MENGAGUNGKAN ALLAH SWT DENGAN BANYAK BERZIKIR, KELEBIHAN ZIKIR MENDAPAT SELAWAT ALLAH DAN MALAIKAT & TAHIYYAH SALAM PADA HARI KIAMAT.
Full video : https://youtu.be/T1MarxQj2js?si=OFaH7nuuPEyGAU-9
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini ayat-ayat berkisar tentang arahan untuk mengagung, membesarkan Allah SWT, berzikir mengingati Allah sama ada dengan lidah dan anggota, Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW dan seluruh umatnya agar banyak berzikir mengingati Allah SWT.
- Kelebihan bagi sesiapa yang banyak berzikir akan mendapat kebaikan di dunia serta Mendapat Selawat Allah dan Malaikat & Tahiyyah Salam Pada Hari Kiamat.
- Dalam siri yang lepas kita telah melihat dalam ayat yang lepas, tentang perkara yang berlkau kepada nabi SAW, menunjukkan penuh ketaqwaan Baginda dan peristiwa yang berlaku dalam rumah tangga Baginda SAW.
- Bermula dengan arahan agar mendidik para isterinya agar zuhud kepada dunia, kemudian Allah SWT telah meletakkan satu tanggungjawab yang begitu berat atas bahu Rasulullah SAW untuk membatalkan satu hukum yang telah menjadi satu adat tradisi di kalangan jahiliyyah, iaitu adat anak angkat. Baginda juga menghadapi propaganda kaum munafiqin yang menggoncangkan masyarakat dengan isu perkahwinnya dengan Zainab, iaitu isteri anak angkatnya sendiri.
- Maka dalam ayat ini terus memberi semangat kepada Rasulullah SAW, agar jangan peduli kepada kecaman golongan yang ingkar, teruskan perjuangan dan banyakkan berzikir mengingati Allah SWT, agar mendapat kasih sayang Allah dan duduk di bawah payung rahmat Allah SWT di dunia ini serta nikmat mendapat syurga dan ucapan Salam dari Allah di akhirat nanti.
- Ayat ini mengajar dan mendidik kita agar terus melakukan ketaatan kepada Allah SWT, dan antara ibadat yang paling mudah dan paling mampu dilakukan ialah berzikir kepada Allah SWT.
- Kita akan lihat apakah zikir yang elok kita baca, bilakah kita nak berzikir, yakni waktunya yang terbaik, berapa banyak bilangannya dan semua yang berkait dengan zikir secara sunnah yang betul, insya’ Allah.
AYAT 41 – {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, (UNTUK BERSYUKUR KEPADA ALLAH) INGATLAH SERTA SEBUTLAH NAMA ALLAH DENGAN INGATAN SERTA SEBUTAN YANG SEBANYAK-BANYAKNYA;} (AL-AHZAB 33:41)
- Dalam ayat ini Allah SWT menyeru orang yang beriman! Bukan yang degil dan yang keras kepala.
Kata ulama’: Kerana hanya orang beriman yang akan mendengar dan taat.
Kata Abdullah bin Mas’ud seorang ulama’ sahabat Nabi SAW: Apabila orang beriman mendengar seruan ini; kena beri perhatian, buka telinga dan celik mata, lapangkan dada, kerana apabila Allah SWT menyeru begini akan datang sama ada perintah atau larangan-Nya.
- Kesinambungan ayat ini ialah dengan ayat ke-35 sebelum ini apabila Allah SWT menyebut 10 sifat orang yang beriman, pendamba syurga, dan sifat yang terakhir ialah orang yang banyak berzikir kepada Allah SWT وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ.
- Maka ayat ini datang dalam bentuk arahan, pelaksanaan secara amali. Allah SWT juga menyebut yang banyak berzikir kerana zikir tiada halangan, dapat dilakukan dalam pelbagai keadaan, di mana saja, atas laut, daratan atau udara, bila-bila masa saja. Tiada alasan dan halangan untuk tidak berzikir kecuali ikut syaitan dan kemalasan. Allah SWT suruh berzikir dengan banyak, semampu mungkin.
