View Categories

(11) Surah At-Taubah: Ayat 25-27

13 min read

Banyak Pertolongan Allah, Ujian Dalam Perang Hunain & Taubat Bagi Hamba-Nya.

Full video : https://youtu.be/-GU99P3jB3s?si=mQd3u0GL6le0N7Bn

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini kita akan sambung tafsir Surah At-Taubah ayat 25 sehingga 27 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT ingatkan betapa banyak pertolongan Allah yang sudah diberi pada beberapa tempat.
  1. Tetapi dalam Perang Hunain, Allah beri ujian kerana kaum muslimin yang berasa takjub dan kagum dengan bilangan mereka yang ramai.
    Menyebabkan mereka rasa over confident lalu kurang berdoa & bermunajat kepada Allah SWT sehingga tentera Islam berpecah pada awalnya, terasa sempit bumi ini bagi mereka.
    Namun begitu pertolongan Allah datang kembali dan mereka mendapat kemenangan jua akhirnya.
  1. Dalam ramai-ramai tentera kafir ada yang sampai hidayah Allah kepada mereka lalu mereka bertaubat & masuk Islam.
    Allah Maha menerima taubat bagi hamba-Nya & hanya Allah yang boleh membuka hati manusia bukan sesama manusia!!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan untuk perangi puak kafir kerana Allah nak suruh orang kafir rasa azab hasil usaha orang Islam sendiri & Allah sebut banyak tempat kemenangan yang telah diberikan.

    ii- Datang ayat ini Allah nak nyatakan bahawa kemenangan itu bukan mutlak!
    Kemenangan itu ialah apabila kamu bergantung kepada Allah!
    Apabila kamu mengambil sebab-sebab yang boleh membawa kemenangan!
    Perang Hunain ini berlaku sedikit kesilapan teknikal kerana tentera Islam terlalu bergantung kepada bilangan yang ramai!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 25- {SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENOLONG KAMU MENCAPAI KEMENANGAN DALAM BANYAK MEDAN-MEDAN PERANG DAN DI MEDAN PERANG HUNAIN, IAITU SEMASA KAMU MERASA MEGAH DENGAN SEBAB BILANGAN KAMU YANG RAMAI; MAKA BILANGAN YANG RAMAI ITU TIDAK MENDATANGKAN FAEDAH KEPADA KAMU SEDIKITPUN; DAN (SEMASA KAMU MERASA) BUMI YANG LUAS ITU MENJADI SEMPIT KEPADA KAMU; KEMUDIAN KAMU BERPALING UNDUR MELARIKAN DIRI.} (AT-TAUBAH 9:25)

  1. Allah nyatakan bahawa Allah telah tolong kamu dalam banyak tempat; bermula dengan perang Badar, Ahzab, peperangan dengan Bani an-Nadhir, Quraizah, Hudaibiyah, Pembukaan Khaibar, Pembukaan Kota Makkah dan lain-lain.
  1. Menurut Syeikh al-Qasimi dalam tafsirnya : Peperangan yang berlaku pada zaman Nabi SAW disebut dalam hadis Bukahri & Muslim yang sahih:
    i- Menurut hadis riwayat Zaid bin Arqam RA terdapat 19 Ghazwah iaitu peperangan yang Nabi SAW sendiri hadir.

    ii- Manakala menurut riwayat Buraidah pula, yang berlaku pertempuran adalah 8 kali, yang Nabi SAW keluar 19.

    iii-Ada ulama’ buat kajian pula :
    i- Apabila digabungakan antara ghazwah (غزوة), sariyah (سرِيَّة) dan bu’uth (بعوث)- terdapat 70 kesemuanya ada yang kata 80 kali.
  1. Penjelasan:
    i- Ghazwah (الغزوة): Peperangan yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.
    Contoh yang dihadiri sendiri oleh Nabi SAW ada 8 iaitu:
    Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Mustaliq, Perang Bani Quraizah, Perang Khaibar, Fathu Makkah: Pembebasan Kota Makkah & Perang Hunain.

    ii- Saraya (السرايا): Peperangan yang tidak dihadiri oleh Nabi Muhammad SAW Dipimpin oleh sahabat (amir) yang ditunjuk/pilih oleh Nabi.
    Contohnya: Beberapa pertempuran yang dilakukan oleh para sahabat seperti Saad bin Abi Waqqas RA dan lainnya.

