View Categories

(35) Surah At-Taubah: Ayat 81-82

11 min read

MUNAFIQ GEMBIRA TAK PERGI TABUK, ALASANNYA MUSIM PANAS & KETAWALAH SEKEJAP DI DUNIA.

Full video : https://youtu.be/-qTMQCn1ZEw?si=azAvSPkayE1ePbfM

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir Surah At-Taubah dengan ayat 81 sehingga 82 dalam juz kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa puak munafiq gembira tak perlu pergi sertai rombongan tentera Nabi SAW ke Tabuk untuk berperang.
  1. Ini kerana alasannya musim terlalu panas & perjalanan jauh (700km hari ini dari Madinah). Juga kerana musim panas adalah musim buah tamar di kebun-kebun sedang masak! 
  1. Maka Allah kata kamu ketawalah sekejap di dunia ini tetapi di Akhirat kelak kamu akan menangis yang tiada kesudahannya. 
    Inilah sifat munafiq yang kontra dengan Muslimin yang menangis kesedihan kerana tidak dapat ikut serta ke Perang Tabuk.
    Inilah pertembungan yang tidak habis-habis.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa terserlah & terzahir sudah watak sebenar munafiq yang suka memerli mencemuh para sahabat Nabi SAW yang menderma untuk perang Tabuk & melemahkan semangat mukmin yang pergi berperang juga.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan pula sifat puak munafiq yang tidak pergi keluar berperang ke Tabuk. 
    Mereka memberikan pelbagai alasan yang tidak masuk akal untuk tidak pergi & Nabi SAW menerima alasan mereka itu. 
    Ini kerana tak bawa mereka lebih baik daripada bawa bukan kerana Nabi SAW tak tahu & percaya alasan mereka!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 81- {ORANG-ORANG (MUNAFIK) YANG DITINGGALKAN (TIDAK TURUT BERPERANG) ITU, BERSUKACITA DISEBABKAN MEREKA TINGGAL DI BELAKANG RASULULLAH (DI MADINAH); DAN MEREKA (SEMEMANGNYA) TIDAK SUKA BERJIHAD DENGAN HARTA BENDA DAN JIWA MEREKA PADA JALAN ALLAH (DENGAN SEBAB KUFURNYA), DAN MEREKA PULA (MENGHASUT DENGAN) BERKATA: “JANGANLAH KAMU KELUAR BERAMAI-RAMAI (UNTUK BERPERANG) PADA MUSIM PANAS INI”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “API NERAKA JAHANNAM LEBIH PANAS MEMBAKAR”, KALAULAH MEREKA ITU ORANG-ORANG YANG MEMAHAMI.} (AT-TAUBAH 9:81)

  1. Puak munafiq yang ditinggalkan oleh Nabi SAW daripada pergi ke perang Tabuk kerana alasan mereka sendiri yang mereka beri kepada Nabi SAW.
    Selepas Nabi SAW berangkat dan pasti mereka tidak perlu pergi, mereka amat gembira kerana mereka ditinggalkan di Madinah.
  1. Ini kerana memang tidak suka untuk berjihad sama ada harta-benda atau nyawa! 
    Mereka sangat bakhil untuk infaq harta sama ada zakat atau derma fi-sabilillah apatah lagi untuk mempertaruhkan nyawa mereka!
  1. Kata al-Qurtubi RHM : Maksudnya gembira mereka yang ditinggalkan {ٱلْمُخَلَّفُونَ} adalah kerana alasan yang mereka beri untuk tidak pergi maka Nabi SAW membiarkan mereka, maka mereka sangka Nabi SAW percaya kepada mereka.
  1. Kata Ibnu Jarir RHM: Mereka tidak mahu pergi kerana tidak mahu bersusah payah menghadapi perjalanan yang jauh & kepanasan, nak senang & rehat. 
    Serta tidak mahu keluarkan harta mereka untuk dana peperangan itu juga.
  1. Mereka bukan sahaja tidak mahu pergi tetapi menghasut pula orang lain untuk tidak ikut sama juga. 
    Mereka beri sebab musim panas yang menyakitkan & musim buah tamar di kebun mereka sedang masak maka janganlah kamu tinggalkannya. 
    Suka hasut orang lain agar tak buat baik.
  1. Maka Allah suruh Nabi SAW menjawab alasan mereka tentang panas:
    i- Panas atas dunia ini hanya sekejap dan sedikit sahaja. 
    Tahukah kamu panas apai neraka di Akhirat kelak adalah lebih dahsyat & tidak terperi sakitnya! 

