I’JAZ AL-QURAN, KAFIR PELIK AL-QURAN DITURUN KEPADA NABI SAW & DITUDUHNYA SEBAGAI SIHIR.
Full video : https://youtu.be/FpJ2uqYW7rI?si=4CNo-Imf7WT8Niw0
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 01 dan ayat 02 dalam juzuk kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang I’jaz Al-Quran, iaitu al-Quran melemahkan makhluk lain dari mencabarnya serta menyatakan kedudukan kitab al-Quran yang mulia.
- Puak kafir pelik al-Quran diturun kepada Nabi SAW, yang dianggap orang miskin, anak yatim pengembala kambing.
Mereka mahu ia diturunkan kepada para pemuka Quraisy mereka seperti al-Walid atau ketua bani Thaqif.
- Kerana mereka tidak ada hujjah & fakta untuk melawan Nabi SAW & Al-Quran, mereka tukar taktik dengan menuduhnya sebagai sihir pula.
Inilah betapa puak kafir ini dalam soal agama mereka tidak cerdik walaupun dalam bab lain mungkin mereka hebat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam siri yang lepas kita nyatakan tentang muqaddimah dan intisari surah.
Munasabah antara surah ini dan at-Taubah.
- Hari ini dalam sejarah: 16hb September ialah detik bersejarah hari penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963, iaitu gagasan negeri-negeri Melayu termasuk Sabah, Sarawak & Singapura pada ketika itu.
Sebelum itu dikenali sebagai Tanah Melayu.
Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965.
Kita berdoa kepada Allah semoga Allah jaga negara kita ini dan kembalikannya atas paksi Syari’ah yang diredhai-Nya.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 1- {ALIF, LAAM RAA’….} (YUNUS 10:1)
- Surah ini dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf al-Muqatto’ah (الحروف المقطعة).
Al-Muqatto’ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca satu-persatu sebagaimana hurufnya- {الٓر} dibaca (Alif Lam Ra)- iaitu huruf Alif dibaca alif, huruf Lam dibaca lam dan huruf Raa dibaca Raa.
- Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto’ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.
Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah ﷻ lebih mengetahui maknanya.
- Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak boleh dilawan dan dicabar oleh manusia & sekelian makhluk sama ada secara bahasa atau isi kandungan.
Ia juga melemahkan makhluk lain untuk menirunya!
Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini.
[Penjelasan lanjut boleh baca di nota:7 pada awal Surah Al-Baqarah Tafsir Pimpinanar-Rahman].
AYAT 1- {… INI IALAH AYAT-AYAT KITAB (AL-QURAN) YANG MENGANDUNGI HIKMAT-HIKMAT DAN KEBENARAN YANG TETAP TEGUH.} (YUNUS 10:1)
- Allah nak tunjukkan akan ketinggian kedudukan al-Quran, Allah katakan: Itulah { تِلْكَ } ayat al-Quran:
i- Yang mengandungi hikmat-hikmat {ٱلْحَكِيمِ}.
ii- Dan kebenaran yang tetap teguh {ٱلْكِتَـٰبِ}.
- Kata Ar-Razi: Ini kerana dalam Surah Yunus ini banyak kisah pelik yang akan diceritakan. Serta umum untuk semua ayat dalam al-Quran ini.
- Kata Ibnu Asyur: Surah yang terpilih dimulai dengan huruf al-Muqatto’ah di permulaan surahnya, tujuannya adalah untuk mencabar manusia, menyatakan bahawa tidak ada yang boleh lawannya.
- Allah nyatakan ayat al-Quran ini adalah:
i- Mengandungi hikmat-hikmat: Hukum-hakamnya penuh dengan hikmah, mengandugi faedah & manfaat kepada manusia.
ii- Dan kebenaran yang tetap teguh: Allah teguhkah lafaz-lafaz dan maknanya.
Serta ia menjadi pemutus yang teguh kepada hamba-Nya.
Menjadi penjelas antara yang haq & yang batil, yang halal & yang haram, yang benar & yang salah.
