SURAH ALI-‘IMRAN : AYAT 38-41

NABI ZAKARIA MINTA ZURIAT, ALLAH ANUGERAHKAN YAHYA & TANDA HAMIL.

Full video : https://youtu.be/SuWzO7iRS1I?si=-NCMZfAwqIFLfQdh

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 38 sehingga 41, surah Aali Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan kisah Nabi Allah Zakaria a.s; selepas dia lihat keajaiban yang Allah beri kepada Maryam, lalu dia berdoa minta zuriat walaupun dia sudah tua & isterinya mandul.
  3. Lalu Allah kabulkan doanya & beri khabar gembira bahawa Allah akan anugerahkan kepadanya seorang anak yang bernama Yahya.
  4. Mendengar khabar ini, nabi Zakaria kerana terlalu teruja atau panik kerana perkara ini luar biasa, minta tanda dari Allah bahawa isterinya telah hamil.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas apabila Zakaria tengok apa yang Allah beri rezeki yang baik & ajaib kepada Maryam yang sedang beriktikaf di dalam mihrab masjid, tanpa usaha & kerja, mendapat buah-buahan di luar musim.

ii- maka Zakaria terdetik dalam hatinya untuk berdoa kepada Allah yang kuasa-Nya tidak terbatas agar dikurniakan anak- walaupun dia sedar akan keadaannya sekarang; yang isterinya seorang yang mandul, dia sudah tua & sudah beruban atas kepala!

Tetapi apabila tengok keajaiban Maryam, dia yakin kuasa Allah dapat mengatasi segalanya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 38-{KETIKA ITU NABI ZAKARIA BERDOA KEPADA TUHANNYA, KATANYA: “WAHAI TUHANKU! KURNIAKANLAH KEPADAKU DARI SISIMU ZURIAT KETURUNAN YANG BAIK; SESUNGGUHNYA ENGKAU SENTIASA MENDENGAR (MENERIMA) DOA PERMOHONAN”.} (AALI IMRAN 3:38)

  1. Apabila Nabi Zakaria tengok keajaiban yang Allah berikan kepada Maryam, baru dia teringat kuasa Allah boleh mengatasi segalanya.
    Lalu dia terus berdoa kepada Allah s.w.t!
  2. Yakni Zakaria terus berdoa agar Allah mengurniakan kepadanya zuriat keturunan yang baik, iaitu seorang anak yang soleh.

Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar & menerima doa permohonan hamba-Nya.

{رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةًۭ طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ}.

  1. Dalam ayat ini memberi kepada kita pengajaran:

i- apabila kita tengok sesuatu yang baik & elok- terus berdoa untuk dapatkannya dengan ikhlas.

Minta perkara yang baik seperti rezeki yang baik & halal untuk digunakan pada jalan kebaikan juga!

Sama juga jika tengok sesuatu yang tidak baik, kita minta perlindungan Allah & minta dijauhkan darinya.

ii- orang yang tidak dapat anak, bila tegok orang ada anak terus berdoa juga.
Boleh amalkan doa Nabi Zakaria ini:

{رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةًۭ طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ}-

Jangan minta anak saja, tetapi zuriat yang baik, anak yang soleh yang boleh beri kebaikan dunia & Akhirat!

iii- ayat ini juga boleh kita baca sebagai doa hatta dalam solat- tak perlu baca {قَالَ} itu kerana maksudnyanya berkata (Zakaria).

  1. Nabi Zakaria berdoa kepada Allah dengan bertawassul dengan amal solehnya serta dalam masa yang sama mengakui kelemahannya.
  2. Ayat ini ditafsirkan secara teperinci dengan firman Allah s.w.t ini:

{(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.} (Maryam 19:2)

{(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.} (Maryam 19:3)

Beliau berdoa dengan perlahan, rintihan & rayuan.

{Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.} (Maryam 19:4)

Mengadu keadaannya yang lemah serta sudah tua.

{Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.} (Maryam 19:5)

Dalam masa bertawassul dengan kerja baiknya- amalan soleh & tugas dalam kerja-kerja dakwah & agama.

{Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”.} (Maryam 19:6)

Yakni zuriat yang akan menyambung tugas dakwahnya & agar Allah redha kepada anaknya nanti!

