View Categories

(40) Surah At-Taubah: Ayat 97-98

10 min read

Kumpulan Badwi Lebih Kuat Kufur Dan Nifaq, Kerana Kejahilan & Infaq Dianggap Kerugian.

Full video : https://youtu.be/Yx0g-1WGrV8?si=j75dLYrG5Ssy55mk

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah at-Taubah dengan ayat 97 dan 98 dalam juzuk kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa kumpulan badwi yang tinggal di pedalaman lebih kuat dia punya kufur dan nifaqnya.
  1. Ini kerana kejahilan mereka, orang yang tak mengaji lebih teruk daripada orang yang belajar!
    Tetapi kerosakan yang dibuat oleh orang ada ilmu lebih dahsyat berbanding dengan orang jahil. Ini kerana dia tahu dia lawan & tak mahu ikut!
  1. Mereka juga tak faham lalu infaq dianggap kerugian, zakat dianggap denda!
    Kita orang beriman yakin bahawa semua itu ada pulangan yang besar di Akhirat kelak.
    Apabila hati kita yakin & bergantung kepada Allah semuanya jelas insya’ Allah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT ceritakan tentang keadaan munafiqin yang tinggal di bandar.

    ii- Maka datang ayat ini tentang sifat munafik yang tinggal di luar bandar dan jauh di pedalaman.
  1. Munasabah kedua:
    i- Allah nyatakan ada orang yang datang minta izin dengan Nabi SAW untuk tak mahu pergi berperang, redha untuk duduk bersama orang-orang yang lemah; mencari alasan untuk pergi.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan puak a’rab nadwi itu lebih patut lagi tidak pergi, kenapa?
    Kerana mereka tidak ada tamadun, mereka tidak ada ilmu, tidak dengar ceramah Nabi SAW. Yakni di kampung mereka tidak ada pendidikan, tidak ada maklumat kerana mereka hidup dalam keompok mereka sahaja!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 97- {ORANG-ORANG A’RAAB LEBIH KERAS KUFURNYA DAN SIKAP MUNAFIKNYA, DAN SANGATLAH PATUT MEREKA TIDAK MENGETAHUI BATAS-BATAS (DAN HUKUM-HUKUM SYARAK) YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH KEPADA RASULNYA. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAUBAH 9:97)

  1. Allah menyatakan dengan jelas bahawa orang a’rab badwi ini lebih kuat kufurnya dan lebih ganas sifat kemunafiqannya!
    Maksud al-A’arab {ٱلْأَعْرَابُ}- orang Arab Badwi penduduk desa di padang pasir, yang terpencil duduk jauh dari orang Arab penduduk bandar yang bertamadun.
  1. Allah nyatakan sebab mereka jadi begitu, tidak tahu batas-batas & hukum Syara’ yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya SAW maka lebih besar kejahilan mereka tentang ajaran Nabi SAW.
  1. Kata ahli fikir : Setiap generasi ada dua tempat tinggal manusia; sama ada di bandar atau di kampung pedalaman!
    Sebagaimana kita lihat hari ini betapa ada pendakwah & NGO-NGO yang sanggup masuk dalam bukit-hutan melalui jalan road-off untuk sampaikan dakwah & bantuan kepada orang yang tinggal di sana.
    Betapa kekuatan jiwa & fizikal mereka seiring, semoga Allah menjaga mereka & membalas sebaik ganjarannya.
    Kita yang tidak mampu pergi, bantulah mereka dengan kiriman doa & dana untuk gerak kerja dakwah mereka.
  1. Di sini Allah nyatakan bahawa mereka yang tinggal di desa; lebih teruk kekufurannya dan lebih kuat munafiqnya berbanding dengan kafir di luar, yang tinggal di bandar!
    Hidup mereka terpencil, tidak bergaul dengan masyarakat, hidup sendirian, jauh dari ilmuan & tidak ada pelajaran.
  1. Nota 293: Kata al-Qasimi : Sebabnya mereka lebih keras kufur & munafiqnya kerana mereka hidup secara liar dan jauh pula dari melihat alim ulama’ atau mendengar nasihat pengajaran.
    Apatah lagi mengetahui kandungan Kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW berbanding dengan Arab penduduk bandar!
  1. Kata Ibnu Jarir juga : Allah sifatkan mereka keras kerana cara hidup mereka, hidup tiada protokol, hati mereka kerasa dan mereka tidak banyak bergaul dengan orang baik-baik.
    Kerana itu hati mereka keras & lebih lemah dan sedikit ilmu tentang haq Allah.
  1. Kata al-Wahidi : Kerana mereka tak dengar al-Quran, tak dengar nasihat Nabi SAW, itulah sebabnya!
  1. Kata Ibnu Atiyah pula : Ayat ini turun untuk menunjukkan sifat munafiqin yang duduk di pedalaman.
    Sebab mereka jauh dari ilmu, jauh dari makrifat maka mereka menjadi orang yang keras hatinya & keras perangainya!
  1. Mereka jauh dari mengetahui batas-batas hukum Syara’ yang dibawa oleh Nabi SAW kerana mereka duduk jauh tak dengarlah.
    Orang badwi ini tahu hukum al-Quran, tak tahu halal-haram!
    Jika mereka datang berjumpa Nabi SAW & belajarnya pastilah mereka akan mengetahui ilmu-ilmunya.
    Inilah dikatakan tak kenal maka tak cinta, nak kenal macamana kerana tak mengaji!
  1. Hadis riwayat dari Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    عن النبي – قال: من سكن البادية جفا، ومن اتبع الصيد غفل، ومن أتى السلطان افتتن.

