View Categories

(25) Surah At-Taubah: Ayat 58-59

12 min read

MUNAFIQIN MENCELA NABI SAW, ISU MENGAMBIL DAN MEMBAHAGI SEDEQAH & KENA REDHA DENGAN PEMBAHAGIAN.

Full video : https://youtu.be/A58zXMfaBxM?si=e60EEa3aaWxK-1SV

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 58 dan 59 dalam juz kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa munafiqin mencela, memerli {يَلْمِزُكَ} Nabi SAW, dalam isu mengambil zakat yang dianggap sebagai cukai bagi mereka.
  1. Mereka juga memerli Nabi SAW dan tidak puas hati dalam bab membahagi sedeqah/zakat juga! 
    Jika mereka dapat gembira & puji, jika tak tak dapat, perli & keji! 
  1. Allah SWT kata jikalah mereka redha dengan pembahagian itu pastilah lebih baik bagi mereka dan mereka akan berpuas hati dengan Allah & Rasul-Nya. 
    Tetapi apakan daya mereka adalah orang yang tidak beriman!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang munafiqin yang cuba melarikan diri daripada orang beriman hatta jika boleh masuk ke dalam kubu atau lubang. 
    Ini kerana mereka takut bertemu dengan orang beriman.

    ii- Ayat ini mendedahkan satu lagi perangai buruk golongan munafiq, iaitu kerana Nabi SAW mengambil zakat daripada orang kaya & membahagikannya kepada golongan miskin!
    Mereka mencela Nabi SAW kononnya tidak berlaku adil!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 58- {DAN DI ANTARA MEREKA ADA YANG MENCELAMU (WAHAI MUHAMMAD) MENGENAI (PEMBAHAGIAN) SEDEKAH-SEDEKAH (ZAKAT); OLEH ITU JIKA MEREKA DIBERIKAN SEBAHAGIAN DARIPADANYA (MENURUT KEHENDAK MEREKA), MEREKA SUKA (DAN MEMANDANGNYA ADIL); DAN JIKA MEREKA TIDAK DIBERIKAN DARI ZAKAT ITU (MENURUT KEHENDAKNYA), (MAKA) DENGAN SERTA MERTA MEREKA MARAH.} (AT-TAUBAH 9:58)

  1. Allah nyatakan ada di antara golongan munafiqin itu yang mencela & mengkritik Nabi SAW dalam bab pembahagian zakat & sedekah. 
    Mereka mengutuk, mengkritik & menuduh Nabi SAW tidak berlaku adil!
  1. Kisah tentang isu ini yang mendedahkan perangai buruk munafiqin: 
    Hadis riwayat Abu Said al-Khudri : 
    Ketika kami bersama Nabi SAW yang sedang membahagikan harta ghanimah datang seorang lelaki dari Bani Tamim bernama Zul Khuwaisirah menemui Rasulullah SAW.
    Dengan biadab si Khuwaisirah berkata kepada Nabi SAW: يَا رَسُولَ اللَّهِ اعْدِلْ ، “Wahai Rasulullah, berlaku adillah!”
    Jawab Nabi SAW:
    وَيْلَكَ ! وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ ؟! قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ
    “Celakalah engkau! Siapa lagi yang mungkin berlaku adil kalau bukan aku? Sungguh celaka dan rugilah engkau kalau aku tidak dapat berbuat adil.” Mendengar ayat kurang ajar Zul Khuwaisirah tersebut, Sayyidina Umar al-Faruq RA pantas mengusulkan khidmat buat Rasulullah SAW: يَا رَسُولَ اللَّهِ ائْذَنْ لِي فِيهِ فَأَضْرِبَ عُنُقَهُ “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku, biar aku penggal lehernya.” Tawaran Sayyidina Umar RA ditolak baik oleh Rasulullah SAW.
    Sabda Baginda SAW: دَعْهُ فَإِنَّ لَهُ أَصْحَابًا يَحْقِرُ أَحَدُكُمْ صَلَاتَهُ مَعَ صَلَاتِهِمْ وَصِيَامَهُ مَعَ صِيَامِهِمْ
    “Tinggalkanlah dia (kerana dia mengaku beriman). Sesungguhnya dia mempunyai pengikut, solat kalian akan kelihatan remeh jika dibandingkan solat mereka. Begitu pula puasa kalian dibandingkan puasa mereka….”
    (Muttafaq ‘alaih)
  1. Ulama’ berselisih pendapat apakah kisah ini menjadi sabab nuzul ayat 58 ini:
    i- Hadis ini sahih tetapi tidak disebut dalam riwayat Bukhari bahawa ia adalah sebab nuzul ayat ini. 
    Maka ulama’ kata : Tidak elok untuk sandarkan kepadanya.