Inilah fungsi al-Quran.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
i- {Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.} (Hud 11:1)
ii- {… dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan.} (Al-Baqarah 2:213)
AYAT 2- {TIDAKLAH PATUT ADANYA PADA MANUSIA YANG INGKAR ITU PERASAAN HAIRAN DISEBABKAN KAMI TELAH WAHYUKAN KEPADA SEORANG LELAKI DARI JENIS MEREKA (NABI MUHAMMAD, DENGAN BERFIRMAN KEPADANYA): “BERILAH AMARAN KEPADA UMAT MANUSIA (YANG INGKAR, DENGAN BALASAN AZAB) DAN SAMPAIKANLAH BERITA YANG MENGEMBIRAKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN, BAHAWA BAGI MEREKA ADA PERSEDIAAN YANG SUNGGUH MULIA DI SISI TUHAN MEREKA (DISEBABKAN AMAL-AMAL SOLEH YANG MEREKA KERJAKAN). (SETELAH NABI MUHAMMAD MEMBERI AMARAN DAN MENYAMPAIKAN BERITA YANG MENGEMBIRAKAN) BERKATALAH ORANG-ORANG KAFIR (YANG MERASA HAIRAN) ITU: “SEBENARNYA (AL-QURAN) INI IALAH SIHIR YANG TERANG NYATA.”} (YUNUS 10:2)
- Allah herdik & bertanya dengan sergah manusia iaitu puak kafir itu kenapa mereka pelik dan mempertikaikan, kenapa Allah lantik Nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul.
Mereka tak boleh terimanya kerana hasad dengki & tak puas hati!
Kerja Nabi SAW adalah untuk memberitahu manusia agar ikut perintah Allah & tinggalkan larangan-Nya.
- Kata ulama’: Maksudnya manusia pada waktu itu ialah kaum kafir Makkah & sesiapa saja yang mengikuti mereka dalam membantah & mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW.
Yakni ayat ini turunnya khusus pada awalnya kepada Quraisy tetapi ia adalah umum untuk seluruh manusia semuanya!
Siapa saja ikut pemikiran Quraisy mempertikaikan perlantikan Rasulullah maka, ia termasuklah dalam golongan ini!
- Nota: Kaum musyrikin Makkah berasa hairan & pelik bagaimana seorang manusia, Nabi Muhammad SAW diberi wahyu & diutus Allah sedangkan dia adalah manusia bukan malaikat!
Bagi menolak fahaman mereka yang salah itu, maka Allah SWT menegaskan dalam ayat ini adalah tidak patut mereka bersikap sedemikian; kerana semua nabi-nabi & rasul terdahulu juga adalah dari kalangan manusia!
- Kata ar-Razi:
i- Mereka berasa pelik kerana Allah utuskan seorang manusia sebagai rasul!
Sebagaimana firman Allah ini:
Maksudnya {Mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?”} (Al-Isra’ 17:94)
ii- Ataupun mereka boleh terima rasul itu manusia tetapi mereka tidak boleh terima & pelik bagaimana Muhammad SAW itu yang terpilih menjadi rasul, kerana bagi mereka dia tidak layak berbanding dengan para pemuka Quraisy pembesar mereka!
Betapa peliknya sikap kafir Quraisy ini; sepatutnya mereka berbangga & gembira kerana Allah lantik seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, tetapi apakah daya apabila hasad dengki menguasai pemikiran, itulah yang terjadi!!!
- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan sifat & tugas Nabi SAW serta semua para anbiya’ lain:
i- Adalah memberi amaran kepada manusia {أَنذِرِ ٱلنَّاسَ} bahawa sesiapa yang lawan, keras kepala tak terima; maka Allah akan sediakan balasan azab yang dahsyat!
ii- Tugasnya yang kedua ialah menyampaikan berita gembira {وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟}- {dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman…} dengan sebab kita beriman & melakukan amal soleh yang mereka kerjakan, maka Allah sudah tulis bahawa mereka ini orang yang mulia di Lauh Mahfuz sejak awal lagi.