    iii- Bu’uth (البعوث): iaitu delegasi atau utusan yang dihantar oleh Rasulullah SAW untuk melaksanakan sesuatu, tetapi lebih kecil bilangan tentera/wakil yang dihantar daripada Saraya.
  1. Allah beri peringatan bahawa semasa perang Hunain yang besar itu kaum muslimin berasa bangga & kagum dengan bilangan tentera mereka yang ramai sehingga mereka menjadi over-konfiden lalu terlupa untuk bermunajat berdoa meminta pertolongan Allah.
  1. Fakta tentang Perang Hunain:
    i- Di manakan Hunain ini?
    Sebuah tempat di antara Makkah & Taif, lebih kurang 20km dari Syara’i, Makkah.

    ii- Perang Hunain adalah pertempuran yang berlaku pada bulan Syawwal tahun ke-8 Hijrah selepas Pembukaan Makkah.
    Ia antara tentera Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW dan pasukan kaum Hawazin dan Thaqif. Pertempuran ini berlaku di Lembah Hunain, berhampiran Makkah.

    iii- Malik bin Auf, ketua kabilah Hawazin mengarah agar semua sekali dibawa pergi bersama untuk menyerang Makkah, iaitu bawa semua ahli keluarga (wanita, kanak-kanak & orang tua), haiwan ternak dan segala harta benda yang ada.

    Walaupun seorang tua berumur di kalangan mereka yang bernama Duraid menegur, tidak setuju dengan tindakannya tetapi Malik tetap dengan pendiriannya untuk bawa semua sebagai penguat semangat mereka berperang habis-habisan membela semua harta & keluarga yang dibawa!

    iii- Walaupun tentera Islam pada mulanya mengalami kekalahan kecil kerana terlalu yakin dengan jumlah yang besar, mereka akhirnya meraih kemenangan berkat pertolongan Allah SWT dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW.
    Tentera Islam terdiri daripada 12,000 orang, termasuk 2,000 orang Quraisy yang baru memeluk Islam setelah pembukaan Makkah.

    iv- Kekalahan Awal:
    Tentera Islam pada mulanya mengalami kekalahan dan kekacauan kerana terlalu yakin dengan jumlah mereka yang ramai.
    Mereka lupa bahawa kemenangan datangnya daripada Allah SWT.

    v- Kepimpinan Nabi Muhammad:
    Nabi Muhammad SAW tetap tenang dan memimpin tentera Islam untuk bangkit semula. Baginda menyeru para sahabat yang lari untuk kembali bertempur.

    vi- Kemenangan Akhir:
    Dengan semangat baru, tentera Islam berjaya mengalahkan pasukan Hawazin dan Thaqif. Mereka menawan ramai tawanan perang dan mendapatkan banyak harta rampasan.

    vii- Pelajaran yang Diperoleh:
    Perang Hunain memberikan pelajaran penting tentang pentingnya tawakal kepada Allah, keteguhan iman, dan kebijaksanaan dalam kepemimpinan.

    viii- Peristiwa Perang Hunain diabadikan dalam Al-Quran, Surah At-Taubah ayat 25-26, sebagai peringatan kepada umat Islam agar tidak hanya bergantung pada kekuatan fizikal semata.
  1. Hadis dari Sayyidina Abbas yang bersama Nabi SAW menyeru manusia berkumpul balik kepada Baginda & Nabi SAW menyusun balik barisan tentera.

