Pendeta Dan Rahib Makan Harta Batil, Menyekat Jalan Allah & Bahaya Menyimpan Emas Tanpa Zakat.
Full video : https://youtu.be/gYFhnGq4FV8?si=iomTA44-VZKreN9d
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 34 dan 35 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT dedahkan tentang sifat pendeta dan rahib ahli kitab yahudi & Nasrani, tembelang mereka apabila berinteraksi dengan manusia.
Iaitu penuh dengan penyelewengan, penipuan & rasuah- iaitu mereka makan harta secara batil.
- Yang besar lagi mereka menyekat jalan Allah sama ada menghalang dakwah atau menyekat orang daripada jalan Allah.
- Serta satu peringatan bahaya besar menyimpan harta sama ada emas & perak atau duit cash sekarang ini, tanpa zakat yang wajib atau lansung tak infaq ketika orang memerlukan.
Maka Allah nyatakan azab bagi golongan ini yang simpan harta tak infaq, tak keluarkan zakat!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perangai tingkah laku yahudi & nasrani yang telah menjadikan ahli agama mereka {para pendeta & rahib- ٱلْأَحْبَارِ وَٱلرُّهْبَانِ} sebagai Tuhan yang diikuti.
Yakni apa yang pendeta mereka kata mereka ikut belaka walaupun bercanggah dengan kitab Injil &Taurat mereka!
ii- Dalam ayat ini Allah SWT dedahkan tembelang ahli ibadat para pendeta & rahib {ٱلْأَحْبَارِ وَٱلرُّهْبَانِ} itu tidak layak diikut kerana mereka jahat sekali, makan harta secara batil!
Ramai di kalangan mereka penyeleweng/scammer, nampak baik & soleh (jjuruh); tetapi sebenarnya mereka rakus makan harta haram!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 34- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! SESUNGGUHNYA BANYAK DI ANTARA PENDITA-PENDITA DAN AHLI-AHLI AGAMA (YAHUDI DAN NASRANI) MEMAKAN HARTA ORANG RAMAI DENGAN CARA YANG SALAH, DAN MEREKA MENGHALANGI (MANUSIA) DARI JALAN ALLAH (AGAMA ISLAM).
- Dalam ayat ini Allah dedahkan tembelang para Ulama’ atau ahli ibadat ahli kitab yahudi & Nasrani.
Bahawa ramai sekali dari kalangan mereka yang memakan harta orang tanpa hak, iaitu makan harta secara batil!
- Maka jauhilah diri kamu daripada mengikut:
i- Ulama’-ulama’ yang jahat iaitu {ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ} yang dipelopori oleh yahudi.
ii- Ahli ibadat yang sesat {ٱلضَّآلِّينَ} iaitu yang dipelopori oleh Nasrani dan semua spesis yang ikut perangai mereka!
- Ibnu Asyur kata : Allah kata ramai tetapi bukan semua, yakni kita kena jatuhkan hukuman secara adil, kita kata apa yang mereka buat, yang mereka tak buat jangan kata.
Kebanyakan pendeta & rahib itu jahat tetapi bukan semua, kerana pasti ada juga di kalangan mereka orang yang soleh & baik.
Contohnya seperti Abdullah bin Salam RA & Mukhairiq, مخيريق dua nama tokoh yahudi yang disebut sebagai jujur & telus.
- Kata Ibnu Asyur juga : Maksud perkataan makan harta secara batil (بِٱلْبَـٰطِلِ) itu ialah antaranya:
i- Mereka sanggup tukar hukum agama, agar serasi & sesuai dengan kehendak manusia!
Yakni hukum itu boleh berubah ikut kepentingan mereka.
ii- Ketika mereka menjalankan penghakiman, sebagai qadhi, mereka tidak beri haq kepada orang yang benar, tetapi memenangkan orang yang baik dengan mereka atau yang beri rasuah kepada mereka!
iii- Mereka juga khianat apabila diberi amanah. Mereka tidak mengaku dan akan ambil harta yang diamanahkan itu kerana tiada rekod & saksi.
iv- Mereka juga khianat harta anak yatim, duit waqaf atau sedekah, semuanya mereka makan & kaut masuk poket simpanan sendiri!
