Allah Bantu Nabi SAW Dan Abu Bakar, Mukjizat Dalam Gua & Hijrah Dan Kemenangan.
Full video : https://youtu.be/0btIMwRg7S0?si=KvNnN5n29p-EK0Jn
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 40 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT ingatkan kisah hijrah yang bersejarah di mana Allah telah beri pertolongan & bantu Nabi SAW dan sahabatnya yang setia, Abu Bakar as-Siddiq RA.
Ia juga menyatakan kedudukan Abu Bakar yang tinggi apabila Allah menyebut “apabila mereka berdua” yakni kembali kepada Nabi & Abu Bakar, {sedang ia salah seorang dari dua (sahabat)}.
- Iaitu mukjizat ketika mereka berada di dalam gua tetapi kafir tak jumpa mereka walaupun telah berpusing mencarinya!
Inilah pertolongan dari Allah SWT, jika kamu tak mahu tolong Nabi, aku akan tolonganya!
- Kemudian Allah nyatakan hijrah adalah kemenangan, iaitu Allah jadikan kalimah kafir itu hina & di bawah; manakala kalimah & kitab Allah itu sebagai yang tertinggi!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Nabi SAW telah mengerah tenaga untuk keluar berjihad. Ada yang terus menyambutnya dengan semangat, ada yang tak ikut apa yang diarahkan oleh Nabi SAW.
ii- Maka datang ayat ini yang sentap menyatakan jika mereka tak mahu tolong Nabi SAW; Allah yang akan menolongnya sendiri!
Lalu diingatkan pada saat yang paling gawat & getir iaitu ketika peristiwa hijrah, rumah Nabi SAW dikepung, tawaran bunuh Baginda dikeluarkan; tetapi apabila Allah menolongnya tiada siapa boleh sekat!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 40- {KALAU KAMU TIDAK MENOLONGNYA (NABI MUHAMMAD) MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH TELAHPUN MENOLONGNYA, IAITU KETIKA KAUM KAFIR (DI MAKKAH) MENGELUARKANNYA (DARI NEGERINYA MAKKAH) SEDANG IA SALAH SEORANG DARI DUA (SAHABAT) SEMASA MEREKA BERLINDUNG DI DALAM GUA, KETIKA IA BERKATA KEPADA SAHABATNYA: “JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA, SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA KITA”. MAKA ALLAH MENURUNKAN SEMANGAT TENANG TENTERAM KEPADA (NABI MUHAMMAD) DAN MENGUATKANNYA DENGAN BANTUAN TENTERA (MALAIKAT) YANG KAMU TIDAK MELIHATNYA. DAN ALLAH MENJADIKAN SERUAN (SYIRIK) ORANG-ORANG KAFIR TERKEBAWAH (KALAH DENGAN SEHINA-HINANYA), DAN KALIMAH ALLAH (ISLAM) IALAH YANG TERTINGGI (SELAMA-LAMANYA), KERANA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAUBAH 9:40)
- Allah nyatakan jika kamu tidak mahu menolong Nabi SAW, iaitu untuk keluar berjihad dalam Peperangan Tabuk; tidak mengapa kerana Allah SWT, akan menolong Baginda sebagaimana Allah telah menolongnya semasa peristiwa hijrah yang bersejarah dulu!
Allah yang menolong & melindungi Nabi SAW sehingga selamat keluar dari Makkah & tiba di Madinah.
- Nota 287: Semasa orang-orang kafir musyrikin merancang hendak membunuh Nabi SAW, Baginda lalu berhijrah ke Madinah dengan ditemani sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq RA.
Dalam perjalanan mereka terpaksa berlindung di dalam Gua Thur dan apabila Nabi SAW melihat Abu Bakar yang kecemasan akan keselamatan mereka apabila melihat tentera Quraisy datang mencari mereka dekat pintu gua!
Baginda SAW segera memberi semangat dengan bersabda: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”, iaitu sebagaimana yang tersebut dalam ayat ini.
- Iaitu Allah SWT menolong Nabi SAW ketika Baginda keluar dari Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Baginda SAW hanya ditemani oleh Abu Bakar RA sahaja dan mereka mencari perlindungan dari buruan musyrikin Makkah di dalam gua Thur, di pinggir bandar Makkah.