- Ayat-ayat yang berkaitan dengan zikir dalam al-Quran lagi:
i- Firman Allah SWT: {(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.} [Ali-‘Imran 3:191]
Lihatlah dalam apa keadaan saja seseorang itu boleh berzikir, duduk, bangun hatta baring.
ii- Firman Allah SWT: {Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.} [Al-A’raf 7:205].
Yakni sebut nama Allah dalam hati, dengan keadaan merendah diri & takut dan bukan dengan suara yang nyaring dan kuat, cukup bergerak lidah dan telinga kita dengar. Melaung dan bertempik itu bukan cara berzikir yang sunnah kerana Rasulullah SAW telah menegur para sahabat dalam hal ini, kerana Allah SWT Maha Mendengar.
Juga pada waktu pagi petang, semua waktu boleh berzikir, jangan kamu lalai.
iii- Firman Allah SWT: {Serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).} [Al-Jumu’ah 62:10].
Ayat ini berkaitan dengan ayat kita ini, kelebihan berzikir akan dapat kejayaan dunia dan akhirat.
AYAT 42 – {DAN BERTASBIHLAH KAMU KEPADANYA PADA WAKTU PAGI DAN PETANG.} (AL-AHZAB 33:42)
- Bertasbihlah kepada Allah SWT, bersih dan sucikanlah Allah SWT daripada segala cacat cela, iaitu sifat makhluk!
- Allah SWT memberitahu kita waktunya pula, iaitu berzikirlah pada waktu pagi & petang. Waktu pagi dan petang adalah waktu yang utama dan kerana mudahnya beramal di waktu ini.
- Waktu paling afdhal untuk seseorang mengamalkan amalan harian bagi:
i- Zikir pagi ialah selepas waktu subuh sehingga naik matahari.
ii- Zikir petang pula selepas solat asar sehingga tenggelam matahari.
iii- Jika tidak sempat pada waktu tersebut kerana keuzuran atau kesibukan (lagha) maka bacalah bila-bila masa yang teringat dan dan berpeluang itu, jangan ditinggalkan dan terlepas terus walaupun sudah lewat dan menyukakan syaitan.
- Kata Imam Nawawi: Kerana ia amalan harian, jika tak sempat, jangan ditingalkan, jangan biarkan luput atau terlepas biarpun sudah tengahari atau sudah tengah malam. Biar syaitan kecewa dan tidak berjaya menggagalkan amalan kita pada hari itu. Lawan terus. Boleh tengok lagi nasihat Imam Nawawi dalam buku Sunnahmu amalanku di: www.dartaibah.com
- Ulama’ berpandangan bahawa maksud zikir/tasbih ini ialah: Mengucapkan zikir dengan lidah, ada juga kata solat pagi & petang. Ibnu Asyur jamakkan semuanya, termasuk semua solat atau zikir yang penting, jangan tak buat.
- Dapatkan buku Zikir Pagi Petang di: www.dartaibah.com
- Zikir yang paling senang dan paling disukai Allah SWT ialah Zikir 4 kalimah. Ada Risalah AAM 12 kelebihan tentangnya.
Empat Kalimah Yang Paling Disukai Allah
عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَحَبُّ الْكَلاَمِ إِلَى اللَّهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ لاَ يَضُرُّكَ بَأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ
Daripada Samurah bin Jundub ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Ada empat ucapan yang paling di sukai Allah SWT; Subhanallah سُبْحَانَ اللّهُ [Maha Suci Allah],
Alhamdulillah اَلْحَمْدُلِلّهِ [Segala Puji Bagi Allah],
Laa ilaaha illallah لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللّهُ [Tiada ilah yang berhak disembah kecuali Allah]
dan Allahu Akbar اَللّهُ اَكْبَرُ [Allah Maha Besar].
