View Categories

(17) Surah At-Taubah: Ayat 38-39

13 min read

Galakan Keluar Berjihad, Jangan Terpedaya Dengan Dunia & Allah SWT Akan Tukar Dengan Pejuang Lain.

Full video : https://youtu.be/Tk5JIcqJ9E4?si=kqHd47AHQnCmQDg_

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 38 sehingga 39 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan galakan keluar berjihad, lebih-lebih lagi ayat ini turun berkait dengan peperangan Tabuk yang sangat berat iaitu kerana jaraknya jauh, musim yang panas, serta musim memetik buah yang masak.
  1. Allah juga beri peringatan & amaran agar jangan terpedaya dengan dunia sehingga tak mahu keluar berjihad & berjuang.
  1. Kemudian Allah SWT cabar jika kamu tak mahu berjuang, Allah akan tukar dengan pejuang lain.
    Sekarang pilihan di tangan kamu, mahu jadi pejuang atau tidak.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang sebab-sebab kita kena lawan kafir musyrikin & kafir ahli kitab.
    Ini kerana Allah nak timpakan azab ke atas mereka melalui tangan orang Islam & nak beri pahala kepada kita!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyataan sebab-sebab orang Islam kena pergi lawan tentera Rom yang berada di Syam.
    Tabuk ini berada di tengah-tengah antara Madinah & Syam.
  1. Mengikut tafsir al-Munir fakta tentang Peperangan Tabuk:
    i- Jarak antara Madinah & Tabuk dalam 690km. Dari Tabuk ke Damsyiq Syam pula ialah 692km, yakni betul-betul di tengah keduanya.

    ii- Berlaku pada bulan Rajab tahun ke-9H selepas Nabi SAW selesai dari Peperangan Hunain & kepungan Taif tahun 8H.

    iii- Ayat ini turun dalam keadaan gawat, iaitu cuaca panas, jarak yang jauh serta pemilik kebun pula diuji dengan tamar-tamar yang sedang masak ranum.
    Kata para ulama’ : Bermula dari ayat ini sehingga ke akhir surah nanti adalah perbincangan tentang Perang Tabuk!

    iv- Dalam ayat ini Allah pecahkan tembelang puak munafiqin & mereka yang lemah iman!
    Kerana itu salah satu nama surah ini ialah surah al-Faadihah iaitu surah yang mendedahkan tembelang munafiqin.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 38- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! MENGAPA KAMU, APABILA DIKATAKAN KEPADA KAMU: “PERGILAH BERAMAI-RAMAI UNTUK BERPERANG PADA JALAN ALLAH”, KAMU MERASA KEBERATAN (DAN SUKA TINGGAL MENIKMATI KESENANGAN) DI TEMPAT (MASING-MASING)? ADAKAH KAMU LEBIH SUKA DENGAN KEHIDUPAN DUNIA DARIPADA AKHIRAT? (KESUKAAN KAMU ITU SALAH) KERANA KESENANGAN HIDUP DI DUNIA INI HANYA SEDIKIT JUA BERBANDING DENGAN (KESENANGAN HIDUP) DI AKHIRAT KELAK.} (AT-TAUBAH 9:38)

  1. Wahai orang beriman apabila diseru & dikerahkan untuk pergi berperang beramai-ramai keluar berjihad pada jalan Allah melawan orang kafir, jangan kamu berasa berat, susah hati & tak larat, menangguh-nangguhkan, tidak suka meningalkan kesenangan di tempat masing-masing!
  1. Kata Syeikh al-Wahidi : Ayat ini galakan khas kepada mereka yang keberatan, lemah semangat, tidak bermaya untuk keluar berperang ke Tabuk kerana suasana amat tidak menggalakan.
  1. Maka ayat ini adalah satu sentapan, apakah kamu tidak mahu pergi, kamu lebihkan dunia daripada Akhirat?!
  1. Kata ar-Razi : Antara sebab manusia menjadi berat untuk keluar berperang ke Tabuk pada waktu itu ialah:
    i- Cuaca melampau; musim panas & kering,

    ii- Jarak jauh; yang memerlukan kepada belanja, bekalan & kenderaan yang sesuai dan kuat.
    Mereka yang beriman masuk berjumpa Nabi SAW mengadu tidak ada belanja & kenderaan nak pergi, menangis kekesalan kerana tidak dapat pergi!

