Allah Maklum Awal Tentang Munafiq, Sumpah Palsu Mereka & Allah Tidak Redha Kaum Fasiq.
Full video : https://youtu.be/pe-NrZpfsaU?si=GGd7ryO3JXp9i8Qe
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 94 sehingga 96 dalam juzuk kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT Allah maklumkan awal-awal kepada Rasulullah SAW tentang munafiq, yang akan datang terhegeh-hegeh meminta maaf & memberi 1000 alasan kenapa tidak pergi berperang.
- Allah juga nyatakan mereka akan bersumpah palsu memberi alasan untuk membuatkan kamu maafkan mereka, menerima keuzuran mereka & redha kepada mereka.
- Allah tegasakan; Walaupun kamu redha dengan mereka, sesekali Allah tidak akan redha terhadap kaum fasiq.
Maka pastilah kita nak ikut apa yang Allah kehendaki & tidak akan menerima sumpah palsu mereka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah mencela puak munafikin dengan 3 kategori mereka; orang kampung, orang kaya dan orang badwi.
Kemudian Allah nyatakan pula tentang golongan yang diberikan kelonggaran daripada berperang iaitu faqir-miskin, orang sakit & yang uzur lagi lemah.
ii- Maka ayat ini persiapan awal, Allah turunkan ayat al-Quran ceritakan kepada Nabi tentang perihal puak munafiqin yang akan datang bersumpah palsu.
Ini adalah wahyu Allah tentang perkara yang akan berlaku, yang mendedahkan rahsia dan perangai munafiqin lalu Nabi SAW tahu dah apa mereka akan buat!
Satu mukjizat yang Allah kurniakan buat Nabi SAW, ada beberapa ayat al-Quran yang menceritakan tentang apa yang akan berlaku bagi membolehkan Nabi SAW buat persiapan awal untuk menangani isu yang akan timbul itu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 94- {MEREKA AKAN MENYATAKAN UZUR KEPADA KAMU, APABILA KAMU KEMBALI KEPADA MEREKA (DARI MEDAN PERANG). KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “JANGANLAH KAMU MENYATAKAN UZUR LAGI, KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN PERCAYA KEPADA KAMU. KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENERANGKAN KEPADA KAMI AKAN BERITA-BERITA PERIHAL KAMU; DAN ALLAH SERTA RASULNYA AKAN MELIHAT AMAL KAMU (SAMA ADA KAMU KEMBALI BERIMAN ATAU TETAP KUFUR); KEMUDIAN KAMU AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA (ALLAH) YANG MENGETAHUI PERKARA-PERKARA YANG GHAIB DAN YANG NYATA (UNTUK MENERIMA BALASAN), LALU IA MENYATAKAN KEPADA KAMU APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN”.} (AT-TAUBAH 9:94)
- Ayat ini adalah mukjizat Allah SWT memberitahu kepada Nabi SAW apa yang akan berlaku nanti.
Iaitu apabila Baginda kembali ke Madinah daripada peperangan Tabuk nanti; puak munafiq yang telah mencari keuzuran untuk tidak pergi berperang dulu; akan datang pula untuk meminta maaf dan bersumpah dusta!!
Ini supaya Nabi SAW maafkan mereka & tak ambil tindakan ke atas mereka!
- Allah SWT ajar kepada Nabi SAW jika mereka datang, jangan sesekali terima permohonan maaf mereka, katakan kepada mereka: “Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak sekali-kali akan percaya kepada kamu.
Begitulah ada orang yang boleh kita bawa berbincang, ada orang yang tak perlu kita layan lagi kerana mereka dok ulang perangai khianat yang sama!
- Katakan kepada mereka bahawa: Kerana sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kami akan berita-berita perihal kamu; yakni tak perlu lagi kamu nak berdusta kerana kami semua telah tahu, Allah telah ceritakankan kepada kami {قَدْ نَبَّأَنَا ٱللَّهُ} akan perihal kamu wahai munafiq!
Iaitu Rasulullah telah tahu & para sahabat semuanya juga telah tahu!
- Ayat ini berbeza dengan firman Allah dalam surah Tahrim ini kerana itu adalah perihal keluarga Nabi SAW, hal peribadi maka Allah hanya wahyukan khas untuk Baginda SAW sahaja.
Hal keluarga tak perlu dicanangkan kepada orang ramai!
Manakala ayat ini buat para mukmin semua, rahsia umum perangai munafiqin.
- Firman Allah SWT :
{Nabi menjawab: “Aku diberitahu {نَبَّأَنِىَ} oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi) “. (At-Tahriim 66:3)
- Kami (Rasul & semua orang mukmin) telah mengetahui semua perangai kamu wahai munafiq.
Allah & Rasulullah SAW akan melihat perangai & tindak-tanduk kamu.
