View Categories

(13) Surah At-Taubah: Ayat 30-31

14 min read

Akidah Sesat Ahli Kitab Terhadap Uzair Dan Nabi Isa & Mengikut Pendeta Mereka Dalam Hukum.

Full video : https://youtu.be/aKsL3vrUFz4?si=cwF5jiVtSlI0nmRM

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 30 sehingga 31 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan akidah sesat ahli kitab yahudi & nasrani dalam beragama!
  1. Khususnya tentang kepercayaan mereka terhadap Uzair dan nabi Isa AS yang mereka dakwa sebagai anak Tuhan!
    Banyak lagi penyelewengan mereka tetapi Allah fokuskan kepada bab ini dalam ayat ini.
  1. Perangai ahli kitab juga mengikut pendeta mereka dalam hukum menentukan halal & haram.
    Mereka sepatutnya kena ikut Taurat & Injil bukan pendeta mereka!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah jatuhkan hukum ke atas yahudi & nasrani bahawa mereka kufur tidak beriman kepada Allah!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan apakah bentuk kekufuran & kesyirikan mereka terhadap Allah itu.
    Allah nyatakan sebab kenapa mereka wajib diperangi, iaitu kerana aqidah mereka yang sesat, tabal Isa & Uzair sebagai anak Tuhan, dua-duanya karut & tidak betul!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 30: DAN ORANG-ORANG YAHUDI BERKATA: “UZAIR IALAH ANAK ALLAH” DAN ORANG-ORANG NASRANI BERKATA: “AL-MASIH IALAH ANAK ALLAH”. DEMIKIANLAH PERKATAAN MEREKA DENGAN MULUT MEREKA SENDIRI, (IAITU) MEREKA MENYAMAI PERKATAAN ORANG-ORANG KAFIR DAHULU; SEMOGA ALLAH BINASAKAN MEREKA. BAGAIMANAKAH MEREKA BOLEH BERPALING DARI KEBENARAN?} (AT-TAUBAH 9:30)

  1. Allah ceritakan bahawa ada dari kalangan puak yahudi yang mendakwa & berkata : “Uzair adalah anak Allah.”
  1. Ulama’ kata : Bukan semua yahudi yang berkata begini, tetapi Allah nak ceritakan bahawa ada sebahagian mereka yang mendakwa begitu.
    Tetapi semuanya yang mendakwa begitu atau yang diam tidak menafikannya, kesemuanya adalah dikira sesat- kenapa kamu tidak bantah! Semuanya celaka kerana tidak ingkar benda mungkar, tahu tetapi diam biarkan!
  1. Siapakah Uzair ini:
    i- Ada kata seorang nabi dari kalangan bani Israil.

    ii- Ada ulama’ kata : Bukan nabi tetapi pendeta (ulama’) besar dari kalangan yahudi yang ditabalkan sehingga taksub!
  1. Mengikut sejarah dalam Tafsir al-Munir:
    Uzair seorang tukang nujum (كاهن) dari kalangan yahudi yang tinggal di Babylon, sekitar 457 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa AS.
    Dia telah mengasaskan masyarakat yang besar, telah mengumpulkan banyak naskhah-naskah tulisan tentang Taurat yang telah hilang.
    Dia juga telah menulis beberapa lembaran kitab & dia dianggap sebagai penyebar agama yahudi yang telah hilang.
    Maka kerana besar jasanya golongan yahudi membesarkan & mensucikannya sehingga dikatakan anak Tuhan!
  1. Mengikut sejarah, Nabi Musa telah menyimpan kitab Taurat yang asli di dalam sebuah peti (Tabut), kemudian datang musuh seperti Amaliqah atau Bukhtanassar sebelum Nabi Sulaiman menyerang kaum yahudi ini lalu hilang kitab Taurat itu.
  1. Iaitu apabila dibuka Tabut itu tiada Kitab Taurat di dalamnya & tidak ditemui kecuali beberapa lembaran yang menngandungi “10 Wasiat”- daripada Nabi Musa AS.
    Katanya Azra : Yang menulis kitab Taurat dengan huruf Kaldani kemudian bakinya dengan huruf Ibrani/Hebrew.
    Yakni kitab Taurat yang ada di tangan yahudi hari ini bukan yang asli peninggalan Nabi Musa tetapi hasil tulisan para pendeta mereka selepas lama kewafatan Nabi Musa!
  1. Kemudian ayat seterusnya: {…dan orang-orang Nasrani berkata : “Al-Masih ialah anak Allah“}, Iaitu puak Nasrani pula mendakwa Isa al-Masih sebagai anak Tuhan, mereka berbalah & berlawan dengan yahudi yang mengatakan Isa anak tak sah taraf- masing-masing mendakwa sesuatu yang karut dan tidak benar sama sekali!
  1. Puak nasrani yang terawal ketika menghormati Nabi Isa mereka memanggilnya sebagai anak sebagai seorang yang disayangi oleh Allah bukan anak sungguh!
    Begitulah mainan syaitan, dia bawa permainaan syirik ini dengan berperingkat!
    Tidak lama selepas 3 kurun kewafatan Nabi Isa AS barulah keluar fahaman karut trinity 3 dalam 1, Tuhan, Anak & Bapa, timbullah benda karut seperti yang berlaku sekarang.
  1. Lalu mereka nasrani mendakwa Nabi Isa sebagai anak Tuhan.
    Kita orang muslim mengakui Nabi Isa sebagai hamba Allah & Rasul yang diutusnya!
  1. Kisah nasrani & Nabi Isa ini sebagaimana firman Allah SWT ini:
    {Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”
    Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
    Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,
    Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
    Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.} (Maryam 19:92)
    Kita ingat akan ayat ini setiap kali tiba hari Krismas jangan kita ikut suka merayakannya secara tidak lansung, kita kena ada prinsip & jaga aqidah kita.
  1. Kata-kata & dakwaan yahudi dan nasrani ini tiada sandaran dari kitab atau hadis, ia hanyalah satu perkataan mereka dengan mullut mereka sendiri yakni rekaan mereka semata-mata.
  1. Kemudian Allah kata perkataan mereka (nasrani & yahudi) itu menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu.
    Apakah perkataan orang kafir terdahulu itu?
  1. Kata ar-Razi dalam tafsirnya : Ada beberapa pandangan ulama’ tentang ayat ini, perkataan yahudi & nasrani menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu;
    i- Kafir dulu yang kata malaikat anak perempuan Tuhan.