    Maksudnya: “Sesiapa yang tinggal di kawasan badwi (pedalaman) kasar perwtakannya.
    Siapa yang suka mengikut haiwan perburuan akan lalai, dan sesiapa suka mendatangi pintu-pintu sultan (pemerintah) akan terfitnah.
    [HR Abu Daud & Baihaki].
    Yakni nak mengampu atau nak bodek pemerintah.
  1. Di akhir ayat Allah berkata bahawa:
    i- Allah Maha Mengetahui, akan perihal makhluk-Nya tidak ada perkara yang tersembunyi dari Allah di dunia ini.
    Allah mengetahui siapa yang beriman, siapa yang kafir & siapa yang munafiq!
    Allah tahu mana jiwa yang baik, yang boleh menerima ilmu & iman! Ada orang yang tidak patut dilayan kerana mereka keras & kufur sehingga ke akhir hayatnya termasuk puak badwi di pedalaman.

    Sifat Allah yang Maha Mengetahui keadaan hamba-Nya, mana yang patut diberi & tidak patut diberi.
    Tetapi ada juga badwi yang beriman mereka datang berjumpa Nabi SAW dan bertanya tentang agama yang mereka tak faham.

    ii- Lagi Maha Bijaksana, iaitu bijak dalam menyusun atur makhluk-Nya dan mentadbir, bijak untuk siapa yang patut dihukum & diberi pahala.
    Bijak juga ialah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang sesuai.
    Contoh, Letak kofiyyah di kepala, letak selipar/capal di kaki. Bukan sebaliknya.
  1. Yakni walaupun begitu; tidak semua orang badwi itu kufur & munafiq, Allah mengetahui akan keadaan hamba-Nya, Allah maha bijaksana menyusun-aturkan pengakhiran hidup hamba-Nya.

AYAT 98- {DAN SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG A’RAAB (YANG MUNAFIK) ITU MEMANDANG APA YANG MEREKA BELANJAKAN (DERMAKAN PADA JALAN ALLAH) SEBAGAI SATU BAYARAN YANG MEMBERATKAN, SAMBIL MENUNGGU PEREDARAN ZAMAN (YANG MEMBAWA BALA BENCANA) MENIMPA KAMU; ATAS MEREKALAH (TERTIMPANYA BALA BENCANA YANG DIBAWA OLEH) PEREDARAN ZAMAN YANG BURUK ITU. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AT-TAUBAH 9:98)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah menyatakan bahawa puak a’rab ini adalah orang yang tak belajar, tak ada ilmu, kerana mereka jauh di pedalaman!