- Sebagaimana satu pendedahan berani oleh Salman al-Farsi radhiallahu anhu bekas seorang majusi dan nasrani dari Parsi, tentang sifat pendeta & rahib ini yang pernah dia hidup bersama & berguru dengan mereka!
Betapa mereka menyorokkan harta yang diinfaqkan orang ramai, tidak diagihkan bahkan masuk Gedung mereka!
Maka jangan kamu ikut sikap mereka ini dan mereka tidak sekali layak diikut.
Patutlah orang miskin ramai dikawasan dia pun.
- Sifat jahat mereka lagi ialah menyekat manusia dari jalan Allah.
Iaitu menghalang manusia dari masuk Islam, dari mengikut kebenaran!
Dia sendiri tak terima Islam kemudian sekat orang lain juga daripada menerima Islam dengan pusing seleweng fakta & kebenaran tentang Islam.
Kejahatan mereka meliputi segalanya!
AYAT 34- {… DAN (INGATLAH) ORANG-ORANG YANG MENYIMPAN EMAS DAN PERAK SERTA TIDAK MEMBELANJAKANNYA PADA JALAN ALLAH, MAKA KHABARKANLAH KEPADA MEREKA DENGAN (BALASAN) AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.}
- Isu kedua dalam ayat ini ialah tentang orang yang simpan harta tidak menginfaqkannya. Apatah lagi sedekah yang wajib seperti zakat dan lain-lain.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang sebelumnya Allah nyatakan puak pendeta ini kumpul harta & tidak mengagihkan kepada faqir miskin.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahayanya simpah harta tetapi tak infaq yang wajib seperti zakat & nafkah wajib.
Ayat ini juga umum kepada mana-mana manusia yang ada harta tetapi tidak infaq!
Cuma ulama’ berbeza dapat tentang bilakah ayat ini turun :
i- Ada ulama’ kata : Ayat ini turun sebelum turunnya ayat mewajibkan fardhu zakat, maka bila turun kefardhuan zakat, maka kamu nak infaq atau tidak terserahlah yang penting kamu bayar zakat!
ii- Tetapi ramai juga ulama’ yang berpendapat bukan begitu- ayat ini tidak mansukh, orang yang ada harta jangan bakhil, kena beri harta yang ada kepada faqir miskin yang ada dikeliling kita!
Infaq di sini ialah kepada keluarga terdekat yang wajib dibiayai nafkah belanjanya!
- Kata ulama’ : Hukum ini adalah untuk orang yang tak bayar zakat secara khusus atau tak bayar nafkah yang wajib, mereka ini termasuk juga dalam orang yang tidak infaq!
Kita jamaklah antara dua ini: orang yang ada harta tak keluarkan zakat & juga orang yang ada harta tak infaq fi-sabilillah- termasuk belaka dalam ancaman ayat ini.
- Semasa peperangan Tabuk, dicatatkan bahawa Saidina Uthman bin ‘Affan RA telah menginfakkan sebanyak 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar.
(Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 512-513).
- Jadi orang yang simpan harta tak sedekah, anak-anak atau kaum keluarga miskin tak cukup makan, orang ini akan kena azab.
- Kata al-Wahidi selepas perbincangan panjang : Ancaman ini termasuk kepada mereka yang tak bayar zakat secara khusus, Adapun golongan lain jika masuk pun dalam keadaan tertentu seperti suami yang tak beri nafkah kepada isteri & anak-anak!
- Antara hadis tentang azab orang yang tak bayar zakat & tak infaq:
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
“Barang siapa diberi harta oleh Allah, lalu dia tidak menunaikan (kewajipan) zakatnya, pada hari kiamat hartanya dijadikan untuknya menjadi seekor syuja’an
aqra’ (ular jantan aqra’ yang kulit kepalanya botak kerana di kepalanya terkumpul banyak racun), yang berbisa dua bahagian mulutnya.
