Munafiq Perli Sahabat Beri Sedeqah, Minta Ampun 70 Kali Tidak Diterima, Mereka Kafir.
Full video : https://youtu.be/-qTMQCn1ZEw?si=2kqq9xqxTsUNgYEO
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 79 sehingga 80 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa kerja munafiq hanya perli orang Islam.
Apabila para sahabat beri sedeqah, mereka memerli dan mengata, jika orang sedekah banyak dia kata riya’, jika sedikit dikutuk & dihina pula!
- Apabila ketua munafiq mati, Allah melarang Nabi SAW dari pergi solat dan jika minta ampun 70 kali untuk mereka pun, Allah tidak terima.
- Ini kerana mereka kafir walaupun zahirnya nampak beriman & baik,tetapi jika hati & batinnya kufur maka tetaplah mereka dikira kafir!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang puak munafiqin yang kufur nikmat.
Mereka dulu yang susah Allah bagi peluang mereka ikut tentera Islam lalu mereka mendapat juga kesenangan!
Tetapi begitulah perangai munafiq ini yang sentiasa celaru tidak tenang hidupnya, penuh dengan kekeliruan & keserabutan.
ii- Maka dalam ayat ini Allah ceritakan mereka cuba serang orang beriman dalam bab sedekah pula!
Mereka istihza’ perli, sindir dan mengata orang sedekah sedemikian yang sedikit atau banyak; semuanya tak kena bagi munafiqin.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 79- {ORANG-ORANG (MUNAFIK) YANG MENCELA SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN MENGENAI SEDEKAH-SEDEKAH YANG MEREKA BERIKAN DENGAN SUKARELA, DAN (MENCELA) ORANG-ORANG YANG TIDAK DAPAT (MENGADAKAN APA-APA UNTUK DISEDEKAHKAN) KECUALI SEDIKIT SEKADAR KEMAMPUANNYA, SERTA MEREKA MENGEJEK-EJEKNYA, – ALLAH AKAN MEMBALAS EJEK-EJEKAN MEREKA, DAN BAGI MEREKA (DISEDIAKAN) AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AT-TAUBAH 9:79)
- Sabab nuzul ayat:
Sebab nuzul ayat 79 surah At-Taubah, yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud RA :
“Ketika ayat mengenai zakat diturunkan, kami sedang mencari nafkah sebagai pengangkut barang (tukang pikul) atas belakang kami.
Lalu datanglah seorang lelaki menyerahkan sedekahnya dalam jumlah yang banyak, maka mereka (orang-orang munafik) berkata, ‘Orang ini ingin menunjuk (riya’).’
Kemudian datang pula lelaki lain menyedekahkan satu sa’ (segantang) makanan (yakni jumlah sedikit), maka mereka berkata, ‘Sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sedekah orang ini (yakni tak perlu kepada).’
Lalu turunlah firman Allah SWT yang mengatakan:
{Orang-orang munafik) yaitu orang-orang yang mencela para pemberi zakat yang sukarela.} (At-Taubah: 79), sehingga akhir ayat’.” [HR Bukhari & Muslim].
- Iaitu ayat ini turun berkaitan dengan kisah orang yang bersedekah dan bagaimana orang lain (munafiqin) memberikan reaksi terhadapnya.
Ketika ayat tentang sedekah diturunkan, ada seorang sahabat yang bersedekah dengan jumlah yang besar, mereka kemudian menganggapnya riya’ (ingin menunjuk).
Kemudian, ada seorang lagi yang bersedekah dengan jumlah yang lebih kecil, dan mereka pun memberikan reaksi memerli menghin pula.
Maka ayat ini turun sebagai teguran kepada munafiq atas sikap buruk memerli mengata dan menganggap orang lain riya’ dalam beramal.
- Hadis yang panjang dari Ka’ab bin Malik RA tentang 3 orang yang tak pergi perang Tabuk termasuk dirinya sendiri, antaranya kisahnya.. :
فَبَيْنَمَا هُوَ عَلَى ذَلِكَ رَأَى رَجُلًا مُبَيِّضًا يَزُولُ بِهِ السَّرَابُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُنْ أَبَا خَيْثَمَةَ فَإِذَا هُوَ أَبُو خَيْثَمَةَ الْأَنْصَارِيُّ وَهُوَ الَّذِي تَصَدَّقَ بِصَاعِ التَّمْرِ حِينَ لَمَزَهُ الْمُنَافِقُونَ.