- Ulama’ membincangkan apakah maksudnya firman Allah SWT ini:
{أَنَّ لَهُمْ قَدَمَ صِدْقٍ عِندَ رَبِّهِمْ}: bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan):
i- Bagi mereka Jannah atau syurga.
ii- Mereka ada amalan-amalan baik yang melayakkan mereka ke syurga!
iii- Sebagai persediaan yang awal untuk mereka atau kerana mereka laju menerima arahan Allah SWT.
iv- Ada orang yang di depan mereka iaitu Rasulullah SAW yang memimpin mereka.
Kata Ibnu al-Qayyim RHM: Semua yang disebut ini adalah boleh diterima dan termasuk belaka dalam {قَدَمَ صِدْقٍ}.
- Kemudian setelah puak kafir mendengar al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah SAW mereka berasa lemah untuk menentangnya!
Lalu mereka tukar taktik menyerangnya dengan mengatakan bahawa ia adalah satu perbuatan sihir.
Begitulah manusia, tak lawan tak boleh tukar serangan!
- Perkataan {لَسَـٰحِرٌۭ} ini boleh dibaca dengan dua bacaan (qiraat) iaitu:
i- {لَسَاحِرٌ} iaitu merujuk kepada Nabi SAW itu sendiri, Baginda dituduh sebagai tukang sihir.
ii- {لَسِحْرٌ}- ini merujuk kepada al-Quran bahawa al-Quran itu adalah satu perbuatan sihir.
- Yakni para tok kafir itu mengatakan Rasulullah SAW adalah seorang ahli sihir yang menyihir orang dengan ayat-ayat jampinya yang membuatkan orang percaya & ikutnya!
Atau al-Quran itu sendiri satu sihir, yang boleh memeningkan akal manusia, membuat orang kagum & terpengaruh.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1- {Alif, Laam Raa’…}-
Ini adalah huruf al-Muqotto’ah untuk menyatakan I’jaz al-Quran.
Dalam al-Quran ini ada dua:
i- I’jaz: Adalah satu perkara yang fakta & maklumatnya tidak boleh dicabar, ditiru, seperti al-Quran ini, ia melemahkan orang daripada melawan & mencabarnya!
ii- Mukjizat: Pula adalah sesuatu yang pelik, yang mencarik adat yang tidak berlaku sebelum ini. Iaitu satu mukjizat yang ajaib & pelik, yang diberikan Allah kepada para nabi & rasul-Nya.
Al-Quran ini sendiri adalah satu kelebihan dan MUKJIZAT, tiada sesiapa yang boleh meniru dan mencabar al-Quran sehingga Kiamat.
Boleh baca Kitab Tahzib Sirah ini untuk membaca 50 lebih mukjizat Nabi SAW yang sahih: Tahzib Sirah
Allah juga berfirman: {… ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.}- Allah sebut kitab yang tetap bagi al-Quran kerana ia teguh tidak bergoncang.
Maklumat: Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat yang sama tetapi berbeza hujungnya seperti:
i- ayat kita ini: Surah Yunus ayat 1: {الٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْحَكِيمِ}-
ii- Surah Luqman ayat 1: {الٓمٓ ١ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْحَكِيمِ}-
iii- Surah Yusuf ayat 1: {الٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ }-
Kenapa berbeza begitu, apakah hikmahnya???
Jawapannya:
i- Dalam 2 surah pertama diakhiri dengan {ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْحَكِيمِ}- Kitab yang penuh hikmah.
Ini ini kerana dalam 2 surah ini terdapat ayat-ayat yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT yang boleh kita lihat dengan mata seperti:
Dalam Surah Yunus ayat 3 & ayat 5, Allah jelaskan dalil rububiyyah bahawa Allah yang mencipta langit, mentadbir alam, menetapkan peredaran matahari dan bulan.
Semua itu menunjukkan hikmah dan tadbir-Nya.
Manakala dalam Surah Luqman ayat 10, 11 & 20, Allah tegaskan penciptaan langit tanpa tiang, nikmat yang dilimpahkan, dan nasihat Luqman penuh hikmah kepada anaknya.
Ini menuntut kepada الحكمة iaitu hikmah yang mantap, hujjah akal dan nasihat.
ii- Manakala dalam Surah Yusuf diakhiri dengan {ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ}- Kitab yang menjelaskan.
