SIKAP MUNAFIQIN BILA TURUN AYAT AL-QURAN, MEREKA DIUJI BEBERAPA KALI TIDAK INSAF & MENCARI SIAPA LAPOR PECAHKAN RAHSIA.
Full video : https://youtu.be/KxIahWJO4LM?si=BOi2qRrudgKtY9EP
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 124 sehingga 127 dalam juz kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT dedahkan pula sikap munafiqin bila turun ayat al-Quran, mereka memerli, gelak-gelak & mempermainkannya menjadikan mereka makin jahat.
Allah nyatakan bahawa mereka pemilik hati yang sakit, keji jiwanya & jahat perangainya.
- Walaupun mereka telah diuji beberapa kali, tetapi ujian itu tidak menyedarkan mereka, ia tidak menyebabkan mereka insaf dan kembali kepada Allah!
- Tetapi apabila tembelang mereka pecah, mereka mencari siapa lapor kepada Nabi SAW, siapa yang pecahkan rahsia mereka.
Ini adalah akibat tidak beriman & tidak percaya kepada mukjizat Nabi SAW.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang beberapa siri penyelewengan, kejahatan & keburukan perangai munafiqin seperti tak mahu keluar berperang, suka bersumpah palsu & berbohong.
ii- Maka dalam ayat ini Allah dedahkan lagi tembelang kejahatan munafiq iaitu menghina al-Quran.
Apabila turun surah atau ayat-ayat al-Quran mereka memerli, mengejek dan mempermainkannya.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 124- {DAN APABILA DITURUNKAN SESUATU SURAH (DARI AL-QURAN) MAKA DI ANTARA MEREKA (YANG MUNAFIK) ADA YANG BERTANYA (SECARA MENGEJEK): “SIAPAKAH DI ANTARA KAMU YANG IMANNYA BERTAMBAH DISEBABKAN OLEH SURAH INI?” ADAPUN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, MAKA SURAH ITU MENAMBAHKAN IMAN MEREKA, SEDANG MEREKA BERGEMBIRA (DENGAN TURUNNYA).} (AT-TAUBAH 9:124)
- Apabila Allah menurunkan ayat atau surah dari al-Quran, ada antara munafiq itu mengejek dan memerli sambil bertanya:
Siapakah yang bertambah imannya dengan turunnya ayat/surah ini?
- Memang orang beriman apabila turun surah & ayat-ayat al-Quran; ia akan menambahkan keimanan mereka & mereka bergembira dengan turunnya surah atau ayat baru!!
- Begitulah kita orang beriman makin bertambah keimanan & keyakinan kita apabila mendengar ayat-ayat al-Quran apatah lagi apabila Allah dedahkan tembelang & perangai jahat munafiq.
Orang munafiq & kafir sebaliknya, sebagaimana dalam ayat selepas ini.
- Kerana itu kita jangan buat masyarakat benci & tidak suka dengan al-Quran dengan sebab kita.
Contoh: Masjid dalam kawasan perumahan yang bermacam jenis orang tak perlu kita pasang al-Quran dengan kuat sekali kerana kita tidak tahu keadaan orang lain, boleh jadi ada bayi anak kecil, orang tua, orang yang bekerja dari rumah dan sebagainya!
AYAT 125- {ADAPUN ORANG-ORANG YANG ADA PENYAKIT (KUFUR) DALAM HATI MEREKA MAKA SURAH AL-QURAN ITU MENAMBAHKAN KEKOTORAN (KUFUR) KEPADA KEKOTORAN (KUFUR) YANG ADA PADA MEREKA; DAN MEREKA MATI, SEDANG MEREKA BERKEADAAN KAFIR.} (AT-TAUBAH 9:125)
- Orang munafiq & kafir kafir yang ada penyakit kufur dalam hati mereka sebaliknya, mereka makin berkurang imannya, dan bertambah kekotoran & kekufuran yang ada dalam hati mereka!!!
- Sepatutnya apabila mereka lihat Allah dedahkan rahsia mereka yang tersembunyi sepatutnya mereka sedar & insaflah akan kebenaran al-Quran lalu beriman!
Tetapi malangnya bukan begitu, sebaliknya yang berlaku, makin buruk perangai, makin jahat sifatnya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.} (Al-Isra’ 17:82)
- Kita minta dijauhkan & diselamatkan Allah daripada sifat buruk & jahat ini!
- Kata ulama’:
Dua golongan yang payah untuk bertaubat:
i- Golongan munafiq: Yang berada dalam keraguan & waswas lalu kotor jiwa mereka!
