View Categories

(36) Surah At-Taubah: Ayat 83-85

15 min read

JANGAN BAWA MUNAFIQ PERGI BERJIHAD, DILARANG SOLAT KE ATAS MAYATNYA & JANGAN KAGUM DENGAN HARTANYA.

Full video : https://youtu.be/3qdSfgI1oPQ?si=omiZoBawl_rcJkFO

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 83 sehingga 85 dalam juz kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa munafiq jangan bawa pergi berjihad, ini kerana mereka telah menipu dan buat bermacam alasan tak mahu pergi semasa Perang Tabuk!
    Kerana ini mereka jika pergipun hanya akan jadi pengacau, menambah kekeliruan bukan beri bantuan!
  1. Kemudian jika mereka mati dilarang solat ke atas mayatnya kerana mereka kufur dengan Allah & Rasulullah SAW.
  1. Juga ingatan agar kamu jangan kagum dengan harta mereka yang banyak. 
    Allah bagi harta itu sebagai ujian & untuk menyusahkan mereka kerana mereka akan bakhil lalu susah hati tidak mahu zakat & infaq!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kehinaan puak munafiq & hinanya jalan yang mereka pilih!

    ii- Maka datang ayat ini Allah ajar agar jangan lagi kita beri muka kepada mereka & ada hubungan dengan mereka, kita putus terus jangan menaruh harapan lagi dengan mereka, jangan bubuh lagi dalam tentera Islam!

    Munasabah dua:
    iii- Mereka juga berkata dalam ayat lepas tak dapat ikut kerana musim terlalu panas & telah dijawab kepada mereka bahawa api neraka Jahannam itu lebih panas!

    iv- Maka datang ayat ini sebagai kecaman & celaan yang besar terhadap munafiqin, mereka tidak akan diterima masuk lagi dalam kekuatan tentera Islam! 
    Cukuplah sudah 5 tahun bersama untuk mengenal & menghadapi perangai munafiq ini semenjak dari perang Uhud lagi.

    Kita pun begitu juga, jika jelas-jelas orang itu menentang Islam, anti Islam kenapa kita nak berkawan lagi dengan mereka!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 83- {MAKA JIKA ALLAH MENGEMBALIKAN ENGKAU KEPADA SEGOLONGAN DARI MEREKA (ORANG-ORANG YANG MUNAFIK ITU DI MADINAH), KEMUDIAN MEREKA MEMINTA IZIN KEPADAMU UNTUK KELUAR (TURUT BERPERANG), MAKA KATAKANLAH: “KAMU TIDAK SEKALI-KALI AKAN KELUAR BERSAMA-SAMAKU SELAMA-LAMANYA, DAN KAMU TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMERANGI MUSUH BERSAMA-SAMAKU; SESUNGGUHNYA KAMU TELAH BERSETUJU TINGGAL PADA KALI YANG PERTAMA, OLEH ITU DUDUKLAH KAMU BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG TINGGAL”.} (AT-TAUBAH 9:83)

  1. Tajuk kita masih membincangkan tentang perangai & karenah munafiq. 
    Panjang & berliku sekali kisahnya munafiq ini bukan seperti kafir tulen. 
    Sebagaimana dalam Surah Al-Baqarah, Allah ceritakan tentang kafir tulen hanya dalam 3 ayat tetapi apabila masuk tajuk munafiq, berbelas-belas ayat- kerana susah nak kira, dengan kafir yang bersembunyi ini!
  1. Ayat ini menceritakan apabila Nabi SAW kembali semula ke Madinah dari Tabuk dan melihat puak munafiq yang tidak pergi, Baginda mendapati tidak ada apa-apa kesusahan, musim panas pun seperti biasa, mereka pun tidak kata hidup dalam kesukaran, bahkan sihat wal-afiat! 
  1. Kata ulama’ tafsir ayat ini bermaksud : Sekembalinya Nabi SAW dari Perang Tabuk, Baginda akan didatangi oleh kumpulan-kumpulan mereka yang tidak pergi, yang ditinggalkan {ٱلْمُخَلَّفُونَ} di Madinah dulu.
    Mereka datang bermuka-muka minta izin untuk pergi berperang pada masa akan datang.
  1. Maka jika selepas peristiwa Tabuk itu mereka meminta izin untuk keluar berperang dengan Nabi SAW & tentera Islam lain, Allah perintahkan Nabi untuk mengatakan kepada mereka sebagai satu tindakan & denda:
    “Kamu tidak sekali-kali akan keluar bersama-samaku selama-lamanya, dan kamu tidak sekali-kali akan memerangi musuh bersama-samaku!”
  1. Ayat ini adalah kata pemutus yakni walau apa yang terjadi mereka tidak akan dapat lagi ikut Nabi SAW keluar ke mana sekalipun apatah lagi menyertai peperangan bersama tentera Islam! 
    Walaupun musuh datang menyerang kamu duduklah di rumah kamu tidak perlu keluar berperang bersama tentera Islam. 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Orang-orang (munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi (mengepong musuh serta) mendapat harta rampasan perang: Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!” Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji Allah (yang menentukan hanya orang-orang yang turut hadir di Hudaibiyah sahaja yang berhak mendapat harta rampasan perang itu). Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi”. Mereka akan berkata pula: “(Bukan Tuhan yang melarang) bahkan kamu dengki kepada kami”, (apa yang mereka katakan itu tidaklah benar), bahkan mereka tidak faham kecuali sedikit sahaja; (mereka hanya faham tentang kehidupan dan kesenangan dunia semata-mata).} (Al-Fath 48:15)