Ini kerana surah ini hanya berlegar tentang kisah Nabi Yusuf, ibu bapanya dan adik-beradiknya iaitu kisah peribadi & kekeluargaan penuh dengan peristiwa yang terperinci dari awal hingga akhir.
Maka Allah jelaskan kepada kita kitab al-Quran ini menjelaskan kisah sebenar Nabi Yusuf AS dengan nyata & jelas {ٱلْمُبِينِ} bukan seperti tuduhan & fitnah yang dibuat ke atas Nabi Yusuf yang gila perempuan dan seumpamanya.
- Ayat 2- {Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad,)…}-
Puak kafir Quraisy ini berasa pelik & tidak boleh terima apabila melihat Nabi Muhammad SAW yang dipilih & diutus Allah sebagai Rasul kepada mereka!
Manusia ini jika kita berikan kepada mereka untuk ukur apa yang baik atau hebat; maka akan pelik, pincang & tidak adillah!
Lihat kafir Quraisy yang berasa pelik & tak puas hati kerana Allah pilih Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang mendapat wahyu!
Bagi mereka yang layaknya adalah para pemuka, orang besar berpangkat di kalangan mereka seperti al-Walid bin al-Mughirah penguasa Makkah atau kepada Mas’ud bin Amru ath-Thaqafi- penguasa Taif!
Orang miskin & anak yatim seperti Nabi Muhammad ini mereka tidak boleh terima, tidak padan dengan taraf mereka!
Begitulan manusia ada perangai tak masak begini!
- Ayat 2- {… “Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman,..}-
Allah nyatakan tugas Nabi SAW di sini iaitu:
i- Memberi amaran kepada umat manusia yang ingkar{أَنذِرِ ٱلنَّاسَ} keras kepala tak dengar kata.
ii- Menyampaikan berita yang gembira kepada orang-orang yang beriman {وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟}.
Dalam ayat ini kenapa Allah mulakan dengan beri amaran dulu???
Jawapan:
i- Kata ar-Razi RHM: Ini kerana dalam pendidikan itu kita kena kosongkan dulu dari segala sifat buruk baru kita isi dengan tarbiyah & kebaikan.
Iaitu kaedah yang dibuat ulama’: التخلية قبل التحلية:
i- Iaitu bersihkan dulu sesuatu bekas itu daripada kekotoran
ii- Sebelum mengisinya dengan sesuatu yang baik pula.
Jadi Allah suruh beri amaran dulu kepada semua manusia, untuk kosongkan dulu hati mereka daripada segala keburukan & syirik!
Seseorang perlu meninggalkan maksiat sebelum memperhiasi amalan menuju ketaatan.
Dalam ayat ini Allah suruh beri amaran kepada semua manusia supaya mereka beriman!
Manakala untuk orang beriman adalah mereka yang khas yang diberi khabar gembira.
Kerana yang dapat manfaatnya hanya orang beriman, orang kafir tak akan dapat khabar gembira.
Kerana itu tak perlu kita ucap doa atau kata-kata seperti RIP, rest in peace untuk orang kafir, kerana kematian mereka tidak sesekali pengakhiran atau membawa ketenangan bahkan akan melalui fasa yang cukup menakutkan, wal-iyazu billah.
Ya Allah jadikan kami dari kalangan mereka yang beriman ini!
- Ayat 2- {… bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan).}-
Persediaan untuk balasan kebaikan bagi amal yang mereka buat.
“Qadama ṣidq”- {قَدَمَ صِدْق}- persediaan mulia berupa amal soleh & iman yang mendahului mereka akan mendapat ganjarannya & kedudukan di sisi Allah, iaitu syurga.
