MUNAFIQ BADWI PULA DATANG, GOLONGAN YANG DIBERI KEUZURAN & MUNAFIQ TIDAK DIMAAFKAN
Full video : https://youtu.be/xWOsbLqSrfc?si=02KSLSrSj8aOTggW
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 90 sehingga 93 dalam akhir juz yang kesepuluh.
- Dalam siri ini masih lagi tentang perangai buruk golongan munafiqin terhadap Islam, terutamanya terhadap Nabi SAW.
Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan bahawa munafiq Badwi pula datang menemui Nabi SAW.
- Allah juga nyatakan tentang golongan yang diberi keuzuran secara rasmi tak perlu pergi berperang, tak perlu minta izin, memang sudah gugur dari senarai.
- Kemudian munafiq datang untuk minta maaf kepada Nabi SAW; Allah tegaskan mereka tidak akan dimaafkan.
Allah nyatkan kepada kita perangai & watak buruk ini untuk kita ambil iktibar & pengajaran.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kategori & hal-ehwal munafiq, ada yang orang biasa dan awam, ada yang kaya raya set vip telah datang berjumpa Nabi SAW mencari keuzuran untuk tidak pergi berperang.
ii- Dalam ayat ini Allah ceritakan datang pula munafiq dari golongan badwi atau orang kampung, badwi yang tinggal di dalam khemah di pinggiran padang pasir, datang minta uzur juga!
Cukuplah tiga jenis atau kategori manusia munafiq, orang yang duduk dalam rumah batu & orang yang duduk dalam rumah bulu.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 90- {DAN DATANGLAH PULA ORANG-ORANG YANG MENYATAKAN UZURNYA DARI ORANG-ORANG “A’RAAB”, MEMOHON SUPAYA MEREKA DIIZINKAN (TIDAK TURUT BERPERANG), SEDANG ORANG-ORANG (MUNAFIK DI ANTARA MEREKA) YANG MENDUSTAKAN ALLAH DAN RASULNYA, DUDUK (MENDIAMKAN DIRI). (OLEH ITU) ORANG-ORANG YANG KAFIR DI ANTARA MEREKA, AKAN DIKENAKAN AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AT-TAUBAH 9:90)
- Allah ceritakan tentang golongan munafiq yang ketiga iaitu orang-orang Arab badwi {ٱلْأَعْرَابِ} yang tinggal di khemah-khemah di padang pasir yang datang minta keizinan dari Nabi SAW untuk tidak pergi berperang juga! Mereka ini dari kalangan badwi yang munafiq juga!
- Kemudian Allah nyatakan ada juga golongan dari orang-orang munafik di antara mereka yang mendustakan Allah dan RasulNya, duduk mendiamkan diri, iaitu tidak datang minta uzur & keizinan, hanya terus diam & tidak pergi berperang tanpa alasan!
Yang lain datang juga bermuka-muka, mereka ini tidak datang terus.
- Lalu Allah jatuhkan hukuman bahawa orang-orang yang kafir di antara mereka, akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
- Ulama’ kata: Janji azab ini untuk semua Iaitu sama ada kafir munafiq atau kafir hakiki semuanya akan dikenakan azab kerana kekufuran mereka itu!!
AYAT 91- {ORANG-ORANG YANG LEMAH DAN ORANG-ORANG YANG SAKIT, DAN JUGA ORANG-ORANG YANG TIDAK MEMPUNYAI SESUATU YANG AKAN DIBELANJAKAN, TIDAKLAH MENANGGUNG DOSA (KERANA TIDAK TURUT BERPERANG) APABILA MEREKA BERLAKU IKHLAS KEPADA ALLAH DAN RASULNYA. TIDAK ADA JALAN SEDIKITPUN BAGI MENYALAHKAN ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MEMPERBAIKI AMALANNYA; DAN ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AT-TAUBAH 9:91)
- Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang betul-betul tidak mampu & tidak dapat keluar berperang bersama Nabi SAW walaupun mereka amat ingin untuk pergi! Ashabul-Uzri yang hakiki!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah ceritakan tentang munafiq dari kalangan badwi pula.
Maka lengkaplah tiga jenis atau kategori munafiq yang ada pada zaman Nabi SAW itu.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan tentang orang-orang yang memang diberi keuzuran untuk tidak pergi berperang!
Jika kamu masuk dalam golongan ini maka tak perlu minta maaf.