    ii- Lalu dalam ayat ini Allah nyatakan kerana kerasnya sifat mereka itu menjadikan mereka bakhil & berdendam kepada orang Islam & tak suka akan hukum Islam terutama zakat & infaq.
    Semua hukum mereka anggap bebanan dan menunggu kewafatan Nabi SAW dan tukar pemerintah.
  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa ada sebahagian Arab badwi yang munafiq itu yang menganggap apa saja yang mereka belanjakan, infaq & dermakan pada jalan Allah itu sebagai satu barang yang memberatkan dan cukai yang membebankan bagi mereka!
    Satu kerugian yang menghabiskan harta mereka, mereka melakukannya dengan terpaksa bukan kerana ikhlas mengharapkan pahala dari Allah!
  1. Maka kita orang beriman apabila kita infaq, sedekah dan derma; letakkan di depan mata kita pahala dan balasan yang dijanjikan Allah SWT!
    Jangan rasa kita akan kerugian dan kehabisan harta.
    Dunia ini setara mana sahaja kita nak pegangnya.
    Akan habis untuk makan-minum, makan pakai sahaja, jika kerana nafsu kita boleh ikut tetapi dengan infaq kita rasa terbeban maka kena semak balik hati & iman kita, jangan jadi seperti badwi yang munafiq!
    Orang tua kata:
    Anak cucu dalam perahu, tak acu tak tahu!
  1. Allah nyatakan lagi, ada di kalangan orang a’rab ini yang menunggu-nunggu agar Islam kalah, ditimpa bala, keadaan goyah tak stabil atau Nabi SAW wafat!
  1. Kata Ibnu Asyur RHM : Puak badwi sedang menunggu berita kekalahan Islam di serang musuh, kalah atau tewas atau Nabi SAW sendiri mati.
    Maka ketika itu mereka akan zahirkan apa yang ada di dalam hati mereka.
  1. Kerana itu selepas wafat Nabi SAW timbul satu kumpulan puak yang murtad iaitu ahli riddah! tetapi ingat yang murtad itu bukan orang mukmin tetapi puak-puak munafiq yang menunggu masa sahaja untuk menzahirkan kekufuran mereka!
  1. Maka Allah tegaskan di sini bahawa keburukan itu akan dikembalikan kepada mereka bukan ke atas orang Islam.
  1. Bagi orang Islam itu semuanya baik menang atau kalah.
    Jika kalah kita sabar jika menang kita syukur!
    Tetapi puak munafiq sebaliknya mereka amat suka jika orang Islam ditimpa kekalahan & kesusahan musibah!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Dan supaya Ia menyeksa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik, lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa Ia akan mengecewakan RasulNya). Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.} (Al-Fath 48:6)
  1. Pada akhir ayat Allah kata:
    i- Allah Maha Mendengar apa yang mereka katakan.

    ii- Lagi Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati mereka!
    Yakni Allah tahu semua apa yang mereka zahirkan & sembunyikan, yang kau katakan atau tidak!
    Kita orang beriman hati-hati jangan sampai kita terperangkap & jangan sampai kita diazab Allah SWT.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 97- {Orang-orang A’raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya.}-

    Puak badwi ini keras, sifatnya ganas, nifaqnya ganas & mereka tak tahu apa yang diturunkan Allah SWT.

    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menyatakan kelebihan ilmu, maka sesiapa yang tidak belajar, tidak mengaji, maka dia akan lebih dekat kepada keburukan daripada kebaikan!
    Dia nak buat benda baik tetapi tak jadi!
    Maka Allah cela puak badwi yang munafiq kerana mereka tidak ilmu tentang Allah & tentang Rasulullah SAW, Begitulah bahayanya jahil, rosak manusia kerana tidak ada ilmu!
    Kata ulama’ : Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang memberi faedah.
    Ilmu yang mengajar kita untuk memilih yang baik yang buruk, yang mengajar batasan iman & kufur; yang kufur kita jauhi.

