KENALI 8 KATEGORI ASNAF, KUMPULAN YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT.
Full video : https://youtu.be/A58zXMfaBxM?si=AV9E9CcIJklLVrEZ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 60 dalam juz kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT ajar untuk kenali 8 kategori asnaf, iaitu kumpulan yang berhak menerima zakat.
- Kemudian kita akan lihat juga kepada hikmah bagi:
i- Penerima zakat, untuk menolong mereka keluar dari kemiskinan.
ii- Juga hikmah bagi pengeluar zakat juga, supaya bersih daripada sifat bakhil dan menjadi pemurah walaupun dengan terpaksa.
- Zakat bertujuan untuk menoktahkan kemiskinan faqir miskin juga lain-lain keperluan dalam masyarakat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang golongan munafiqin yang memerli & komen Nabi SAW dalam bab pembahagian harta & sedekah.
Jika mereka dapat mereka gembira & suka, jika mereka tak dapat mereka akan bising, tak puas hati & memburukkan Nabi SAW.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan ini 8 kategori penerima zakat; kamu tak perlu cakap banyak lagi, jika bukan dari golongan ini maka jangan berharap lagi!
- Munasabah kedua:
i- Kebanyakan golongan munafiq ini adalah golongan yang kaya, tetapi mereka masih lagi tamak nakkan harta zakat & harta sedekah!
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan dengan jelas, siapakah yang berhak menerima sedekah itu.
Orang kaya jangan terhegeh-hegeh lagi berangan mengharapkan harta zakat, jika mereka tidak ada dalam golongan asnaf ini maka tidak ada harapan lagi untuk mereka dapat bahagian!
Mereka tak perlu bermuka lagi dengan solat di belakang Nabi SAW untuk dapat habuan!
Serta Allah nyatakan bahawa semua itu adalah ketetapan dari Allah, bukan Nabi SAW yang buat ketentuan itu, Baginda SAW hanya tolong membahagikannya, yang menurut perintah Allah!
Maka jangan komplen dan mengata kepada Nabi SAW, ayat ini nak tutup mulut mereka!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 60- {SESUNGGUHNYA SEDEKAH-SEDEKAH (ZAKAT) ITU HANYALAH UNTUK ORANG-ORANG FAKIR, DAN ORANG-ORANG MISKIN, DAN AMIL-AMIL YANG MENGURUSNYA, DAN ORANG-ORANG MUALLAF YANG DIJINAKKAN HATINYA, DAN UNTUK HAMBA-HAMBA YANG HENDAK MEMERDEKAKAN DIRINYA, DAN ORANG-ORANG YANG BERHUTANG, DAN UNTUK (DIBELANJAKAN PADA) JALAN ALLAH, DAN ORANG-ORANG MUSAFIR (YANG KEPUTUSAN) DALAM PERJALANAN.} (AT-TAUBAH 9:60)
- Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan siapakah golongan (asnaf) yang berhak menerima harta sedekah yakni zakat.
Sepakat ulama’ bahawa sedekah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah zakat!
- Iaitu terdapat 8 asnaf yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sendiri!
Lapan golongan ini adalah:
i- Orang-orang fakir,
ii- Dan orang-orang miskin,
iii- Dan amil-amil yang mengurusnya.
iv- Dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya.
v- Dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya,
vi–Dan orang-orang yang berhutang,
vii- Dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah,
viii- Dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.
- Penjelasan secara ringkas tentang siapakah mereka golongan asnaf ini:
i- Orang-orang fakir
ii- Dan orang-orang miskin {لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ}:
Pastilah ada perbezaannya kerana Allah SWT tidak akan menyebut atau mengulang benda sama dua kali!
Ulama’ berbahas apakah perbezaan makna antara faqir & miskin.
Kebanyakan ulama’ pakar bahasa sepakat bahawa:
i- Faqir lebih teruk & lebih miskin daripada orang miskin.
Mereka tidak ada pendapatan lansung atau terlalu lemah untuk berkerja, sakit atau cacat.
ii- Orang miskin dia ada kerja & pendapatan, tetapi yang masuk masih tidak dapat memenuhi keperluan & nafkahnya!