Ular itu dikalungkan (di lehernya) pada hari kiamat. Ular itu memegang (atau menggigit tangan pemilik harta yang tidak berzakat tersebut) dengan kedua bahagian mulutnya, lalu ular itu berkata,
’Saya adalah hartamu, saya adalah simpananmu’.
Kemudian baginda Nabi SAW membaca firman Allah SWT ini:
{“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.”} Surah Ali-Imran ayat 180. [HR Bukhari].
AYAT 35- {(IAITU) PADA HARI DIBAKAR EMAS PERAK (DAN HARTA BENDA) ITU DALAM NERAKA JAHANAM, LALU DISELAR DENGANNYA DAHI MEREKA, DAN RUSUK MEREKA, SERTA BELAKANG MEREKA (SAMBIL DIKATAKAN KEPADA MEREKA): “INILAH APA YANG TELAH KAMU SIMPAN UNTUK DIRI KAMU SENDIRI, OLEH ITU RASALAH (AZAB DARI) APA YANG KAMU SIMPAN ITU.} (AT-TAUBAH 9:35)
- Ayat ini menceritakan bagaimana hukuman terhadap mereka yang tak bayar zakat & infaq yang wajib itu!
- Munasabah ayat ini dengan ayat yang lepas:
i- Dalam ayat lepas Allah kata jika kamu simpan harta emas & perak kamu tak infaq, akan diazab dengan azab yang pedih.
ii- Maka datang ayat ini ceritakan secara detail apakah azab itu!
- Iaitu harta mereka itu, di dalam neraka Jahannam kelak, akan dileburkan menjadi besi panas seolah seterika besi yang panas, yang akan diselar dengannya pada dahi & rusuk mereka pada awalnya kemudian seluruh azab.
- Kenapa Allah sebut dua anggota badan manusia dahi & rusuk ini sedangkan mereka akan diazab seluruhnya?? Ini kerana:
i- Pertama sekali apabila ada orang miskin datang mendekati mereka untuk mendapatkan bantuan/sumbangan, dahi mereka berkerut tanda tidak senang tidak suka dengan perbuatan tersebut.
Yakni dahi dulu yang mula berkerut.
ii- Kemudian mereka berpusing, berpaling belakang membelakangi orang miskin tadi, maka giliran belakang mereka pula disterika! Selepas itu malaikat akan menekap seluruh tubuh mereka pula!
- Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Tidak seorang pun daripada pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan hak hartanya itu melainkan pada hari kiamat diratakan baginya lempengan-lempengan daripada api. Lempengan-lempengan itu dibakar dalam neraka jahannam, lalu rusuk, dahi dan belakangnya akan diseterika dengan (lempengan-lempengan) itu.
Setiap kali lempengan itu menjadi sejuk maka ia akan dipanaskan kembali.
Demikianlah berterusan sepanjang hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga selesai Allah memberi hukuman di antara hamba-hambaNya. Lalu diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga ataupun ke neraka…” [HR Muslim].
- Selepas kena sterika itu malaikat berkata pula kepada mereka untuk menambahkan azab lagi: Wahai si bakhil, inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
- Hadis, Rasulullah SAW ditanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lembu dan kambing?”
Baginda menjawab: “Dan tidak seorang pun pemilik lembu dan kambing yang tidak menunaikan hak lembu dan kambingnya itu melainkan pada hari kiamat dibiarkan lembu dan kambing itu sebanyaknya di padang yang luas dan tidak berkurangan walaupun seekor, dan tidak ada yang bengkok tanduknya, dan tidak ada yang tidak bertanduk, dan tidak ada yang pecah tanduknya.
(Lembu dan kambing itu) menanduk-nanduk pemiliknya dengan tanduknya dan memijak-mijaknya dengan tapak kakinya.
Setiap kali lembu dan kambing yang pertama melaluinya maka lembu dan kambing yang lain akan kembali.
Demikianlah berterusan sepanjang hari yang lamanya 50,000 tahun sehingga selesai Allah memberi hukuman di antara hamba-hambaNya. Lalu diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga ataupun ke neraka…”. [HR Muslim].
