DARIPADA ALLAH DAN RASULNYA DAN (DARIPADA) BERJIHAD UNTUK AGAMANYA, MAKA TUNGGULAH SEHINGGA ALLAH MENDATANGKAN KEPUTUSANNYA (AZAB SEKSANYA); KERANA ALLAH TIDAK AKAN MEMBERI PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG FASIK (DERHAKA).} (AT-TAUBAH 9:24)

  1. Dalam ayat ini Allah ulang lagi dua golongan di atas serta ditambah lagi golongan yang paling rapat dengan seorang manusia iaitu:
    i- Bapa-bapa kamu, {ءَابَآؤُكُمْ}- iaitu asal keluarga, bapa datuk moyang.

    ii- Dan anak-anak kamu {وَأَبْنَآؤُكُمْ}- ini keturunan bawah anak cucu cicit ke bawah.

    iii- Dan saudara-saudara kamu {وَإِخْوَٰنُكُمْ}- adik beradik.

    iv- Dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu{وَأَزْوَٰجُكُمْ}- pasangan sebagai orang yang paling rapat.

    v- Dan kaum keluarga kamu {وَعَشِيرَتُكُمْ}- keluarga besar lain sekeliling kamu, sepupu sepapat dan seumpamanya.

    Serta dari segi harta material pula:
    vi- Dan harta benda {وَأَمْوَٰلٌ} yang kamu usahakan, yang betapa susah kamu kerja & usaha untuk hasilkannya.

    vii- Dan perniagaan {وَتِجَـٰرَةٌۭ} yang kamu bimbang akan merosot, perniagaan yang dikejar & diharapkan keuntungan, bimbang takut rugi hatta kadang-kadang tak kira halal atau haram!!!

    viii- Dan rumah-rumah {وَمَسَـٰكِنُ} tempat tinggal yang kamu sukai, rumah-rumah kediaman yang kamu sayangi!

    Hatta sayang nak tinggal untuk berhijrah ke tempat pengajian ilmu seperti di pondok-pondok dan lain-lain.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan jiwa manusia berbeza, citarasa pelbagai serta gaya hidup manusia ini berbeza-beza, maka tak cukup untuk bagi amaran untuk semua itu;

    ii- Maka Allah nyatakan ujian besar kepada manusia, jika 8 perkara ini menjadi kecintaan & kesayangan kamu lebih daripada Allah & Rasul, menghalang kamu daripada beriman, berhijrah, daripada berjihad & menghalang kamu daripada melakukan kebaikan; maka bermakna kamu bukan mencintai Allah & Rasulullah SAW tetapi kamu mencintai dunia yang ada di depan mata kamu!!
  1. Allah beri amaran, jika semua ini menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agama-Nya, maka:
  1. Maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya iaitu azab seksa-Nya yang tidak ada perlindungan darinya! Yakni orang yang menyalahi hijrah & jihad, Allah akan datangkan hukumannya sama ada segera atau lambat!
  1. Jihad ini amat besar pahalanya sebagaimana hadis Nabi SAW ini:

    i- Kemanisan Iman, daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:
    عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

    Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka”. [HR Bukhari No: 15]

    ii- Hadis Nabi SAW lagi : Sesiapa yang tak pergi berperang, atau tak menyediakan alatan untuk berperang atau tolong jaga keluarga tentera yang pergi berperang, nescaya Allah akan timpakan ke atasnya azab yang membinasakan sebelum hari Kiamat. [HR Abu Daud, Ibnu Majah dan lain-lain].

    iii- Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ

    Maksudnya: Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang, dan tidak pernah berniat dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang daripada kemunafikan. [HR Imam Muslim (no. 158)].
  1. Kerana itu kita kena ada niat, kena ada perasaan untuk berjihad & berjjuang.
    Walaupun sekarang ini negara kita tak ada jihad atau kerajaan tak buka, tapi kena ada niat jika ada peluang akan sertainya!

