View Categories

(33) Surah At-Taubah: Ayat 75-78

11 min read

Munafiq Bohong Nak Sedeqah, Sebati Sudah Sifat Bohong & Batilnya Kisah Tha’labah Tak Bayar Zakat.

Full video : https://youtu.be/boFaiu0Cnf4?si=duTThxD_7zSpWlPL

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 75 sehingga 78 dalam juzuk kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa munafiq tidak mahu bayar zakat, berbohong nak sedekah iaitu mereka berjanji jika dapat banyak harta akan sedekah.
  1. Taqdir Allah SWT dapat apa yang mereka nak, tetapi mereka bakhil pula, marah apabila orang minta suruh sedekah.
    Mereka memberontak maka Allah tuliskan cop hati atas mati mereka sifat munafiq, tidak akan beriman sehingga ke mati!
    Kerana mereka berjanji bohong serta sebati sudah sifat bohong dalam diri mereka.
  1. Penjelasan kepada masyarakat bahawa batilnya kisah seorang sahabat Nabi SAW ahli Badar iaitu Tha’labah bin Hatib al-Ansari yang dituduh tak mahu bayar zakat, yang menjadi sebab nuzul ayat ini!
    Kita akan lihat penjelasannya nanti bahawa ini adalah tuduhan jahat.
    Cerita ini masyhur bahkan betapa para ustaz, penceramah & pengkuliah menceritakan kisah ini tanpa rasa ragu & bersalah!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa munafiqin ini mengamuk selepas Allah beri rezeki kepada mereka, selepas dapat harta dan jadi kaya, mereka sombong nak lawan Tuhan pula!

    ii- Maka ayat ini adalah sambungan pendedahan perangai jahat munafiqin yang suka bersumpah palsu, suka berbohong, berjanji palsu.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 75- {DAN DI ANTARA MEREKA ADA YANG MEMBUAT JANJI DENGAN ALLAH DENGAN BERKATA: “SESUNGGUHNYA JIKA ALLAH MEMBERI KEPADA KAMI DARI LIMPAH KURNIANYA, TENTULAH KAMI AKAN BERSEDEKAH, DAN TENTULAH KAMI AKAN MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG SOLEH.”} (AT-TAUBAH 9:75)

  1. Allah menceritakan tentang golongan munafiqin, ada yang membuat perjanjian dengan Allah, jika Allah beri mereka rezeki yang banyak mereka akan bayar zakat & beri sedekah!
    Mereka buat perjanjian untuk taat setia dan mahu berinfaq jika diberi kekayaan tapi mereka mungkiri janji itu.
  1. Sebagaimana dinyatakan tadi; Ayat ini dikatakan, dikisahkan turun pada sahabat bernama Tha’labah bin Hatib yang dituduh be bila sudah kaya, namun sanadnya tidak sahih.
    Cerita ini tidak benar sekali bahkan ayat ini turun pada munafiq yang memang mati dalam kemunafiqannya, bukan buat sahabat Nabi yang mulia.
  1. Kata adh-Dhahak : Ayat ini diturunkan kepada beberapa orang munafiq yang tidak mahu membayar zakat serta disebut beberapa nama seperti: Jadd bin Qais, Muʿattib bin Qushair dan Nubtal bin al-Harith.
    Mereka ini mati dalam kemunafiqan & mereka inilah yang layak menjadi sebab nuzulnya ayat ini bukan kerana seorang sahabat yang mulia, Tha’labah bin Hatib!
    *Ibnu Abbas juga menafikannya!
  1. Maka setelah melihat kepada pendapat-pendapat yang dikemukan oleh para ulama berkaitan riwayat atau kisah ini, kami juga memilih untuk menyatakan bahawa kisah ini adalah tidak benar (tidak sahih) dan ia tidak boleh disebarkan kepada masyarakat melainkan untuk menyatakan bahawa kisah ini tidak benar.
    Ini juga selari dengan pendapat ulama hadis yang muktabar.
  1. Mereka si munafiq berkata jika mereka diberi rezeki kekayaan dari segi harta; pastilah mereka akan mengeluarkan zakat & beri sedekah serta akan menjadi orang soleh yang menunaikan haq Allah & haq manusia; inilah janji mereka.