    iii- Buah-buah sedang masak di Madinah.

    iv- Bersangatan panas.

    v- Mereka takut kepada tentera Rom yang mereka dengar telah buat persiapan besar untuk menyerang kaum muslimin.
    Dikatakan ketua tenteranya Qabbaz, telah berjaya kerahkan 40 ribu tentera untuk serang Madinah!
    Tetapi mereka tak jadi datang apabila Nabi SAW keluar.
  1. Jika Nabi SAW tak keluar mungkin mereka akan datang serang Madinah.
    Jadi keputusan Nabi SAW untuk keluar adalah satu siyasah & strategi bijak, menaikkan imej Islam, menguatkan semangat tentera muslimin & tindakan ini juga telah berjaya, kerana tentera Rom tidak jadi datang & serang kaum muslim.
  1. Serta kerana Allah nak menaikkan darjat beberapa orang sahabat!
    Apabila bekalan tak cukup Nabi SAW menggalakkan para sahabat untuk infaq, membantu persediaan tentera dan Baginda juga menjanjikan pahala besar di sisi Allah bagi yang berinfaq.
  1. Antara sahabat yang memberi infak yang terbesar ialah Sayyidina Uthman bin Affan RA.
    Abdul Rahman bin Khabbab menceritakan perkara ini:

    Aku melihat Nabi SAW ketika Baginda memberi galakan infaq terhadap pasukan Usrah (pasukan Tabuk).
    Kemudian Uthman bin Affan berdiri sambil berkata:
    “Wahai Rasulullah, aku akan memberikan seratus unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.”
    Kemudian Baginda memberi galakan lagi terhadap pasukan tersebut, maka Uthman bin Affan berdiri sambil berkata:
    “Wahai Rasulullah, aku tambah dua ratus lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.”
    Kemudian Baginda memberi galakan infaq terhadap tentera lagi, maka Uthman bin Affan berdiri sambil berkata:
    “Wahai Rasulullah, aku akan menambah tiga ratus unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya uuntuk (berjuang) di jalan Allah.”
    Maka aku (Abdul Rahman bin Khabbab) melihat Rasulullah SAW turun dari mimbar sambil bersabda:
    “Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini.
    ” [HR at-Tirmizi)
  1. Kata ulama’ Sirah : Perang Tabuk ini telah menaikkan imej Islam kepada kedudukan tinggi pada pandangan orang Arab lain & Rom.
    Walaupun pada zaman Nabi SAW tidak berlaku pertempuran ia telah berjaya & membawa kemenangan.
    Peperangan tentera Islam dengan Rom ini berlaku pada zaman Sayyidina Umar RA.
  1. Kata Syeikh Ibnu Atiyah : Ayat ini adalah celaan terhadap sebahagian kabilah khususnya kepada 3 sahabat yang masyhur & hebat iaitu:
    i- Ka’ab bin Malik