    Kita kenali Rasulullah SAW dengan Sunnahnya yang ditinggalkan bukan kita kenal dengan sebab mereka-reka ibadat apa yang tidak di ajar oleh Baginda!
    Inilah pentingnya ada ilmu, kerana orang tiada ilmu akan mudah koyak, mudah kecundang, mudah terpedaya dengan perkara-perkara yang tidak baik!
  1. Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang munafiqin yang minta izin tidak mahu berjihad seperti dalam perang Tabuk dan mereka yang tidak pergi itu ialah puak bandar.
    Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa orang badwi munafiq itu lebih teruk lagi kerana perangai mereka keras, tiada protokol & mereka tidak segan malu kepada orang lain!

    Seperti hadis Nabi SAW di atas tadi.
    Inilah bahayanya orang yang tinggal jauh dari kemajuan, suka ikut perburuan & perangkap dunia, maka dia akan lagha & jauh dari Allah.
    Siapa yang berteman dengan raja/pemimpin untuk tujuan mengampu maka dia akan terperangkap dengan fitnah.

    Kisah seorang badwi yang pandai bersyair di kampung tempatnya.
    Maka dia dibawa ke istana dipanggil oleh raja untuk mendengar syairnya!
    Maka diapun bersyair memuji raja, tetapi dibandingkan raja dengan anjing perburuannya yang setia & sabar!
    Ini satu kemuliaan bagi mereka tetapi pastilah seolah penghinaan bagi raja!
    Selepas diberi tempoh tinggal di bandar selama seminggu, nada syairnya sudah berbeza & ada kemajuan!

    Begitulah kehidupan sukar jauh dari bandar menyebabkan hati jadi keras menerima perubahan walaupun ke arah kebaikan.
    Banyak perangkap-perangkap kehidupan menyebabkan mereka menjadi sedemikian.
    Sebagaimana pendakwah yang sebelum ada pangkat dan kedudukan, sebelum terdedah di bandar lain wataknya selepas itu.
  1. Ayat 97- {Orang-orang A’raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya,…}-

    Orang munafiq badwi lebih dahsyat kufur & nifaqnya.
    Maka kata ulama’ : Sifat munafiq & kafir ini bertambah & berkurang, turun-naik, pasang surut, bergantung kepada keadaannya, maka bila bertambah jahil, makin tak reti tentang agama; makin dahsyat kekufurannya!
    Sama seperti iman juga yang bertambah & berkurang; bertambah dengan ketaatan & amal ibadat, berkurang dengan maksiat & derhaka.
  1. Ayat 97- {Orang-orang A’raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya,…}-

    Sifat badwi (yakni orang kampung) ini kasar, wataknya keras dan hatinya kering.
    Kata ulama’ tadabbur : Kerana itulah Allah SWT tidak memilih para rasul dari kalangan mereka orang kampung atau pedalaman.
    Allah tak pilih badwi jadi rasul kerana watak mereka kasar.

    Allah hanya memilih dan melantik para rasul & nabi dari kalangan ahli bandar.
    Sebagaimana firman Allah SWT :
    {Dan tiadalah Kami mengutus Rasul, sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka.} (Yusuf 12:109)

    Dakwah itu juga kena bermula di bandar & akan turun ke kampung. Ia tidak akan sebaliknya, dari kampung susah sikit untuk naik ke bandar. In kerana biasanya orang kampung yang akan meniru gaya orang bandar bukan sebaliknya!
  1. Ayat 98- {Dan sebahagian dari orang-orang A’raab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan,…}-

    Puak munafiq itu runsing & benci benar jika orang minta derma & diminta infaq.
    Mereka rasa rugi dan akan kurang harta mereka.
    Sebagaimana dalam ayat lepas Allah menyatakan puak munafiq itu meminta agar diberi rezeki yang banyak dan mereka berjanji nak infaq & bayar zakat jika kaya!
    Tetapi sekarang ini apabila sudah kaya & banyak harta, mereka bakhil kedekut pula.
    Amat benci dan marah apabila diminta untuk mengeluarkan zakat & infaq fi-sabilillah kerana mereka merasakan rugi dan menggurangkan harta mereka!
    Peringatan jangan kaitkan kisah ini dengan sahabat Nabi SAW Tha’labah bin Hatib RA yang dikatakan tidak mahu bayar zakat selepas kaya.

Insya’ Allah kita sambung pula siri akan datang dengan kisah tentang badwi yang beriman & baik pula.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top