MUNAFIQIN TAKUT QURAN TURUN, MEMPERLI SAHABAT NABI SAW & KEUZURAN TIDAK DITERIMA.
Full video : https://youtu.be/oOsE4CJHZ44?si=pvU7-49OwZ-xJIJH
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 64 sehingga 66 dalam juz kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa puak munafiqin apabila mereka buat karenah & perangai pelik-pelik, mereka risau & takut al-Quran turun, mendedahkan tembelang mereka!
Ini kerana mereka antara percaya dan tak percaya, on off keimanan mereka!
- Namun begitu dalam perjalanan ke Tabuk, mereka sempat lagi memperli para sahabat Nabi SAW mengata, menghina dan menjatuhkan semangat tentera Islam!
- Apabila Nabi SAW mendengar dan memanggil mereka berhadapan, mereka tidak mengaku & menafikannya.
Tetapi Allah menurunkan ayat al-Quran mendedahkannya & alasan keuzuran munafiq tidak diterima, Allah nyatakan mereka sebenarnya kafir hanya mengaku beriman!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bahawa puak munafiqin datang bersumpah kepada Nabi SAW bahawa mereka beriman, Islam tulen dan apa yang terjadi (mereka perli muslim & Islam) adalah silap teknikal, gurauan dan main-main semata-mata!
ii- Maka dalam ayat ini didedahkan kerisauan, kegusaran, ketakutan kaum munafiq jika ayat al-Quran turun mendedahkan tentang keburukan mereka!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 64- {ORANG-ORANG MUNAFIK ITU TAKUT KALAU DITURUNKAN SATU SURAH AL-QURAN YANG MENERANGKAN KEPADA MEREKA (DAN KEPADA RAMAI) AKAN APA YANG ADA DALAM HATI MEREKA (DARI KEKUFURAN). KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “EJEK-EJEKLAH (SEBERAPA YANG KAMU SUKA), SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENDEDAHKAN APA YANG KAMU TAKUT (TERDEDAH UNTUK PENGETAHUAN RAMAI).”} (AT-TAUBAH 9:64)
- Allah nyatakan bahawa golongan munafiqin amat takut jika al-Quran turun satu surah atau ayat-ayat, mendedahkan apa yang ada dalam hati mereka sebenarnya.
Ini kerana pada zahirnya watak mereka adalah solid 100% Islam. Solat di belakang Nabi pada waktu cerah, bila gelap mereka tak pergi juga!
- Sedangkan dalam hati mereka adalah nifaq & kufur, bermuka-muka, berpura Islam!
Kerana itu mereka amat takut & bimbang, jika Allah dedahkan, tiada siapa boleh nafikan!
Orang Islam akan menerima & percaya akan wahyu Allah & tidak akan percayakan mereka lagi!
- Maka Allah cabar mereka, teruskanlah perbuatan buruk kamu yang suka perli, cemuh, hina dan merendahkan Islam & orang Islam.
Allah akan dedahkan apa yang ada dalam hati kamu, apa yang kamu cuba sembunyikannya!
Apabila Allah dedahkan siapa boleh tutup & sembunyikan!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Patutkah orang-orang (munafiq) yang ada penyakit (syak, ragu-ragu) dalam hatinya: menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan mendedahkan perasaan dendam dan hasad dengki mereka (terhadap Nabi Muhammad SAW dan umatnya)?
Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya. Dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan.} (Muhammad 47:30)
- Pada zaman itu dengan caranya, iaitu melalui wahyu Allah untuk mengecami perangai & watak seseorang kerana susah nak kesan pada zahirnya mereka berlakon berpura Islam.
- Pada zaman kita ini boleh juga mengecami dan mengesan watak & kecenderungan seorang, lihatlah kepada media sosialnya, dia sendiri yang akan mendedahkan sifat & pilihannya!!
AYAT 65- {DAN JIKA ENGKAU BERTANYA KEPADA MEREKA (TENTANG EJEK-EJEKAN ITU) TENTULAH MEREKA AKAN MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA KAMI HANYALAH BERBUAL DAN BERMAIN-MAIN”. KATAKANLAH: “PATUTKAH NAMA ALLAH DAN AYAT-AYATNYA SERTA RASULNYA KAMU MEMPEROLOK-OLOK DAN MENGEJEKNYA?”} (AT-TAUBAH 9:65)
- Kemudian apabila ditanya berhadapan kepada mereka tentang hal ini mereka tidak mengaku dan menafikannya!