    ii- Murarah bin Rabi’ah

    iii- Hilal bin Umayyah.
  1. Kenapa Allah cela mereka sedangkan mereka sahabat yang besar, yang telah keluar berperang di Badar, ada kedudukan di mata para sahabat lain & diikuti.
    Nama mereka bertiga disebut dalam al-Quran kerana tanpa sebab yang munasabah; mereka menagguh-nangguhkan untuk keluar ke Tabuk sehinggalah Nabi SAW & rombongan tenteranya kembali ke Madinah.
    Kerana itu orang yang ada kedudukan dalam masyarakat kena berhati-hati dalam segala tindakan, perbuatan, perkataan & tulisan mereka kerana orang ramai akan memerhati & ikutinya!
  1. Allah kata : Kenapa kamu begini, tak mahu pergi berperang?
    Apakah kamu lebih redha & suka dengan nikmat dunia & kerehatannya yang sementara sehingga kamu mahu tinggalkan nikmat Akhirat dengan syurga yang kekal abadi????
  1. Kata ulama’ : Ayat ini adalah satu teguran yang sangat menyentap hati bagi para sahabat & untuk peringatan kita semua juga!
    Sama seperti kita hari ini yang tak mahu ikut al-Quran dan tak mahu sebarkan Sunnah Nabi SAW.
    Apa yang kita mahu sebenarnya atas dunia ini!
  1. Allah ingatkan lagi bahawa kita hidup atas dunia ini sekejap sahaja kemudian akan matilah!
    Tiada bandingan antara dunia & Akhirat seperti celupan jari dalam air laut!
    Sebanyak mana harta kekayaan kamu, pangkat kedudukan kamu, semua akan ditinggalkan dan tidak dapat dibawa untuk menolong di Akhirat kelak!
  1. Rasulullah SAW bersabda:
    Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kamu mencelupkan jari kamu ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.” (HR Muslim).
    Yakni tidak akan berkurang sedikitpun air laut dengan yang lekat di hujung jari kita!
  1. Kelazatan dunia ini murah sahaja!
    Nampak macam senang tetapi sebenarnya susah hidupnya.
    Duit berjuta-juta hidup sebagai jutawan harta melimpah ruah tetapi ubat menjadi makanan hariannya!
    Nak makan manis tak boleh, ada penyakit kencing manis, masin tak boleh ada darah tinggi dan seumpamanya!
    Jika kita ingat semua ini pastilah tidak akan ada kerakusan terhadap dunia ini.

AYAT 39- {JIKA KAMU TIDAK PERGI BERAMAI-RAMAI (UNTUK BERPERANG PADA JALAN ALLAH – MEMBELA AGAMANYA), ALLAH AKAN MENYEKSA KAMU DENGAN AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA DAN IA AKAN MENGGANTIKAN KAMU DENGAN KAUM YANG LAIN, DAN KAMU TIDAK AKAN DAPAT MENDATANGKAN BAHAYA SEDIKITPUN KEPADANYA. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AT-TAUBAH 9:39)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah beri galakan untuk berjihad, dengan galakan pahala Akhirat yang bergitu besar!

    ii- Maka dalam ayat ini dibawa pula amaran agar kamu rasa gerun jika tidak keluar berjihad!
    Ancaman bagi mereka yang tidak mahu berjihad ialah:
    i- Akan ditimpa azab Allah.

    ii- Akan ditukar dengan orang lain, kamu tidak layak.

    iii- Keengganan kamu itu tidak akan memberi apa-apa mudharat kepada agama ini ataupun Nabi SAW.
    Ayat ini adalah celaan selepas diberi amaran!
  1. Yakni dalam ayat ini Allah beri ancaman, jika kamu malas pergi berjihad setelah diberi seruan & perintah untuk berjihad, Allah akan menyiksa kamu dengan azab yang berat di dunia dan di Akhirat!
  1. Kata ulama’ tafsir : Azab itu mungkin dalam bentuk:
    i- Ditimpa azab atas dunia ini lagi seperti ditimpa penyakit, bala, kesusahan dan seumpamanya.

    ii- Atau diserang oleh musuh;

    iii- Atau Allah masukkan dalam hati sesama Islam permusuhan dan perbalahan sehingga terjadinya fitnah sesama Islam yang begitu dahsyat & berat.
    Sebagaimana yang terjadi dalam Sejarah Islam, perbalahan sesama Islam yang menyebabkan kejatuhan beberapa orang khalifah.
    Inilah bala yang menimpa kita sejak dulu dan kini!
  1. Hadis dari Ibnu Umar RA yang berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِينَةِ، وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ، وَرَضِيتُمْ بِالزَّرْعِ، وَتَرَكْتُمْ الْجِهَادَ،
    سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ ذُلًّا لَايَنْزِعُهُ حَتَّى تَرْجِعُوا إِلَى دِينِكُمْ

