View Categories

(3) Surah Yunus: Ayat 3-4

13 min read

ALLAH SWT CIPTA LANGIT DAN BUMI 6 MASA, MEMBERI SYAFAAT DENGAN IZIN ALLAH & ISBAT KEBANGKITAN DAN BALASAN.

Full video : https://youtu.be/_5el4RTA1ww?si=znhtARf7JM4SsqPT

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 3 dan ayat 4 dalam juz kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Allah SWT cipta langit dan bumi dalam 6 masa.
  1. Kemudian Allah nyatakan tidak ada siapa yang boleh memberi syafaat kecuali dengan izin Allah Azza wa Jalla. 
  1. Allah juga isbatkan kebangkitan semula selepas mati serta balasan baik bagi orang yang beriman dan balasan buruk bagi orang kafir.
    Inilah uslub al-Quran disebut keduanya yang baik & buruk, positif & negatif. 
    Supaya orang yang baik bertambah baik & semangat untuk buat kebaikan.
    Manakala orang yang nak buat perkara buruk berhentilah, jangan cari pasal yang boleh menyusahkan hidupnya beterusan di Akhirat kelak!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang puak kafir yang berasa hairan, pelik & takjub apabila Allah hantar rasul seorang manusia, seorang lelaki dari kalangan mereka, bangsa Arab. 

    ii- Maka datang ayat ini Allah menyatakan Dia yang Maha Berkuasa, yang menjadikan langit dan bumi, pentadbir yang maha bijaksana!
    Maka Allah-lah yang paling berhak melantik sesiapa saja yang dikehendaki-Nya untuk menjadi utusan-Nya. 
    Manusia tidak berhak mempertikaikannya & menolaknya. 
  1. Kamu semua kena akur dengan ketetapan Allah SWT jangan degil jangan keras kepala!
    Jangan sibuk nak masuk campur dalam urusan, hak & kuasa Allah, kamu sibukkan diri kamu jaga anak isteri kamu & diri kamu sendiri itu!  

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 3- {SESUNGGUHNYA TUHAN KAMU IALAH ALLAH YANG MENJADIKAN LANGIT DAN BUMI DALAM ENAM MASA KEMUDIAN IA BERSEMAYAM DI ATAS ARASY MENTADBIRKAN SEGALA URUSAN.} (YUNUS 10:3)

  1. Dalam ayat ini Allah nak menyatakan bahawa alam ini ada Tuannya, yang mencipta, mentadbir & menyusun-atur perjalanannya.
    Kemudian maka Allah perkenalkan diri-Nya sebagai Rabb yang mencipta tujuh lapis langit {7 سماوات} dan tujuh petala bumi { ٧ أرضين}, Tuhan yang tidak boleh disekutukan dengan sesuatu sedikitpun. 
  1. Allah menyatakan lagi bahawa Dia mencipta semua itu dalam 6 masa atau 6 hari.
    Berapa lama pula 6 masa atau hari penciptaan langit & bumi ini???
  1. Kata ahli tafsir Syeikh Ibnu Atiyah: Ada orang kata ia adalah hari Akhirat, yang begitu lama. 
    Tetapi majoriti ulama’ kata: Ia adalah 6 (enam) hari dunia kita ini!
  1. Nota: Dalam ayat ini Allah SWT menegaskan hujjah-hujjah yang membuktikan kekuasaan & keEsaan dengan menegaskan Tuhan mereka & Tuhan setiap makhluk adalah Allah yang mencipta langit & bumi dalam 6 masa. 
    Dan setiap satu masa tersebut Allah jualah yang mengetahui berapa lamanya! 
    Majoriti ulama’ kata: Adalah hari dunia iaitu 6 hari x 24 jam = 144 jam.
  1. Kemudian Allah bersemayam (istiwa’) di atas Arasy-Nya. 
    Kita kata & terjemahkan sebagaimana yang Allah sendiri katakan! 
    Kita tidak perlu bahas panjang bagaimana kerana begitulah yang Allah sebut!
  1. Nota: Allah berisitiwa’ dengan cara yang layak bagi Allah dengan keagungan-Nya. 
    Jangan fikir dengan otak kita bagaimanakah cara istiwa’ itu. 
    Tidak ada siapa yang mampu menghuraikannya, kita kata kita beriman sebagaimana yang Allah sebut!!  
    Jika boleh dibayangkan itu bukan yang layak bagi Allah tapi makhluk lain.
    Tugas kita hanya sebagaimana yang Allah sebut & perintahkan, itu cara yang terbaik.
  1. Banyak lagi ayat-ayat lain yang Allah sebut begitu 
    i- {Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy;} (Al-A’raf 7:54)

