View Categories

(41) Surah At-Taubah: Ayat 99-100

12 min read

KUMPULAN BADWI YANG BERIMAN, INFAQ SEBAGAI QURBAH & AS-SABIQUN DARI MUHAJIRIN DAN ANSAR.

Full video : https://youtu.be/KKDfaL1DkIU?si=wC46ibqJQYiGeW3j

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 99 dan 100 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa ada juga kumpulan badwi yang beriman.
    Allah ajar kepada kita al-insof iaitu bersikap adil kerana dalam ayat yang lepas Allah nyatakan betapa orang a’rab badwi amat keras nifaq & kufurnya.
  1. Mereka yang beriman ini melakukan infaq fi-sabilillah, bayar zakat sebagai qurbah, satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. 
  1. Allah juga nyatakan tentang as-sabiqun al-awwalun {ٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ}, iaitu golongan pertama, yang terawal memeluk Islam iaitu dari golongan Muhajirin, penduduk Makkah dan golongan Ansar, penduduk asal Madinah.
    Allah kata Dia redha kepada mereka dan bagi mereka syurga.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang arab badwi yang keras sekali kekufuran & nifaqnya. 
    Allah juga menyatakan badwi munafiq yang bakhil, mereka mengatakan infaq itu denda, zakat itu cukai dan sebagainya.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan ada juga kumpulan a’rab, badwi yang beriman, kena adil dalam menilai. 
    Mereka bersedekah & mengeluarkan zakat yakni infaq fi-sabilillah dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah! 
    Mereka juga mengharapkan agar Rasulullah SAW mendoakan kebaikan kepada mereka.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 99- {DAN SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG A’RAAB ITU ADA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT, DAN MEMANDANG APA YANG MEREKA DERMAKAN (PADA JALAN ALLAH ITU) SEBAGAI AMAL-AMAL BAKTI (YANG MENDAMPINGKAN) DI SISI ALLAH DAN SEBAGAI (SATU JALAN UNTUK MENDAPAT) DOA DARI RASULULLAH (YANG MEMBAWA RAHMAT KEPADA MEREKA) KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA APA YANG MEREKA DERMAKAN ITU ADALAH MENJADI AMAL BAKTI BAGI MEREKA (YANG MENDAMPINGKAN MEREKA KEPADA ALLAH); ALLAH AKAN MASUKKAN MEREKA KE DALAM RAHMATNYA; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AT-TAUBAH 9:99)

  1. Allah nyatakan ada juga dari kalangan a’rab, badwi yang tinggal di kampung pedalaman yang beriman kepada Allah SWT dan beriman kepada hari Akhirat. 
    Mereka percaya ada hari Kiamat, ada syurga ada neraka dan sebagainya, ini kerana mereka beriman & mengaji maka mereka tahulah!
  1. Mereka juga infaq mengeluarkan harta fi-sabilillah dengan zakat & sedekah. 
    Mereka berbuat sedemikian dengan mengharapkan perbuatan itu sebagai qurbah, amalan yang boleh mendekatkan diri mereka kepada Allah.
  1. Mereka juga berharap dengan mengeluarkan zakat & apabila diserahkan harta itu, Nabi SAW akan mendoakan kepada mereka.
    Maksud {وَصَلَوَٰتِ ٱلرَّسُولِ} di sini ialah Nabi SAW berdoa bukan solat!
    Jangan silap faham pula ada solat sunat zakat! 
  1. Imam Syafei dan para ulama’ asy-Syafi’iyyah berkata:
    Adalah digalakkan seorang amil (pemungut zakat) mendoakan pemberi zakat dengan doa ini:
    Doa untuk Orang yang Membayar Zakat:
    آجَرَكَ اللهُ فِيْمَا أَعْطَيْتَ، وَبَارَكَ لَكَ فِيْمَا أَبْقَيْتَ، وَاجْعَلْهُ لَكَ طَهُوْرًا
    Semoga Allah membalas (memberikan balasan yang baik) apa yang engkau beri dan memberkati harta yang engkau yang engkau tinggalkan (di rumah) dan menjadikannya harta yang bersih untukmu. [Imam an-Nawawi menyebutnya dalam kitab al-Azkar].

    Seorang amil bacalah doa apa-apa pun untuk pemberi zakat, jangan bakhil dengan doa untuk keberkatan infaq itu. 

