View Categories

(31) Surah At-Taubah: Ayat 71-72

12 min read

KEADAAN MUKMIN DAN MUKMINAT, MENGAJAK KEPADA KETAATAN & BAGI MEREKA SYURGA.

Full video : https://youtu.be/QzZWBAIp7Zc?si=xYfl_2efyCkPBH2g

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 71 sehingga 72 dalam juz kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan keadaan orang mukmin dan mukminat, sebahagian mereka adalah sebahagian yang lain, berganding bahu saling bantu-membantu dalam kebajikan!
  1. Sifat mereka ialah mengajak kepada ketaatan & mencegah kemungkaran serta beberapa sifat lagi yang Allah gambarkan dalam ayat ini!
  1. Kemudian Allah nyatakan bagi mereka adalah balasan syurga. 
    Tetapi semua ini bukan hanya cukup setakat dakwa & mengaku saja! 
    Ia ada SOP-nya, Islam tidak mengajar hanya bercakap saja; kena beramal dengan rukun-rukun Islam & rukun Iman yang ada di depan kita ini! 
    Ya Allah jadikan kami semua dari golongan orang mukmin & mukminat ini.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya, yang begitu indah susunan ayat al-Quran yang datang dari Allah SWT ini:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang sifat munafiqin yang buat perkara jahat & perilaku yang buruk serta Allah nyatakan amaran azab yang disediakan untuk mereka cukup dahsyat!

    ii- Maka datang ayat ini dengan cerita yang sebaliknya iaitu tentang orang mukmin & mukminat dengan sifat-sifatnya yang baik, antaranya sebagaimana 5 sifat yang Allah sebut dalam ayat ini.
    Betapa dua ayat ini kontra, munafiq & mukmin, menyuruh kepada kejahatan & menyuruh kepada kebaikan, malas ibadat dan tak suka infaq & rajin solat & tunaikan zakat. 
    Inilah uslub al-Quran, pasti seimbang dan ada kedua sisi positif & negatifnya! 
    Yang tidak bercanggah & bertentangan antara satu sama lain kerana ia datang dari sumber yang satu iaitu Allah SWT!
  1. Dalam ayat ini Allah sebut tentang golongan munafiq dulu sebelum golongan mukmin, hikmahnya untuk menggalakkan mereka bertaubat dan menyertai golongan yang baik lalu selamat dari azab Allah & mendapat balasan yang baik. 
    Jika mereka tak ambil peluang ini merekalah yang kerugian!
  1. Betapa indahnya hukum-hakam, kisah & pengajaran dari al-Quran, ia ibarat buah kurma makin dikunyah makin dirasa kemanisannya! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 71- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, LELAKI DAN PEREMPUAN, SETENGAHNYA MENJADI PENOLONG BAGI SETENGAHNYA YANG LAIN; MEREKA MENYURUH BERBUAT KEBAIKAN, DAN MELARANG DARIPADA BERBUAT KEJAHATAN; DAN MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG DAN MEMBERI ZAKAT, SERTA TAAT KEPADA ALLAH DAN RASULNYA. MEREKA ITU AKAN DIBERI RAHMAT OLEH ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAUBAH 9:71)

  1. Allah nyatakan bahawa orang beriman itu sama ada lelaki atau perempuan sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain!
    Iaitu mereka saling tolong-menolong, bantu-membantu dalam kebaikan serta tidak berpecah, ada kesatuan wahdatul-ummah.
  1. Beberapa hadis Nabi SAW tentang kesatuan mukmin ini:
    i- Hadis riwayat dari Abu Musa RA bahawa Nabi SAW telah bersabda: ‏الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضً. وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ‏
    “Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain”.  Baginda terus menyusupkan antara jari-jarinya. (HR al-Bukhari & Muslim)

    ii- Hadis riwayat dari An-Nu`man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    تَرَى الْمُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى عُضْوًا تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ جَسَدِهِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
    Bermaksud: “Kamu melihat orang-orang yang beriman dalam berkasih-sayang, hubungan cinta mereka dan saling berbuat baik sesama mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila ada bahagian tubuh yang berasa sakit, maka bahagian tubuh yang lain ikut tidak boleh tidur dan merasa demam.” (HR al-Bukhari)
  1. Begitulah sebagaimana kita di sini turut serta berduka dan berasa sakit dengan keadaan saudara mukmin kita di Palestin dan lain-lain tempat yang teraniaya dan dizalimi. 
    Kerana itu jangan lupa kita mengangkat tangan berdoa baca qunut nazilah sama ada dalam solat fardhu atau sunat, jangan lupa doakan minta Allah bantu semua sahabat Islam kita yang teraniaya terutamanya di Palestin & Gazzah sebut! Jangan ketika sahabat Islam kita diganyang kita pula tidur dalam kekenyangan!!!
  1. Kemudian Allah nyatakan 5 sifat terpuji orang mukmin ialah:
    i- Mereka menyuruh berbuat kebaikan, semua benda baik kita anjurkan & berdakwah!
    Kebaikan utama yang wajib kita seru manusia ialah tauhid, mengajak manusia beriman kepada Allah SWT! Ini kerana kita nak lawan kezaliman yang paling besar iaitu syirik kepada Allah.

