Munafiqin Kecewa Bila Islam Menang, Gembira Bila Islam Ditimpa Ujian & Kita tunggu Lihat Bala Menimpa Kafir Munafiq.
Full video : https://youtu.be/cseoQ9ftxLg?si=9UEjTII1Ho2WA_OM
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 50 sehingga 52 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa puak munafiqin sedih & kecewa bila Islam menang.
Orang mukmin dapat kemenangan dia pun kecewa stress.
- Tetapi gembira bila Islam ditimpa ujian, sebagaimana Allah uji mereka dalam perang Uhud.
Mereka melompat bergembira dengan apa yang ditimpa ke atas orang Islam dan berasa bangga kerana mereka tak ikut berperang lalu selamat!
- Kita sebagai orang beriman, yakin dengan semua apa yang Allah taqdirkan untuk kita, sama ada menang atau kalah kita terima belaka.
Tetapi sebagai seorang mukmin dua-dua itu akan membawa kebaikan kepada kita, menang alhamdulillah dapat kejayaan, jika kalah atau mati syahid besar juga kejayaan kita di sisi Allah SWT!
Bagi orang mukmin tiada kerugian dalam taqdir Allah.
- Kemudian Allah suruh kita cabar puak kafir, tak perlu kamu cakap besar kita sama-sama tunggu lihat apa ketentuan Allah, apakah bala yang Allah akan timpakan ke atas puak kafir & munafiq.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang karenah munafiq yang sentiasa cari jalan untuk tidak mahu ikut berperang dan menjatuhkan Islam.
ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa satu lagi jenis perangai perancangan jahat munafiqin yang menunjukkan tembelang busuk mereka, apa sebenar kejahatan yang ada dalam hati pedal mereka benci terhadap Islam.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 50- {JIKA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) BEROLEH SESUATU KEBAIKAN, (MAKA) KEBAIKAN ITU MENYEBABKAN MEREKA SAKIT HATI; DAN JIKA ENGKAU DITIMPA SESUATU BENCANA, MEREKA BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI TELAHPUN MENGAMBIL KEPUTUSAN (TIDAK TURUT BERPERANG) SEBELUM ITU”, DAN MEREKA BERPALING (MENINGGALKANMU) SAMBIL MEREKA BERGEMBIRA.} (AT-TAUBAH 9:50)
- Allah SWT menyatakan keadaan orang munafiq itu ialah:
i- Mereka sakit hati dan amat benci apabila melihat orang Islam mendapat kemenangan & kesenangan, seperti dalam peperangan Badar.
Kehidupan umat Islam di Madinah sudah bertamban senang, makanan banyak & harta bertambah,maka bertambah sakit hati golongan munafiq.
ii- Manakala mereka amat gembira dan suka sangat jika Nabi SAW & orang mukmin mendapat kesusahan, ditimpa sesuatu bencana yang menyusahkan seperti dalam Perang Uhud!
- Maka kita sebagai sesama muslim seperti jasad yang satu hendaklah terasa juga simpati dan kesedihan atas apa yang menimpa saudara muslim kita di mana saja yang tertindas & dizalimi, hidup dalam peperangan & kesusahan seperti di Gazzah.
Jangan hanya lihat saja tidak terasa sambil ia belalu!
Jika tak berikan bantuan derma atau secara fizikal sekurang-kurangya kirimkan mereka doa!
- Ulama’ kata : Munafiq itu sama saja perangainya sepanjang zaman, semenjak dari zaman Nabi SAW, zaman sahabat sehinggalah zaman kita ini, watak yang sama cuma rupa & orangnya yang berbeza!
- Semasa Nabi SAW mengalami kesusahan dan kekalahan pada awalnya di Uhud, apabila muka Nabi SAW berdarah-darah, ramai para sahabat yang gugur syahid, para munafiq amat gembira dengannya dan berbangga, bersyukur sesama mereka kerana mereka selamat, ambil keputusan tepat kerana tidak ikut bersama Nabi SAW keluar berperang di Uhud!
- Kata Ibnu Atiyah : Begitulah perangai munafiq, itulah keyakinan mereka bahawa orang Islam itu tidak boleh ditolong, tidak boleh bersama mereka bahkan tempang gembira jika mereka dibelasah kafir lain!
Yakni mereka bergembira atas musibah yang menimpa kaum mukmin.
AYAT 51- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENIMPA KAMI SESUATU PUN MELAINKAN APA YANG TELAH DITETAPKAN ALLAH BAGI KAMI. DIA LAH PELINDUNG YANG MENYELAMATKAN KAMI, DAN (DENGAN KEPERCAYAAN ITU) MAKA KEPADA ALLAH JUALAH HENDAKNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN BERTAWAKAL”.} (AT-TAUBAH 9:51)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelumnya puak munafiq kata mereka selamat kerana mereka lari balik & tak ikut Nabi SAW pergi berperang.
ii- Dalam ayat ini Allah tolak pandangan munafiqin, bahawa apa yang berlaku dalam perang Uhud adalah dengan taqdir & ketetapan Allah SWT!