    ii- {Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy;} (As-Sajdah 32:4)
  1. Sebagaimana Kata Imam Malik mengenai istiwa’ adalah:
    “Al-istiwa’ itu diketahui (maklum), bentuknya (kaifiyyah) tidak diketahui (majhul), mengimaninya wajib, dan mempertanyakannya adalah bid’ah”. 
    Beliau menegaskan bahawa makna istiwa’ dalam Al-Quran sudah jelas, iaitu kebesaran dan kekuasaan Allah atas ‘Arsy-Nya, namun bagaimana bentuk atau cara istiwa’ tersebut tidak diketahui dan tidak layak untuk ditanyakan oleh manusia kerana termasuk perbuatan bid’ah.

    Begitulah ulama’ salaf tidak mentakwilnya sebagaimana ulama’ Khalaf yang terkemudian; yang menafsirkannya dengan maksud menguasai Arasy.
  1. Tidak perlu kita menakwilnya kerana YANG penting kita tutup dengan:
    i- Ayat firman Allah ini: {لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ}:
    Maksudnya: {Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia” atau “Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Allah”}. [Asy-Syura: 11]

    ii- Serta dengan sifat Allah yang (ﻣﺨﺎﻟﻔﺘﻪ ﻟﻠﺤﻮﺍﺩﺙ), iaitu bersalahan Allah dengan segala yang baharu, iaitu dengan segala makhluk ciptaan-Nya.
  1. Jika kita boleh menerima sifat Allah mendengar, melihat & berkata-kata; dan tiada siapa mempertikaikannya bagaimana?!
    Maka begitulah juga kita beriman bahawa Allah itu beristiwa’ atas Arasy-Nya dengan cara yang layak baginya sebagaimana sifat lain juga!
    Tidak sesekali sama seperti makhluk yang dapat kita bayangkan! Ini kerana Allah sendiri yang menyebut & menyatakannya beberapa kali dalam al-Quran ini. 
  1. Kesimpulannya kita tidak perlu bincang panjang; kita pilih yang terbaik iaitu apa yang disebut oleh Allah dengan keyakinan kita terhadapnya!! 
  1. Allah SWT yang menyusun atur, mentadbir segala urusan makhluk-Nya di langit & di bumi.
    Kita lihat perjalanan susun atur yang Allah buat itu amat sempurna & tepat. 
    Lihat bagaimana peredaran matahari & bulan yang tidak pernah tersalah atau berlaku eksiden.

AYAT 3- {TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG DAPAT MEMBERI SYAFAAT MELAINKAN SESUDAH DIIZINKANNYA. (YANG BERSIFAT DEMIKIAN) ITULAH ALLAH, TUHAN (YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN KEADAAN) KAMU; MAKA TUNDUKLAH DAN TAATLAH KAMU KEPADA PERINTAHNYA; PATUTKAH KAMU – SETELAH MENGETAHUI KENYATAAN YANG TERSEBUT TIDAK MAHU MENGINGATINYA?} (YUNUS 10:3)