    Tak perlu layan lagi mereka, beri kata putus mereka tidak akan dapat ikut Nabi SAW lagi!
  1. Permintaan mereka keluar berperang selepas itu tidak akan dilayan & diterima sama sekali kerana semasa dikerah oleh Nabi SAW dulu mereka menolaknya dan memberi pelbagai alasan karut dan tidak logik!
  1. Islam telah kuat dan umat Islam tidak perlu lagi sokongan kaum munafiq kerana dengan adanya mereka pun bukan memberi bantuan & kekuatan bahkan akan membawa bebanan dan kekacauan saja.
    Kita dalam perjuangan pilihlah juga siapa yang akan bersama kita, jangan jadi tong sampah kutip saja semua yang nak ikut. Ingat perjuangan kita ada prinsip, ada matlamat maka kena ada kualiti!
  1. Oleh kerana dulu kamu suka nak duduk bersenang-senang di rumah dengan pelbagai alasan; maka duduklah kamu di rumah bersama orang-orang lain yang tinggal & tidak pergi kerana keuzuran sebenar seperti orang sakit, orang tua, kanak-kanak, wanita & OKU!!

    Arahan ini sangat jelas iaitu cara melayani munafiqin sewaktu mereka masih hidup!

AYAT 84- {DAN JANGANLAH ENGKAU SEMBAHYANGKAN SEORANG PUN YANG MATI DARI ORANG-ORANG MUNAFIK ITU SELAMA-LAMANYA, DAN JANGANLAH ENGKAU BERADA DI (TEPI) KUBURNYA, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH KUFUR KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, DAN MEREKA MATI SEDANG MEREKA DALAM KEADAAN FASIK (DERHAKA).} (AT-TAUBAH 9:84)

  1. Ayat ini jelas sekali:
    i- Membawa hukum: Tak perlu solatkan jenazah mereka, tak perlu ikut pergi ke kubur serta jangan berdoa memohon keampunan bagi mereka! 

    ii- Serta Allah nyatakan sebabnya! 
    Kenapa dilarang semua itu; iaitu kerana mereka telah kufur kepada Allah & Rasulullah SAW serta mereka mati dalam keadaan fasiq.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah suruh Nabi SAW hina & jatuhkan golongan munafiq, jangan lunak dengan mereka, jangan bawa mereka pergi berperang.

    ii- Kemudian turun ayat ini jika mereka matipun jangan buat baik lagi kepada mereka iaitu dengan solat jenazah & iringi jenazah mereka ke kubur!!!
  1. Munasabah kedua:
    i- Dalam ayat lepas Allah larang Nabi SAW daripada istighfar & minta ampun kepada munafiq. 
    Tetapi Nabi SAW sangka masih ada pilihan lalu Baginda memilih untuk pergi solat kepada si munafiq.

