View Categories

(27) Surah At-Taubah: Ayat 61-63

13 min read

MUNAFIQIN MENYAKITI NABI SAW, BERSUMPAH AGAR MUKMIN PERCAYA & NERAKALAH SIAPA LAWAN NABI SAW.

Full video : https://youtu.be/sXCZsEpr9zM?si=4mwjxf57841R34PA

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir Surah at-Taubah dengan ayat 61 sehingga 63 dalam juz kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa munafiqin menyakiti Nabi SAW dengan kata-kata buruk & sinis, perlian, hinaan, cercaan dan seumpamanya. 
  1. Apabila jumpa orang beriman mereka juga suka bersumpah agar mukmin percaya & yakin bahawa mereka orang beriman, mereka ini mulutnya manis tetapi hatinya busuk!
  1. Allah nyatakan siapa lawan Nabi SAW sama seperti lawan Allah SWT, dan siapa yang lawan Allah nerakalah tempat kembalinya!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan banyak sifat buruk & kejahatan munafiqin kepada Nabi SAW & orang Islam seluruhnya.  

    ii- Dalam ayat ini ialah tentang pendedahan tembelang jahat puak munafiqin yang membuat tuduhan bahawa Nabi SAW ini seorang yang mudah mendengar cakap orang dan mempercayainya! 
    Yakni tuduhan jahat seolah Nabi seorang yang tidak cerdik; mudah kena kelentong, scam atau kena tipu!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 61- {DAN DI ANTARA MEREKA (YANG MUNAFIK ITU) ADA ORANG-ORANG YANG MENYAKITI NABI SAMBIL MEREKA BERKATA: “BAHAWA DIA (NABI MUHAMMAD) ORANG YANG SUKA MENDENGAR (DAN PERCAYA PADA APA YANG DIDENGARNYA)”. KATAKANLAH: “DIA MENDENGAR (DAN PERCAYA) APA YANG BAIK BAGI KAMU, IA BERIMAN KEPADA ALLAH DAN PERCAYA KEPADA ORANG MUKMIN, DAN IA PULA MENJADI RAHMAT BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DI ANTARA KAMU”. DAN ORANG-ORANG YANG MENYAKITI RASULULLAH ITU, BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AT-TAUBAH 9:61)

  1. Dari kalangan munafiqin itu ada kumpulan yang suka menyakiti Nabi SAW & mengaibkan Baginda SAW. 
    Antara tuduhan jahat golongan munafiqin kepada Nabi SAW adalah sebagai orang yang suka mendengar aduan & mudah percayainya {هُوَ أُذُنٌۭ) ! 
    Yakni yang mudah ditipu atau dikelentong oleh alasan palsu mereka.
  1. Allah SWT suruh Nabi SAW menjawab kepada puak munafiqin: Memang aku mendengar tetapi aku dengar perkara yang baik yang saja yakni:
    i- Nabi SAW dengar perkataan yang baik saja, yang buruk Baginda SAW tak dengar & tak ambil kira kerana Nabi SAW tahu mereka munafiq.

    ii- Nabi SAW dengar kata-kata buruk yang mereka lemparkan ke atasnya tetapi Baginda tidak ambil tindakan ke atas mereka kerana Baginda SAW bersikap berlapang dada & tak ambil peduli akan perkataan buruk mereka.
    Begitulah kita para pendakwah, jangan menjadi telinga lembek yang mudah dengar dan mudah koyak, setiap kata-kata orang nak jawab & react, maka tak ada kerja lainlah kita jika nak layan semuanya!!
  1. Nabi SAW adalah seorang yang beriman kepada Allah SWT yang Esa, mengikut wahyu yang Allah sampaikan kepadanya dan percaya kepada orang mukmin.
  1. Nabi SAW diperintahkan untuk mengambil 3 perkara ini: 
    i- Ambil yang mudah bagi pekerjaan manusia.

    ii- Suruh orang buat baik.

    iii- Jangan layan provokasi orang kafir & orang jahil.
  1. Ini sebagaimana firman Allah SWT:
    {Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).} (Al-A’raf 7:199)
  1. Sifat Nabi SAW juga amat ambil berat & menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu, yang benar imannya, yang kuat ibadatnya & baik akhlaknya.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.} (At-Taubah 9:128)

    Hadis: وعن سهل بن حنيف – رضي الله عنه ـ قال : (كان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يأتي ضعفاء المسلمين ويزورهم ، ويعود مرضاهم ، ويشهد جنائزهم) (الحاكم) .
    Maksudnya: Dari Sahl bin Hanif RA, bahawa: Adalah Rasulullah SAW menziarahi rumah orang dhaif dan miskin dari kalangan orang Islam. Ziarah jika mereka sakit dan hadir solat jenazah jika mereka meninggal. [HR at-Tabarani].

