Perangi Pengkhianat Kepada Nabi SAW, Pertolongan Untuk Islam & Ujian Kebenaran.
Full video : https://youtu.be/nyoKxID27mw?si=PG3KQXTXq02FHZlW
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri Surah At-Taubah dengan ayat 13 sehingga 16 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT perintahkan kita untuk perangi para pengkhianat kepada Nabi SAW, khususnya golongan yang cuba untuk membunuh Baginda SAW pada peringkat awal dulu.
Begitu juga pengkhianat kepada agama & kepada golongan yang menegakkan kebenaran pada hari ini yang buat bermacam-macam.
- Kamu perangi mereka maka Allah akan beri pertolongan untuk Islam jika cukup syarat-syarat SOPnya.
- Pada akhir ayat Allah kata setiap orang yang mendakwa diri mereka Islam akan diberi ujian & kebenaran.
Apakah kamu ikhlas berjuang kerana Allah atau sebaliknya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan supaya kamu memerangi ketua-ketua orang kafir,
ii- Dalam ayat ini Allah menyatakan pula sebab kenapa kamu mesti memerangi mereka iaitu kerana mereka khianat perjanjian DAN mahu mengusir & membunuh Nabi SAW.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 13- {MENGAPA KAMU TIDAK MEMERANGI SUATU KAUM YANG TELAH MENCABULI SUMPAH JANJINYA, DAN MEREKA PULA TELAH BERAZAM HENDAK MENGUSIR RASULULLAH, DAN MEREKALAH JUGA YANG MULA-MULA MEMERANGI KAMU? TIDAK PATUT KAMU TAKUT KEPADA MEREKA (SEHINGGA KAMU TIDAK MAHU MEMERANGINYA) KERANA ALLAH JUALAH YANG BERHAK KAMU TAKUTI (MELANGGAR PERINTAHNYA), JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN?} (AT-TAUBAH 9:13)
- Allah bertanya kenapa kamu orang Islam tidak memerangi golongan yang telah mencabul, mengkhianati sumpah perjanjiannya serta berazam untuk membunuh atau mengusir keluar Nabi SAW dari Makkah.
- Ayat ini walaupun mutakhir, tetapi Allah SWT ulang balik kisahnya mengingatkan kita apa yang mereka buat untuk mengkhianati Nabi SAW.
- Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan sebab kenapa orang Islam diizinkan & mesti memerangi mereka orang kafir:
a- Kerana mereka batalkan perjanjian.
Kata ar-Razi : Makna (نَّكَثُوٓا۟ أَيْمَـٰنَهُمْ) ini ialah membatalkan perjanjian.
Mereka buat janji dia batalkan & khianat.
Dalam Islam perjanjian itu satu perkara yang besar & amanah yang mesti ditunaikan!
Firman Allah SWT :
{Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki.} (Al-Maaidah 5:1)
b- Mereka telah merancang & berazam untuk keluarkan Nabi SAW dari Makkah dan memang telah keluarkan Baginda SAW.
Kata ulama’ : Walaupun cerita ini sebelum hijrah, tetapi kafir itulah juga yang ada di hadapan kamu sekarang!
Bahkan walaupun sekarang Nabi SAW berada di Madinah; keadaannya juga sama- puak kafir yahudi juga mahu membunuh Nabi SAW & membatalkan perjanjian, seperti bani Nadhir, Quraizah dan lain-lain.
- Maka apa yang dapat kita pelajari daripada Fiqhus Sirah ini ialah orang-orang yang tidak menepati janji, kita kena berhati-hati dengan mereka kerana mereka adalah insan yang tidak dapat dipercayai & kita tidak boleh duduk dengan mereka!
- Ayat ini ditafsirkan dengan beberapa firman Allah SWT yang lain seperti:
i- {Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.} (Al-Anfal 8:30)
ii- {Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi (Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan sedikit masa sahaja.} (Al-Isra’ 17:76)
iii- {Dan bukan sedikit (penduduk) negeri-negeri yang lebih kuat dari (penduduk) negerimu (wahai Muhammad) yang telah memaksamu keluar (berhijrah) – Kami binasakan mereka, maka tiadalah sesiapa pun yang dapat membela mereka.} (Muhammad 47:13)
iv- Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.} (Al-Mumtahanah 60:1)
Semua ayat ini Allah gambarkan mereka cuba keluarkan Nabi SAW dari Makkah & memang ia berlaku!