    ii- Kata-kata ini kembali kepada nasrani yang ikut yahudi, yahudi kata Uzair anak Tuhan, nasrani kata Isa anak Tuhan.
    Ini kerana yahudi dulu datang.

    iii- Sama saja semuanya sama ada yahudi atau Nasrani, semuanya ikut perbuatan orang kafir dahulu!

    iv- Datang zaman kita hari ini pun, begitulah juga, dok ikut puak kafir tak kiralah kristian ke yahudi ke majusi ke atau mereka yang tiada agama, asal kafir nak ikut dan rasa modern!
  1. Mereka yang ikut kafir terdahulu ini apakah hukumnya???
    Allah kata bahawa semoga Allah binasakan mereka.
  1. Kata Ibnu al-Anbari pakar ulama’ bahasa : Apabila Allah kata Allah binasakan mereka,{قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ} bermakna Allah bunuh mereka asalnya. Tetapi jika Allah sendiri yang khabarkannya ia bermakna dengan makna Allah SWT laknat mereka, jauhkan mereka dari rahmat-Nya!
  1. Yakni Allah SWT melaknat mereka yahudi & Nasrani yang lari daripada jalan yang benar, mereka sesat daripadanya & menuju kebatilan!
  1. Kemudian dipersoalkan: Bagaimanakah mereka boleh berpaling daripada kebenaran?
    Yakni macamana boleh keluar dari mulut mereka mengatakan Uzair & Isa itu anak Tuhan?
    Bagaimana asal & puncanya??
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan ayat al-Quran ini, Allah ceritakan tentang aqidah mereka ahli kitab yang sesat:

    {Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. (Al-Maidah 5:72).

    Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-Maidah 5:73)

    Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Maidah 5:74)
    Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu). (Al-Maidah 5:75)

    Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.(Al-Maidah 5:76)

    Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”.} (Al-Maidah 5:77)

AYAT 31- {MEREKA MENJADIKAN PENDITA-PENDITA DAN AHLI-AHLI AGAMA MEREKA SEBAGAI PENDIDIK-PENDIDIK SELAIN DARI ALLAH, DAN JUGA (MEREKA MEMPERTUHANKAN) AL-MASIH IBNI MARYAM, PADAHAL MEREKA TIDAK DIPERINTAHKAN MELAINKAN UNTUK MENYEMBAH TUHAN YANG MAHA ESA; TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA. MAHA SUCI ALLAH DARI APA YANG MEREKA SEKUTUKAN.} (AT-TAUBAH 9:31)

  1. Yahudi & nasrani ini menerima didikan, asuhan & hukum-hukum yang dibuat oleh pendeta, rahib tok guru mereka.
    Asal tok syeikh mereka cakap mereka akan terima walaupu tidak berasal dari agama!
    Kita wajib minta sandaran & dalil bagi sesuatu hukum.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sifatkan yahudi & nasrani sebagai syirik.
    Mereka kata Uzair & Isa sebagai anak Tuhan.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan kesyirikan mereka yang ketiga iaitumenjadikan pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah.
  1. Ingat maksudnya:
    i- Apabila disebut (أَحْبَارَهُمْ) ialah pendeta ahli ibadat yahudi yang perangainya mengubah modified hukum Syari’ah.