Mereka susah untuk sedar dan nampak kebenaran, walaupun mereka duduk dalam kalangan Islam, dengar segala kuliah & ceramah Nabi SAW tetapi tetap tidak masuk hidayah & kebenaran dalam hati mereka!
Jika orang kafir tulen atau jahil terus lain pula keadaan mereka.
ii- Ahli bid’ah, Golongan ini menganggap amalan mereka betul!
Jika kita tegur, kita pula yang kena bahkan zaman kita ini, orang yang menegur memberi nasihat akan kena label & tuduh pula!
Bahkan kena banned dan sekat pula di masjid-masjid!
Sama seperti pengikut ajaran sesat, amat payah untuk membetul & memulihkan aqidah pegangan mereka!
AYAT 126- {DAN (PATUTKAH) MEREKA (BERDEGIL) TIDAK MAHU MEMPERHATIKAN, BAHAWA MEREKA DICUBA (DENGAN BERBAGAI-BAGAI BENCANA) PADA TIAP-TIAP TAHUN, SEKALI ATAU DUA KALI; KEMUDIAN MEREKA TIDAK JUGA BERTAUBAT, DAN TIDAK PULA MEREKA MAHU BERINGAT (DAN INSAF)?} (AT-TAUBAH 9:126)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa puak munafiq ini akan mati dalam keadaan kafir yakni menunjukkan mereka akan kena azab kubur & azab di Akhirat kelak!
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan atas dunia lagi mereka telah diberi ujian bahkan setiap tahun, untuk menginsafkan mereka.
Tetapi apa boleh buat mereka tetap tidak insaf & tidak bertaubat.
- Ujian Allah itu boleh datang kerana dua sebab:
i- Jika orang tholeh (lalai), Allah nak sedarkan orang yang lagha, yang bergelumang dengan maksiat & mungkar.
Sekali Allah uji dia sakit dan seumpamanya, baru sedar cari pak imam, cari masjid dan sebagainya.
ii- Jika orang baik & soleh kena uji pula; kerana Allah nak angkat darjat & beri pahala lebih kepada mereka!
Maka jangan pertikaikan kenapa orang baik & soleh kena uji juga!!
- Apakah jenis ujian yang disebut dalam ayat ini?
Ulama’ tafsir menyenaraikan beberapa jenis ujian ke atas munafiq:
i- Dengan kemarau dan kesusahan, unta-unta mereka kering tidak ada susu.
ii- Dengan peperangan & jihad.
Mereka takut untuk pergi berperang kerana takut mati!
Juga bila jihad perlukan dana, maka mereka perlu infaq yang menyebabkan mereka amat tidak puas hati & tertekan!
iii- Ujian yang menjadikan mereka berani terang-terangan menghina Nabi SAW.
Apa saja jenis ujian Allah nak suruh mereka sedar & insaf.
Allah juga buka tembelang mereka agar mereka berhenti.
- Tetapi semua ujian ini tidak menjadikan mereka insaf bertaubat dan kembali kepada Allah!.
Mereka juga tidak mengambil iktibar pengajaran, tidak insaf.
Ini kerana mereka tidak beriman maka al-Quran tidak ada nilai bagi mereka!
- {Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.} (Al-An’am 6:43)
Begitulah sebagaimana yang kita nyatakan tadi dua golongan ini susah sekali nak bertaubat, munafiq & ahli bid’ah yang sesat.
AYAT 127- {DAN APABILA DITURUNKAN SATU SURAH DARI AL-QURAN (MENDEDAHKAN KEBURUKAN ORANG-ORANG MUNAFIK ITU) SETENGAH MEREKA MEMANDANG KEPADA SETENGAHNYA YANG LAIN SAMBIL BERKATA: “ADAKAH SESIAPA NAMPAK KAMU (KALAU KITA UNDUR DARI SINI)?” KEMUDIAN MEREKA BERPALING PERGI (DENGAN MENINGGALKAN MAJLIS NABI); ALLAH MEMALINGKAN HATI MEREKA (DARIPADA IMAN), DISEBABKAN MEREKA KAUM YANG TIDAK (MAHU) MENGERTI.} (AT-TAUBAH 9:127)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas menyatakan sifat buruk munafiq, yang sakit hati mendengar tembelang mereka pecah dan mencari-cari siapa yang mendedahkan rahsia mereka.
