View Categories

(2) Surah At-Taubah: Ayat 1-2

10 min read

Iklan Bara’ah Dari Kaum Musyrikin, Tempoh 4 Bulan & Allah Hinakan Si Kafir.

Full video : https://youtu.be/GhUoDIKHl4I?si=yiJ6ifBtzW0AcehS

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini kita akan mulakan tafsir kepada Surah At-Taubah atau surah Bara’ah atau juga Al-Fadhihah dengan ayat 1 sehingga 2 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah nyatakan iklan (perisytiharan) bara’ah iaitu perlepasan diri oleh Allah & Rasul-Nya dari kaum musyrikin.
    Ini kerana mereka berjanji kemudian mereka kacau, maka kita iklankan perlepasan janji, tiada faedah lagi diteruskan perdamaian dengan mereka.
  1. Allah bagi tempoh selama 4 bulan untuk mereka berfikir buat keputusan yang baik & muktamad sama ada: nak kembali meneruskan perjanjian, buat perjanjian baru, terus nak lawan atau yang terbaik masuk Islam & berdamai.
    Sama seperti orang yang bercerai diberi iddah untuk befikir balik.
  1. Jika mereka pilih untuk berlawan & berperang juga, Allah berjanji akan hinakan si kafir yakni mereka akan dikalahkan.
    Sebagaimana perbincangan semalam Surah At-Taubah ini tidak dibaca Basmalah walaupun pada awal surahnya; tetapi hanya baca isti’azah kemudian terus baca ayatnya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {(INI ADALAH) PEMUTUSAN TANGGUNGJAWAB (PEMBATALAN PERJANJIAN) DARI ALLAH DAN RASULNYA TERHADAP KAUM KAFIR MUSYRIK YANG KAMU MENGIKAT PERJANJIAN SETIA (DENGAN MEREKA).} (AT-TAUBAH 9:1)

  1. Ini adalah arahan Allah SWT sebagai kata pemutus untuk membatalkan perjanjian dengan kaum kafir yang musyrikin yang ada bibit-bibit untuk mengkhianati perjanjian itu.
    Yakni kita segera batalkan jika kita dapat kesan pengkhianatan mereka itu!
    Perjanjian kita tamat sebab mereka yang khianat!
  1. Nota (279): Rasulullah SAW dengan sifatnya sebagai ketua pemerintah negara Islam yang terbentuk di Madinah Munawwarah telah mengikat perjanjian perdamaian dengan kafir musyrik seperti yahudi & Nasrani ahli kitab.
    Mereka buat perjanjian untuk duduk di bawah pemerintahan Islam & mematuhi piagam Madinah.
    Tetapi tidak lama kemudian kaum kafir musyrik telah mencabuli perjanjian itu lalu Allah perintahkan Rasulullah SAW supaya membatalkan perjanjian tersebut.
    Yakni kerana mereka dulu mula nak khianat, kita hantar balik perjanjian itu!
  1. Kata ulama’ Islam : Turunnya ayat {بَرَآءَةٌۭ}- pada awalnya kepada penduduk Makkah pada tahun ke-9H.
    Di mana Rasulullah SAW telah buat perjanjian dengan mereka pada tahun ke-6H iaitu Perjanjian Hudaibiyah.
  1. Antara isi perjanjian ialah: Mana-mana puak kafir yang nak bergabung diberi pilihan sama ada nak bergabung dengan Nabi SAW & negara Islam di Madinah atau dengan kaum Quraisy, musyrikin Makkah.
    Yang bergabung dengan Nabi SAW dalam perjanjian, telah dibatalkan perjanjiannya oleh pihak Quraisy.
  1. Lalu Allah perintahkan Rasulullah SAW batalkan perjanjian & bagi tempoh kepada mereka selama 4 bulan, sama ada mahu masuk balik bergabung dengan pemerintah Islam atau mahu terus berlawan berperang!
    Bukan kita yang khianat tetapi kita tolak balik perjanjian mereka yang mahu khianat itu.
    Ini adalah perjanjian dengan puak kafir.
  1. Kata Imam Ibnu Jarir at-Tobari : Hanya Rasulullah SAW yang boleh membuat perjanjian dengan golongan kafir ini atau seseorang yang dipilih oleh Nabi SAW sebagai wakilnya.
  1. Tapi dalam ayat ini Allah sebut: Perjanjian yang kamu buat {ٱلَّذِينَ عَـٰهَدتُّم}- sedangkan yang buat perjanjian adalah Rasulullah.
    Maksudnya orang Islam wajib akur patuh & taat kepada perintah Rasulullah SAW jadi walaupun Baginda yang buat perjanjian itu tetapi seolah semua kaum muslimin menyertainya.
  1. Antara peristiwa yang besar akibat perjanjian ini ialah:
    i- Nabi SAW perintahkan Sayyidina Abu Bakar untuk pergi menunaikan haji pada tahun ke-9H. Selepas Pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8H, Haji difardhukan tetapi Rasulullah SAW tak boleh pergi lagi kerana suasana masih tidak kondusif & orang kafir masih ada lagi di Makkah.
    Mereka ini tawaf telanjang tidak tutup aurat.