Ketika Nabi SAW dalam perjalanan menuju ke Tabuk; Baginda melihat seorang lelaki yang berbaju putih, berjalan seorang diri ditengah padang pasir dan kelihatan dari jauh lagi.
Lalu Nabi SAW bersabda: Boleh jadi itu adalah Abu Khaithamah al-Ansari… dan ternyata benar sekali.” [HR Muslim]
Abu Khaithamah al-Ansari ni ialah sahabat yang bersedekah sebanyak satu sa (sekitar 3 kg) kurma untuk Perang Tabuk, salah seorang yang diperli & dihina oleh kaum munafiq tetapi sedekahnya itu dipuji oleh Nabi Muhammad SAW.
- Begitulah pekerjaan munafiqin ini pelik sekali, kerjanya nak serang & melemahkan semangat orang Islam, nak perli cerca, semua yang dibuat oleh orang mukmin serba tak kena & salah bagi mereka!
Orang sedekah banyak mereka kata riya’, orang beri sedekah sedikit mereka kutuk, perli hina!
Sedangkan yang beri sedikit kerana mereka tidak ada banyak harta & ikhlas dermanya!
- Di akhir ayat ini Allah kata Dia akan membalas ejek-ejekan mereka ke atas orang Islam dulu, suatu masa nanti mereka pula yang akan rebah jatuh & menjadi bahan perlian dan ejekan!
- Bagi mereka juga disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di Akhirat kelak!!!
Jika atas dunia mereka hina perli orang, jika terlepas atas dunia di Akhirat tidak akan terlepas lagi!
- Begitulah ketentuan & keadilan Allah, apa yang kamu buat ke atas orang lain, akan kembali kena ke atas diri kita sendiri juga!
Kita buatlah kepada orang sebagaimana kita suka orang buat kepada kita!
Sebagai orang yang beriman apatah lagi pendakwah, ingatlah perbuatan kita akan dibayar oleh orang lain kepada kita jika tidak betul-betul bertaubat!
AYAT 80- {(ORANG-ORANG MUNAFIK ITU) SAMA SAHAJA ENGKAU MEMINTA AMPUN UNTUK MEREKA ATAU ENGKAU TIDAK MEMINTA AMPUN BAGI MEREKA. JIKA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MEMINTA AMPUN BAGI MEREKA TUJUH PULUH KALI (SEKALIPUN) MAKA ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENGAMPUNKAN MEREKA; YANG DEMIKIAN ITU, KERANA MEREKA TELAH KUFUR KEPADA ALLAH DAN RASULNYA; DAN ALLAH TIDAK AKAN MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA KAUM YANG FASIK.} (AT-TAUBAH 9:80)
- Allah mengingatkan Nabi SAW agar tidak perlu meminta ampun untuk si munafiqin, kerana sama saja, iaitu Allah tidak akan mengampunkan mereka walaupun sebanyak mana Baginda SAW meminta ampun untuk mereka!
- Yakni Nabi meminta ampun untuk mereka kaum munafiq pun Allah tak terima apatah lagi jika orang biasa yang lain membuatnya!
ini kerana mereka adalah orang yang kufur kepada Allah dan Rasul-Nya!
- Begitulah kejahatan munafiqin ini; walaupun mungkin pada zahirnya kita tidak nampak dan tidak dapat kesan kerana sudut penampilan mereka & lakonan mereka yang bermuka-muka apabila berinteraksi dengan orang Islam.
Muka manis tetapi hati jahat.
- Apabila mereka ini mati, menyebabkan orang Islam atau Nabi SAW sendiri bersimpati ingin berdoa untuk mereka kerana mereka menyangka adalah muslim yang sejati.
- Maka datang ayat ini Allah SWT melarang kita daripada berdoa untuk mereka!
Jika didoakan pun tak akan memberi kesan kerana mereka kufur!
- Ibnu Abbas RA meriwayatkan dari Saidina Umar bin al-Khattab RA bahawa :
Setelah kematian Abdullah bin Ubay bin Salul (ketua munafiq), anaknya Abdullah bin Abdullah (seorang Muslim yang ikhlas) datang kepada Rasulullah dan memohon agar Baginda mensolatkan jenazah bapanya.