Apakah kamu ikhlas betul-betul meminta maaf, telah insaf atau saja bermain-main & bersumpah palsu!!
- Kemudian kami akan kembalikan urusan kamu wahai munafiq kepada Allah Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata. Yang zahir atau yang ghaib, yang nampak atau yang tidak nampak.
- Kelak Allah akan maklumkan & tunjukkan kepada kamu apa yang telah kamu telah kerjakan atas dunia ini kemudian akan memberi balasan kepada kamu atas perbuatan kamu itu!
AYAT 95- {MEREKA AKAN BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH KEPADA KAMU APABILA KAMU KEMBALI KEPADA MEREKA (DARI MEDAN PERANG), SUPAYA KAMU BERPALING DARI MEREKA (TIDAK MENEMPELAK MEREKA); OLEH ITU BERPALINGLAH DARI MEREKA KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA ITU KOTOR (DISEBABKAN MEREKA TELAH SEBATI DENGAN KUFUR); DAN TEMPAT KEMBALI MEREKA PULA IALAH NERAKA JAHANNAM, SEBAGAI BALASAN BAGI APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN.} (AT-TAUBAH 9:95)
- Allah nytatakan puak munafiq akan datang untuk bersumpah kepada kamu setelah kamu kembali dari medan perang Tabuk agar kamu tidak memarahi mereka & menerima alasan keuzuran mereka!
Mereka datang nak beri alasan lagi agar Nabi SAW tidak kecam, kutuk & ambil tindakan ke atas mereka!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini Allah nyatakan orang munafiq akan datang minta maaf dengan Nabi SAW sekembalinya Baginda dari Perang Tabuk!
ii- Maka datang ayat ini menyatakan cara mereka mencari alasan itu iaitu dengan bersumpah dengan nama Allah kepada Nabi SAW. agar mereka tidak dicela & dikutuk.
- Lalu Allah ajar kepada Nabi SAW untuk berpaling dari mereka, buat tak tahu, jangan ambil peduli & jangan layan lansung mereka!
Mereka datang untuk berikan alasan, jangan dengar apatah lagi terima alasan mereka itu, buat tak tahu saja!
- Ini mereka adalah orang yang kotor {رِجْسٌۭ} iaitu, jiwanya kotor kerana amalannya keji, lalu telah tenggelam dalam kekufuran!!!
Maka tak perlu dilayan mereka, buat tak tahu, biarkan mereka malu sendiri.
Jangan beri ruang lansung untuk mereka bersuara.
Mereka cuba bermulut manis kerana nak melindungi perangai jahat mereka!
- Begitulah perangai manusia sama saja, kadang-kadang mereka yang tidak dikenali ini saja buat perangai nak suruh orang layan, jawab atau balas lalu mereka akan mendapat perhatian & dikenali ramai.
Sama seperti perangai kambing yang menanduk bukit, bukan bukit yang akan pecah tetapi tanduknya yang akan patah!
Maka kita orang besar ini tak perlu layanlan provokasi budak-budak, jadilah seperti bukit yang diam saja tidak balas tandukan kambing itu!
- Di akhir ayat Allah nyatakan tempat kembali puak munafiqin di Akhirat ialah neraka Jahannam sebagai balasan dosa mereka di dunia!
Balasan bagi apa saja kejahatan yang mereka buat atas dunia ini!
- Ahli sejarah kata : Terdapat lebih kurang 80 orang golongan munafiq yang tidak pergi berperang ke Tabuk ini!
Dalam golongan ini terdapat juga 3 orang sahabat yang beriman & jujur tetapi kesilapan mereka adalah menangguh-nangguhkan pemergian mereka sehinggalah Rasulullah & tentera Islam kembali!
- Salah seorang mereka ialah Ka’ab bin Malik RA.
Kisah Ka’ab ini boleh dilihat dalam hadis yang panjang yang diceritakannya sendiri.
Dia bersama tiga sahabat lagi dengan jujur mengaku kepada Nabi SAW kecuaian mereka & minta maaf, tanpa memberi alasan yang remeh & bersumpah palsu!
- Kisah tiga sahabat yang tidak ikut Perang Tabuk, iaitu Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah, dan Murarah bin Rabi.
Ka’ab kerana mereka menunda-nunda persiapan, namun ketika ingin menyusul, ia tidak ditakdirkan telah terlalu lewat sehingga rombongan Tabuk pulang!
- Setelah mereka yang tidak pergi datang berjumpa Rasulullah SAW dengan memberi pelbagai alasan, Ka’ab & dua sahabat lagi datang juga dan mengaku kesilapan mereka.
Ka’ab berkata : Tidak terlintas dalam fikirannya untuk berbohong kepada Nabi SAW & mencipta alasan untuk dimaafkan apatah lagi untuk bersumpah palsu!