- Allah nyatakan sebab yang ketiga ialah kerana mereka yang mula dulu perbalahan & peperangan ini, maka kamu lawan & perangilah mereka!
Ini apabila ada kabilah kafir yang membela/duduk bawah naungan musyrikin Quraisy khianat & belot perjanjian dengan kabilah yang ada perjanjian dengan Nabi SAW kabilah itu khianat tetapi pemimpin Quraisy buat tak tahu & tak larangnya.
- Maka kerana mereka yang mulai dulu, maka Allah kata kamu lawanlah!
Semalam kita ceritakan bagaimana Abu Sufyan sebagai pemimpin Quraisy pergi ke Madinah untuk berunding dengan Nabi SAW apabila perkara ini terjadi!
Tetapi apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur, telah terlepas waktu untuk berunding, Allah telah turunkan perintah untuk memerangi mereka!
- Allah berfirman lagi kamu jangan takut untuk melawan mereka yakni berjihad.
Jika kamu tinggalkan jihad Allah SWT akan ambil tindakan ke atas kamu.
Maka jangan takut kepada selain Allah, pergilah lawan & perangi mereka
Jika kamu betul-betul berlawan & ikhlas dalam perjuangan; Allah akan tolong & kamu akan menang!
AYAT 14- {PERANGILAH MEREKA, NESCAYA ALLAH AKAN MENYEKSA MEREKA DENGAN (PERANTARAAN) TANGAN KAMU, DAN ALLAH AKAN MENGHINAKAN MEREKA SERTA MENOLONG KAMU MENEWASKAN MEREKA, DAN IA AKAN MEMUASKAN HATI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AT-TAUBAH 9:14)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah tegur orang mukmin yang nampak teragak untuk melawan orang kafir; lalu Allah bawa janji untuk beri kemenangan kepada orang Islam!
ii- Kemudian datang ayat ini Allah nyatakan Dia akan azab mereka dengan perantaraan tangan kamu sendiri, yakni mereka akan kalah & terbunuh dengan sebab orang Islam!
- Apabila sesama manusia berperang, apabila kalah pastilah kehinaan itu lebih terasa!
Begitu juga apabila mereka kalah kepada tentera Islam yang terdiri dari golongan dekat, kaum kerabat & orang kampung mereka sendiri, pastilah lebih terasa kekalahan & kehinaan itu.
- Allah juga nak lapangkan & tenangkan hati orang mukmin; apabila melihat musuh mati di depan mata sendiri pastilah akan lebih terasa besare & indah kemenangan itu!
Sebagaimana tentera Islam melihat Abu Jahal yang dikenali sebagai Fir’aun umat ini mati di hadapan mata mereka sendiri dalam perang Badar.
Ini memberi kekuatan & menaikkan semangat mereka!
AYAT 15- {DAN IA JUGA AKAN MENGHAPUSKAN KEMARAHAN HATI ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU, DAN ALLAH AKAN MENERIMA TAUBAT ORANG-ORANG YANG DIKEHENDAKINYA; DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAUBAH 9:15)
- Munasabah ayat ini:
i- Dalam ayat yang sebelumnya Allah kata Dia nak puaskan hati orang beriman dengan kemataian & kekalahan kafir di depan mata mereka.
ii- Maka datang ayat ini sambungannya, Allah juga nak hapuskan kemarahan & hilangkan dendam sakit hati daripada hati orang mukmin dengan kekalahan kafir di depan mata mereka!
- Penzalim sudah hilang, penjahat sudah tiada, keadaan amat berat, Namun begitu Allah SWT Maka Kaya, rahmat-Nya amat luas, Allah masih boleh lagi terima taubat sesiapa saja yang diberi taufiq untuk masuk Islam!
{وَيَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ}
- Walaupun mereka telah memerangi & membunuh orang Islam, tetapi jika di akhir usia mereka kembali kepada Islam mereka akan duduk bersama orang Islam.
- Hadis, dari Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW :
عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال (يضحك الله إلى رجلين يقتل أحدهما الآخر يدخلان الجنة يقاتل هذا في سبيل الله فيقتل ثم يتوب الله على
(القاتل فيستشهد)
Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi tertawa terhadap dua orang yang saling bunuh membunuh dan keduanya masuk Syurga. Seorang di antaranya berperang di jalan Allah, lalu terbunuh.
Kemudian Allah menerima taubat orang yang membunuh, dia masuk Islam, kemudian dia juga mati syahid. (Mutatafaq ‘alaihi, HR Bukhari & Muslim).