- Hadis tentang hijrah Nabi SAW riwayat Sayyidah Aisyah RA yang panjang:
Nabi SAW pernah berkata kepada orang-orang Islam pada hari-hari sebelum hijrah, “Sesungguhnya aku telah bermimpi melihat negeri hijrah itu, letaknya dalam kebun tamar di antara dua kawasan berbatu hitam”.
Setelah itu berhijrahlah sesiapa yang mahu berhijrah ke Madinah.
Kebanyakan orang-orang yang telah berhijrah ke bumi Habsyah kembali ke Madinah.
Abu Bakar RA juga telah bersedia berangkat ke Madinah.
Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau tunggu dulu kerana aku berharap akan diizinkan kepada aku untuk berhijrah”
Abu Bakar RA lantas berkata: “Ku tebus engkau dengan ayahku dan ibuku.
Adakah engkau berharap demikian?”
Abu Bakar RA pun menahan dirinya dari terus pergi ke Madinah untuk bersama-sama Rasulullah SAW nanti.
Beliau memberi daun samur sebagai makanan kepada 2 ekor unta kepunyaannya selama 4 bulan.
Ibnu Syihab berkata : “Kata Urwah: ‘Aishah terus bercerita: Bahawa Nabi datang ke rumah Saidina Abu Bakar RA dalam waktu yang bukan kebiasaan Baginda datang.
Kemudian Baginda memberitahu kepada Abu Bakar bahawa Allah SWT telah mengizinkannya untuk berhijrah keluar dari kota Makkah ke Madinah.
Abu Bakar RA pun berkata: “Ku tebus engkau dengan ayahku, wahai Rasulullah, adakah engkau mahukan aku bersama?”
Rasulullah SAW menjawab: “Ya”.
Abu Bakar berkata, “Kalau begitu ambillah salah satu dari dua ekor unta saya ini, wahai Rasulullah!
Ku tebus engkau dengan ayahku”.
Rasulullah SAW berkata, “Dengan dibeli”.
Kemudian ‘Aisyah dan Asma’ menyediakan kelengkapan bagi perjalanan mereka berdua sehingga diberikan gelaran kepada Asma’ sebagai ‘perempuan yang mempunyai dua tali pinggang’ (Zaatu an Nithaqain)” kerana beliau membelah dua tali pinggangnya lalu mengikat bungkusan itu dengannya untuk meletakkan makanan.
Kemudian Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA pun menyusul ke sebuah gua di Jabal Thur.
Di situlah mereka bersembunyi selama tiga malam ditemani oleh Abdullah anak Abu Bakar RA.
Ketika itu beliau masih muda belia, sangat pintar dan cerdas.
Dia keluar dari tempat itu sebelum fajar.
Pada waktu pagi beliau sudah berada di Makkah bersama orang Quraisy seolah-olah dia juga bermalam di Makkah.
Tidak didengarnya sesuatu yang mengancam Rasulullah SAW dan ayahnya melainkan dibawanya berita itu kepada mereka pada waktu malam.
Amir bin Fuhairah, hamba bebasan Abu Bakar pula menternak kambing dan melepaskannya di kawasan itu pada waktu Isyak dengan itu Rasulullah SAW dan Abu Bakar bermalam dalam keadaan kenyang kerana meminum susunya.
Bila tiba waktu dinihari, Amir Bin Fuhairah menghalau kambing-kambing itu (ke kawasan lain).
Demikianlah dilakukannya pada tiga malam itu.
Rasulullah SAW dan Abu Bakar telah mengupah seorang lelaki dari Bani Dil sebagai pemandu perjalanannya.
Dia merupakan sekutu keluarga ‘As Bin Wa’il as-Sahmi dan ketika itu masih bersama dalam agama orang-orang Quraisy.
Bagaimanapun mereka berdua mempercayainya dan menyerahkan dua ekor unta kepadanya dengan perjanjian dia akan datang ke Gua Tsaur pada pagi hari yang ketiga.
Selepas itu Amir Bin Fuhairah dan pemandu tadi berangkatlah bersama Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar.
Pemandu mereka membawa mereka melalui jalan tepi pantai. (Lihat Sahih al-Bukhari, jilid 1, m.s. 552- 554)
Apabila cukup 3 malam Nabi SAW keluar dari gua itu yang dimasukinya selepas keluar dari rumahnya pada 27hb Safar pada tahun Pertama Hijrah iaitu selepas 14 tahun Kenabian bersamaan 12 atau 13hb September 622M.