Ramai lagi orang Islam yang selamat, tidak mati, tidak luka walaupun turut berperang, manakala mereka yang syahid 70 orang itu adalah mereka yang Allah taqdirkan mereka akan mati syahid di situ!
- Memang Nabi SAW larang kita dari pergi mencari musibah; tetapi jika kita terkena ujian musibah kita kena sabar.
Bila kita tahu itu ketetapan Allah SWT, Allah telah pilih 70 orang sahabat sebagai syahid walaupun berlaku perbincangan kenapa mereka jadi begitu; tetapi itulah hakikatnya taqdir mereka syahid di situ!
- Dalam ayat ini Allah perintahkan kepada Nabi SAW untuk mengatakan kepada puak munafiqin yang bergembira dengan apa yang menimpa orang Islam & atas keselamatan mereka kerana tak ikut berperang Uhud.
Kita tak pelik kerana semua itu adalah taqdir Allah SWT. ia bukn benda baru.
Allah telah tetapkan di Lauh Mahfuz sejak awal lgi.
- Menyatakan aqidah kita beriman kepada qadha’ & qadar, kita yakin bahawa semua yang berlaku adalah dengan kehendak & ketetapan Allah!
Tidak ada apa yang terlepas atas kita jika Allah telah tulis & taqdirkannya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT juga:
{Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.} (Al-Hadid 57:22)
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.} (Al-Hadid 57:23)
Allah ajar kita agar jangan terlalu gembira sehingga sombong takabbur dengan apa yang kita dapat & jangan terlalu bersedih dengan apa yang kita terlepas atau tak dapat.
- Hadis riwayat Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As ia berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رضي الله عنهما قَالَ:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:«
كَتَبَ اللهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ،
قَالَ: وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ». [صحيح] – [رواه مسلم] – [صحيح مسلم: 2653]
Maksudnya: “Allah telah menulis takdir semua makhluk sejak lima puluh ribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi, sedangkan Arasy-Nya di atas air.” [HR. Muslim – 2653]
- Hadis lagi, sabda Rasulullah SAW:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ،
إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: “Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman.
Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka demikian itu kebaikan buatnya.
Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya.” [HR Muslim].
Yakni orang mukmin itu kehidupannya antara syukur & sabar, insya’ Allah keduanya akan memberi kebaikan padanya!
- Kita juga yakin bahawa Allah-lah Pelindung & Penjaga yang menyelamatkan kami.
Setiap ujian yang Allah beri pasti ada hikmahnya, setiap orang itu berbeza ujiannya mengikut tahap keimanannya.
Jika imannya kuat & jitu mungkin hebat juga ujiannya!
- Ujian Allah itu sama ada untuk mengangkat darjat atau untuk menyedarkan iaitu:
i- Jika orang soleh diuji kita kata untuk angkat darjat!
Kita bersangka baiklah dengan orang baik yang kena ujian!
ii- Jika orang tak baik diuji, kerana Allah nak sedarkan dia agar kembali ke jalan yang baik & menyekat dari terus berada dalam kelalaian & kealpaan
- Hanya semata-mata kepada Allah sahajalah orang-orang yang beriman, bertawakkal, bergantung & berpegang.
Orang beriman wajib bergantung & serahkan urusannya kepada Allah SWT jangan dok main-main & bermudah kerana kita tahu kita dalam keadaan gawat!
Jika tak bergantung kepada Allah apakah kita akan berrgantung kepada syaitan!
AYAT 52- {KATAKANLAH: “(SEBENARNYA) TIDAK ADA YANG KAMU TUNGGU-TUNGGU UNTUK KAMI MELAINKAN SALAH SATU DARI DUA PERKARA YANG SEBAIK-BAIKNYA (IAITU KEMENANGAN ATAU MATI SYAHID); DAN KAMI MENUNGGU-NUNGGU PULA UNTUK KAMU BAHAWA ALLAH AKAN MENIMPAKAN KAMU DENGAN AZAB DARI SISINYA, ATAU DENGAN PERANTARAAN TANGAN KAMI. OLEH ITU TUNGGULAH, SESUNGGUHNYA KAMI JUGA MENUNGGU BERSAMA-SAMA KAMU”.} (AT-TAUBAH 9:52)
- Orang kafir menunggu-nunggu agar orang beriman ditimpa bala bencana sedangkan tidak ada yang akan menimpa orang mukmin melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya iaitu kemenangan atau mati syahid!!!
