View Categories

(37) Surah At-Taubah: Ayat 86-89

15 min read

MUNAFIQ KAYA TAK MAHU BERJIHAD, NAK DUDUK DI MADINAH & ORANG MUKMIN MENYAHUT SERUAN JIHAD.

Full video : https://youtu.be/uMEVvxVc1Pk?si=MAjoMmWLcQSmOXom

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 86 sehingga 89 dalam juz kesepuluh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa golongan munafiq yang kaya raya mencari jalan tak mahu keluar berjihad bersama Nabi SAW. Mereka amat takut apabila turun ayat jihad.
  1. Mereka lebih memilih nak duduk selesa di Madinah, makan minum rehat bersama keluarga, tanpa perlu bersusah payah, keluar menggadai nyawa & harta. 
  1. Manakala orang mukmin sebaliknya, sayang kepada Allah & Rasulullah, mereka menyahut seruan jihad, pada bila-bila masa saja Nabi SAW arahkan & di mana saja Baginda SAW keluar. 
  1. Begitulah dua watak yang berbeza, orang beriman tidak gentar & ragu untuk mati & berkorban pada jalan Allah, manakala munafiq sebaliknya!! 
    Kita usahakan agar watak kita adalah watak orang mukmin & semoga kita tetap istiqomah bersama Islam tidak terpedaya dengan sifat munafiq! 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang munafiqin secara umum, yang mencari peluang mereka alasan untuk tidak pergi berperang ikut Nabi SAW.

    ii- Maka datang ayat ini Allah perintahkan untuk beriman dulu kepada Allah SWT kemudian berjihad bersama Rasulullah. 
    Apabila mendengar perintah ini satu kumpulan khas, orang kaya & VIP munafiq; datang berjumpa Nabi SAW memberi alasan meminta keuzuran untuk kecualikan mereka, tidak perlu pergi keluar berjihad bersama Nabi SAW.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 86- {DAN APABILA DITURUNKAN SATU SURAH AL-QURAN (YANG MENYURUH MEREKA): “BERIMANLAH KAMU KEPADA ALLAH, DAN BERJIHADLAH BERSAMA-SAMA DENGAN RASULNYA”, NESCAYA ORANG-ORANG YANG KAYA DI ANTARA MEREKA MEMINTA IZIN KEPADAMU DENGAN BERKATA: “BIARKANLAH KAMI TINGGAL BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG TINGGAL (TIDAK TURUT BERPERANG)”.} (AT-TAUBAH 9:86)

  1. Apabila turun satu surah daripada al-Quran atau beberapa ayat dari al-Quran yang memerintahkan manusia untuk beriman kepada Allah dan keluar berjihad bersama Nabi SAW. 
  1. Maka datanglah kumpulan munafiq yang kaya, golongan VIP, berjumpa Nabi SAW minta keuzuran untuk tidak mahu pergi berperang dengan alasan nak tinggal di Madinah bagi menjaganya!
  1. Perkataan {أُو۟لُوا۟ ٱلطَّوْلِ} membawa maksud orang yang mempunyai harta & senang, iaitu golongan korporat & hartawan.
  1. Mereka munafiq VIP itu berkata kepada Nabi SAW: Biarlah kami tak pergi, biarlah duduk di rumah ini bersama para dhu’afa’, tolong jaga mereka dan jaga bandar Madinah.

AYAT 87- {MEREKA SUKA TINGGAL BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG DITINGGALKAN (KERANA UZUR), DAN (DENGAN SEBAB ITU) HATI MEREKA DIMETERAIKAN ATASNYA, SEHINGGA MEREKA TIDAK DAPAT MEMAHAMI SESUATU.} (AT-TAUBAH 9:87)