    ii- Maka datang ayat ini arahan jelas untuk putuskan segala hubungan dari sudut agama, ketenteraan, sosial & tanggungjawab agama! 
  1. Sabab Nuzul ayat 84 ini: 
    Sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar RAnhuma bahawa:
    لَمّا تُوُفِّيَ عبدُ اللَّهِ بنُ أُبَيٍّ، جاءَ ابنُهُ عبدُ اللَّهِ بنُ عبدِ اللَّهِ إلى رَسولِ اللَّهِ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ فأعْطاهُ قَمِيصَهُ، وأَمَرَهُ أنْ يُكَفِّنَهُ فِيهِ، ثُمَّ قامَ يُصَلِّي عليه فأخَذَ عُمَرُ بنُ الخَطّابِ بثَوْبِهِ، فَقالَ: تُصَلِّي عليه وهو مُنافِقٌ، وقدْ نَهاكَ اللَّهُ أنْ تَسْتَغْفِرَ لهمْ؟ قالَ: إنَّما خَيَّرَنِي اللَّهُ – أوْ أخْبَرَنِي اللَّهُ – فَقالَ: ﴿اسْتَغْفِرْ لهمْ، أوْ لا تَسْتَغْفِرْ لهمْ، إنْ تَسْتَغْفِرْ لهمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لهمْ﴾ فَقالَ سَأَزِيدُهُ على سَبْعِينَ قالَ: فَصَلّى عليه رَسولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ وصَلَّيْنا معهُ، ثُمَّ أنْزَلَ اللَّهُ عليه: ﴿وَلا تُصَلِّ على أحَدٍ منهمْ ماتَ أبَدًا، ولا تَقُمْ على قَبْرِهِ إنَّهُمْ كَفَرُوا باللَّهِ ورَسولِهِ، وماتُوا وهُمْ فاسِقُونَ﴾
    الراوي: عبدالله بن عمر • البخاري، صحيح البخاري (٤٦٧٢) • [صحيح] • أخرجه مسلم (٢٤٠٠) باختلاف يسير
    Dari Ibnu ‘Umar RA katanya: “Ketika ‘Abdullah bin Ubay bin Salul mati, anaknya Abdullah bin Abdullah (bin Ubay) datang kepada Rasulullah SAW meminta jubah Baginda untuk kafan bapanya. Rasulullah memenuhi permintaan anaknya itu. Kemudian dimintanya pula supaya Rasulullah SAW menyolatkan jenazah bapanya. Ketika Baginda SAW berdiri hendak solat jenazah, maka ditarik baju Baginda oleh ‘Umar (bin Khattab) seraya berkata: “Ya, Rasulullah! Tuan akan solatkankah dia? Bukankah Allah telah melarang kamu dari menyolatkannya??” Jawab Baginda SAW: “Aku diberi pilihan oleh Allah Ta’ala untuk menyolatkan atau tidak. Lalu dibacanya ayat:
    {Kamu mohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja); sekalipun bagi mereka tujuh puluh kali.} (Taubah, 9:80). 
    Dan aku akan melebihi dari tujuh puluh kali.” Lalu Rasulullah SAW menyolatkannya dan kami turut solat bersamanya juga. Kemudian Allah Ta’ala menurunkan ayat ini: 
    {Dan sekali-kali janganlah kamu solatkan jenazah salah seorang mereka yang mati, dan jangan pula kamu berdiri di kuburnya..} (At Taubah, 9:84) 

    [HR bukhari & Muslim].

    Dalam riwayat lain ada sambungannya Sayyidina Umar berkata: Akupun hairan dari mana aku dapat keberanian untuk menegur dan melarang Rasulullah sawa pada waktu itu! 
    Begitulah Allah SWT bagi ilham kepada Umar untuk menegur Nabi SAW secara direct & lansung untuk menyedar & mencelikkan mata orang lain akan munafiq ini!
  1. Hadis: Daripada Abu Qatadah RA: Apabila Nabi diminta solat jenazah Baginda akan bertanya kepada para sahabat dahulu siapakah dia ini & apakah sifatnya! 
    Jika para sahabat mengakui keislaman dan kebaikan & bukan munafiq, Baginda lalu menyolatkannya. 
    Tetapi jika ada sesuatu yang meragukan Baginda tidak akan solat. [HR Ahmad].
  1. Kata Kathir RHM: Ini adalah hukum umum kepada orang yang dikenali sebagai munafiq & sesiapa saja yang diragui, maka jangan pergi!
    Tetapi jika tak tahu kena pergilah solat jenazah sebagai menunaikan haq terakhirnya sebagai sesama muslim!
  1. Allah membuat larangan kedua jelas juga iaitu, kamu jangan mengiringi jenazahnya ke kubur atau menziarahi kuburnya untuk istighfar. Jika pergi untuk ambil ibrah pengajaran & mengingati mati tidak mengapa!!
  1. Kemudian Allah nyatakan sebab larangan ini: Iaitu kerana mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati dalam keadaan mereka fasik, derhaka kepada Allah & Rasulullah SAW! 

