View Categories

(24) Surah At-Taubah: Ayat 55-57

11 min read

JANGAN KAGUM DENGAN HARTA MUNAFIQIN, MEREKA SUKA BERSUMPAH & MENCARI TEMPAT PERLINDUNGAN.

Full video : https://youtu.be/FmgMdZr7wjk?si=z86cuKK8FkcPjvwu

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 55 sehingga 57 dalam juz kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa kamu orang beriman jangan kagum dengan harta munafiqin yang banyak & anak pinak yang ramai! 
    Semua itu Allah beri agar mereka sibuk dengan perbuatan yang menyusahkan diri & menambahkan azab ke atas mereka!
  1. Kerja mereka juga suka bersumpah-sumpah yang palsu agar orang percaya kepada mereka!
    Mereka tahu mereka tak boleh buatnya tetapi bersumpah juga untuk menyelamatkan diri mereka! 
  1. Kemudian Allah gambarkan betapa benci & tak sukanya munafiq ini kepada orang Islam, sehingga mereka mencari tempat perlindungan tak kira lubang atau gua untuk mereka bersembunyi kerana tak mahu ikut Islam.
    Tetapi apa boleh buat kerana Madinah sudah berada di bawah pemerintahan Islam, terpaksa mereka mengambil sikap lain iaitu bermuka-muka dan mengaku Islam!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT putuskan segala harapan puak munafiqin, iaitu di Akhirat tidak ada bahagian untuk kamu!
    Segala kebaikan yang kamu buat hanya akan menjadi seperti debu yang berterbangan! 

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa puak munafiq itu di dunia pun susah hidup mereka di Akhirat apatah lagi bertambah susah & siksa!
    Di mana segala kesenangan dunia mereka seperti harta & anak pinak hanya akan membawa kesusahan & kebimbangan atas mereka, hidup tak stabil.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 55- {OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU TERTARIK HATI KEPADA HARTA BENDA DAN ANAK-ANAK MEREKA, (KERANA) SESUNGGUHNYA ALLAH HANYA HENDAK MENYEKSA MEREKA DENGAN HARTA BENDA DAN ANAK-ANAK ITU DALAM KEHIDUPAN DUNIA, DAN HENDAK MENJADIKAN NYAWA MEREKA TERCABUT SEDANG MEREKA BERKEADAAN KAFIR (UNTUK MENDAPAT AZAB AKHIRAT PULA).} (AT-TAUBAH 9:55)

  1. Allah pesan jangan kita orang muslim berasa kagum & nampak elok dengan nikmat yang Allah beri kepada puak kafir atas dunia ini sama ada harta benda yang banyak dan anak-anak yang ramai.
  1. Ini kerana Allah beri semua itu sebagai istidraj untuk mereka, agar terus hanyut dalam kekufuran & kelalaian. 
    erus lagha, leka hidup dalam kemunafiqan mereka, ini kerana manusia susah untuk sedar insaf jika kaya & senang.
    Tetapi jika kena ujian bala mungkin senang sikit untuk sedar!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
    {Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.} (Taha 20:131)
  1. Yakni harta itu sebagai ujian & fitnah Allah ke atas mereka! 
    Kita orang mukmin syukurlah walaupun harta & rezeki kita tidak banyak, ia lebih baik & halal dan akan membawa kita ke syurga nanti insya’ Allah!
  1. Ini kerana sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan segala nikmat itu harta benda & anak pinak itu! 
    Susah & tak senang hati, harta didapati bukan dengan jalan yang benar, kemudian disuruh keluar infaq & zakat, hati mereka tak senang, tak puas hati dan nak marah saja!
  1. Hadis: Daripada Zaid bin Thabit RA Rasulullah SAW bersabda:
    مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ , فَرَّقَ اللَّهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ , وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ , وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ , وَمَنْ كَانَتِ الْآخِرَةُ نِيَّتَهُ , جَمَعَ اللَّهُ لَهُ أَمْرَهُ , وَجَعَلَ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ , وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ “.
    Maksudnya: “Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai fokus utamanya, Allah akan kucar-kacirkan urusannya, dan Allah jadikan kemiskinan di antara dua matanya, dan Allah tidak memberikan kepadanya bahagian di dunia ini melainkan apa yang telah tertulis untuknya. Sesiapa yang menjadikan Akhirat sebagai tujuannya, Allah akan susun-elokkan urusannya, dan Allah menjadikan kekayaan di dalam hatinya, dan dunia akan pasti datang kepadanya dalam keadaan tunduk dan patuh kepadanya. [Sunan Ibnu Majah].