- Mereka yang diberi keuzuran ini ialah:
i- Mereka yang uzur fizikal OKU {ٱلضُّعَفَآءِ}- seperti buta, tuli, tempang dan seumpamanya.
ii- Orang yang tidak ada kemampuan untuk pergi {العجزاء} seperti terlalu tua, wanita & kanak-kanak.
iii- Orang yang sakit {ٱلْمَرْضَىٰ} memang ada penyakit.
iv- Orang faqir& miskin, tidak ada kenderaan & senjata, tidak ada dana bekalan untuk dibelanjakan. {لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ}
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Fath 48:17)
- Mereka ini tidak dianggap berdosa jika tidak pergi dengan syarat mereka betul-betul ikhlas bukan munafiq, tidak pergi kerana uzur & tidak mampu sungguh (uzur syar’i), bukan kerana nak rehat tidak mahu bersusah & panas, nak tunggu kebun, rumah atau ahli keluarga, yakni niat itu kena betul!
- Bagi mereka yang muhsinin {ٱلْمُحْسِنِينَ} ini iaitu mereka yang jujur & telus, tidak pergi memang kerana uzur bukan kerana munafiq, maka tidak ada kesalahan bagi mereka!
Tidak di pertanggungjawabkan ke atas mereka kesalahan kerana mereka adalah orang baik & jujur bukan cuai, orang yang berusaha memperbaiki amalannya bukan penipu!
- Maka mereka yang baik ini dimaafkan & tidak boleh dipersalahkan!
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Kerana itu pentingnya kita menjadi orang yang muhsin; iaitu orang jujur baik bukan penipu & sudah menjalankan tugas atau tanggungjawabnya sedaya yang mereka mampu!
- Jika tidak guna kaedah ini, tidak akan ada orang yang berani nak tolong orang lain; kerana takut nanti akan dipersalahkan jika berlaku kesilapan!
Kita tolong kita dipersalahkan pula, nyaya la jadinya!
- Tetapi kita nak tolong orang pun kena tengok kapasiti kemampuan kita juga!
Apa yang kita mampu, jika tak mampu & tak berkuasa kita sanggup juga, ini jadi pak sanggup namanya!
Maka jangan pula kita mencari penyakit, tiada beban batu digalas!!
Tidak ada kerja cari kerja atau masalah pula!!
AYAT 92- {DAN TIDAK JUGA BERDOSA ORANG-ORANG YANG KETIKA MEREKA DATANG KEPADAMU (MEMOHON) SUPAYA ENGKAU MEMBERI KENDERAAN KEPADA MEREKA, ENGKAU BERKATA: “TIDAK ADA PADAKU KENDERAAN YANG HENDAK KUBERIKAN UNTUK MEMBAWA KAMU”, MEREKA KEMBALI SEDANG MATA MEREKA MENGALIRKAN AIRMATA YANG BERCUCURAN, KERANA SEDIH BAHAWA MEREKA TIDAK MEMPUNYAI SESUATUPUN YANG HENDAK MEREKA BELANJAKAN (UNTUK PERGI BERJIHAD PADA JALAN ALLAH).} (AT-TAUBAH 9:92)
- Dalam ayat ini Allah ceritakan tentang golongan kelima yang tidak dapat pergi berjihad.
Iaitu mereka yang memang tidak mampu untuk pergi berjihad sedangkan hati mereka ingin sekali menyertainya!
Mereka tiada kenderaan, tiada dana untuk dibelanjakan dan tiada orang yang dapat membantu.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang golongan lemah, sakit & faqir yang memang dikecualikan dari berjihad dengan syarat jujur & ikhlas.
ii- Maka datang ayat ini diceritakan tentang golongan yang kelima, iaitu mereka yang mahu pergi tetapi tidak ada kenderaan dan kelengkapan.
Mereka menangis kesedihan & amat kecewa kerana tidak dapat pergi.
Orang-orang yang dipanggil mereka yang menangis (البكاؤون) ini dikatakan 7 orang dari kalangan Ansar- (البكاؤون السبعة).
- Allah ceritakan dalam ayat ini sifat sebenar orang mukmin yang jujur, tidak mampu untuk buat kebaikan, mereka amat sedih & terkilan!
Nak pergi berjihad mereka tak mampu, mereka menangis kesedihan!
- Begitu juga kita jika dalam kampung, dalam masyarakat; ada maksiat ada kemungkaran tetapi kita tak ada kuasa, tak mampu nak larang atau sekat kemungkaran, biar ada perasaan benci & sedih dalam hati kita, menangis mengadulah kepada Allah bahawa kita tak mampu nak sekatnya!!
Luahkan perasaan nyatakan bantahan bukan buat tak tahu & tak nampak saja!!
