View Categories

(32) Surah At-Taubah: Ayat 73-74

13 min read

Nabi SAW Berjihad Lawan Kafir Dan Munafiq, Sumpah Bohong Munafiq & Tawaran Taubat.

Full video : https://youtu.be/D9vEK0Ur8k8?si=Vj1bJC1nl90_mQSs

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 73 sehingga 74 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT mengarhakan Nabi SAW berjihad lawan kafir dan kafir tersembunyi iaitu munafiq.
    Lawan dan berkeraslah dengan mereka kerana mereka ini tempatnya di dalam neraka Jahannam!
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa munafiq seperti biasa, suka bersumpah bohong, mereka bersumpah mereka tak kata atau tak buat tetapi Allah dedahkan semuanya mereka telah keluarkan perkataan kufur, hina Nabi, hina Islam & hina para sahabat!
    Mereka nak sangat jika boleh membunuh Nabi SAW!
  1. Tetapi Allah SWT masih lagi memberi ruang & tawaran kepada mereka untuk bertaubat.
    Sejahat mana hamba-Nya Allah masih mahu terima taubat mereka.
    Jika mereka menolak peluang ini maka itu adalah kerugian bagi mereka sendiri.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan bahawa mukmin sesama mukmin mesti bersatu, saling berganding-bahu & berkasih-sayang.
    Serta mesti putuskan hubungan dengan orang kafir & munafiq dari sudut Aqidah, sokongan dan kasih sayang! Kafir harbi wajib kita lawan selawan-lawannya.
    Allah juga galakkan mereka agar kembali kepada Allah, balik kepada Islam & bertaubat setelah tembelang mereka didedahkan.

    ii- Maka datang ayat ini, Allah seru Rasulullah SAW; jika puak kafir itu tetap degil, keras kepala, tidak mahu kembali kepada Allah, maka putuslah segala toleransi & tolak ansur!

    Berlunak & beri peluang ini ada had & tempohnya; jangan nampak kita lemah & tiada kekuatan!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 73- {WAHAI NABI, BERJIHADLAH MENENTANG ORANG-ORANG KAFIR DAN ORANG-ORANG MUNAFIK, DAN BERTINDAK KERAS TERHADAP MEREKA. DAN (SEBENARNYA) TEMPAT MEREKA IALAH NERAKA JAHANNAM, DAN ITULAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI.} (AT-TAUBAH 9:73)

  1. Allah SWT menyeru Nabi SAW sebagai ketua kita orang mukmin; perintahnya untuk pergi berperang melawan kafir yang bersenjata dengan senjata juga!
    Manakala kafir yang tak guna senjata kita lawan dengan hujjah & dakwah pula!
    Yakni tengok keadaan, orang guna senjata kita berkeras guna senjata juga, orang guna hujjah kita guna hujjah!
  1. Manakala puak munafiq, jika mereka menzahirkan kekufuran & perlawanan mereka maka lawan juga mereka dengan fizikal, jika dengan diayah & propaganda begitu juga kita lawan.
    Tetapi jika berselindung di sebalik topeng mengaku muslim; maka layanilah mereka seperti muslim juga berdasarkan apa yang mereka zahirkan!
  1. Sekiranya mereka munafiq melanggar sesuatu hukum yang berkait dengan hudud, jalankan ke atas mereka hukum hudud kerana mereka mengaku Islam!
    Contoh seperti jika mereka minum arak, sebat juga, biar mereka tahu akibatnya!
    Mereka inilah golongan pokko (Sesumpah) sejenis haiwan yang berubah warna ikut tempat mereka berada untuk menyelamatkan diri!
    Begitulah munafiq ketika berada bersama orang Islam turut solat dan buat lain-lain ibadat, tetapi apabila sesama mereka, apa yang mereka tak kata & hina kepada Islam!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.} (Al-Baqarah 2:193)
  1. Hadis riwayat dari Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    ما مِن نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ في أُمَّةٍ قَبْلِي إلَّا كانَ له مِن أُمَّتِهِ حَوارِيُّونَ، وأَصْحابٌ يَأْخُذُونَ بسُنَّتِهِ ويَقْتَدُونَ بأَمْرِهِ، ثُمَّ إنَّها تَخْلُفُ مِن بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يقولونَ ما لا يَفْعَلُونَ، ويَفْعَلُونَ ما لا يُؤْمَرُونَ، فمَن جاهَدَهُمْ بيَدِهِ فَهو مُؤْمِنٌ، ومَن جاهَدَهُمْ بلِسانِهِ فَهو مُؤْمِنٌ، ومَن جاهَدَهُمْ بقَلْبِهِ فَهو مُؤْمِنٌ، وليسَ وراءَ ذلكَ مِنَ الإيمانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