- Contoh, seperti panglima perang yang terkenal Khalid al-Walid RA, yang semasa belum Islam aktif berperang melawan tentera Islam, kemudian selepas memeluk Islam aktif berjihad fi-sabilillah pula; melawan & membunuh tentera kafir pula!
- Dalam ayat ini Allah nyatakan Dia terima taubat sesiapa saja yang Dia kehendaki, maka jangan kita nak cop seseorang itu ahli neraka atau ahli syurga, kerana selagi pintu taubat masih terbuka seseorang itu boleh berubah.
- Di akhir ayat Allah berfirman dan ingatlah bahawa:
i- Allah Maha Mengetahui, siapa yang nak diberi taufiq siapa yang tidak.
ii- Lagi Maha Bijaksana dalam semua ketentuan & ketetapan dari Allah SWT.
AYAT 16- {ADAKAH KAMU MENYANGKA, BAHAWA KAMU AKAN DIBIARKAN (DALAM KEADAAN KAMU YANG ADA ITU), PADAHAL BELUM LAGI TERBUKTI KEPADA ALLAH (SEBAGAIMANA YANG DIKETAHUINYA) ORANG-ORANG YANG BERJIHAD DI ANTARA KAMU DAN YANG TIDAK MENGAMBIL TEMAN-TEMAN RAPAT (UNTUK MENCURAHKAN RAHSIA KEPADA MEREKA), SELAIN DARIPADA ALLAH DAN RASULNYA SERTA ORANG-ORANG YANG BERIMAN? DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI SECARA MENDALAM AKAN APA YANG KAMU KERJAKAN.} (AT-TAUBAH 9:16)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelumnya Allah SWT memberi jaminan untuk memberi bantuan & kemenangan kepada orang yang beriman;
ii- Maka datang ayat ini Allah mengingatkan bahawa orang mukmin akan diberi batu ujian dalam hidupnya.
- Apabila kamu mengaku kamu beriman, kamu orang Islam, kamu berjihad dan sebagainya- maka semua itu tidak akan diakui selagi kamu tidak diuji!
Apakah kamu menyangka setelah kamu mengaku beriman kamu akan dibiarkan begitu saja?
Tanpa diuji dengan peperangan & perjuangan???
- Allah SWT tahu siapakah yang benar & ikhlas hatinya dalam perjuangan, siapa yang bohong, siapa yang sabar & siapa yang lari dari perjuangan.
- Kata Ibnu Asyur : Ayat ini kerana Allah nak beritahu berbeza juga darjat kita sesama orang beriman!
Ada orang yang betul-betul beriman, ikhlas dalam perjuangannya, ada orang yang nampak beriman tetapi tidak betul-betul berjuang, ada juga orang berpura beriman tetapi bukan beriman iaitu munafiq yang menzahirkan iman tetapi sebenarnya kafir dalam hati mereka!
- Inilah yang kita semua takut-takut kita mendakwa kita beriman & berjuang dalam Islam tetapi sebenarnya tidak, kita hanya bermain-main dalam perjuangan yang kita dakwa.
- Maka kita semua akan diuji untuk menzahirkannya kepada orang lain, (Allah sudah tahu semua yang ada dalam hati manusia).
Mereka yang betul-betul beriman akan menjadikan Allah & Rasul-Nya sebagai tempat meminta & pertolongan serta menjadikan sesama orang beriman sebagai teman rapat & ketua yang diikuti, bukan cari kafir untuk diidolakan!
- Sekarang ini kita ujilah diri kita sendiri, kita lihat perjuangan kita siapa kita dalam perjuangan, hati kita sayang kepada siapa, apakah kita betul-betul beriman, sayang kepada orang mukmin atau apabila melihat orang mukmin hati penuh kebencian seolah melihat kucing kurap!
Itulah ujian Allah SWT kepada kita.
- Maka di akhir ayat Allah tutup dengan satu peringatan yang besar: Ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan : iaitu yang zahir Allah tahu, yang tersembunyi pun Allah tahu, yang kita dakwa ikhlas pun Allah tahu, yang kita tak dakwa pun Allah tahu!
- Maka menjadi kewajipan kita untuk berhati-hati, sentiasalah kita gilapkan iman kita, muhasabah amalan kita, ingatlah sama ada ikhlas atau tidak dalam perjuangan yang kita lalui.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 13- {Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya,…}-
Mengapa kamu teragak-agak untuk memerangi kaum yang telah melanggar janji mereka, merancang untuk halau Nabi SAW, kemudian di Madinah mereka telah merancang untuk membunuh Nabi SAW!