Rasulullah SAW, kerana sifat rahmat dan harapan agar Allah memberi pengampunan, bersedia untuk mensolatkan jenazah tersebut.
Baginda juga memberikan baju dalamnya sendiri untuk dijadikan kain kafan bagi Abdullah bin Ubay sebagai penghormatan permintaan anaknya.
Saidina Umar bin al-Khattab RA mempersoalkan tindakan Nabi SAW dan mengingatkan bahawa Abdullah bin Ubay adalah seorang munafik dan berkata: “Wahai Rasulullah! adakah kau mahu solatkan orang yang begini?
Lalu jawab Baginda SAW “Wahai sahabatku Umar! Jika kali yang tujuh puluh satu Allah berkata akan mengampuni dosa orang munafik, maka akan aku lakukan jua sehingga jumlah tersebut agar dia mendapat keampunan Allah” sambil merujuk kepada ayat 80 surah at-Taubah:
{“Engkau (Muhammad) memohon keampunan bagi mereka atau engkau tidak memohon keampunan bagi mereka (adalah sama sahaja). Sekalipun engkau memohon keampunan bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi keampunan kepada mereka. Yang demikian itu adalah kerana mereka ingkar (kafir) kepada Allah dan Rasulnya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.”}
Mendengarkan itu, maka Umar RA pun membiarkan Baginda SAW untuk solatkan jenazahnya & Rasulullah menunaikan solat jenazah tersebut kerana belum turun larangan pada ketika itu.
Selepas itu, turunlah ayat 84, Surah At-Taubah:
{Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).} (At-Taubah 9:84) [HR Bukhari & Muslim].
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
{(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.} (Al-Munafiqun 63:6)
- Maka selepas turunnya ayat 84 surah at-Taubah ini, itu Baginda SAW sudah tidak lagi mensolatkan mana-mana orang munafik yang meninggal dunia.
Walaupun Baginda SAW tidak pergi, akan tetapi ada sahabat yang lain tetap pergi.
- Ini sebagai teguran dan larangan keras daripada Allah SWT agar tidak lagi mensolatkan jenazah orang munafik, tidak berdiri di sisi kubur mereka, dan tidak mendoakan mereka, kerana mereka mati dalam keadaan kufur dan nifaq. Maka tidak ada gunanya meminta ampun kepada mereka walaupun beratus kali!
10. Di akhir ayat Allah tegaskan bahawa Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 79- {… orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela,…}-
Allah nyatakan bahawa orang mukmin itu sama ada yang kaya atau miskin; jiwa mereka adalah tenang pemurah & suka buat kebajikan.
Apabila nabi SAW mengiklankan tentang sedekah terus mereka bersegera mengingatkan harta mereka sama ada tidak kira yang miskin atau yang kaya.
Yang kaya seperti Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan dan lain-lain saudagar Islam, mereka infaq dan melabur harta dengan banyaknya fi-sabilillah terutama terserlah semasa peperangan Tabuk.
Kerana waktu itu waktu susah & gawat memerlukan dana yang banyak lalu Allah nak angkat lagi darjat para sahabat ini, mereka menderma dengan begitu pemurah sekali!
Manakala orang miskin yang juga baik & tenang jiwanya, pemurah sifatnya seperti Abu Khaithamah al-Ansari & Abu Aqil al-Ansari, walaupun mereka tiada harta yang banyak tetapi semangat untuk menderma tetap ada untuk menolong tentera Islam, mereka bawa juga apa yang ada dari milik mereka untuk menderma!
Lalu mereka menjadi bahan tertawa, cemuhan & perlian puak munafiq yang sentiasa cari ruang untuk menjatuhkan semangat & maruah orang Islam.
- Ayat 79- {Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman…}-
Dalam ayat ini jelas Allah sebut mereka munafiq menghina, memerli, mengata mengutuk orang yang beriman!
Ingat baik-baik, mana-mana kumpulan atau seseorang walaupun dia mengaku Islam, tetapi jika dia hina Syari’ah Islam, undang-undang Islam atau Sunnah Nabi SAW dengan dia tahu semua itu; maka dia akan kufur!