  1. Yakni mereka suka untuk ditinggalkan bersama orang-orang yang ditinggalkan kerana uzur & tidak mampu untuk pergi berperang seperti orang sakit, OKU, wanita, kanak-kanak & orang tua yang lemah (para dhu’afa’). 
  1. Maka Allah cop ke atas hati mereka KERANA tidak mahu pergi berjihad tanpa keuzuran! 
    Hati mereka dicop, dimeterai sehingga mereka tidak dapat memahami sesuatu apa pun, tak dapat kesan dari nasihat yang Allah beri, dari dakwah & ceramah yang Nabi SAW beri.
  1. Apabila tak dapat memahami nasihat & peringatan yang diberi; maka mereka tak dapat faedah dan manfaat darinya. 
    Mereka juga tak rasa kelebihan jihad yang Allah kata lebih baik bagi mereka di dunia & Akhirat!
  1. Yang lebih kita takutkan lagi apabila Allah cop atas hati, dengar al-Quran tak masuk, dengar Sunnah anti hadis.
    Tetapi apabila dengar dari manusia lain terus kagum buka telinga kedua, terus masuk dalam hati yang hina Islam!
  1. Janganlah begitu, marilah kita buka hati & lapangkan dada kita untuk Islam, apa saja yang Tuhan kata dengar belaka, apa yang Nabi SAW ajar kita pegang kemas-kemas, seolah seperti gigit dengan gigi geraham kita!
    Bukan kata tinggalkan ajaran Nabi SAW tetapi cari & amal yang dibawa oleh orang lain tanpa sanad yang sahih! 
    Kena periksa dulu sebelum amal, apakah Nabi SAW ajar & buatnya, apakah para sahabat amalkannya????

AYAT 88- {(MEREKA TETAP TINGGAL) TETAPI RASULULLAH DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN BERSAMANYA, BERJIHAD DENGAN HARTA BENDA DAN JIWA MEREKA; DAN MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG MENDAPAT KEBAIKAN, DAN MEREKA ITULAH JUGA YANG BERJAYA.} (AT-TAUBAH 9:88)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa munafiqin itu lari tidak mahu berjihad sama ada yang kaya atau miskin, yang ketua atau orang biasa pak turut!

    ii- Datang ayat ini Allah nyatakan sifat orang beriman bersama Nabi SAW adalah berlawanan dengan sifat munafiq! 
    Orang munafiq lari tak mahu berjihad takut mati, orang mukmin menyahutnya dengan ikhlas & gagah berani! 
    Orang munafiq bakhil tak sedekah & infaq, orang mukmin berlumba-lumba mendermakan hartanya! 
  1. Allah nyatakan orang munafiq tetap tinggal di rumah mereka tak mahu keluar tetapi Nabi SAW dan orang mukmin yang ikhlas tetap keluar berjihad dengan menyerahkan harta dan berlawan dengan jiwa & nyawa mereka!
  1. Tetapi sebagaimana kita telah bincangkan di atas munafiq ini mereka tidak ikut keluar berperang adalah lebih baik kerana jika pergi hanya akan buat kacau, menjadi racun dalam madu, melemahkan semangat & mengacau perpaduan tentera mukmin!
  1. Orang mukmin tidak akan sesekali minta izin untuk tidak pergi berperang tanpa alasan yang sebenarnya. 
    Sebagaimana firman Allah SWT sebelum ini:
    {Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.} (At-Taubah 9:44) 
  1. Orang beriman tidak seperti munafiq yang bakhil & pengecut! 
    Mereka bersegera untuk infaqkan nyawa & harta mereka fi-sabilillah.
    Mereka inilah yang mendapat kebaikan & nikmat yang banyak!
  1. Bagi orang yang beriman nikmat yang banyak di dunia & Akhirat:
    i- Nikmat dunia apabila pergi berperang mereka dapat ghanimah, harta rampasan perang yang banyak sama ada pada zaman Nabi SAW sendiri atau pada zaman khulafa’ur rasyidin selepasnya! 
    Banyak pembukaan negeri-negeri kafir yang jatuh ke tangan Islam.

    ii- Nikmat Akhirat pastilah tidak dinafikan lagi, betapa banyak jaminan & janji Allah untuk mereka yang berjihad fi-sabilillah apatah lagi jika mati syahid!
    Tetapi ingat Islam bukan agama keganasan, Islam hanya memerangi mereka yang menentang & mengancam agama Islam dan mengkhianati orang Islam.
    Jika mereka duduk baik-baik tidak mengacau dan tidak menentang tidak ada sebab mereka diperangi dan dirampas hartanya!
    1. Ayat ini ditafsir dengan beberapa lagi firman Allah SWT ini:
      i- {Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.} (An-Nur 24:55)

      ii- Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.} (Al-Fat-h 48:29)