AYAT 39-{LALU IA DISERU OLEH MALAIKAT SEDANG IA BERDIRI SEMBAHYANG DI MIHRAB, (KATANYA): “BAHAWASANYA ALLAH MEMBERI KHABAR YANG MENGEMBIRAKANMU, DENGAN (MENGURNIAKANMU SEORANG ANAK LELAKI BERNAMA) YAHYA, YANG AKAN BERIMAN KEPADA KALIMAH DARI ALLAH, DAN AKAN MENJADI KETUA, DAN JUGA AKAN MENAHAN DIRI DARI BERKAHWIN, DAN AKAN MENJADI SEORANG NABI DARI ORANG-ORANG YANG SOLEH”.} (AALI IMRAN 3:39)

  1. Allah terus menerima & menjawab doa ikhlas Nabi Zakaria itu.
    Allah menghantar Malaikat untuk datang memberi khabar gembira kepada Nabi Zakaria sedangkan dia dalam keadaan bersolat di mihrab ketika itu.
  2. Firman Allah s.w.t juga tentang ini:
    {(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”.} (Maryam 19:7)
  3. Nabi Zakaria lalu diberi khabar gembira bahawa dia akan diberikan seorang anak yang istimewa iaitu:

i- yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, {مُصَدِّقًۢا بِكَلِمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ}; iaitu beriman dengan Nabi Isa a.s yang semasa dengannya ketika itu.

ii- akan menjadi ketua di kalangan kaumnya {وَسَيِّدًۭا}, dengan diberikan ilmu & akhlak yang mantap.

iii- juga akan menahan diri dari berkahwin {وَحَصُورًۭا}, seorang ahli ibadat yang menahan diri daripada segala yang nafsu nak.

Tetapi tidak dalam Syari’ah kita- Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya berkahwin & tidak memuji orang yang nak beribadat sahaja. Jika mampu disunatkan untuk berkahwin!

iv- dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh {وَنَبِيًّۭا ِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ}.

Inilah khabar paling gembira, di mana anaknya akan dilantik sebagai seorang nabi juga!

  1. Apabila mendengar khabar ini Nabi Zakaria terkejut dan seolah tidak percaya pula akan dapat anak kerana terlalu teruja!

AYAT 40-{NABI ZAKARIA BERKATA:” WAHAI TUHANKU! BAGAIMANAKAH AKU AKAN BEROLEH SEORANG ANAK, PADAHAL SEBENARNYA AKU TELAH TUA DAN ISTERIKU PULA MANDUL?”, ALLAH BERFIRMAN: “DEMIKIANLAH KEADAANNYA, ALLAH MELAKUKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA”.} (AALI IMRAN 3:40)

  1. Lalu dia bertanya bagaimanakah dia akan dapat anak sedangkan dia adalah seorang lelaki yang telah tua dan isterinya seorang wanita yang mandul!

Bukan tidak yakin kepada kuasa Allah tetapi kerana terlalu teruja & seolah tidak percaya!

  1. Firman Allah s.w.t juga:
    {Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?”} (Maryam 19:8)
  2. Ini kerana pada adatnya tidak mungkin lagi dia akan dapat anak kerana beberapa sebab seperti- dia seorang yang sudah tua, beruban serta isterinya pula seorang perempuan yang mandul, lama dah kahwin tak pernah dapat-dapat anak!
  3. Lalu Allah s.w.t berfirman: {“Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”.}- yakni Allah jelaskan bahawa kuasa Allah dapat melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya!
  4. Munasabah ayat dengan yang selepasnya:
    i- apabila mendapat khabar gembira & ajaib dia akan dapat anak dalam usia yang lanjut itu maka;

ii- dalam ayat berikutnya dia minta tanda dari Allah s.w.t yang dapat menunjukkan bahawa isterinya telah hamil!

AYAT 41- {NABI ZAKARIA BERKATA LAGI: “WAHAI TUHANKU! JADIKANLAH BAGIKU SATU TANDA (YANG MENUNJUKKAN ISTERIKU MENGANDUNG)”. ALLAH BERFIRMAN: “TANDAMU ITU IALAH ENGKAU TIDAK AKAN DAPAT BERKATA-KATA DENGAN ORANG RAMAI SELAMA TIGA HARI (TIGA MALAM) MELAINKAN DENGAN ISYARAT SAHAJA; DAN INGATLAH KEPADA TUHANMU (DENGAN BERZIKIR) BANYAK-BANYAK, DAN BERTASBIHLAH MEMUJI ALLAH (DENGAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG), PADA WAKTU MALAM DAN PADA WAKTU PAGI”.} (AALI IMRAN 3:41)

  1. Nabi Zakaria lalu meminta tanda dari Allah s.w.t untuk mengesahkan kejadian ini!
  2. Allah lalu berfirman sebagai tandanya dia tidak akan dapat bercakap dengan orang ramai selama tiga hari tiga malam; hanya dapat berhubung dengan bahasa isyarat sahaja.
  3. Tetapi dalam masa yang sama jangan lupa terus beribadat kepada Allah dengan melakukan amal soleh seperti: dengan berzikir banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah juga dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi.
  4. Maka para suami yang telah dapat gembira akan dapat anak, zuriat yang ditunggu-tunggu, jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadat & zikir kepada Allah s.w.t!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 38-{Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya,}- ayat ini menunjukkan bahawa semua orang berhajat kepada Allah, hatta seorang nabi a.s.

Walaupun Nabi Zakaria seorang nabi dia masih lagi bergantung & perlu berdoa kepada Allah untuk meminta hajatnya!