    Rasulullah SAW berseru:
    Kemarilah wahai hamba-hamba Allah, kemarilah, aku Rasulullah.”
    Baginda juga bersabda, “Aku adalah nabi tidak berbohong. Aku adalah putra Abdul Muttallib.”
    Kemudian, Nabi SAW memerintahkan al-Abbas untuk menyeru kaum muslimin, kerana suaranya lantang.
    Maka, Abbas berseru, “Wahai golongan Ansar, wahai mereka yang berbaiat di bawah pohon! Rasulullah bersama orang-orang beriman yang benar sedang bertempur dengan dahsyat,”
    Lalu mereka kembali dan bersamanya hampir seratus orang.
    Ada yang mengatakan, lapan puluh orang.
    Malaikat turun kepada mereka dalam keadaan putih di atas kuda-kuda putih.
    Lalu Rasulullah SAW melihat ke medan peperangan kaum Muslimin, kemudian bersabda, “Sekarang peperangan telah mula panas.” Lalu Baginda mengambil segenggam tanah kemudian dilemparkan kepada musuh dan bersabda :
    “Ya Allah, laksanakan apa yang Engkau janji-kan kepadaku. Kalahlah kalian, demi Tuhan Ka’bah,” Maka mereka menjadi kalah.”
    Al-Abbas mengatakan bahwa, “Aku seperti masih melihat ketajaman pedang mereka tumpul, mereka lari ke belakang, namun aku melihat Rasulullah SAW memacu baghal Baginda di belakang mereka.”
    [HR Bukhari].
  1. Hadis, Anas bin Malik RA berkata:
    Pada Perang Hunain, musuh Islam terdiri atas Hawazin, Ghathfan, dan suku lainnya.
    Mereka datang dengan membawa harta dan budak-budak mereka.
    Sedangkan Rasulullah SAW membawa 10,000 pasukan ditambah dengan orang-orang Makkah yang baru masuk Islam.
    Saat peperangan itu, para sahabat melarikan diri meninggalkan Rasulullah SAW sendirian. Akhirnya Baginda melihat ke arah kanan, dan berkata, ‘Wahai muslimin Ansar!’
    Mereka menjawab, ‘Bergembiralah, wahai Rasulullah, kami selalu bersamamu,’
    Kemudian, Baginda melihat ke arah kiri, dan berkata, ‘Wahai muslimin Ansar!’ Yang dipanggil menjawab, ‘Bergembiralah, wahai Rasulullah, kami selalu bersamamu,’ Lalu, Baginda turun dari baghal putihnya, dan berkata, ‘Aku ini hamba Allah dan Rasul-Nya,
    ” (HR Bukhari)
  1. Boleh baca buku Makkah; Kelebihan & Sejarah, ada bab khas tentang Taif, Perang Hunain & Pembahagian hartaHawazin ini:
    https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah…

AYAT 26- {KEMUDIAN ALLAH MENURUNKAN SEMANGAT TENANG TENTERAM KEPADA RASULNYA DAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN, DAN ALLAH MENURUNKAN TENTERA YANG KAMU TIDAK MELIHATNYA, SERTA IA MENYEKSA ORANG-ORANG KAFIR ITU (DENGAN KEKALAHAN YANG MEMBAWA KEHANCURAN); DAN YANG DEMIKIAN ITU IALAH BALASAN BAGI ORANG-ORANG YANG KAFIR.} (AT-TAUBAH 9:26)

  1. Apabila tentera Islam berjaya berkumpul semula bersama Nabi SAW yang menyeru mereka, lalu Allah turunkan ketenangan ini kepada mereka.
  1. Semangat mereka pulih, kekuatan & keberanian mereka juga bertambah lalu mereka melakukan serangan balas dengan gagah perkasa bersama dengan kekuatan & pertolongan tentera dari Allah SWT yang tidak dapat dilihat!
  1. Kata Syeikh Syanqiti RHM : Maksud ayat ini {Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman :
    – ثُمَّ أَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَعَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ}-

    i- Yakni Allah turunkan ketenangan ini kepada tentera Islam yang ada setia bersama Nabi SAW.

    ii- Juga kepada tentera Islam yang lari pada awalnya kemudian apabila mereka datang balik bergabung dengan Nabi SAW, mereka juga dapat Sakinah, ketenangan ini!
  1. Kemudian Allah juga berfirman: {dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, وَأَنزَلَ جُنُودًۭا لَّمْ تَرَوْهَا}- yakni Allah hantar tentera malaikat sebagai penguat semangat!
    Kata ulama’ : Ayat ini jelas mengatakan bahawa Allah hantar tentera malaikat turun.
  1. Tetapi menurut kajian Syeikh Syanqiti juga : Sebagaimana yang telah kita bincangkan dalam Surah Al-Anfal yang lepas:
    i- Ramai ulama’ mengatakan : Pertolongan Malaikat secar fizikal, turut turun berperang melawan musuh; hanya dalam Peperangan Badar sahaja.
    Malaikat tidak berperang dalam peperangan lain!

    ii- Maka dalam peperangan Hunain malaikat tidak ikut berperang, malaikat hanya hadir untuk menguatkan semangat tentera Islam sahaja! Walaupun tak berperang malaikat ada sekali!
  1. Allah siksakan puakkafir dalam peperangan Hunain, ramai yang mati, banyak sekali harta dan anak isteri keluarga mereka yang ditawan sebagai tawanan perang!