Yakni sesiapa saja atau mana-mana kumpulan walaupun dia Islam tetapi:
i- Jika dia hina tanpa tau apa maka dia berdosa!
ii- Jika dia hina dengan dia tahu perkara itu Sunnah atau ajaran dari al-Quran, maka dia telah kufur!
Maka marilah kita kembali kepada perundangan Islam & Syari’ah Allah SWT!
Kerana itu ayat ini kata sesiapa yang hina Islam, Allah akan hina pula mereka!
Bangga sangat dengan undang-undang ciptaan manusia yang kafir itu manakala jika undang-undang Islam pandang lekeh & hina!
Hati-hati siapa yang ada perasaan begini telah ada dalam hatinya bibit-bibit sifat munafiq!
- Ayat 80- {… yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya;…}-
Tiada beza orang yang hina Islam, hina al-Quran hina undang-undang Islam, atau orang hina Nabi SAW!
Maka dia termasuk dalam orang yang kufur kerana menolak Nabi SAW sebagai orang yang anti hadis, anti Sunnah, dan dia duduk di jurang neraka.
Jika ia sesuatu yang sabit, sahih dari Nabi SAW jangan main-main!
Ada orang itu nampak tak besar jika Sunnah dari Nabi SAW tetapi mengangkat yang diajar atau direka oleh orang lain!
Ada orang yang hina Nabi SAW & ada orang yang melampaui dalam memuja Nabi SAW serta buat apa yang Baginda sendiri tak suruh buatnya.
- Ayat 80- {(Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka.}-
Kamu minta ampun atau tidak minta ampun, sama sahaja apabila Allah telah gazetkan mereka kafir!
Nabi SAW kata jika dia tahu dia akan minta ampun lebih daripada itu lagi.
Dalam ayat ini Allah sebut dalam ayat ini 70 kali {سَبْعِينَ مَرَّةًۭ}-
Kata ulama’ : Apakah ia bilangan khas atau menunjukkan bilangan yang banyak?
Kata ulama’ :
70 kali itu hanya untuk menunjukkan bilangan yang banyak, bukan mahu bilangan 70 kali itu dengan sebenarnya.
Seperti dalam bahasa kita juga, aku dah cakap beratus kali walaupun baru hanya dua tiga kali!
Untuk menunjukkan tidak ada gunanya kamu berdoa, doa kamu itu tak jadi kerana mereka tidak layak mendapat keampunan kerana mereka itu kufur.
Hanya bermanfaat jika dia Islam!
Kerana itu Nabi SAW larang kita dari meminta ampun dan istighfar kepada orang kafir, kafir tulen atau munafiq!
- Ayat 80- {… dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.}-
Allah tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada orang yang fasiq lagi jahat!
Telah menjadi ketetapan Allah SWT, orang yang jahat, berdegil, keras kepala, yang berterusan dalam kekufuran & kemunafiqan; Allah tidak akan buka hatinya untuk bertaubat!
Jadi dia tak akan jumpa jalan untuk kembali kepada Allah, maka dia terus dalam kekufuran dan mati dalam keadaan begitu.
Allahu al-Musta’an!
Begitulah taqdir Allah, tetapi kerana kita tak tahu taqdir Allah; kita boleh minta doa agar Allah beri petunjuk hidayah kepada mereka yang bukan Islam, tetapi bukan minta ampun untuk mereka!
Seperti seorang yang telah memeluk Islam tetapi keluarganya belum lagi, maka dia boleh berdoa bermunajat agar keluarga diberi hidayah Islam oleh Allah.
Tak salah untuk minta mereka diberi hidayah tetapi jangan minta ampun untuk mereka!
Kita umat Islam kena bersifat rahmat sebagaimana Nabi kita SAW Rahmatan lil-‘Alamin.
Iaitu jangan mudah nak membinasakan orang, kita lebih berdoa minta hidayah petunjuk moga Allah selamatkannya dari segala sifat buruk.
Marilah kita jadi pendakwah yang baik yang penuh rahmat & hikmat!
Jika ada khilaf dan berselisih pendapat kita selesaikan secara baik!
Bukan kita sesama Islam berbalah & asah senjata untuk berlawan sesama sendiri.
Manakala orang yang bukan Islam akan gembira & mengaut manfaatnya atas perbalahan itu!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
