Kafir Menyekat Kebenaran, Tidak Meraikan Islam & Jika Mereka Bertaubat Terimalah Ukhuwwah.
Full video : https://youtu.be/-UjLw1RrlP8?si=v2rXoYDZFrjeEIDa
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita kuliah tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 9 sehingga 12 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kenapa perbalahan kita dengan orang kafir, kenapa kita mesti memutuskan hubungan dengan mereka selepas mereka tidak mahu menerima Islam.
- Ini kerana orang cuba kafir menyekat kebenaran, tidak meraikan Islam dengan menghina & menyiksa orang Islam yang tidak setuju dengan mereka.
- Kemudian Allah nyatakan jika mereka bertaubat, kembali kepada Islam, menunaikan rukun Islam; taubat mereka akan di terima & juga diterima ukhuwwah mereka sebagai sesama Islam.
Kerana itu jangan kata Islam ini Islam ganas & berperang tanpa sebab.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan, dedahkan rahsia, yang terkandung dalam hati orang kafir, yang mulutnya manis.
Zahirnya nampak lunak tetapi dalam hatinya tetap benci & anti kepada orang Islam.
ii- Maka datang ayat ini Allah SWT nak nyatakan antara punca hati mereka rosak tadi ialah kerana mereka nak menukar apa yang Allah tawarkan dengan apa yang nafsu mahu!
Lalu mereka menukar kebenaran kepada kemahuan nafsu.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 9- {MEREKA MENUKARKAN AYAT-AYAT ALLAH DENGAN HARGA YANG SEDIKIT (DARI FAEDAH-FAEDAH DUNIA), LALU MEREKA MENGHALANGI (DIRINYA DAN ORANG-ORANG LAIN) DARI AGAMA ALLAH; SESUNGGUHNYA AMATLAH BURUKNYA APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (AT-TAUBAH 9:9)
- Allah kata mereka membeli {ٱشْتَرَوْا۟} iaitu menukar, harta dunia dengan Akhirat.
Yakni mereka menukar tawaran Allah kepada tawaran syaitan, mereka campak hidayah yang Allah beri, mereka ikut nafsu & syaitan, maka tejadilah apa yang terjadi.
- Menurut Syeikh Ibnu Asyur : Setelah berlakunya Pembukaan Kota Makkah, Nabi SAW hapuskan semua berhala yang ada sekitar Makkah tetapi mereka orang Arab ini masih lagi berpegang kepada beberapa budaya buruk mereka:
i- Kekal dalam kesyirikan mereka kerana mahu mencari kedudukan dunia.
ii- Bangsa Arab ini juga badwi yang suka berperang tetapi Islam telah menukar sikap permusuhan kepada persaudaraan!
iii- Mereka masih nak kekalkan budaya buruk minum arak, judi, zina dan lain-lain.
Maka hukum al-Quran dicampak, hidayah dibuang, mereka kekal ikut jalan hawa nafsu!
- Inilah perkara buruk yang terjadi kepada puak kafir yang merugikan mereka sendiri, apabila mereka tolak iman, mereka juga nak sekat jalan-jalan yang menuju kepada Allah SWT!
- Sekatan ini berlaku dengan:
i- Mereka sekat diri mereka sendiri. Tidak boleh menerima kebenaran.
ii- Mereka sekat orang lain agar tidak terima kebaikan juga!.
iii- Cuba untuk memurtadkan orang yang sudah Islam agar menjadi kafir semula!
iv- Mereka tidak peduli, tidak menghormati kedudukan orang Islam.
Ini kerana bagi mereka orang Islam tidak ada nilai di mata mereka!
- Maka Allah sebut bahawa perbuatan mereka itu adalah seburuk-buruk amalan, orang tukar iman dengan kufur, tukar hidayah dengan kesesatan, tukar Sunnah dengan kekarutan!
AYAT 10- {MEREKA TIDAK MENGHORMATI PERTALIAN KERABAT DAN PERJANJIAN TERHADAP ORANG-ORANG YANG BERIMAN, DAN MEREKALAH ORANG-ORANG YANG MENCEROBOH.} (AT-TAUBAH 9:10)
- Allah nyatakan bahawa kafir itu tidak akan menghormati pertalian kerabat, hubungan kekeluargaan dan apa-apa perjanjian yang telah dibuat dengan orang Islam.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan sebab kefasiqan mereka kerana jual Akhirat dengan harga dunia yang murah.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan antara pengkhianatan mereka ialah mereka menganggap orang mukmin itu sebagai orang yang tiada nilai & tiada tempat dalam masyarakat!