    ii- Ada ulama’ yang kata : Ayat ini turun ketika Nabi SAW membahagikan harta ghanimah Hunain di Ja’ranah dan yang menentangnya adalah Zul Khuwaisirah ini.

    iii- Apapun yang pastinya ayat ini Allah SWT turunkan untuk menyatakan sifat jahat para munafiq yang tak setuju dengan pembahagian harta oleh Nabi SAW lalu membuat celaan & tuduhan jahat terhadap Nabi SAW. 
    Kita minta jauh daripada sifat jahat & tidak beradab kepada Rasulullah SAW begini!
    Mengkritik & menuduh Baginda secara tidak adil & tidak berasas.
  1. Ramai dari kalangan ahli tafsir mengatakan : Ayat ini turun kepada Zul Khuwaisirah, yang nama asalnya adalah Hurqus bin Zuhair at-Tamimi, dari bani Tamim. 
    Dia adalah kepala bagi munafiq dari Madinah, yang tidak puas hati dengan cara Nabi SAW membahagikan harta rampasan perang Hunain di Ja’ranah.
    Lalau menuduh Baginda SAW sebagai tidak adil! 
  1. Begitulah perangai munafiqin, mereka ini ada-ada saja mencari salah Nabi SAW., membuat tuduhan dan menimbulkan syubhah & keraguan di kalangan umat Islam. 
    i- Jika diberikan bahagian yang banyak untuk mereka- mereka akan gembira dan redha, terus puji Muhammad SAW adil & baik! 

    ii- Tetapi jika tak dapat bahagian yang mereka mahu, terus mereka marah & mengutuk mencela Nabi SAW, mendakwanya tidak adil & pilih kasih! 
  1. Begitulah perangai orang yang tak dapat apa yang dia nak! 
    Sama saja dengan keadaan manusia hari ini, jika tak dapat pangkat jawatan yang dia nak akan terus lompat!
    Kita tak usahlah sibuk & mengarut, kita ikutlah apa yang telah ditetapkan Allah & Rasulullah SAW.

AYAT 59- {DAN (AMATLAH BAIKNYA) KALAU MEREKA BERPUAS HATI DENGAN APA YANG DIBERIKAN OLEH ALLAH DAN RASULNYA KEPADA MEREKA, SAMBIL MEREKA BERKATA: “CUKUPLAH ALLAH BAGI KAMI; ALLAH AKAN MEMBERI KEPADA KAMI DARI LIMPAH KURNIANYA, DEMIKIAN JUGA RASULNYA; SESUNGGUHNYA KAMI SENTIASA BERHARAP KEPADA ALLAH”} (AT-TAUBAH 9:59)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan keadaan munafiqin yang buruk perangai, jahat sifatnya, yang atas dunia hidup dalam stress & tak puas hati, cari perkara yang menyusahkan lalu kritik dan mencela! 
    Manakala di Akhirat kelak akan binasa & mendapat azab yang pedih! 