- Dalil yang membezakan antara faqir & miskin ini ialah, firman Allah SWT:
{Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut;…} (Al-Kahfi 18:79)
- Hadis Nabi SAW:
Dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW. bersabda: “Yang dinamakan orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang sesuap dua suap, atau sebutir dua butir kurma.”
Tanya para sahabat, “Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?” Jawab beliau, “Orang miskin sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutup keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini.” [HR Bukhari & Muslim].
Kelebihan sedekah kepada mereka yang miskin tetapi tidak meminta-minta & menunjukkan kemiskinan.
- Hadis sabda Nabi SAW: لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِیٍّ وَ لَا لِذِی مِرَّةٍ سَوِيٍّ
Bermaksud: “Tidak halal zakat bagi orang kaya dan orang yang kuat dan sihat.” [HR Ahmad].
iii- Hadis 2 orang datang berjumpa Nabi SAW untuk minta sedekah (zakat).
Nabi SAW memerhati mereka dan dapati mereka sihat lalu bersabda:
“Tidak ada hak zakat untuk orang kaya, mahu pun orang yang masih kuat bekerja.” [HR Imam an- Nasa’i dan Abu Daud]
- Golongan ketiga:
iii- Dan amil-amil yang mengurusnya {وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا}- iaitu petugas & pegawai yang menguruskan zakat.
Itulah kerja mereka, tiada kerja lain, cari mereka adalah cari zakat dari orang kaya & cari orang miskin, asnaf untuk diberikan zakat!
Seperti para pekerja di PPZ / Pejabat Zakat di negara kita hari ini atau di mana saja!
Kata ulama’ juga : Jika mereka kaya sekalipun berhak ambil zakat itu sebagai upah atau elaunnya ikut keperluan & pihak pemerintah kena nilaikan berapakah kadar yang boleh diambil!
Ulama’ berbeza pandangan kadarnya, ada yang kata 1/8, ada kata ikut keperluan.
Ibnu Jarir kata : Ikut keperluan dan balik kepada uruf dan pemerintah untuk menilainya!
- Golongan keempat:
iv- Dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya {وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ}.
Siapakah muallaf ini, orang yang dijinakkan hatinya untuk masuk Islam, atau orang bukan Islam yang ada ada potensi untuk masuk Islam & membawa pengaruhnya!
Jika tidak, tak perlu beri zakat kepada mereka.
- Kata Ibnu Kathir RHM : Maksud muallaf {orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya} ini banyak kategorinya:
i- Sudah jinak hatinya untuk memeluk Islam tetapi belum yakin, maka dengan diberi sedikit harta ini mungkin boleh menariknya terus tanpa ragu.
Seperti yang Nabi SAW buat kepada Safwan bin Umayyah, Nabi berikan kepadanya harta ghanimah dari perang Hunain walaupun dia masih musyrikin pada waktu itu sehinggalah terbuka hatinya memeluk Islam.
ii- Diberi kepada orang yang baru memeluk Islam supaya bertambah mantap & solid Islam.
Sebagaimana Nabi SAW beri kepada beberapa orang pembesar Quraisy yang masuk Islam semasa Pembukaan Kota Makkah.
iii- Diberi kepada orang baru masuk Islam supaya dapat menarik perhatian kawan-kawannya yang belum Islam.
Supaya mereka berasa tertarik juga.
iv- Ada juga yang diberi harta sebagai pemungut zakat atau sebagai penjaga sempadan orang Islam agar mereka ini tidak buat kacau atau belot.
Hadis riwayat Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku beri zakat kepada ketua quraisy agar jinak hati mereka dan lekat kepada Islam.” [HR
- Golongan kelima:
v- Dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya {وَفِى ٱلرِّقَابِ}, kerana kita pada hari ini sudah tidak ada hamba yang sah seperti zaman dahulu, maka para ulama’ berbincang untuk meluaskan skop makna perhambaan ini.
Contohnya seperti kita tolong bayar kontrak, tebus atau carikan kerja/modal bisnis lain kepada orang yang bekerja di kilang arak, pelacur yang menjadi tawanan dan seumpamanya.