  1. Allah menegaskan bahawa; Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkan-Nya.
    Kita pun tidak tahu apakah & bagaimana Allah izinkan atau tidak!
  1. Makna syafaat: Membuat jasa baik untuk memohon pertimbnagn. 
    Keterangan tentang memberi syafaat ini menolak fahaman mereka yang mengatakan bahawa makhluk yang mereka sembah seperti berhala sebagai pemberi syafaat iaitu sebagai penolong/penyokong kepada mereka di sisi Allah kelak! 
    Allah menolak & menafikan terus dakwaan ini!!!!
  1. Yakni tiada siapa yang mampu memberi syafaat di Akhirat kelak kecuali setelah diberi izin oleh Allah SWT! 
    Walaupun ramai yang mendakwanya, jadi kita minta syafaat dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT agar tidak berlaku pertindihan kuasa.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.} (Al-Baqarah 2:255)
  1. Ini kerana puak Arab jahiliyyah yang menyembah berhala itu percaya bahawa sembahan mereka itu tidak ada kuasa tetapi boleh & akan menjadi pemberi syafaat, orang tengah, tukang rekmen atau jurucakap bagi mereka di Akhirat kelak!
    Ayat ini menolak fahaman ini.
  1. Allah SWT yang sifat-Nya Pencipta makhluk & alam ini serta Pentadbir & Pemilik-Nya, adalah tempat kita meminta & memohon segala permintaan & syafaat.
    Kita jangan salah tempat meminta kepada yang selain dari-Nya sedangkan dunia ini milik Allah!
  1. Kemudian Allah bertanya di akhir ayat: Wahai manusia apakah kamu tidak berfikir tak ambil pengajaran iktibar dari tanda-tanda ayat-ayat keterangan tentang kekuasaan Allah SWT yang disebut ini!
    Yakni Allah nak tanyakan semua alam ini di bawah kekuasaan Allah, bukan di bawah kuasa sesiapa selain dari-Nya.

AYAT 4- {KEPADANYALAH KEMBALINYA KAMU SEMUA, SEBAGAI JANJI ALLAH YANG BENAR. SESUNGGUHNYA DIA LAH YANG MEMULAKAN KEJADIAN SEKALIAN MAKHLUK, KEMUDIAN IA MENGEMBALIKANNYA (HIDUP SEMULA SESUDAH MATINYA), UNTUK MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH DENGAN ADIL; DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR PULA, DISEDIAKAN BAGI MEREKA MINUMAN DARI AIR PANAS YANG MENGGELEGAK, DAN AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA, DISEBABKAN MEREKA INGKAR DAN BERLAKU KUFUR.} (YUNUS 10:4)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas menyatakan isbat permulaan, Allah cipta langit & bumi serta segala makhluk yang ada ini.
    Yakni Allah yang mulakan & cipta makhluk ini!

    ii- Kemudian datang ayat ini menyatakan bahawa kamu semua makhluk akan kembali pada Allah setelah diciptakan, hidup melata sebentar atas dunia kemudian kamu akan mati dikembalikan semula kepada Allah apabila sampai ajalnya.  
    Kamu akan jumpa janji Allah yang benar untuk membalas syurga bagi hamba-Nya yang beriman & balasan neraka bagi mereka yang jahat!
  1. Allah nyatakan dalam ayat ini wahai semua manusia, kamu selepas mati akan diangkat hidup balik untuk pengadilan & pembalasan! 
    Allah janjikan kepada kamu manusia, satu janji benar yang sesekali tidak akan dimungkiri!!!
  1. Manusia akan kembali kepada asal sebagaimana awal Allah ciptakan manusia dahulu, bemula dari Adam, dari tiada kepada ada kemudian mati kemudian kembali ada atau hidup pada hari Kiamat seperti kali pertama dulu!
  1. Hadis: Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda: إِنَّكُمْ تُحْشَرُونَ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا
    “Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan (pada hari kiamat) dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian, dan tidak berkhatan (tidak bersunat).” (Sahih al-Bukhari, no. 6527; Sahih Muslim, no. 2859)
    Yakni Allah kata sebagaimana Dia mulakan dulu, begitulah dikembalikan semula.
  1. Untuk apa manusia dihidupkan kembali itu???? 
    Tujuan manusia dibangkitkan semula adalah untuk diberi pembalasan yang adil:
    i- Orang yang soleh dapat pahala atas kebaikan & amal soleh mereka.

    ii- Orang yang dikhianati & dizalimi, akan dapat keadilan, berhak untuk membalas kejahatan & kezaliman orang yang menganiayai dia atas dunia dulu atau lihat mereka dapat pembalasan.