    ii- Allah juga nyatakan jika puak munafiq itu tahu Allah Tuhan yang perintahkan untuk berperang ini & apa yang Allah janjikan untuk para mujahidin yang keluar berperang bersama Nabi SAW; pastilah mereka akan berkejaran pergi juga!
  1. Hadis riwayat dari Abu Hurairah  bahawa Nabi SAW bersabda: 
    نَارُكُمْ هَذِهِ الَّتِي يُوقِدُ بَنُو آدَمَ جُزْءٌ وَاحِدٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ نَارِ جَهَنَّمَ، قَالُوا: وَاللَّهِ إِنْ كَانَتْ لَكَافِيَةً، قَالَ: إِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا كُلُّهُنَّ مِثْلُ حَرِّهَا.
    Bermaksud: “Api kamu (atas dunia) ini yang dinyalakan anak cucu Adam adalah satu bahagian dari tujuh puluh bahagian api Jahannam.” Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya api dunia itu telah mencukupi”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya api Jahannam melebihi api dunia, dengan enam puluh sembilan bahagian, dan setiap bahagian panasnya semisal api dunia.” [HR Bukhari 3265 dan Muslim 2843].
  1. Azab paling ringan di neraka pun amat menakutkan: 
    Hadis riwayat dari An-Nu’man Bin Basyir RA berkata:
    سمِعتُ رسول اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم ، يقول: « إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ النَّارِ عَذَاباً يَوْمَ الْقِيامَة لَرَجُلٌ يُوضَعُ في أَخْمَصِ قَدميْهِ جمْرَتَانِ يغْلي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ مَا يَرى أَنَّ أَحداً أَشَدُّ مِنْه عَذَاباً ، وَإِنَّه لأَهْونُهُمْ عذَاباً » متفق عليه
    Ertinya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seringan-ringan azab ahli neraka pada hari kiamat nanti ialah seorang yang dipakaikan pada bawah tapak kakinya dua bara api yang dengan sebabnya itu jadi mendidih otaknya. Orang itu tidak tahu ada siapa lagi yang lebih azab darinya. Padahal dia adalah orang yang paling ringan azabnya di neraka.” (Muttafaq ‘alaih)
  1. Sabda Rasulullah:
    اشْتَكَتْ النَّارُ إِلَى رَبِّهَا فَقَالَتْ يَا رَبِّ أَكَلَ بَعْضِي بَعْضًا فَأَذِنَ لَهَا بِنَفَسَيْنِ نَفَسٍ فِي الشِّتَاءِ وَنَفَسٍ فِي الصَّيْفِ فَهْوَ أَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنْ الْحَرِّ وَأَشَدُّ مَا تَجِدُونَ مِنْ الزَّمْهَرِيرِ
    Ertinya: “Neraka menyampaikan keluh kesahnya kepada Tuhannya dan berkata; “Wahai Tuhan, mengapa kami saling memakan satu sama lain? Allah pun mengizinkan neraka untuk bernafas dua kali, bernafas ketika musim dingin dan bernafas ketika musim panas, kedua nafas itulah yang kamu dapatkan ketika panas menyengat dan dingin membeku.”
  1. Menurut al-Imam Ibn Hajar: Yang dimaksudkan dengan zamharir (الزَّمْهَرِيرِ) dalam hadis ini adalah kesejukan yang amat sangat sehingga menyeksa penghuni neraka, menanggalkan kulit-kulit mereka.
  1. Tamatlah perbincangn tentang puak munafiqin yang gembira menyangka mereka terlepas & selamat kerana tak perlu pergi berperang Tabuk.
    Alasan mereka ialah kerana cuaca terlalu panas. 
    Sedangkan Nabi SAW telah nyatakan kepasanan api dunia ini hanyalah 1/70 daripada panas api neraka.
  1. Kisah ulama’ soleh zaman dulu yang menggunakan api pelita atau lilin sebagai lampu. 
    Jadi diletakkan dekatnya dan setiap kali dia terfikir untuk buat maksiat maka dicucuh jarinya kepada api tersebut. 
    Maka ingatlah dia bahawa panasnya api neraka adalah 70x ganda lagi kepanasannya! 
    Inilah cara mereka muhasabah & mengingatkan diri sendiri. 

