View Categories

(21) Surah At-Taubah: Ayat 48-49

12 min read

Munafiqin Timbulkan Fitnah, Helah Mudah Tergoda Dengan Wanita Rom & Mereka Terfitnah Dengan Syirik.

Full video : https://youtu.be/6HZqsIotf40?si=F8Dri1eDsVnQWjNC

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 48 sehingga 49 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa munafiqin kerjanya timbulkan fitnah, buat kacau & onar dari awal di Madinah sehinggalah Nabi SAW wafat.
    Pada zaman Khalifah Abu Bakar timbul pula golongan yang murtad!
    Tidak habis kejahatan mereka ini sehingga ke hari Kiamat.
  1. Apabila Nabi SAW ajak berperang ke Tabuk mereka cari helah, antara alasan bodoh tak boleh pergi kerana takut mudah tergoda dengan wanita Rom yang cantik-cantik!
    Tetapi tembelang mereka tetap terbongkar kerana setiap bekas itu akan mengeluarkan isi kandungannya!
    (كل إناء بما فيه ينضح).
  1. Allah mendedahkan rahsia yang ada dalam hati mereka iaitu mereka terjatuh dalam fitnah yang lebih besar daripada Rom iaitu terfitnah dengan syirik yang amat besar dosanya lalu mereka akan diliputi dengan azab yang begitu dahsyat pada hari Kiamat.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Dia telah beratkan hati golongan munafiq untuk tak mahu keluar berjihad.
    Kerana jika mereka keluar bukan memberi kebaikan tetapi hanya akan memberi bebanan kepada tentera Islam; kerana mereka akan membuat onar, fitnah keraguan, porak peranda & waswas dengan dakyah & bisikan jahat mereka.

    ii- Datang ayat ini Allah nyatakan perangai & kerja munafiq itu bukan baru; bahkan sejak awal kedatangan Nabi SAW di Madinah mereka telah buat kekacauan dan kejahatan terhadap Nabi SAW, menimbulkan keraguan & mahu memecahkan kesatuan umat Islam seluruhnya!

    Kita berdoa kepada Allah agar buka kepada kita kefahaman yang baik, mencintai al-Quran, berpegang dengan Sunnah, tidak lari dari dua landasan yang utama ini dalam rehlah kita ke alam Akhirat menuju kepada syurga-Nya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 48- {SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH LAKUKAN FITNAH SEMENJAK DAHULU LAGI, DAN MEREKA MERANCANGKAN TERHADAPMU (WAHAI MUHAMMAD) BERBAGAI TIPU DAYA, SEHINGGA DATANGLAH KEBENARAN, DAN NYATALAH (KEMENANGAN) AGAMA ALLAH (ISLAM), SEDANG MEREKA TIDAK SUKA KEPADANYA.} (AT-TAUBAH 9:48)

  1. Allah nyatakan bahawa puak munafiq ini sebelum daripada ini, lagi pagi petang siang malam, telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, sejak Nabi Muhammad SAW mula sampai di Madinah dan mereka merancangkan terhadap Nabi dengan berbagai tipu daya, yakni bukan baru!
  1. Antara kejahatan & fitnah yang mereka buat ialah:
    i- Menyekat orang daripada agama Islam.

    ii- Jika orang sudah beriman, dia akan cuba melaga-lagakan mereka.
    Mereka menjadi batu api yang sentiasa membawa lighter/mancis, ada tempat yang boleh dibakar terus dinyalakannya api permusuhan!
    Sebagaimana mereka cuba menyalakan kembali api permusuhan dalam golongan Ansar, antara Aus & Khazraj, yang telah Nabi SAW berjaya damaikan dengan Islam.
  1. Allah kata perangai jahat mereka ini telah dilakukan: {semenjak dahulu lagi} iaitu sebelum peperangan Tabuk lagi, sejak awal Islam lagi bermula dari Perang Uhud mereka dah mengasak, kemudian Perang Ahzab mereka meyokong tentera musyrikin!
  1. Yakni kerja mereka itu bukan kerja Baharu, sejak awal kedatangan Islam lagi mereka cuba merosakkan Islam, melaga-lagakan untuk memecahkan perpaduan umat Islam dan seumpamanya!
  1. Mereka juga sentiasa buat di’ayah, perancangan buruk dan memburukkan Nabi SAW.
    Munafiqin ini amat berharap agar Nabi SAW ditimpa bala bencana dan hidup hura-hara sentiasa.
    Mereka menggunakan pelbagai cara & idea pemikiran untuk menyekat dakwah Nabi SAW & membuatkan orang benci kepada Baginda SAW.
    Itulah watak jahat, perangai buruk yang ditunjukkan oleh munafiq!
  1. Kemudian Allah kata- {…sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam),}, iaitu apabila Islam dapat kemenangan seperti dalam peperangan Badar dan lain-lain.