AYAT 85- {DAN JANGANLAH ENGKAU TERTARIK HATI KEPADA HARTA BENDA DAN ANAK-ANAK MEREKA, (KERANA) SESUNGGUHNYA ALLAH HANYA HENDAK MENYEKSA MEREKA DENGANNYA DI DUNIA, DAN HENDAK MENJADIKAN NYAWA MEREKA TERCABUT SEDANG MEREKA DALAM KEADAAN KAFIR (UNTUK MENDAPAT AZAB AKHIRAT PULA).} (AT-TAUBAH 9:85)

  1. Allah berpesan agar kita orang Islam jangan kagum & tertarik hati dengan kesenangan & kekayaan yang puak kafir & munafiq dapat atas dunia ini!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut betapa jahatnya puak munafiq ini, masa hidup jahat, mati pun jahat. Sehingga dilarang untuk pergi solat jenazahnya!

    ii- Oleh kerana penampilan & kekayaan mereka yang hebat dan nampak mewah, Allah ingatkan orang mukmin agar jangan terpedaya & kagum dengan mereka, jangan berasa mereka hebat & beruntung. 
    Allah beri semua itu untuk menyusahkan hidup & hati mereka di dunia. 
    Orang yang ada banyak harta & ramai ini pasti susah juga untuk menjaganya. 
  1. Allah kata Dia sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia, yakni sebagai satu ujian kerana:
    i- Dengan harta yang banyak menjadikan mereka susah untuk mejaganya, sempit dada mereka kerana bakhil untuk mengeluarkan infaq apabila diminta.  

    ii- Anak keturunan yang ramai juga boleh menyusahkan mereka kerana mungkin akan sukar dijaga membawa masalah dan seumpamanya!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.} (Taha 20:131)
  1. Hadis: Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allah akan menceraiberaikan urusannya, menjadikan kefakiran di kedua kelopak matanya dan ia mendapat dunia hanya menurut apa yang telah ditetapkan baginya. Dan barang siapa yang tujuan niat hidupnya adalah akhirat, Allah akan mengumpulkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatangi dalam keadaan hina.” (HR Ahmad, Ibnu Majah dan lain-lain)
    Yakni orang yang tamakkan dunia, Allah jadikan rezekinya sempit & susah, manakala sesiapa yang tujuan utamanya adalah Akhirat maka dunia yang akan datang mencarinya. 
  1. Kemudian Allah jatuhkan hukuman iaitu Allah akan menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir; yakni mereka akan mati dalam keadaan kafir untuk mendapat azab akhirat pula!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 83- {Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan dari mereka (orang-orang yang munafik itu di Madinah), kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar (turut berperang), maka katakanlah…}-

    Allah nyatakan jika Nabi SAW kembali nanti puak munafiq akan datang berjumpa Baginda nak tunjuk baik & minta nak keluar berperang pula!
    Ayat ini kata ahli tadabbur seperti ar-Razi:
    Jika kita bersama orang yang zahirnya Islam tetapi kita dapat lihat & nampak perangai mereka, ada bibit-bibit & simpton perangai jahat bencikan Islam & orang Islam sama ada melalui percakapan, tulisan atau perbuatan, terus putuskan hubungan dengan mereka, jangan beri muka & tempat!

    Begitu juga kita hari ini, jika seseorang itu semasa ada jawatan & kuasa dia hina & kutuk Islam, sokong & toleransi mereka yang menentang & menolak Islam, jangan kita beri muka & berbaik dengan mereka apabila mereka hilang kuasa & lemah, cari sokongan! 
    Jangan kita jadi seperti pengutip kayu api pada waktu malam, semua yang nampak seolah seperti kayu kita kutip pungut! 
    Ingat Islam ada izzah kemuliannya, kita tidak perlu kepada orang sebegini!
    Sesiapa yang ada nampak ciri-ciri nifaq dalam diri mereka, tidak boleh lantik jadi ketua atau pemimpin, tidak boleh, jangan kita bawa masuk orang sebegini dalam jentera gerakan dakwah kita atau pasukan tentera kita; kerana teguran ayat ini jelas! 
    Kita belajarlah daripada sirah Nabi SAW, Baginda tak apalah ada wahyu dari Allah!
  1. Ayat 83- {… sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama,..}-