Amat ajaib jika kita manusia biasa yang lemah ini malas untuk berdoa kepada Allah!

Fakta:
i- mengikut Tafsir al-Munir; Nama Zakaria disebut sebanyak 8 kali dalam al-Quran.
Iaitu dalam 4 surah: Aali Imran, al-An’am, al-Anbiya’ & Maryam.

ii- Nama Yahya pula disebut sebanyak 4 kali dalam al-Quran.
Iaitu dalam 4 surah: Aali Imran, al-An’am, al-Anbiya’ & Maryam.

Apabila kita melihat sesuatu yang mengkagumkan & menakjubkan kita terus berdoa untuk dapat kebaikan & nikmat begitu juga untuk tujuan yang baik!

Tengok apa saja nikmat yang orang dapat boleh terus berdoa untuk dapat begitu juga, minta yang baik-baik!

Begitu juga apabila melihat sesuatu atau orang yang tidak baik juga; kita terus berdoa meminta perlindungan dengan Allah s.w.t daripadanya!

Orang yang baik mengambil iktibar pengajaran daripada orang lain!

Sebagaimana Zakaria yang melihat Maryam mendapat karamah dari Allah; dia pun terus berdoa juga untuk mendapat rezeki & keajaiban dari Allah!

  1. Ayat 38-{Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik;}-

Nabi Zakaria berdoa agar dikurniakan seorang anak, tetapi bukan anak yang biasa tetapi zuriat yang baik { لَّدُنكَ ذُرِّيَّةًۭ طَيِّبَةً ۖ} dan yang diredhai Allah.

Serta yang diredhai Allah s.w.t:
{Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”.} (Maryam 19:6)

Jika nak minta sesuatu jangan minta secara umum sahaja tetapi secara khusus!

Sebagaimana doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” [Riwayat Ibn Majah (925)].

Ayat ini juga mengajar kita agar berusaha bukan doa saja, nak anak jadi baik kena beri pendidikan & ajaran yang baik dari segi agama, akhlak & pelajarannya, barulah anak yang baik akan dilahirkan insya’ Allah!

  1. Ayat 39-{Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab,}- malaikat datang memberi khabar itu kepada Nabi Zakaria ketika dia sedang bersolat di Mihrab.

Ayat ini memberi dalil bahawa boleh kita bercakap (memberi maklumat yang perlu) kepada orang yang sedang solat.

Tetapi jangan dia pula yang bercakap & berbunyi, orang solat boleh beri isyarat bahawa dia faham & dengar apa yang diberitahu.

Sunat juga kita beri tahniah dengan khabar gembira yang mengembirakan sahabat kita!

Sebagaimana malaikat yang datang memberi tahniah & khabar gembira kepada Zakaria tentang rezekinya akan dapat zuriat yang baik.

  1. Ayat 40-{Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”}- nabi Zakaria memberitahu kepada Allah akan kekurangan & kelemahannya- iaitu dia seorang yang tua & isterinya seorang yang mandul.

Boleh kita mengadu kepada Allah akan kekurangan & kelemahan kita DAN kepada orang lain yang berhak & ada kegunaan/faedah untuk tahu seperti doktor, guru, peguam, hakim atau seumpamanya!

Tetapi bukan kepada semua orang yang tidak ada kaitan & tidak ada keperluan.

Bahkan jangan buat sesuatu yang boleh membuka keaiban dan perasaan malu pasangan kita atau orang berkenaan!

  1. Ayat 41- {Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”.}-

Nabi Zakaria minta tanda yang dapat memberi bukti kepadanya bahawa isterinya hamil.

Kata ulama’ tafsir: Tidak salah seseorang minta tanda atau bukti perjanjian yang dapat menenangkan hati kita!

Sebagaimana Nabi Ibrahim sebagai seorang ahli tauhid, dia minta tengok dalil cara Allah menghidupkan semula sesuatu yang telah mati, maka Allah layan permintaannya itu.

Lalu dalam kisah Nabi Zakaria ini Allah nyatakan bahawa tandanya ialah dia tidak dapat bercakap selama 3 hari kecuali dengan guna bahasa isyarat.

Tetapi kata ulama’: Zaman kita ini isyarat juga dikira percakapan.
Seperti orang yang bisu atau pekak guna bahasa isyarat, boleh diterima dalam kes seperti akad nikah, persaksiaan dan lain-lain.

Maka kita berhati-hatilah- yang kita buat isyarat, guna emoji dalam mesej, chat dan lain-lain untuk perli orang dan seumpamanya, semua itu akan dikira!

Allah juga nyatakan sifat nabi Yahya sebagai seorang yang beriman, menjadi ketua, ahli ibadat & seorang nabi sebagai satu kelebihan & keistimewaannya!

Alhamdulillah tamatlah kuliah kita untuk siri ini, kita akan sambung dalam ayat-ayat seterusnya insya’ Allah.

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Aali Imran 2024 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.