AYAT 82- {OLEH ITU BOLEHLAH MEREKA KETAWA SEDIKIT (DI DUNIA INI) DAN MEREKA AKAN MENANGIS BANYAK (DI AKHIRAT KELAK), SEBAGAI BALASAN BAGI APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN.} (AT-TAUBAH 9:82)

  1. Bagi mereka ini Allah beri penegasan, suatu janji, amaran & terguran kepada mereka yang happy suka tak pergi berperang tadi.
  1. Gembira & ketawalah kamu atas dunia yang sementara ini, sedikit sahaja kamu akan ketawa! 
    Tetapi di Akhirat kelak kamu akan menangis penuh dengan penyesalan yang tiada gunanya lagi.
    Tangisan yang banyak & tiada akhirnya, wal ‘iyazu billah!
  1. Begitulah penyesalan munafiq ini lebih berat daripada kafir lain yang tidak pernah tahu tentang ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi SAW kerana mereka bertahun-tahun bersama Nabi SAW & orang mukmin tetapi mereka tetap tidak beriman & mati dalam kekufuran! 
  1. Kita orang beriman yang sudah yakin dengan Islam & Nabi SAW tidak perlu menyatakan menyesal kerana tidak hidup bersama Nabi SAW pada zamannya! 
    Kita tidak tahu apakah nasib kita jika kita hidup pada masa itu!
  1. Yang penting kita berpegang dengan agama Islam yang dibawa oleh Nabi SAW dan beramal dengan Sunnahnya yang sahih. 
    Sekarang Nabi SAW telah tiada tetapi Baginda tinggalkan al-Quran, as-Sunnah ada bersama kita. 
    Kita yang pilih sekarang nak buat yang Nabi buat atau nak buat apa yang tak pernah diajar oleh Nabi SAW & tak pernah dibuat oleh para sahabat yang mulia! 
  1. Kaedah: Orang yang banyak ketawa di dunia akan banyak menangis di Akhirat kelak!
    Manakala orang yang banyak menangis di dunia akan banyak ketawa di Akhirat. insya’ Allah! 
    Iaitu menangis kerana takutkan Allah & mengenangkan dosa-dosanya. 
    Ini kerana air mata yang mengalir dan menitis kerana takut kepada Allah adalah air yang paling hebat kerana dapat memadamkan api neraka di Akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 81- {Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah);..}-

    Allah nyatakan bahawa puak munafiq yang tidak pergi berperang itu amat gembira!
    Dalam ayat ini Allah gunakan perkataan; orang yang ditinggalkan {ٱلْمُخَلَّفُونَ}. Iaitu lafaz yang menunjukkan Allah hina mereka, merekalah orang yang jauh daripada keredhaan Allah SWT sehingga ditinggalkan oleh Nabi SAW! 
    Itulah orang yang hina kerana ditinggalkan oleh Nabi SAW dalam peperangan Tabuk tanpa alasan yang munasabah & diterima Syarak.
    Itulah mereka orang yang ditinggalkan {ٱلْمُخَلَّفُونَ} bukan mereka yang terpaksa tinggal (ٱلْمُتخَلَّفُونَ) kerana keuzuran dan lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan. 
    Mereka orang yang jahat yang tidak beriman maka sehingga terpaksa ditinggalkan! 
    Tidak ada orang yang suka apabila ditinggalkan daripada keluar berjihad fi-sabilillah kecuali orang munafiq!
    Inilah watak-watak munafiq atas dunia ini!
    Kena ingat satu lagi jangan suka membuat label atau definisi tentang sesuatu kumpulan sehingga boleh menimbulkan tuduh menuduh yang membawa perbalahan & perpecahan!
  1. Ayat 81- {Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah);…}-

    Allah nyatakan mereka ini gembira kerana ditinggalkan oleh Nabi SAW.
    Allah kata mereka ini gembira untuk menunjukan mereka adalah golongan munafiqin; kerana jika mereka orang beriman; mereka akan kecewa & sedih menangis jika tidak ikut Nabi SAW untuk pergi berjihad!
    Betapa kontra & berbezanya Allah gambarkan sifat antara orang mukmin & munafiq sebagaimana firman Allah SWT ini:
    {Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).} (At-Taubah 9:92)
    Betapa orang mukmin menangis kesedihan apabila tiada kenderaan untuk membawa mereka sama berperang serta mereka tiada harta benda untuk dibelanjakan!