Mereka kata itu hanya bual-bual kosong, percakapan & gurauan dalam perjalanan; mereka minta keuzuran dengan mulut manis, lembut lidah daripada tulang!
- Sedangkan apa yang mereka kata itu sesuatu yang menghina Islam.
Allah cela mereka dengan mengatakan apakah yang mereka katakan itu adalah perbuatan memperolok-olok dan mengejeknama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya.
- Sabab nuzul ayat ini:
Dari Abdullah ibnu Umar RA mengatakan:
Bahawa ketika rombongan tentera Islam sedang dalam perjalanan menuju Perang Tabuk, berlaku satu majlis perbualan di kalangan sebahagian orang munafiq.
Seorang lelaki munafiq bernama Wadi‘ah bin Thabit (riwayat lain menyebut ada yang terlibat juga seperti Mukhashin bin Ḥumayr) berkata dengan nada menghina dalam suatu majlis itu:
“Cuba tengok para qurra’ kita ini (iaitu orang yang suka baca al-Quran), perut mereka paling besar (yakni suka makan banyak), lidah mereka paling banyak berbohong, dan bila bertemu musuh seperti tentera Rom, merekalah yang paling penakut.”
Seorang sahabat yang beriman, ‘Auf bin Malik, mendengar kata-kata ini lalu terus membantah:
“Kamu berdusta! Bahkan kamu seorang munafiq! Demi Allah, aku akan sampaikan kata-kata ini kepada Rasulullah SAW”
‘Auf bin Malik segera bergerak menuju kepada Nabi SAW untuk melaporkan.
Namun, sebelum beliau sempat memberitahu, Allah telah menurunkan wahyu membongkar ucapan itu.
Ketika wahyu turun, Nabi SAW menegur mereka secara langsung, mengulang-ulang firman Allah:{أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ}
“Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kamu memperolok-olokkan?”
Orang yang berkata tadi cuba mempertahankan diri dengan berkata: “Wahai Rasulullah, kami hanya berbual kosong dan bergurau.”
Tetapi alasan itu tidak diterima, kerana Allah menurunkan ayat berikutnya (At-Taubah:66): لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُم
“Janganlah kamu memberi alasan, sesungguhnya kamu telah kafir selepas beriman.”
Abdullah ibnu Umar mengatakan:
“Aku melihat lelaki itu bergantung pada tali pelana unta Rasulullah SAW dan dikenai oleh batu-batuan yang terlemparkan (oleh injakan kaki unta Nabi SAW) sambil berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main saja.” Lalu Rasulullah SAW membacakan firman-Nya: “Apakah kepada Allah dan ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kalian berolok-olok?”
Kata ahli tafsir: Ayat ini turun dalam peperangan Tabuk yang mendedahkan tembelang jahat puak munafiq yang menghina memerli Nabi SAW & para sahabat, bercakap belakang, manis di depan, busuk di dalam!
- Al-Quran turun memberi maklumat kepada Nabi SAW sebelum mereka datang bersumpah lagi.
Ini kerana ucapan ini bukan sekadar menghina individu, tetapi juga menghina Allah, ayat-ayat-Nya (al-Quran) dan Rasul-Nya.
Ini kerana yang dihina adalah golongan sahabat Nabi SAW yang paling taat dan rapat dengan Baginda termasuk yang memimpin jihad.
- Kita pun beringat dan berhati-hatilah bila nak bercakap bab agama jangan hina orang Islam.
Ini ada yang apabila tak setuju dengan sesiapa guna istilah perli seperti lebai dan seumpamanya, yang tak cerdik tak pandai!
Sebagaimana puak munafiqin yang memanggil para sahabat sebagai puak Qurra’ (yang bererti lebai, orang yang suka baca Quran).
- Apabila dipanggil berhadapan oleh Rasulullah SAW mereka tidak mengaku dan memberi pelbagai alasan, hanya suka-suka, main-main, berbual kosong dan seumpamanya, bukan niat nak hina Islam, bukan nak hina agama dan mengata sahabat!
- Beringatlah kita pun jangan sayang sangat kepada orang bukan Islam dan memanggil mereka dengan nama & panggilan yang baik-baik!
Manakala sesama Islam dibenci dan dicemuh, diperli dengan diberi gelaran yang buruk dihina penuh istihza’. Hati-hati jangan sampai kita terjebak dengan permainan & perangi munafiq ini!