    Maksudnya: “Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan oleh Allah kepada umatnya sebelum aku melainkan baginya dari kalangan umatnya hawariyyun (pembantu setia) dan sahabat yang mengambil sunnahnya dan mengikuti perintahnya.
    Kemudian datang generasi selepas mereka yang berkata dengan sesuatu yang mereka tidak buat, dan melakukan (dalam agama) perkara yang mereka tidak disuruh (oleh Nabi).
    Siapa yang mencegah mereka dengan tangannya maka dia mukmin, siapa yang mencegah mereka dengan lidah maka dia dia mukmin dan siapa yang mencegah (membenci perbuatan) mereka dengan jiwanya dia mukmin.
    Tiadalah selepas itu (mencegah dengan jiwa) dari sifat iman walau sebesar biji sawi.
    [HR Muslim].
  1. Kita hari ini apabila kita lihat perkara mungkar, benda maksiat, apakah kita ingkarinya atau tidak????
    Jika ingkarinya dengan apa?
    Jika dengan mulut kita dengan cara beri nasihat & teguran, jika ada kuasa kita tegahnya dengan tangan.
    Jika tak mampu kita bencilah perbuatan mungkar itu dengan hati sekalipun, itu adalah tanda beriman!
  1. Juga malang sekali jika terhadap amalan-amalan Sunnah kita tidak bersungguh mengamal & berpegang dengannya padahal sudah jelas dalil perintahnya!
    Sedangkan pada amalan yang tidak ada dalil perintahnya pula kita begitu semangat mengerjakan & membelanya????
  1. Orang Islam mesti lawan, bertindak keras terhadap kafir yang menentang melawan Islam secara terang-terangan
    Jangan beri muka atas nama toleransi dan seumpamanya terutamanya atas nama al-wala’ wal-bara’ (kesetiaan dan pelepasan diri.)
  1. Firman Allah SWT juga:
    {فَإِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَضَرْبَ ٱلرِّقَابِ}
    {Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya..}- (Muhammad 47:4)
    Ingat, ini adalah arahan ketika berperang, jika mereka tak lawan kita bukan begitu caranya!

    Bagi kafir zimmi (yang jinak) dalam negara Islam kita boleh bermuamalat dengan mereka, tetapi kita wajib utamakan sesama Islam, yang membayar zakat & solat dulu sama ada dalam perniagaan dan sebagainya.
  1. Setelah Allah SWT nyatakan azab di dunia iaitu orang kafir mesti diperangi, dibunuh atau ditawan; jangan lupa ada lagi azab yang menunggu mereka di Akhirat kelak.
    Iaitu tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali!!!

AYAT 74- {MEREKA BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, BAHAWA MEREKA TIDAK MENGATAKAN (SESUATU YANG BURUK TERHADAPMU), PADAHAL SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH MENGATAKAN PERKATAAN KUFUR, DAN MEREKA PULA MENJADI KAFIR SESUDAH MELAHIRKAN ISLAM, SERTA MEREKA BERAZAM UNTUK MELAKUKAN APA YANG MEREKA TIDAK AKAN DAPAT MENCAPAINYA (IAITU MEMBUNUHMU). DAN TIDAKLAH MEREKA MENCACI DAN MENCELA (ISLAM) MELAINKAN SETELAH ALLAH DAN RASULNYA MEMBERI KESENANGAN KEPADA MEREKA DARI LIMPAH KURNIANYA. OLEH ITU, JIKA MEREKA BERTAUBAT, MEREKA AKAN BEROLEH KEBAIKAN; DAN JIKA MEREKA BERPALING (INGKAR), ALLAH AKAN MENYEKSA MEREKA DENGAN AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT; DAN MEREKA TIDAK AKAN MENDAPAT SESIAPA PUN DI BUMI INI, YANG AKAN MENJADI PELINDUNG DAN JUGA YANG MENJADI PENOLONG.} (AT-TAUBAH 9:74)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah perintahkan Nabi SAW supaya jihad lawan kafir & munafiqin!

