SURAH TO-HA : AYAT 90-98

NABI HARUN LARANG SEMBAH LEMBU, MUSA MARAH KEPADA HARUN & HUKUMAN KE ATAS SAMIRI DAN LEMBUNYA

Full video: https://youtu.be/v8x1bXJ_dNY

MUQADDIMAH :
1. Siri lepas tentang peristiwa yang terjadi terhadap bani Israil yang ditinggalkan oleh Nabi Musa a.s untuk pergi bermunajat kali kedua di bukit Tursina.
2. Musa a.s meninggalkan saudaranya Harun a.s sebagai wakilnya untuk menjaga kaumnya.
3. Tetapi mereka telah diperdaya oleh Samiri yang menimbulkan syubhat dan mencipta patung lembu untuk disembah.
4. Apabila Musa kembali dan melihat sendiri keadaan kaumnya yang telah menyembah patung ini, dia sangat marah dan menyalahkan saudaranya Harun dan menghukum Samiri.
5. Episod seterusnya kita lihat apa lagi yang terjadi.

AYAT 90- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, NABI HARUN TELAHPUN BERKATA KEPADA MEREKA SEBELUM ITU: “WAHAI KAUMKU, SESUNGGUHNYA KAMU HANYA DIPERDAYAKAN DENGAN PATUNG ITU, DAN SESUNGGUHNYA TUHAN KAMU IALAH ALLAH YANG MELIMPAH-LIMPAH RAHMATNYA; OLEH ITU, IKUTLAH DAKU DAN TAATLAH AKAN PERINTAHKU”.} (TAHA 20:90)
1. Nabi Harun a.s yang diamanahkan untuk menjaga mereka ini sebenarnya telah menjalankan tugasnya dengan menasihat dan melarang kaumnya daripada perbuatan yang sesat itu. Tetapi mereka melawannya.
2. Patung lembu itu hanyalah satu ujian Allah s.w.t untuk melihat siapa di antara kamu yang istiqomah dan teguh imannya.
3. Harun a.s juga mengingatkan mereka dan memperkenalkan tauhid yang hakiki: {Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku}.
4. Dalam ayat ini Allah s.w.t tunjukkan cara nasihat Harun a.s terhadap kaumnya:
i- Hati-hati ini adalah ujian, apa yang terjadi adalah fitnah. Yakni pecahkan pemikiran mereka dan buang keraguan terlebih dulu.
ii-Kemudian nyatakan kebenaran iaitu Tuhan kamu adalah Allah s.w.t, bukan patung itu. Isikan dengan yang benar dan hak.
iii- Ikutlah aku- yakni menunjukkan cara yang sebenar, memberi tunjuk-ajar.

AYAT 91- {MEREKA MENJAWAB: “KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENINGGALKAN PENYEMBAHAN PATUNG INI, (BAHKAN) KAMI AKAN TETAP MENYEMBAHNYA HINGGA NABI MUSA KEMBALI KEPADA KAMI”.} (TAHA 20:91)
1. Mereka enggan menerima nasihat Harun itu dan berkata akan terus menyembah patung itu sehinggalah Musa a.s kembali kepada mereka.
2. Ini kerana Samiri mengatakan patung itu adalah tuhan yang sebenar, hanya Musa a.s lupa tentang itu. Jadi mereka mahu menunggu Musa a.s kembali untuk mengiakannya.

AYAT 92- {(SEKEMBALINYA), NABI MUSA BERKATA: “WAHAI HARUN, APAKAH MANIKNYA YANG MENGHALANGMU KETIKA ENGKAU MELIHAT MEREKA SESAT,} (TAHA 20:92)
1. Lalu sekembalinya Musa dari Tursina dia sangat marah melihat keadaan bani Israil itu (marah kerana membela agama Allah), lalu mencari saudaranya Harun yang ditugaskan untuk menjaga kaumnya itu.
2. Dia bertanya kepada Harun kenapa tidak menghalang perbuatan mereka yang sesat itu? Kenapa tidak larang?
3. Kata ulama’: Marah bukan pada tempatnya adalah orang bodoh, manakala tidak marah pada tempat sepatutnya nya adalah orang dayus/lemah.