AYAT 76- {KEMUDIAN SETELAH ALLAH MEMBERI KEPADA MEREKA DARI LIMPAH KURNIANYA, MEREKA BAKHIL DENGAN PEMBERIAN ALLAH ITU, SERTA MEREKA MEMBELAKANGKAN JANJINYA; DAN SEMEMANGNYA MEREKA ORANG-ORANG YANG SENTIASA MEMBELAKANGKAN (KEBAJIKAN).} (AT-TAUBAH 9:76)

  1. Tetapi apabila Allah memberi kepada mereka rezeki dan nikmat dari limpah kurnianya mereka menjadi bakhil dengan pemberian itu, tidak mahu mengeluarkan zakat & infaq, tidak mengaku pernah berjanji begitu.
  1. Mereka berpaling lari, meninggalkan janji mereka untuk bersedekah dulu, mereka hanya berbohong & berjanji palsu!
    Yakni mereka berasa sayang kepada harta yang mereka dapat itu, lalu menjadi bakhil dengannya {بَخِلُوا۟ بِهِ} tidak mahu infaq & keluar zakat.
  1. Mereka adalah orang yang sentiasa berpaling {وَّهُم مُّعْرِضُونَ} membelakangkan Islam atau lari dari ketaatan kepada Allah, lari dari tuntutan agama, ini kerana mereka tidak beriman maka mereka tidak percaya!

AYAT 77- {AKIBATNYA ALLAH MENIMBULKAN PERASAAN MUNAFIK DALAM HATI MEREKA (BERKEKALAN) HINGGA KE MASA MEREKA MENEMUI ALLAH, KERANA MEREKA TELAH MEMUNGKIRI APA YANG MEREKA JANJIKAN KEPADA ALLAH DAN JUGA KERANA MEREKA SENTIASA BERDUSTA.} (AT-TAUBAH 9:77)

  1. Akibat dari perbuatan mereka melanggar janji & bercakap bohong itu, hasil daripada mereka tidak mahu mengeluarkan zakat; Allah timbulkan {فَأَعْقَبَهُمْ} perasaan munafiq yang ada dalam hati mereka dan akan kekal mereka dalam kemunafiqan itu sehingga mereka mati, yakni tak akan masuk Islam sehingga mereka mati!

    Seperti tiga orang yang disebut nama tadi:
    Sadd bin Qais, Muʿattib bin Qushair dan Nubtal bin al-Harith.
  1. Perbahasan ulama’ dari perkataan :
    {فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًۭا}- Selepas daripada itu mereka menjadi munafiq}:
    Maka apakah asalnya mereka beriman, kemudian selepas menjadi kaya & tak mahu bayar zakat lalu menjadi munafiq sebagaimana yang dihikayatkan tentang Tha’labah tadi???

    Jawapannya: Tidak begitu, Mereka ini sudah munafiq dari asal tapi lagi terserlah bila Allah perintahkan membayar zakat, mereka tak mahu bayar!
    Itu semua kerana tamak haloba kepada harta yang ada yang tidak boleh disembunyikan lagi.
    Watak sebenar munafiq mereka jelas terzahir, apa yang terkandung dalam hati & pegangan mereka keluar juga akhirnya!
    Sebagaimana bekas akan mengeluakan apa yang terkandung di dalamnya! Hasil dari sifat munafiq mereka Allah telah menakdirkan nasib mereka terus menjadi munafiq.
  1. Lalu Allah pasakkan dalam hati mereka sifat nifaq dan Allah halang pintu taubat daripada mereka sehingga mati kerana mereka telah melakukan pembohongan & sumpah palsu!
    Berjanji dengan Allah tak mahu tunai, tak mahu sedekah, tak mauh bercakap benar!
    Kita orang beriman berhati-hatilah agar tidak terjebak dengan sifat munafiq ini!
  1. Hadis yang menunjukkan siapa yang ada salah satu atau keempat sifat ini adalah munafiq tulen dari segi amali:
    Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW pernah bersabda:
    أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ.

    Siapapun yang memiliki empat sifat ini adalah seorang munafiq, dan siapapun yang memiliki satu dari empat sifat ini akan mempunyai satu sifat kemunafiqan sampai ia meninggalkannya:
    *Setiap kali dia diberi amanah, dia khianat.
    *Setiap kali dia berbicara, dia berdusta.
    *Setiap kali dia membuat perjanjian, dia melanggar perjanjian itu.
    *Setiap kali ia berbalah/berdebat, ia bersikap menghina, jahat dan ceroboh.”
    (HR Al-Bukhari).
  1. Ingatlah Munafiq ini ada dua jenis:
    i- Munafiq iktiqadi, seperti dalam ayat An-Nisa’ 4:142, berasa mereka telah dapat tipu Tuhan, hati mereka kufur tidak beriman sebenarnya, hanya menzahirkan keimanan untuk manusia yakni mereka adalah orang kafir.