    ii- Manakala (وَرُهْبَـٰنَهُمْ) ialah rahib/paderi Kristian, ahli ibadat Nasrani, yang kerjanya ialah mereka-reka ibadat yang tidak disyari’atkan oleh agama.
    Contoh para paderi & rahib tidak boleh berkahwin seumur hidup!
  1. Maka dalam ayat ini Allah kata yahudi ambil ahli ibadat mereka, nasrani ambil ahli ibadat mereka, ikut cakap mereka menjadikan mereka ketua yang ditaati dalam hukum-hakam, dalam menghalalkan yang haram dan sebaliknya!
  1. Kata ar-Razi RHM : Hasil daripada perbincangan ini, maksudnya ketuhanan itu ialah mereka taat kepada pendeta & rahib mereka dalam perkara yang menyalahi hukum Allah!
    Maka apabila mereka taat, perkara halal jadi haram, yang haram jadi halal; maka itu dianggap seolah taat kepada Tuhan!
  1. Hadis riwayat Adi bin Hatim RA :
    Dia mendengar Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT :
    ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرْبَابًا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓ إِلَٰهًا وَٰحِدًا ۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ
    Maksudnya: Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah. Begitu juga (mereka mempertuhankan) al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.} [At-Taubah (31)]
    Adi berkata: Mereka tidak menyembah atau sujud kepada pendeta mereka wahai Rasulullah!

    Nabi SAW bersabda :
    أما إنهم لم يكونوا يعبدونهم، ولكنهم كانوا إذا أحلوا لهم شيئا استحلوه، وإذا حرموا عليهم شيئا حرمو

    Maksudnya: Mereka sebenarnya tidak menyembah pendeta-pendeta mereka.
    Namun, jika pendeta-pendeta mereka menghalalkan sesuatu, maka mereka turut menghalalkannya.
    Begitu juga jika pendeta-pendeta mereka menghalalkan sesuatu yang haram kepada mereka, maka mereka turut menjadikannya haram, itulah ibadat.
    [HR at-Tirmizi].
  1. Sedangkan mereka tidak diperintah berbuat demikian, sudah ada dalam kitab mereka untuk menyembah Allah yang Esa & tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain daripada Allah!
  1. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka dakwa & rekaan mereka.
    Semuanya syirik & sesat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 30: Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”.}-

    Ayat ini menjadi dalil apabila kita menceritakan tentang kekufuran lalu kita pindah ayat ini dengan cara penceritaan bukan kita yang kata maka kita tak jadi kafir!
    Kita mengatakan sedemikian untuk menceritakan keburukan, untuk menyatakan kesesatan, kejahatan orang lain; maka tidak salah & tidak menjadi masalah!
    Ini kerana kadang-kadang kita kena mengulang balik percakapan orang lain untuk menyampaikan apa yang telah berlaku.
    Dalam ayat ini, Allah sendiri yang hikayatkan kepada kita kata-kata buruk yahudi & nasrani terhadap Allah, bukan kita yang kata, kita ceritakan balik sahaja!
    Iktiqad yahudi & nasrani yang salah ini Allah telah ceritakan dalam al-Quran:
    i- {Dan orang-orang Yahudi berkata:”Uzair ialah anak Allah dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”.) [At-Taubah: 30].

    ii- {Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam)} (Al-Maidah 5:17)

    iii- {Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”.} (Al-Maidah 5:73)
    Inilah aqidah nasrani, iktiqad ini nampak bermacam-macam tetapi sebenarnya semuanya adalah satu.
    Iaitu nak pergi kepada syirik menuduh Nabi isa sebagai anak Tuhan!
    Maka kita berhati-hatilah dengan perangkap maut ini, kita nak cerita boleh tetapi ingkar dengan hati itu wajib!
  1. Ayat 30: {Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri,…}-

    Allah kata itulah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, iaitu perkataan yang keluar dari mulut mereka!
    Sedangkan yang bercakap adalah lidah tetapi dalam ayat ini Allah sebut mulut!
    Penjelasaan: Apabila al-Quran kata itulah perkataan dari mulut { قَوْلُهُم بِأَفْوَٰهِهِمْ} bermakna itulah perkataan yang buruk, bohong, dusta, belawok yakni tipu.
    Biasanya apabila Allah gunakan perkataan kata dengan mulut ini untuk menunjukkan pembohongan & pendustaan:

    i- {Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.} (A-li’Imran 3:167)

    ii- {… Besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.} (Al-Kahfi 18:5)
  1. Ayat 31- {Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah,..},