    Boleh juga seperti doa ini: اللَّهُمَّ بَارِكْ فِي أَمْوَالِهِمْ- “Ya Allah, berkatilah harta mereka.”
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.} (At-Taubah 9:103)

    Zakat yang wajib hanya 1/40 dari jumlah harta yang telah mencukupi nisabnya. 
    Contoh jika kamu ada 40 ribu kadar zakatnya ialah 1 ribu. 
    Manakala kadar nisab semasa bagi tahun 2025 adalah RM29,740.00, bersamaan dengan nilai 85g emas.
  1. Hadis dari Abdullah bin Abu Aufa RA, berkata:
    كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَاهُ قَوْمٌ بِصَدَقَتِهِمْ قَالَ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ فُلَانٍ. فَأَتَاهُ أَبِي بِصَدَقَتِهِ. فَقَالَ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى.
    Adalah Nabi (saw) itu, apabila ada orang-orang yang datang membayar zakatnya, Baginda mengucapkan (do’a): اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ فُلَانٍ. Ya Allah, limpahkanlah kurnia atas……. (disebut nama pembayar itu). Lalu ayahku datang membayar zakatnya, maka Baginda mengucapkan:اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى. Ya Allah, limpahkanlah kurnia atas keluarga Abu Aufa. [HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud & Ahmad.]
  1. Doa Nabi SAW menjadi qurbah iaitu satu amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah! 
  1. Kata Ibnu Kathir RAM: Orang yang telah meletakkan infaq, zakat & nafkahnya untuk mendekatkan diri kepada Allah; akan terhasillah apa yang dicita-citakannya itu! Ini di dunia.
  1. Manakala balasan di Akhirat pula: Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; iaitu badwi yang beriman & infaq itu termasuk ke dalam kalangan hamba-Nya yang dirahmati & ke orang yang layak masuk ke dalam syurga.
  1. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan: Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

AYAT 100- {DAN ORANG-ORANG YANG TERDAHULU – YANG MULA-MULA (BERHIJRAH DAN MEMBERI BANTUAN) DARI ORANG-ORANG “MUHAJIRIN” DAN “ANSAR”, DAN ORANG-ORANG YANG MENURUT (JEJAK LANGKAH) MEREKA DENGAN KEBAIKAN (IMAN DAN TAAT), ALLAH REDA AKAN MEREKA DAN MEREKA PULA REDA AKAN DIA, SERTA IA MENYEDIAKAN UNTUK MEREKA SYURGA-SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA; ITULAH KEMENANGAN YANG BESAR.} (AT-TAUBAH 9:100)

  1. Allah nyatakan bahawa golongan yang terawal masuk Islam, yang terawal menerima agama ini, yang mula-mula berhijran & yang mula-mula memberi bantuan kepada Islam iaitu as-sabiqun al-awwalun {ٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ}, akan mendapat keredhaan-Nya.
  1. Siapakah mereka ini:
    i- Muhajirin, orang-orang Islam penduduk Makkah yang telah berhijrah ke Madinah.
    Muhajirin bermakna orang yang berpindah meninggalkan kampung halaman, rumah tangga, keluarga & harta, semata-mata untuk menyelamatkan agama dari dihina & ditindas oleh orang kafir, iaitu penduduk Makkah yang berhijrah menuju ke Madinah.

    ii- Manakala Ansar pula ialah orang Islam penduduk asal Madinah yang memberi sepenuh bantuan kepada Rasulullah SAW & orang Islam yang berhijrah itu.
    Betapa mulianya para sahabat Nabi SAW; orang hijrah tinggalkan kampung halaman & orang Ansar memberi tempat kediaman kepada yang berhijrah!
  1. Serta golongan yang ketiga iaitu mereka yang mengikut jejak langkah mereka dengan iman dan melakukan ketaatan, maka balasannya: Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
  1. Munasabah ayat:
    i- Allah sebut dalam ayat sebelumnya watak orang badwi yang beriman, yang infaq fi-sabilillah mengharapkan pahala Allah.

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah menyatakan golongan yang lebih hebat daripada mereka, lebih tinggi darjatnya; iaitu as-Sabiqun, mereka yang terawal memeluk Islam & pengikutnya yang soleh dan ihsan. 
    Mereka inilah orang yang baik, yang layak mendapat keredhaan Allah & layak ke syurga!
  1. Siapa yang terawal masuk Islam ialah ahli keluarga Rasulullah SAW: UM Sayyidah Khadijah, Abu Bakar, Zaid bin Harithah & Ali bin Abu Talib.
    Kemudian kumpulan yang datang selepas mereka, ini tidak dipertikaikan lagi!
  1. Para ulama’ membahagikan mereka yang terawal {ٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ} ini ialah:
    i- Dari kalangan Muhajirin: Orang masuk Islam & hijrah awal, iaitu sebelum terjadinya perjanjian Hudaibiyah & sebelum Pembukaan Kota Makkah.
    Mereka yang diganyang dan disiksa di Makkah dulu itulah yang paling afdhal.

    ii- Dari kalangan Ansar: Mereka yang datang bertemu Nabi SAW di Makkah & melakukan perjanjian al-Aqabah sebanyak dua kali itu!