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 34- {Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah,…}-
Ayat ini Allah gambarkan kepada kita perangai buruk & karenah ahli agama yahudi & nasrani yang ambil harta secara batil!
Ini peringatan & amaran dari Allah SWT agar kita berhati-hati dengan ulama’ su’ atau ulama’ yang jahat!
Hari ini kita dapat lihat iklan-iklan di medsos yang tunjuk keadaan di rumah anak yatim atau tahfiz yang dhaif, anak-anak makan nasi tanpa lauk, tanpa keperluan & kelengkapan yang cukup; cuba memancing simpati orang menderma & infaq.
Letak no akaun besar-besar, orang ramai pakat menderma atas dasar kasihan belas!
Tetapi kadang-kadang (bukan semua) apabila orang infaq, dana itu lebih banyak yang masuk ke dalam poket pengurus rumah, sekolah atau asrama tersebut daripada kepada pelajar atau anak yatim yang dijaga.
Ini kerana ada anak-anak tersebut kadang-kadang hanya dijadikan umpan meraih simpati & derma orang ramai!
Jika kamu tak mampu nak jaga, dari awal lagi- kenapa buka sekolah/asrama tersebut & terima anak-anak yang malang itu serta biarkan mereka dalam kedhaifan & serba tak cukup?????
Biarlah mereka yang mampu dan layak, yang bersedia mengguruskannya- bukan buka sekolah baru nak cari derma guna anak-anak yang tidak berdosa tersebut!
Inilah bahayanya ahli ibadat yang menyeleweng kerana orang ramai mudah percaya kepada mereka yang bernaung dibalik imej agama ini.
Kerana itu tuan-puan, siasat dan pastikan dulu sebelum menderma jangan kata ada iklan yang menyedihkan, ada orang buka tabung, terus transfer, terus derma!
Kita juga perlu tengok maslahat & keperluan untuk menderma.
Lihat keadaan bukan kata ada berlaku musibah, derma masuk berjuta-juta sedangkan yang terlibat hanya kerosakan kecil, sehingga boleh membawa fitnah pula kepada penerima tak tahu nak buat apa!
Hati-hatilah scammer ini masuk melalui seluruh jalan, melalui ahli agama pun dia masuk apatah lagi melalui kaki penipu asli!
Allah gambarkan perbuatan scammer ahli kitab & kita sekarang pun berhati-hatilah agar jangan terpedaya!
- Ayat 34- {Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani)…}-
Untuk berlaku adil; Allah kata banyak di antara, yakni sebahagian & tidak semua ahli kitab itu yang memakan harta secara batil & berperangai jahat.
Ayat ini mengajar kepada kita erti ketelusan, apabila buat penilaian jangan pukul rata, kita kata ada juga di kalangan mereka yang baik, seperti pusat pengajian tadi. Ada banyak yang baik & benar-benar ikhlas.
- Ayat 34- {Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam).}-
Dalam ayat ini Allah menyebut bahawa penyelewengan manusia dalam pengurusan harta berlaku melalui dua cara.
Iaitu manusia tersasar dalam harta kerana:
i- Habis harta kerana infaq tempat batil & salah. Taja program itu program ini yang maksiat & lagha.
Infaq ingat jalan ibadat rupanya yang tiada faedah & tidak memberi pulangan yang baik bagi dunia & Akhirat.
Contoh infaq untuk sekolah agama- rupanya hanya dok bergendang menyanyi, belajar atau mengaji hanya sambil-lewa.
ii- Tak tunaikan duitnya pada tempat yang sepatutnya dia tunaikan seperti zakat, derma sedekah, nafkah dan lain-lain.
Yakni bakhil tak keluarkan kewajipan daripada hartanya!
Jadi kita betulkan chanel kita, jangan berani-berani buat perkara yang tidak baik, moga Allah selamatkan.
- Ayat 34- {… Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah,..}-
Allah kata siapa simpan emas & perak yakni harta tetapi tak belanjakannya pada jalan Allah akan diazab.
Allah sebut emas dan perak kerana emas & perak dikira sebagai harta utama atau asal matawang pada zaman dulu.