    ii- Dalam ayat ini adalah sebabnya; iaitu kerana mereka suka menghina Islam, perli Nabi, hina sahabat & mereka juga berusaha untuk membunuh Nabi SAW; maka layaklah mereka dilawan, dibunuh & ditawan!
    Islam tidak akan mulai dulu kekerasan & peperangan jika musuh tidak mula kacau dulu!
    Islam bukan pengganas & berasaskan kekerasan, namanya Islam yang damai!
  1. Puak munafiqin telah bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tak kata kalimah kufur, penghinaan dan celaan kepada Islam tetapi sebenarnya bohong!
    Allah telah dedahkan perbuatan & perkataan mereka itu.
  1. Sebagaimana hadis riwayat dari Ibnu Abbas RA,
    -كان رسول الله صلى الله عليه وسلم في ظل حجرة من حجره وعنده نفر من المسلمين قد كاد يقلص عنهم الظل قال: فقال: إنه سيأتيكم إنسان ينظر اليكم بعيني شيطان فإذا أتاكم فلا تكلموه قال: فجاء رجل أزرق فدعاه رسول الله صلى الله عليه وسلم فكلمه قال: علام تشتمني أنت وفلان وفلان نفر دعاهم بأسمائهم قال: فذهب الرجل فدعاهم فحلفوا بالله واعتذروا اليه قال: فأنزل الله عز وجل يحلفون له كما يحلفون لكم ويحسبون الآية.

    Pada suatu hari Rasulullah SAW berada di bawah naungan bayang salah satu kamarnya, dan bersamanya sekumpulan orang Islam. Tidak lama kemudian hampir hilang bayangan teduh itu lalu Nabi bersabda:
    Sekejap lagi akan datang kepada kamu seorang lelaki yang akan melihat kamu dengan mata syaitan, apabila dia datang kepada kamu, jangan bercakap dengannya.”
    Tidak lama kemudian datang seorang lelaki berwarna biru (matanya), lalu Rasulullah SAW memanggilnya dan bercakap dengannya dan berkata:
    “Mengapa kamu mengutuk saya, kamu dan fulan dan fulan?”
    Sambil Baginda memanggil mereka dengan nama mereka.

    Lelaki itu pergi dan memanggil mereka, dan mereka bersumpah dengan nama Allah dan memberi alasan mereka tak buat kepadanya.
    Kemudian Allah SWT menurunkan wahyu: “Mereka bersumpah kepadanya sebagaimana mereka bersumpah kepadamu dan mereka menghitungnya”
    . [HR Ahmad].

    Yakni Allah menyatakan bahawa mereka itu bersumpah palsu!
  1. Kisah si munafiq al-Julais bin Suwaid yang sentiasa solat di belakang Nabi SAW & anak saudaranya Umair bin Saad RA yang masih kanak-kanak ketika itu, yang mendengar Julais berkata di belakang orang mukmin ketika bersama geng munafiqnya:
    “Seandainya laki-laki ini memang benar, tentulah kita ini lebih buruk dari keldai-keldai!”
    Yang dimaksudkan dengan laki-laki di sini ialah Rasulullah SAW.
    Umair sangat terkejut apabila mendengarnya kerana Julais ini adalah seorang yang sentiasa hadir dalam majlis Rasulullah SAW & adakalanya solat jemaah di belakang Baginda!

    Dia menjadi bingung apakah mahu melaporkan hal ini kepada Rasulullah SAW atau mendiamkan diri sahaja!
    Akhirnya dia memberanikan dirinya untuk memberitahu apa yang dia dengar ini!
    Tetapi apabila melaporkan ini tiada siapa yang percaya kerana penampilan al-Julais & sifat pura-puranya itu!
    Umair sangat sedih lalu Rasulullah SAW panggil al-Julais, dia pun bersumpah dengan sumpah palsunya mengaku beriman & bahawa Umair berbohong!
    Lalu, malaikat datang, turunlah ayat Al-Qur’an yang memisahkan antara yang hak dengan yang batil- (At-Taubah: 74).

