View Categories

(10) Surah Ar-Rum: Ayat 41-45

9 min read

BERLAKU BENCANA DAN KEROSAKAN KERANA MAKSIAT, ARAHAN MELIHAT KEPADA KESAN ORANG TERDAHULU & SETIAP ORANG MENERIMA BALASANNYA.

Full video : https://youtu.be/LIdmJHQZDJ0?si=IxPAUEbiIsUnU9ql

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas Allah SWT telah ceritakan bahawa sekutu-sekutu yang di syirikkan oleh kaum musyrikin itu adalah lemah dan tidak berkuasa.
  1. Allah SWT peringatkan kepada manusia pada zaman Nabi SAW dan selepasnya agar jangan menggulangi kesilapan orang terdahulu. Yang mendapat azab dan binasa kerana perbuatan syirik dan maksiat mereka sendiri.
  1. Maka ayat hari ini menyatakan sebab, mengapa berlakunya bencana dan kerosakan.
  1. Terjadinya bencana dan kerosakan atas muka bumi disebabkan perbuatan manusia yang ingkar, kufur dan melakukan maksiat kepada Allah SWT.
  1. Silih bergantinya kitaran manusia atas muka bumi ini, apabila habis dibinasakan yang derhaka, manusia yang soleh hidup buat beberapa waktu kemudian datang syaitan memesongkan mereka lalu menjadi kufur dan dibinasakan semula.

AYAT 41- {TELAH TIMBUL BERBAGAI KEROSAKAN DAN BALA BENCANA DI DARAT DAN DI LAUT DENGAN SEBAB APA YANG TELAH DILAKUKAN OLEH TANGAN MANUSIA; (TIMBULNYA YANG DEMIKIAN) KERANA ALLAH HENDAK MERASAKAN MEREKA SEBAHAGIAN DARI BALASAN PERBUATAN-PERBUATAN BURUK YANG MEREKA TELAH LAKUKAN, SUPAYA MEREKA KEMBALI (INSAF DAN BERTAUBAT).} (AR-RUM 30:41)

  1. Allah SWT menyatakan telah berlaku pelbagai kerosakan seperti kemarau, banjir taufan, pokok-pokok tidak bertuah, sama ada di atas darat atau lautan adalah kerana akibat perbuatan buruk manusia.
  1. Allah nyatakan semua ini kerana perbuatan syirik dan maksiat manusia, supaya mereka insaf bertaubat dan tidak sombong.
  1. Sebagaimana yang telah diceritakan dalam al-Quran tentang kisah kaum Nabi Musa AS yang telah dihantar 9 azab ujian, insaf sekejap kemudian apabila hilang kembali ingkar.
  1. Begitu juga kaum Quraisy apabila ditimpa kemarau datang berjumpa Rasulullah SAW supaya berdoa hilangkan musibah itu, kemudian selepas hilang kembali ingkar dan lawan.
  1. Firman Allah SWT: {Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).
    (Al-A’raf 7:168)
  1. Firman Allah SWT: {Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.} (As-Sajdah 32:21).
    Dalam ketiga-tiga ayat ini Allah SWT nyatakan sebab kenapa diturunkan azab itu, untuk menjentik manusia agar mereka insaf, sedar dan: {Supaya mereka rujuk kembali bertaubat.}
    { لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ} [الروم: 41]
  1. Sebagaimana kita yang diuji bencana Covid-19 ini, bala ini berjaya buat apa yang para pendakwah tidak mampu buat selama ini, diseluruh dunia pusat-pusat maksiat ditutup. Wanita berpakaian menutup aurat, perkumpulan yang sia-sia tiada lagi.
  1. Tetapi pada masa yang sama masjid-masjid juga ditutup. Ini untuk mengingatkan orang beriman ahli ibadat kenapa kamu tidak bangkit bersama-sama menentang kemungkaran dan maksiat sebelum ini? Ini kerana bencana dan ujian itu bila datang akan menimpa semua yang ada, baik atau jahat, kafir atau beriman.
  1. Kesan maksiat dan derhaka atas bumi ini Allah mahu supaya kita buka dan celik mata lihat ambil iktibar. Supaya manusia insaf dan bertaubat, muhasabah diri serta tambahkan vaksin iman kita.