      iii- {Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
      Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
      (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.
      Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.} (As-Saff 61: 10-13)
    1. Janji seterusnya Allah nyatakan bahawa: {…dan mereka itulah juga yang berjaya.}- orang mukmin, mereka itulah orang yang mendapat kemenangan & kebertuahan. 
      Mereka nak menang Allah beri menang, mereka nak senang Allah beri senang! 
      Kesenangan & kebahagiaan utama ialah ketenangan & hati yang mencintai Allah & Rasul.
      Dunia ini hanya kecil dan tiada nilai di sisi Allah SWT!
    1. Satu analogi yang menarik dari hadis Nabi SAW: 
      Dari al-Mustaurid ibnu Syaddad RA berkata:
      Pada suatu hari aku bersama dengan Nabi SAW sedang menaiki unta, tiba-tiba Baginda berhenti berdekatan bangkai seekor anak kambing dan Baginda bertanya kepada sahabat:“Tahukah kamu sekamu mengapa tuannya tidak mengambil bangkai kambing ini?” 
      Lalu sahabat menjawab:“Sebab bangkai itu kotor dan berbau busuk.” 
      Kemudian Baginda bersabda:“Demi Allah, dunia ini lebih hina bagi Allah daripada bangkai ini dalam pandangan kamu”
      (HR Muslim)
    1. Yakni ibarat seekor bangkai anak kambing yang tidak seorang pun ingin memilikinya, bahkan memandangnya, apa lagi menyimpannya, demikianlah Rasulullah SAW menggambarkan bagaimana Allah menilai dunia ini yang diibaratkan lebih rendah dan hina dari bangkai kambing.
    1. Dunia ini tiada nilai, kita lihat betapa ahli dunia sibuk tayang-menanyang! 
      Kita tak perlu tayang menanyang & tamak mengejar dunia, apa yang dunia datang kita ambil sebagai rezeki yang baik.
    1. Ingat jangan terlalu tamak mengejar dunia sebagaimana hadis dalam siri yang lepas, siapa yang tak masuk dunia dalam hatinya maka Allah akan permudahkan urusan & rezekinya atas dunia ini, sesiapa yang sebaliknya pastilah sebalik juga keadaannya, Allah akan jadikan hidup tidak senang & tenteram, tamak & rakus.
    1. Kata ulama’ salaf: Jika dunia hanya berada di tangan kita akan selamat, tetapi jika dunia itu sudah mausk ke dalam hati & menguasainya; kita akan binasa & tak selamat lagi!
    1. Sebagaimana satu analogi yang menarik juga: Kapal berada di atas air selamat, tetapi jika air masuk ke dalam kapal, akan tenggelam tidak akan selamat! 
      Begitulah dunia ini jika sudah masuk ke dalam hati, akan membawa kemusnahan!!!

    AYAT 89- {ALLAH TELAH MENYEDIAKAN UNTUK MEREKA SYURGA-SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA; YANG DEMIKIAN ITULAH KEMENANGAN YANG BESAR.} (AT-TAUBAH 9:89)

    1. Allah memberitahu bahawa Dia telah menyediakan bagi orang mukmin syurga yang indah & penuh nikmat serta mereka akan kekal abadi di dalamnya selamanya. 
      Syurga sudah ada menunggu orang mukmin sebagai penghuninya!
    1. Betapa kemenangan yang besar berada di sini!!
      Iaitu syurga yang Allah telah sediakan untuk orang beriman!!! 
      Tiada faedah kita hidup atas dunia ini kaya raya serta gembira tetapi miskin & papa kedana di Akhirat! 
    1. Sebagaimana kata ulama’ salaf: siapa yang banyak ketawa atas dunia ini akan banyak menangis kekesalan di Akhirat kelak! 
      Tetapi siapa yang sebaliknya, sering menangis atas dunia ini kerana takutkan Allah; insya’ Allah akan gembira & ketawa di Akhirat kelak!
    1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
      {Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.} (At-Taubah 9:100)
    1. Orang beriman akan kekal di dalam syurga selama-lamanya; tidak akan mati, tidak akan keluar dari syurga, tidak tua bahkan kekal muda jelita selamanya, berumur sebaya semua ahli syurga!
    1. Masuk syurga itu adalah satu kejayaan yang besar & kemenangan yang utama!!! 
    1. Maka berdoalah banyak-banyak pagi petang siang malam, tangisilah dosa-dosa kamu yang lepas, buatlah amalan yang baik selepas ini, jangan cari amalan yang pelik-pelik, kita cari amalan yang sahih, yang diajar dari Sunnah Nabi SAW.
    1. Yang pentingnya usaha kita, kerja buat kita biarlah sebagai orang beriman yang melayakkan kita ke syurga! 