Hadis dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: ثلاثةٌ حقٌّ على اللَّهِ عونُهُم: المُجاهدُ في سبيلِ اللَّهِ، والمُكاتِبُ الَّذي يريدُ الأداءَ، والنَّاكحُ الَّذي يريدُ العفا
“Tiga golongan yang wajib atas Allah menolong mereka:
i. Orang yang berjihad dijalan Allah;
ii. Seorang hamba mukatab (yang bekerja) ingin menebus dirinya;
iii. Orang yang menikah kerana ingin menjaga kehormatan dirinya.” [HR at-Tirmizi].
Yakni jika cari dana untuk tujuan ini insya’ Allah akan Allah beri!
- Golongan keenam:
vi- Dan orang-orang yang berhutang {وَٱلْغَـٰرِمِين}, iaitu orang yang berhutang untuk maslahat umat Islam, seperti habis duit untuk mendamaikan dua puak yang berkelahi!
Maka boleh diberi duit zakat untuk bayar hutang mereka itu, demi maslahat umum.
Bukan hutang pribadi seperti beli kereta, rumah dan lain-lain, jika tidak ramailah al-Gharimin atas dunia ini.
- Hadis riwayat dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak halal meminta-minta kecuali untuk tiga golongan:
i. Seseorang yang menanggung hutang,
ii. Seseorang yang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya,
ii. Dan seseorang yang ditimpa kesusahan sehingga tiga orang yang berakal dari kaumnya mengatakan, ‘Si fulan telah ditimpa kesusahan’, maka halal baginya meminta-minta sehingga dia mendapatkan apa yang mencukupi untuk kehidupannya.” [HR Muslim].
- Golongan ketujuh:
vii- Dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah {وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ},- iaitu kita nafkah untuk membela agama Allah seperti kita beri belanja & bekalan kepada mujahidin untuk dia pergi berjuang, berjihad pada jalan Allah.
Kata Ibnu Asyur RHM : Fi-sabilillah {وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ} ini ialah jihad dan wasail, alat-alat untuk berjihad.
Skop jihad pada hari ini ialah luas, selain daripada berjuang di medan perang dengan senjata, termasuk juga fi-sabilillah ialah jihad melalui media, maka kita boleh guna duit zakat untuk belanja alat yang digunakan.
Termasuk untuk pusat pengajian Islam & Tahfiz, tetapi jangan terlalu mewah & salah gunanya, asrama pelajar dhaif tetapi rumah & kereta mudir besar lagi mewah!!
- Golongan kelapan:
viii- Dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan {وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ}.- Iaitu pengembara yang terputus bekalannya dalam perjalanan atau musafir itu, seperti duitnya hilang atau kena curi dan seumpamamanya.
Tidak kira orang miskin atau kaya, kita boleh berikan bantuan atau belanja untuk dia gunakan sehingga dia mampu pulang atau tiba ke destinasinya!
Seperti beli tiket bas, beri duit belanja sehingga dia dapat kembali mengambil duitnya dan lain-lain cara.
- Inilah lapan golongan asnaf yang berhak diberikan zakat kepada mereka!
AYAT 60- {(KETETAPAN HUKUM YANG DEMIKIAN ITU IALAH) SEBAGAI SATU KETETAPAN (YANG DATANGNYA) DARI ALLAH. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAUBAH 9:60)
- Dalam ayat ini Allah nyatakan semua ini adalah {فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ} ketetapan dari Allah!
Allah sendiri yang tetapkan kadar dan bahagian penerima zakat, Allah tak serahkan kepada Nabi atau malaikat!
Ini satu keputusan & ketetapan yang tidak dapat diperikaikan lagi!
- Kerana itu ayat ini pelik, dalam sibuk membincangkan tentang munafiqin, ia muncul ditengahnya.
Ini kerana Allah nak menyekat kerakusan & ketamakan puak munafiqin dalam harta Islam.