    iii- Orang kafir & orang jahat yang terlepas atas dunia dulu pula, bagi mereka azab yang pedih bagi kekufuran & kezaliman mereka!
  1. Allah nyatakan antara azab yang disediakan bagi orang kafir yang ingkar dan kufur; air panas yang mendidih, menggelegak serta pelbagai azab yang dahsyat! 
    Itulah balasan kekufuran mereka atas dunia dulu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 3- {Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa…}-

    Allah nyatakan penciptaan Allah untuk langit dan bumi dalam masa 6 hari atau 6 masa.
    Ulama’ tadabbur kata: Sedangkan jika Allah mahu Dia boleh mencipta & mengadakan semua ini dalam sekelip mata sahaja, Kun fa yakun! 
    Tetapi dengan penuh hikmah yang cukup mendalan Allah tidak buat dalam sekelip mata tetapi Allah nyatakan Dia menciptanya dalam 6 masa.

    Allah sebut & nyatakan 6 masa ini pasti ada sesuatu yang Allah nak mendidik mengajar kita; antara hikmahnya:
    i- Pertama Allah nak beritahu bahawa itu semua di bawah kuasa, hikmah & ilmu Allah, maka tidak perlu dipertikaikan, tidak perlu persoalkan kekuasaan Allah.

    ii- Allah nak didik & ajar hamba-Nya jangan gopoh, semua perkara ada tempoh & masanya. Maka jangan gopoh sangat! 

    iii- Allah nak tunjukkan kepada malaikat bahawa Penciptaan Allah itu satu demi satu, penuh tertib, sama ada bumi dulu atau langit dulu.

    iv- Apabila dibuat satu-persatu itu nampak lebih kuat dan tersusun, lebih jauh daripada keraguan dan pertikaian yang ditimbulkan! 
  1. Ayat 3- {Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa…}-

    Allah yang susun atur hidup kamu ini!
    Apabila kita tahu Tuhan yang susun dan atur maka tidak ada keraguan lagi. 
    Sebagaimana Allah kata di akhir ayat-
    {Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya;}-
    Maka para ulama’ kata: Setelah kamu lihat dalil kekuasaan Allah, kenapa kamu nak sembah yang lain selain daripada Allah, sembahlah Allah!
    Allah juga kata kenapa kamu tak ambil iktibar pengajaran; ayat ini menjadi dalil kita kena tadabbur & tafakkur tentang semua dalil kekuasaan dan keesaan Allah. 
    Kita kena fikir akan dalil-dalil kekuasaan Allah SWT! 
    Sebagaimana falsafah badwi: Najis unta menunjukkan adanya unta!!!
    Maka adanya dunia ini menunjukkan adanya Penciptanya!
    Kerana itu kita minta ilmu yang bermanfaat, yang dapat memberi kebaikan dunia & Akhirat.
    Alim Rabbani ialah orang alim (berilmu) yang beramal dengan ilmunya dan ilmunya itu memberi manfaat kebaikan baginya!
    Satu lagi jenis alim degree; Walaupun setara mana tinggi degree & sijil yang ada, jika tak beramal dengan ilmunya itu, tidak ada gunanya! 
    Ini untuk kita muhasabah diri kita sendiri, setara mana tinggi sijil dan degree jika ilmu yang ada tidak diamal & tidak memberi manfaat kebaikan tidak ada gunanya! 
    Tetapi jangan pula kita hina & kutuk orang, kerana orang tidak ada sesuatu benda tidak akan dapat memberi sesuatu juga! 
  1. Ayat 3- {Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya.]-

    Allah sebut syafaat kerana ayat kita ini bermula dari awal kejadian makhluk sehingga kita kembali kepada Allah. 
    Iaitu dari permulaah sehingga kepada pengakhiran manusia!
    Kita kena ingat betul-betul bahawa syafaat untuk Akhirat itu ada tetapi bersyarat iaitu dengan keizinan Allah SWT! 
    Sama juga dengan pertolongan atau bantuan sesama manusia atas dunia ini, sebagai sokongan dan orang tengah yang ada kuasa atau keizinan untuk membantunya! 
    Jika tidak ada kelayakan pasti tidak akan dapat memberi bantuan syafaat kepada orang lain!
    Contoh: Seperti penghulu atau imam tolong angkat nama orang miskin dan susah dalam kawasan atau kampung mereka kepada pihak berkuasa di pejabat di bandar.
    Sama juga dengan berdoa: Semua orang boleh berdoa meminta kepada Tuhan, tetapi jika orang itu tak cukup syarat, seperti makan haram dan seumpamanya, Allah tidak akan kabulkannya!