AYAT 93- {SESUNGGUHNYA JALAN (UNTUK MENYALAHKAN DAN MENGENAKAN SEKSA) HANYALAH TERHADAP ORANG-ORANG YANG MEMINTA IZIN KEPADAMU SEDANG MEREKA KAYA DAN MAMPU. MEREKA SUKA TINGGAL BERSAMA-SAMA ORANG YANG DITINGGALKAN (KERANA UZUR) DAN (DENGAN SEBAB ITU) ALLAH METERAIKAN ATAS HATI MEREKA, SEHINGGA MEREKA TIDAK DAPAT MENGETAHUI (PERKARA YANG BAIK).} (AT-TAUBAH 9:93)
- Dalam ayat ini Allah nyatakan hukuman terhadap mereka yang kaya & mampu untuk pergi berperang tetapi tidak mahu pergi dan suka untuk ditinggalkan.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa orang baik; yang ikhlas & jujur tetapi tidak dapat pergi berperang maka Allah tidak ambil tindakan ke atas mereka, tidak dikira berdosa.
ii- Maka datang ayat ini dinyatakan mereka yang sebaliknya iaitu mereka yang Tuhan ambil tindakan & kenakan azab mereka; iaitu puak yang tidak mahu pergi berperang sedangkan mereka senang, kaya, tiada masalah & tanpa keuzuran, inilah munafiq, maka mereka ini kena azab.
Mereka redha & suka duduk di Madinah bersama orang-orang yang memang ada keuzuran!
- Maka mereka ini Allah cop ke atas hati mereka, matilah mereka dalam kekufuran!
Kita minta berlindung dengan Allah SWT daripada sifat yang buruk ini!
Alhamdulillah tamatlah 10 juzuk kuliah tafsir kita pada setiap pagi selepas subuh bagi kali yang kedua.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 91- {Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya.}- bagi golongan ini iaitu Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, Allah SWT maafkan mereka.
Kata ulama’: Ayat ini menunjukkan Allah angkatkan kesusahan bagi umat ini.
Golongan tersebut dimaafkan tidak mengapa tidak pergi jihad & mereka tidak salah.
Ayat ini menjadi asas gugurnya taklif, kewajipan/keberatan Syara’, ke atas orang yang sakit, uzur, tiada kemampuan dan lemah.
Contoh:
i- Orang sakit pada bulan Ramadhan: Tak boleh nak puasa, boleh tangguhkan puasa & qadha’nya apabila sembuh & sihat.
ii- Orang sakit tak boleh nak berdiri dalam solat: Boleh duduk dan seumpamanya!
Gugur ini pula ada dua:
i- Gugur diringankan dari berat kepada ringan: Seperti berdiri kepada duduk.
ii- Gugur dengan ganti, tak boleh puasa Ramadhan: Kena qadha’. Atau orang sakit tak boleh pergi haji tetapi ada harta, boleh upah orang gantikannya!
Boleh baca buku yang amat menarik ini untuk memahami hikmah & rahsia di sebalik Syari’ah Islam: Keindahan Islam.
- Ayat 91- {… tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya.}-
Mereka ini lemah & tidak mampu tetapi mereka tetap ikhlas dan jujur kepada Allah & Rasulullah SAW.
Kerana itu dikatakan agama ini nasihah, iaitu jujur kepada Allah & Rasul serta kita ajak orang beriman kepada Allah dan ikhlas menyampaikan Nashat kebenaran!
Kita hendaklah jujur dalam menyatakan hukum, dalam menyampaikan kebenaran, nasihat semata-mata kerana Allah, menjalankan tugas amar ma’ruf nahi mungkar, semua hukum Syari’ah dipatuhi, orang minta tolong kita tolong, apabila kita lihat sesuatu kita sanggup jadi saksi ini penting!
Sekarang ini orang takut & keberatan menjadi saksi walaupun dia tahu kerana kena melalui banyak prosedurenya.
Termasuk dalam memberi fatwa & hukum; Orang yang ada ilmu apabila ditanya hukum kena jujur dan beri penjelasan baik-baik, jangan dok cari yang ringan saja atau yang berat saja!
Kata ulama’: Mereka yang datang meminta keuzuran, minta izin Nabi untuk tidak pergi berperang ini ada dua golongan:
i- Ambil kesempatan dengan alasan kelemahannya untuk lari dari perjuangan.
ii- Ada orang yang memang uzur tetapi sangat berharap untuk pergi berjihad.
Maka dengan niatnya yang baik itu dia akan dapat pahala!