    Kerana itu ada satu poster, orang tak tutup aurat ini adalah salah satu daripada 3 golongan ini:
    i- Kanak-kanak yang masih tak cukup umur.

    ii- Orang gila.

    iii- Atau orang kafir.
    Jadi jika Muslimah masih lagi tak tutup aurat kita boleh tanya mereka ini termasuk dalam kategori mana???!!!!

    ii- Apabila Saidina Abu Bakar pergi ke Makkah, maka turunlah ayat ini, lalu Rasulullah SAW segera menghantar Sayyidina Ali untuk membantu Sayyidina Abu Bakar mengiklankan hal ini di Makkah bahawa orang kafir tidak dibenarkan lagi masuk ke Masjidil Haram & kota Makkah.

    iii- Sayyidina Ali dihantar walaupun Sayyidina Abu Bakar sudah ada di Makkah, kerana hanya Rasulullah SAW yang layak membuat perjanjian itu maka untuk membatalkannya pun hanya Baginda yang layak.
    Maka oleh kerana Rasulullah SAW tidak dapat hadir sendiri maka Baginda menghantar Sayyidina Ali sebagai wakilnya, iaitu keluarga terdekat (menantu) & kerabat nasabnya (sepupu) yang paling rapat.
    Maka terbatallah perjanjian itu apabila Sayyidina Ali sebagai wakil Nabi SAW menyampaikannya kepada mereka.
  1. Hadis Nabi SAW bersabda bahawa:

    Orang kafir tidak dibenarkan lagi masuk ke Masjidil Haram & kota Makkah.
    – Siapa yang tawaf jangan tak berpakaian,
    – Siapa ada perdamaian dengan Nabi SAW tunggu sehingga habis perjanjian,
    – Siapa yang tiada perjanjian diberi tempoh 4 bulan untuk berfikir.
    – Nabi SAW juga memberitahu tidak akan masuk syurga kecuali orang beriman.
    – Selepas tahun ini tidak akan berkumpul bersama lagi orang mukmin & orang kafir dalam musim haji. [HR at-Tirmizi & Ahmad]


    Ini adalah penegasan yang jelas dari Nabi SAW.

AYAT 2- {OLEH ITU HENDAKLAH KAMU (HAI KAUM MUSYRIK) BERGERAK DI MUKA BUMI (DENGAN BEBASNYA) SELAMA EMPAT BULAN, DAN KETAHUILAH BAHAWA KAMU TIDAK TERLEPAS DARI (AZAB SEKSA) ALLAH. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENGHINA ORANG-ORANG YANG KAFIR (DENGAN BALA BENCANA DI DUNIA DAN AZAB SEKSA DI AKHIRAT).} (AT-TAUBAH 9:2)