    Mereka pun cuba lagi menimbulkan fitnah, menukar putar belit fakta, selewengkan maklumat serta pelbagai cara lagi untuk menenggelamkan Islam sehinggalah datang pertolongan Allah kepada orang Islam.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.} (Al-Isra’ 17:81)
  1. Kata Ibnu Kathir RHM :
    i- Puak munafiq telah kerahkan tenaga & perah otak untuk buat perancangan jahat ke atas Nabi SAW & para sahabatnya.
    Mereka cuba jatuhkan agama Islam dan cuba memadamkan api cahaya Islam yang benar!

    ii- Perancangan jahat mereka ini bermula sejak awal lagi, iaitu dari awal kedatangan Nabi SAW di Madinah.
    Mereka berpakat sesama jahat (munafiqin, yahudi, nasrani & kafir tulen semuanya) ini seolah melontar anak panah ke arah satu arah sasaran sahaja, iaitu ke arah Nabi SAW & agama Islam!
    رمته بقوس واحد
    Fokus & tujuan mereka hanya nak menjatuhkan Nabi SAW!

    iii- Apabila kaum Muslimin menang dalam peperangan Badar, ketua munafiq Abdullah bin Ubai bin Salul berkata: Inilah perkara yang kita bimbangkan!

    Iaitu Islam makin hari makin naik, makin hari makin berkembang!
    Lalu mereka pun mengubah strategi, datang berjumpa Nabi SAW dan berpura dengan masuk Islam secara zahir!
    Inilah asal munafiqin!

    iv- Kemudian apabila Islam makin berkembang & Allah beri kemenangan kepada kaum muslim-makin sakit hati, sakit jiwa penuh tekanan & kebencian kaum munafiqin ini!!!

    v- Sebagaimana firman Allah: {..sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka kepadanya.}- {sedangkan mereka membencinya – وَهُمْ كَـٰرِهُونَ} iaitu amat sakit hati, benci, penuh stress apabila melihat Islam berkembang!
  1. Kata Ibnu Asyur RHM pula : Bilakah kemenangan ini?
    Kata ulama’ : Tarikh besar yang sangat terserlah ialah pada hari Pembukaan Makkah, ini jelas kemenangan Islam!

    Iaitu apabila Nabi SAW berjaya mengambil Makkah dari Quraisy dan berduyun-duyun manusia di Makkah masuk Islam tidak tinggal seorang pun!
    Maka bertambah sakit hati munafiqin!
  1. Kita pun berhati-hati; apabila ajaran Islam mendapat kedudukan baik & tempat dalam masyarakat- jangan ada pula yang sakit hati & terasa benci, kerana itu adalah penyakit munafiqin!!!!

AYAT 49- {DAN DI ANTARA MEREKA (YANG MUNAFIK ITU) ADA YANG BERKATA: “IZINKANLAH AKU (SUPAYA TIDAK PERGI BERPERANG) DAN JANGANLAH ENGKAU MENJADIKAN DAKU DIPENGARUHI OLEH FITNAH “. KETAHUILAH, MEREKA TELAH PUN TERCEBUR KE DALAM FITNAH (DENGAN DALIHAN YANG DUSTA ITU). DAN SESUNGGUHNYA AZAB JAHANNAM MELIPUTI ORANG-ORANG YANG KAFIR.} (AT-TAUBAH 9:49)

  1. Asbabun Nuzul ayat ini iaitu ayat 49 Surah At-Taubah (juga dikenali sebagai Surah Bara’ah):
    i- Ayat ini turun sebagai respons terhadap tindakan dan perkataan Jadd bin Qais, seorang munafik yang mencari alasan untuk tidak menyertai Perang Tabuk.
    Nabi Muhammad ﷺ bertanya kepadanya tentang kesediaannya untuk berperang melawan Bani Ashfar (orang Romawi), dan Jadd beralasan bahawa dia tidak dapat menahan diri dari godaan wanita, oleh kerana itu dia ingin tinggal di Madinah.

    ii- Riwayat dari Ibnu Abbas RA, dia berkata:
    Ketika Nabi ﷺ hendak keluar menuju ke Tabuk, Baginda bersabda kepada Jadd bin Qais: “Wahai Jadd bin Qais, bagaimana pendapatmu mengenai berperang melawan melawan Bani al-Ashfar?”