    Maka terbukti kebenaran Umair & Rasulullah SAW memujinya sebagai seorang kanak-kanak yang berani & jujur sehingga ayat al-Quran turun membenarkannya.
    Julais akhirnya terpaksa mengakui kesalahannya.
    Lihat cerita ini di link berikut; Golongan yang mempersendakan agama.https://abuanasmadani.blogspot.com/…/golongan-yang
  1. Allah katakan lagi golongan munafiq itu dulunya susah tetapi sekarang apabila mereka senang (akibat mengaku Islam dan dapat manfaatnya),sekarang mereka mahu lawan Islam.
  1. Tetapi Allah SWT tetap beri peluang kepada mereka untuk bertaubat & beriman, Allah beri tawaran secara baik, jika munafiq itu bertaubat maka itu adalah yang terbaik kepada kamu!
  1. Firman Allah SWT :
    {Maka kalaulah mereka bersifat jujur kepada Allah (dengan mematuhi perintahNya), tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka.} (Muhammad 47:21)
  1. Tetapi jika mereka tidak mahu juga bertaubat kembali beriman kepada Allah- nak lawan juga & terus ingkar, Allah terus beri amaran & ancaman; Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya:
    i- Di dunia, iaitu dengan cara fizikal; boleh jadi kena tawan, kena tangkap atau disakiti.
    Secara mental pula mereka akan rasa sakit hati & kecewa, stress tertekan apabila lihat Islam berkembang & menang sehingga mereka jadi sakit jiwa!!
    Penderaan jiwa/mental ini dahsyat juga!

    ii- Dan di akhirat, iaitu azab neraka yang tidak terkira & terbayang lagi!
  1. Yakni azab di dunia samada kena kebinasaan sungguh ataupun ditimpa kekecewaan sakit hati putus harap sehingga hidup mereka merana penuh kedukaan dan sakit hati!
    Manakala azab di Akhirat tidak terperilah betapa dahsyatnya!
  1. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong mereka daripada azab Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 73- {Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka..}-

    Dalam ayat ini Allah memerintahkan Rasulullah SAW untuk lawan kafir & berkeras dengan mereka!
    Ini menunjukkan uslub peperangan (jihad) itu ada tiga:
    i- Jihad dengan senjata, apabila musuh zahir lawan & kena perangi.
    Jika musuh tak zahir hanya lawan dengan hujjah- kita lawan dengan hujjah juga!

    ii- Jihad lawan syaitan.

    iii- Jihad melawan nafsu!
    Firman Allah SWT :
    i- {Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya…}- (Al-Hajj 22:78)

    ii- {Dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.} (At-Taubah 9:41)
    Nafsu ini sayangkan harta benda, tetapi apabila kita berjihad kita boleh lawan& kekang dia, maka kita boleh sedekah & infaq.
    Dalam ayat ini Allah kembarkan sekali, perangilah kafir & munafiq juga!

    Kafir yang tulen kamu lawan, munafiq yang tersembunyi kamu lawan juga jika jelas kafir mereka!
    Keduanya kita lawan belaka yang zahir atau tersembunyi!
  1. Ayat 73- {Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka..}-

    Jika munafiq itu tidak zahir kekufuran mereka, maka kita lawanlah mereka dengan hujjah!
    Kata ulama’ : Lawan dengan hujjah ke atas munafiq ini juga adalah satu jihad.
    Jika ada kumpulan-kumpulan yang menentang Islam seperti mulhid, atheis dan seumpamanya, wajib para ulama’ untuk bangkit berlawan hujjah dengan mereka juga, para ulama’ tidak boleh diam!