    ii- Munafiq amali, yang mempunyai sifat-sifat yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW ini.
    Mereka ini tidak kafir tetapi mempunyai sifat munafiq- melakukan perbuatan dosa besar!
  1. Amat malang sekali kita hari ini jika orang yang dipercayai, yang diharap seperti pemimpin atau pemerintah yang berbohong & berjanji palsu.
    Siapakah lagi yang benar, yang boleh kita percayai yang boleh selesaikan kemelut sesama manusia???
  1. Sebagaimana kata pepatah Arab :
    (مَنْ يُصْلِحُ المِلْحَ إِذا المِلْحُ فَسَدَ ؟!):
    Siapakah yang dapat memulihkan garam, jika garamnya sudah rosak?!)
    Ini kerana garamlah yang menjadi pengawet menahan makanan daripada cepat rosak!
    Jika garam sendiri sudah rosak apa kita nak buat lagi????
  1. Tetapi ingatlah jangan kita menuduh orang munafiq- watak disebut tetapi orang jangan disebut.
    Kita wajib kenal perangai & sifat munafiq tetapi bukan menunding jari kepada orang!

AYAT 78- {TIDAKKAH MEREKA MENGETAHUI BAHAWA ALLAH SENTIASA MENGETAHUI APA YANG MEREKA RAHSIAKAN SERTA APA YANG MEREKA BISIKKAN, DAN BAHAWASANYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN PERKARA-PERKARA YANG GHAIB?} (AT-TAUBAH 9:78)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan munafiq suka berbuat janji, mulut saja manis tetapi hati busuk.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa Dia maha mengetahui, tidak boleh disembunyikan sifat buruk mereka dari Allah.
    Sifat buruk mereka Allah dedahkan, mereka sangat merbahaya ibarat api dalam sekam untuk umat Islam.
  1. Allah akhiri ayat ini dengan menyatakan bahawa Allah Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib!
    Tak usahlah kamu cuba sembunyikan sama ada yang tersembunyi di dalam dada kamu {as-Sir- سِرَّهُمْ}, atau pembicaraan yang diam-diam (bisikan) sesama kamu {an-najwa- وَنَجْوَىٰهُمْ}, atau perkara ghaib {ٱلْغُيُوبِ} yang tidak diketahui oleh orang lain.
  1. Maka kita orang beriman bertambah yakin, bertambah kuat & mantap kepercayaan kepada sifat Allah yang Maha Mendengar, Melihat, Berkuasa dan semuanya.
    Letak dalam hati kita bahawa sifat Allah SWT bukan untuk dipolemik sifat Allah untuk dihayati agar kita gerun dari melanggar perintah Allah SWT!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 75- {Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata:…}-

    Iaitu ada dari kalangan munafiq yang buat janji kepada Allah; jika dia kaya dia akan infaq, akan menunaikan zakat.
    Sekali kita tekankan: Ayat ini diturunkan kepada kalangan munafiq, terutamanya seperti yang disebut namanya di atas tadi.
    Inilah antara tokoh-tokoh yang suka menipu & bersumpah palsu!
    Bukan sebagaimana yang masyhur & diwarwarkan serta terdapat dalam kitab-kitab hadis dengan sanad yang tidak sahih mengatakan bahawa ayat ini turun kepada sahabat Nabi SAW yang mulia, Tha’labah bin Hatib seorang ahli Perang Badar & Uhud.

    Dikisahkan bahawa Tha’labah yang asalnya miskin minta Nabi SAW doakannya agar kaya.
    Dengan taqdir Allah beliau menjadi kaya tetapi selepas kaya, jadi bakhil & lupa diri, tidak mahu keluar zakat!

    Cerita ini tidak sahih, ayat ini turun pada munafiqin sebenar bukan sahabat Nabi ini.
    Pendapat ulama berkaitan kisah ini : Kisah ini adalah tidak sahih berdasarkan apa yang dinyatakan pendapatnya oleh para ulama, antaranya ialah:

    i- Imam al-Qurthubi berkata : “Tha’labah bin Hatib, ialah salah seorang sahabat Ansar, yang menyertai peperangan Badar dan beliau juga antara orang yang telah diakui keimanannya sebagaimana yang termaktub di dalam hadis. Untuk itu, apa yang diriwayatkan ini adalah tidak sahih”.

    ii- Imam Ibnu Hazim berkata : “Tha’labah seorang ahli Badar dan hal ini umum mengetahuinya, maka riwayat ini adalah batil”.

    iii- Imam al-Iraqi mengatakan bahawa : “Tabarani telah mentahkrijkan hadis ini dengan menggunakan sanad yang lemah”.

    iv- Imam al-Qurtubi menyatakan : “Apa yang diriwayatkan berkaitan Tha’labah adalah tidak benar”.

    v- Imam al-Hafiz Ibnu Hajar, bapa ulama’ hadis mengatakan : “Aku tidak merasakan bahawa khabar ini benar.
    Sanad cerita ini amat lemah (ضعيف جدا).”