Seperti dalam peperangan Uhud, Abdullah bin Haram RA, bapa kepada Jabir yang tempang, bersungguh mahu pergi berjuang walaupun dia sebenarnya tidak wajib keluar berjihad, lalu Rasulullah SAW mengizinkannya pergi & akhirnya dia mati syahid.
Inilah orang jujur, mereka tidak mencari alasan & tidak ambil kesempatan atas keadaannya.
- Ayat 91- {… Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya;}-
Orang yang baik tidak akan diambil tindakan atas kesilapannya jika dia telah betul-betul buat kerja tetapi tersalah!
Kata ulama’: Apabila seseorang itu buat sesuatu kerja dalam skop kemampuannya maka akan gugurlah benda yang dia tidak mampu.
Dia akan dipertanggungjawab setakat kemampuannya.
Kaedah ini kata para ulama’:
Sesiapa yang sukarela buat sesuatu amal & kebaikan dan dia buatnya dengan bersungguh sebaik mungkin; tetapi ada kesilapan dan kelemahan, maka dia dimaafkan, tidak diambil kira atau tidak boleh disalahkannya!
Tetapi ingat jangan jadikan alasan sukarela untuk buat kerja secara sambil lewa, main-main, cincau-cincau sahaja!
Kamu sudah terima tugas itu maka bersungguhlah & cuba sebaik mungkin!
Sesiapa yang sudah terima sesuatu tugas & jawatan walaupun secara sukarela; dia kena bertanggungjawab atas tugas itu!
Tidak boleh main-main atau sambil lewa atas tanggungjawab, besar kesilapannnya!
- Ayat 92- {Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran…}-
Mereka para sahabat yang tidak kemampuan & tiada harta datang berjumpa Nabi SAW untuk pergi berjihad kemudian keluar dengan penuh kesedihan, mengalir air matanya kerana tidak dapat pergi!
Kata para ulama’ orang menangis itu ada dua keadaan:
i- Tangisan lelaki, apabila mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab yang besar mereka akan menangis. Menangis kerana Allah SWT, inilah yang paling baik!
ii- Tangisan orang tua tetapi seperti tangisan kanak-kanak atau wanita, menangis kerana kehilangan bab dunia atau peluang atas dunia! Ini tangisan yang tiada faedah.
Tangisan palsu: Dipanggil air mata buaya, yang menipu & berpura sedih sahaja.
Maka ayat ini menyatakan dalil boleh kita menangis untuk menyatakan ketaatan atau sedih kerana terlepas dari melakukan ketaatan atau peluang ibadat.
Jiwa ibadat itu ada insya’ Allah, Allah akan tulis kebaikan baginya!!
Contoh: Orang yang setiap hari solat jemaah sebelum ini, tiba-tiba sakit tidak boleh pergi ke masjid, lalu dia menangis kesedihan lihat orang lain pergi dia tak dapat pergi!
Tak mengapa insya’ Allah, Allah akan tuliskan pahala pencen untuknya!
Tangisan para sahabat yang dinyatakan dalam ayat ini menunujukkan betapa semangatnya mereka para sahabat yang mukmin untuk berjihad, kerana itu mereka sedih apabila tidak dapat pergi!
Ia juga menunjukkan kekuatan iman!
Juga nak sindir munafiq yang terhegeh-hegeh & gembira tak payah pergi!
- Ayat 93- {Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan dan mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mampu…}-
Yang bersalah & akan kena azabnya ialah mereka yang bermain-main dengan hukum!
Cari alasan tak mahu berjihad, cari alasan tak mahu infaq fi-sabilillah.
Tujuannya kerana nak lari daripada tanggungjawab & taklif Syara’.
Rela & redha meletakkan diri bersama orang yang lemah & uzur tak boleh berjihad.
Bahayanya sifat orang yang tak mahu berjihad, tak mahu berjuang, tak mahu berdakwah nak duduk rehat-rehat saja!
Rugi sekali jika ada peluang berjuang, berdakwah, menyampaikan ilmu tetapi tak mahu ambilnya!
Puak munafiq ini rela duduk bersama kanak-kanak dan wanita yang ada keuzuran yang tak pelru keluar berjihad!
Maka Allah SWT kata Dia cop ke atas hati dan biarkan mereka terumbang-ambing tidak tahu hendak ke mana seperti kambing tanpa gembala!
Kita orang beriman tidak mahu begitu, niat baik insya’ Allah, Allah beri pahala.
Semoga Allah beri kepada kita kefahaman yang baik.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