Bahkan mereka mengharuskan untuk mengkhianati & menzalimi orang beriman!
- Maka di akhir ayat Allah nyatakan puak kafir itu adalah orang yang telah melanggar merempuh & melampaui batasan Allah, lagi amat zalim kepada hamba-hamba Allah!
- Bermacam kejahatan yang telah mereka buat khususnya mereka serang pribadi Nabi SAW sendiri sebagai orang gila, ahli sihir dan seumpamanya!
- Tetapi rahmat Allah itu tidak pernah terputus untuk hamba-Nya, pintu taubat sentiasa terbuka, atas kita bak ambil atau tidak!
AYAT 11- {OLEH ITU, JIKA MEREKA BERTAUBAT (DARI KEKUFURAN), DAN MENDIRIKAN SEMBAHYANG SERTA MEMBERI ZAKAT, MAKA MEREKA ITU ADALAH SAUDARA KAMU YANG SEAGAMA; DAN KAMI MENJELASKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI SATU PERSATU BAGI KAUM YANG MAHU MENGETAHUI.} (AT-TAUBAH 9:11)
- Allah menyatakan ruang & peluang yang diberi kepada orang kafir untuk menerima rahmat & kasih sayang Allah masih berjalan!
- Iaitu sekiranya orang kafir itu bertaubat meninggalkan kekufuran dan beriman kepada Allah, lalu beramal dengan undang-undang Islam seperti mendirikan solat serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kita yang seagama!!!
- Yakni kita masih ada lagi peluang untuk bersaudara, untuk berpakat & berkerjasama; iaitu apabila masuk Islam daripada musuh kepada kawan, daripada penentang kepada saudara seagama!
Saudara yang kita sayang kepada mereka & mereka sayang kepada kita!
- Di mana lagi kita nak lihat tawaran yang sebegini besar selain daripada tawaran Islam kepada mereka yang bertaubat & kembali kepada Islam.
Yang memberikan peluang untuk meruntuhkan keegoan seorang manusia apabila dia sanggup tunduk kepada Allah Azza wa Jalla!
- Allah kata Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui, iaitu ayat al-Quran telah menjelaskan kepada kaum yang berakal iaitu:
i- Kamu kena kenal Allah.
ii- Kena kenal Rasulullah SAW.
- Apabila kita kena kenal ini kita akan tahulah apa itu agama.
Apabila kita kenal Islam kita tahu siapa yang membawa agama ini, siapa yang menjadi utusan Allah kepada kita iaitu Nabi SAW.
- Kita akan bahagia, suka & gembira apabila menjadi manusia yang terbaik insya’ Allah.
AYAT 12- {DAN JIKA MEREKA MENCABULI SUMPAHNYA SESUDAH MENGIKAT PERJANJIAN SETIA, DAN MEREKA PULA MENCELA AGAMA KAMU, MAKA PERANGILAH KETUA-KETUA DAN PEMIMPIN-PEMIMPIN KAUM YANG KAFIR ITU, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA TIDAK MENGHORMATI SUMPAH JANJINYA, SUPAYA MEREKA BERHENTI (DARI KEKUFURAN DAN BERTAUBAT).} (AT-TAUBAH 9:12)
- Allah nyatakan lagi perangai jahat orang kafir itu:
i- Mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia,
ii- Dan mereka pula mencela agama kamu.
- Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan kategori-kategori puak kafir yang Allah izinkan untuk kita berlepas diri daripada perjanjian dengan mereka serta Allah bagi tempoh yang diizinkan. Kemudian Allah tawarkan mereka untuk jadi orang baik.
ii- Kemudian datang ayat ini menyatakan jika mereka masih lagi degil tidak mahu dengar kata; maka tiada jalan lain, tertutuplah jalan kedamaian & keamanan, yang ada cuma jalan jihad, perangilah mereka!!
- Yakni jika puak kafir itu membatalkan perjanjian mereka {أَيْمَـٰنَهُم}, setelah mereka buat perjanjian, mereka yang batalkan, mereka buat perdamaian, mereka yang rosakkan.