- Setelah pengakuan mereka itu, Rasulullah SAW & umat Islam memboikot mereka, tidak seorang pun bercakap & buat urusan dengan mereka hatta isteri & keluarganya.
Setelah 50 hari, Allah menerima taubat mereka, dan akhirnya Allah mengampunkannya.
Mereka inilah orang yang jujur bukan munafiq.
AYAT 96- {MEREKA BERSUMPAH KEPADA KAMU SUPAYA KAMU REDA AKAN MEREKA; OLEH ITU JIKA KAMU REDA AKAN MEREKA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK REDA AKAN KAUM YANG FASIK.} (AT-TAUBAH 9:96)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini Allah menyatakan munafiqin akan datang bersumpah agar Nabi memaafkan mereka, tak kecam tak kutuk mereka.
ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan tujuan mereka bersumpah adalah agar Nabi SAW redha kepada mereka.
Tetapi Allah tegaskan dan beri amaran bahawa jika mahu lunak dengan mereka; Allah sesekali tidak akan redha dengan kaum munafiq ini.
- Allah ceritakan dalam ayat ini bahawa puak munafiqin itu datang bersumpah kepada Nabi SAW agar Nabi redha, boleh terima mereka & teruskan berkawan dengan mereka kerana kononnya mereka itu ada masyaqqah.
Padahal mereka itu menipu hangit!
- Di akhir ayat Allah bagi amaran jika kamu terima & redha mereka dengan sumpah & alasan mereka; Allah tidak akan redha kepada mereka sesekali!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 94- {Mereka akan menyatakan uzur kepada kamu, apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang).]-
Allah nyatakan puak munafiq yang tidak pergi berperang akan datang berjumpa Nabi SAW untuk meminta maaf memberi alasan & keuzuran!
Sebagaimana kita tahu; penyakit jika dapat dikesan atau diketahui dari awal lebih mudah untuk diubati dari awal juga.
Jadi Allah beritahu awal lagi kepada Nabi SAW bahawa puak munafiqin itu akan datang minta maaf untuk mengajar Baginda cara menghadapi mereka, iaitu jangan layan, jangan dengar alasan mereka.
Kata ulama’ tadabbur juga : Ayat ini menjadi hujjah kepada kita agar jangan terima alasan atau permohonan maaf orang yang memang dikenali sebagai pembohong!
Jika mereka telah bertaubat pun kita ambil langkah berjaga-jaga, tengok dan pantau dulu keadaan & perangainya buat beberapa waktu, jika dia betul-betul jujur & taubat nasuha baru kita terima!
Jika mereka nampak hanya main-main & tidak insaf, kita kena sentiasa berhati-hati kerana mereka tiada perinsip dan kembali kepada kita kerana ada kepentingan diri.
Maka kita orang beriman jangan mudah terpedaya & mudah percaya kepada orang, jika orang datang nak sokong kita terus terima walaupun dulu dia ada sejarah pernah hina Islam, menyokong geng murtad, saman orang Islam dan seumpamanya!
Kata ulama’ : Antara feqah ayat ini ialah mengajar adab kita sebagai orang Islam: Cuba elak, jaga diri, perbuatan & perkataan yang boleh menyababkan kita kena meminta maaf pada orang.
Maka sentiasa berhati-hati dengan kata-kata, penulisan dan perbuatan kita, jangan sampai boleh membuat orang terasa atau marah sehingga menyebabkan kita kena minta maaf!
Ayat ini mengajar kita adab Islam.
Orang yang suka hidup senang, relaks-relaks, healing sahaja, hidup mereka hanya fikir tentang makan minum dan bangun-pakai; maka mereka tiada semangat perjuangan atau dakwah, tidak memikirkan tentang ummah!
- Ayat 94- {… dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur);}-
Kamu buatlah apa pun wahai munafiqin Allah tengok, Rasul tengok.
Netizen & masyarakat sentiasa memerhati.
Kata ulama’ : Amalan, tindak-tanduk kita menjadi parameter kepada sifat kita sama ada benar atau tidak.
Tidak cukup dengan bercakap saja kerana setakat berbual bercakap atau berceramah saja, ramai orang boleh buat.
Berpidato bergoyang pentas tetapi apabila dilihat kepada perbuatan & amalan ramai yang gagal!
Maka buatlah apa saja kamu nak buat wahai munafiq, sesungguhnya Allah & Rasul akan melihat dan menilai amalan kamu itu.
Kata ulama’ tadabbur :
i- Amal menjadi kayu ukur, kata-kata sahaja tidak mencukupi & memadai.
ii- Ayat ini menjadi bimbingan jangan sesiapa memuji amalannya sendiri.