    Allah nyatakan sebab kita tak mahu ambil mereka kerana mereka telah ambil tindakan yang mengguriskan perasaan & kesatuan umat Islam dengan tidak mahu ikut berperang dengan pasukan Islam!
    Iaitu kerana mereka redha untuk tidak pergi, yakni mereka pilih sendiri, mereka yang beri alasan untuk tidak pergi kerana memang mereka tidak mahu pergi! 
    Kita kena tahu watak-watak orang yang jujur & tidak jujur.
    Jangan kita simpati & nak berlunak, tolong cari alasan dan keuzuran untuk mereka yang munafiq ini!
    Kita kena ingat perbuatan hina Islam ini perbuatan yang besar bukan kecil, kita kena ambil serius perkara ini! 
    Orang yang berat hati, berat tulang dalam perjuangan ini; jangan kita pula yang terhegeh-hegeh mencari mereka nak berkawan!
    Jika mereka datang cari kita pun jangan kita terima lagi mereka!

    Kata ulama’ orang yang buat tindakan ini kena lihat bahawa:
    i- Perbuatan mereka itu menolak kebenaran. Nabi ajak tak mahu pergi!

    ii- Jika buat pun dengan main-main! 
    Iaitu yang pergi pun bukan serius dan ikhlas mahu berjuang, bahkan buat keburukan dengan mencemuh menghina sana sini, memerli tak kena tempat. Menjatuhkan semangat dan kesatuan tentera Islam.
    Kerana itu Allah beri amaran keras menjatuhkan hukum, orang sebegini jangan kamu bawa lagi mereka keluar bersama kamu!!!
  1. Ayat 84- {Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya,…}-

    Jika kita kena pasti orang itu kafir atu munafiq jangan lagi kita solat jenazah ke atasnya!
    Serahkan kepada orang lain jika tidak pasti akan perkara itu!
    Ayat ini menjadi dalil haram solat jenazah ke atas puak kafir, ziarah atau pergi ke atas kuburnya untuk berdoa atau menghormati jenazah, tak perlu kecuali ada keperluan seperti ahli keluarga! 
    Yakni kesimpulannya jenazah kafir jangan solat & iringi jenazahnya ke kubur tetapi jenazah orang Islam kita kena solat & iringi jenazahnya dan akan mendapat pahala dua Qirat sebagaimana hadis Nabi SAW. 
    Ayat ini juga menjadi dalil bahawa orang mati mendapat manfaat jika orang pergi ke kubur mereka & berdoa minta ampun kepada mereka.
    Apabila Nabi SAW dilarang untuk ke kubur itu bermakna si mati akan mendapat manfaat dengan pemergian Nabi SAW ke kuburnya!
    Sebagaimana kisah seorang perempuan pencuci masjid yang diziarahi Nabi SAW. 

    Hadis riwayat daripada Abu Hurairah R.A:
    أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَ يَقُمُّ المَسْجِدَ فَمَاتَ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ، فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ – أَوْ قَالَ: قَبْرِهَا – فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا
    Maksudnya: “Ada seorang lelaki berkulit hitam atau perempuan berkulit hitam yang selalu menyapu (membersihkan) masjid meninggal dunia. Lalu Nabi SAW bertanya mengenainya. Mereka menjawab: ‘Dia telah meninggal dunia.’ Baginda SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memberitahuku. Tunjukkan kepadaku di mana kubur lelaki itu.’ – Atau Baginda bersabda: ‘Kubur perempuan itu.’ – Lalu Baginda SAW menziarahi kuburnya dan bersolat jenazah ke atasnya.” Kemudian Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya pekuburan ini penuh dengan kegelapan bagi para penghuninya dan sesungguhnya Allah meneranginya sebab solatku atas mereka. (Sahih Muslim No.1588)