- Mereka juga masih lagi mengekalkan cercaan, kata-kata buruk & menjatuhkan agama ini; maka kamu perangilah mereka, pemimpin-pemimpin kafir yang ada pada masa itu!
Tidak ada faedah kamu berkawan atau cuba berbaik dengan mereka!
Ayat perang ini turun pada akhir hayat Nabi SAW dan Islam sudah tersebar, jangan kita kaitkan dengan yang sudah tiada.
- Jadi Allah perintahkan kita untuk perangi kafir ini kerana mulut mereka jahat, dia lawan & hina, mengata kamu & agama kamu serta masih buat perkara yang tidak baik!
Maka tidak ada lagi perjanjian antara kita dengan mereka kerana mereka yang merosakkannya dulu perjanjian yang sepatutnya mereka kawal & jaga.
Ancaman ini supaya mereka berhenti daripada melakukan kesesatan & kekufuran yang amat jahat itu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 9- {Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia),..}-
Mereka telah membeli ayat-ayat Allah SWT (yakni Akhirat) dengan habuan dunia.
Ayat ini Allah nyatakan lagi sebab kenapa kita mesti berlepas diri daripada perjanjian dengan orang kafir.
Ada dua sebab yang Allah nyatakan agar kita berhati-hati agar jangan terperangkap dengan orang yang kafir yang mahu mainkan agama kita.
Jadi Allah nyatakan mereka orang kafir menukar, iaitu tukar daripada kedudukan yang baik, amalan yang baik tawaran yang begitu indah dengan mata-benda, nilai & kedudukan dunia yang sedikit.
Tiga sebab kenapa orang kafir tidak mahu terima Islam:
i- Mahu kekalkan kedudukan mereka sebagai ketua kabilah.
Jika ikut Islam tidak boleh lagi nak jadi ketua.
ii- Mahu kekalkan budaya yang buruk iaitu suka berperang sesama sendiri.
iii- Tak mahu tinggal tabiat buruk yang sebati dalam jiwa mereka seperti berzina, berjudi, minum arak dan lain-lain.
Inilah punca yang menghalang sebahagian manusia daripada menerima Islam. Semata-mata nak jaga kedudukan & habuan dunia sehingga sanggup buat sesuatu yang berlawan dengan tuntutan fitrah.
Cerita gila nak jadi ketua!
Orang buat lelucon tentang orang gila nak jadi ketua, jika di Akhirat kelak masuk syurga tapi tak boleh jadi ketua, dia lebih rela masuk neraka asal boleh jadi ketua!
Perangai-perangai buruk inilah yang menyebabkan mereka terhalang daripada mendapat manfaat baik yang Allah sediakan!
- Ayat 10- {Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang yang beriman,…}-
Bila tak selari dalam kepala dia dengan apa yang dia nak, dia sanggup hilang dan putuskan segala hubungan & silaturrahim yang ada.
Kerana dia kafir, dia nak berpegang dengan ajarannya, dengan jawatan & kedudukannya mereka sanggup buat apa saja termasuk putus hubungan dengan keluarga atau hilang kawan & saudara!
Yang penting dia boleh lawan.
(Lataif) Keindahan susunan ayat, apakah ayat ini berulang dengan ayat 8
{لَا يَرْقُبُوا۟ فِيكُمْ إِلًّۭا وَلَا ذِمَّةًۭ} sebelumnya?
Jawapannya tidak berulang, kerana:
i- Ayat pertama ditujukan khas kepada semua kafir yang ada.
Mereka ini tidak percaya kepada Akhirat dari awal lagi.
ii- Manakala ayat yang kedua ini {لَا يَرْقُبُونَ فِى مُؤْمِنٍ إِلًّۭا وَلَا ذِمَّةًۭ}
Lebih fokus kepada perangai yahudi yang jahat, iaitu orang yang suka beli mata dunia ini sinonim dengan perangai pendeta & rahib yahudi, mereka ada kitab & percaya kepada Akhirat juga.
Perangai mereka jual Akhirat kerana nak dunia.
- Ayat 11- {Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat,…}-
Ayat ini Allah SWT buka ruang yang begitu besar kepada hamba-Nya.
Iaitu yang pertama kamu kena ingat bahawa pintu taubat masih terbuka maka kamu jangan buat perangai yang pelik-pelik yang tiada faedah, jangan putus-asa dari rahmat Allah!