    Yakni segala rezeki akan datang kepada orang yang tidak tamak & tidak gilakan harta!
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa semua itu kerana Allah nak mereka berterusan atas kekufuran & mati dalam kekufuran juga. 
    Untuk meneruskan lagi penyiksaan & azab ke atas mereka di Akhirat! 
    Di dunia susah dah, di Akhirat dahsyat lagi!
  1. Maka kita usahakanlah agar hati kita ini bersih daripada segala sifat yang buruk & tak baik, sifat munafiq kerana ia amat bahaya, Allah telah cop atas hati mereka & mereka akan mati dalam keadaan kufur!

AYAT 56- {DAN MEREKA (YANG MUNAFIK ITU) BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH BAHAWA SESUNGGUHNYA MEREKA DARI GOLONGAN KAMU, PADAHAL MEREKA BUKANLAH DARI GOLONGAN KAMU, TETAPI MEREKA IALAH SUATU KAUM YANG PENGECUT.} (AT-TAUBAH 9:56)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa segala kemudharatan itu telah dicampakkan ke atas munafiq, mudharat dunia & Akhirat! 
    Tiada manfaat di dunia atau Akhirat juga!

    ii- Datang ayat ini Allah dedahkan lagi tembelang munafiq yang suka bersumpah!
    Bermain dengan sumpah palsu, sumpah tapi tak buat! 
    Datang jumpa Nabi SAW dengan keadaan lebih lembut gigi daripada lidah!
  1. Wahai orang beriman ingatlah bahawa golongan munafiq itu suka bersumpah dengan nama Allah, dengan satu sumpah yang kuat, sumpah bohong & dusta bahawa mereka ada beriman seperti kamu juga! 
    Sedangkan hakikat sebenarnya mereka memusuhi & membenci Islam sejak dari awal lagi, tidak pernah baik dan suka! 
  1. Firman Allah SWT:
    {Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau , sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.} (Al-Munafiqun 63:1)

    Allah tahu & menjadi saksi akan pembohongan mereka, tiada nilai sumpah mereka itu!
  1. Mereka juga adalah kaum yang pengecut, lalu mereka mencari pelbagai helah untuk melepaskan diri mereka! 
    Mereka tidak berani berterus-terang untuk mendakwa bahawa mereka tidak percaya & tidak beriman! 
    Ini kerana mereka gerun & takut kepada orang Islam, maka mereka terpaksa menzahirkan Islam sedangkan mereka tetap kafir pada batinnya. 
  1. Munafiq bersumpah palsu untuk menyelamatkan diri, harta dan kedudukan mereka, yakni demi habuan dunia, mereka lansung tidak beriman!

AYAT 57- {KALAU MEREKA DAPAT TEMPAT PERLINDUNGAN, ATAU GUA-GUA, ATAU LUBANG-LUBANG DALAM TANAH, NESCAYA MEREKA SEGERA MENUJU KE ARAHNYA SERTA MELOMPAT MASUK KE DALAMNYA.} (AT-TAUBAH 9:57)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah telah sebut perbezaan perangai munafiq & mukmin, munafiq suka berbohong & bersumpah palsu!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan perangai munafiq juga jika boleh mahu lari bersembunyi tidak mahu berjumpa dengan orang mukmin, agar mereka selamat tidak perlu infaq, solat dan lain-lain.
  1. Allah dedahkan lagi perangai buruk munafiq ini, jika boleh & ada mereka jumpa: 
    { مَلْجَـًٔا أَوْ مَغَـٰرَٰتٍ أَوْ مُدَّخَلًۭا- 
    kubu, gua-gua di bukit atau lubang bawah tanah yang tersembunyi}, mereka akan lari pergi bersembunyi di situ kerana nak lari daripada orang mukmin! 
  1. Si munafiq rela lari bersembunyi dalam lubang-lubang kerana mereka:
    i- Benci sangat kepada orang beriman.

    ii- Takut kena panggil keluar berjihad. Bersmbunyi awal sebelum nama disenaraikan!

    iii- Tak mahu keluarkan harta untuk zakat, nafkah, infaq dan seumpamanya.
  1. Kita orang beriman jangan bersembunyi dalam gua kerana kita ada perjuangan yang perlu diteruskan! 
    Kerana tugas Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda diambil alih oleh para sahabat, kemudian para tabi’en, turun-temurun tugas dakwah ini kepada orang beriman sehinggalah kepada kita hari ini! 
  1. Maka jangan lari daripada perjuangan, kerana Allah kata jika kita tak ambil peluang untuk berdakwah & berjuang pada jalan Allah; Allah akan ambil orang lain untuk menggantikan kita! 
  1. Kenapa kita tak mahu ambil peluang ini sedangkan ia dapat menambahkan keimanan, meningkatkan ketaqwaan serta meraih pahala yang banyak! 
    Pahala jihad, pahala dakwah dan lain-lain. 
    Jihad tak semestinya hanya dengan senjata tetapi dengan semua medium dakwah yang ada hari ini untuk sebarkan apa yang benar dari Nabi SAW.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 55- {Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka,…}-