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 86- {Dan apabila diturunkan satu surah Al-Quran (yang menyuruh mereka): “Berimanlah kamu kepada Allah, dan berjihadlah bersama-sama dengan RasulNya”..}-

      Apabila Allah SWT turunkan ayat ini yang menyeru untuk beriman kepada Allah & berjihad fi-sabilillah bersama Rasulullah SAW; datanglah puak munafiq terhegeh-hegeh berjumpa dengan Rasulullah SAW membawa alasan tidak mahu pergi berperang!
      Ayat ini jelas Allah mendahulukan beriman dengan Allah dulu baru berjihad! 
      Ini kerana berjihad tanpa iman tak jadi apa, tak ada faedah!

      Kerana itu kita kena betulkan pemikiran sekular yang dimomokkan oleh penjajah ke atas umat Islam; apabila kamu sudah beriman kepada Allah, sudah solat & puasa, yakni sudah buat amal ibadat; maka kerja buat atas dunia ini, urusan pentadbiran negara jangan kamu campur dan cuba nak kaitkan dengan ajaran agama! 

      Inilah pemesongan pemikiran liberal & sekular yang memisahkan ibadat & urusan lain atas dunia ini! iaitu mereka sempitkan ruang ibadat itu kepada puasa solat, baca al-Quran dan seumpamanya.

      Kita umat Islam tidak begitu, semua amalan kita atas dunia ini ada dosa, ada pahala & ada harus! 
      Apa saja urusan & pekerjaan kita mesti dikaitkan dengan tiga hukum ini!!
      Kita kena fikir apakah perbuatan kita itu akan menguntungkan agama kita atau tidak.
      Hatta makan, minum, duduk bersama isteri & keluarga semuanya dapat pahala jika kita niat baik & buatnya ikut SOP Syari’ah Islam. 
      Setiap perkara harus jika diniatkan untuk kebaikan akan dapat pahala! 
      Jika tidak kita akan kerugian begitu saja! 
      Kita orang beriman kena yakin dengan pegangan ini jika tidak kita akan dikongkong & terpesong dengan rumusan ibadat yang direka penjajah! 
      Setiap perkataan, perbuatan & niat yang baik, yang diredhai Allah dinamakan ibadat secara umum! 
      Ibadat khusus adalah solat, puasa haji itu!
    1. Ayat 86- {… nescaya orang-orang yang kaya di antara mereka meminta izin kepadamu dengan berkata:…}-

      Dalam ayat ini Allah sebut dengan jelas; yang meminta izin dari Nabi SAW untuk tidak pergi berperang kali ini adalah golongan yang kaya kaya- {ٱسْتَـْٔذَنَكَ أُو۟لُوا۟ ٱلطَّوْلِ}.
      Yakni Allah tujukan celaan khas kepada golongan munafiq yang kaya yang mencari keuzuran tidak mahu keluar berperang bersama Nabi SAW ke Tabuk!

      Kenapa begitu??? 
      Jawapannya:
      i- Celaan kepada orang munafiq yang kaya itu lebih berat kerana mereka ada kemampuan!
      Sedangkan mereka bakhil dengan harta tak mahu infaq, kerahan tenaga pun tak mahu ikut, kerana sayang nyawa takut mati!!!
      Jika sudah tak mampu berjihad secara fizikal, tetapi ada harta maka hulurkanlah derma cari tabung-tabung & persatuan yang terbukti boleh dipercayai! 
      Jangan mudah-mudah derma ikut tiktok dan seumpamanya takut tidak sampai derma kita!

      ii- Allah sebut orang kaya di sini kerana orang yang miskin & lemah, memang mereka dapat keuzuran tak perlu alasan, memang mereka tidak layak untuk pergi berjihad! 
      Harta pun tak ada, kekuatan & kemampuan tenaga kekuatan juga tidak ada! 
      Jadi tak perlu sebut mereka ini kerana memang mereka dapat keuzuran tak perlu minta seperti munafiq yang kaya itu!
      Inilah dua sebab Allah sebut khas golongan yang kaya kaya- {ٱسْتَـْٔذَنَكَ أُو۟لُوا۟ ٱلطَّوْلِ}. 
    1. Ayat 86- {… dengan berkata: “Biarkanlah kami tinggal bersama-sama orang-orang yang tinggal (tidak turut berperang)”.}–

      Allah kata mereka meminta izin untuk tidak keluar, dengan berkata tinggalkan kami {ذَرْنَا} di sini, tak mahu keluar berperang dengan bersungguh! 
      Ini menunjukkan itu adalah kehendak & pilihan mereka untuk tidak ikut keluar bersama, mereka yang minta sendiri dengan sepenuh hati.
      Kemudian dalam ayat 87, Allah kata: Mereka juga redha {رَضُوا۟} untuk bersama para wanita, orang lemah, orang sakit, orang tua & kanak-kanak serta OKU yang uzur, kerana mereka adalah manusia yang bakhil, penakut pengecut & manusia yang tak reti bahasa!!!