    iii- Orang yang ikut jejak langkah mereka dengan kebaikan: Iaitu para sahabat lain juga yang terawal!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (agama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).
    Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.} (Al-Hasyr 59: 8-9)
  1. Diriwayatkan oleh Ghailan bin Jarir:
    وَيُقْبِلُ عَلَىَّ أَوْ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الأَزْدِ فَيَقُولُ فَعَلَ قَوْمُكَ يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا وَكَذَا‏.‏حَدَّثَنَا غَيْلاَنُ بْنُ جَرِيرٍ، قَالَ قُلْتُ لأَنَسٍ أَرَأَيْتَ اسْمَ الأَنْصَارِ كُنْتُمْ تُسَمَّوْنَ بِهِ، أَمْ سَمَّاكُمُ اللَّهُ قَالَ بَلْ سَمَّانَا اللَّهُ، كُنَّا نَدْخُلُ عَلَى أَنَسٍ فَيُحَدِّثُنَا مَنَاقِبَ الأَنْصَارِ وَمَشَاهِدَهُمْ، 
    Saya bertanya kepada Anas RA, “Beritahu saya tentang nama’ Al-Ansar; Adakah kamu memanggil kamu sendiri atau adakah Allah memanggil kamu dengan nama itu?” Dia berkata, “Allah memanggil kami dengan itu. “Kami biasa mengunjungi Anas (di Basrah) dan dia pernah menceritakan kepada kami kebaikan dan perbuatan orang-orang Ansar dan dia biasa memanggil saya atau seseorang dari suku Al-Azd dan berkata: “Suku kamu melakukan hal itu- dan jadi pada hari itu-dan-seperti itu. “ [HR Bukhari].
  1. Manakala kumpulan ketiga ialah; Orang yang ikut jejak langkah (at-tabi’en) para as-sabiqun al-awwalun ini dari kalangan Muhajirin & Ansar yang beriman & beramal soleh.
  1. Kata al-Baghawi: At-Tabi’ein {وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم} ialah lain-lain sahabat dan orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka dalam beriman & berhijrah sehingga ke hari Kiamat, termasuklah kita. 
    Orang yang beriman kepada Allah & hari Kiamat, yang mendokong perjuangan Islam, yang duduk atas landasan Sunnah Nabi SAW.
  1. Allah redha kepada mereka ini, iaitu:
    i- Para sahabat yang terdahulu as-sabiqun; 

    ii- Dan para tabi’en yang mengikut jejak mereka; dengan syarat mereka ihsan & ikhlas dalam berjuang.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini: 
    {Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;} (Al-Fat-h 48:18)

    Boleh lihat kisah Hudaibiyah ini dalam buku: Makkah al-Mukarramah
  1. Allah sediakan bagi mereka ini sebagai balasannya: 
    i- Allah reda akan mereka;

    ii- Dan mereka pula reda akan Dia,

    iii- Serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 99- {Dan sebahagian dari orang-orang A’raab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,…}-

    Kata ulama’ tadabbur: Apabila Allah nyatakan ayat ini sebalik kepada kisah & cerita semalam iaitu tentang a’rab, arab badwi yang keras kufur & nifaqnya lawan Nabi SAW.
    Dalam ayat ini Allah kata a’rab yang jujur & beriman mencari qurbah (mendekatkan diri) kepada Allah SWT akan mendapat doa Nabi SAW!
    Maka kata ulama’ lagi: Ayat ini Allah mengajar kepada kita untuk bersikap adil dalam menilai, bukan semua a’rab jahat. 
    Maka jangan pukul rata menilai tentang sifat seseorang itu atau satu kumpulan itu! 
    Atau jika ceritakan sifatnya, kena adil juga ceritakan kedua sifatnya yang ada positif & negatif; jangan hanya memuji semata-mata apatah lagi mengeji & mengutuk semata-mata.
    Jika dia baik 80% dan hanya 20% yang tak elok, jangan pulo kita besarkan & highlight yang buruk itu! 
    Kita kena belajar ilmu menilai orang, mesti dengan jujur & telus, kena insof & adil.
    Kena ada keduanya!
    Ayat ini juga menjadi dalil bahawa orang Arab badwi di kampung itu sama dan serupa saja dengan Aa’rab yang di bandar! 
    Keduanya ada yang baik, ada yang buruk, ada yang kafir ada munafiq & yang beriman.
    Kita kena letak besarnya nilai kejujuran dalam menilai atau memberi kredit kepada orang; supaya kita tidak menzalimi orang dengan sifat prejudis kita.
  1. Ayat 99- {…dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah.}-