- Akhirnya Allah tutup ayat ini dengan menegaskan & mengingatkan bahawa
{وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ}:
i- Allah Maha Mengetahui- yakni apa maslahah & hikmah Allah berikan kepada 8 golongan ini, kamu jangan ragui & pertikaikan lagi pilihan ini!
ii- Lagi Maha Bijaksana- untuk menyusun atur peraturan & undang-undang untuk hamba-Nya.
Kita yakin dengan ilmu & kebijaksanaan Allah SWT. dalam segenap hukum & perundangan-Nya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 60- {Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil…}-
Sehingga akhir ayat.
Tentang kenapa ayat ini berada dicelah ayat yang membincangkan tentang sifat munafiqin,
Kata ulama’ tadabbur seperti Abu Hayyan:
Boleh jadi rahsia kenapa ayat zakat ini duduk dicelah ayat-ayat munafiqin ialah untuk mematahkan kerakusan & ketamakan puak munafiqin yang sentiasa cuba menonjolkan diri di hadapan Nabi SAW bagi mendapatkan bahagian daripada harta zakat & sedekah.
Sebagaimana kisah di Madinah pada suatu masa, apabila tiba harta zakat yang banyak pada waktu malamnya, pada waktu subuh esoknya penuh masjid dengan orang ramai yang telah mendengar tentang ketibaan harta itu.
Yakni bukan hanya ahli jemaah biasa, golongan yang jarang ke masjid seperti munafiqin pun datang.
Hadis lengkapnya:
عَنْ عَمْرو بْنِ عَوْفٍ الأَنْصَارِيِّ، أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ بَعَثَ أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الْجَرَّاحِ إِلَى الْبَحْرَيْنِ يَأْتِي بِجِزْيَتِهَا، فَقَدِمَ بِمَالٍ مِنَ الْبَحْرَيْنِ، فَسَمِعَتِ الأَنْصَارُ بِقُدُوْمِ أَبِي عُبَيْدَةَ، فَوَافَوْا صَلاَةَ الْفَجْرِ مَعَ رَسُوْلِ اللهِ، فَلَمَّا صَلَّى رَسُوْلُ اللهِ، اِنْصَرَفَ، فَتَعَرَّضُوْا لَهُ، فَتَبَسَّمَ رَسُوْلُ اللهِ حِيْنَ رَآهُمْ،
Dari ‘Amr bin ‘Auf Al-Ansari RA: Bahawa Rasulullah SAW telah mengutus Abu ‘Ubaidah Ibnul Jarrah RA ke negeri Bahrain untuk mengambil ufti (cukai) dari penduduknya (kerana kebanyakan mereka adalah Majusi pent).
Lalu dia kembali dari Bahrain dengan membawa harta.
Maka orang-orang Ansar mendengar kedatangan Abu ‘Ubaidah.
Lalu mereka bersegera menuju masjid untuk melaksanakan solat Subuh bersama Rasulullah SAW.
Ketika Rasulullah SAW selesai solat Baginda pun berpaling (menghadap ke arah mereka). Lalu mereka menampakkan keinginannya terhadap apa yang dibawa Abu ‘Ubaidah dalam keadaan mereka perlu kepadanya.
Maka Rasulullah SAW pun tersenyum ketika melihat mereka.
ثُمَّ قَالَ: ((أَظُنُّكُمْ سَمِعْتُمْ أَنَّ أَبَا عُبَيْدَةَ قَدِمَ بِشَيْءٍ مِنَ الْبَحْرَيْنِ)) فَقَالُوْا: أَجَل يَا رَسُوْلَ اللهِ، فَقَالَ: ((أَبْشِرُوْا وَأَمِّلُوْا مَا يَسُرُّكُمْ، فَوَاللهِ مَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنِّي أَخْشَى أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، فَتَنَافَسُوْهَا كَمَا تَنَافَسُوْهَا، فَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ))
Kemudian Baginda SAW bersabda: “Aku menduga kamu telah mendengar bahawa Abu ‘Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu (harta) dari Bahrain.” Maka mereka menjawab, “Tentu Ya Rasulullah.” Lalu Baginda SAW bersabda, “Bergembiralah dan harapkanlah apa-apa yang akan menyenangkan kamu. Maka demi Allah! Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu. Akan tetapi aku khuatir akan dibentangkan dunia atas kamu sebagaimana telah dibentangkan atas orang-orang sebelum kamu. Lalu kamu pun berlumba-lumba padanya sebagaimana mereka berlumba-lumba padanya. Kemudian dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana telah menghancurkan mereka.” [HR. Al-Bukhari no.3158 dan Muslim no.2961].