    Sebagaimana kita telah nyatakan sebelum ini: apabila ada isu dalam negara Islam tak kira Palestina tau mana, kita sesama Islam mesti peka & ada empati perasaan kasih sayang & simpati kepada saudara seislam kita di mana saja mereka ditindas dizalimi! 
    Kita orang Islam kena sepakat untuk membantu mereka setakat mana kemampuan kita!
    Paling kurang bacakan doa qunut nazilah untuk mereka, tak kira di mana saja mereka berada.
    Jangan jadi seperti munafiq yang pasti gembira apabila Islam dihina, apabila orang Islam ditimpa bencana & musibah!
  1. Ayat 81- {… dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya),}-

    Munafiq ini sangat bakhil & penakut, dia sendiri tak pergi, hartanya pun tak pergi! 
    Apabila diajak untuk berjihad & menderma mereka enggan dan menolak!
    Kita jangan jadi penakut begitu, kita sendiri dahlah tak pergi, duit kita pun tak sampai untuk membantu & meringankan beban mereka!
    Kita orang Islam mesti tunjukkan sifat & pendirian yang berbeza daripada munafiq! 
    Kita mesti tunjukkan pendirian yang teguh dan tegas untuk membantu sesama Islam & menaikkan hukum & perundangan Islam.
    Jangan jadi salah satu benda ajaib atas dunia ini; iaitu orang Islam sendiri yang menentang apabila ada pihak yang mahu menegakkan perundangan Islam untuk menyekat orang dari berbuat mungkar & maksiat.
  1. Ayat 81- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Api neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.}-

    Beritahu puak munafiq itu bahawa panas neraka Jahannam lebih berat lebih parah daripada panas atas dunia. 
    Panas atas dunia ini hanya sekejap & sementara sahaja, manakala panas api neraka 70x ganda lagi!
    Kata ahli tadabbur : Apabila munafiq menghasut agar orang Islam jangan pergi berperang dengan alasan musim panas yang bersangatan.
    Allah suruh katakan kepada mereka; panas atas dunia ini hanya sedikit & sekejap saja berbanding dengan panas neraka di Akhirat yang 70x ganda lagi kepanasan apinya! 
    Tiada siapa mampu menghadapi kepanasan api dunia yang hanya 1/70 daripada kepanasan api neraka!!
    Ayat ini memberi peringatan jika kita tak mampu menghadapi kepanasan yang yang ada atas dunia ini yang hanya 1/70 sahaja daripada kepanasan api neraka maka jangan buatlah perkara yang boleh membawa kepada azab itu.
    Carilah & buatlah amalan-amalan yang boleh menyelamatkan kita daripada azab neraka yang amat panas & dahsyat di Akhirat kelak!
  1. Ayat 82- {Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.}-

    Allah kata mereka akan menangis di Akhirat.
    Kata ulama’ : Ayat ini mukjizat Allah nyatakan perkara yang akan berlaku kelak! 
    Maka kamu ketawalah { فَلْيَضْحَكُوا۟}- Allah bawa perkataan ini dalam sighah suruh (صيغة الأمر)- untuk menunjukkan arahan bahawa perkara itu pasti akan berlaku! 
    Mereka ketawa hina orang Islam atas dunia mereka akan menyesal di Akhirat kelak!
    Kata ulama’ : Siapa ketawa banyak atas dunia dia akan menangis di Akhirat dengan penyesalan yang tiada guna! 
    Manakala siapa yang sentiasa menangis atas dunia ini kerana takutkan Allah, kesal dan perkara tidak baik yang dilakukan dengan kelemahan dalam beramal; maka di Akhirat kelak dia akan banyak ketawa kerana gembira dengan keampunan & keredhaan Allah SWT serta balasan syurga.

Ya Allah jadikan kami orang yang banyak menangis kerana takutkan-Mu atas dunia ini, lalu menjadi orang yang ketawa gembira di Akhirat kelak dengan keredhaan-Mu. 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top