    Mereka menjadikan pendeta & rahib mereka sebagai Tuhan selain daripada Allah!
    Kata ulama’: Ini dipanggil syirik dalam bab hukum, kerana hukum ini yang boleh beri halal & haram hanyalah Allah!
    Ulama’ hanya menyampaikan hukum berdasarkan dari apa yang mereka faham dari baca al-Quran & hadis, yakni buat instinbat (keluarkan hukum) difahami dari ayat ini harus atau makruh dan seumpamanya.
    Bukan mereka buat hukum sendiri.
    Manakala pendeta ahli kitab yahudi & Nasrani, mereka sendiri yang buat hukum- yang ini halal, yang ini haram.
    Inilah yang dikatakan menjadikan tok guru pendeta lebih daripada Tuhan!
    Inilah perbuatan bahaya yang kita kena ingat & sedar; taat kepada pemimpin dalam perkara yang diharamkan oleh Allah dengan pengetahuan adalah satu kesalahan & dosa besar!
  1. Ayat 31- {Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah,…}-

    Yakni mereka taat kepada pendeta mereka ini selain daripada Allah.
    Iaitu puak kafir itu jadi kafir kerana taat kepada pendeta-pendeta, ahli ibadat mereka- maka ketaatan itu dianggap seolah menjadikan mereka Tuhan!
    Iaitu dalam bab ketaatan dalam halal & haram!
    Wajib kita faham isu ini jika tidak boleh menjadikan kita mengkafirkan semua orang.
    Allah melaknat sesiapa yang mengkafirkan orang lain tanpa hak maka sekali berhati-hatilah dalam bab ini!
    Perhatikan contohnya:
    i- Seseorang itu tahu agama Allah kata begini, Allah haramkan riba; tetapi tok gurunya (pendeta/rahib) kata boleh, tidak mengapa kerana dunia hari ini memerlukannya, dunia penuh dengan riba kita kena buatnya- yakni dia menghalalkan apa yang Allah haramkan.
    Maka para pengikutnya walaupun tahu ikut juga, maka boleh membawa kepada kafir kerana dia ingkar hukum Allah, halalkan apa yang sebenarnya haram, dia ingkar apa yang diharamkan Allah dengan ilmu yang ada padanya!

    ii- Seseorang itu tahu perkara itu salah & haram tetapi dia buat juga.
    Maka orang yang buat maksiat & ingkar itu dikira derhaka, berdosa besar tetapi tidak termasuk kufur.
    Seperti kita di sesetengah negara yang dipaksa ikut undang-undang sekular ciptaan manusia, maka apakah kita dikira kafir?
    Tidak begitu kerana kita tidak ada pilihan.

    Masalah takfir ini bahaya kita kena perjelaskan!
    Contohnya lagi kita nak undang-undang hudud & cuba laksanakannya tetapi tidak boleh buat juga.
    Kita sudah usaha & juga yakin undang-undang yang ada hari ini adalah undang-undang kafir, undang-undang orang putih!
    Tetapi kita nak buat tak boleh maka ini tidak dikira kufur tetapi dalam maksiat.

    Tetapi mereka yang berusaha memperjuangkannya insya’ Allah akan dapat pahala yang besar, kita usahakan untuk memartabatkan Syari’ah!
    Orang gelak atau perli jangan peduli yang penting kita telah usaha dan ada niatnya!
    Isu ini kena jelas jika tidak kita akan terjerumus dalam bab mengkafirkan orang tanpa hak, sesuatu yang bahaya!
  1. Ayat 31- {… Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan…}-

    Dalam ayat ini Allah tak sebut puak nasrani itu sebagai kafir musyrikin secara direct tetapi sebagai pengikut perbuatan ahli syirik {عَمَّا يُشْرِكُونَ}!
    Penjelasan:
    Kata ulama’ : Ini kerana puak nasrani itu asalnya mereka tidak syirik kepada Allah, mereka adalah pengikut Nabi Isa AS!
    Tetapi setelah nabi Isa tidak ada, para pendeta mereka tukar perjalanan agama lalu akhirnya Nabi Isa yang disayangai & dihormati Allah telah diangkat martabatnya, tukar darjatnya terus menjadi anak tuhan!
    Iaitu kerana mereka umumkan Nabi Isa anak tuhan, jadi mereka menyeleweng dari agama tauhid yang sebenar.
    Kata para ulama’ : Allah sebut Maha suci Allah dari perbuatan puak yang syirik, Allah tidak mutlakkan kepada yahudi & Nasrani sebagai musyrikin tetapi kepada ahli kitab!
    Asalnya tauhid tetapi dalam perjalanannya syirik!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top