      Dua ayat ini, minta nak duduk & redha ditinggalkan adalah kembar, sifat kembar bagi munafiqin yang tak mahu keluar berperang itu!
      Kata ulama’ tadabbur juga: Ayat ini menjadi dalil betapa lemah & penakut dan pengecutnya orang munafiq & orang yang lemah iman; hatta mereka sanggup buat pilihan untuk duduk bersama orang lemah dhaif, wanita & OKU!!!
      Pilihan mereka untuk bersama golongan ini!
      Jika mereka faham apa yang disediakan Allah mereka tidak akan pilih jalan yang lemah itu!
      Ayat ini juga menjadi dalil bahawa bagi wanita tiada jihad dalam peperangan!
      Tetapi bagi mereka ada jihad tanpa senjata seperti berjihad untuk melakukan amal ibadat, jaga maruah & aurat, mencari ilmu, jihad berdakwah, jihad mendidik anak-anak & menjaga rumah tangga!

      Hadis: Ummul Mukminin Aisyah RAnha. pernah bertanya kepada Nabi SAW:
      يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ قَالَ نَعَمْ عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ
      Maksudnya: Wahai Rasulullah, adakah ada jihad untuk para wanita? Rasulullah SAW menjawab: Ya, mereka wajib berjihad tetapi jihad yang tiada peperangan di dalamnya iaitu Haji dan Umrah.” [HR Ibnu Majah (3013)].
    1. Ayat 88- {(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka;…}-

      Orang beriman & berjihad dengan Nabi SAW, Allah kata mereka bersama dengan Nabi SAW { مَعَهُۥ}.
      Ini menunjukkan bahawa betapa setianya para sahabat Nabi SAW, mereka akan ikut ke mana sahaja Nabi SAW diararahkan Allah untuk pergi!!
      Sebagaimana kisah semasa mereka mahu keluar ke Badar, betapa sebelum keluar Nabi SAW bertanya kepada para sahabat untuk memberi isyarat kepada Baginda dengan beri pendapat & pegangan mereka!
      Para sahabat bangun dengan semangat menyatakan taat setia & kepatuhan mereka kepada Baginda SAW sehingga sanggup masuk lautan api bersama mereka!
      Apabila mendengar akuan para sahabat yang begitu setia & bersemangat, Rasulullah SAW lalu memberi khabar gembira akan kemenangan yang mereka akan dapat nanti & kebinasaan pemuka-pemuka Quraisy.
      Ayat ini menunjukkan ketinggian & kemuliaan para sahabat Nabi SAW.
      Orang yang bersama Nabi SAW tidak akan lari, yang lari adalah munafiq!
      Manakala mereka yang murtad selepas kewafatan Nabi SAW adalah mereka yang baru beriman, masih lemah imannya!
      Bukan para sahabat yang betul-betul muslim, yang telah bersama Nabi SAW dalam perjuangan & dakwah tidak akan lari dari Islam!!! 
    1. Ayat 88- {… dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.}-

      Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menjadi isyarat bahawa semua orang Islam yang keluar berperang bersama Nabi SAW dalam peperangan Tabuk dari kalangan sahabat yakni bukan munafiq; akan bersama Nabi SAW di dalam syurga!!!
      Sebagaimana yang telah diiklankan oleh Nabi SAW bagi mereka yang ikut berperang Badar & mereka yang bersama dalam Bai’ah Ridwan, tidak akan dikira jika dia tersilap atau tersalah buat keputusan. 
      Lihat kisah Hatib yang tersila hantar surat kepada Quraisy Makkah, Nabi SAW maafkannya!
      Maka jika kita dapati ada manusia yang benci, menghina mengutuk para sahabat; itulah orang jahat lagi celaka, kita tinggalkan mereka jangan sesekali kita bersama mereka sehingga kita termasuk dalam murka Allah juga!

    Ya Allah besihkan hati kami dari sifat munafiq, tanamkan dalam hati kami perasaan kasih & cintakan Allah & Rasul, serta layakkan kami untuk mendapat syurga & keredhaan-Mu dengan mati dalam husnul-khatimah.

    Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

    Wallahu a’lam.

    Powered by BetterDocs

    Leave a Reply

    Scroll to Top