Kemudian pada awal Rabiul Awwal memulakan perjalanan ke Madinah & tiba di Quba’ pada 8hb R/Awwal, dan sampai di bandar Madinah pada 12hb R/Awwal.
- Sayyidina Abu Bakar RA berasa bimbang & amat cemas akan keselamatan Rasulullah SAW.
Bukan hanya takut akan dirinya tetapi takut jika Quraisy menjumpai mereka & menangkap Nabi SAW & membunuhnya!
- Lalu Rasulullah menenangkan sahabatnya Abu Bakar dengan berkata sebagaimana di dalam ayat ini: {“Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita“.}- kamu jangan sedih jangan bimbanng kerana Allah akan menolong kita!
- Diriwayatkan Telah berkata Abu Bakar as-Siddiq RA, apabila melihat ada seorang lelaki dihadapan gua:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيَرَانَا، فَقَالَ: كَلَّا إِنَّ مَلَائِكَةً تَسْتُرُنَا بِأَجْنِحَتِهَا
Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya lelaki tersebut akan melihat kita. Maka Nabi SAW bersabda: Tidak sesekali, kerana sesungguhnya malaikat telah menutup kita dengan sayapnya.”
[Riwayat al-Thabarani di Mu’jam al-Kabir (284), 106/24 – Sanadnya Lemah]
في ” السلسلة الضعيفة ” :
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
وأما ستر الملائكة للنبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وأبي بكر فقد رواه الطبراني في “الكبير”
من حديث أسماء بنت أبي بكر . وهو حديث طويل وفيه : (فقال أبو بكر لرجل يراه مواجه الغار : يا رسول الله إنه ليرانا ، فقال : كلا إن ملائكة تسترنا بأجنحتها … الحديث) .
وهذا الحديث في سنده يعقوب بن حُمَيْد بن كاسِب المدني ، وقد اختلف فيه أهل العلم .
فضعفه ابن معين ، وأبو حاتم ، والنسائي ، ووهَّاه أبو زرعة الرازي .
- Antara kelebihan Abu Bakar RA, sabda Nabi SAW:
وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلًا مِنْ أُمَّتِي لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ، وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الإِسْلاَمِ وَمَوَدَّتُهُ،
لاَ يَبْقَيَنَّ فِي المَسْجِدِ بَابٌ إِلَّا سُدَّ، إِلَّا بَابُ أَبِي بَكْر
Maksudnya: “Seandainya aku boleh menjadikan teman yang paling rapat daripada kalangan umatku, sudah tentu aku akan memilih Abu Bakar.
Akan tetapi, mengumumkan persaudaraan dan kasih sayang kepada orang Islam itu lebih utama.
Sesungguhnya, tidak ada satu pun pintu untuk masuk ke masjid yang kekal melainkan akan tertutup, kecuali pintu Abu Bakar.”
[HR al-Bukhari (466)].
- Maka Allah SWT turunkan ketenangan ke atasnya (سَكِينَتَهُۥ عَلَيْهِ).
Ulama’ berbeza pendapat pula tentang dhomir(nya) di sini ialah siapa:
i- Ada yang kata Nabi SAW;
ii- Ada yang kata tidak, ia adalah ke atas Abu Bakar kerana Nabi SAW sentiasa tenang.
iii- Ada ulama’ kata : Ketenangan itu boleh semuanya; ke atas Nabi & juga ke atas Abu Bakar, maka mereka di dalam gua itu duduk dalam keadaan tenang.
- Kemudian Allah menguatkan Nabi SAW dengan bantuan tentera (malaikat) yang tidak dapat dilihat manusia biasa.
Maka Nabi SAW bertambah tidak takut.
Dalam peristiwa hijrah & perang Tabuk, malaikat hanya hadir menguatkan semangat Nabi SAW dan memberikan pertolongan secara spiritual/batin.
Yang malaikat terlibat sungguh secara fizikal adalah dalam peperangan Badar, hadir dan berperang sama membunuh para musuh kafir musyrikin.
Allah juga kata Dia jadikan kalimah syirik & perbuatan kufur itu sebagai hina dan kalimah Allah iaitu tauhid, agama Islam, Sunnah-Nya & Nabi-Nya SAW semua itu tinggi & mulia.
- Di akhir ayat Allah kat: Maka kamu janganlah takut kerana sesungguhnya:
i- Allah Maha Kuasa {وَٱللَّهُ عَزِيزٌ},- Allah gagah perkasa, boleh ambil tindakan & jatuhkan kafir bila-bila masa saja.