Tidak berdosa bagimu dengan mana saja kamu memulai. (HR Muslim No: 2137/12)
- Zikir yang paling mudah dan simple: Hadis tentang zikir – سبحان الله وبحمده 100 x pagi & 100x petang. Dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Dua kalimat yang ringan di lisan, namun berat ditimbangan, dan disukai Ar-Rahman iaitu “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azim” سُبْحَانَ اللهِ وَ بِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ
(Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung). (HR Bukhari no. 6682 dan Muslim no. 2694)
- KAEDAH: Begitulah biasanya zikir atau amalan yang diajar oleh Rasulullah itu mudah dan simple, 100 kali paling banyak, tidak pernah banyak beribu-ribu apatah lagi berjuta-juta!!
Zikir yang terbaik ialah yang diambil terus dari Rasulullah melalui jalur yang sahih seperti zikir 4 kalimah tadi, atau dari Perisai Muslim atau dari Zikir Pagi petang yang di ajar oleh Rasulullah SAW. Jika kita istiqomah baca yang ini pun sudah mencukupi insya’ Allah. Jika seseorang itu sibuk dengan zikir yang tidak ma’thur makai dia akan pergi kepada yang pelik-pelik.
- Zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW ada yang:
i- Mutlaq (umum) pada bila2 masa sahaja seperti 4 kalimah tadi dan 2 kalimah yang ringan tadi. Boleh dibaca bila masa dan berapa saja.
ii- Muqayyad, zikir khas yang terikat dengan waktu dan bilangan seperti zikir selepas solat dan zikir pagi petang ini.
Seeloknya sudahkan zikir khas ini dulu baru zikir yang umum.
- Kata seorang Syeikh: Tiada musibah yang lebih besar bagi seorang hamba Allah selain daripada dia tidak dapat menyebut nama Allah.
AYAT 43 – {DIA LAH YANG MEMBERI RAHMAT KEPADA KAMU, DAN MALAIKATNYA PULA (BERDOA BAGI KAMU) UNTUK MENGELUARKAN KAMU DARI GELAP-GELITA (KUFUR DAN MAKSIAT) KEPADA CAHAYA YANG TERANG-BENDERANG (IMAN DARI TAAT); DAN ADALAH IA SENTIASA MELIMPAH-LIMPAH RAHMATNYA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN (DI DUNIA DAN DI AKHIRAT).} (AL-AHZAB 33:43)
- Dalam ayat ini pula kelebihan bagi orang yang berzikir; Allah akan memberi rahmat kepadanya dan para malaikat sentiasa berdoa, minta ampun dan istighfar kepadanya sehingga selesai dia berzikir atau meninggalkan masjid tempat solatnya.
- Hadis Rasulullah SAW tentang malaikat berdoa kepada orang yang lepas solat:
Di dalam satu Hadis Rasulullah SAW telah bersabda :
فَإِذَا دَخَلَ الْمَسْجِدَ كَانَ فِي الصَّلَاةِ مَا كَانَتْ الصَّلَاةُ هِيَ تَحْبِسُهُ
وَالْمَلَائِكَةُ يُصَلُّونَ عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مَجْلِسِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ يَقُولُونَ
اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ تُبْ عَلَيْهِ مَا لَمْ يُؤْذِ فِيهِ مَا لَمْ يُحْدِثْ فِيهِ
“Jika seseorang telah masuk masjid, maka dia dikira berada dalam solat selama ia meneruskan solatnya, dan malaikat terus menerus mendoakan salah seorang diantara kamu selama ia dalam tempat duduknya yang ia gunakan untuk solat, malaikat akan berdoa; “Ya Allah, rahmatilah dia, Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah maafkanlah dia,”selama ia tidak melakukan gangguan dan belum berhadas.” (متفق عليه)
- Nabi SAW. bersabda: “Allah SWT berfirman: “Sesiapa yang menyebutKu di dalam dirinya, maka Aku menyebutnya pula dalam diriKu. Dan barang siapa yang menyebutKu dalam suatu kumpulan orang, maka Aku menyebutnya pula dalam suatu golongan yang lebih baik daripada golongannya.” [HR Bukhari & Muslim]
- Hadis tentang rahmat Allah SWT yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab RA.