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan pula bimbingan & nasihat; inilah perbuatan terbaik yang patut kamu buat.
  1. Iaitu jika puak munafiqin itu berpada dengan apa yang diberi Allah SWT & redha dengan apa yang telah dibahagikan oleh Nabi SAW maka akan tenang & tidak serabut hidup mereka. 
    Jika tak puas hati boleh tanya Nabi SAW dengan baik apakah hikmahnya tanpa perlu mencela & buat tuduhan dengan tidak beradab.
  1. Kisah pembahagian harta Hunain ini boleh dibaca lebih lanjut dalam buku: 
    Makkah, Kelebihan & Sejarah: https://dartaibah.com/…/NEW-Makkah-Kelebihan-&-Sejarah…
  1. Kisah ini amat menyayat hati & menyedihkan, Nabi SAW menunjukkan kebijaksanaannya dengan terus menangani isu & menyelesaikan masalah yang timbul ini sehingga mereka kaum Ansar yang tidak puas hati tadi insaf & redha dengan keputusan Nabi SAW sehingga mereka tenag & gembira.
  1. Kerana itulah Allah berfirman:
    {{Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya..}-
    yakni Nabi SAW ada hikmah & kebijaksanaannya, tak perlu kamu pertikaikan dan buruk sangka.
    Sepatutnya kamu redha & berkata: {Cukuplah Allah bagi kami}- jangan dok berdengki dengan orang lain, maka Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurnia-Nya, demikian juga Nabi SAW akan membahagi apa yang sepatutnya!
  1. Iaitu mereka orang Madinah (Muhajirin & Ansar) telah mendapat harta rampasan dari yahudi Khaibar yang begitu banyak sebelum itu, janganlah jadi orang yang tak bersyukur; harta Khaibar belum habis lagi mahu yang di Hunain pula dengan banyak. 
    Janganlah kamu tamak & dengki kepada bahagian orang lain yang Nabi SAW beri! 
  1. Sepatutnya mereka juga berkata: {Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”}- iaitu kita harapkan rahmat Allah, keampunan Allah & kasih sayang Allah; maka pada ketika itu tidak akan ada apa-apa masalah.
  1. Begitulah jika mereka dapat buat 4 perkara ini, merekalah orang baik & soleh! 
    Tetapi apakan daya munafiqin mengamuk tak puas hati kerana ghanimah tak dapat kepada mereka, dapat kepada orang lain, lompat sana sini, maka akhirnya munafiqin kecewa & kecundang kerana tidak dapat apa yang bernilai kepada mereka kecuali kritikan komen & perasaan tak puas hati!
  1. Satu kisah menarik, doa minta dilepaskan hutang:
    Suatu hari, seorang hamba mukatab (yang boleh menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) datang bertemu dengan Saidina Ali bin Abu Talib RA.
    Hamba ini berkata kepada Ali: Sesungguhnya aku tidak mampu untuk membayar tebusan kepada tuan aku.
    Ali RA berkata: Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, jika engkau sebutkannya, jika engkau mempunyai hutang sebesar bukit THABIR maka Allah akan menunaikan hutang tersebut bagi kamu.
    Katakanlah: 
    ، اللهم اكفني بحلالك عن حرامك، وأغنني بفضلك عمن سواك
    Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.
    [Sunan at-Tirmizi, Hadis Hasan Gharib]

    Bukit Thabir terletak di Mina, jika menghadap ke Makkah, di sebelah kanan kita adalah bukit yang dinamakan sebagai Tsabir.
    Bukit ini sangat besar, memanjang sehingga ke hujung Mina.
    Ada juga pendapat yang kata bukit Soir ia berada di Yaman.
  1. Begitulah jika berpada dan rasa cukup dengan apa yang Allah beri kita akan tenang & aman.
    Ini tidak, asyiq tamak je, akhirnya timbullah sifat hasad & dengki yang boleh membawa kepada kebinasaan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 58- {Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat);..}-

    Allah ceritakan terdapat sebahagian munafiqin yang memerli & mencela Nabi SAW dalam bab sedekah & pembahagian harta.
    Kata ulama’: 
    i- Sesiapa yang dalam hidupnya gilakan dunia, tamak nakkan dunia, hasad dengki kepada orang; akhirnya dia akan jadi munafiq dalam agamanya! 
    Bahaya kerana sanggup lakukan apa saja untuk mendapat harta & kedudukan seperti menjatuhkan orang & makan rezeki haram.

    ii- Manakala sesiapa yang mencari harta dunia sekadar yang diizinkan Allah (cari halal sahaja bukan yang haram), cari harta untuk kegunaan bagi kepentingan agama seperti dakwah, jihad, infaq dan seumpamanya; maka inilah jalan yang benar, daripada pintu inilah kita akan menemui redha Allah SWT!

    Kata-kata hikmah Imam al-Hasan al-Basri: Kenapa kita nak dengki kepada orang yang dapat harta atau nikmat yang banyak dari Allah:
    i- Jika dia orang soleh yang diberikan harta yang banyak; maka Allah nak beri peluang kepadanya untuk menambahkan amal soleh dengan infaq, jihad fi-sabilillah dan seumpamanya!

    ii- Tetapi jika orang tak baik, tak soleh dapat harta banyak, itu kerana Allah nak azab & susahkan dia semasa di dunia lagi! 
    Nampak senang di dunia tetapi azab di Akhirat kelak!
    Kata-kata sentap : Kenapa kita sibuk nak dengki dengan orang walau bagaimana keadaannya sekalipun.
    Ayat ini menyatakan kepada kita bahawa orang mukmin mesti bersifat qana’ah, berpada & syukur dengan apa yang direzekikan Allah kepadanya.
  1. Ayat 58- {Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat);..}-

    Tidak sepatutnya orang beriman, menjadikan ketenangan & kedamaiannya ikut hawa nafsu semata-mata. 
    Kita kena kembali kepada aqidah tauhid tentang qadha’ & qadar. 
    Kita dah tahu tentang ketentuan yang Allah SWT berikan kepada orang itu orang ini, maka kita jangan hasad dengki & pertikaikannya. 
    Sebagaimana kisah Zu Khuwaisirah dalam hadis Nabi SAW di atas tadi yang menyuruh nabi SAW berlaku adil!
    Kita kena belajar tentang ilmu Sirah Nabi SAW, banyak ilmu & pengajaran yang kita boleh ambil.
    Ayat ini menunjukkan betapa buruknya perangai munafiqin yang mencela Nabi SAW kerana mereka tak dapat harta!
  1. Ayat 58- {… oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah.}-