    Kita belajar dari hadis ini jangan kita pilih bulu, hanya ziarah orang kaya tetapi tidak orang miskin! 
    Kita ziarahlah jika ada yang sakit atau mati, tidak kira miskin atau kaya kerana pahalanya besar.
  1. Sesiapa yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka Allah tetapkan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di Akhirat kelak. 
    Ada juga yang di dunia lagi sudah mendapat azab & kesusahan!

AYAT 62- {MEREKA BERSUMPAH KEPADA KAMU DENGAN NAMA ALLAH UNTUK MENDAPAT KEREDAAN KAMU, PADAHAL ALLAH DAN RASULNYA JUALAH YANG LEBIH BERHAK MEREKA MENDAPAT KEREDAANNYA, JIKA BETUL MEREKA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AT-TAUBAH 9:62)

  1. Munasabah ayat ini:
    i- Dalam ayat yang sebelum ini Allah nyatakan perangai buruk munafiqin yang suka menyakiti Nabi SAW dengan pelbagai tuduhan buruk!

    ii- Ini adalah kategori yang seterusnya tentang perangai buruk puak munafiqin iaitu mereka suka bersumpah dengan sumpah yang palsu! 
  1. Mereka berumpah dengan nama Allah bahawa mereka amat menyayangi Nabi SAW, mulut kata sayang tetapi perbuatan sebaliknya, menyakiti & memburukkan Nabi SAW
  1. Hadis riwayat dari Ibnu Abbas RA-
    -كان رسول الله صلى الله عليه وسلم في ظل حجرة من حجره وعنده نفر من المسلمين قد كاد يقلص عنهم الظل قال: فقال: إنه سيأتيكم إنسان ينظر اليكم بعيني شيطان فإذا أتاكم فلا تكلموه قال: فجاء رجل أزرق فدعاه رسول الله صلى الله عليه وسلم فكلمه قال: علام تشتمني أنت وفلان وفلان نفر دعاهم بأسمائهم قال: فذهب الرجل فدعاهم فحلفوا بالله واعتذروا اليه قال: فأنزل الله عز وجل “يحلفون له كما يحلفون لكم ويحسبون…” الآية.
    Pada suatu hari Rasulullah SAW berada di bawah naungan bayang salah satu kamarnya, dan bersamanya sekumpulan orang Islam. Tidak lama kemudian hampir hilang bayangan teduh itu lalu Nabi bersabda: “Sekejap lagi akan datang kepada kamu seorang lelaki yang akan melihat kamu dengan mata syaitan, apabila dia datang kepada kamu, jangan bercakap dengannya.”Tidak lama kemudian datang seorang lelaki berwarna biru (matanya), lalu Rasulullah SAW memanggilnya dan bercakap dengannya dan berkata: “Mengapa kamu mengutuk saya, kamu dan fulan dan fulan?” Sambil Baginda memanggil mereka dengan nama mereka. Lelaki itu pergi dan memanggil mereka, dan mereka bersumpah dengan nama Allah dan memberi alasan mereka tak buat kepadanya. Kemudian Allah SWT menurunkan wahyu: “Mereka bersumpah kepadanya sebagaimana mereka bersumpah kepadamu dan mereka menghitungnya”. [HR Ahmad]. 

    Yakni Allah menyatakan bahawa mereka itu bersumpah palsu!

AYAT 63- {TIDAKKAH MEREKA MENGETAHUI BAHAWA SESIAPA YANG MENENTANG (PERINTAH-PERINTAH) ALLAH DAN RASULNYA, MAKA SESUNGGUHNYA ADALAH BAGINYA NERAKA JAHANNAM SERTA IA KEKAL DI DALAMNYA? BALASAN YANG DEMIKIAN ADALAH KEHINAAN YANG BESAR.} (AT-TAUBAH 9:63)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan golongan munafiqin yang suka bersumpah, ibarat sesumpah (pokko) menukar warna kulitnya ikut keadaan tempat mereka berada.

    ii- Ayat ini Allah ingkari perbuatan mereka itu & mengingatkan akan balasan mengkhianati Nabi SAW balasannya kekal dalam neraka dan kedudukan neraka paling bawah.
  1. Yakni Allah bertanya kepada golongan munafiqin apakah mereka tak tahu bahawa perbuatan menentang Nabi SAW akan membawa akibat yang buruk iaitu balasan azab neraka Jahannam & mereka akan kekal abadi di dalamnya selama-lamanya!!!
  1. Orang yang kekal di dalam neraka itu adalah satu kehinaan yang amat besar! 
    Kulit yang baik-baik hangus terbakar, siksaan yang tiada akhirnya!
    اللهم أجرنا من النار- Ya Allah selamatkan kami daripada api neraka!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghina.} (Al-Mujaadalah 58:5) 
    Ayat ini penuh dengan amaran & peringatan jangan berani-berani lawan Allah & Rasulullah SAW!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 61- {Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi SAW…}-