عن عمر بن الخطاب قال: قَدِمَ على النبي صلَّى الله عليه وسلَّم بسبي، فإذا امرأة من السبي تسعى إذ وجدت صبيًّا في السبي أخذتْه فألصقتْه ببطنها وأرضعته فقال لنا النبي صلَّى الله عليه وسلَّم: أترون هذه طارحة ولدها في النار قلنا لا، وهي تقدر على ألا تطرحه، فقال الله أرحم بعباده من هذه بولدها
Satu ketika Rasulullah berada dalam rombongan tawanan perang. Di tengah-tengah rombongan itu ada seorang ibu yang sedang mencari-cari bayinya. Ketika dia berhasil menemukan bayinya di antara tawanan itu, maka dia pun memeluknya erat-erat ke tubuhnya dan menyusuinya.
Rasulullah bertanya kepada kami, “Apakah menurut kamu ibu ini akan sangggup melemparkan anaknya ke dalam nyalaan api?” Kami menjawab, “Tidak mungkin, demi Allah. Sementara dia sanggup untuk mencegah bayinya terlempar ke dalamnya.” Maka Rasulullah bersabda, “Sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hamba-Nya daripada ibu ini kepada anaknya.” (HR Bukhari no 5999 dan Muslim no 2754).
- Ini adalah limpah kurnia dan rahmat Allah SWT yang begitu besar dan banyak semasa kita di atas dunia lagi. Betapa bahagianya kita jika diberi hidayah untuk sentiasa berzikir kepada Allah SWT.
- Kerana itu berpadalah dengan zikir yang ma’thur (sahih) diajar oleh Rasulullah SAW, yang datang dari mulut Baginda yang mulia sendiri. Insya’ Allah kita akan dapat pahala, pahala berzikir kepada Allah SWT dan pahala menikut Sunnah Nabi SAW.
- Firman Allah SWT: {Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).} [Al-Baqarah 2:152]
AYAT 44 – {SAMBUTAN PENGHORMATAN YANG AKAN DIBERI TUHAN KEPADA MEREKA SEMASA MENEMUINYA IALAH UCAPAN “SALAM” (SELAMAT SEJAHTERA); DAN IA TELAH MENYEDIAKAN UNTUK MEREKA PAHALA BALASAN YANG MULIA.} (AL-AHZAB 33:44)
- Ayat ini pula ialah tentang pahala ganjaran yang menunggu orang yang berzikir di Akhirat pula.
- Salam penghormatan dan ucapan selamat dari Allah bagi mereka ialah, “Salam” (sejahtera dari segala bencana). Mereka juga saling mengucapkan salam sesama mereka, inilah ucapan semasa bertemu dengan Allah SWT nanti.
- Allah sedikan bagi kamu pahala yang mulia; Pahala ini adalah kerana rahmat dari Allah SWT yang Maha Mulia yang Maha Pemurah. Jika dikira amalan yang kita buat di dunia ini amatlah sedikit dan tidak setimpal dengan ganjaran pahala dan nikmat yang Allah SWT sediakan di dalam syurga. Dua rakat solat sunat, diberi mahligai di dalam syurga, istighfar dan zikir dapat menghapuskan kesalahan seumpama buih di lautan, Allahu Akbar!
- Kata Syeikh Ahmad bin Yahya: Tafsir ayat ini: Salam penghormatan ini apabila kita mengadap Allah SWT, macamana kita mengadapnya? Ijma’ ulama’ lughah, bahawa ahli syurga jumpa Allah SWT esok adalah secara berdepan, bahawa kita boleh tengok Allah SWT dengan mata kepala kita sendiri.
- Allah SWT berfirman: {وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ * إلى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ}
“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat.” (Al-Qiyamah: 22-23)
- Sebagaimana hadis Rasulullah SAW apabila Hadis Allah tanya ahli syurga redha atau tidak? Lalu Allah SWT tunjukkan wajah-Nya yang Mulia!