    Puak munafiqin ini jika Nabi SAW beri mereka harta mereka akan redha {رَضُوا۟} & jika tak dapat harta mereka akan marah {يَسْخَطُونَ}.
    Dalam ayat ini dapat dilihat perbezaan antara dua sifat ini iaitu:
    i- Untuk perkataan redha {رَضُوا۟} Allah gunakan sighah madhi- ماضي (past tense)

    ii- Manakala untuk perkataan marah {يَسْخَطُونَ} Allah gunakan sighah mudari’ – مضارع (present tense). 
    Kenapa berbeza begitu???

    Jawapannya kata ulama’ :
    i- Untuk menunjukkan bahawa sifat redha munafiqin itu hanya sementara; Dia suka & redha hanya ketika dapat barang atau perkara yang dia nak itu saja! 
    Redha itu hanya sekejap, selepas itu akan kembali marah & tak puas hati jika tak dapat apa yang nak!

    ii- Manakala perasaan marah & benci mereka kepada Nabi SAW & Islam adalah berterusan dan selamanya, tidak putus atau terhenti!
    Ayat ini sekaligus menunjukkan juga bahawa sesiapa yang hina Nabi SAW; dia termasuk dalam golongan munafiqin, tidak kira dia mengaku atau tidak!
    Jangan sesekali kita terperangkap dengan perangai puak ini, jika bagi suka, tak bagi mengamuk!
  1. Ayat 59- {Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka…}-

    Allah nyatakan bahawa jika mereka redha & berasa mencukupi dengan apa yang diberikan Allah & Rasulullah SAW, pastilah kehidupannya akan menjadi tenang & menjadi manusia yang baik! 
    Ini kerana apabila kita beragama kita mesti yakin dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW.
    Kerana itu dalam ayat ini Allah kata, {dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya}- sedangkan semuanya, hukuman atau nikmat rezeki semua dari Allah SWT; tetapi kerana rasul itu wasitah, sebagai perantara antara kita & Allah dalam menyampaikan ilmu, rezeki dan lain-lain, Rasul adalah utusan Allah SWT & juru bahagi, maka Allah kata: Allah beri & Rasul juga beri! 
    Sepertimana orang besar atau boss hantar wakilnya untuk menyampaikan bantuan atau membahagikan sumbangan kepada penerima. 
    Maka begitulah juga agama ini milik Allah semata-mata, kita manusia ini hanya tukang penyampai!

    Maka kata ulama’ : Adab baik jiwa & baik lidah, kita beriman dengan apa yang ditetapkan Allah SWT, bukan seperti orang munafiq tidak boleh menerima ketetapan ini!
  1. Ayat 59- {Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka,..}-

    Jika mereka redha dengan ketetapan yang Allah beri, itu amatlah baik untuk mereka!
    Kata ulama’ tadabbur: Redha itu ada 4 martabat atau tahap:
    i- Dia redha dengan apa yang Allah beri & Nabi SAW beri. 
    Ini kerana Nabi SAW akan sampaikan ikut wahyu yang Allah berikan. 
    Semua hukum & undang-undang Allah ada hikmahnya, tiada yang sia-sia, maka kita kena redha & yakin baru iman kita mantap!

    ii- Apabila redha dengan perkara yang kita dapat, kena zahirkan dengan lidah kita, apabila dapat apa-apa nikmat, biar berbunyi mulut itu, alhamdulillah, syukur, hasbunallah dan seumpamanya.

    iii- Kita kena ada harapan yang positif, jika kali ini kita dapat sedikit, kita tetap bersyukur sambil berharap Allah akan beri lagi selepas ini & akan menambahnya! 
    Jika tak dapat di dunia ini kita tetap yakin akan dapat di Akhirat kelak. 
    Dunia ini hanya sementara & tempat meninggal!

    iv- Setiap yang kita buat dalam perjuangan ini adalah kerana nak keredhaan Allah, maka jika dapat harta atau habuan yang sedikit kena terima dengan syukur & redha. 
    Yakni walaupun dapat habuan & pulangan yang sedikit, kita tetap redha kerana kita berjuang ikhlas kerana Allah bukan berjuang kerana nak cari projek! 
    Jika dapat alhamdulillah jika tak dapat pun alhamdulillah; jika tidak, kita tidak akan ikhlas dan tidak akan puas hati selalu.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top