    Jika kamu berjual-beli dengan cara al-‘inah, mengekor ekor lembu (berkebun), rela dengan tanaman, dan kamu meninggalkan jihad, maka Allah SWT pasti menimpakan kepada kamu kehinaan yang tidak Dia cabut sampai kamu kembali pada agama kamu.”
    [HR Abu Daud dan lain-lain].
  1. Allah juga berfirman: {… dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain,},
    Kata ahli tafsir seperti ar-Razi : Ayat ini jaminan bahawa Allah akan bantu agama-Nya ini!
    Tetapi jika kamu tak mahu boleh saja Allah bawa orang lain.
    Sekarang ini peluang sudah ada di depan mata, jika kamu pergi berperang dan menang; kamu akan dapat kemenangan dan harta ghanimah & jika kamu tewas dapat pahala syahid.
    Yakni ayat ini amaran, peluang sudah ada tetapi jika kamu tak ambil rugi besarlah!
  1. Ayat ini ditafsir dengan firman Allah ini:
    {Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.} (Muhammad 47:38)
    Tetapi ingat jangan kita tafsirkan & pasang ayat ini pada orang atau golongan tertentu, kerana jika tak kena akan susah & berlaku perkara yang tak betul!
  1. Jika jika kamu tak mahu sahut seruan berjihad ini, Allah akan tukar kamu dengan pejuang yang lain; dan perbuatan kamu itu tidak akan memberi mudharat sedikitpun kepada Allah atau agama Allah SWT atau pada zaman itu kepada Nabi SAW!
  1. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, yakni jika kamu lari berpaling; ia sedikit pun tidak memberi kerugian kepada Allah SWT tetapi kamulah yang akan rugi kerana peluang yang baik adakalanya tidak akan berulang!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 38- {Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”,…}-

    Wahai orang beriman kenapa kamu tidak mahu pergi apabila kamu diseru, dikerah.
    Ayat ini menunjukkan bahawa Nabi SAW yang berkata iaitu yang telah menyeru & mengerah para sahabatnya untuk keluar berjihad!
    Maka apabila dikerah kena taat & pergi.
    Seperti kita ini juga apabila pihak pemerintah mengerahkan kita untuk menjadi tentera maka wajib keluar.
    Jika tidak dikerah seperti dalam perang Badar tidak mengapa kerana Nabi SAW hanya ajak & beri galakan siapa yang ada bersamanya untuk pergi, yakni ada pilihan, tidak pergi tidak mengapa!
    Berbeza dalam kes Perang Tabuk ini, Nabi SAW memang mengerah & mengajak para sahabat termasuk mereka yang bertiga yang disebut nama-namanya tadi!
    Allah SWT mencela mereka yang tidak ikut berperang kerana mereka telah dikerah oleh Nabi SAW untuk berperang!
    Ini kerana bila dikerah kena pergi, kerana itu mereka yang tidak ikut berperang itu dicela, kerana Nabi SAW sendiri telah mengerah dan mengajak mereka untuk keluar berperang!
    Ingat jika telah dikerah, disuruh diperintah kena buat jika tidak akan dicela!!!
  1. Ayat 38- { Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? …}-

    Apakah kamu redha kamu lebih suka akan kehidupan dunia daripada kehidupan Akhirat.
    Sebanyak mana kamu cintakan dunia, maka sebanyak itulah berat bagi kamu nak melakukan ketaatan, nak meninggalkan maksiat & nak meninggalkan habuan dunia!
    Ya Allah pasakkan ke dalam hati kami iman!
    Jika iman itu mantap, cinta kepada Allah & Rasulullah SAW itu tinggi; maka mudahlah untuk kita bergerak, untuk menegakkan agama Allah.
    Ini kerana perkara itu duduk pada pergantungan hati; sama ada kepada dunia atau Akhirat, mana yang lebih kuat!
  1. Ayat 38- {Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.}-