    Mengikut pengkaji tafsir : Kata Ibnu Hajar pendapat yang sahihnya ayat ini turun kepada beberapa kumpulan munafiqin yang datang berjumpa Nabi SAW dan berjanji untuk keluarkan zakat dan bersedekah jika mereka kaya & diberikan harta.
    Maka jangan lagi kita menyebar dan bawa cerita ini atas meja-meja kuliah & pentas ceramah; carilah cerita lain yang pasti kesahihannya!
  1. Ayat 75- {Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata:…}-

    Antara mereka yang berjanji & bersumpah jika kami senang, mesti kami akan bersedekah!
    Betapa perkataan ta’kid dalam ayat ini menunjukkan mereka berjanji & bersumpah dengan lafaz sumpah yang kuat dari segi bahasanya {لَنَصَّدَّقَنَّ} & {وَلَنَكُونَنَّ}.
    Begitulah sifat munafiq yang bersungguh bila berjanji tapi tidak ada sifat amanah dalam menunaikannya.
    Apabila dapat kuasa lupa pada janji, apabila dapat harta lupa pada amanah!
    Kerana itu apabila kita lihat orang yang terlalu ‘over-confident’ dengan janji mereka gagal untuk tunaikannya.
  1. Ayat 76- {Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu,…}-

    Setelah Allah berikan apa yang mereka minta, mereka bakhil dengannya & tidak mahu tunaikan apa yang telah dijanjikan itu!
    Kata ulama’ : Orang yang bersungguh-sungguh berjanji kemudian tidak tunaikannya adalah sifat munafiq!
    Kerana itulah beratnya dosa munafiq, hinggakan Allah cop dalam hatinya sifat nifaq sehingga ke mati!
    Kita minta dari Allah taufiq & hidayah!
  1. Ayat 77- {Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah,…}-

    Kerana mereka berjanji & tak tunai serta lawan Islam maka Allah copkan sifat nifaq ke atas hati mereka.
    Ayat ini menjelaskan kepada kita sesiapa yang mempunyai sifat ini, dia mempunyai sifat munafiq yang tertanam dalam hatinya!
    Maka kita kena usaha, kikiskan sifat ini dan tunaikan janji kita sama ada dengan Allah atau dengan sesama makhluk!

    Ayat ini sekaligus memberi amaran agar jangan terlibat dengan sifat buruk; berjanji palsu, bersumpah bohong, membuat fitnah & tuduhan terhadap orang dan seumpamanya.
    Hari ini betapa ramai manusia yang tidak takut dengan ancaman ini & terus bersikap begini!

    Rasulullah SAW telah bersabda:
    Tanda orang-orang munafiq ada tiga: jika mengatakan bahwa dia berdusta, jika berjanji dia melanggar dan jika dipercaya dia berkhianat.” (HR Bukhari dan Muslim)
    Sebagaimana hadis Nabi SAW di atas yang menyebut empat & tiga sifat munafiq, kita minta perlindungan dengan Allah SWT daripada sifat buruk ini!
  1. Ayat 78- {Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan,…}-

    Allah nyatakan bahawa Dia tahu rahsia & bisikan kamu!
    Ini kerana Allah nak beritahu bahawa semua perbuatan munafiq di bawah kawalan & ilmu Allah SWT.
    Yang kamu bisikkan pun Allah tahu, apa yang ada dalam hati pun Allah tahu, apatah lagi yang zahir & terang-terangan pastilah Allah lebih tahu!!

    Maka janganlah berani-berani nak lawan Tuhan kerana semua perkara berada di bawah ilmu pengetahuan Allah SWT!
    Jika kita tahu Allah tahu, tetapi masih tidak beriman; maka rugilah kita!
    Para jemaah jangan lupa mantapkan aqidah & kuatkan pegangan keimanan kita!

    Sifat-sifat Allah SWT kita hayati & jadikan panduan, jangan pula dijadikan polemik & punca perbalahan sesama kita, tuduh-menuduh dan sesat-menyesat pula!
    Pasakkan dalam hati kita bahawa Allah SWT mengetahui semua perkara yang ada dalam hati kita, yang terkeluar dari lidah kita, yang kita tulis; yakni yang ghaib, yang batin semua Allah tahu!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top