    Boleh tengok siri Kuliah Kitab Rukun Iman untuk memahami lebih lanjut lagi tentang syafaat dan jenisnya ini:
    https://youtu.be/DPwpSmfUhb4?si=EOKtrktjpKL6Ed0u

    Mulahazah: Kenapa apabila disebut langit {ٱلسَّمَـٰوَٰتِ} dengan lafaz jama’ (plural) tetapi disebut bumi {وَٱلْأَرْضَ} dengan lafaz mufrad (singular)?

    Jawapan:
    i- Kata ulama’: Tidak disebut lafaz jama’ bagi bumi kerana berat lafaznya (أَرَاضِي) tetapi langit ringan sahaja sebutannya.

    ii- Dari segi bilangan langit memang banyak, ada tujuh lapisan.
    Setiap satu tingkat atau lapis 500 tahun perjalanan. 
    Maka untuk menunjukkan besar & luasnya langit.

    iii- Pendapat ketiga mengatakan digunakan lafaz jama’ untuk langit kerana masyhur dikatakan ia mempunyai banyak planet & bintang-bintang di atasnya. 
    Bukan seperti bumi yang lapisannya di bawah & tak nampak.
    Tetapi jika langit disebut dengan niat untuk tunjukkan arah akan diguna sighah mufrad (singular) iaitu {السماء}. 
  1. Ayat 3- {Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi…}-

    Dalam ayat ini Allah sandarkan kepada dirinya sendiri.
    Tetapi dalam beberapa ayat lain adakalanya Allah sandarkan perbuatan-Nya kepada malaikat atau rasul??? 
    Kenapa ada perbezaan ini???

    Beberapa contoh ayat:
    i- {فَٱلْمُدَبِّرَٰتِ أَمْرًۭا}- malaikat yang menyusun, mentadbir segala perkara. (An-Nazi’at 79:5)

    ii- {ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا}- Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya,- (Az-Zumar 39:42)

    iii- {تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا}- lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); (Al-An’am 6:61)

    Kenapa ada perbezaan di situ??
    Jawapan:
    Semua perkara itu asalnya di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla TETAPI apabila Allah yang mengarahkan kepada para malaikat, maka ketika itu malaikat melaksanakan tugas itu lalu disandarkan kepada mereka perbuatan itu.
    Sama seperti pekerja yang menjalankan tugas boss.
  1. Ayat 4- {KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar.}-

    Ayat ini menjadi dalil wajib beriman kepada hari Akhirat & kebangkitan semula manusia!
    Ayat ini nak menolak fahaman & kepercayaan puak kafir bahawa manusia itu apabila mati menjadi tanah, tulang-temulangnya akan hancur & tak akan hidup kembali! 
    Allah yang mencipta dari awal dan Dia akan kembalikan dan hidupkan kamu semula. 
    Itulah kelebihan yang amat besar keimanan yang kita belajar!

    Allah juga bawa dalam ayat ini dua balasan yang besar:
    i- Orang mukmin akan dibalas syurga.

    ii- Orang kafir akan dibalas neraka! 

    Begitulah uslub al-Quran dibawa keduanya yang baik & yang buruk ini agar:
    i- Orang mukmin bertambah semangat untuk beribadat & buat amal soleh.

    ii- Orang kafir & jahat, tak berani untuk terus buat jahat dan meneruskan kefahamannya yang sesat & salah!
    Semoga Allah bantu kita untuk beramal dengan apa yang telah kita pelajari, bertambah semangat untuk bekerja & beribadat, serta takut untuk melanggar apa yang telah ditetapkan Allah SWT! 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top