Fadhilat Hijrah Dan Jihad, Menerima Khabar Gembira & Kekal Di Syurga.
Full video : https://youtu.be/LAm_meN4jZI?si=ol_00zx1iAIEQwQO
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini kita akan mulakan tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 20 sehingga 22 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang fadhilat hijrah dan jihad.
Orang yang berjihad & hijrah kepada Allah dengan harta & jiwanya memiliki darjat yang besar & akan mendapat kemenangan besar di sisi Allah SWT.
- Allah akan memberi mereka khabar gembira dengan balasan pahala & nikmat yang besar dari sisi-Nya.
- Nikmat yang bukan sementara tetapi kekal abadi di dalam syurga selamanya.
Serta banyak lagi Allah janjikan limpah kurnia yang akan diberikan kepada mereka.
Ya Allah jadikan kami semua & keluarga serta orang yang kami sayangi semuanya mendapat nikmat Allah ini!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT buat bandingan tentang orang yang memberi layanan kepada jemaah haji & membina masjid saja tetapi jika tidak beriman; sesekali tidak akan sama dengan orang yang beriman!
Jika iman tidak ada, buatlah baik setara manapun; semuanya gagal kerana imanlah yang menjadi kunci kejayaan & pintu masuk ke syurga!
ii- Maka datang ayat ini Allah nak nyatakan bahawa orang yang beriman tadi, Allah ulang sebagai galakan kepada kita untuk beriman, berhijrah & berjihad pada jalan Allah!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 20- {(SESUNGGUHNYA) ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERHIJRAH SERTA BERJIHAD PADA JALAN ALLAH DENGAN HARTA BENDA DAN JIWA MEREKA ADALAH LEBIH BESAR DAN TINGGI DARJATNYA DI SISI ALLAH (DARIPADA ORANG-ORANG YANG HANYA MEMBERI MINUM ORANG-ORANG HAJI DAN ORANG YANG MEMAKMURKAN MASJID SAHAJA); DAN MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.} (AT-TAUBAH 9:20)
- Sesungguhnya orang yang mempunyai empat sifat ini: Yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka, iaitu para sahabat Nabi SAW yang beriman kemudian berhijrah berkorban meninggalkan segalanya demi Allah & Rasul-Nya.
Kemudian mereka berjihad pula dengan nyaqwa & harta mereka.
- Mereka ini Allah nyatakan adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja tampa beriman & berkorban fi-sabilillah.
- Dalam ayat ini Allah sebut berjihad dengan harta dulu daripada nyawa kerana pada zaman itu orang Islam susah dan miskin, tiada atau sedikit sekali harta, maka sesiapa yang bersedekah & infaq pada masa susah itu, pastilah besar sekali pahalanya!
- Hadis dari Abu Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kamu mencela para Sahabatku! Demi Yang jiwaku ada di tangan-Nya jika ada di antara kamu yang menginfakkan emas sebesar bukit Uhud, sesungguhnya nilainya tidak sampai satu ‘mudd’ (cupak) dari (infak) mereka, bahkan tidak pun setengahnya”.
[HR Bukhari & Muslim]
- Hadis, Bagaimana 1 Dirham boleh menewaskan 100 ribu Dirham?
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -:
سَبَقَ دِرْهَمٌ مِائَةَ أَلْفٍ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ! كَيْفَ يَسْبِقُ دِرْهَمٌ مِائَةَ أَلْفٍ؟
قَالَ: “رَجُلٌ كَانَ لَهُ دِرْهَمَانِ فَأَخَذَ أَحَدَهُمَا فَتَصَدَّقَ بِهِ،
وَآخَرُ لَهُ مَالٌ كَثِيرٌ فَأَخَذَ مِنْ عَرَضِهَا مِائَةَ أَلْفٍ”.
Nabi SAW bersabda: “(Wang) satu dirham itu dapat mengalahkan seratus ribu dirham.”
Para sahabat berkata: Bagaimana 1 dirham dapat mengalahkan 100 ribu dirham?
Baginda menjawab: Seorang lelaki (hanya) mempunyai wang dua dirham, kemudian dia bersedekah dengan sekeping dirham (iaitu dia bersedekah dengan setengah harta yang dia punyai, walhal dia sangat berhajat dengan harta tersebut) dan seorang lelaki yang lain mempunyai harta yang banyak, kemudian dia mengambil dari hartanya seratus ribu keping wang dirham untuk disedekahkan. [HR an-Nasaei].