Mereka juga tidak insaf walaupun kena ujian berkali-kali.
ii- Ayat ini menunjukkan satu jenis lagi sifat buruk munafiq, yang mencari-cari peluang untuk keluar meninggalkan majlis ilmu Nabi SAW, lari tidak mahu mendengar tazkirah nasihat & bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
- Allah ceritakan dalam ayat ini tentang keadaan puak munafiq yang tidak tenang duduk apabila mendengar Nabi SAW membaca ayat-ayat al-Quran yang mendedahkan rahsia mereka & tembelang jahat mereka!
- Mereka saling memandang satu sama lain tertanya-tanya siapakah yang mendedahkan rahsia mereka itu!
Lalu memberi isyarat antara mereka untuk bangun keluar meninggalkan majlis itu tanpa disedari oleh orang beriman yang lain.
- Yakni mereka keluh-kesah, panas- pedih, tak selesa & tidak tenang untuk berada dalam majlis Nabi SAW yang membacakan ayat-ayat al-Quran lalu mereka pun lari meninggalkan majlis itu.
- Maka Allah akan palingkan hati mereka, jiwa mereka daripada melihat kebenaran dan mendapat manfaat daripada al-Quran.
Allah palingkan iman & amal soleh dari mereka; maka ini adalah satu kerugian yang amat besar!
- Sekarang ini ramai yang duduk bernasyid: (Kalaulah kita ada bersama Nabi SAW…
لو كان بيننا).
Kita kata alhamdulillah, tidak mengapa walaupun Nabi sudah wafat & tiada, tetapi ajaran & Sunnahnya yang ditingalkan masih ada, persoalannya apakah kita bersama Sunnah Nabi SAW atau tidak????
Jika kita hidup pada zaman Nabi SAW tetapi jadi munafiq apa gunanya, na’uzubillah!
- Betapa kita setiap kali selepas kuliah berkempen untuk mengamalkan Sunnah Nabi SAW seperti zikir selepas solat, solat sunat dan sebagainya.
Tetapi apakan daya hidayah itu milik Allah dan sebagai pendakwah tidak boleh mudah kecewa & berputus-asa.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 124- {Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran)…}-
Orang mukmin kena sentiasa semak graf atau power bank imannya untuk diperiksa, jika rasa lemah & malap kita kena charge balik agar iman kita kembali bersinar & meningkat.
Hadis: Sabda Nabi SAW: إِنَّ الإِيْمَانَ لَيَخْلُقُ فِي جَوْفِ أَحَدِكُمْ كَمَا يَخْلُقُ الثَّوْبُ، فَاسْأَلُوْا اللهَ أَنْ يُجَدِّدَ الإِيْمَانَ فِي قُلُوْبِكُمْ
“Sesungguhnya iman boleh menjadi menjadi lusuh di dalam jiwa sebahagian dari kamu sebagaimana lusuhnya pakaian. Maka mohonlah kepada Allah agar diperbarui iman di dalam hati kamu.” (HR al-Hakim dan al-Tabrani, Sahih Al-Jami’)
Macamana kita nak cam iman kita itu malap atau kuat??
Senang aje contohnya:
Jika waktu dengar azan terus bangun bersiap untuk ke masjid atau sebelum azan lagi sudah siap itu menandakan iman sedang penuh baterinya!
Jika dengar azan buat tak tahu atau masih bermalas-malas, siap azan masih tak bangun; maka kita sendiri tahulah setakat mana cahaya iman kita itu!
Ketika itu kena carilah sebab-sebab & amalan-amalan yang dapat menguatkan kembali iman yang lusuh atau malap itu.
Iman itu digilapkan dengan kita berzikir mengingati Allah, hadir solat jemaah, menghadiri majlis ilmu, tadabbur al-Quran dan seumpamanya.
Sabda Rasulullah: جَدِّدُوا إيْمَانَكُمْ قِيلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ وَكَيفَ نُجدِّدُ إيْمَانَنَا قَالَ أَكْثِرُوْا مِنْ قَوْلِ لَا إلهَ إلَّا اللهُ
Bermaksud: “Hendaklah kamu memperbaharui iman kamu. Lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah: Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami? Rasulullah lantas menjelaskan: “Dengan memperbanyakkan menyebut (zikir) Lailaha illah.” (HR Ahmad – Kata Sheikh al-Naut, Sanadnya Dhaif)
Kita orang yang beriman kena sentiasa semak iman kita & bila dapati ia malap kena berusaha rechargenya kembali!