Jadi kita kena tahu apa peluang yang perlu kita ambil dari rahmat & kasih sayang Allah SWT ini!
Yang penting kamu betul-betul bertaubat, bukan taubat hulu golok, selepas taubat buat pula!
Untuk menzahirkan bahawa kamu betul-betul bertaubat- maka Allah bagi syarat iaitu:
Dirikan solat & tunaikan zakat.
Haji belum disyariatkan lagi pada waktu itu.
Kena zahirkan dengan amalan yang jelas & boleh dilihat oleh orang lain.
Tidak solat berjemaah di masjid di anggap “munafik” oleh para sahabat Nabi SAW.
Dari Abdullah bin Mas’ud RA dia berkata :
وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُومُ النِّفَاقِ وَلَقَدْ كَانَ
الرَّجُلُ يُؤْتَى بِهِ يُهَادَى بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ حَتَّى يُقَامَ فِي الصَّفِّ
“Menurut pendapat kami (para sahabat), tidaklah seseorang itu tidak hadir solat jemaah, melainkan dia seorang munafik yang sudah jelas kemunafikannya.
Sungguh dahulu seseorang dari kami harus dipapah di antara dua orang hingga diberdirikan dalam saff (barisan) solat yang ada.” [HR. Muslim no. 654]
Jika kita gunakan ukuran ini pada zaman kita, ramai sekali orang yang akan jadi munafiq!
Jadi parameter ini tak boleh nak guna pada zaman kita ini.
Lihat saja surau-surau di taman-perumahan.
Ini menunjukkan penting & besarnya kedudukan solat dalam Islam biar kita sedar.
Begitu juga zakat, kerana itu zakat harta yang zahir seperti perniagaan yang besar kena beri kepada pemerintah supaya nampak pembayaran zakat itu.
Suatu perkara besar yang akan menanti kamu apabila kamu beriman & menjalankan undang-undang Syari’ah, yang akan menanti kamu ialah persaudaraan dalam agama.
- Ayat 12- {Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah…}-
Jika puak kafir berterusan menghina & buat tak baik pada agama kamu maka perangilah mereka!
Ingatlah:
i- Jika orang cerca atau hina diri kita, hina peribadi, kita masih boleh diam.
ii- Tetapi jika orang hina agama kita, kita masih boleh diam, maka itu dikira syaitan bisu, yang duduk dalam perut bumi (mati) lebih baik daripada duduk atas bumi, yakni hidup tiada guna!
Manusia hari ini terbalik, orang hina diri dia terus bangkit melenting hantar LOD, Letter of Demand atau surat tuntutan, tetapi jika orang hina agama hanya diam buat tak tahu!
Jangan biarkan orang kafir main-mainkan agama kita, umat Islam mesti bangkit kerana kita bukan semata-mata nak berperang tetapi nak jaga kesucian agama kita, nak jaga Allah & Rasulullah SAW.
Jika anak orang Islam sendiri yang mempermainkan amalan Islam wajib kita cegah & lawan.
Tegur & beritahu kebenarannya!
Allah tak suruh kita diam, Allah suruh kita lawan supaya mereka berhenti daripada perbuatan tersebut.
- Ayat 12- {… supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).}-
Semua perintah Allah supaya kita lawan & perangi mereka tadi adalah supaya mereka berhenti.
Ayat ini menyatakan sebab Allah suruh kita perangi mereka, supaya mereka berhenti daripada kekufuran, daripada menghina Islam & mereka bertaubat.
Untuk menjaga kesucian agama ini!
Banyak perkara maksiat atas dunia ini yang berlaku, apabila umat Islam bangkit menentang ia boleh disekat & berhenti.
Jadi kita orang Islam tidak boleh berdiam diri.
Kita mesti berusaha dengan:
i- Memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat tentang kebenaran ajaran Islam.
ii- Menyekat penyebaran maklumat yang salah dalam masyarakat!
Pihak yang bertanggungjawab kena beri kesedaran kepada masyarakat, jangan cari yang pelik tetapi carilah yang sahih!
Mudah-mudahan dengan usaha & bantahan kita itu, terhentilah permainan yang tidak baik terhadap agama serta kepercayaan karut & khurafat tidak berleluasa dalam masyarakat.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