- Yakni penilaian adalah mengikut nilai nisbah (kualiti) bukan kuantiti.
Yakni sebelum mereka senang & ada banyak harta, mereka telah bersedekah.
Orang yang banyak harta & bersedekah dapat pahala banyak juga tetapi jika ikut nisbah pastilah lebih besar yang bersedekah separuh daripada hartanya itu!
AYAT 21- {MEREKA DIGEMBIRAKAN OLEH TUHAN MEREKA DENGAN PEMBERIAN RAHMAT DARIPADANYA DAN KEREDAAN SERTA SYURGA; MEREKA BEROLEH DI DALAM SYURGA ITU NIKMAT KESENANGAN YANG KEKAL.} (AT-TAUBAH 9:21)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan mereka mendapat darjat yang besar & kemenangan.
ii- Maka dalam ayat ini Allah beri khabar gembira lagi dengan menyatakan apakah nikmat itu, setara mana darjat itu.
- Iaitu Allah nyatakan:
i- Nikmat yang pertama kepada para mukmin, pejuang mujahid & yang berhijrah ialah pemberian rahmat daripada Allah SWT.
Rahmat Allah amat luas & kita semua memerlukannya.
Kita masuk syurga pun dengan sebab rahmat & limpah kurnia Allah!
ii- Dan keredhaan yang amat besar.
iii- Serta syurga Kamu duduklah di dalam syurga-Ku ini dengan nikmat yang kekal & tidak putus-putus.
Apa saja yang terlintas di hati akan didapati.
- Hadis: Daripada Suhaib RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ – قَالَ – يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ – قَالَ – فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:
{“Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?”}
Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?”
Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihatTuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla.
[Sahih Muslim (181) dan Sunan Ibn Majah (187)].
Ya Allah ya Tuhan kami, dengan nama-Mu yang maha indah & sifat-Mu yang maha tinggi; masukkan kami ke dalam syurga-Mu, jadikanlah kami orang yang Engkau redhai, yang kamu tidak murkai selama-lamanya, amalan yang kamu redhai, yang melayakkan kami masuk ke dalam syurga-Mu yang kekal abadi!
AYAT 22- {MEREKA KEKAL DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA. SESUNGGUHNYA ALLAH, MENYEDIAKAN DI SISINYA PAHALA YANG BESAR.} (AT-TAUBAH 9:22)
- Munasabah ayat:
i- Ayat yang sebelumnya yang menyatakan tentang nikmat syurga yang kekal;
ii- Maka datang ayat ini nak menguatkan lagi nikmat yang kekal itu, di mana mereka akan kekal di dalam syurga selama-lamanya.
- Beberapa firman Allah SWT menafsirkan ayat ini:
i{Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.} (Al-Kahfi 18: 107-108)
- Kemudian Allah nyatakan lagi: Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar, yakni banyak lagi nikmat yang tidak terhitung & tidak terbilang, yang Allah sediakan untuk hamba-Nya yang diredhai!
- Firman Allah SWT:
{Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.} (As-Sajdah 32:17)
- Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman:
أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ: فَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ {فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ}
“Aku telah menyiapkan kepada hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat mata, belum pernah didengar telinga dan tidak pernah terlintas dibenak manusia.’
Rasulullah SAW lantas membacakan ayat al-Quran ini:
{‘Tak seorangpun mengetahui pelbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang.} (as-Sajadah 32: 17) [HR al-Bukhari, 3005].
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 20- {(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah…}-
Mereka inilah golongan yang terbaik!
Maka kita usahakan untuk termasuk dalam golongan ini, walaupun hijrah secara fizikal dari Makkah ke Madinah seperti dulu sudah tidak ada tetapi hijrah meninggalkan keburukan kepada kebaikan sentiasa ada!
Inilah 3 sifat besar: Iman, hijrah & jihad.
Jihad juga ada 2 dimensi iaitu dengan harta & jiwa.
Sudah dihuraikan sebelum ini kenapa Allah sebut jihad harta dulu sebelum nyawa sedangkan nyawa lebih berharga.
Ini kerana pada awal Islam kaum muslimin tidak mempunyai harta yang banyak, harta yang sedikit, yang mana ada amat bernilai dan berharga ketika itu.