- Ayat 60- {Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil… }-
Sehingga akhir ayat.
Kata Syeikh Sufyan bin Uyainah : Kenapa dalam ayat ini Allah sebut untuk fi-sabilillah dengan lafaz {فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ} bagi harta sedekah zakat.
Sedangkan dalam ayat 41 Surah Al-Anfal untuk nak membahagikan harta ghanimah Allah kata bahagian untuk sabilillah adalah dengan lafaz: { فَأَنَّ لِلَّهِ -bagi Allah}:
Firman Allah: {Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah {فَأَنَّ لِلَّهِ}, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada “Hari Al-Furqaan”, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Anfaal 8:41)
Jawapan:
Ini kerana zakat adalah harta hampas, saki baki daki harta manusia, iaitu kena keluarkan untuk bersihkannya!
Yang mana pemiliknya tidak boleh guna dan orang yang kaya tidak boleh ambil zakat!
Kena beri kepada asnafnya & orang yang mencari-cari, meminta harta zakat adalah makruh kecuali mereka yang terdesak seperti faqir miskin, penghutang, musafir, hamba dan seumpamanya!
Kerana itu tidak sesuailah harta hampas ini dikatakan bagi Allah, nak serahkan kepada Allah!
Zakat itu tidak layak untuk Allah SWT dan berbeza dengan harta ghanimah.
Begitu juga kaum keluarga Nabi SAW (ahlul-bait) juga tidak boleh menerima zakat ini!
Hadis riwayat Abu Hurairah menyatakan bahawa : Hasan bin Ali (cucu kepada Nabi Muhammad SAW) mengambil sebiji kurma (tamar) daripada kurma sedekah lalu meletakkan ke dalam mulutnya. Maka Nabi SAW lantas berkata: “Kih!! Kih!! (ia merupakan perkataan dan isyarat kepada Saidina Hasan untuk mengeluarkannya daripada mulut) buangkannya, apa kamu tidak mengetahui, bahawasanya keturunan kita tidak makan harta sedekah (zakat).” (HR Bukhari, No. 1491)
Begitu juga harta zakat ini tidak boleh diberi kepada ibu bapa sendiri atau anak cucu sendiri juga!
Harta yang kamu tidak boleh makan, harta yang tidak boleh guna kamu nak beri kepada orang yang kamu sayang dan paling berjasa kepada kamu!
Allah pun tidak nisbahkan zakat kepada diri-Nya yang mulia!
- Ayat 60- {Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil….}-
Dalam ayat ini Allah gunakan susunan tertib guna dengan huruf wau (وَ) yang bermakna dan.
Dalam kaedah bahasa Arab- wau (dan), bukan bererti susunan ikut tertib pilihan seperti perkataan (ثم-kemudian).
Tetapi dalam ayat ini Allah susun ikut kepentingan asnaf, itu mereka yang paling memerlukannya!
Seperti faqir dan miskin sebagai golongan pertama yang mesti diberikan zakat untuk membantu kehidupan mereka!
Ketika Nabi SAW mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman, Baginda telah berpesan:
“Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang-orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin di kalangan mereka.” (HR Bukhari).
Kemudian zakat ini kena ada pekerja yang menguruskannya maka datanglah al-amilin sebagai golongan ketiga.
Kemudian kepada muallaf yang lembut hatinya kerana sangat penting untuk jinakkan hati mereka!
Selepas itu datang pula ar-riqab iaitu hamba yang nak membebaskan dirinya, kerana masalah itu amat berat pada zaman itu!
YANG keenam untuk orang yang habis harta kerana tujuan baik seperti nak mendamaikan orang!