    ii- Dan melarang daripada berbuat kejahatan; kemungkaran yang paling besar kita kena larang ialah syirik kepada Allah. 
    Kemudian segala jenis kemungkaran yang lain yang antara makhluk juga wajib kita tegur, larang & ingkar. 

    Dalilnya firman Allah SWT:
    {Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.} 
    (Ali-‘Imran 3:104)

    iii- Dan mereka mendirikan sembahyang: Sama ada solat fardhu sebagai asas ibadat & solat sunat sebagai pelengkap kepada ibadat & pahala. 
    Solat fardhu pastilah wajib tetapi sunat juga jangan tinggal, rebutlah peluang projek mega mampu milik sebagaimana kempen yang digalakkan oleh DDAAM, jika tinggal rugilah. Pamplet.

    iv- Dan memberi zakat: Yakni tunaikan zakat sebagai satu kewajipan. 
    Jika tak tunai haram & berdosa besar. dalam masa yang sama jangan lupa sedekah-sedekah lain yang sunat! 
    Dalil: Nabi SAW telah bersabda bahawa setiap orang akan berteduh di bawah bayangan sedekahnya di Akhirat kelak! 
    Lebih-lebih lagi sedekah secara rahsia. Yakni tanpa dilihat atau diketahui orang – mudah saja untuk buatnya!

    v- Serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya SAW: Yakni yang Tuhan suruh dia buat yang Tuhan larang dia jauhi. 
    Yang Nabi ajar dia ikut yang Nabi larang ditinggali. 
    Masalahnya ada orang yang kurang minat apabila dengar Sunnah yang Nabi SAW tetapi yang diajar oleh Syeikh-Syeikh dan wali-wali, diterima dibuat majlis ijazah besar-besaran! 

    Semoga kita termasuk dalam kumpulan orang yang menyebarkan Sunnah Nabi SAW kepada masyarakat, apa yang kita mampu kita kempen seperti sedekah, infaq, solat sunat rawatib, zikir selepas solat, zikir pagi petang dan seumpamanya kerana kita nak lihat orang beramal dengan Sunnah Nabi SAW!
  1. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah:
    Di akhir ayat Allah kata: {sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} yakni:
    i- Allah Maha Kuasa { إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ}- kamu jika tak buat kamu yang rugi, tetapi Allah Taala Maha Kuasa lagi Gagah Perkasa, Dia boleh ambil tindakan ke atas kamu!

    ii- Lagi Maha Bijaksana {حَكِيمٌۭ}- Allah penuh dengan kebijaksanaan, apa yang Dia suruh dengan kebijaksanaan-Nya, Dia larang pun dengan kebijaksanaan- Nya.  
    Kita kena yakin bahawa dalam semua larangan & perintah Allah SWT ke atas kita; mengandungi hikmah yang besar! 
    Apa yang Allah suruh buat ada hikmah, yang Dia larang pun ada hikmah!
    Jika tak yakin akan peraturan Allah SWT dan lebih memilih yang manusia buat, seseorang itu ada masalah dalaman, masalah iman & hati!
    Itu yang menjadikan manusia sekular & liberal dan macam-macam lagi!

AYAT 72- {ALLAH MENJANJIKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, LELAKI DAN PEREMPUAN, (AKAN BEROLEH) SYURGA-SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI; MEREKA KEKAL DI DALAMNYA DAN BEROLEH TEMPAT-TEMPAT YANG BAIK DI DALAM “SYURGA ADN” SERTA KEREDAAN DARI ALLAH YANG LEBIH BESAR KEMULIAANNYA; (BALASAN) YANG DEMIKIAN ITULAH KEJAYAAN YANG BESAR.} (AT-TAUBAH 9:72)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut secara umum balasan bagi orang mukmin & mukminah, mereka akan mendapat rahmat Allah.