Allah juga mampu jika nak bagi kemenangan kamu akan menang, boleh naikkan Islam bila-bila masa.
ii-Lagi Maha Bijaksana {حَكِيمٌ}- Allah tahu bila boleh diberi pertolongan-Nya dan bila ditangguhkan dulu!
Allah tak akan beri kemenangan jika tak cukup syarat & SOP yang dikehendaki-Nya!
- Kisah peperangan Tabuk ini panjang sekali bermula dari Nabi SAW mengerah dan menyeru para sahabat untuk ikut keluar berperang bersama Baginda SAW.
Ada sahabat yang teruja & semangat untuk pergi tetapi tiada belanja, kenderaan & bekalan, dan ada yang kelengkapan tetapi masih menangguh-nangguhkan pemergian sehingga ditegur Allah SWT.
Boleh baca kisah lengkap tentang Perang Tabuk ini dalam kitab: Ar-Rahiq al-Makhtum.
- Jelaslah kepada kita apabila Allah beri pertolongan tiada siapa boleh halang!
Maka kita para pendakwah jangan mudah koyak teruskan perjuangan kita; jika cukup syarat Allah akan beri kemenangan.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 40- {Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya,…}-
Jika kamu tak mahu bantu Nabi SAW, Allah SWT akan menolongnya!
Allah kaitkan isu ini dengan peristiwa hijrah dengan, ayat ini juga nak menunjukkan kelebihan & kedudukan Abu Bakar SAW yang tinggi dalam beberapa sudut!
Jangan kita dengar perkataan dari mulut busuk puak syiah Rafidah yang mengutuk para sahabat terutamanya Sayyidina Abu Bakar RA.
Antaranya:
i- Beliau berhijrah dengan izin Allah & Allah pilih dia untuk berkhidmat kepada Nabi SAW.
ii- Allah gelarkan Abu Bakar sebagai yang kedua selepas Nabi SAW {ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ}- seperti satu isyarat bahawa selepas kewafatan Nabi SAW, orang yang layak untuk memimpin umat ini menggantinya ialah Abu Bakar.
iii- Allah sifatkan Abu Bakar sebagai sahabat Nabi SAW. {لِصَـٰحِبِهِ}
iv- Nabi SAW kata kamu jangan sedih, Allah bersama kita berdua- yakni maksudnya kebersamaan Allah ialah Allah akan jaga, bantu & beri pertolongan kepada kita!
Dari ayat ini kita kumpul 4 keistimewaaan Abu Bakar RA berbanding dengan sahabat lain!.
- Ayat 40- {..iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua,…}
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menjadi dalil bahawa harus seorang Islam itu lari untuk menyelamatkan diri sekiranya diancam oleh musuh!
Ini kerana jika orang biasa mati mungkin boleh pahala syahid tetapi kalau ketua mati akan terhentilah dakwahnya!
Maka Allah SWT benarkan Nabi SAW untuk keluar secara sembunyi, bersama Abu Bakar & berlindung di dalam gua.
Yakni tengok keadaan, para pendakwah boleh tukar strategi jika lihat keadaan mengancam dari menyerang boleh diam & berundur seketika.
Berundur keluar bukan bermakna lari dengan kecut tetapi sebagai strategi & mengambil langkah keselamatan!
- Ayat 40- {… ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”.}-
Nabi SAW memberi semangat & kata-kata penguat kepada Abu Bakar yang berasa runsing & bimbang.
Gua ini pelik, lubangnya kecil sahaja jika kafir menjenguk dari pintunya pasti akan nampak orang yang berada di dalam gua!
Kata ulama’ : Kesedihan Abu Bakar adalah sesuai sebagai orang yang banyak ibdat.
Kesedihan & kerunsingannya tidak melampaui kerana dia bimbangkan akan keselamatan Nabi SAW, itu adalah sifat manusia normal tetapi tidak sehingga mengugurkan sifat tawakkal kepada Allah SWT.
Kemudian apabila Nabi SAW beri semangat, jangan bimbang kerana Allah bersama kita maka kesedihan itu hilang & Abu Bakar kembali tenang & tidak goyah lagi tawakkal dan pergantungannya terhadap Allah SWT.
- Ayat 40- {… sedang ia salah seorang dari dua (sahabat)…}-
Allah katakan Abu Bakar adalah orang yang kedua selepas Nabi SAW, ketika mereka berada di dalam gua.
