Surah Yunus – سورة يونس
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
MUQADDIMAH, NAMA SURAH, ISI KANDUNGAN SURAH & MUNASABAH DENGAN AT-TAUBAH.
Full video : https://youtu.be/Q7fXhgpAHoM?si=NkbSEoTsew78DlH6
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir Surah Yunus – سورة يونس, surah yang kesepuluh dalam juzuk kesebelas.
- Begitulah setiap yang tak kenal maka tak cinta, maka muqaddimah ini ibaratnya untuk kita kenal tuan dulu, kenal surah ini, nama, isi kandungannya dan lain-lain untuk kita hayati maksud & tadabburnya nanti.
- Surah Yunus – سورة يونس adalah surah yang kesepuluh dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah At-Taubah – سورة التوبة, surah yang kedua dalam juz yang kesebelas.
Ia adalah surah yang agak panjang, mengandungi 109 ayat meliputi juzuk kesebelas.
- Ramai ulama’ tafsir sepakat (ijma’) mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah.
Ini kerana ia banyak fokus kepada aqidah, kerasulan & kenabian Rasulullah SAW & cerita-cerita orang yang terdahulu!
Ada khilaf ulama’ yang mengatakan surah Makkiyah kecuali 3 ayat 94, 95 & 96 adalah Madaniyyah.
Ada ulama’ kata: 4 ayat, apapun secara umumnya ia adalah surah Makkiyyah kerana isi kandungannya.
- Semoga Allah SWT buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
NAMA SURAH :
- Dinamakan Surah Yunus – سورة يونس kerana ada perihal cerita Nabi Yunus yang disebut namanya dalam ayat yang ke- 98:
{إِلَّا قَوْمَ يُونُسَ لَمَّآ ءَامَنُوا۟ كَشَفْنَا عَنْهُمْ عَذَابَ ٱلْخِزْىِ}.
- Kata Ibnu Asyur RHM:
i- Yang zahir pada pandanganku surah ini disandarkan kepada Nabi Yunus untuk membezakannya antara 4 surah yang bermula dengan- { الٓر ۚ}.
Setiap surah ini disandarkan kepada seorang nabi atau kaumnya.
Empat Surah “الر” (Alif Lām Rā) ialah surah Yunus, Hud, Yusuf & Ibrahim.
ii- Bahawa surah ini dinamakan Surah Yunus kerana kisah Nabi Yunus AS mempunyai keunikan berbanding nabi-nabi lain iaitu hanya kaum Yunus yang menerima dakwah selepas melihat tanda azab, lalu mereka bertaubat dan Allah angkat azab itu (ayat 98).
Ia menjadi isyarat penenang jiwa kepada Nabi Muhammad SAW bahawa jika Quraisy masih berdegil, jangan putus asa, kerana ada contoh kaum lain yang akhirnya bertaubat.
- Ada juga athar yang sahabat menyebut nama surah Yunus ini secara spesifik:
i- Kata Ibnu Abbas RA: Turunnya surah Yunus di Makkah.
ii- Kata Anas bin Malik RA: Aku solat pagi di belakang Sayyidina Umar dan dia membaca surah Yunus, Hud dan selain keduanya.
INTISARI KANDUNGANNYA (PIMPINAN AR-RAHMAN):
- Mengupas soal-soal tauhid, keesaan Allah ‘Azza wa Jalla dan membasmi fahaman syirik.
Tentang ini ditegaskan bahawa kejadian langit dan bumi, peredaran matahari dan bulan, pertukaran malam dan siang, serta wujudnya makhluk-makhluk seisi alam, adalah menjadi dalil-dalil yang membuktikan keesaan, kekuasaan dan kemurahan Allah yang menjadikannya; dan hanya Allah jualah Tuhan yang sebenar-benarnya, yang berhak disembah, dipatuhi perintah-Nya dan dijauhi segala larangan-Nya.
- Ditegaskan pula bahawa Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah yang diutuskan kepada umat manusia seluruhnya, dan Kitab Suci Al-Quranul-Karim yang diwahyukan kepadanya adalah menjadi hidayah pertunjuk untuk mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat.
- Ditegaskan lagi bahawa al-Quran al-Karim adalah tidak syak lagi datang dari Allah SWT bukan dikarang oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang dituduh oleh puak kafir yang mengingkarinya.
Bahkan tiada siapa yang dapat membuat sependek-pendek surah yang sebanding dengannya.
Tiada siapa boleh tiru, ciplak atau klon al-Quran.
- Sebagai memberi semangat supaya Nabi Muhammad SAW berjuang terus menyebarkan Islam dan jangan menghiraukan golongan yang kufur ingkar, Allah Ta’ala menyatakan perihal Rasul-rasul yang telah lalu yang juga telah mendapat pertentangan keras dari kaum masing-masing, yang berakhir dengan kemenangan Rasul-rasul-Nya dan kehancuran kaum-kaum yang ingkar.