AYAT 66- {JANGANLAH KAMU BERDALIH (DENGAN ALASAN-ALASAN YANG DUSTA), KERANA SESUNGGUHNYA KAMU TELAH KUFUR SESUDAH KAMU (MELAHIRKAN) IMAN. JIKA KAMI MAAFKAN SEPUAK DARI KAMU (KERANA MEREKA BERTAUBAT), MAKA KAMI AKAN MENYEKSA PUAK YANG LAIN, KERANA MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG TERUS BERSALAH.} (AT-TAUBAH 9:66)
- Dalam ayat ini Allah bawa beri kata putus: Jangan kamu cuba berdalih, minta maaf beri keuzuran dengan alasan dusta kerana jelas kamu telah kufur selepas mengaku secara zahir setelah berpura-pura beriman!
- Sebelum keluar perkataan jahat dari mulut mereka itu, disangka mereka orang yang beriman apabila tengok watak, penampilan dan pergaulan dengan Nabi SAW & para sahabat hebat yang lain!
Tetapi kata-kata buruk itu mereka telah mendedahkan tembelang mereka bahawa mereka adalah munafiq sebenarnya!
- Allah kata jika ada di antara mereka yang bertaubat sungguh dengan taubat nasuha, Allah akan ampunkan dosa mereka!
Tetapi Allah akan tetap mengazab sebahagian yang lain, kerana mereka adalah orang yang terus bersalah tak mahu bertaubat, terus berpura-pura mengaku beriman!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat lepas Allah dedahkan perangai & tembelang sebenar puak munafiq yang sentiasa perli & hina Islam, perli Allah, kutuk Rasulullah SAW & hina orang Islam.
ii- Maka datang ayat ini; Allah mencela puak munafiqin yang datang minta uzur, minta maaf, memberi alasan, datang bawa pelbagai alasan, setelah mereka menzahirkan kekufuran, Allah kata tidak ada faedah lagi minta uzur.
- Ayat ini sangat sentap, Allah SWT mencela puak munafiq yang bermuka-muka, yang berpura-pura, banyak buat perkara tidak berfaedah.
Apabila Allah zahirkan sifat kemunafiqan yang berpunca dari lidah mereka sendiri yang menzahirkan kejahatan yang ada dalam hati!
- Kita ni kadang-kadang tak nampak dari luar sesuatu yang buruk itu; tetapi selepas dipicit akan keluarlah isinya yang buruk!
Begitulah munafiq itu.
- Sebagaimana kata ahli fikir: “وَكُلُّ إِنَاءٍ بِمَا فِيهِ يَنْضَحُ” bermaksud: “Setiap bekas akan mengeluarkan apa isi yang ada di dalamnya.”
Ini adalah perumpamaan Arab yang digunakan untuk menunjukkan bahawa ucapan dan perbuatan seseorang akan mencerminkan apa yang ada di dalam hatinya.
Yakni jika hati dipenuhi iman, akan keluar kata-kata yang baik; jika hati dipenuhi nifaq atau kebencian, akan keluar hinaan, ejekan, dan kata-kata buruk.
Begitulah jiwa manusia dapat dikesan hasil dari kata-katanya sendiri.
Munafiq apabila terasa tertekan dan sempit dadanya maka akan keluarlah dari mulutnya apa yang sebenarnya ada dalam hati mereka!
- Sebagaimana firman Allah dalam ayat ini yang menyatakan:
“Golongan munafiq menghina Allah, ayat-Nya, dan Rasul-Nya” bukan secara kebetulan, tetapi kerana hati mereka memang dipenuhi nifaq.
Apa yang keluar dari mulut mereka hanyalah limpahan isi hati mereka, dan Allah membongkarnya melalui wahyu-Nya.
- Maka Allah kata tak perlu minta maaf, tak perlu beri alasan & cari keuzuran; kamu telah menzahirkan kekufuran kamu dengan mulut kamu selepas kamu lama berpura-pura beriman!
- Munafiq ini muncul dengan ketibaan Nabi SAW di Madinah.
Zahir sangat kebangkitannya selepas peperangan Badar tahun ke-2 dulu.
Selepas 7 tahun bersama orang Islam di Madinah, berada di belakang Nabi SAW – maka semasa dalam peperangan Tabuk terserlah secara zahir watak & perangai mereka!
Ayat ini jelas Allah kata tak perlu kamu berdalih & mencari keuzuran lagi kerana jelas keluar terzahir watak sebenar kamu iaitu kufur!
- Hanya Allah-lah yang dapat membantu kita untuk menjaga iman kita, jaga aqidah kita, jangan kerana benci kepada sesuatu perkara sehingga kita menghina Islam, hina agama sendiri, hina sesama muslim, semata-mata nak jaga hati member yang bukan muslim!