Yang ketujuh untuk maslahah umum masyarakat Islam iaitu guna fi-sabilillah, kemudian yang terakhir barulan Ibnus-Sabil kerana ia jarang-jarang sekali berlaku!
Pada zaman kita zakat nampaknya lebih utama pergi kepada golongan yang ketiga iaitu amil zakat dan fi-sabilillah yang sudah diperluaskan sekali skopnya.
Tetapi jangan sampai golongan utama iaitu faqir & miskin terbiar.
Menjadi tanggungjawab al-amilin untuk menyampaikan nya kepada mereka!
Kena usahakan zakat-zakat yang ada kerana macamana nak noktahkan kemiskinan jika zakat ini tak sampai kepada orang miskin!
- Ayat 60- {Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil…}-
Daripada susunan ini sangat cantik susunan yang Allah buat.
Allah kata kamu yakin & percayalah jika Allah yang susun itu, pastilah penuh dengan hikmah & kebijaksanaan.
Ini kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana- maka pastilah Dia akan letak ditempat yang sesuai!
Satu keyakinan yang penting – Zakat ini sangat besar & tinggi kedudukannya dalam undang-undang Islam.
Allah kata ia adalah ketetapan dari Allah maka jangan kita dok pertikai atau main-main tentangnya!
Sama seperti faraidh, pembahagian harta pusaka, Allah kata: Allah yang jawab apabila manusia bertanya tentangnya!
- Faedah kelima- Beberapa hikmah zakat.
Syeikh ar- Razi dalam tafsirnya berkata ada 20 hikmah dalam bab zakat ini iaitu:
A) 12 hikmah untuk pemberi zakat:
i- Nak kikis cinta dunia dalam hati mereka, maka Allah paksa, kamu wajib keluarkan daripada 1/40 harta kamu kepada golongan miskin. Tak beri berdosa.
ii- Nak sekat dari kerakusan dunia, dunia ini ada hadnya tumpulah kepada Allah & Akhirat.
iii- Untuk kita berdepan dengan kerajusan dunia
iv- Untuk mendidik jiwa agar merasai & menjiwai kesusahan orang lain.
v- Supaya orang faqir & miskin sayang kepada orang kaya!
Rasa bersyukur & berterima-kasih.
Kerana itu digalakkan kita beri sendiri & nyatakan bahawa itu zakatnya.
vi- Zakat ini mengajar kepada kita bahawa kita perlu kepada orang miskin untuk beri zakat.
vii- Orang yang suka infaq akan disukai masyarakat.
viii- Kita belajar sifat para nabi yang pemurah; maka kita nak jadi pemurah juga kena keluarkan 1/40 daripada harta sebagai zakat!
ix- Nak sebarkan kebaikan kepada seluruh masyarakat.
x- Nak harmonikan masyarakat apabila kita tahu ada orang susah kita bantu!
xi- Zakat tanda syukur kepada Allah.
xii- Zakat membawa kasih sayang dalam masyarakat.
B) 8 faedah zakat kepada penerimanya pula:
i- Dapat selesaiakan keperluannya.
ii- Dengan sebab ada orang miskin, harta orang kaya tidak beku mesti bergerak.
iii- Harta ini sebenarnya milik Tuhan semuanya tetapi Allah beri kepada kaya & orang miskin boleh tumpang!
iv- Rahmat Allah merangkumi semua; orang kaya atau miskin,
v- Zakat menampung keperluan orang miskin yang tak mampu nak kerja.
vi- Boleh mengurangkan jenayah, orang miskin yang kita beri zakat dapat wang, boleh tutup pintu fitnah kepadanya.
vii- Faqir miskin kena ada sifat sabar, zakat ada hadnya jangan buat joli, guna untuk perkara yang baik-baik!
viii- Orang miskin juga kena bersifat syukur & berterima kasih kepada orang lain.
Jangan sombong, kena tawadhuk & hormat kepada orang insya’ Allah murah rezeki!
Bab zakat ini amat luas perbincangannya.
Cukupalah kita bincangkan secara ringkas dulu berdasarkan ayat yang mulia ini!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