  1. Allah menyatakan orang kafir bebas untuk bergerak & menjalankan urusan mereka selama 4 bulan selepas diiklankan akan pengharaman mereka masuk Makkah & Masjidil Haram.
    Mereka diberi tempoh untuk berfikir selama 4 bulan & orang Islam tidak akan khianati mereka.
  1. Nota (280): Selepas perjanjian itu diisytiharkan batal; maka kaum musyrikin diberi tempoh selama 4 bulan untuk bergerak dengan bebas ke mana saja mereka pergi & dapat mereka berfikir sama ada mahu tunduk menyerah atau berlawan.
    Rasa nak tenang berserahlah atau jika nak lawan maka tentera Islam akan memberi mereka paluan yang menghancurkan.
    Serta ingat & ketahuilah bahawa Allah akan menghina orang kafir & mereka tidak akan terlepas daripada azab siksa Allah sama ada di dunia atau di Akhirat!
  1. Menurut Ibnu Atiyah : Hari pertama tempoh itu bermula pada hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan berakhir pada 10 Rabiul Akhir, kerana ayat ini turun & diiklankan pada musim haji.
  1. Kata Syeikh Syanqiti :
    i- Orang yang diberi tempoh itu ialah mereka membuat perjanjian tanpa limit waktu.

    ii- Adapun orang yang telah buat perjanjian secara waktu, masih boleh diteruskan bakinya walaupun telah lebih 4 bulan.
  1. Ini kerana Islam tidak ajar kepada kita untuk memutuskan hubungan kecuali dengan orang yang tidak baik.
    Betapa pentingnya bagi orang Islam untuk berpegang & tunaikan janji.
    Tiada orang yang Islam yang berbuat khianat sesama Islam, atau kepada orang bukan Islam, itu bukan cara kita!
  1. Allah tegaskan wahai orang kafir; kamu kena sedar bahawa kamu tak mampu nak lawan Allah, maka selepas 4 bulan ini buatlah keputusan yang waras & baik.
    Kadang-kadang manusia ini sombong & suka cakap besar kononnya jawatan yang dipegangnya besar & tinggi, sehingga malaikat pun tak mampu nak lawannnya!
    Jangan kita bermain-main libatkan malaikat makhluk Allah yang mulia!
    الله المستعان
  1. Di akhir ayat Allah kata Dia akan menghina orang kafir.
    Ulama’ kata : Ini menunjukkan jaminan dari Allah SWT untuk memberi pertolongan kepada orang mukmin bagi mengalahkan orang kafir!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik…}-

    Ini adalah perisytiharan pembatalan perjanjian dari Allah.
    Ulama’ tafsir membincangkan : Kenapa Allah menggunakan jumlah ismiyah dalam ayat ini (بَرَآءَةٌۭ- perlepasan), iaitu dimulai dengan kata nama bukan dengan kata kerja (jumlah fi’liyah), iaitu untuk:
    i- Menyatakan bahawa pemutusan atau perlepasan ini berterusan

    ii- Dan untuk memberitahu betapa besarnya nilai sebuah perjanjian itu.
    Maka jangan sesekali kita main-main dengan janji. Jangan lembut gigi daripada lidah.
    Allah juga mulai surah ini sebagaimana dimulai dengan akad perjanjian, iaitu dengan tujuan yang jelas & detail!
    Allah sebut suatu perisytiharan dan pemutusan yang jelas, bahawa Allah berlepas diri
    (بَرَآءَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦٓ) dengan kafir yang khianat & belot, dibatalkan perjanjian dengan mereka kerana mereka yang kacau dulu!

    Begitu kasar sekali perisytiharan ini sehinggakan tiada Basmalah pada awal surahnya!
    Perlawanan kita dengan kafir yang belot begituk keras!
  1. Ayat 1- {(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik…}-

    Allah iklankan secara jelas bahawa sekarang ini tiada lagi perjanjian antara kita, supaya orang kafir ambil perhatian & ambil langkah berjaga-jaga!
    Ingat, fikir baik-baik; kamu diberi tempoh selama 4 bulan, selepas daripada ini tiada lagi toleransi, ke mana arah tujuan kamu!
    Jika masuk Islam maka akan selamat.
    Jika kamu taubat tinggalkan syirik maka itu lebih baik serta ingat & ketahuilah bahawa kamu tidak akan mampu lawan tahun.
  1. Ayat 2- {Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan,…}-

    Dalam tempoh bertenang & berfikir ini kamu bebas berjalan atas muka bumi ini.