    Dia menjawab, “Wahai Rasulullah, aku ini orang yang suka kepada perempuan.
    Saat aku melihat para wanita Bani al-Ashfar, aku akan tergoda dengan mereka.
    Karena itu, izinkanlah aku tidak ikut perang dan janganlah engkau membuatku tergoda.”

    Allah pun menurunkan firman-Nya, “Dan di antara mereka ada orang yang berkata, “Berilah aku izin (tidak pergi berperang) dan janganlah engkau (Muhammad) menjadikan aku terjerumus ke dalam fitnah.”
    [HR Ath-Thabrani, Abu Nu’aim dan lain-lain].

    Nabi SAW tidak tahu bahawa dia adalah seorang munafiq pada masa itu, kerana dia mengaku Islam dan sentiasa bersama Baginda. Begitulah bahayanya munafiq yang membuat onar.

    iii- Ayat ini kemudian turun untuk mengungkapkan bahawa Allah SWT mengetahui alasan palsu yang dibuat oleh orang-orang munafik dan bahawa tipu daya mereka akan membawa mereka pada kebinasaan.
  1. Ada antara munafiqin yang datang berjumpa Nabi SAW dan memberi alasan yang bodoh dan tak masuk akal kerana tidak mahu keluar pergi berperang ke Tabuk.
    Kononnya mereka takut terfitnah dengan ujian wanita Rom yang akan ditemui nanti.
  1. Lalu Allah juga menjawab bahawa mereka sebenarnya sudah terjatuh dalam fitnah yang besar iaitu fitnah syirik dan kufur terhadap Allah.
    Kamu juga sembunyikan kekufuran yang penuh dalam hati kamu tetapi kamu zahirkan keimanan! Inilah maksudnya fitnah (yakni syirik) itu lebih besar daripada membunuh!
  1. Kemudian Allah SWT tutup ayat ini dengan firman-Nya: {Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir.}– yakni orang kafir tidak akan terlepas dari azab neraka Jahannam, mereka akan berlegar disekeliling neraka itu.
    Tidak dapat melarikan diri daripadanya!
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.} (Al-Kahfi 18:29)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 48- {Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi,…}-

    Kerja munafiq ini bukan baru, perancangan jahat mereka!
    Mereka buat perancangan ini daripada awal lagi, negara Islam Madinah didirikan!
    Semasa di Makkah tiada munafiq kerana Islam lemah ketika itu.
    Munafiq muncul ketika Nabi SAW berada di Madinah, khususnya selepas peperangan Badar pada tahun ke-2H!
    Betapa mereka sakit hati & benci melihat kemenangan tentera Islam yang hanya 313 orang, dapat kalahkan Abu Jahal dan 70 oramg serta dapat tawanan Quraisy 70 orang lagi!Apabila Islam itu mendapat kemenangan dalam perang Badar, mereka pun mula tukar strategi; menyamar mengaku jadi Islam kerana mahukan habuan dunia seperti harta ghanimah, nama & pangkat kedudukan.

    Kemudian apabila Nabi SAW mahu keluar berperang Uhud, bapa munafiq yang bernama Abdulah bin Ubai bin Salul telah berjaya membawa balik 1/3 daripada tentera yang ikut keluar bersama Nabi SAW. Daripada 1000 orang hanya tinggal 700 orang untuk melawan Abu Sufyan di Uhud.

    Hampir-hampir Bani Salamah & Bani Harithah yang sudah Islam lari balik kerana terpedaya dengan diayah yang dimainkan munafiqin Abdullah bin Ubai ini.
    Yakni Allah nyatakan munafiqin ini bukan hanya dalam perang Tabuk cuba mengkhinati Islam tetapi dari awal lagi buat perancangan jahat & khianat kepada Islam.

    Boleh baca kisah lanjutnya tentang Perang Uhud dalam buku Madinah Kelebihan & Sejarah:
    https://dartaibah.com/…/NEW-Madinah-Kelebihan-&-Sejarah…
  1. Ayat 48- {… dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam),}-

    Mereka tidak berhenti-henti buat perancangan jahat kepada Islam & untuk menjatuhkan Nabi SAW sehingga munculnya kebenaran!
    Sebagaimana kata Ibnu Kathir tadi : Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, puak Arab musyrikin, yahudi & munafiqin melancarkan satu serangan ke atas NABI SAW, mereka arahkan fitnah kepada Baginda SAW.

    Semata-mata untuk menyekat tersebarnya Islam tetapi apa boleh buat, Allah telah zahirkan kemenangan agama Islam.
    Perbincangan:
    Kenapa Allah gunakan perkataan {وَظَهَرَ}- yakni Allah zahirkan Islam kenapa Allah tak kata Allah beri pertolongan (ونصر) & menangkan Islam?