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menegur sebahagian daripada orang Islam yang teragak-agak untuk berperang dengan orang kafir; kita tak kuat, tidak ada persediaan serta pelbagai alasan yang boleh meruntuhkan semangat & kekuatan.
Maka Allah tegur, kamu nak tangguhkan lagi? Tak mahu berjihad memerangi kafir yang mengkhianati perjanjian, yang telah menghalau Nabi & orang Islam dari Makkah, yang telah merancang untuk membunuh Nabi SAW!
Maka pergilah berperang berjihad, jangan takut kerana mereka adalah kaum yang memulai dulu kejahatan, membatalkan perjanjian.
Umat Islam tidak dibenarkan membatalkan perjanjian tetapi jika musuh mulai dulu kita boleh melawan mereka.
Allah beri peluang kepada orang Islam untuk berjuang & melihat sendiri orang kafir mati di depan mata mereka!
- Ayat 14- {Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka,…}-
Pergilah perangi mereka, Allah nak suruh mereka tewas di tangan kamu!
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini mengisbatkan bahawa sebab itu ada kesan!
Allah kata kemu pergilah berperang, Allah akan binasakan mereka dengan sebab hasil tangan kamu!
Memang Allah yang akan mengazab dan memusnahkan mereka, tetapi azab itu sampai melalui tangan orang mukmin!
Allah SWT nak beri pahala kepada kamu maka pergilah berperang!
Boleh saja Allah nak matikan atau musnahkan Abu Jahal, Abu Lahab dan mana-mana musuh Islam begitu saja. kena kilat atau batu, tanpa penglibatan orang Islam.
Tetapi kerana Allah nak beri kerja, nak beri peluang & pahala kepada orang mukmin, kamu kena buat kerja, kerana melalui kesan usaha & jihad kamu, itulah pahala kamu!
Maka kamu jangan duduk diam, kita kena buat kerjalah!
Kadang-kadang kita rasa usaha kita kerdil & kecil.
Tetapi walaupun usaha kecil tetapi pulangannya besar apabila kita lihat natijahnya! Sejuk hati melihat kejayaannya.|
Contoh Projek Mega Mampu Milik yang dikempen oleh Abu Anas untuk menggalakkan orang solat sunat rawatib.
Jangan tinggalkan amalan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW pahalanya dengan riwayat yang sahih ini!
Sama-samalah kita jaga & kempen amalan Sunnah dari Nabi SAW yang sahih.
Sebagai tanda cinta hakiki kita kepada Nabi SAW apabila kita beramal dengan Sunnahnya!
Apabila ada peluang untuk kita sampaikan dakwah, buatlah melalui apa saja platform yang ada.
Kata AAM lagi : Beramal dengan Sunnah, Hati tenang; pahala confirm dapat!!
Insya’ Allah kerana Nabi SAW sendiri yang ajarnya!
- Ayat 14- {… dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.} & Ayat 15- {Dan Ia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu,…}-
Allah nyatakan bahawa tujuan Allah kalahkan mereka itu kerana Allah mahu:
i- Hati orang mukmin tenang melihat musuh mati di depan mata mereka.
ii- Dan hilang perasaan geram & nak marah sudah tiada, kerana nak marah apa lagi mereka sudah mati.
Terdapat sebahagian manusia yang menjadikan acara lontar kubur Abu Jahal di Badar.
Kononnya nak marah & benci kepada Abu Jahal, ini tidak betul.
Kita sebagai orang Islam jika melawat Badar hanya kerana nak ambil semangat dan ibrah pengajaran dari peperangan pertama dalam Islam itu!
Dalam dua ayat ini ada 5 manfaat daripada peperangan yang besar ini:
i- Allah azab orang kafir dengan tangan orang mukmin sama ada mereka dibunuh atau ditawan.
ii- Allah hina orang kafir.
iii- Allah beri kemenangan kepada orang mukmin.
iv- Allah beri ketenangan hati kepada mukmin.
v- Allah hilangkan sifat marah dalam hati.
- Ayat 15- {…dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendakiNya;..}-
Jika Allah kehendaki; sesiapa saja yang bertaubat walau sebesar mana kejahatan & keburukannya sebelum ini Allah akan terima.
