SURAH QAF : MUQADDIMAH

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH DENGAN SURAH SEBELUMNYA.

Full video : https://youtu.be/kr-ygTRDKko

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Khamis 04 Safar 1444H bersamaan 1hb September 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Qaf- سورة ق
  2. Surah Qaf, adalah surah ke-50 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah al-Hujurat dalam juz ke 26, mengandungi 45 ayat yang pendek-pendek.
    Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل) surah yang pendek-pendek.
  3. Para ulama’ tafsir sepakat (ijma’ ulama’) mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

Tetapi ada juga ulama’ mengatakan Makkiyyah kecuali ayat 38 yang turun di Madinah sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Jarir & Al-Mawardi.

  1. Dinamakan surah ini sebagai Surah Q – سورة ق kerana Allah s.w.t memulakan surah ini dengan hurf Qaf {ق} yang terletak pada ayat pertama yang tersebut dan hanya Allah s.w.t yang mengetahui maksudnya.
    Seperti surah Sad {ص} juga hanya satu huruf.
  2. Kata ulama’ tafsir ia antara surah-surah yang dinamakan dengan huruf yang terletak pada awal suruhanya seperti surah: Sod, Yaa Sin, To Ha dan seumpamanya. Dinamakan begitu kerana mereka adalah tersendiri hurufnya.
  3. Terdapat beberapa riwayat seperti dari Abu Waqid al-Laithi dan Ummu Hisyam binti Harithah r.anhuma yang menamakannya dengan surah Qaf.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Setelah menerangkan hakikat al-Quran yang amat melimpah kemuliaan dan kebaikannya, juga setelah menegaskan bahawa bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah rasul yang diutus Allah, lalu dibawa ayat-ayat selepasnya yang menerangkan tentang kafir musyrikin Makkah yang menentang kerasulan Baginda s.a.w dan tentang hari Akhirat.
  2. Kenapa mereka bersikap sedemikian? Kerana mereka tidak mahu berfikir dengan betul bahkan terburu-buru terus mendustakan kebenaran apabila tiba kepada mereka!
    Sedangkan mereka sentiasa menyaksikan kesan kekuasan Alllah s.w.t dengan langit tidak bertiang yang berdiri teguh atas kepala mereka, yang dihiasi dengan matahari, bulan bintang yang besinar terang.

Juga kepada bumi ini yang terletak seperti hamparan, dengan gunung-ganang sebagai pasaknya serta subur dengan pelbagai tumbuhan-tumbuhan.

Untuk menyedarkan orang yang tenggelam dalam kelalaiannya Allah menjelaskan bahawa hidup manusia terletak dalam genggaman-Nya.

Dia yang mencipat manusia maka Dia mengetahui yang zahir & batin, bahkan pengetahuan-Nya lebih dekat dengan manusia lebih daripada urat leher mereka sendiri.

Setiap manusia mempunyai dua malaikat yang menjaga & mengawalnya (malaikat Hafazah)- yang menerima & menulis segala perbuatannya.

Apabila sampai ajal seseorang datanglah Sakratul Maut membawa kebenaran yang telah dijanjikan serta dikatakan kepada orang yang tidak mengakuinya sebelum ini: Inilah perkara yang selalu engkau elakkan diri darinya.

Setelah diterangkan tentang peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada hari Akhirat dan balasan baik bagi orang yang beriman serta balasan buruk bagi orang yang ingkar, maka pada bahagian akhir surah ini ditegaskan sesungguhnya segala keterangan dan peristiwa yang tersebut itu tidak syak lagi mempunyai pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sedar pada masa membacanya.

Atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh kepada pengajaran itu dengan menumpukan hati & fikiran padanya!