Panduan agar kita tidak memuji amalan sendiri kerana kita bukan tak tahu hati kita.
Serahkannya kepada Allah untuk menilainya. Kita buat yang terbaik kemudian serahkan kepada Allah.
Allah akan sentiasa menilai perbuatan dan amalan kita & amalan ikhlas membawa pahala & keredhaan Allah.
- Ayat 95- {… oleh itu berpalinglah dari mereka kerana sesungguhnya mereka itu kotor…}-
Allah SWT ajar kepada Nabi SAW kamu jangan layan orang yang bergini kerana sesungguhnya mereka itu kotor.
Ayat ini mengajar kepada kita bahawa bukan semua isu kita kena layan, bukan semua tuduhan kita kena react dan jawab, jangan beri perhatian pada orang yang suka berlebih-lebihan atau over dan boleh membuang masa kita.
Jika kita tahu orang tu orang tak baik, banyak karenah & tiada etika; jangan layan karenahnya kerana mereka orang yang kotor jiwanya!
Kita pilih apa yang boleh membawa kebaikan saja.
Kita cakap apa yang kita nak sampaikan kebenaran kepada semua, bukan semata-mata nak tujukkan kepada orang tertentu, bukan nak kata kepada golongan khas, ia adalah nasihat & teguran umum, jangan cuba laga-lagakan!
Begitulah ada benda kita kena layan, ada perkara tak perlu kita layan.
Sebagaimana Allah ajar kepada Nabi SAW agar tak perlu layan puak munafiqin yang datang nak bersumpah!
- Ayat 94- {… lalu Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.}-
Allah kata Dia akan dedah, ceritakan apa yang kamu buat!
Maknanya kita ini akan dipertanggungjawab dengan apa yang kita buat, serta balasannya ikut apa yang kita buat!
Dalam ayat 94, Allah berfirman:
“فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ”
Allah kata Dia akan dedahkan, akan bongkar apa yang kamu buat!
Ini kerana kaum munafiq ini mereka melakukan perbuatan jahat mereka secara sembunyi dan senyap-senyap, berselindung disebalik itu ini!
Maka Allah dedahkan dengan ilmu-Nya.
Kemudian datang ayat 95 sebagai sambungannya:
“جَزَاءًۢ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ” :
Allah kata balasan itu mengikut apa yang kamu laku & usahakan.
Ini adalah apa yang zahir & nampak manakala yang sebelum ini yang tersembunyi.
Allah kata Dia yang ceritakan apa yang tersembunyi kemudian membalasnya apa yang zahir.
Ayat ini menunjukkan ilmu Allah itu luas, susunan ayat yang begitu indah, setiap ayat dipasang, disusun ikut keperluan dan isu yang dihadapi:
i- Ayat 94: Allah khabarkan bahawa amalan akan didedahkan.
ii- Ayat 95: Allah ikat dengan balasan amalan itu.
Kerana apa benih yang ditabur, itulah hasil yang dituai. Kamu tabur padi maka padilah yang akan dituai, tak akan jadi gandum.
Munafiqin kamu tabur apa atas dunia ini; pembohongan, penipuan, maka itulah yang akan kamu dapat nanti!
Allah gambarkan munafiqin ini sebagai orang yang kotor {رِجْسٌ} iaitu kotor secara maknawi walaupun dia sebenarnya mungkin hensem, bersih & wangi tetapi jiwanya kotor!!!
Yakni luaran & zahirnya elok dan baik tetapi dalamannya buruk & jahat!
Kotor bodi boleh dimandikan, dibersihkan, kasi wangi, tetapi kotor jiwa tiada yang tahu, hanya tuannya yang tahu!
Didepan manis & baik di belakang kita tak tahu apa mereka buat!
- Ayat 96- {Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu reda akan mereka; oleh itu jika kamu reda akan mereka, maka sesungguhnya Allah tidak reda akan kaum yang fasik.}-
Ingat kamu jangan mudah koyak, cair & hanyut dengan puak munafiq!
Ayat ini mengajar bahawa hati kita kena sayang kepada orang beriman & benci kepada orang munafiq & kafir, najis maksiat & kufur mereka itu wajib kita benci!
Jika kita redha dengan maksiat mereka, seolah kita ini ahli maksiat juga!
Allah kata, ahli maksiat seperti mereka yang kufur & syirik, pereka bid’ah & penyebar khurafat, kita kena benci kepada mereka!
Tak kiralah mereka berselindung atas nama apa; toleransi, nasionalis, kapitalis atau iblis!!
Kita ambillah keredhaan Allah jangan cari keredhaan manusia barulah kita selamat dunia Akhirat.
Marilah kita semua selamatkan diri kita dari sifat-sifat buruk munafiq ini!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