AYAT 93- {“DARIPADA MENURUTKU? ADAKAH ENGKAU INGKAR AKAN SURUHANKU?”} (TAHA 20:93)
1. Musa a.s juga bertanya kepada Harun: Kenapa kamu tidak ikut aku? أَلَّا تَتَّبِعَنِ
Ulama’ kata maksudnya boleh jadi dua:
i- Kenapa kamu tidak tinggalkan mereka, pergi kepada Musa, keluar dari kawasan itu sebagai tanda protes.
ii- Kenapa tidak ikut gaya aku yang tegas dan keras, jangan terlalu berlembut dengan mereka itu.

AYAT 94- {NABI HARUN MENJAWAB: “WAHAI ANAK IBUKU! JANGANLAH ENGKAU MERAGUT JANGGUTKU DAN JANGANLAH MENARIK (RAMBUT) KEPALAKU. SESUNGGUHNYA AKU TAKUT BAHAWA ENGKAU AKAN BERKATA KEPADAKU: ` ENGKAU TELAH MEMECAH-BELAHKAN KAUM BANI LSRAIL SESAMA SENDIRI, DAN ENGKAU TIDAK BERHATI-HATI MENGAMBIL BERAT PESANANKU!”} (TAHA 20:94)
1. Musa yang masih marah itu menarik janggut Harun. Tetapi Harun tetap sabar dan menjawab dengan lembut, agar melepaskan rambut dan janggutnya.
2. Harun juga memberi sebab kenapa dia tidak melakukan sebagaimana cadangan Musa a.s. iaitu keluar meninggalkan mereka yang sesat itu.
3. Dia serba-salah, jika dia keluar nanti Musa a.s akan kata dia telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan tidak berhati-hati mengambil berat pesanan Musa a.s terhadapnya supaya menjaga mereka.
4. Jadi Harun mengambil keputusan untuk menunggu di situ dan menjaga setakat yang dia mampu. Jika dia tinggalkan mereka yang dalam kesesatan itu akan bertambah hanyut dan sesat.
5. Menunjukkan janggut Harun yang panjang. Janggut adalah sunnah para nabi. Maka kaum muslimin simpanlah janggut setakat yang boleh.

AYAT 95- {(SESUDAH ITU NABI MUSA HADAPKAN KEMARAHANNYA KEPADA SAMIRI LALU) BERTANYA: “APA PULA HALMU, WAHAI SAMIRI?”} (TAHA 20:95)
1. Selepas bersoal-jawab dengan Harun, Musa a.s berdepan dengan Samiri pula.
2. Bertanya kenapa dia melakukan perbuatan sesat itu?

AYAT 96- {IA MENJAWAB:” AKU MENGETAHUI DAN MENYEDARI APA YANG TIDAK DIKETAHUI OLEH MEREKA, LALU AKU MENGAMBIL SEGENGGAM DARI KESAN JEJAK RASUL ITU, KEMUDIAN AKU MENCAMPAKKANNYA; DAN DEMIKIANLAH AKU DIHASUT OLEH HAWA NAFSUKU”. (TAHA 20:96)
1. Samiri menjawab bahawa dia ada sesuatu yang mereka tidak tahu. Dia guna khurafat dan juga mengaku kerana dihasut oleh hawa nafsu.
2. {..lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu}- yakni katanya dia melihat malaikat Jibril datang menaiki kuda, lalu dia mengambil segenggam tanah kesan dari tapak kaki kuda Jibril itu lalu:
i- dicampakkan ke dalam patung lembu itu yang menyebabkannya boleh bersuara.
ii- atau dia campak tanah itu ke dalam api yang sedang membakar barang kemas itu lalu keluar seekor lembu darinya.
3. Apapun ia adalah seolah satu sihir atau khayalan yang mengaburi fikiran manusia.