AYAT 42- {KATAKANLAH: “MENGEMBARALAH KAMU DI MUKA BUMI KEMUDIAN LIHATLAH BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG YANG TELAH LALU (YANG TELAH DIBINASAKAN); KEBANYAKAN MEREKA ADALAH ORANG-ORANG MUSYRIK”.} (AR-RUM 30:42)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan manusia untuk mengembara dan melihat atas muka bumi ini kesan-kesan manusia yang telah dibinasakan oleh Allah SWT
  1. Maka wahai Quraisy, tolong jangan ulangi kesilapan orang terdahulu! Ambil pengajaran dan iktibar. Kebanyakan umat-umat dahulu yang dibinasakan adalah kafir musyrikin, akibat dari kejahatan mereka.
  1. Kita berjalan mengembara bukan sekadar untuk bersuka-suka dan bergambar, bahkan atas perintah Allah SWT untuk ambil pengajaran dan iktibar akan akibat kebinasaan ummat-ummat terdahulu
    Kemudian untuk selamat Allah SWT ajar lagi.

AYAT 43- {(JIKA DEMIKIAN KEADAANNYA) MAKA HADAPKANLAH DIRIMU (WAHAI MUHAMMAD) KE ARAH AGAMA YANG BETUL, SEBELUM DATANGNYA DARI ALLAH: HARI YANG TAK DAPAT DITOLAK; PADA HARI ITU MANUSIA AKAN BERPECAH (KEPADA DUA GOLONGAN).} (AR-RUM 30:43)

  1. Jika nak selamat, Allah SWT perintahkan Rasulullah SAW dan kita semua agar hadapkan diri dan hati kepada agama yang betul ini.
  1. Iaitu agama Islam yang lurus, suci, tiada terpesong dan bengkok! Hadapkanlah hatimu, wajahmu dan badanmu untuk menegakkan agama Islam, mengerjakan perintahnya dan menjauhi larangannya dengan sungguh-sungguh.
  1. Kembalilah bertaubat dan insaf sebelum datangnya hari yang tidak dapat dielakkan lagi! Iaitu Hari Kiamat dan akhirat.
  1. Pada hari tu manusia akan terpecah kepada dua bahagian:
    i- Satu golongan ke syurga

    ii- Satu golongan ke neraka.
  1. Firman Allah SWT sebelum ini: {Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai perbicaraan).} (Ar-Rum 30:14)
  1. Semoga kita semua selamat dan termasuk dalam golongan yang diredhai Allah SWT. Sentiasalah kita berdoa agar menjadi ahli syurga dan diselamatkan dari azab neraka.

AYAT 44- {SESIAPA YANG KUFUR INGKAR MAKA DIA LAH SAHAJA YANG MENANGGUNG BENCANA KEKUFURANNYA ITU, DAN SESIAPA YANG BERAMAL SOLEH (YANG MEMBUKTIKAN IMANNYA), MAKA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG MEMBUAT PERSIAPAN UNTUK KESENANGAN DIRI MEREKA MASING-MASING;} (AR-RUM 30:44)

  1. Sesiapa yang kufur ingkar maka dia sendirilah yang akan menanggungnya dan menerima mudharat bencana akibat kekufurannya.
  1. Sesiapa yang nak selamat kena buktikan imannya dengan beramal soleh:
    i- Yang ikhlas

    ii- Bertepatan dengan ajaran yang diajar oleh Rasulullah SAW.
  1. Inilah persiapan dan amal yang dapat menyelamatkan dirinya dari neraka dan mendapat kemenangan dengan syurga!

AYAT 45- {KERANA ALLAH AKAN MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH DARI LIMPAH KURNIANYA. SESUNGGUHNYA IA TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR.} (AR-RUM 30:45)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT memberitahu sesiapa yang membuat persiapan untuk mendapat kesenangan di akhirat dengan beramal soleh maka dia akan mendapat limpah kurnia-Nya.
  1. Kurnia Allah SWT iaitu Syurga yang penuh dengan nikmat dan kesenangan. Ia adalah sesuatu yang mata tak pernah tengok, telinga tidak pernah dengar dan hati tidak pernah terlintas.
  1. Maka jauhkanlah diri kita daripada segala sifat dan perbuatan maksiat, penyakit hati, zahir dan batin!
    Disamping beramal soleh yang diredhai mudah-mudahan kita layak untuk ke syurga.
  1. Jika hanya dengan amal ibadat kita saja, masih tidak layak untuk ke syurga, bukan balasan semata-mata jika bukan dengan rahmat dan limpah kurnia Allah SWT!
  1. Allah SWT membenci dan murka kepada orang kafir. Dia akan menghukum dan mengazab mereka.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 41- {Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia;}-

    Bala turun kerana manusia derhaka, maka untuk selamat kena kembali dan bertaubat kepada Allah SWT.
  1. Ayat 43- {(Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu}-

    Bukan setakat muka atau fizikal sahaja tetapi hati dan batin kamu, yakni seluruh jiwa raga, dan amal ibadat mengikut dan melaksanakan tuntutan agama yang lurus ini.
  1. Ayat 43- {(ke arah agama yang betul, }-