- Di akhir ayat Allah kata:
i- Dia akan ampunkan sebahagian mereka yang betul-betul bertaubat, ada munafiq yang bertaubat, menyesal dan kembali kepada Islam!
ii- Tetapi Allah tetap akan mengazab kumpulan mereka yang tidak bertaubat.
Kerana mereka memang jahat, kerana mereka kufur kepada Allah SWT!
- Sebagaimana kata Sayyidina Lokman: Kezaliman yang paling besar manusia buat kepada Allah ialah syirik!
Maka hati-hati kita jangan terjebak dengan syirik, jangan terjebak perkara mungkar dan segala perkara yang boleh merosakkan Islam, iman & agama kita dengan bermain-main dengan agama!
- Terdapat kumpulan yang suka memerli Islam sejak dari zaman Nabi SAW.
Maka kita kena ingat & berhati-hati kerana sejak pada zaman dulu dan sehingga kini watak ini berulang yang suka mengata memerli agama Islam.
Boleh baca tentang “Madrasah Istihza’”, iaitu kumpulan yang suka memerli, tulisan AAM di: www.abuanasmadani.com
Baca: Link: Abu Anas Madani: Golongan yang mempersendakan Agama
- Doa yang baik:
اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ
وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِ الصُّدُورُ
“Wahai Allah! Bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalanku dari perasaan riya’, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada.”
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 64- {Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran).}-
Puak munafiq amat takut jika turun ayat al-Quran mendedahkan tembelang mereka.
Ulama’ kata: Sesiapa yang ada rahsia dalam hatinya; benci kepada Islam, benci kepada laq & Sunnah Nabi SAW, Allah SWT tetap akan zahirkannya apabila tiba waktunya!
Bahayanya golongan istihza’ ini, golongan yang menyembunyikan sifat munafiq dalam hati mereka.
Jika pada zaman Nabi SAW tak mengapalah ada wahyu, Allah yang mendedahkannya sendiri.
Pada zaman ini bagaimana pula cara kita nak tahu & nak kenal mereka?
Jawabnya: Watak-watak buruk ini kita boleh kenal melalui perkataan, tulisan dan percakapan mereka!
Mereka sendiri yang mendedahkan perangai mereka yang suka mengkritik, memerli dan merendahkan ajaran & perundangan Islam.
Apabila ada isu tentang Islam suka benar mereka untuk mengulas, mengkritik, mengomennya atas nama orang Islam biarpun ada yang zahirnya tidak mencerminkan sifat seorang muslim / muslimah , jika wanita tak tutup aurat dan sebagainya!
Lalu timbullah satu kumpulan dengan nama Islam liberal, ini adalah satu kesesatan yang nyata kerana Islam hanya satu agama yang sepenuhnya dari Allah, Islam hanya satu!
Jangan bermain-main, orang munafiq ini takut atau tidak, Allah akan dedahkan rahsianya!
- Ayat 64- {Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran).}-
Allah kata golongan munafiq ini takut benar jika turun ayat al-Quran yang akan mendedahkan rahsia mereka!
Timbul persoalan: Golongan munafiqin ini kafir jadi macamana mereka takut kepada al-Quran, apakah mereka percaya kepada al-Quran walaupun kafir?
Orang yang tak percaya kepada sesuatu mereka tidak akan takut kepadanya!
Jawapan:
i- Puak itu walaupun dia kafir dengan Rasulullah SAW tetapi mereka telah saksikan banyak peristiswa apabila mereka buat karenah kepada Islam, akan turun ayat al-Quran mendedakannya dan mereka kena panggil oleh Nabi SAW.
Maka berdasarkan pengalaman itu mereka takut, bukan kerana keimanan!
Pengalaman lampau (تجربة سابقة)
ii- Jauh dalam hati mereka, mereka tahu Nabi SAW itu seorang rasul yang ada mukjizat, tetapi mereka kufur juga kerana hasad dengki dan nak kepentingan habuan terima mereka menolak untuk beriman kepada Nabi SAW!
Sebagaimana ketua munafiq, Ibnu Ubai bin Salul yang telah dicalonkan untuk ditabalkan menjadi ketua negara Madinah, tetapi apabila ketibaan Nabi SAW, penduduk Madinah dari golongan Aus & Khazraj bersetuju melantik Baginda SAW sebagai ketua & Islam sebagai perundangan.
Dia tertolak dengan sendirinya, maka bermula dari situlah bermula sakit hati, kecewa & kekesalan!