Maka pada zaman kita ini termasuklah juga orang yang simpan duit/wang cash tak kira jenis matawang apa sekalipun, ia wajib kena zakat. Apabila ada harta wajib ada keluarkan zakat!
Maka melalui ayat ini; Allah bagi peringatan keras sesiapa yang tidak mahu keluarkan akan kena azab.
Masalah zakat perhiasan (زكاة الحلي), ada beberapa pandangan ulama’:
i- Ada yang berpendapat jika barang kemas itu dipakai sebagai hiasan, bukan disimpan sahaja maka tak kena zakat!
ii- Ada ulama’ lain berpendapat : Dalam al-Quran kata jika ada barang emas & perak yang kamu pakai atau simpan; kena zakat semuanya.
Kita memilih untuk lebih berhati-hati dan berhalus, jika ada barang kemas yang melebihi nasab, biarpun yang kita pakai harian, ramai ulama’ semasa buat keputusan zakat emas perhiasan adalah lebih baik kita bayar kesemuanya yang ada.
Jika tidak kita takut akan masuk dalam ayat ini, ancaman untuk mereka yang tidak membayar zakat.
Itulah pandangan sebahagian ulama’ & kita pilih untuk berhati-hati maka lebih baik kita bayar.
Sebagaimana hadis Nabi SAW yang melihat seorang perempuan membawa anaknya yang memakai gelang emas & Nabi SAW bertanya apakah beliau telah membayar zakat untuk emas itu. Perempuan itu kata tidak; lalu Nabi SAW kata kamu telah memakaikannya api neraka.
Maka lebih baik kita berhati-hati walaupun ada khilaf ulama’, lebih baik kita bayar semuanya. Kepada tuan emas & perak, jika berasa sayangkan emas-peraknya; bayarlah zakat!
- Ayat 34-{.. Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.}-
Yakni mereka simpan hartanya dan tidak infaq, tidak gunapun hartanya.
Yakni simpan saja, tidak guna harta yang dimilikinya, termasuk semua jenis harta tak kira emas perak, wang dan apa saja.
Ayat ini menunjukkan betapa banyak lagi harta yang kamu miliki, jika harta yang kena keluar zakat keluarkan dan jika patut keluarkan infaq, maka wajib infaq!
Bagi mereka yang ada harta tetapi tak keluarkan infaqnya Allah beri amaran kepada mereka dengan mengatakan: {.. maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.}
Allah guna perkataan {berikan mereka khabar gembira- فَبَشِّرْهُم}- sebagai satu perlian dan ancaman yang cukup menggerunkan kepada si bakhil yang tidak mahu infaq!
Kerana khabar gembira itu ialah azab neraka yang tidak terperi sakitnya!
- Ayat 35- {(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka..}-
Dalam ayat ini Allah SWT gambarkan bentuk siksaan & azab yang akan dikenakan atas mereka.
Iaitu segala harta emas perak yang mereka tak keluarkan zakat itu akan dileburkan menjadi kepingan besi seolah sterika untuk ditekan ke atas muka & rusuk dan belakang mereka.
Disebut anggota ini kerana sebagaimana yang disebut di atas tadi; kerana anggota inilah yang awal dulu memberi reaksi buruk apabila diminta infaq atau sedekah dari mereka.
Azab itu akan mengenai seluruh badan mereka cuma Allah nak gambarkan cara azab itu dikenakan, kena muka & rusuk dulu, dengan kepingan harta yang jadi besi panas dan seumpamanya,l.
Dengan harta lain pula yang tak dikelurkan zakat, Allah jadikan ular botak beracun atau haiwan yang mengganas menanduk tuannya yang tidak mengeluarkan zakat!
Zakat ini tidak banyak hanya 1/40 daripada jumlah keseluruhan harta yang ada.
Maka para muslimat yang ada barangan emas ini sila semak balik jumlah & nilai barang yang ada, apakah sudah cukup nisabnya & sudah cukupkah zakat yang dikeluarkan untuknya.
Kita tidak mahu menyesal kemudian hari di Akhirat kelak, penyesalan yang tiada guna lagi!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