- Setelah itu ditegaskan, kalaulah mereka yang kufur ingkar itu beriman sebelum mereka ditimpa azab, tentulah mereka akan selamat.
Kaum Nabi Yunus AS, sebaik-baik sahaja mereka melihat tanda-tanda kedatangan azab yang dijanjikan, mereka sekaliannya segera beriman dan terselamatlah mereka.
Sedangkan kaum lain jika telah dijatuhkan hukuman tidak akan selamat lagi!
- Diterangkan lagi bahawa Allah Ta’ala yang menjadikan sekalian makhluk
Dia-lah jua yang akan menghidupkan mereka semula pada hari Akhirat untuk menerima balasan.
- Di samping itu diberikan misal perbandingan yang menunjukkan bahawa kehidupan dunia dan segala kesenangan akan hilang lenyap.
Oleh itu, umat manusia hendaklah beringat dan jangan melupakan hari Akhirat, kerana di sanalah sahaja kehidupan yang kekal.
- Di sana orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan berkekalan di dalam nikmat kesenangan yang tidak ada taranya, dan orang-orang yang kufur ingkar akan berkekalan di dalam azab sengsara yang tidak terperi.
- Surah Yunus ini diakhiri dengan seruan kepada umat manusia seluruhnya supaya beriman kepada Al-Qur’an untuk faedah dirinya sendiri; kalau tidak maka bahaya keingkarannya akan menimpa dirinya kelak; sedang Nabi Muhammad SAW, hanyalah seorang rasul yang menyampaikan perintah Allah, dan Baginda tidak bertanggungjawab tentang soal keimanan dan keingkaran manusia.
MAQASID/OBJEKTIF SURAH:
- Menetapkan asas keimanan kepada Allah SWT & mengisbatkan tauhid kepada Allah, kerasulan, tugas Nabi SAW & kebangkitan semula manusia selepas mati!
- Untuk menolak keraguan & kebingungan yang ditimbulkan oleh puak kafir!
ISU PENTING DALAM SURAH (TAFSIR MUHARRAR):
- Mengisbatkan kerasulan Nabi Muhammad SAW supaya tiada siapa boleh pertikaikannya.
- Mengisbatkan tauhid mengesakan Allah SWT dalam Ketuhanan-Nya (Uluhiyyah). Tiada sekutu bagi Allah SWT.
- Mengisbatkan bahawa kita akan berkumpul balik di Akhirat pada hari Kiamat kelak & akan menerima balasannnya.
Kemantapan & kekuatan iman kita duduk pada keyakinan kita pada keimanan ini.
- Memperingatkan Hala tuju manusia ini. Manusia terbahagi secara besarnya kepada 2 kumpulan: Mukmin & kafir. Kemudian di kalangan orang mukmin terbahagi pula kepada kategorinya, derhaka, taat & semuanya akan terima balasan.
- Allah nak jelaskan kefahaman kaum musyrikin & sikap mereka tentang al-Quran. Allah sebut keraguan, penyelewengan dan syubhah yang mereka timbulkan.
Allah SWT ajar kepentingan kita, bahawa kita kena kondem & tolak semua keraguan yang ditimbulkan tadi & mengisbatkan bahawa al-Quran adalah Kalamullah bukan makhluk seperti yang didakwa oleh mereka yang sesat.
- Mengingatkan apa yang terjadi kepada kaum pada kurun yang lepas apabila mereka syirik & mendustakan rasul!
Lawan nabi & ingkar perintah akan hancur binasa.
- Mengambil iktibar dengan ciptaan Allah kepada manusia boleh berjalan di atas darat, laut dan hatta atas udara sekarang ini.
Lihatlah kekuasaan Allah di darat & laut bagaimana kapal boleh terapung & belayar dengan dilambung ombak yang besar.
- Allah buat perbandingan tentang kehidupan dunia & cepat hilangnya serta masa yang berlalu.
- Menyebut tentang perbezaan keadaan orang mukmin & orang kafir di Akhirat dan semua sembahan puak kafir yang mereka buat itu, berlepas diri daripada para penyembahnya!
Membatalkan ketuhanan selain dari Allah!
- Mengisbatkan bahawa al-Quran ini turun dari Allah!
Membatalkan semua tuduhan yang mengatakan al-Quran adalah rekaan Rasulullah SAW.
Maka Allah cabar puak kafir agar bawa satu ayat atau surah yang seperti al-Quran.
- Mengisbatkan bahawa ilmu Allah meliputi segala perkara serta menyatakan tanda-tanda Allah SWT sangat jelas kepada makhluk ini!
Kita nak kenal Allah adalah boleh melalui nama-nama-Nya yang indah, sifat-Nya yang Maha Tinggi serta athar, kesan-kesannya ke atas makhluk ini.
Seperti kenapa Allah ciptakan laut ini masin, berombak dan seumpamanya.