Lalu mereka menolak Islam & berpura menerima Islam kerana dendam kesumat yang ada dalam hati mereka!
Ini adalah kerana kesombongan dan keras kepala, bukan kerana tidak tahu.
iii- Mereka tahu Rasulullah SAW itu seorang nabi tetapi tetap ada syak keraguan dalam hati mereka!
Yakni mereka adalah kafir yang tahu tetapi tetap keras kepala tak mahu menerima kebenaran & ikut Nabi SAW! Sedikit keraguan dalam hati (شَكّ يسير)
Oleh kerana itu, ketika berlaku peristiwa semasa Perang Tabuk, mereka tetap merasa takut kalau-kalau ayat turun membongkar perbuatan mereka.
- Ayat 65- {Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”.}-
Apabila Rasulullah SAW panggil mereka untuk bersemuka bertanya tentang perbuatan mereka itu, mereka menafikannya.
Ayat ini menjadi dalil dan hukum bahawa dalam agama: Bermain-main, bergurau dengan niat atau tanpa niat, semua itu akan tetap dikira kufur!
Tidak boleh bergurau dan main-main dalam agama, akan jadi kafir.
Kerana perbuatan itu menunjukkan dia memperlekehkan agama.
Kecuali orang yang dipaksa: Seperti diacu senjata untuk kata Tuhan ada 2-3, jika tidak ditembak atau dibunuh!
Boleh kata apa saja dengan lidah asalkan dalam hatinya tetap beriman!
Kafir itu apabila hati kafir, tetapi jika dipaksa manakala hati tetap beriman, selamat daripada kekufuran!
Jika hanya bergurau tiada orang paksa, akan menjadi kufur!
- Ayat 65- {… Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”}-
Jangan sesekali memperolok-olokkan bab agama, apatah lagi atas nama Allah & Rasulullah SAW.
Para ulama’ mengatakan: Kita orang beriman kena jaga perbuatan kita, tutur kata & kena jaga semua ini, jika tidak takut kita akan terlanggar ayat-ayat Allah, terlanggar batasan antara iman & kufur.
Terdapat manusia yang apabila membincangkan hukum hudud, memerli dengan mengatakan:
– Jika buat hukum hudud boleh makan sup tangan dan seumpamanya!
– Hukum rejam bagi penzina pula, mereka kata lebih batu-batu itu digunakan untuk buat bangunan.
– Apabila perempuan bertudung litup dipanggil ninja pula, serta bermacam perlian dan kata mainan yang dibuat!
Sedangkan itu adalah hukum yang Allah nyatakan dalam al-Quran bukan manusia sendiri yang buat dan reka-reka!
Allahu Akbar!!
Kita doakan mereka yang berkata sedemikian sempat bertaubat semuanya sebelum mati!!!
Dalam agama bahawa bergurau atau main-main dengan perkara yang berkaitan agama seperti dengan Allah, ayat al-Quran dan Rasul SAW adalah kufur, walaupun tanpa niat serius untuk menghina.
Ucapan main-main yang meremehkan syiar agama termasuk dalam istihza’ (memperli), dan istihza’ adalah kufur yang boleh membatalkan iman.
Alasan seperti “sekadar gurau” tidak diterima, sebagaimana firman Allah:
“لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ” … “Jangan kamu beri alasan, kamu telah kafir selepas beriman.”
Kerana itu apabila ada orang menghina agama, pendakwah mesti tegas mengingatkan jangan main-main dengan hukum & ajaran Islam kerana perbuatan itu boleh membawa kepada kekufuran!
- Ayat 66- {… Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.}-
Allah kata Dia akan ampunkan sesiapa yang bertaubat & akan menyiksa sesiapa yang terus berada dalam kesalahan tanpa ada rasa penyesalan!
Allah kata jika hamba-hamba-Nya betul-betul bertaubat & insaf, sebesar mana dosanya pun, kufur ke, syirik ke, munafiq ke; Allah akan ampunkan dan terima taubat mereka.
Luasnya rahmat Allah, pintu taubat masih terbuka untuk hamba-Nya yang insaf!
Allah menerima taubat orang yang benar-benar mahu bertaubat kembali kepada Islam.
Jika tidak bertaubat, kekal hukum Allah atas mereka untuk di campakkan ke dalam neraka.
Dengan adanya jaminan dari Allah untuk hamba-Nya yang bertaubat, maka janganlah kita menangguh-nangguhkan taubat, jangan cari pasal melengahkannya, kita taubatlah kepada Allah dengan taubat nausha semoga kita selamat di dunia dan aman di Akhirat!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