Lima perkara yang Allah sandarkan kepada benar/sidq {صِدْقٍ} dalam al-Quran:
i- Ayat kita ini- {قَدَمَ صِدْق}- persediaan yang baik.
ii- Ayat 80 Surah Isra’:﴾وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ﴿
{مُدْخَلَ صِدْقٍۢ}- Kemasukan yang benar lagi mulia & {مُخْرَجَ صِدْقٍۢ}- cara keluar yang benar lagi mulia.
iii- Ayat 84 Surah Asy-Syu’ara’: ﴾وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ﴿
Sebutan (nama baik) yang benar {لِسَانَ صِدْقٍ} –
iv- Ayat 55 Surah Al-Qamar: ﴾فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ﴿
Di tempat duduk yang benar {مَقْعَدِ صِدْقٍ} iaitu syurga.
v- Ayat 16 Surah Al-Aḥqaf: {وَعْدَ ٱلصِّدْقِ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يُوعَدُونَ ١٦}-
Sebagai memenuhi janji yang benar yang telah dijanjikan kepada mereka. {وَعْدَ ٱلصِّدْقِ}- janji yang benar.
Hakikatnya semua istilah benar dalam semua perkara ini adalah menggambarkan perkara yang benar & sabit yang berkait dengan Allah SWT dan yang menyampaikan kita kepada Allah!
Kita buat semuanya kepada Allah; maka ia akan sampai kepada Allah & kita akan mendapat balasannya iaitu balasan syurga bagi orang beriman.
- Ayat 2- {… berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: “Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata.”}-
Puak kafir mengatakan bahawa al-Quran atau Nabi SAW itu adalah perbuatan sihir yang sangat nyata.
Ulama’ kata: Ayat ini mengisbatkan bahawa Nabi SAW itu adalah benar-benar seorang rasul.
i- Ini menunjukkan mereka mengakui & mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah benar-benar seorang nabi & rasul utusan Allah.
Tetapi kerana mereka tidak boleh nak lawan atau nak nafikan lagi kebenaran Rasulullah SAW, mereka terpaksa tukar cara takrik serangan ke atasnya!
Mereka akan buat tuduhan ke atas bahawa Rasulullah SAW adalah seorang tukang sihir.
Setelah mereka gagal menolak kerasulan Nabi SAW dengan hujah akal, mereka beralih menuduh baginda dengan tuduhan palsu: sihir.
Ini satu pengakuan tidak langsung bahawa Nabi SAW membawa sesuatu kebenaran, hingga mereka terpaksa mencari label untuk menjatuhkannya.
ii- Juga menunjukkan akuan mereka terhadap al-Quran. Iaitu apabila mereka tidak dapat mencabar, nak serang & nak tiru al-Quran, lalu mereka mengatakan al-Quran adalah hasil dari perbuatan sihir.
Yakni mereka sebenarnya mengakui mukjizat Nabi SAW & al-Quran yang begitu hebat, sehingga mereka tidak dapat melawannya dengan hujjah atau fakta.
Begitulah mana-mana kaum & manusia yang jahat, apabila mereka kehabisan senjata & hujjah, tak boleh lawan secara telus lagi, mereka melancarkan serangan dengan buat tuduhan, label-melabel untuk menakutkan orang ramai & menjauhkan manusia dari dakwah yang benar ini!
Sama seperti kita hari ini apabila kita menasihat menyatakan bahawa perbuatan ini salah, tidak benar & menyalahi Sunnah Nabi SAW, para ulama’ muktabar mengatakan perbuatan ini tidak betul sama ada khurafat atau bid’ah, bertentangan dengan Sunnah.
Maka mereka yang ditegur itu, jika mereka tak dapat lawan tak ada hujjah tapi nak buat juga, maka terus diangkatnya bendera, bubuh label & gelaran kepada yang menegur itu!
Masuk kampung masuk bandar, nyatakan tuduhan itu untuk menjauhkan orang ramai & masyarakat dari pendakwah yang menyampaikan al-Quran dan menyebarkan Sunnah!
Menyekat dan menghalang dakwah Sunnah dengan pelbagai medium & kuasa yang ada.
Kita katakan Allahu al-Musta’an.
Begitulah gaya permainan kafir ini beginlah sehingga ke hari Kiamat, tiada hujjah lawan dengan tuduhan, tiada fakta lawan dengan auta.
Tidak mengapa atas dunia ini buatlah apa yang kamu suka jika ada kuasa, jangan lupa di Akhirat, di depan kita ada hisab.
Maka kita katakan: Sabarlah wahai para pejuang ajaran al-Quran & Sunnah Nabi SAW yang murni, dihadapan kita ada Allah dan pengadilan-Nya.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