    ii- Maka datang ayat ini Allah janjikan syurga serta detailkan sifat syurga. 
    Iaitu syurga Adni sebagai tempat tinggal yang baik!
    Ini kerana nak suruh orang mukmin semangat untuk mengejar syurga yang dijanjikan.  
  1. Syurga Adni, adalah salah satu syurga yang Allah sediakan untuk hamba-Nya yang beriman & beramal soleh seperti Jannatu Naim, Jannatu Firdaus dan sebagainya.
    Syurga yang paling tinggi & teratas sekali ialah Jannatu Firdaus al-A’la, atasnya adalah Arasy. Dalam syurga pun ada darjat & tingkatnya mengikut mutu amalan seseorang itu! 
    Apa yang penting sekarang ini kita minta & buat agar dapat menjadi ahli syurga dulu! 
  1. Serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya, lebih tinggi darjatnya! 
    Apa lagi yang kita mahu apabila Allah redha kepada kita; kecil semua yang lain! 
    Ini kerana balasan yang demikian (keredhaan Allah) itulah kejayaan yang besar.
  1. Dalam sebuah hadis qudsi dijelaskan bahwa Allah SWT mengumpulkan para ahli syurga. Setelah mereka berkumpul, tiba-tiba Allah menyampaikan satu pertanyaan yang amat singkat kepada mereka:
    إنَّ اللَّهَ تَبارَكَ وتَعالَى يقولُ لأهْلِ الجَنَّةِ: يا أهْلَ الجَنَّةِ، فيَقولونَ: لَبَّيْكَ رَبَّنا وسَعْدَيْكَ، 
    فيَقولُ: هلْ رَضِيتُمْ؟ فيَقولونَ: وما لنا لا نَرْضَى وقدْ أعْطَيْتَنا ما لَمْ تُعْطِ أحَدًا مِن خَلْقِكَ؟ 
    فيَقولُ: أنا أُعْطِيكُمْ أفْضَلَ مِن ذلكَ، قالوا: يا رَبِّ، وأَيُّ شَيءٍ أفْضَلُ مِن ذلكَ؟ 
    فيَقولُ: أُحِلُّ علَيْكُم رِضْوانِي، فلا أسْخَطُ علَيْكُم بَعْدَهُ أبَدًا. (رواه البخاري)
    “Sesungguhnya Allah tabaraka wa ta’ala berfirman kepada ahli syurga: 
    Wahai ahli syurga. 
    Maka mereka menjawab: Aku penuhi panggilan-Mu wahai Tuhan kami dengan perasaan bahagia. 
    Maka Allah berfirman: Apakah kamu merasa puas hati? 
    Maka mereka menjawab: Bagaimana kami tidak puas, padahal Engkau sungguh telah memberikan kepada kami sesuatu yang tidak pernah Engkau berikan kapada seorang pun dari makhluk-MU. 
    Maka Allah berfirman: Aku berikan kepadamu sekamu yang lebih utama dari itu (syurga). 
    Mereka berkata: Wahai Tuhanku, adakah sesuatu yang lebih utama dari itu? 
    Maka Allah berfirman: Aku limpahkan kepadamu sekamu keridhaan-Ku, maka Aku tidak akan memurkaimu sesudah itu untuk selama-lamanya.
    (HR. Bukhari, 6549).

    Ya Allah jadikan kamu dari golongan ahli syurga-Mu, yang diredhai-Mu. Kerana itulah kejayaan yang besar!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 71- {Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain;..}-

    Ayat ini menyatakan bahawa orang mukmin wajib sayang kepada sesama mukmin, wajib saling membantu sesama orang beriman!
    Wajib kita sayang kepada orang beriman, tolong-menolong, bantu-membantu tidak kira di mana saja kita berada!
    Jika ada orang yang benci kepada orang beriman dan sayang memuji orang kafir maka itu adalah sifat munafiq! 
    Wajib kita jauhilah sifat munafiq, sayang kepada orang kafir & benci kepada orang beriman. 
    Perlu semak balik hati & imannya kenapa begitu???
  1. Ayat 71- {… mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.}-

    Dalam ayat ini Allah sebut lima sifat yang wajib kita ada sebagai orang mukmin, kontra dengan sifat munafiq yang telah dinyatakan sebelum ini! 
    Jika kita nak lawan munafiq wajib ada 5 sifat ini iaitu: 
    i- Mereka menyuruh berbuat kebaikan; mereka menyuruh kepada kemungkaran.

    ii- Dan melarang daripada berbuat kejahatan; mereka melarang daripada kebaikan.

    iii- Dan mereka mendirikan sembahyang; orang munafiq solat dengan malas dan penuh terpaksa.

    iv- Dan memberi zakat; orang munafiq bakhir & tidak suka untuk sedekah!