    Maka kita pun jika nak kempen dan dakwah orang kena guna perkataan dan pendekatan yang disukai orang, yang nampak kebaikannya sebagai galakan dan tarikan. Tetapi jika nak kempen atau galakkan orang beramal kena pastikan apa yang kita sebarkan itu adalah sesuatu yang sahih dan jelas, bukan sesuatu yang direka atau tiada asalnya dari al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Nak janjikan pahala dan balasan kena authority melalui Rasulullah SAW yang telah dilantik oleh Allah SWT!
    Contohnya “Projek Mega Mampu Milik” yang ditularkan oleh AAM sebagai kempen 12 rakaat solat sunat rawatib setiap hari.
  1. Ayat 41- {Dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia}-

    Yakni dengan sebab ingkar dan perbuatan maksiat manusia itu sendiri. Maka kita sebagai mukmin kena muhasabah diri dan perbaikinya.
    Hadis jika buat 5 perkara akan datang 5 bencana dari Allah SWT.
    Dari Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
    يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ وَمَا لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلَّا ظَهَرَ فِيهِمُ الأَمْرَاضُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ فِي أَسْلَافِهِمِ وَمَا مَنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلَّا مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنَ السَّمَاءِ وَلَوْلَا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا وَ مَا لَمْ يُطَفِّفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ إِلَّا أُخِذُوا بِجَوْرِ السُّلْطَانِ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَالسِّنِينَ وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيْدٌ
    Bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin; lima perkara, jika kamu ditimpa lima perkara ini, aku mohon perlindungan kepada Allah agar kamu tidak mendapatkannya:
    i- Tidaklah muncul perbuatan keji (seperti: zina, minum arak, judi, merompak dan lainnya) dalam suatu masyarakat, kemudian mereka melakukannya secara terang-terangan, kecuali akan tersebar penyakit-penyakit lainnya yang tidak ada pada orang-orang sebelum mereka.

    ii- Manusia tidak menahan zakat hartanya, kecuali hujan dari langit juga akan ditahan dari mereka. Seandainya bukan kerana haiwan-haiwan, manusia tidak akan diberi hujan.

    iii- Tidaklah orang-orang mengurangi ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan disiksa dengan kezaliman pemerintah, kehidupan yang susah dan kemarau.

    iv- Dan selama pemimpin-pemimpin (negara, masyarakat) tidak berhukum dengan kitab Allah,

    v- Dan memilih-milih sebahagian (saja dari) apa yang Allah turunkan, kecuali Allah menjadikan permusuhan yang keras di antara mereka.” [HR Ibnu Majah no. 4019, al Bazzar, al Baihaqi; dari Ibnu ‘Umar. Disahihkan oleh Syaikh al Albani dalam ash-Shahihah no. 106, Shahih at-Targhib wat-Tarhib no. 764, Maktabah al Ma’arif]
  1. Ayat 41- {supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).}-

    Tujuan Allah SWT datangkan ujian untuk kita insaf dan makin dekat kepada Allah, bukan semakin jauh.
  1. Ayat 41- {dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia}-

    Kita kena sedar dan belajar bahawa setiap apa yang Allah SWT buat itu ada sebab dan hikmah di sebaliknya. Kadang-kadang sebab itu zahir, yang boleh kita nampak, seperti berlaku maksiat datang bala. Tetapi ada yang kita tak nampak, seperti kenapa Allah SWT tidak benarkan orang Islam bela anjing? Yang tak nampak ini tetapi bila dikaji dan dibongkar oleh ulama’ melalui penemuan sains atau perubatan baru kita boleh nampak.
  1. Ayat 41- {kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan,}-

    Setiap bala dan balasan yang datang mengikut jenis perbuatan maksiat dan kadar kejahatan yang dilakukan manusia. Azab yang menimpa itu mengikut kategori keadaannya.
  1. Ayat 41- {Supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).}-

    Bala bencana boleh menjadi sebab manusia kembali kepada Allah SWT.
  1. Ayat 42- {Kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik”.}-

    Ulama’ kata: Sebab binasa umat terdahulu kerana mereka syirik kepada Allah SWT. Begitu juga umat kini yang akan mendapat balasan yang sama jika mereka juga syirik.
  1. Ayat 45- {Kerana Allah akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya}-

    Ulama’ mengatakan: Ayat ini menunjukkan balasan itu bukan wajib ke atas Allah SWT, tetapi Allah SWT sendiri yang menetapkannya untuk membalasnya. Firman Allah SWT:
    {Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah):} (Al-An’aam 6:54)
    Yang penting punca kebaikan itu dari hati, maka yang lain pun akan datang bertingkat-tingakat dengan limpah kurnia rahmat Allah SWT.

MAKA MARILAH KITA PERBAIKI HATI KITA AGAR MENDAPAT LIMPAHAN RAHMAT-NYA.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top