Daripada Suhaib RA, bahawa Rasulullah SAW membaca ayat Surah Yunus ini lalu bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ، قَالَ: يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا
أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ – قَالَ – فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ
مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?” Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami daripada api neraka?” Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla.” [Sahih Muslim (181)].
- Sahabat juga bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal ini: Hadis riwayat Jarir bin Abdillah RA:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ نَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ قَالَ “ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ
Maksudnya: “Pada suatu hari kami duduk bersama Rasulullah SAW dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda: “Kamu akan melihat Tuhan kamu sepertimana kamu melihat bulan ini, dan kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya.” [Sahih al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633)]
- Ya Allah demi cinta kami kepada-Mu, jadikanlah kami orang layak masuk ke syurga, jangan jadikan kami orang yang terhalang daripada melihat wajah-Mu yang mulia nanti!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 41 – {Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;}-
Kita kena sebut dan ingat nama Allah sebanyaknya. Allah SWT telah berfirman: {Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).} [Al-Baqarah 2:152].
Kita ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepada kita, yakni kita kena mula dulu, cinta itu mesti berbalas, kita kena ingat Allah SWT setiap masa baru dia akan ingat kepada kita.
Kata ulama’: Ingat kepada Allah SWT satu nikmat, manakala ingat/sebut manusia adalah satu bala.
Yakni kita sebut nama Allah itu dengan beberapa sifat.
Kata Imam Izzuddin bin Abdus Salam dalam menafsir ayat ini kepada beberapa kategori:
i- Kita sebut nama Allah SWT dengan sifat-sifat-Nya yang cantik dan indah untuk meraih cinta Allah.
ii- Kita sebut Allah SWT dengan sifat-sifat yang kamal sempurna untuk meraih rasa hebat dan takut kepada Allah
iii- Kita sebut Allah SWT dengan sifat-sifat yang Esa dan Berkuasa untuk melakukan segala perkara, membawa kita meraih sifat tawakkal kepada Allah,
iv- Kita sebut Allah SWT dengan sifat-sifat yang luas rahmat untuk meraih raja’, mengharapkan pahala dan rahmat dari Allah,
v- kita sebut Allah dengan sifat-sifat-Nya yang Jabbar, Muntaqim, Garang; untuk meraih perasaan takut kepada Allah, tidak berani buat maksiat kepada-Nya.
vi- Kita sebut Allah SWT dengan sifat-sifat yang rahmat, rahim, pemberi nikmat untuk meraih sifat syukur kepada Allah. Inilah tafsiran ulama’ berdasarkan ayat ini.
- Ayat 42 – {Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.}-
Ayat ini menunujukkan lazim seseorang itu beramal dengan zikir pagi petang, zikir setiap lepas solat, zikir mengikut setiap pergerakan dan tempat serta pelbagai lagi. Semua pergerakan kita ada zikir, betapa berkatnya hidup insya’ Allah.
Telah disusun dalam buku ini setiap zikir bermula dari kita celik mata bangun tidur sehinggalah kita pejam mata untuk tidur balik. Untuk setiap perbuatan kita jangan lupa untuk berzikir.
Boleh dapati buku Perisai Muslim di: www.dartaibah.com
- Adakalanya iman dan semangat kita lemah untuk berzikir dan beramal. Tidak rasa manis berzikir, sebut nama Tuhan tidak terasa apa-apa. Jadi untuk hidupkan balik generator hati kita ini untuk merasai kembali kemanisan iman maka kita kena lawan:
i- Usaha banyakkan zikir menyebut nama Allah SWT insya’ Allah kita akan rasa kembali semangat dan naik iman. Seperti berjanji dengan diri sendiri atau sesiapa yang kita percayai.
ii- Sentiasa ulangkaji, fikir dan ingat, perhatikan akan nikmat Allah SWT yang banyak, mata berkelip, mulut bergerak, kaki bergerak, akan menyebabkan kita insaf diri. Ingat nikmat Allah akan menjadikan hati bersyukur dan subur balik serta pulih keimanan.