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH TAFSIR MUHARRAR :

  1. Objektif utamanya ialah menetapkan asas keimanan iaitu:
    i- kebangkitan semula (البعث)
    ii- keluar balik dari kubur (النشور)
    iii- kerasulan (النبوة) Nabi Muhammad s.a.w.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t puji al-Quran dan menyatakan kehebatannya.
  2. Allah sebut dakwaan puak kafir dan keingkaran mereka terhadap Kenabian & Kebangkitan. Lalu dibawa kritikan & jawapannya ke atas dakwaan salah ituز
  3. Galakan supaya setiap orang melihat memerhati kepada kejadian langit & isi kandungannya dan bumi apa yang ada di atasnya. Tumbuhan dari kering kepada hidup semula.
  4. Memperingatkan manusia akibat buruknya mereka yang ingkar kepada Rasul yang lalu dan apa yang mereka terima apabila masuk kubur & Akhirat nanti.
  5. Memperingatkan manusia bahawa ilmu Allah itu lengkap.
  6. Menyebut tentang kesakitan mati dan keadaan huru hara di Akhirat serta apa yang akan berlaku pada hari Kiamat esok.
  7. Janji syurga kepada orang-orang mukmin dan Allah sebut sebahagian sifat mereka yang penting.
  8. Menenangkan hati Nabi s.a.w tentang apa yang menimpa sebahagian kaumnya dan membimbing mereka agar sabar dengan bertasbih. Yakni kena banyakkan tasbih pada siang hari untuk ketenangan hati.
  9. Allah s.w.t perintahkan Nabi s.a.w supaya ingatkan manusia dengan Al-Quran dan al-Quran adalah garis panduan mereka untuk taat kepada Allah.
  10. Allah s.w.t itu dekat dengan kita yakni ilmu Allah merangkumi semua perkara tentang perjalanan hidup kita atas dunia ini. Maka berhati-hatilah agar tidak menyusahkan kita di akhirat nanti.

KELEBIHAN SURAH INI :

  1. Elok jika boleh dibaca di atas mimbar yakni dimasukkan dalam khutbah Jumaat.

Dalil- hadis dari Ummu Hisyam bin Harithah bin Nu’man RA, beliau telah berkata:
عن أم هشام بنت حارثة بن النعمان: وَما أَخَذْتُ {ق والْقُرْآنِ الْمَجِيدِ} إلّا عن لِسانِ رَسولِ اللهِ ﷺ، يَقْرَؤُها كُلَّ يَومِ جُمُعَةٍ على المِنْبَرِ إذا خَطَبَ النّاسَ .
Aku tidak mempelajari surah {Qaaf. Demi al-Quran yang melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya}, melainkan ketika mendengar dari lisan Nabi ﷺ. Baginda membacanya setiap hari Jumaat di atas minbar ketika berkhutbah kepada orang ramai. [HR Muslim 873].

  1. Kata Imam an-Nawawi, dalam syarah kepada hadis ini; Kata ulama’ kenapa Rasulullah s.a.w memilih surah Qaf untuk dibaca dalam khutbah Jumaat:
    i- kerana ia mengandungi isu kebangkitan semula dan kematian, nasihat yang cukup keras dan larangan yang begitu kuat agar kita beringat dan berhati-hati. Maka elok dibaca surah ini atau sebahagian daripada ayatnya dalam khutbah Jumaat.

ii- hari raya adalah hari perhiasan dan kegembiraan, maka janganlah perhimpunan & kegembiraan kita menyebabkan kesombongan dan membawa kepada maksiat.
Lalu awal-awal lagi dalam solat raya diberi peringatan dengan bacaan surah Qaf. Jadi kena faham & hayatilah maknanya jika tidak sia-sia juga.

  1. Rasulullah s.a.w membacanya pada rakaat pertama dalam solat hari Raya. Dalil dari sebuah hadis:

عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ عَبْدِ اللهِ: أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثيَّ: مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- فِي الأَضْحى وَالْفِطْرِ؟ فَقَالَ: كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِـ{ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ} و{اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ}

Diriwayatkan dari ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah menceritakan; “Umar bin al-Khattab r.a. telah bertanya kepada Abu Waqid al-Laithi;
‘Apakah surah yang dibaca oleh Rasulullah di dalam solat hari raya korban dan hari raya fitrah?’

Abu Waqid menjawab; “Baginda membaca dalam solat kedua-dua hari raya itu;
(ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ) (yakni surah Qaf; pada rakaat pertama) dan (اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ) (yakni surah al-Qamar; pada rakaat kedua)”. [HR Imam Muslim].