- Ayat 124- {Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek):…}-
Kebanyakan ulama’ salaf & khalaf berkata: Ayat ini menjadi dalil bahawa iman itu boleh bertambah & berkurang ada pasang surutnya.
Ia juga menjadi dalil menolak hujjah fahaman satu kumpulan sesat puak seperti murji’ah yang mengatakan iman itu satu level sahaja, tiada lebih tiada kurang!
Sesiapa yang beriman & mengucap dua kalimah syahadah, imannya dengan iman Sayyidina Abu Bakar RA pun sama! Bahkan dengan malaikat pun sama!
Inilah contoh-contoh ahli bid’ah yang kita kata susah nak sedarkan & bertaubat itu!
Sebab itu kita kata iman itu bertambah & berkurang; bila lemah kita kena tambah & bila kuat kita kena maintain!
- Ayat 124- {Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek):….}-
Puak munafiq perli & mengejek dengan bertanya siapakah yang akan bertambah imannya dengan turun ayat ini?
Ayat 124- {Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka..}- sedangkan bagi orang yang beriman; ayat-ayat al-Quran itu benar-benar menambahkan keimanan mereka, bukan main-main!
Ayat ini menunjukkan perbezaan dua sifat yang bertentangan:
i- Munafiq yang mengejek & makin kurang kepercayaan mereka
ii- Orang beriman yang gembira & bertambah iman!
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
{Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya.} (Ar-Ra’d 13:36)
Maka ulama’ tadabbur kata: Orang yang gembira bila berada dalam majlis ilmu, majlis penguat iman, gembira belajar ilmu al-Quran & Sunnah Nabi SAW, menjadi dalil kepada bahawa kita mengagungkan agama Allah, kedudukan Rasulullah SAW & cinta kita kepada Rasulullah SAW.
Sekarang ini kuat sekali perarakan sempena malulidur-Rasul, naik bas, naik lori tetapi Sunnah Nabinya tidak dihidupkan mana!
Apa yang kita mahunya kita hidupkan Sunnah Nabi SAW, beramal & menyebarkannya!
Belarak buat majlis maulid itu bukan tanda cinta Nabi yang hakiki, bukan kita tidak gembira dengan kelahiran Nabi SAW!
Bahkan tidak pernah diajar atau dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk berpesta buat majlis menyambut hari lahirnya!
Bahkan para sahabat & Khulafaur-Rasyidin pun tidak pernah buatnya!
Orang mukmin bergembira apabila dapat beramal dengan Sunnah & amat sedih dan kesal apabila terlepas dari beramal dengan Sunnah.
Boleh baca kisah beberapa orang sahabat Nabi SAW yang menyesal dengan beberapa amalan Sunnah yang mereka tidak tahu & tidak melakukannya dalam buku ini: Sunnahmu Amalanku.
Ini tidak, apabila orang sampaikan Sunnah akan dilabel & dituduh macam-macam pula, yang betulnya yang datang bergendang dalam masjid itu!
- Ayat 125- {Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka…}-
Ini menunjukkan jiwa kita ini ada penyakit juga, sama seperti tubuh badan kita!
Penyakit yang paling teruk sekali ialah:
i- Penyakit kufur & syak keraguan.
ii- Kemudian penyakit syahwat ikut hawa nafsu, gila seks, mabuk, gila pangkat, rasuah, riba dan lain-lain.
Ini kerana semua yang beriman atau yang kafir, semuanya ada yang makan riba!
Sedangkan Allah SWT telah katakan siapa yang makan riba seolah berperang dengan Allah & Rasul-Nya!
Sesiapa yang ada dalam hatinya syak keraguan, sebagai orang beriman kita sentiasa periksa check hati kita lalu baiki & ubati segera.
- Ayat 126- {Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali;…}-
Allah uji puak munafiq ini pada setiap tahun agar mereka insaf, nampak kebenaran lalu bertaubat kembali kepada Allah.
Tetapi apa boleh buat nasib malang mereka, duduk dengan Nabi SAW, dengar Nabi SAW kuliah, dengar sendiri ayat al-Quran yang turun dari Allah, tetapi tetap tidak mendapat hidayah & menolak kebenaran!
Bahkan mereka cuba lari dari majlis Nabi SAW dan saling tuduh-menuduh pula siapa yang memecahkan tembelang mereka walaupun jelas ayat al-Quran yang turun mendedahkan semuanya!!!
Begitulah apabila sudah tertulis nasib mereka untuk mati dalam syirik & kekufuran, wal-‘iyazu billah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