AYAT 27- {KEMUDIAN ALLAH MENERIMA TAUBAT ORANG-ORANG YANG DIKEHENDAKI (DENGAN MEMBERI TAUFIQ UNTUK MEMELUK ISLAM), SESUDAH (ORANG-ORANG KAFIR ITU DITIMPAKAN DENGAN AZAB); DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AT-TAUBAH 9:27)

  1. Selepas selesai peperangan, ada dari kalangan mereka musuh Islam yang ditawan, ada yang masih lepas bebas; ada yang Allah pilih untuk diberi taufiq lalu mereka bertaubat & memilih Islam.
  1. Kata ibnu Asyur : Ayat ini menjadi dalil puak Hawazin masuk Islam selepas mereka tewas.
    Apabila harta mereka kena rampas, anak isteri mereka ditawan, Nabi SAW tidak terus membahagikannya tetapi menunggu dulu selama 20 hari di Ja’ranah, menunggu hawazin, apakah mereka lembut hati & insaf datang merayu & mengaku kalah!
  1. Selepas menunggu selama 20 hari dan mereka tak datang, nabi SAW pun membahagikan harta & tawanan yang begitu banyak itu.
    Mereka lalu muncul dan merayu meminta untuk berdamai & bertaubat.
  1. Mereka minta balik harta & orang tawanan yang terdiri dari kaum keluarga mereka itu dari nabi SAW kerana mereka sudah Islam!
    Nabi SAW memarahi mereka kerana mereka datang untuk berdamai setelah harta dan orang tawanan sudah dibahagikan sedangkan Nabi SAW sudah memberi tawaran & tempoh untuk berdamai & memulangkan balik harta mereka; tetapi mereka tidak datang kerana degil & keras kepala!
  1. Sekarang harta sudah dibahagikan, hartamu sudah menjadi milik orang lain, anak isteri kamu sudah menjadi hamba tawanan!
    Tetapi Rasulullah SAW yang penuh rahmat beri juga pilihan kepada mereka sama ada mahu ambil balik orang tawanan atau harta, yakni boleh pilih salah satu saja!
  1. Mereka memilih untuk mengambil balik orang tawanan kerana harta boleh dicari lain tetapi anak isteri & keluarga tiada gantinya!
    Lalu Nabi SAW minta para sahabat pulangkan balik tawanan pada puak Hawazin tetapi harta tidak dipulangkan.
  1. Harta tawanan rampasan perang Hawazin yang diperolehi oleh tentera Islam: 6000 tawanan perang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, 24,000 ekor unta, lebih 40,000 ekor kambing, dan 4000 kepingan barang kemas perak.
    Ini adalah rampasan perang terbesar yang diperoleh kaum Muslimin akibat kesalahan yang dibuat oleh Malik tetapi memberi rezeki yang besar kepada orang Islam!
  1. Allah akhiri ayat ini dengan mengingatkan bahawa Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani, iaitu taubat puak Hawazin diterima Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 25- {Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang…}-

    Allah telah menolong orang Islam dalam banyak tempat sebagaimana yang disebut di atas tadi.
    Terdapat kemenangan yang mutlak atau menang selepas kekalahan.

    Tetapi dalam peperangan Hunain kamu tidak dengar kata, tidak ikut SOP yang ditetapkan Allah. Ini menunjukkan bahayanya hanya bergantung kepada angka & perkara fizikal tidak kepada Allah yang memberi pertolongan yang sebenarnya!

    Walaupun begitu Allah tetap memberi pertolongan kepada Nabi SAW & tentera Islam pada akhirnya menang!
    Kita juga dapat pengajaran bahawa ramai tidak semestinya kuat, sedikit tidak semestinya lemah atau kalah!
    Sebagaimana dalam Badar walaupun hanya 300 orang lebih tentera tetapi menang besar; manakala dalam peperangan Hunain apabila terlalu ramai tentera berpecah menjadi kucar-kacir sehingga terasa sempit bumi kepada mereka!
  1. Ayat 25- {… dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun;..}-

    Apabila kamu kagum dengan bilangan kamu yang ramai maka Allah uji kamu!
    Kata ulama’ tadabbur : Bangga diri & kagum dengan bilangan yang ramai adalah racun yang dapat membunuh seseorang itu!
    Lihatlah kadang-kadang kita dapat kemenangan besar dengan majoriti ratusan ribu tetapi bangga sini bangga situ; akhirnya kita terlepas peluang yang diberikan Allah SWT!