    Manakala jihad yang memang sentiasa terbuka kenapa kita buat juga iaitu jihad menentang hawa-nafsu, jihad menentang syaitan, menentang orang kafir yang menentang Islam, secara alam maya dan seumpamanya!
  1. Di akhir ayat Allah kata: Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik & derhaka, iaitu Allah tidak akan memberi taufiq ke jalan yang baik bagi orang yang derhaka & melakukan maksiat kepada Allah!
    Mereka yang melebihkan cinta dunia daripada cintakan Allah, yang melebihkan cinta kepada pangkat & jawatan daripada cinta kepada Nabi, yang lebih cintakan budaya songsang & pelik lebih daripada Sunnah Nabi SAW, ini amat merbahaya!
  1. Sedikit perbincangan:
    Kata Syeikh Syanqiti : Ayat ini perlu kepada penjelasan kerana Allah kumpulkan dua ayat ini: {Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).} & {..maka merekalah orang-orang yang zalim.}-

    i- Di mana Allah nafikan hidayah-Nya kepada orang yang fasiq & orang yang zalim sedangkan Allah suruh kita bimbing & berdakwah kepada mereka yang fasiq & zalim;

    ii- Tetapi Allah kata Dia tak akan beri hidayah kepada mereka.
    Macamana ini??
    Bagaimana kita nak taufiqkan ayat ini dengan ayat yang lain!
  1. Jawapannya perlu celik mata, buka telinga untuk memahaminya, kerana berapa ramai orang yang fasiq & zalim, Allah telah beri hidayah di akhir hayatnya.
    Betapa ramai orang yang fasiq dan yang keras kepada Islam seperti Abu Sufyan yang lawan Nabi SAW sungguh-sungguh akhirnya masuk Islam.
  1. Para ulama’ telah menjawab dengan 2 jawapan :
    i- Allah tak akan beri hidayah kepada orang yang fasiq & orang zalim secara umumnya begitu.
    Maksudnya orang yang dalam ilmu Allah, memang dia tidak akan berubah, dia akan mati dalam fasiq dalam kafir.
    Maka orang ini tidak ada harapan lagi maka Allah akan cop atas hati mereka tak akan terima hidayah lagi!!!

    ii- Maksudnya Allah tak beri hidayah ketika mereka masih lagi dalam kefasiqan, masih lagi melakukan kezaliman!
    Tetapi apabila mereka mula taubat, jinak dengan Islam, kembali kepada kebenaran, maka ketika itu Allah akan buka pintu hidayah, lalu mereka bertaubat & masuk Islam.
  1. Seperti beberapa orang sahabat yang awalnya penentang tegar Nabi SAW, memerangi & mahu membunuhnya; tetapi kemudiannya mereka mahu kepada kebenaran, lalu Allah beri hidayah kepada mereka, masuk Islam & menjadi sahabat yang hebat walaupun agak lewat seperti yang berlaku kepada Khalid bin al-Walid, Abu Sufyan, Suhail bn Amru RA dan ramai lagi sahabat besar!

    Demikianlah kata Syeikh Syanqiti, Wallahu a’lam.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 23- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman;..}-

    Ayat ini jelas lagi terang, amaran agar jangan sesekali kamu orang Islam berwala’, mengambil orang kafir yang menentang Islam sebagai wali atau teman rapat yang dipercayai.

    Iaitu orang kafir yang menentang sama ada secara zahir atau batinnya membenci & menentang Islam.
    Jika dalam negara demokrasi ini kita lihat betapa pada zahirnya puak kafir itu seolah baik, dapat terima Islam, tetapi apabila lihat kepada perjuangan & tuntutan mereka, lain macam, terserlahlah apa sebenar yang mereka mahu!

    Yakni jika ada bibit-bibit itu; jangan sesekali kita berwala’kan kepada mereka!
    Demikianlah terputusnya hubungan darah & keturunan; jika terputusnya dari sudut hubungan aqidah & perjuangan!
    Dalam bab perjanjian, hijrah & jihad tidak ada hubungan antara kita dengan orang bukan Islam sekiranya mereka tidak mahu menerima & menentang Islam.
  1. Ayat 24- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu,…}-

    Dalam ayat ini Allah letakkan dua maslahah kepada kita iaitu maslahah agama & iman dengan maslahah keluarga.
    Maka jike bertembung antara dua ini: Kita kena lebihkan maslahah agama daripada keluarga!

    Kerana kadang-kadang kita terlepas pandang, tak nampak, terlalu sayang & lebihkan keluarga; sehingga tertinggal & terlanggar hak Allah dan Rasul-Nya.
    Kita patut banyak muhasabah dalam hidup kita ini!
    Sebagai manusia kita akan teruji dalam kehidupan ini dengan anak-anak dan keluarga, inilah ujian yang besar jika kita lebihkan mereka daripada agama & perjuangan.