    Allah SWT sebut dengan jelas dan nyata, mereka yang menyakiti Nabi {يُؤْذُونَ ٱلنَّبِىَّ}- bukan kata ganti nama (dhomir) tetapi perkataan Nabi secara zahir!
    Ini kerana Allah nak nyatakan betapa buruk & sangat jahat perbuatan menyakiti Nabi SAW yang Allah hantar sebagai Rahmatan-lil-‘Alamin!
    Antaranya mereka tuduhnya sebagai seorang yang (uzun- هُوَ أُذُنٌۭ ۚ) iaitu mudah dengar cakap orang sama ada si batu api yang nak melagakan atau mudah percaya helah yang dibawa oleh munafiqin. 
    Yakni mereka nak katanya Nabi SAW adalah seorang yang mudah dikelentong atau seorang yang lurus (bodoh).
    Kita orang beriman mengatakan tidak sama sekali! Nabi SAW hanya (uzun) mendengar yang baik sahaja, yang tidak baik Nabi SAW tidak hiraukannya!
  1. Ayat 61- {… Katakanlah: “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin,}-

    Dalam ayat ini Allah SWT guna perkataan beriman kepada Allah dan beriman (percaya) kepada orang mukmin.
    Kita lihat perbezaan huruf jar (حرف جر) iaitu sendikata yang digunakan antara dua ayat ini:
    i- Beriman kepada Allah {يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ} Iaitu apabila beriman dengan Allah & rasul Allah akan gunakan kata sendi (ب–bi-dengan) iaitu apabila nak ikrar keimanan kepada Allah digunakan perkataan bi ini! {يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ}

    Contoh ayat lagi:
    Firman Allah SWT: {وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ}
    {Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya..} (An-Nisa’ 4:152)

    Firman Allah SWT: { يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْاخِرِ}
    {Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat…} (Ali-‘Imran 3:114)

    ii- Beriman (percaya) kepada orang mukmin {وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ}.
    Tetapi apabila nak gunakan beriman dengan makna percaya kepada manusia digunakan dengan kata sendi (-لli- kepada) {وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ} 
    Contoh ayat:
    i- {فَـَٔامَنَ لَهُۥ لُوطٌۭ ۘ وَقَالَ}- {Setelah itu Lut beriman kepadanya (Nabi Ibrahim)…} (Al-‘Ankabut 29: 26) 

    ii- {وَمَآ أَنتَ بِمُؤْمِنٍۢ لَّنَا وَلَوْ كُنَّا صَـٰدِقِينَ}- {…dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar.} (Yusuf 12:17)
    Inilah keindaan & kesempurnaan bahasa al-Quran iaitu apabila nak ikrar dengan Allah, diguna billah {بِٱللَّهِ} kerana percaya pada Allah merupakan ikrar iman, tetapi percaya kepada manusia hanya persepsi sahaja.

    Ulama’ tadabbur kata: Tiada ayat biasanya dalam al-Quran apabila nak nyatakan percaya kepada sesama manusia menggunakan kata sendi (ب–bi)- tetapi akan digunakan kata sendi (-لli- kepada).
    Begitu juga dalam bab berdoa, ada beza ketika menggunakan kata sendi bagi (لِ)- dengan ke atas (على) kerana ia membawa maksud yang berbeza. 

    Contoh jelas dalam doa ini: اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ
    Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul khatimah (akhir yang baik) dan janganlah Engkau akhiri hidup kami dengan su’ul khatimah (akhir yang buruk)”.
    i- Jika kita nak minta perkara baik kita guna kata sendi bagi (لِ)- seperti: اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ- Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan akhir yang baik.

    ii- Manakala jika nak minta jauhkan dari perkara buruk kita guna kata sendi (على) dengan makna ke atas, seperti: وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ – dan janganlah Engkau akhiri hidup kami dengan su’ul khatimah (akhir yang buruk).
    Inilah bahasa al-Quran yang amat indah dan sempurna! Maka para imam dan ustaz yang nak berdoa, berhati-hati & ambil perhatianlah biar nampak kita belajar dan ada ilmu!
  1. Ayat 61- {… dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”.}-

    Allah kata Nabi SAW adalah menjadi pembawa rahmat bagi orang beriman di kalangan kamu!
    Tetapi kenapa ayat ini kontra, berbeza dengan ayat ini yang mengatakan bahawa Nabi SAW adalah pembawa rahmat kepada seluruh alam ini: {وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ}
    {Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.} (Al-Anbiya’ 21:107)

    Jawapannya tidak bercanggah:
    i- Ini kerana sifat Nabi SAW secara umumnya adalah membawa rahmat kepada seluruh makhluk atas dunia ini sama ada manusia yang beriman atau tidak, haiwannya, bukit-bukau serta gunung-ganangnya. 
    Jikat tidak kerana rahmat Nabi SAW kepada sekelian alam ini, kafir-kafir yang tidak beriman kepada Allah, yang jahat menentang Nabi SAW, pasti sudah lama mati hancur binasa dek azab Allah atas dunia ini lagi!

