Kafir Tak Layak Jaga Masjid, Mukmin Imarahkan Masjid & Khidmat Jemaah Haji Tanpa Iman Gagal.
Full video : https://youtu.be/2oSSLoZgbI4?si=p-Ok2L4lyZuoG5aj
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini kita akan mulakan tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 17 sehingga 19 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa orang kafir tak layak untuk imarahkan masjid apatah lagi nak jaga masjid.
- Hanya orang mukmin yang beriman kepada Allah & hari Akhirat, yang mendirikan solat & keluarkan zakat, yang layak jaga & imarahkan masjid.
- Sekadar memberi khidmat kepada jemaah haji tanpa iman; maka tiada faedahnya, mereka gagal untuk mendapat hasil pulangan yang baik dari Allah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Pada awal surah & dalam beberapa ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang berlepas diri kita orang beriman daripada orang kafir yang membatalkan perjanjian & belot.
ii- Datang ayat ini nak membatalkan syubhat yang dibawa oleh puak kafir!
Allah nyatakan kebaikan yang mereka buat tak kena pada tempat.
Di mana Quraisy musyrikin mendakwa mereka telah berbuat amal kebaikan dengan menjaga Masjidil Haram, memberi makan & menyambut jemaah haji!
Semua itu baik tetapi tak ada faedah kerana tak ada akaun (tidak beriman).
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 17- {TIDAKLAH LAYAK ORANG-ORANG KAFIR MUSYRIK ITU MEMAKMURKAN (MENGHIDUPKAN) MASJID-MASJID ALLAH, SEDANG MEREKA MENJADI SAKSI (MENGAKUI) AKAN KEKUFURAN DIRI MEREKA SENDIRI. MEREKA ITU IALAH ORANG-ORANG YANG ROSAK BINASA AMAL-AMALNYA DAN MEREKA PULA KEKAL DI DALAM NERAKA.} (AT-TAUBAH 9:17)
- Orang yang kafir yang mengaku mereka tidak beriman; maka mereka sesekali tidak layak untuk memakmurkan masjid tempat kita beribadat.
- Ulama’ kata : Imarah memakmurkan masjid di sini bermakna: membuat binaan atau buat ibadat di dalam masjid.
- Kata Ibnu Kathir : Imarah masjid ini ada dua makna:
i- Secara fizikal- bina, buat, baiki atau hias masjid.
ii- Dari segi maknawi atau rohani- seperti buat program di masjid, pengisian seperti solat, kuliah, baca & tadabbur al-Quran dan lain-lain, semuanya mereka tak layak!
Semua ini puak kafir tak layak untuk buat & dapat pahala darinya.
- Segala amalan mereka itu tidak akan dikira dan rosak binasa amal-amalnya.
Tidak memberi manfaat & faedah lansung kepada mereka sebagai orang kafir!
- Mereka ini selama mana mereka mati dalam keadaan kufur & syirik; mereka akan kekal di dalam neraka!
Inilah aqidah kita ahli Sunnah wal Jamaah.
Tetapi selagi mereka beriman masih ada harapan untuk keluar dari neraka!
Kita minta berlindung dengan Allah SWT daripada terjebak dengan perkara syirik sama ada yang kita sedar atau tak sedar.
- Nota (281) Pimpinan ar-Rahman:
Setelah Makkah dikuasai Islam pada tahun ke-8H, lalu dibersihkan Baitullah & Masjidil Haram dari syirik & penyembahan berhala yang dilakukan kafir musyrik; maka pada tahun berikutnya diisytiharkan kepada kaum kafir musyrik bahawa mereka tidak dibenarkan lagi mengerjakan haji & segala perbuatan jahiliyyah di Masjidil Haram.
Ini kerana mereka tidak patut & tidak layak untuk memakmurkan masjid-masjid Allah kerana kekufuran mereka.
AYAT 18- {HANYASANYA YANG LAYAK MEMAKMURKAN (MENGHIDUPKAN) MASJID-MASJID ALLAH ITU IALAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT SERTA MENDIRIKAN SEMBAHYANG DAN MENUNAIKAN ZAKAT DAN TIDAK TAKUT MELAINKAN KEPADA ALLAH, (DENGAN ADANYA SIFAT-SIFAT YANG TERSEBUT) MAKA ADALAH DIHARAPKAN MEREKA MENJADI DARI GOLONGAN YANG MENDAPAT PETUNJUK.} (AT-TAUBAH 9:18)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa puak kafir itu tidak layak & tidak berhak untuk mengimarahkan rumah Allah.
ii- Maka Allah nyatakan di sini siapakah yang layaknya & berhak untuk mengimarahkan rumah Allah.
Iaitu orang yang beriman kepada Allah, yang tidak beriman pergi ke tempat lain.