Maka Allah beri galakan kepada mereka untuk berinfaq yakni jihad dengan harta walaupun sedikit tetapi amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT!
Allah sebut jihad dengan harta & nyawa kerana kita boleh pilih jihad secara manakah yang kita mampu & boleh buat!
Kata AAM :
Di mana bumi subur di situ benih ditabur, yakni di mana keperluan dan infaq diperlukan kita usahakan untuk membantu.
Kita orang mukmin kita nak ada ketiga-tiga sifat ini, mantapkan iman, hijrah tinggalkan maksiat kemudian berjihad untuk menegakkan agama Islam ini!
- Ayat 20- {… mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja);..}-
Allah sebut bahawa lebih besar ganjaran bagi mereka yang beriman di sisi Allah SWT berbanding dengan mereka yang memberi minum jemaah haji tetapi tidak beriman!
Pertanyaan: Kenapa Allah buat perbandingan darjat antara orang mukmin dengan orang kafir yang memang tidak ada darjatnya itu???
Jawapan, Allah buat perbandingan darjat untuk kita nampak beberapa perkara :
i- Puak kafir, jika betul sekalipun, darjat orang mukmin lebih besar daripada mereka.
ii- Besar darjat bagi orang yang mempunyai ketiga-tiga sifat ini!
Jika dapat kumpulkan ketiga sifat ini amat besar darjatnya di sisi Allah.
Ini kerana ada orang yang beriman saja tetapi tidak berjihad atau nafkah atau hanya salah satu sahaja!
- Ayat 20- {(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah…}-
Sekali lagi Allah ulang bahawa orang yang beriman & beramal tak sama dengan orang yang tidak beramal.
Allah sebut perbezaan besar antara orang yang beriman & beramal.
Ayat ini nak menolak fahaman tidak betul golongan murjiah yang sekular atau liberal yang mengatakan jika dah beriman tidak mengapa tidak beramal.
Mereka kata jika hati dah beriman & baik, walaupun tak solat tak tutup aurat tidak mengapa & sudah mencukupi.
Sedangkan tutup aurat & solat itu kewajipannya dengan Allah.
Sedangkan ulama’ kita mengatakan : Iman & amal tidak dapat dipisahkan, mesti seiring dan dilakukan bersama.
- Ayat 21- {Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga;…}-
Kesimpulan dari ayat ini Allah sebut tiga sifat dalam ayat sebelumnya kemudian Allah bawa tiga balasannya juga: iaitu diberi khabar gembira dengan rahmat Allah, keredhaan Allah & syurga!
Balasan ini adalah setimpal, tiga lawan tiga:
i- Kamu beriman maka Allah beri diberi khabar gembira dengan rahmat Allah, beriman punca dapat rahmat!
ii- Kamu berhijrah kamu dapat keredhaan Allah, sebab hijrah ini bukan senang tinggalkan segalanya!
iii- Kamu berjihad, Allah balas syurga untuk kamu!
Ini kerana apabila berjihad harta yang diinfaq tak dapat balik, nyawa yang melayang juga tak akan kembali kecuali di dalam syurga nanti akan dapatnya semula!
Ayat ini adalah timbal-balas pahala dari Allah atas amal kebaikan yang kamu buat! Iman, hijrah, jihad = rahmat, redha Allah & syurga! Sangat menarik pebahasan al-Quran ini!
- Ayat 21- {… mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.} & Ayat 22- {Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.}-
Dalam dua ayat ini Allah sebut: nikmat yang kekal { نَعِيمٌۭ مُّقِيمٌ} dan kekal di dalamnya selama-lamanya { خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ}.
Allah ulang dua kali untuk bagi keyakinan & menghilangkan keraguan bahawa nikmat di dalam syurga itu, kekal dan tetap selama-lamanya, kekal abadi.
Yakni masuk dalam syurga, duduk di situ dan kekal selamanya tiada pengakhiran, tidak keluar lagi darinya!
Bukan hanya duduk lama tetapi tidak keluar-keluar lagi!
Ya Allah jadikan kami semua; hamba-Mu yang layak mendapat syurga-Mu yang kekal abadi selama-lamanya!
Sekian dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat kefahaman & faedah dunia Akhirat.
Wallahu A’lam.