    Maka kubur orang munafiq jangan kita pergi, tidak layak untuk kita ziarah & cerahkan kubur mereka dengan memohon keampunan & berdoa untuk mereka! 
    Tetapi ziarahilah kubur ahli keluarga & orang kita sayangi, dengan tujuan untuk ziarah dan berdoa mohon keampunan Allah untuk mereka.
    Bukan minta orang mati dalam kubur untuk berdoa kepada kita & memohon hajat dari mereka! 
    Ini terbalik, orang hidup mati dengan orang mati!
  1. Ayat 84- {Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya,…}-

    Jangan kamu solat ke atas orang munafiq kecuali mereka yang zahirnya Islam!
    Sesiapa yang zahirnya Islam maka berlakulah undang-undang Islam secara zahirnya ke atas mereka walaupun mereka munafiq. 
    Ini kerana orang Islam kita kena hukumnya secara Islam kerana kita tidak ada wahyu & tidak ada apa yang ada dalam hati mereka!
    Orang yang zahirkan Islam kita pun layani & bermuamalat dengannya sebagaimana seorang Islam juga. 
    Kecuali dia menzahirkan dalil atau tanda yang menunjukkan sebaliknya maka lain pula caranya! 
    Kita bukan Nabi yang ada wahyu dari Allah! 
    Kita buat atas dasar zahirnya dia muslim. Soal hati hanya Allah SWT yang tahu!
    Kerana itu banyakkan berdoa agar Allah menetapkan hati kita agama Islam dan landasan yang benar!
  1. Ayat 85- {Dan janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka,…}-

    Kamu jangan kagum dengan harta benda mereka & anak keturunan mereka yang ramai!
    Kita orang Islam ada prinsip & kemuliaan!
    Sebelum ini sudah ada ayat yang lepas Allah larang orang Islam agar jangan kagum dengan apa yang orang munafiq atau kafir dapat kesenangan atas dunia ini.

    Firman Allah: فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُمْ ۚ
    {Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).} (At-Taubah 9:55)

    Kenapa Allah ulang dua kali ingatan ini dalam Surah At-Taubah ini???? وَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَٰلُهُمْ وَأَوْلَـٰدُهُمْ ۚ
    Jawapannya kerana:
    i- Pertamanya kerana benda yang mudah menarik perhatian manusia ialah harta benda kekayaan dan keluarga! Apabila orang sibuk dengan harta benda sehingga kagum dengan kafir, kagum dan munafiq! 

    ii- Kerana Allah nak ta’kid, nak kuatkan makna, kamu jangan kamu kagum dengan puak munafiq, tak perlu berdengki dengan orang!

    iii- Turunnya ayat ini dua kali kerana maksudnya berbeza, ada sebab lain:
    Ayat kedua ini khas larangan jangan kagum kepada bapa-bapa munafiq yang sudah dikenalpasti, yang kaya yang dan ramai anak cucu.
    Manakala ayat yang pertama sebagai istidaraj, Allah beri kesenangan & harta untuk mereka agar makin lagha, makin sedap hati, maka makin jauh dari Allah!
    Maka tak perlulah kamu kagum atau dengki kepada mereka itu!

    iv- Kita nampak macam berulang tetapi sebenar tidak berulang! Ini kerana ayat ini diturunkan kepada dua kumpulan munafiq yang berbeza.
    Ayat 55- munafiq spesis lain manakala ayat ini untuk munafiq spesis lain.

    v- Ada kata sebabnya kerana sudah terlalu jauh jarak antara dua ayat ini; maka Allah ulang baliknya agar kita tidak lupa dengan peristiwa ini!

    vi- Ada juga ulama’ kata ia berbeza kerana:
    Ayat pertama larangan agar kita jangan kagum dengan harta kekayaan kafir semasa mereka hidup lagi. 
    Manakala ayat kedua kamu jangan kagum juga dengan kekayaan munafiq selepas mereka mati!
    Yakni kita tak perlu kagum & teruja sangat dengan keadaan orang kafir itu semasa mereka hidup atau mati! 

Kesimpulannya: 
Orang yang kagum, gilakan dunia serta terpengaruh dengan dunia ini sebenar mereka dalam azab. 
Sangat jiwa stress kerana sangat tamak haloba nakkan dunia; maka jika tak dapat apa yang mereka nak mereka akan sakit jiwa dan merana.
Sumber harta pula sama ada halal atau haram mereka tak akan kira lagi! 
Jadi harta itu akan dianggap azab jika diambil dari sumber haram serta tidak digunakan pada tempatnya & secara halal pula!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top