- Ayat 43 – {Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu, dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu)}-
Allah sendiri akan menyebut dan mengucap salam kepada kita, hal ini menggegarkan hati kita, takkan tidak mahukah kita menjadi orang ini? Ayat ini menjadi motivasi kepada kita untuk berzikir.
- Tanda orang yang beriman dan mantap imannya kepada Allah ialah yang banyak berzikir kepada Allah, lagi mantap lagi banyak zikirnya. Dan tanda cinta kepada Nabi ialah dengan mengamalkan sunnah dan amalan yang warid dan ma’thur dari Rasulullah SAW. Jika ambil zikir dari manusia akan menbawa kepada mainan logik akal dan falsafah. Seperti memendekkan zikir La Ilaha illaLlah, kepada Allah sahaja akhirnya tinggal hu hu hu!!! Rasulullah tidak pernah ajar zikir mufrad (single) tetapi kebiasaannya murakkab (bersandar) seperti Allahu Akbar, SubhanaLlah dan lain-lain.
- Rahsia Allah SWT menyebut { ذِكْرًا كَثِيرًا } zikir yang banyak:
i- Ini kerana zikir adalah amalan yang mampu, boleh dilakukan di mana saja dan di mana saja, dengan hati dan dengan lidah semuanya boleh. Berbeza dengan ibadat lain yang memerlukan syarat dan masa yang khas atau tertentu, seperti solat, puasa dan haji.
ii- Zikir itu bukan sekadar memberi pahala tetapi menambah dan menggilap iman.
- Ayat 43 – {Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu – dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) – untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat}-
Zikir menjadi sebab kita mendapat rahmat dari Allah, doa dari malaikat serta makhluk lain juga suka dengan kita, kerana kita berada di bawah payung Allah SWT. Allah SWT janjikan untuk mengeluarkan orang yang berzikir dari kegelapan hati dan hidup kepada cahaya yang terang, petunjuk hidayah. Maka hati kita yang telah lama berkarat ini akan hilang dan kembali terang dengan zikir banyak-banyak, insya’ Allah.
Seorang murid bertanya kepada gurunya kita nak zikir atau istghfar mana lebih baik, mana dulu? Jawab syeikhnya:
Tengok keadaan diri kita bagaimana:
Jika hati kita keras dan kotor, seperti kain kotor maka kena rendam sabun dan basuh dulu. (Maka ini kena Istighfar dulu)
Jika hati kita sudah lembut, tidak banyak dosa, sama seperti kain yang sudah bersih tak perlu basuh lagi kita letak perfume atau pewangi saja je. (Maka perbanyakkan zikir).
Jika kain kita ada dua-dua maka kita basuh dan bubuh pewangi, yakni kita lakukan dua-dua istighfar dan zikir sebanyak mungkin.
- Ayat 42 – {Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.}-
Kena ada amalan zikir pagi petang, lepas solat dan lain-lain. Zikir yang berterusan yang menjadi amalan kita, dengan setiap pergerakan sebagaimana ajaran Rasulullah SAW.
- Ayat 43 – {dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).}-
Adalah Allah SWT bersifat dengan rahim, penuh kasih sayang terhadap hamba-Nya. Maka sesiapa yang nak dapatkan kasih sayang dan rahmat Allah SWT, maka dekatkan diri kepada Allah dengan lakukan semua amalan fardhu, amalan yang sunat dan lidah yang sentiasa berzikir.
- Ayat 44 – {Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera);}-
Allah sebut di akhirat esok Salam, salam: Keamanan dan sejahtera, tiada sengketa dan kesusahan bagi orang yang dapat masuk syurga.
Firman Allah SWT: { سَلَامٌ قَوْلًا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ} { (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.} [Yasin: 58].
Maka sesiapa yang nakkan salam sejahtera dari Allah maka berusahalah supaya dapat masuk ke dalam syurga, bertemu dengan Allah dengan wajah yang bercahaya, insya’ Allah.
Mari kita terus berizikir, basahkan lidah dengan nama Allah, sebut nama Allah dapat rahmat, jangan sebut nama manusia nanti dapat bala! Na’uzubillah.
Wallahu a’lam.