    Mereka sedekah, mereka infaq & derma dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT! 
    Kata ulama’ : Ini pentingnya sifat ikhlas dalam amalan & segala perbuatan kerja kita!
    Jangan ada sifat riya’, bangga diri, mengampu dan nak menunjuk kepada orang dalam bab ibadat & semua amal kebaikan.
    Jika tidak, sia-sialah kebaikan yang kita buat.
    Dalam apa saja kita buat; kena ada jiwa yang tenang, ikhlas kepada Allah Azza wa Jalla semata-mata, baru kita dapat doa kebaikan dari Nabi SAW, dari malaikat dan orang-orang beriman!
    Kerana itu Islam ajar agar amil penerima zakat jangan bakhil, jangan keras lidah untuk mendoakan orang yang bayar zakat. 
    Kita puji, kita doakan agar orang yang membayar zakat itu diberkati hartanya! 
    Maka orang yang bayar zakat pun akan rasa tenang & senang hati.
  1. Ayat 100- {Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”,…}-

    Allah kata orang terdahulu as-sabiqun al-awwalun dari kalangan Ansar & Muhajirin.
    Siapakah as-sabiqun al-awwalun, orang yang terawal masuk Islam ini?

    Para ulama’ kata mereka as-sabiqun al-awwalun ini ada tiga peringkat:
    i- Dari kalangan Muhajirin, iaitu mereka yang sempat solat ke arah dua kiblat iaitu pada awal ketibaan Nabi SAW di Madinah, solat menghadap ke arah Baitul-Maqdis. 
    Ini adalah yang awal lagi mantap imannya. 
    Ada juga yang berkata: Ia adalah mereka yang berhijrah sebelum tahun ke-6H iaitu pada tahun Perjanjian Hudaibiyah.
    Sebelum Pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8H! 
    Mereka ini selain daripada UM Khadijah & keluarga Nabi SAW adalah 4 orang Khulafaur- Rasyidin & 6 orang lagi yang dijamin syurga. Ketua mereka yang terbesar & teringgi ialah pastilah Abu Bakar as-Siddiq RA.

    ii- As-sabiqun dari golongan Ansar; yang utama sekali ialah mereka yang ke Makkah & buat Perjanjian Aqabah pertama dengan Rasulullah SAW di Mina pada musim Haji pada tahun 11 Kenabian, iaitu seramai 12 orang. 
    Kemudian mereka yang hadir Perjanjian Aqabah kedua iaitu bilangan mereka seramai 70 orang dari kalangan lelaki & 2 orang perempuan.

    iii- Manakala golongan yang ketiga ialah baki sahabat-sahabat yang lain. 
    Ada ulama’ yang kata: Golongan sahabat lain dan semua pengikutnya, orang beriman yang taat sehingga ke hari Kiamat.

    Ya Allah semoga kita termasuk dalam golongan ini, orang yang ihsan mengikut jejak para sahabat yang ihsan, yang ambil ajarannya dari Nabi SAW!
  1. Ayat 100- {… dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat),…}-

    Ini adalah golongan yang keempat, iaitu mereka yang ikut jejak langkah para sahabat. 
    Siapakah mereka?? 
    Semua orang boleh mendakwa begini tetapi kita kena tengok apakah amalan mereka.
    Syarat utamanya ialah bukan ikut saja tetapi ikut jejak langkah para sahabat dengan kebaikan iman & taat, iaitu dengan ihsan {بِإِحْسَـٰنٍۢ}.
    Yakni ikut pegangan & amalan mereka! 
    Bukan hanya boleh mendakwa ikut saja, pujian ini bersyarat iaitu ikut amalan & pegangan mereka dengan ihsan! 
    Baru layak mendapat apa yang Allah janjikan itu! 
  1. Ayat 100- {… Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia,..}-

    Allah redha kepada mereka & mereka juga redha kepada Allah. 
    Iaitu Allah redha kepada para sahabat & pengikut para sahabat yang ihsan! 
    Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang diredhai Allah ini!
    Kata ulama’: Semua kumpulan yang Allah kata Dia redha ke atas mereka, maka dia akan termasuk dalam kalangan ahli syurga insya’ Allah!!!
    Seperti beberapa kumpulan yang Allah telah sebut dalam ayat-ayat al-Quran tadi.
    Ini kerana Allah tidak akan redha kepada mana-mana orang kecuali dia telah beriman kepada Allah, orang yang beriman pastilah mereka akan redha kepada Allah SWT.

    Hadis daripada al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib RA, bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالإِسْلامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُوْلاً
    Maksudnya: “Akan merasakan kelazatan dan kemanisan orang bagi orang yang redha kepada Allah sebagai Rabb-nya, Islam sebagai agamanya serta (Nabi) Muhammad SAW sebagai Rasul-nya.” [HR Muslim].

    Maka kita sentiasalah mengucapkan: رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا ، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا ، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا
    Aku redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulku.

Semoga Allah redha kepada kita & kita layak ke syurga!

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top