    Jawapan:
    Ini kerana Islam pada awalnya pada awal ketibaan di Madinah seolah tersekat atau terlindung, masih tidak dapat dipastikan hebat atau tidak, gagah atau tidak!

    Maka selepas berlakunya peperangan Badar, Islam menang dengan hanya 313 orang tentera melawan 1000 orang lebih tentera Abu Jahal, serta membunuh 70 orang lebih & 70 lagi ditawan.
    Maka pada ketika itu bermulanya kebencian & kebimbangan puak munafiqin terhadap Islam yang penuh sakit hati!
  1. Ayat 48- {… sedang mereka tidak suka kepadanya.}-

    Yakni walaupun tidak disukai oleh orang kafir & munafiq!
    Yakni puak munafiqin ini benci sangat, sakit hatinya, sakit jiwa, stress, tertekan, kemurungan mereka kerana Islam menang!

    Maka ulama’ tadabbur kata : Kemenangan Islam itu tidak terkesan dengan perancangan jahat, kebencian, keinginan & kehendak puak kafir.
    Islam adalah agama Allah, akan terus naik, semakin dibenci & dikhianati oleh puak munafiqin & kafir, Islam akan semakin naik.

    Sebagaimana pernah satu ketika dulu seorang kartunis Lukis kartun yang menghina Nabi SAW, satu dunia Islam memboikot Denmark & produknya memberi kesan yang begitu besar dahsyat.

    Orang-orang bukan Islam cuba mengenali Islam & Nabi Muhammad SAW yang sebenar, yang menghasilkan ramai non-muslim yang masuk Islam!
    Yakni semakin cuba diburukkan, dihina direndahkan, Islam akan semakin melantun naik.
  1. Ayat 49- {Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah”.}-

    Ada orang yang pandai bercakap datang berjumpa Nabi SAW memberi alasan yang bodoh & tak masuk akal.
    Iaitu si munafiq Jadd bin Qais memberi alasan tidak boleh ikut keluar melawan musuh di Tabuk kerana tidak dapat menahan dirinya daripada fitnah jika melihat wanita Rom yang cantik-cantik!
    Iaitu kononnya takut terjerumus ke dalam fitnah wanita Rom!

    Kata ulama’ tadabbur : Dari ayat ini memberi pengajaran kepada kita bahawa tidak ada kebaikan kepada mana-mana manusia yang cuba nak melepaskan diri daripada arahan Syari’ah!

    Maka jangan sesekali kita cuba cari alasan yang remeh-temeh untuk melanggar dan menggugurkan Syari’ah Allah, menggugurkan perintah Nabi SAW dengan alasan ikut kepala kita!
    Inilah seperti sekular yang tafsir agama ikut kepala otaknya sendiri!
    Jangan kita mencari kegilaan & kekayaan yang tak halal atas dunia ini, jika Allah nak sentap hanya sekejap semuanya akan hilang!

    Ingat, solat itu memang fardhu yang wajib, begitu juga tutup aurat.
    Perintah & Syari’ah Allah wajib diikuti & ditaati semuanya bukan boleh pilih-pilih mana nak buat mana yang nak ditinggalkan!
    Puak munafiq ini cari alasan dan helah untuk menggugurkan perintah Allah ke atas mereka!
  1. Ayat 49- {… Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir.} –

    Allah tegaskan bahawa munafiq ini telah tercebur, jatuh ke dalam fitnah yang besar iaitu syirik kepada Allah!
    Mereka juga syirik tetapi menzahirkan keimanan!

    Kerana itu azab mereka berat & dahsyat, orang syirik azabnya menyeluruh, Allah katakan bahawa orang munafiq akan berada didasar neraka!
    Ini berbeza dan orang Islam yang maksiat & berbuat dosa derhaka kepada Allah, azabnya hanya ikut bahagian dosa yang dia buat, jika buat maksiat atau dosa kerana menipu, mencuri atau sebagainya; dia hanya akan dizab dengan dosa tersebut sahaja!
    Manakala dosa syirik tidak terkecuali, dosa & azabnya menyerluruh dan merangkumi semua sekali, azab yang menyeluruh & yang meliputi!
    Kita berdoa dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ini:

    اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ
    فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ ”

    Wahai Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, {bersihkanlah} amalku dari riya, {bersihkanlah} lisanku dari dusta, {bersihkanlah} mataku dari pengkhianatan.
    Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada
    .” {HR. Hakim (2/227}.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top