Kata ulama’ ini menunjukkan : Kedudukan Abu Bakar termasuk dalam semuanya:
i- Orang nombor dua dalam Islam.
Dia serahkan jiwa raga & juga harta bendanya!
ii- Orang kedua yang mengganti Nabi SAW sebagai khalifah umat Islam selepas kewafatannya.
iii- Orang yang kedua mengikutinya dalam kematian juga!
Nabi SAW wafat kerana kesan racun yahudi, Abu Bakar juga terkena kesan racun itu yang membawa kepada kewafatannya.
Hadis, ketika Nabi SAW memungut derma untuk perang Tabuk juga:
Firman Allah SWT : {Jika kamu menampakkan sedekah (kamu), maka itu adalah baik sekali, dan jika kamu menyembunyikan-nya, lalu kamu berikan kepada orang-orang faqir, maka itu lebih baik bagi kamu.} [al-Baqarah: 271]
Amir Asy-Sya’bi mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan Abu Bakar RA dan Umar RA.
Umar datang dengan membawa separuh harta miliknya, lalu menyerahkan-nya kepada Nabi SAW.
Maka Nabi SAW bertanya kepadanya;
“Apakah yang engkau tinggalkan di belakangmu buat keluargamu wahai Umar?”
Umar menjawab, “Aku tinggalkan separuh dari hartaku buat mereka.”
Sedangkan Abu Bakar r.a datang membawa seluruh hartanya, hampir saja dia menyembunyikan sedekahnya itu dari dirinya sendiri, lalu dia menyerahkan-nya kepada Nabi SAW.
Dan Nabi SAW bertanya kepadanya;
“Apakah yang engkau tinggalkan di belakangmu buat keluargamu wahai Abu Bakar?”
Abu Bakar menjawab, “Janji Allah dan janji Rasul-Nya.”
Maka Umar menangis dan mengatakan, “Ayah dan ibuku menjadi tebusan-mu wahai Abu Bakar.
Demi Allah, tidak sekali-kali kita berlumba menuju ke pintu kebaikan melainkan engkau selalu menang.” [HR Muslim].
- Ayat 40- {Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya.}-
Apabila Allah berikan ketenangan manusia itu akan menjadi tenang sesiapapun!
Maka jika dalam hidup ini kita inginkan ketenangan, kita kena dekat dengan Allah.
Allah SWT telah berfirman:
Maksudnya: {Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Bukankah dengan zikrullah itu hati manusia akan tenang.} (Ar-Ra’d: 28)}
Jika seorang pejuang Islam tetapi zikir tak banyak, dok bermain benda pelik-pelik yang tidak menunjukkan akhlak yang mulia, maka hidupnya tidak akan tenang!
Sebagai pejuang Islam, para pendakwah dan apa saja ahli agama; perbanyakkan zikir, banyak hadir majlis ilmu yang dihadiri juga oleh malaikat, yang disirami dengan rahmat, agar ketenangan hadir dalam hati kita!
Mari kita para pendakwah mencari ketenangan di mana saja kita berada; kerana ketenangan itu datang dari Allah apabila cukup syaratnya untuk kita dapat.
Ayat ini menyentuh & membawa kepada kita banyak perkara:
i- Jika kamu tak mahu tolong agama ini tak mengapa, kamu yang rugi jika tak ambil peluang yang Allah beri.
ii- Kita kena kenal Sayyidina Abu Bakar sebagai sahabat yang mulia & mempunyai kelebihan yang tinggi!
Jika kita dengar mana-mana makhluk atas dunia ini yang hati jahat, mulut busuk, lidah bercabang; menghina mencaci sahabat Sayyidina Abu Bakar RA; maka tinggalkan mereka!
Tak kira dia serban besar atau hitam atau merah, itu bukan manusia biasa, itu manusia luar biasa jahat!
iii- Sifat sedih adalah sifat normal manusia. Tetapi jangan melampui sehingga depression atau stress, kerana sebagai seorang Islam kita ada penawarnya!
Alat ketenangan ada pada kita iaitu zikir & mengingati Allah, duduk dalam majlis ilmu dan lain-lain.
Kita yakin malaikat bersama kita walaupun kita tak nampak mereka, alhamdulillah!
iv- Allah beri jaminan bahawa Islam mesti menang & menguasai, duduk di atas walaupun dibenci orang kafir!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