    Dalam perang Hunain oleh kerana tentera Islam bangga dengan bilangan mereka yang seramai 12 ribu; Allah beri peringatan bahawa ia tidak akan memberi faedah sedikitpun kepada kamu, bahkan membuatkan kamu berpecah & bertempiaran lari apabila digempur!
    Allah beri peringatan kepada hamba-Nya bahawa bala itu datang dengan sebab bangga & kagum takabbur!
    Sesungguhnya bala itu datang dari mulut kita sendiri, buruk kesannya hasil daripada percakapan besar & buruk seperti itu!

    Kita orang beriman kita kena takut jangan kita ditinggalkan & dibiarkan Allah dengan sebab mulut yang celupar!
    Kita kena sedar Allah yang tentukan semuanya.
    Pertolongan itu datang dari Allah tetapi apabila kamu rasa kagum dengan diri sendiri, Allah tinggalkan kamu sehingga kamu terasa sempit bumi yang luas itu!
  1. Ayat 25- {… dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai;…}-

    Dalam ayat ini Allah sebut sebab khusus nama peperangan Hunain.
    Ini kerana umat Islam tewas ketika mereka berada di puncak kemenangan mereka!
    Ini yang ajaib, Makkah sudah diambil & menjadi milik kaum Islam. Tetapi kekalahan itu sekejap sahaja kerana Allah nak jentik & beri peringatan kepada mereka!
    Allah nak nyatakan bahawa kemenangan itu akan datang & tercapai jika kamu taat kepada Allah & Rasulullah SAW!
    Apabila tentera Islam berpecah, Nabi SAW panggil mereka bersatu kembali lalu mereka datang, Allah susun balik & beri kemenagan kepada mereka!
  1. Ayat 26- {Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman,…}-

    Kita kena yakin sejauh mana susah dan gawat kita, tetapi jika kita yakin & masih bergantung kepada Allah, Allah akan bantu & tolong kita!
    Allah peringatkan bahawa selepas daripada kegawataan, perpecahan dan ketewasan, Allah turunkan ketenangan & kekuatan semangat semula kepada Nabi SAW & tentera Islam.
    Lalu mereka menyusun balik barisan tentera & mengatur serangan balas sehingga dapat mengalahkan tentera musuh dan merampas banyak harta & tawanan!
    Tetapi ingat; jika kita lalai & alpa balik, Allah akan uji sekali lagi kita!!!
    Inilah yang banyak terjadi peliknya iaitu kita dalam situasi hampir mencapai kemenangan tetapi tidak menang! Iaitu tewas di saat kemengangan kerana kelalaian boleh membawa kekalahan.
  1. Ayat 27- {Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam),…}-

    Allah beri hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki-Nya.
    Kita ini kadang-kadang bila ada orang yang zalim & jahat; kita nak suruh dia terus kena hukuman Allah, mati ternganga dipanah petir!!! Tetapi perancangan Allah berbeza dengan apa yang kita nak! Allah beri peluang kepada orang kafir bertaubat & masuk Islam!

    Dalam kontek ayat kita ini puak Hawazin ini datang berjumpa Nabi SAW, Allah beri peluang mereka bertaubat & masuk Islam.
    Nabi SAW bermurah hati tawanan mereka seperti anak isteri dipulangkan balik tetapi harta tetap dirampas!
    Namun Nabi SAW tetap beri galakan kepada para sahabat yang mahu untuk serahkan balik harta rampasan yang didapati kepada tentera Hawazin yang telah insaf & mahu kembali kepada Islam.

    Tetapi jika tak mahu serah pun tak apa kerana harta itu sudah menjadi milik mereka!
    Ada beberapa sahabat yang menyahut seruan Nabi SAW ini dan memulangkan balik harta yang telah dibahagikan!
    Jangan lupa buku Makkah dengan tambahan bab baru tentang Taif, Thaqif & Hawazin ini:
    https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah…
    Juga jadikan sebagai bekalan untuk umrah & ziarah agar kita ada ilmu & maklumat.

Alhamdulillah tamatlah kita perbincangan yang ringkas untuk kuliah tafsir bagi ayat-ayat kita hari ini.

Semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat insya’ Allah.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top