- Tiadalah orang yang layak menguruskan & mengimarahkan masjid atau rumah Allah ini dengan sebenarnya kecuali:
i- Mereka yang beriman kepada Allah.
ii- Dan hari Akhirat.
iii- Serta mendirikan solat dengan sempurnanya.
iv- Dan menunaikan zakat.
v- Dan tidak takut melainkan kepada Allah, yakni tak takut untuk menyatakan kebenaran, untuk melakukan ibadat kepada Allah, tidak takut kepada orang lain!
Beribadat & taat semata-mata kerana Allah SWT.
- Inilah yang kita takut hari ini apabila orang bukan Islam diberi peluang untuk membina atau membaiki masjid.
Sepatutnya kita letakkan syarat hanya orang Islam yang betul-betul beriman untuk diberi kontrak membina, membaiki, membekalkan peralatan masjid, membersihkan & semua yang berkaitan dengan masjid.
- Kata Ibnu Kathir : Maksudnya imarah itu bukan dari segi pembinaan saja tetapi juga pengisian ibadat yang sahih & majlis ilmu, kena bersihkan masjid daripada segala perbuatan yang boleh membawa kepada syirik, bid’ah, khurafat dan segala amalan yang karut marut!
- Hadis, sabda Nabi SAW: “Sesiapa bina masjid kerana Allah SWT; Allah akan membina baginya rumah di SYURGA kelak (binaan) seumpamanya” [HR Bukhari & Muslim].
- Sesiapa yang mempunyai sifat-sifat yang disebutkan di atas, maka merekalah orang yang layak mendapat hidayah petunjuk dari Allah!
Inilah syarat nak dapat petunjuk & hidayah dari Allah kena ada ciri-ciri ini.
- Apabila Allah buka pintu yang besar ini, maka merekalah orang yang bahagia di dunia & aman di Akhirat!
Semoga kita semua termasuk dalam golongan ini!
AYAT 19- {ADAKAH KAMU SIFATKAN HANYA PERBUATAN MEMBERI MINUM KEPADA ORANG-ORANG YANG MENGERJAKAN HAJI, DAN (HANYA PERBUATAN) MEMAKMURKAN MASJID AL-HARAAM ITU SAMA SEPERTI ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT SERTA BERJIHAD PADA JALAN ALLAH? MEREKA (YANG BERSIFAT DEMIKIAN) TIDAK SAMA DI SISI ALLAH, DAN ALLAH TIDAK MEMBERIKAN HIDAYAH PETUNJUK KEPADA KAUM YANG ZALIM.} (AT-TAUBAH 9:19)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan sifat & ciri-ciri orang yang layak memakmurkan masjid, iaitu empat kriteria di atas.
ii- Maka datang ayat ini untuk membatalkan satu di’ayah yang dibina oleh orang kafir bahawa mereka adalah orang yang baik, yang membina Masjidil Haram & memberi makan jemaah haji!
Maka kenapa mereka tidak layak untuk menjadi penjaga & mengimarahkannya!
- Allah tegaskan, bahawa perbuatan orang musyrikin memakmurkan Masjidil Haraam itu, dengan beri makan jemaah haji adalah tidak sama, sama-sekali dengan orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah.
- Hadis riwayat dari an-Nu’man bin Basyir RA :
Dia berkata: “Aku berada di sisi mimbar Rasulullah SAW, kemudian seorang laki-laki berkata: “Bukan masalah bagiku untuk tidak beramal setelah masuk Islam selain memberi minum orang-orang yang melaksanakan ibadah haji.”
Kemudian orang yang kedua berkata: “Bukan masalah bagiku untuk tidak beramal setelah masuk Islam selain memakmurkan Masjidil Haram.”
Yang lain lagi berkata: “Jihad di jalan Allah adalah lebih utama daripada apa yang kamu katakan.”
Maka Umar bin Al Khattab RA lalu mengherdik mereka, ia berkata:
“Janganlah kamu mengangkat suara di samping mimbar Rasulullah SAW, saat itu adalah hari Jumaat, namun jika aku telah melaksanakan solat Jumaat, maka aku akan masuk menemui Baginda dan meminta fatwa atas apa yang kamu perselisihkan.”
Allah lalu menurunkan ayat: {Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian…}’ (At Taubah: 19) sehingga akhir ayat.” [HR Muslim].
Ada ulama’ mengatakan : Bukan ayat itu baru turun tetapi Nabi SAW membacakannya pada ketika itu.
- Allah nafikan bahawa mereka tidak sama di sisi Allah apa yang berlaku tadi, kerana nilai yang diambil kira ialah beriman kepada Allah & berjihad pada jalan Allah.
Jika ada keempat-empat sifat itu, beriman, beri minum jemaah haji dan lain-lain, maka pastilah akan lengkap & sempurna!
Tetapi jika orang kafir buat amalan itu tidak guna & faedahnya untuk hari akhirat.