    Jihad lawan munafiq ini lebih berat daripada jihad melawan kafir tulen, kerana mereka adalah musuh yang tidak jelas dan tersembunyi.
    Cuma kita dapat kesan kekafiran mereka itu melalui sifat yang mereka tidak dapat menahannya daripada terserlah!
    Sesuatu bekas itu akan mengeluarkan apa isi yang ada terkandung di dalamnya.
    Allah sebut dengan jelas, perangilah & berkeraslah mereka!
    Kerana jika kita berlembut, bertoleransi dengan mereka; tidak akan memberi kesan atau tak ddegih (Kelate) memang kena berkasar & berkeras!
  1. Firman Allah: فَإِنْ يَتُوبُوا يَكُ خَيْرًا لَّهُمْ
    Ayat 74- {Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan;…}-
    Jika munafiq bertaubat, itu adalah lebih baik baginya!

    Kata ulama’ : Asas kebahagiaan kita di dunia & Akhirat adalah bertaubat.
    Nabi SAW kata: Penyesalan itu adalah taubat!
    Allah kata jika kamu bertaubat maka itu adalah lebih baik bagi kamu!

    Maka kita usahakan untuk sentiasa bertaubat kepada Allah Azza wa Jalla, pintu taubat itu sentiasa terbuka.
    Walaupun mereka kafir atau munafiq Allah tetap memberi peluang kepada mereka jika insaf & bertaubat!
    Kita beristighfar & bertaubatkah selalu kepada Allah, menyesal itu taubat tak perlu buat acara solat taubat dan seumpamanya!
    Solat & taubat secara rasmi itu jika ada dosa yang khas & jelas kepada Allah!
  1. Ayat 74- {Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur…}-

    Puak munafiq ini kerja mereka hanya bersumpah & menyalahinya.
    Betapa bahayanya perbuatan ini, kita kena ingat dan jauhinya!
    Dalam apa saja keadaan, hatta dalam jual-beli jangan menipu.

    Para penjual yang jujur Nabi SAW telah jamin rezeki yang berkat untuk mereka!
    Betapa ramai orang suka bersumpah untuk dapatkan sesuatu seperti kedudukan & pangkat kuasaa.
    Tetapi kejayaan ini tidak akan membawa ketenangan & tidak akan bertahan lama.
    Naik dengan cara tidak betul tidak akan kekal & berkat!

    Sebagaimana kisah Umair dan bapa saudaranya tadi, apabila Umair mengadu tentang Julais, Nabi SAW & para sahabat tidak dapat menerimanya, tidak percaya kerana pada zahirnya perwatakan & penampilan Julasi menunjukkan sebagai seorang Islam yang hakiki.

    Sehingga Umair terpaksa mengadu kepada Allah SWT akan keadaannya lalu Allah menunjukkan kebenarannya & mendedahkan tembelang munafiq.
    Kata ulama’ : Sesiapa yang menghina ayat Allah, menghina Sunnah Nabi SAW yang sahih & sabit (istihza’)- maka dia telah kufur kepada Allah SWT!

    Contoh: Kita petik dari Kitab Mestika Hadis terbitan JAKIM:
    Jika seseorang melihat seorang Islam yang beramal dengan Sunnah Nabi SAW seperti menjilat jari sesudah makan; lalu dia mengatakan: Eh jijiknya seperti kucing!!
    Jika dia tahu perkara itu Sunnah dan dia mencemuh & menghina, maka dia kena mengucap semula!
    Ini kata kepada Islam macam-macam!!!!
  1. Firman Allah: وَإِنْ يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
    Ayat 74- {… dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat;}-

    Jika mereka tak mahu taubat, nak lawan juga selepas Allah beri peluang; maka tunggulah, Allah akan beri azab sama ada di dunia atau di Akhirat.
    Azab dunia mungkin secara fizikal seperti diperangi atau dibunuh atau boleh jadi azab secara mental, rasa kecewa & sakit hati melihat kemenangan orang Islam, kebangkitan Islam, umat Islam semakin ramai dan seumpamanya.
    Di Akhirat kelak tak perlu kita ceritakan lagi tentang azab yang menanti mereka & nerakalah tempat kembali mereka.

    Kita yakinlah bahawa walaupun Islam dihina, dikhianati & dibenci, tetap akan menang insya’ Allah!
    Jika tidak menang di dunia pun kita akan mendapat kejayaan di Akhirat kelak!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top