    Allah larang orang beriman lihat dengan kagum dan takjub kepada nikmat kekayaan dan keluarga yang Allah beri kepada orang kafir.
    Dari sini ulama’ tadabbur kata : Melihat kepada mata benda dunia atas dasar nikmat yang Tuhan beri untuk kita guna fi-sabilillah, infaq & nafkah untuk keluarga tidak mengapa!
    Yang ditegur di sini ialah jika melihat kepada kekayaan & kesenangan yang dimiliki oleh orang kafir dengan rasa kagum, takjub, rasa mereka hebat, itu dilarang. 
    Jika kita nak lihat kepada makhluk-makhluk Allah SWT atas rasa tafakkur dan mengambil iktibar memang digalakkan. 
    Manakala untuk tengok kepada si kafir atas dasar kekaguman, rasa mereka hebat & bijak manakala orang Islam ini lekeh & lemah, itu tidak boleh!

    Sebagaimana kaedah kata : 
    i- Dalam bab dunia kita kena lihat kepada orang yang dibawah kita; iaitu jika kita rasa kita susah miskin banyak masalah, maka cubalah lihat sekeliling; betapa ramai lagi orang yang lebih susah, lebih miskin lagi daripada kita! Barulah kita akan bersyukur dengan nikmat & kehidupan kita atas dunia ini! 

    ii- Dalam bab ibadat & Akhirat pula, lihatlah kepada orang yang lebih baik & banyak ibadatnya daripada kita! 
    Jangan rasa ibadat kita ini sudah banyak, amal kita sudah sempurna dan seumpamanya!
    Betapa ramai lagi orang lebih baik daripada kita, banyak baca al-Quran, solat, menderma dan buat pelbagai amal kebajikan! 
    Barulah kita akan rasa termotivasi & akan lebih rajin beribadat!
    Jadi dalam ayat ini Allah kata jangan kamu rasa kagum pelik dengan harta & anak pinak yang dimiliki oleh orang kafir! 
    Ini kerana ini dunia ini adalah satu medan ujian yang Allah jadikan kepada kita! 
    Kita orang beriman ada harta banyak pun syukur, ada sedikitpun syukur; harta banyak sedekah atau sedikit pun kita sedekah. 
    Orang kafir rasa berat & benci untuk keluarkan hartanya (zakat) & pada jalan kebaikan.
  1. Ayat 55- {Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka,…}-

    Kata ulama’ tadabbur : Kenapa Allah mulakan ayat ini harta dulu baru keluarga atau anak pinak?
    Jawapan:
    i- Allah mulakan harta dulu dalam ayat ini kerana harta benda sangat disayangi oleh puak kafir & nafsu mereka! 
    Bahkan ada di kalangan arab jahiliyyah dulu yang pernah bunuh anak mereka semasa kecil kerana takut miskin, takut habis harta untuk menanggung keluarga! 
    Mereka sangat sayangkan harta, sudah untuk keluarkan infaq & derma! 
    Maka Allah jadikan harta itu sebagai azab siksaan kepada mereka, kerana atas dunia ini hidup mereka susah tak senang, sibuk dok jaga, fikir tentang harta. 
    Orang bakhil ini hidupnya tak senang, sentiasa rasa terpaksa & tak puas hati! 
    Begitulah sifat munafiq, harta itu menjadi azab baginya! 
    Satu lagi yang paling menakutkan mereka berterusan kufur sehingga mati! 
    Manakala kita orang Islam jaga iman kita suburkannya sehingga mati, kita tidak akan mati kecuali dalam keadaan Islam insya’ Allah!
    Kita minta berlindung dari segala sifat buruk agar kita selamat di dunia & aman di Akhirat!
  1. Ayat 56- {Dan mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang pengecut.}-

    Sifat munafiq suka bersumpah, sentiasa bersumpah palsu atau tidak!
    Tujuan utama mereka bersumpah ini adalah untuk mengelakkan daripada orang kenal & boleh kesan kekufuran dalam hati mereka! 
    Kata ulama’ tadabbur : Antara akhlak munafiqin ialah mereka bersumpah bahawa mereka orang beriman dan mereka menggunakan sumpah palsu! 
    Sedangkan mereka kafir tulen, tiada iman lansung dalam hati mereka.
    Ini adalah nifaq iktiqadi, munafiq secara iktiqad, iaitu yang betul-betul kafir, tiada iman lansung dalam hati mereka hanya berpura dan menzahirkan keimanan mereka! 
    Manakala satu lagi ialah munafiq amali iaitu dari segi sifat seperti munafiq sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang menyebut beberapa sifat atau ciri-ciri munafiq! 
    Munafiq ini berlegar di kalangan kita, kita minta perlindungan dari Allah SWT!
    i- Sabda Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

    ii- Hadis kedua, sabda Nabi SAW:
    أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
    Ertinya: Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen. Jika ia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai ia meninggalkan perilaku tersebut, yaitu: jika diberi amanat, khianat; jika berbicara, dusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi; jika berselisih, dia akan berbuat zalim. [HR Muslim].