- Maka orang beriman pun menunggu-nungu juga iaitu bahawa Allah akan menimpakan ke atas orang kafir dengan azab dari sisi-Nya , binasa begitu sahaja dengan kuasa Allah atau dengan perantaraan tangan orang Islam, iaitu mati dibunuh dalam peperangan!
Oleh itu tunggulah, kita sama-sama menunggu!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan sifat orang kafir yang gembira jika orang Islam ditimpa musibah & sedih dukacita apabila orang Islam mendapat kemenangan & kebaikan.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan kepada puak munafiq, kamu tidak kenal sifat orang mukmin, yang aqidah mereka dalam perjuangan ialah jika menang alhamdulillah dapat ghanimah & kejayaan dan jika kalah atau terkorban mereka akan dapat pahala mati syahid pula!
- Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW Bersabda, “Demi zat yang diriku ada di tangan-Nya, tidaklah seseorang terluka di jalan Allah, Allah Maha Mengetahui siapa yang pantas terluka di jalan Allah-kecuali ia datang pada hari kiamat; warna (luka)nya warna merah darah, tetapi baunya aroma kasturi.” [HR Muslim].
- Ayat ini mencabar orang kafir, cakap banyak pun tak guna maka kita tunggu mati sajalah!
Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu.
Orang Islam hanya ada dua keadaan yang mana keduanya membawa kebaikan.
Bukan seperti pandangan mata mereka hanya menang jika dapat kalahkan musuh & akan kalah sepenuhnya jika dikalahkan musuh kerana mereka tidak ada bahagian Akhirat.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 50- {Jika engkau (wahai Muhammad) beroleh sesuatu kebaikan, (maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati; dan jika engkau ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata:…}-
Orang munafiq itu sifatnya apabila orang Islam dapat kebaikan mereka susah hati TETAPI jika orang Islam kena musibah mereka gembira!
Berbezanya keadaan antara kebaikan {حَسَنَةٌۭ} dan musibah {مُصِيبَةٌۭ}.
Bagi kita orang mukmin kita terima keduanya dengan syukur & sabar!
Orang munafiq suka gembira sangat jika orang Islam ditimpa kesusahan musibah, jika Islam ditimpa kekalahan!
Sebaliknya jika Islam menang dan mendapat kebaikan betapa sakit hati stress sakit jiwanya mereka!
Ingatlah tidak semestinya apa yang kita rancang itu akan terjadi, bergantung kepada ketetapan Allah!
Kemenangan itu bukan selalunya dapat, kadang-kadang kita juga ditimpa kekalahan, tetapi sebagai orang mukmin kita sabar dan tetap akan mendapat pahala atas ujian & perjuangan itu!
Kita orang beriman juga kena berhati-hati jangan asal orang nak sokong dan berpakat dengan kita jangan terus terima, lihat dluu kepada sejarah dan rekod mereka sebelum ini, bagaimanakah pendirian mereka terhadap Islam selama ini!
Jangan terperangkap dengan mereka, takut kita termasuk dalam kumpulan munafiq yang anti kepada Islam!
- Ayat 51- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.}-
Dalam ayat ini Allah nak ajar & didik orang Islam untuk berakhlak dengan akhlak Islam dalam menghadapi ujian Allah terutamanya apabila ditimpa musibah!
Apabila ditimpa musibah jangan kita sedih & kecewa yang melampaui.
Kita kena belajar menahan diri daripada bersifat yang tidak sepatutnya, hilang kawalan dan kesabaran, juga hilang segala pertimbangan!
Ini didikan Allah kepada orang Islam agar ada sifat sabar!
Kita tau sifat sabar itu adalah sesuatu yang amat sukar untuk diamalkan, mudah untuk dituturkan dan dinasihati orang lain, tetapi apabila kita sendiri menghadapinya baru kita tahu!
Hanya keimanan yang jitu kepada Allah & taqdir dapat menolong kita agar tidak terlalu kecewa & stress yang melampaui dalam kesedihan atau kegembiraan!
Jika kita kehilangan ahli keluarga atau orang tersayang, berpadalah dalam menzahirkan kerinduan dan kesedihan, takut kita akan terjatuh dalam perbuatan meratap & tidak sabar.
Jika dulu orang meratap dengan tarik rambut, koya baju bertempik, melaung; tetapi pada zaman sekarang ini adalah ratapan di alam maya @ media sosial!
Ingatlah apa yang terjadi adalah dengan izin & ketentuan Allah SWT.
Apabila kita sedar Allah yang tentukan; maka kita tahu Allah jugalah yang akan menolong menjaga & membantu kita!