    Tetapi oleh kerana umat Nabi SAW ini dengan rahmat Baginda; bukan seperti umat terdahulu yang akan dibinasakan secara total, tetapi azab hanya akan turun secara berperingat atau musnah ikut bahagian saja (جزءا). 
    Itulah maksudnya rahmatan lil-‘alamin iaitu setiap alam dunia ini akan mendapat tempias rahmat Nabi SAW.

    ii- Tetapi rahmat khas, rahmat istimewa yang akan menyelamatkan kamu di dunia & akhirat, hanya orang yang beriman saja mendapatnya!
    Mereka dapat rahmat yang besar iaitu senang di dunia dan balasan syurga di akhirat.
  1. Ayat 62- {Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu,…}-

    Mereka ini suka bersumpah mengaku beriman untuk mendapatkan keredhaan Nabi SAW.
    Kita ini apabila orang bersumpah dengan menggunakan nama Allah kita terimalah saja kerana mereka jual nama Allah! 
    Walaupun kita tahu atau sudah syak dia menipu & kelentong. 
    Biarlah kita tertipu dengan orang yang jual nama Allah!
    Pernah ada orang datang jumpa Sayyidina Abdullah bin Umar dan minta macam-macam, sedangkan dia seorang penipu. 
    Maka orang bertanya kepadanya kenapa kamu beri sedangkan dia tu kelentong! 
    Jawabnya: Kerana dia minta dengan nama Allah, aku tak tergamak nak menolaknya.
    Apabila orang minta dengan nama Allah, hati kita cair mendengarnya! 
    Siapa tipu kita dengan nama Allah maka akan tertipulah kita!
    Maka begitulah apabila orang bersumpah dengan nama Allah kita terimalah secara zahirnya. 
    Cuma dalam kes tertentu; mahkamah & hakimlah yang akan nilai balik dan menentukan sama ada sumpahnya itu palsu atau tidak, boleh diterima atau tidak!
    Kata para ulama’: Adab munafiq & pembohong yang suka berdusta dari kalangan orang yang beriman kepada Allah adalah suka bersumpah agar perang percaya kepadanya!, ini adalah sumpah munafiq. 
    Jangan jadikan budaya bersumpah ini satu normalisasi dalam masyarakat.
  1. Ayat 63- {Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya,…}-

    Dalam ayat ini Allah bertanya kepada kaum munafiq apakah kamu tak tahu akibatnya! 
    Persoalan ini secara penafian: {أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟}.
    Apakah kamu tak tahu bahawa sesiapa melawan Allah dan Rasulullah SAW nerakalah balasannya. 
    Kamu yang sudah lama bersama Nabi SAW apakah kamu tak kenal siapakah Nabi Muhammad SAW, kamu tak tahukah siapa yang melawan Nabi SAW neraka adalah tempatnya! 
    Al-Quran sudah lama turun di kalangan kamu, apakah kamu tak tahu apa yang disampaikannya???
    Beginilah kita ni banyak benda yang sebenarnya kita tahu tetapi kita buat tak tahu! 
    Kita sekarang ini juga tidak takutkah kepada azab neraka?? 
    Sedangkan Nabi SAW sudah bersabda ancamannya terutamanya mereka yang zalim & wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna!

    Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: 
    “Dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya. Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya (mengoda lelaki ke arah melakukan zina). Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.” (HR Muslim, No. 2128 & 2856)

    Maka wahai orang yang beriman, berhati-hati dan beringatlah; mereka yang mempunyai kuasa jangan jadi penguasa yang zalim. 
    Manakala dalam bab aurat wanita menjadi tanggungjawab & kewajipan ibu bapa dan suami menegur mereka agar tidak tergelincir dari landasan yang betul. 
    Para wanita yang tahu & belajar agama tetapi masih tidak sempurna menjaga auratnya!

Ya Allah kami minta dijauhkan dari orang yang tahu & dengar tetapi buat tak tahu!
Ya Allah jadikan kami orang yang dengar lalu ikut & dengar perintah Allah!
اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top