    Kata ulama’ : 4 bulan ini adalah bulan haram yang diharamkan berperang maka kamu jangan bimbang & takut.
    Atau tempoh 4 bulan yang diperuntukkan itu.
    Dalam tempoh itu kamu pergi berjalan dan siasatlah bagaimana kedudukan dalam negara Islam, baik atau tidak, jika kamu dah tahu keadaan, kenapa kamu masih mahu lari lagi tak mahu ikut Islam.
    Sebagaimana firman Allah juga, jika orang kafir mahu meminta perlindungan kepada kamu berilah sehingga mereka mendengar kalamullah dan terkesan dengannya lalu menerima Islam dengan pilihan mereka sendiri!

    Yakni kita beri peluang kepada orang kafir untuk mengenal Islam yang indah & jatuh cinta dengannya.
    Begitulah sebab Allah beri tempoh ini!
  1. Ayat 2- {… dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah.}-

    Ketahuilan bahawa kamu tidak akan mampu lawan Allah.
    Ayat ini memberi amaran kepada orang-orang yang telah membuat perjanjian, dalam tempoh bertenang ini untuk berfiikir apakah mereka mahu masuk Islam atau mahu lawan?
    Serta ketahuilah jika mereka nak lawan, mereka sesekali pasti tidak akan dapat mengalahkan Allah SWT Yang Maha gagah Perkasa!
    Serta tentera Islam yang sekarang sudah bersiap-sedia untuk melawan.
    Sebagaimana kata-kata motivasi:
    Orang yang berbakti akan diikuti, orang yang baik akan menawan hati orang yang lain.
    Di sini Allah bagi peringatan kepada orang kafir, jika nak lawan kamu tak mampu maka baiklah kamu ikuti, masuk Islam sama.

    Itulah nikmat Islam yang besar beri peluang & kebaikan kepada semua.
  1. Ayat 2- {Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan,…}-

    Mereka diberi tempoh selama empat bulan.
    Kenapa mereka diberi tempoh:
    i- Untuk mereka berfikir.

    ii- Supaya tidak dikata Islam hanya membatalkan perjanjian begitu saja.
    Kita batalkan perjanjian dengan SOP yang ketat, iaitu kerana mereka khianat dulu kita batalkan!

    iii- Allah nak beri orang Islam peluang berjihad dan membuat persiapan yang baik bagi mengatur strategi & perancangan.
    Dalam tempoh empat bulan itu jangan pula kita kita lalai & tidur sedangkan kafir berfikir & buat strategi!
    Islam tak ajar untuk berserah semata-mata kena ada usaha & perancangan!

    iv- Ini adalah satu pembersihan untuk memberi laluan kepada Nabi SAW pergi menunaikan haji pada tahun ke-10H.
    Maka Baginda tidak perlu lagi melihat perkara-perkara yang kotor & tidak ikut Syari’ah.
    Tiada lagi berhala-berhala, orang yang tidak menutup aurat dan lain-lain perbuatan yang menyalahi Syari’ah Islam semasa Hajjatul Wada’.
    Oleh kerana Islam itu bermula dari keadaan lemah & sembunyi; kemudian semakin naik & meningkat kuat sehingga dapat menguasai Makkah.
    Maka Allah mencabar dengan berkata: “وَاعْلَمُوا” , Ketahuilah bahawa kamu tidak mampu nak lawan; sebagai satu amaran tegas & peringatan keras dari Allah kepada musyrikin: jangan sangka mereka boleh lari atau menang dalam tempoh yang diberi itu.

    Islam tidak lemah bahkan tinggi & mengusai.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top