    Ujian anak-anak kepada para ibu bapa ini terutamanya:

    i- Pada hari walimah betapa anak perempuan yang selama ini terjaga & tertutup, diserahkan kepada MUA untuk dimekap, dipakaikan apa yang tidak sepatutnya bagi seorang Muslimah, apatah lagi jika jurumekap pondan!

    ii- Kita biarkan majlis kita dikendalikan oleh orang yang tidak belajar agama (atau tahu tetapi seolah tidak tahu), sedangkan kita seorang tokoh agama yang memang tahu agama, kita yang bayar khidmat mereka kenapa kita tidak boleh nak kawal atau pastikan bagaimana majlis kita itu biar selaras dengan adab Islam & yang sesuai dengan kedudukan kita dalam agama.

    Bukan seperti majlis orang lain yang tak tahu atau tak mahu agama!
    Kita minta petunjuk & pedoman dari Allah SWT dalam kehidupan kita ini!
  1. Allah bahagikan perkara/orang yang disayangi manusia ini kepada beberapa kategori iaitu:

    i- Kumpulan pertama, bapa & datuk nenek ke atas dengan saudara lelaki {ءَابَآءَكُمْ وَإِخْوَٰنَكُمْ} kemudian pasangan dan anak-anak serta semua kaum keluarga yani lengkap semuanya.

    Maka kata para ulama’ : Bukanlah Islam itu ajar kita putuskan hubungan kekeluargaan, bila masuk Islam tetap tidak akan putus hubungan ibu bapa dan anak-cucu.

    Kasih sayang & penghormatan tetap diberi selagi tidak bertentangan dengan Syari’ah Allah.
    Tetapi dalam masalah jihad & perjuangan, masalah cinta, jangan kita syaang dan cintakan mereka ini lebih daripada cintakan Allah & Rasulullah SAW!

    Jika lebih ia akan membawa kekecewaan yang besar, kerana agama kita ini akan lemah & jadi lembik kerana kita tidak teguh dengan agama & dalam perjuangan, tersungkur di hadapan keluarga!
    Maka sentiasalah kita muhasabah, agar kita disayangi Allah & Rasul-Nya SAW.
  1. Beza antara dua ayat ini:
    i- Ayat pertama hanya disebut bapa, datuk ke atas & saudara lelaki kamu {ءَابَآءَكُمْ وَإِخْوَٰنَكُمْ};

    ii- Manakala ayat kedua disebut kesemua 8 perkara yang disayangi manusia; termasuk 5 golongan kaum keluarga
    {ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَٰنُكُمْ وَأَزْوَٰجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ}.
    Kenapa ada perbezaan dalam dua ayat ini???

    Jawapannya kerana:
    i- Ayat pertama, tentang ahli mesyuarat bagi kerja besar, seperti peperangan dan lain-lain kita berbincang dengan orang tua dan lebih matang bukan dengan anak-anak atau orang muda.

    ii- Manakala ayat kedua ayat 24 disebut semua sekali kerana dalam bab kasih-sayang & kecintaan tak sama antara anak & ibu bapa begitu juga isteri.
    Allahu al-Musta’an, semoga Allah selamatkan kita daripada perkara yang tidak baik!
  1. Ayat 23 & ayat 24, melalui firman Allah ini kita dapat lihat;
    Dalam dua ayat ini adalah tertib susunan yang cukup cantik:

    i- Kumpulan pertama 4 kumpulan:
    {ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَٰنُكُمْ وَأَزْوَٰجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ}.
    Maknanya dalam hidup kita, ini adalah orang pertama yang kita sayangi: bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara (adik beradik), isteri-isteri (atau suami-suami), dan kaum keluarga semuanya.

    Kumpulan kedua ialah:
    ii- Harta yang kita cari, yang sudah lama diusahakan, membanting tulang untuk dapatkanya seperti:

    iii- Bisnis, perniagaan yang sedang berjalan sekarang. Yang kita sedangkan usahakan.

    iv- Setiap orang impikan rumah tangga & tempat kediaman yang selesa.

    Kata ulama’ tadabbur : Inilah susunan yang cukup baik, dalam hidup manusia ini kita nak wala’ (setia) ia pergi kepada tok nenek dulu, anak isteri & kaum keluarga baru pergi kepada harta & rumah tangga.

    Sebagaimana hadis Nabi SAW:
    Terdapat empat perkara yang menjadi kebahagiaan seseorang: isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik, dan kenderaan yang selesa.” [HR Ahmad dan Al-Hakim].

Alhamdulillah, tamatlah kita perbincangan yang ringkas untuk kuliah tafsir bagi ayat-ayat kita hari ini.

Semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat insya’ Allah.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top