- Di akhir ayat Allah kata dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim, ayat ini memutuskan harapan, jika kamu tidak beriman, kamu zalim diri sendiri dengan syirik, Allah tak akan pintu ke syurga, tidak jumpa jalan taubat dan segala kebajikan yang dia buat tadi hanya atas dasar kemanusiaan, memberi manfaat kepada manusia lain & mungkin dirinya sendiri atas dunia ini; tetapi tidak memberi faedah lansung pelakunya di Akhirat kelak!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 17- {Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah,…}-
Allah tegaskan & nafikan terus bahawa orang-orang musyrik tidak layak memakmurkan masjid rumah Allah sama ada dengan binaan atau menghidupkannya dengan pengisian.
Ulama’ tafsir seperti al-Wahidi berkata : Ayat ini menjadi dalil bahawa orang kafir tidak layak memakmurkan mana-mana masjid Allah bukan Masjidil Haram saja!
Seeloknya jangan benarkan sesekali mereka memasuki masjid atau jika nak beri kerja membina, membaiki atau membekalkan keperluan masjid wajib kenakan syarat ini kepada mereka:
i) Wajib beriman, yakni hanya orang Islam sahaja diberi tender berkaitan masjid.
Biar ada perbezaan antara rumah Allah & pejabat biasa.
ii) Buktikan mereka membayar zakat, tunjuk resit dan seumpamanya.
iii) Mereka sentiasa solat berjemaah di masjid iaitu ahli masjid.
Ini adalah cadangan kita kepada pihak yang berkenaan, pengurus-pengurus masjid, bukan sebagai kritikan tetapi anggaplah sebagai satu muhasabah & nasihat kita sebagai sesama Islam, di mana harga diri & jatidiri kita sebagai orang Islam jika hal sebegini pun kita tak boleh jaga!!
- Ayat 17- {… Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.}-
Bahaya sekali, puak kafir ini tiada nilai amal kebajikan mereka walaupun banyak & besar setara mana pun!
Segalanya akan sia-sia seolah debu yang hilang berterbanngan & kekallah mereka itu di dalam neraka selama-lamanya! Wal-iyazu bi
- Ayat 18- {Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan…}-
Allah sebut ciri-ciri atau sifat mereka yang layak untuk mengimarahkan masjid.
Hanya orang yang beriman layak untuk mendirikan & memakmurkan masjid.
Maksud memakmurkan ini ialah sama ada:
i- Binaan secara fizikal;
ii- Dari segi pengisian & kerohanian.
Kata ulama’ salaf : Apabila kamu melihat seseorang itu sentiasa ke masjid, buat ibadat & amal kebajikan seperti jaga dan bersihkan masjid dan seumpamanya; maka kita bersangka baiklah dengan mereka bahawa mereka itu orang yang baik.
Imarah yang hakiki ialah menghidupkan masjid dengan pengisian amal ibadat.
Maka orang yang mempunyai 5 sifat tadi, hanya mereka yang layak untuk mengimarahkan masjid.
Orang kafir tidak layak sama-sekali.
Cuitan:
Kata ulama’ juga : Sesiapa yang buat masjid kemudian sibuk nak bubuh nama dia saja, dia kena muhasabah diri dia!
Kita letak keyakinan bahawa malaikat tahu & sudah tulis segala amalan kita dan hanya Allah yang tahu keikhlasan kita!
Ada orang beri kipas atau kerusi kepada masjid pun tulis & tampal namanya.
- Ayat 18- {… dan tidak takut melainkan kepada Allah,..}-
Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan kepada sifat ikhlas.
Dia tidak takut kecuali kepada Allah
Maka orang yang membina masjid kena bersihkan dirinya daripada sifat riya’ dan ingin menunjuk kepada manusia.
Buat semua itu semata-mata kerana Allah.
Sesiapa yang memakmurkan masjid atau membina masjid hendaklah pastikan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Bukan kerana nak nama atau pujian manusia!
- Ayat 19- {Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah?}-
Tidak sama orang tidak beriman yang buat kebajikan DENGAN orang yang beriman.
Tidak sama level mereka walau sebanyak mana kebajikan yang orang kafir buat!
Dalam ayat ini Allah mengingkarinya, kamu beri makan minum orang jemaah haji itu tidak sama dengan kebaikan orang yang beriman!
Walaupun apa dibuat termasuk sebagai amal soleh, namun ia bergantung kepada adanya iman sebagai syarat untuk diterima amalan & mendapat pahala!
Inilah syubhat keraguan yang dimainkan oleh orang kafir untuk menunjukkan bahawa mereka telah buat kebajikan dan layak mendapat pengiktirafan juga!
Terdapat satu risalah tentang 50 Adab Masjid, bermula dari adab nak masuk masjid sehingga akhir. Boleh cari dalam internet.
AAM sudah syarah risalah ini.
Lihat:
https://youtube.com/playlist…
Sekian dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat kefahaman & faedah dunia Akhirat.
Wallahu A’lam.