Insya’ Allah kita tidak akan terlalu kecewa, stress & hilang sabar dalam musibah yang menimpa jika ingat ini semua!
- Ayat 51- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami…}-
Ayat ini untuk membawa kita kembali kepada taqdir Allah!
Kita wajib yakin dan percaya dengan takdir yang Allah tetapkan semenjak kita di alam rahim lagi.
Martabat taqdir itu banyak, kita tak tahunya:
i- Taqdir sepanjang hayat
ii- Taqdir bersifat tahunan atau berwaktu.
Kita tidak tahu apakah Allah tetapkan kepada kita, ada yang pagi tadi sihat molek, petangnya tiba-tiba jatuh mati!
Semua yang menimpa kita, kita letakkan atas taqdir Allah SWT sebagaimana hadis tadi.
Iaitu Allah SWT telah menulis taqdir makhluk ini 50 ribu tahun sebelum dicipta langit & bumi!
Kita tidak tahu bilakah kita akan mati!
Apabila kita sudah berpegang dengan aqidah yang mantap ini, maka kita bertawakkal kepada Allah, kita ketepikan karenah jahat munafiqin.
Tetapi ingat, mengambil sebab tidak menafikan tawakkal seperti mengambil ubat, buat latihan, jaga pemakanan, jaga keselamatan itu semua adalah usaha yang baik & tawakkal kepada Allah!
- Ayat 52- {Katakanlah: “(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid);…}-
Orang kafir & munafiq itu mengintai-intai menunggu apa nasib yang akan kena ke atas kita!
Allah mendedahkan bahawa puak munafiqin terus duduk menanti dan mengharap musibah menimpa orang-orang beriman.
Tetapi bagi kita orang mukmin dengan keyakinan Aqidah terhadap Allah yang menjamin bahawa kedua-duanya adalah kebaikan {إِحْدَى ٱلْحُسْنَيَيْنِ}.
Kita letakkan segalanya atas Allah, apa yang Allah taqdirkan itu semuanya baik, kita tahu Allah akan jaga kita.
Sebagai pejuang, jika kita menang kita akan dapat harta untuk infaq, nafkah, gerakan dakwah dan sebagainya.
Jika kita mati alhamdulillah kita akan syahid, dengan pahala yang besar di sisi Allah di Akhirat kelak!
Anak isteri serta keluarga kita, jika kita orang soleh Allah akan jaga mereka!
Begitu juga seterusnya, jadi apabila kita tahu Allah akan jaga kita & keluarga, maka kita akan cuba buat yang terbaik semasa atas dunia ini!
Kerana itu Allah kata azab kepada munafiq itu Allah akan beri melalui dua lorong {Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisiNya, atau dengan perantaraan tangan kami.}
iaitu sama ada:
i- Azab yang direct terus dari Allah.
ii- Atau azab hasil daripada perbuatan kaum mukmin, kamu bunuh atau ditawan mereka dalam peperangan,
- Ayat 52- {Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu”.}-
Kamu tunggulah, kami juga akan menunggu, yakni kita semua menunggu apakan keputusan & ketetapan Allah kelak!
Ulama’ tasauf kata : Kenapa kita nak dengki kepada orang lain:
i- Jika dia orang soleh yang mendapat nikmat & kemenangan, dapat itu dapat ini, adalah kerana dia orang baik!
Allah nak beri pahala kepadanya dengan usaha-usaha yang dia buat!
ii-Jika dia orang tak baik & dia dapat nikmat, Allah SWT nak azab dia atas dunia ini lagi susah, kena jaga harta, di akhirat akan dihisab.
Kita lihat setangah kehidupan orang yang kaya, banyak harta & projek, betapa hidup mereka sibuk, tidak ada waktu lapang & terbuka, sibuk nak jaga kedai atau projek- nak ukhuwwah pun susah!
Ada orang yang senang hidupnya, Allah beri kelapangan kepadanya walaupun harta kekayaannya tidak banyak!
Senang atau susah hidup seseorang manusia itu Allah pilih & akan beri kepada seseorang ikut caranya yang sendiri!
Jika kita senang wajib kita bersyukur kepada Allah!
Jika kita susah bersabarlah hadapi ujian itu!
Dunia ini bukan tempat tinggal yang kekal tetapi tempat untuk meninggalkan ibadat & perkara yang baik untuk dijadikan asset di hadapan Allah kelak!
Jika kita baik, akan menjadi sebutan yang baik kepada manusia sepanjang zaman.
Ya Allah jadikan kami orang yang beriman & bertaqwa kepada-Mu, orang yang soleh & membaik-pulih kerosakan yang ada, kurniakanlah sifat sabar, syukur dan redha atas semua ketentuan yang Engkau berikan kepada kami!!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