  1. Kata Ibnu Kathir rhm.: Rasulullah s.a.w membaca surah ini pada perhimpunan agung seperti hari raya dan khutbah Jumaat kerana ia mengandungi permulaan kejadian makhluk, mereka akan dibangkitkan semula selepas mati & dikumpulkan balik, kemudian dihisab untuk balasan, ada syurga & neraka serta ada galakan & larangan.
  2. Surah Qaf adalah permulaan kepada surah-surah al-Mufassal (الْمُفَصَّلِ).
    i- Dinamakan sebagai Al-Mufassal kerana banyaknya Al-Fasl (الفصل) iaitu penutup atau pemisah ayat di antara Surah dengan Basmalah.

ii- Juga kerana tak banyak ayatnya yang dibatalkan hukumnya. Kerana itu ia juga dinamakan surah Muhkam.

iii- Para ulama berselisih dalam menentukan surah apakah permulaan Al-Mufassal. Ada yang mengatakan ianya bermula daripada Surah Qaf.
Ada pandangan yang menyatakan ianya bermula daripada Surah Al-Hujurat. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi.
Manakala surah terakhir tiada khilaf iaitu surah an-Naas.

6. Kata Imam Sayuti rhm.: Al-Mufassal terbahagi pula kepada tiga bahagian:
i- Yang pertama adalah mufassal yang panjang (Al-Tiwal). Ianya dari surah Qaf sehingga Surah an-Naba’.

ii- Yang kedua adalah yang pertengahan (Al-Awsat). Ia bermula dari Surah an-Naba’ sehingga Surah ad-Dhuha.

iii- Yang ketiga adalah yang pendek (Al-Qisar). Ia bermula daripada Surah ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas. Wallahu a’lam.

Bagi pelajar tahfiz yang belajar di Masjidil Haram mereka memulakan hafazan mereka bermula dari surah-surah yang pendek ini iaitu dari belakang, bukan dari depan seperti kita di sini yang mula dengan surah al-Baqarah. Ini kerana ia pendek-pendek dan lebih mudah dihafaz.

MUNASABAH SURAH DENGAN SURAH-SURAH SEBELUMNYA :

  1. Surah Qaf ini duduknya selepas surah al-Hujurat. Munasabah kedudukan surah selepas surah al-Hujurat:
    i- Pada akhir surah al-Hujurat Allah s.w.t ceritakan tentang puak Badwi yang datang mengaku beriman kepada Rasulullah s.a.w sedangkan mereka belum beriman dengan iman yang sebenarnya. Mereka masih belum beriman dengan Nabi s.a.w dan kebangkitan selepas kematian.

ii- Maka Allah s.w.t surah Qaf ini dimulai dengan watak dan ciri-ciri keingkaran puak kafir terhdap kenabian Nabi s.a.w serta keingkaran mereka tentang Kebangkitan semula.
Lalu Allah s.w.t balas dan tolak semua hujjah mereka dengan dalil pemutus bahawa apa yang mereka faham itu wahai puak kafir adalah kefahaman yang salah & ditolak!

Maka jika nak beriman berimanlah dengan iman yang jitu, jangan mengaku dimulut sahaja!

  1. Persamaan antara Surah Qaaf (ق) dan Surah ‘Sad’ (ص) iaitu dua surah yang bernama dengan hanya satu huruf sahaja ini.
    Syeikh Fakharuddin ar-Razi bawa beberapa persamaannya:
    i- keduanya bermula dengan satu huruf.

ii- Allah mula dengan bersumpah dengan Al-Quran.

iii- kemudian diakhir surah disebut tentang kelebihan Al-Quran.
Mula dan akhir surah dengan perkara yang sama.

  1. Persamaan kedua; keduanya menegaskan tentang usul akidah & tauhid:
    i- Surah Sad – tentang tauhid akidah awal.
    ii- Surah Qaaf – Allah kuatkan perbincangan tentang kebangkitan semula.

Mula dan akhir surah dengan perkara yang sesuai dengan keduanya.

Alhamdulillah begitulah betapa indahnya ilmu nunasabah dan susunan al-Quran, semoga kita mendapat manfaat yang besar dari pengajian tadabbur kita.
Jalan ke arah keselamatan yang diredhai Allah s.w.t.