AYAT 97- {NABI MUSA BERKATA KEPADA SAMIRI: “JIKA DEMIKIAN, PERGILAH, (ENGKAU ADALAH DIUSIR DAN DIPULAUKAN), KERANA SESUNGGUHNYA TELAH DITETAPKAN BAGIMU AKAN BERKATA DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI: ` JANGAN SENTUH DAKU ‘, DAN SESUNGGUHNYA TELAH DIJANJIKAN LAGI UNTUKMU SATU BALASAN AKHIRAT YANG ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN TERLEPAS DARIPADANYA. DAN (SEKARANG) LIHATLAH KEPADA TUHANMU YANG ENGKAU SEKIAN LAMA MENYEMBAHNYA, SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MEMBAKARNYA KEMUDIAN KAMI AKAN MENGHANCUR DAN MENABURKAN SERBUKNYA DI LAUT SEHINGGA HILANG LENYAP. (TAHA 20:97)
1. Lalu nabi Musa a.s menjatuhkan hukumannya ke atas Samiri disebabkan kekufurannya. Pertamanya dia diusir keluar dan dipulaukan.
2. Dia juga ditimpa satu penyakit yang menyebabkan dia tidak mahu disentuh oleh sesiapa pun, dan tiada siapa mahu mendekatinya, itu adalah hukuman dunia.
3. Dia juga akan menerima nanti balasan di akhirat, yang tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya.
4. Manakala patung lembu itu akan dibakar kemudian dihancurkan dan ditaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.
5. Ini untuk menghilang perasaan cinta dan taksub yang sudah sebati dalam hati para pengikutnya itu. Begitulah juga kita jika ada golongan yang sesat dan khurafat, percaya kepada tahyul, mesti dimusnahkan bend aitu mata di depan mereka, supaya mereka lihat sendiri akan kelemahan dan kebinasaanya.

AYAT 98- {“SESUNGGUHNYA TUHAN KAMU HANYA ALLAH, YANG TIDAK ADA TUHAN MELAINKAN DIA, YANG MELIPUTI PENGETAHUANNYA AKAN TIAP-TIAP SESUATU”. (TAHA 20:98)
1. Dengan ini berakhirlah kisah nabi Musa a.s, Harun a.s, Firaun bermula dari ayat 9-98.
2. Maka ayat ini mengembalikan tauhid dan akidah manusia yang telah terpesong tadi.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1. Sebagaimana kata Musa a.s kepada Harun tadi, jika tidak mampu menghalang atau menyuruh orang untuk meninggalkan perbuatan mungkar, maka kita kena keluarkan diri, tinggalkan kumpulan itu, jangan terus berada bersamanya kerana seolah menunjukkan sokongan kita terhadapnya.
Kata AAM: Begitu jika kita yang duduk dalam grup wassap yang tidak memberi manfaat bahkan membawa keburukan, maka left grup lah jika tidak mampu menasihati dan mengubahnya.
2. Kata al-Qurtubi rhm. pernah Syeikh Abu Bakar al-Tartusi ditanya tentang perbuatan satu kumpulan berzikir, berselawat kepada Nabi saw sambil memukul gendang serta sebahagiannya bangun menari sehingga tidak sedar. Antara jawapannya:
i- Ini satu mazhab ahli ibadat yang sesat, tidak betul dan tidak baik. Islam mengajar kita dengan al-Quran, dengan sunnah Nabi s.a.w.
ii- Berzikir dengan melompat dan menari-nari, berpusing-pusing adalah perbuatan yang dipelopori oleh puak penyembah lembu Samiri ini. Apabila lembu ukiran Samiri itu bersuara, mereka bangun menari-nari dan bersorak-sorak sehingga tidak sedar diri. Ini adalah agama dan gaya puak kafir penyembah lembu.
iii- Manakala perbuatan memukul gendang dan alat muzik sambil berzikir adalah perbuatan yang dipelopori oleh puak Zindik yang mahu menyibukkan orang daripada mendengar al-Quran. Tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di dalam masjid.
iv- Rasulullah s.a.w dan para sahabat berada dalam majlis zikir, berzikir dan bertafakkur dengan tenang seolah burung boleh hinggap atas kepala.
v- Para pemerintah sepatutnya menghalang mereka ini daripada memasuki masjid. Juga tidak halal bagi orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk hadir bersama dan jangan menyokong perbuatan mereka ini.
vi- Ini adalah mazhab Malik, Abu Hanifah, Syafei dan Ahmad, yakni semua mazhab yang empat dari para imam muslimin.
Boleh rujuk Tafsir al-Qurtubi Jilid ke 11, ms- 237-238, atau tafsir al-Munir, Jilid ke 8 ms 631.
3. Kesimpulannya perbuatan menari dan main alat muzik dalam masjid atau sambil berzikir adalah satu perbuatan yang batil dan sesat.

Wallahu a’lam.