Kita bawa contohnya:
a- Khalid bin al-Walid RA; seorang panglima perang yang amat hebat & terkenal semenjak awal sebelum dia Islam lagi.
Dia menyertai banyak peperangan menentang & melawan Nabi SAW & orang Islam.
Dia bersama tentera kafir yang menyekat Nabi SAW daripada memasuki Makkah di Hudaibiyah!
Kemudian selepas Perjanjian Hudaibiyah dia memeluk Islam.
Semasa Pembukaan Kota Makkah dia menjadi panglima perang, pembawa bendera masuk menakluki Makkah.
Yakni:
i- Tahun ke-6H masih menjadi musuh Islam & tentera musyrikin sekat rombongan Nabi SAW.
ii- Tahun ke-7H masuk Islam.
iii- tahun ke-8H dia panglima yang membawa bendera Islam menakluki kota Makkah daripada Quraisy.
b- Seorang lagi contoh ialah Abu Sufyan RA, yang 20 tahun menjadi penentang Nabi SAW & Islam.
Bersama musyrikin Makkah dia yang mengetuai tentera Uhud, panglima perang tentera Ahzab menyerang kota Madinah.
Dia menerima Islam setelah Nabi SAW masuk Makkah semasa Pembukaan Kota Makkah.
Anak perempuannya Ummu Habibah adalah UM isteri Nabi SAW.
Anak lelakinya Muawiyah menjadi khalifah dalam negara Islam Madinah.
Kita tidak boleh jangka pengakhiran seseorang manusia, kadang-kadang baik permulaannya tetapi buruk di akhirnya atau sebaliknya, penentang pada awal tetapi pejuang Sunnah akhirnya!
Kerana itu apabila kita baca ayat ini mengigil jiwa kita, sangat kerdil kita di sisi Allah Azza wa Jalla, kita tidak tahu di mana akhir jatuh hidup kita.
Banyakkan berdoa kepada Allah agar tetapkan hati kita atas al-Quran & Sunnah, atas Islam & jangan lari daripada perjuangan kerana amalan kita yang diambil kira ialah diakhir hayat!
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِك
Ertinya: “Wahai Zat yang Maha membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
- Ayat 16- {Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu),..}-
Apakah kamu sangka apabila kamu beriman Allah akan biarkan kamu begitu saja?
Tidak sesekali, bahkan Allah akan menguji kamu dengan ujian yang begitu besar untuk melihat siapakah yang betul-betul berjuang, yang ikhlas, yang tidak khianat perjanjian, yang jujur dalam perjuangan; maka mereka itulah yang akan mendapat kemenagan di sisi Allah SWT.
Kerana itulah Allah syariatkan jihad ini kerana dua sebab:
i- Allah nak lihat siapa yang ikhlas, yang betul-betul berjuang kerana Allah & siapa yang munafiq.
ii- Sebab kedua untuk mempertahankan negara Islam daripada dicerobohi orang kafir & nak menyebarkan agama Islam kepada yang bukan Islam.
Kata para ulama’ : Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa kita mesti betul-betul jaga tentang isu niat & amal hati!
Jangan ada terdetik dalam hati kita perjuangan kita ini hebat kerana disokong oleh orang tertentu.
Tetapi perjuangan kita akan hebat jika kita benar-benar ikhlas & mendapat keredhaan Allah SWT.
Kita tidak tahu apakah kita ikhlas atau tidak, apakah nilai kita di sisi Allah.
Maka kita sentiasa berdoa & tawadhuk merayu kepada Allah agar diberi keampunan, diterima amal kita, jariyah menjadi pemberat timbangan kelak.
Rugi masa, harta & tenaga kita jika perjuangan kita tidak diterima Allah SWT.
Amat rugi & penat jika amalan yang kita buat tidak diterima Allah!
Kerana itu Nabi SAW ajar untuk berdoa pada waktu pagi & petang:
“اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً”
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu; ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Jika kita buat amalan banyak tetapi Allah tak terima; maka rugi, penat & letihnya kita.
Lihat saja puak kafir & musyrikin yang menyakiti tubuh badan konon atas nama agama; juga mereka yang tak ikut Sunnah, buat amalan yang Nabi tak ajar, bergendang, melompat atas nama agama, alangkah penatnya mereka!
Ujian ini amat besar, moga Allah selamatkan kita & terima amalan kita, juga semoga kita sentiasa berada di atas landasan yang benar, yang diredhai Allah SWT.
Wallahu A’lam.