    iii- Nabi SAW juga bersabda: أخْوَفُ ما أخافُ على أُمَّتِي كلُّ مُنافِقٍ علِيمِ اللسانِ الراوي: عمر بن الخطاب • الألباني، صحيح الجامع (٢٣٩) • صحيح
    Maksudnya: Apa yang aku takut menimpa ke atas umatku ini ialah semua (kejahatan) puak munafiq yang lidahnya manis. [HR Ahmad].

    Yakni munafiq ini lidahnya manis, bijak bercakap & petah berhujjah!
    Maka kita hati-hatilah jangan terperangkap dengan sifat buruk yang tidak baik ini!
  1. Faedah yang keempat : 

    Kesimpulan daripada ayat-ayat yang kita baca ini:
    Sifat munafiq itu terkumpul padanya semua keburukan dunia & keburukan Akhirat. 
    Ia juga membatalkan segala perbuatan baik yang dia buat, di dunia atau di Akhirat tidak memberi pahala & manfaat lansung kepadanya! 
    Allah SWT mendedahkan tembelang munafiq yang dahsyat ini serta Allah ceritakan secara detail perangai buruk mereka, perkataan & tindakan jahat mereka!
    Kita orang beriman kena jauhkan diri dari segala sifat munafiq ini dan sentiasa berdoa dengan doa yang diajar oleh Nabi SAW ini:
    اللهمَّ طهِّرْ قَلْبِي مِنَ النفاقِ، وعملِي منَ الرياءِ، ولِسانِي منَ الكذبِ، وعيني منَ الخيانةِ، فإِنَّكَ تَعْلَمُ خائِنَةَ الأعينِ وما تُخْفِي الصدورُ. الراوي: أم معبد عاتكة بنت خالد الخزاعية • الألباني، ضعيف الجامع (١٢٠٩) • ضعيف • أخرجه أبو نعيم في ((معرفة الصحابة)) (٨٠٤٠) باختلاف يسير، والبيهقي في ((الدعوات . الكبير)) (٢٥٨)، والديلمي في ((الفردوس)) (١٩٥٣) واللفظ لهما
    Bermaksud: “Ya Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, {bersihkanlah} amalku dari riya, {bersihkanlah} lisanku dari dusta, {bersihkanlah} mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.” [HR. Hakim (2/227 -Sanadnya Dhaif].

    Atas dunia ini munafiqlah spesis manusia yang paling jahat dan dahsyat!
  1. Ayat 57- {Kalau mereka dapat tempat perlindungan, atau gua-gua, atau lubang-lubang dalam tanah, nescaya mereka segera menuju ke arahnya serta melompat masuk ke dalamnya.}-

    Allah nyatakan bahawa jika orang munafiq jumpa tempat persembunyian seperti lubang-lubang atau gua-gua yang tersembunyi; mereka akan lari kerana takut kepada orang mukmin!
    Allah gambarkan tempat persembunyian itu sebagai: {مَلْجَـًٔا أَوْ مَغَـٰرَٰتٍ أَوْ مُدَّخَلًۭا} iaitu: {tempat perlindungan, atau gua-gua, atau lubang-lubang dalam tanah}.

    Kata ulama’ tadabbur : Betapa dalam ayat ini Allah sifatkan secara mendalam & gambarkan satu gambaran yang jelas untuk mata kita, betapa benci & memusuhinya munafiq itu terhadap orang beriman sehingga mereka sanggup masuk ke segala lubang untuk lari bersembunyi, tujuannya tidak mahu berjumpa dengan orang Islam! 
    Kita hari ini pun berhati-hatilah kerana sifat munafiq ini tidak jauh, duduk berlegar disekeliling kita sahaja!
    Munafiq iktiqadi insya’ Allah kita selamat darinya!
    Tetapi yang paling kita bimbangnya ialah munafiq amali, kerana jarang nak jumpa orang yang jujur dan amanah dalam dunia ini!

    Contoh paling jelas:
    Tipu bawa jemaah haji tanpa visa yang sah.
    Ia juga sukar untuk kita dijauhi & dielakkan kerana ia berlegar tak jauh dari kita! 
    Namun begitu kita tetap berusaha untuk menjadi orang yang baik agar aman di dunia & selamat di Akhirat!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top