    Allah SWT nyatakan bandingan antara kesenangan hidup dunia itu amat kecil jika dibandingakan dengan Akhirat.
    Nabi SAW telah buat bandingan dalam hadis tadi seperti kita celupkan jari ke dalam air laut!
    Allah SWT memperlekeh & memperkecilkan dunia, ini kerana nilai dunia amat kecil sekali di sisi Allah SWT!
    Ingat dunia adalah tempat untuk kita meninggal bukan untuk tinggal selamanya.
    Jadi kita kena tinggalkan legasi yang baik!
    Manusia yang bahagia ialah dia mati tetapi kebaikan & pahalanya tidak mati bahkan berterusan.
    Manakala manusia yang tak baik & celaka ialah walaupun dia telah mati dosa & keburukannya & dosanya tetap berjalan!
    Sebagaimana dalam kuliah DAAM, Manusia bahagia ialah mereka yang mati tetapi pahalanya tidak mati terus berjalan.
    Manusia celaka adalah sebaliknya, dia mati tetapi dosa kejahatannya juga tak mati terus berjalan!
    Ingat- semua itu tak akan mati & akan menunggu & berjumpa dengan kita di Akhirat kelak!
  1. Ayat 39- {… dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain,…}-

    Allah kata jika kamu tak mahu, Aku akan gantikannya dengan orang lain.
    Ini bermakna jihad itu dijamin oleh Allah SWT; akan berterusan & tidak akan terhenti, jika ada orang yang tak mahu akan diganti oleh orang yang mahu!
    Kerana itu dakwah ini jika kita tak masuk, kita yang akan rugi!
    Jika kita tak sertainya; kita yang akan kecundang & kecewa!|
    Jangan kata: jika aku tak buat kerja dakwah itu tidak akan berjalan!
    Ingat Islam itu berkembang bukan dengan sebab kamu; tetapi dengan sebab pertolongan Allah SWT!
    Jika kamu tidak Ada pun Allah akan hantar orang lain!
    Tetapi kerana Allah nak bagi peluang kepada kita; maka kitalah orang itu, orang yang mendapat peluang besar maka janganlah lari daripadanya.
    Kata ulama’ : Ayat ini mempunyai rahsia yang besar iaitu apa yang kita buat ini akan kembali kepada kita!
    Jika kita buat baik, kebaikan yang akan kembali kepada kita, jika kita buat tak baik, keburukan jugalah yang akan kembali kepada kita!
    Sebagaimana yang selalu diulang oleh DAAM, Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat kelak, kitalah penulisnya!
    Kamu nak baca apa kelak buatlah baik atau jahat!
  1. Ayat 39- {… dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}-

    Jika kamu berpaling tinggalkan, tidak ada apa mudharat terhadap Allah & Islam atau Rasulullah SAW.
    Kerana Allah SWT Yang Maha berkuasa menjaga Agama-Nya, menjaga Nabi-Nya.
    Tetapi jika kamu masuk, kamu yang akan untung!
    Allah kata jika kamu tak mahu; Allah akan berikannya kepada orang lain, peluang dan pahala itu.
    Maka kamulah orang yang akan rugi kerana terlepas & tidak mahu pahala itu!
    Jika kamu lari dari jihad, Allah tak akan rugi, jika kamu tidak mahu pergi berperang Allah juga tidak akan rugi!
    Jika kamu tak mahu sebarkan Sunnah, ada orang lain yang akan sebarkannya!
    Inilah masalahnya yang berlaku atas dunia ini, orang yang banyak belajar, yang tinggi ilmunya tetapi tak mahu amal & sebarkan Sunnah Nabi SAW yang sahih, tetap suka sebarkan amalan yang pelik-pelik yang bukan dari Nabi SAW!
    Manakala orang yang tak banyak belajar agama, yang baru nak belajar agama, mereka inilah yang memperjuangkan amalan Sunnah Nabi SAW!
    Ya Allah jadikan kami orang yang berpegang dengan Kitab-Mu, dengan Sunnah Nabi-Mu SAW, orang yang menyebar, mendokong & beramal dengan Kitab & Sunnah.
    Semoga kita selamat di dunia & aman di Akhirat.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top