Kita tak perlu main falsafah, nak kenal Allah kita lihat kepada makhluk ciptaan-Nya dan kesannya (athar) ke atas makhluk!
Falsafah siapa tak kenal diri maka tak kenal Allah atau sebaliknya adalah tak benar.
- Khabar gembira dari Allah kepada para wali-Nya.
Siapakah wali Allah ini?
Orang yang beriman & bertaqwa itulah wali Allah!
Jika ada orang yang mengaku atau dakwa wali Allah tetapi tidak mengikut Syari’ah itu bukan wali Allah!
Definisi dalam ayat: ﴿الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ﴾ -Mereka yang beriman dan bertaqwa. (Yūnus:63)
Untuk membezakan antara wali Allah & wali syaitan!
Allah juga nak tenangkan hati Nabi SAW daripada kata-kata & tuduhan puak kafir!
- Allah perintahkan untuk menzahirkan kegembiraan sebagai Muslim.
Allah perintahkan supaya orang beriman menzahirkan kegembiraan dengan Islam dan al-Qur’an.
Kegembiraan ini tanda syukur dan keyakinan, bukan sekadar perasaan dalam hati.
- Allah nak tenangkan hati Rasulullah SAW lalu Allah sebut dalam surah ini kisah Nuh, kisah Nabi Ibrahim, kisah Nabi Musa & bani Israil, kaum Fir’aun dan lain-lain kaum yang binasa.
Serta dinyatakan selamatnya kaum Nabi Yunus apabila mereka betul-betul bertaubat & beriman dalam keadaan gawat.
- Allah nak perkukuhkan kedudukan & Kenabian Nabi Muhammad SAW.
Lalu Allah perintahkan Baginda untuk bersabar atas kering & kerasnya hati puak kafir musyrikin di Makkah yang tak mahu terima dakwahnya! Sabar, maka kemenangan tetap akan datang!
MUNASABAH SURAH YUNUS INI DENGAN SURAH AT-TAUBAH SEBELUMNYA:
- Allah tutup Surah At-Taubah yang lepas dengan menyatakan beberapa sifat Rasulullah SAW, yang sangat kasihan belas & menyayangi umatnya.
- Dimulai Surah Yunus ini untuk memadamkan & menjawab balik segala tuduhan jahat terhadap Rasulullah SAW & al-Quran.
Seperti tuduhan bahawa Nabi SAW adalah seorang tukang sihir, orang gila, penyair dan lain-lain agar orang ramai jauhi & tidak dekat.
Tetapi sebaliknya yang berlaku, orang semakin tertarik untuk mengenali Baginda SAW.
Ini kerana pembunuhan atas dunia ini ada dua, sama ada bunuh mati atau bunuh karakter, buat tuduhan sehingga orang benci & tidak percaya.
- Dalam surah yang lepas juga banyak ayat yang mendedahkan keadaan munafiqin & sikap mereka terhadap al-Quran.
Maka datang surah ini tidak lagi membicarakan tentang munafiq tetapi tentang kafir tuleh & tentang tuduhan jahat mereka terhadap al-Quran.
- Dalam surah yang lepas Allah sebut sifat Rasul SAW yang menjadi kewajipan semua manusia untuk beriman dengannya.
Maka datang surah ini adalah tentang al-Quran; di mana al-Quran & Rasul berpisah tiada, maka jika kamu beriman kepada Rasul wajib juga beriman kepada al-Quran.
Allah SWT juga sebut beberapa nabi terdahulu yang telah berhadapan dengan tentangan kaumnya yang begitu dahsyat!
- Mulahazah:
Tidak syarat kita nampak semua munasabah antara surah atau ayat ini.
Tetapi secara umumnya kita boleh nampak & kaitkan bahawa di sini tentang kafir tulen, di sana tentang munafiq, di sini ada cerita tentang al-Quran, di sana ada cerita tentang Nabi dan seumpamanya.
Kerana itulah uslub al-Quran yang indah, ini kerana Allah nak tarik minat jiwa & perhatian manusia yang mudah jemu ini jika hanya ada satu cerita saja!
Semua itu ada hikmahnya yang tersendiri & mesej yang khas.
- Adakalanya munasabah antara surah itu bersambung terus seperti:
i- Antara surah-surah {طسٓمٓ} & surah-surah {حمٓ}
ii- Atau dua surah yang tajuknya sama tetapi berselang dengan surah lain seperti: antara Surah Al-Humazah & Surah Al-Masad, sedangkan tajuknya sama iaitu tentang Abu Lahab & isterinya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Kesimpulan: Surah Yunus menegaskan tauhid, membatalkan syirik, menghibur hati Rasul ﷺ, memberi amaran kepada musyrikin, dan khabar gembira kepada wali Allah.
Ia mengajar umat agar bergembira dengan Islam, sedar dunia fana, serta sabar dalam dakwah.
- Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. Kita akan mula tafsir ayatnya dalam siri selepas ini insya’ Allah.