    v- Serta taat kepada Allah dan RasulNya; taat kepada Allah & Rasulullah sepenuh hati!
    Jangan bermain-main dengan ketaatan kepada Allah & Rasul.
    Cara nak tahu kita taat atau tidak; tengok apakah yang Allah suruh kita buat atau tidak & yang Allah larang apakah kita tinggal!
    Yang Sunnah Nabi kita semangat buat atau tidak! 
    Jika tidak semak balik di mana hati kita kepada Rasulullah SAW! 
    Jangan kata kiat bergendang hari-hari kerana cinta Nabi!
    Orang yang menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; adalah dipanggil doktor agama yang nak mengubati penyakit yang ada dalam pengikut agama ini.
    Syaitan ini karut, setiap hari dia hasut manusia agar derhaka kepada Allah! 
    Maka dengan adanya mereka yang amar ma’ruf & nahi mungkar ini; diharapkan agar orang yang tersesat boleh kembali ke pangkal jalan.
  1. Ayat 71- {Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain;…}-

    Dalam ayat ini Allah jadikan segala amal soleh amar ma’ruf nahi mungkar ini sebagai tiada beza bagi orang beriman yang lelaki & perempuan.
    Ini kerana ia yang membezakan kita orang beriman dengan orang munafiq! 
    Siapa nak lawan kafir & munafiq kena ada dua sifat ini, tidak boleh tidak ada!
    Jadi dalam ayat ini Allah tegaskan bahawa kerja amar ma’ruf & nahi mungkar ini kerja semua orang beriman lelaki & perempuan, bukan lelaki sahaja. 
    Cuma ada SOP masing-masing, orang mukmin boleh secara umum untuk semua jantina manakala untuk wanita ada medannya yang tersendiri dan khas sesama wanita.

    Sama seperti musabaqah membaca al-Quran, suara perempuan yang mendayu-dayu di hadapan lelaki ajnabi tidak elok.
    Kerja dakwah wajib dijalankan oleh semua orang beriman lelaki & perempuan, mukminin & mukminat, dengan ikut pula SOP dan panduan Syari’ah.
    Zaman ini orang suka belajar al-Quran dan agama.
    Kerana itu jika nak belajar al-Quran jangan silang jantina kerana pengajian ini memerlukan pemerhatian dan penghayatan yang rapat! 
    Muslimin cari ustaz, muslimat cari ustazah, begitu juga dalam bab nak mengadu masalah dan bertanya soalan-soalan yang sensitif dan amat peribadi. 
    Allahu al-Musta’an.
  1. Ayat 71- {… Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;}-

    Siapa dia yang buat 5 perkara ini mereka akan layak mendapat rahmat Allah!  
    Kerana itulah dikatakan kita masuk syurga adalah dengan rahmat Allah bukan sebab amalan kita semata-mata.
    Tetapi ingat nak dapat rahmat kena beramal, rahmat bukan datang sendiri. 
    Dalam ayat ini Allah telah berjanji, jika kamu buat lima perkara ini kamu akan dapat rahmat dari Allah! 

    Ya Allah jadikan kami ni orang yang layak mendapat rahmat Allah, layak mendapa syurga Allah! 
    Jangan malu & jemu untuk meminta dan berdoa kepada Allah untuk mendapat rahmat-Nya! 
    Tak minta dengan Allah, Allah murka, bahkan Allah nak suruh kita minta!
    Sebaliknya minta acap kali dengan manusia akan dimarahi tetapi tidak dengan Allah! 
    Berjalan kepada Allah dengan hati, kepada manusia dengan kaki! 
    Yakni nak berjalan kepada Allah kena dengan niat yang baik & ikhlas!
  1. Ayat 72- {Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang…}-

    Allah janjikan kepada orang mukmin lelaki & perempuan yang bekerja keras melakukan amalan ini, Allah akan berikan balasan syurga, baik yang mukminin atau yang mukminat! 
    Yakni kita masuk syurga dengan amalan kita, setelah mendapat restu & keredhaan Allah SWT adalah nikmat yang lebih besar lagi daripada yang sudah berada dalam syurga! 
    Seorang muslimat yang masuk syurga dengan sebab dia taat kepada Allah & Rasulullah SAW, melakukan amal soleh, taat kepada suami, tak sama darjatnya dengan bidadari yang Allah telah cipta & berada di dalam syurga, sebagai pelayan kepada ahli syurga!
    Ini kerana jalan ke syurga bukan senang, ia penuh dengan halangan dan cabaran! 
    Banyak perintah yang kita kena taat & banyak larangan yang kita kena tinggalkan! 
    Kena buat amal ibadat, kena tutup aurat tidak boleh ikut apa yang hawa nafsu nak & suka!!! 
    Ingat lorong ke syurga bukan terhampar dengan permaidani merah tetapi dengan darah merah; yakni memerlukan perjuangan, penuh cabaran, onak & duri!
    Insya’ Allah semoga kita semua menjadi ahli syurga yang mendapat keredhaan Allah SWT.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top